Showing posts with label maya. Show all posts
Showing posts with label maya. Show all posts

Thursday, December 20, 2012

Kaum Maya tak peduli ramalan




Oleh Muhd Izawan Baharin
         
ADAKAH masyarakat semakin kalut kononnya dunia bakal berakhir esok iaitu 21 Disember 2012.

Ahli falsafah Perancis, Michel de Nostredame atau lebih dikenali sebagai Nostradamus yang hidup pada abad ke-16 meramal kononnya sebuah planet akan melanggar bumi sehingga menyebabkan kemusnahan, namun teori paling popular ialah pada 21.12.2012 menandakan berakhirnya kalendar 5,125 tahun Maya, sekali gus ditafsirkan sebagai pengakhiran dunia.


Mengikut tafsiran kalendar itu, apabila berakhirnya waktu subuh Jumaat, mengikut kalendar Maya, ia menandakan akhir bak’tun 13 iaitu zaman selama kira-kira 400 tahun dan permulaan bak’tun 14.

Disebabkan tafsiran itu, kekalutan demi kekalutan berlaku di seluruh dunia akibat percayakan mitos ini, di China, seorang petani membina tujuh bola gergasi yang didakwanya mampu menyelamatkan dia apabila dunia musnah. Agensi berita Xinhua melaporkan, pihak berkuasa China turut menahan berpuluh-puluh orang, sesetengahnya anggota kumpulan kultus dalam operasi besar-besaran bagi mematahkan khabar angin mengenai kedatangan kiamat.


Reuters pada 17 Disember lalu juga melaporkan histeria berlaku di penjara Russia manakala mereka yang percayakan kewujudan makhluk asing berkumpul di perkampungan di pergunungan Perancis mengharapkan bantuan dari angkasa lepas. Penulis di Melbourne, Australia, Robert Bast turut menulis sebuah buku yang dipanggil ‘Survive 2012’ bagaimana untuk berhadapan dengan malapetaka yang mungkin berlaku kerana dia percaya masyarakat Maya sudah lama menghantar amaran awal.


Ramalan mengenai kiamat sudah lama berlegar di alam maya dengan pelbagai tarikh diberikan kononnya bersandarkan ramalan dan kiraan saintifik. Metro Ahad pada 2006 pernah melaporkan terdapat e-mel berantai disebarkan kononnya dunia akan kiamat pada 1 Februari 2019 akibat bumi dilanggar asteroid dikenali sebagai 2002 NT7.

Bagaimanapun kiraan kalendar Maya lebih popular sehingga Hollywood mengambil kesempatan menerbitkan filem mengenai kemusnahan dunia pada 2009.


Malah, tarikh kiamat itu dijadikan modal iklan serta program berbentuk realiti televisyen seperti ‘Doomsday Preppers’ untuk menarik perhatian umum.

Persoalannya kenapa masyarakat yang majoritinya mengikut kalendar Gregorian secara tiba-tiba menjadi taksub kepada kalendar Maya yang tidak ramai memahami perkiraannya malah tamadun itu pun sudah lama runtuh.


Associated Press baru-baru ini melaporkan di tengah-tengah kegilaan dunia kononnya bersedia mendepani 21 Disember 2012, masyarakat keturunan Maya di semenanjung Yucatan, Mexico langsung tidak peduli dengan ramalan nenek moyang mereka.


Masyarakat itu meneruskan kehidupan seharian mereka, membawa motosikal roda tiga yang sarat dengan ahli keluarga dan makanan haiwan. Mereka berjenaka, menari atau berbual di kaki lima pada waktu malam.


“Saya tidak tahu jika dunia akan berakhir,” kata Liborio Yeh Kinil, 62, sambil duduk di kerusi di luar kedai runcit kecil di dataran berumput tengah bandar Uh-Mei di Quintana Roo. “Ingat 2006 dan ‘6-6-6’ (Jun 6, 2006). Ramai orang fikir ada sesuatu yang akan berlaku tetapi tiada apa yang berlaku. Kenapa panik? Jika ada sesuatu akan berlaku, ia tetap berlaku,” katanya.


Panik, bimbang dan bingung mengenai kesahihan khabar angin ini juga menjalar sehingga ke kawasan kampung di negara ini. Kecoh di kedai kopi apabila ada yang membincangkan soal ini walaupun si kecoh itu hanya mendapat maklumat ‘separuh masak’ daripada Internet atau membaca di media massa.


Ada juga yang mengatakan kedudukan planet di dalam sistem suria akan menjadi sejajar esok menyebabkan bumi mengalami gerhana sekali gus perubahan cuaca berlaku secara drastik.


Dari sudut psikologi, Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Dr Hussain Habil berkata, ketaksuban itu terjadi disebabkan wujudnya individu yang takutkan kematian tetapi pada masa sama mahu melihat kemusnahan dan kematian orang lain.


“Ia semakin menjadi-jadi apabila wujud elemen sensasi dan komersial iaitu ada pihak menjadikan ia modal keuntungan umpamanya menggunakan media untuk menerbitkan rancangan kiamat sehingga mempengaruhi individu tertentu,” katanya.


Menurutnya, soal kemusnahan dunia ada dalam semua kepercayaan dan orang tercari-cari atau tertanya-tanya bila akan berlakunya hari itu. Secara tiba-tiba kalendar Maya didakwa menyebutkan tarikh 21 Disember 2012.


