KIEV 7 April - Kira-kira 15,000 penunjuk perasaan pro-Rusia menceroboh bangunan kerajaan Ukraine di tiga bandar utama di timur negara ini, semalam, sekali gus membangkitkan kemarahan Kiev yang menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin mendalangi 'gerakan pemisah.
Bantahan terbaharu itu tercetus ketika seorang pegawai tentera laut Ukraine ditembak mati oleh tentera Rusia di timur Crimea yang menjadikan jumlah kematian meningkat kepada dua orang.
Jurucakap tentera laut Ukraine, Vladislav Seleznyov berkata, tentera marin Rusia melepaskan dua tembakan ke arah askar terbabit dikenali sebagai Mejar Stanislav Karachevsky yang tidak bersenjata dan sedang bersiap untuk meninggalkan Crimea menuju ke Mykolaev.
Bagaimanapun mangsa bertengkar dengan seorang askar Rusia yang bertindak melepaskan tembakan menggunakan senapang AK-74.
Kementerian Pertahanan Ukraine juga melaporkan seorang askar negara ini dibelasah oleh tentera Rusia, namun tiada butiran lanjut diberikan.
Antara bangunan kerajaan yang diserbu ialah di kawasan hab perindustrian di Donetsk dan pejabat perkhidmatan keselamatan dekat Luhansk, dengan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Rusia dan menuntut pungutan suara diadakan di bandar-bandar itu bagi menyertai Moscow seperti yang dilakukan di wilayah autonomi Crimea.
Rakaman televisyen Reuters menunjukkan beratus-ratus penunjuk perasaan mengepung bangunan perkhidmatan keselamatan dan turut kelihatan seorang anggota polis berpakaian antirusuhan dibawa keluar dari bangunan menggunakan pengusung.
Rangkaian televisyen tempatan pula melaporkan, kumpulan itu menuntut pembebasan kira-kira 15 orang yang ditahan agensi keselamatan itu selepas kesemua suspek disyaki merancang menggulingkan kerajaan dan menyimpan beratus-ratus senapang, bom tangan dan bom petrol.
Agensi berita Interfax melaporkan, kumpulan pro-Rusia turut menawan bangunan pentadbiran wilayah di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine.
Menteri Dalam Negeri, Arsen Avakov berikrar akan memulihkan keadaan di timur Ukraine dan menuduh bekas Presiden yang diusir, Viktor Yanukovich terlibat dalam konspirasi bersama Putin bagi meningkatkan ketegangan di negara ini. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140408/lu_06/Pro-Rusia-ceroboh-bangunan-kerajaan-Ukraine#ixzz2yF1A77Rd
© Utusan Melayu (M) Bhd