“Percampuran elemen kepercayaan dan material apabila dikomersialkan menyebabkan orang takut tetapi teruja serta mahu menyaksikannya. Sebab itu ada pihak sanggup menyimpan stok makanan atau mencipta tempat perlindungan kononnya boleh menyelamatkan mereka.


“Hendak tahu apa yang berlaku kita kena tunggulah tarikh itu tetapi dalam Islam sudah dinyatakan tanda-tanda kecil dan besar mengenai kiamat, ia pasti berlaku cuma Allah saja yang tahu bila.


“Sebagai orang Islam, kita kena berhati-hati dengan perkara sebegini kerana ia boleh menyebabkan akidah kita menyimpang jika berpegang kepada andaian sebegini,” katanya.


Ketakutan pada andaian dunia kiamat esok sebenarnya boleh memberi pelbagai kesan buruk lain kerana tidak mustahil ada individu yang memikirkan dia gagal mencari perlindungan memilih untuk membunuh diri.


Dalam Islam, kiamat pasti berlaku, tidak perlu memikirkan bila ia akan berlaku kerana perkara paling penting ialah bekalan di alam seterusnya.


Meminjam kembali kata-kata Liborio: “Jika ada sesuatu akan berlaku, ia tetap berlaku.” Penulis wartawan Harian Metro

Monday, June 28, 2010

Maya terus kunci mulut




PERGOLAKAN rumah tangga pelakon jelita, Maya Karin Roelcke, 31, atau Maya Karin dan pasangannya, Steven David Shorthose atau nama Islamnya,Muhammad Ali Abdullah, 41, yang didedahkan sejak akhir Februari lalu masih belum menemui jalan penyelesaian.
Pasangan itu ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur Khamis minggu lalu bagi mendaftarkan perkahwinan di negara ini.
Ada pula dakwaan yang menyebut, pasangan itu juga bakal memfailkan perceraian mereka.
Benar atau tidak hanya mereka dan Allah sahaja yang mengetahui.
Pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam itu hadir ke mahkamah dengan baju kurung lengkap bertudung pukul 2 petang ditemani peguam syarie, Norhusniah Husin dari Tetuan Zain & Co.
Sementara suaminya pula hadir lengkap bersut hitam ke mahkamah itu kira-kira 45 minit kemudian.
Keresahan wakil media yang hadir membuat liputan setelah hampir sejam menanti di perkarangan luar mahkamah berakhir apabila kelibat Steven keluar dari mahkamah ditemani rakansnya.
"It's no divorce (tiada cerai)". Hanya itu kata-kata yang terpacul dari bibir Steven sebaik ditanya mengenai persoalan kehadiran dia dan Maya ke mahkamah tempoh hari.
Namun, usaha puluhan wakil media yang hadir mendapatkan maklumat terperinci daripada guru bahasa Inggeris itu tidak berhasil apabila dia meminta pihak media bertanyakan sendiri hal tersebut kepada isterinya.
"You have to ask Maya (anda perlu bertanya pada Maya)," kata Steve ringkas sambil berlalu pergi meninggalkan perkarangan mahkamah dengan pelbagai tanda tanya.
Pasangan yang dinikahkan di Villa Corte de Lago, Bellagio, Itali pada 14 Ogos 2008 itu dilaporkan sudah tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.
Pasti ini menjadi suatu perkara yang sukar diungkapkan apabila ikatan yang terbina atas dasar cinta mula goyah tidak sampai tahun kedua perkahwinan.
Lapan tahun lamanya mereka menyulam rasa iaitu sejak usia Maya mencecah 21 tahun, lelaki yang sama juga membuka pintu hatinya untuk mengambil keputusan berumah tangga pada usia 29 tahun.
Kesabaran wakil media yang hadir di mahkamah tersebut teruji lagi apabila kelibat Maya yang dinanti-nantikan masih tidak kelihatan.
Aktres itu hanya hadir setengah jam selepas itu. Biar nampak tertekan, Maya bagaimanapun masih mampu tersenyum dan menjawab pertanyaan media dengan penuh diplomasi.
Bagaikan semut yang dihurung gula, wanita berdarah kacukan Melayu-Jerman itu dikerumuni dan diasak dengan pelbagai pertanyaan oleh wartawan.
Namun kehampaan melanda apabila tiada jawapan muktamad yang memuaskan diberikan olehnya.
"Kami sudah buat perjanjian untuk tidak beri sebarang kenyataan. Saya tidak boleh cakap apa-apa.
"Rasanya perkara ini lebih selamat dan elok jika saya tidak kata apa-apa kerana saya takut salah cakap atau orang akan salah faham dengan bahasa Melayu saya nanti," katanya.
Ditanya adakah dia masih dengan keputusan untuk bercerai kata Maya: "Setakat ini apa yang berlaku hari ini masih tiada keputusan bagaimanapun saya okey."
Daripada wajahnya, bagaikan ada sesuatu yang ingin diperkatakan namun seperti ada sesuatu juga yang menghalangnya untuk berbuat demikian.
Apakah sebenarnya yang berlaku di antara mereka, segalanya terkunci rapat sebagai rahsia mereka berdua.
Persoalan yang bermain di minda kini, apakah keputusan yang bakal diambil oleh Maya kelak.
Adakah memilih untuk kembali menjalani kehidupan sebagai pasangan suami isteri ataupun berpisah secara damai?.
Segalanya masih menjadi teka-teki.