Thursday, August 7, 2014
Adab media (kewartawanan) menurut Syarak
Apabila kita berbicara tentang adab kewartawanan (media) pada sudut syarak kita perlu memecahkannya kepada beberapa bahagian iaitu:
- Orang atau badan yang menyampaikan berita.
- Orang yang menerima berita.
- Berita yang disampaikan
إِنَّ خَيۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِىُّ ٱلۡأَمِينُ
Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah (Surah Al Qasas: 26)
Adapun mengenai orang yang menerima sesuatu berita atau disebut sebagai pembaca berita mestilah seorang yang sedar sehingga boleh membezakan mana yang mempunyai maslahat untuknya dan yang mana tidak. Dia juga hendaklah mempunyai kehendak pemerhatian peribadi iaitu tidak sekadar bergantung pada sumber berita media. Dalam sudut ini juga, kerajaan perlu berperanan dalam menapis serta menyemak bagi memastikan setiap berita atau media yang dibawa kepada masyarakat akan memberikan manfaat dan kebaikan kepada masyarakat umum. Jika pemantauan ini tidak berjalan maka media berkemungkinan akan berperanan dalam merosakkan masyarakat. Turut sama berperanan dalam memantau media adalah ibubapa bagi sesebuah keluarga dalam memastikan apa yang sampai kepada anak-anak mereka adalah segala perkara yang mempunyai masalahat. Mengenai berita yang ingin disampaikan, berita tersebut hendaklah berita yang sudah diyakini sepenuhnya akan kebenarannya dan bukanlah sebuah khabar angina atau berita diragui. Selain memberi fokus untuk menyampaikan sesebuah berita yang benar, badan media juga hendaklah bijak menentukan antara banyak-banyak berita yang benar mana yang perlu didahulukan (awlawiyat), ada sebahagian berita perlu diberi fokus sepenuhnya, ada berita yang hanya perlu dilihat secara kecil da nada sebahagian berita yang sebenarnya langsung tidak perlu untuk kita laporkan pun. Penilaian dalam perkara ini adalah dari segi maslahat dan mafsadah sesuatu berita itu pada masyarakat umum. Sesuatu media atau berita juga mestilah bersifat adil dan pertengahan. Ianya bermaksud berita tersebut tidak boleh terlalu melebihkan sesuatu isu berbanding isu yang lain. Kerana salah satu peranan media adalah mendidik masyarakat, jika kita inginkan masyarakat yang syumul dari segi pengetahuan dan kemampuan maka berita yang disampaikan mestilah berbentuk syumul meliputi politik, social, ekonomi, kegamaan, kekeluargaan, kenegaraan dan lain-lain. Sesuatu sudut tidak sepatutnya melebihi sudut-sudut yang lain. Hiburan dalam media adalah dibolehkan namun hiburan tersebut mestilah tidak menyentuh perkara yang haram serta mempunyai objektif yang jelas. Berkata Abu Darda RA mengenai perkara ini:
إني لأستجم نفسي باللهو ليكون أقوى لها على الحق
(adakalanya) aku akan merehatkan diriku dengan perkara yang lagho supaya (dengan kerehatan itu) aku menjadi semakin kuat dalam memikul kebenaran.
*Artikel ini merupakan tulisan asal daripada bahasa arab yang ditulis oleh Syiekh Dr Yusuf Al-Qardawi dari laman web qardawi.net
Diterjemah dan disunting oleh
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
PM, isteri mohon batal saman
7 Ogos 2014
Permohonan itu dikemukakan melalui peguamnya di mahkamah tinggi di sini, semalam di hadapan pendaftar Morfauzani Mohd Nordin.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 Ogos ini untuk pengurusan kes.
Dalam permohonan itu, perdana menteri dan isteri memohon tuntutan terpinda yang dikemukakan plaintif-plaintif bertarikh 23 Jun dibatalkan.
Najib dan Rosmah menyatakan kesemua plaintif tidak ada kuasa tindakan terhadap mereka, selain tuntutan itu mengaibkan, remeh atau menyusahkan, dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Najib turut memohon kebenaran agar mahkamah memberikan kebenaran kepada Rosmah untuk memfailkan pembelaan, sementara menunggu pendengaran permohonan diputuskan.
Turut dituntut, kos permohonan dan kos berbangkit serta lain-lain relif yang ditetapkan mahkamah.
Najib dan Rosmah mengemukakan permohonan itu atas alasan plaintif tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memulakan atau meneruskan tuntutan.
Pada 23 Jun lalu, Santamil Selvi dan tiga anaknya memfailkan saman dan pernyataan tuntutan terpinda terhadap Najib, Rosmah dan lapan yang lain dengan mendakwa mereka berkonspirasi menyebabkan keluarga itu berpindah ke negara lain.
Mereka memfailkan saman sebanyak RM1 juta sebagai ganti rugi kehilangan pendapatan dengan mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India akibat penarikan balik akuan berkanun.
Cari dalam tasik
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
Sepang: Siasatan dilakukan pasukan penyiasat antarabangsa terhadap tragedi Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 kini sudah mencapai tahap 50 peratus berdasarkan bahan bukti yang ditemui dan keterangan saksi kejadian berkenaan.
Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Ukraine, semalam.
Menurutnya, pasukan siasatan antarabangsa yang dianggotai tiga negara termasuk Malaysia, Belanda dan Australia itu juga terpaksa meluaskan carian mayat di sebuah tasik di Donetsk iaitu berdekatan sebuah ladang ternakan ayam.
“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa ada penyelam yang sudah dikerahkan mencari mayat mangsa di tasik berkenaan kira-kira 7.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).
“Saya baru sahaja dimaklumkan bahawa ada penyelam yang sudah dikerahkan mencari mayat mangsa di tasik berkenaan kira-kira 7.30 pagi waktu tempatan (12.30 tengah hari waktu Malaysia).
AHMAD Zahid menunjukkan peta lokasi kawasan pencarian pasukan penyiasat pesawat MH17 pada sidang media setibanya dari Ukraine di KLIA, semalam.
“Seramai 10 penyelam membabitkan tiga negara pasukan penyiasat akan terbabit dalam operasi mencari mayat di tasik berkenaan termasuk beberapa anggota VAT 69 dari Malaysia,” katanya.
Katanya, perluasan carian mayat di tasik berkenaan terpaksa dilakukan selepas masih ada 62 mayat mangsa tragedi pesawat itu belum ditemui.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
150 mayat didapati sempurna
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
Putrajaya: Sebanyak 600 cebisan dan bahagian mayat ditemui dalam 226 keranda mayat mangsa tragedi penerbangan MH17 yang dibuka pasukan pasukan Pengenalan Mangsa Bencana (DVI) Malaysia dan antarabangsa setakat semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya juga dimaklumkan pasukan DVI sudah memeriksa 450 bahagian mayat berkenaan dan mendapati 150 bahagian daripadanya adalah mayat sempurna manakala baki 300 bahagian lain sedang menjalani proses pemadanan data pemeriksaan bagi tujuan pengesahan identiti mangsa.
Beliau berkata, semua mayat itu kini diperiksa di Kem Tentera Hilversum, Belanda oleh 24 pegawai Malaysia dari pelbagai jabatan termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia.
“Bagaimanapun, setakat ini, belum ada mayat warga Malaysia dikenal pasti daripada pemeriksaan fasa pertama keranda mayat berkenaan. Sebaik ia dikenal pasti, kerajaan akan membuat keputusan untuk membawa pulang mayat berkenaan ke Malaysia bagi proses pengebumian dan persemadian.
“Bagaimanapun, setakat ini, belum ada mayat warga Malaysia dikenal pasti daripada pemeriksaan fasa pertama keranda mayat berkenaan. Sebaik ia dikenal pasti, kerajaan akan membuat keputusan untuk membawa pulang mayat berkenaan ke Malaysia bagi proses pengebumian dan persemadian.
SEORANG pakar forensik memerhatikan rakan sejawat meneruskan kerja mencari dan menyelamat di lokasi pesawat penerbangan MH17 terhempas berhampiran kampung Rozsypne di Donetsk, Ukraine.
“Kami difahamkan, proses pemeriksaan bedah siasat dan pemadanan identiti bagi baki 300 bahagian mayat yang tidak sempurna itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh antara dua ke tiga minggu lagi,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Katanya, pihaknya juga difahamkan sebuah keranda mayat mangsa baru tiba di Kem Tentera Hilversum pada 4 Ogos lalu dan kini dalam proses bedah siasat.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Khieu Samphan dipenjara seumur hidup oleh tribunal Kemboja
Bekas tahanan Khmer Rouge, Soum Rithy (kiri) menangis di samping seorang lagi tahanan penjara S-21 yang terselamat, Chum Mey (kanan) di Tribunal yang mengenakan penjara seumur hidup ke atas Khieu Samphan di Kemboja hari ini. |
Khamis, 7 Ogos 2014 @ 12:45 PM
PHNOM PENH: Tribunal yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua pemimpin tertinggi Khmer Rouge atas tuduhan jenayah peperangan berikutan peranan mereka dalam keganasan negara berkenaan pada 1970-an.
Keputusan bersejarah itu diumumkan hari ini terhadap Khieu Samphan, bekas pemimpin negara berkenaan yang berusia 83 tahun dan Nuon Chea, orang kanannya yang berusia 88 tahun.
Kedua-dua mereka, dalam keadaan kesihatan yang tidak memuaskan, menafikan melakukan kesalahan.
Tuduhan ditumpukan kepada perpindahan berjuta-juta orang dari bandar Kemboja dan tapak hukuman di barat daya di mana beribu-ribu orang ditembak dan dikebumi dalam kubur secara beramai-ramai.
Kira-kira 1.7 juta orang maut di bawah pemerintahan mereka antara 1975 hingga 1979 akibat kebuluran, tidak mendapat rawatan perubatan, lebihan bekerja dan dibunuh. - AP
Australia isytihar hari berkabung bagi mangsa MH17 hari ini
Khamis, 7 Ogos 2014 @ 11:21 AM
MELBOURNE: Australia mengisytiharkan berkabung di seluruh negara hari ini dan mengibarkan bendera separuh tiang bagi mengenang mangsa pesawat Penerbangan malaysia MH17 yang terhempas di Ukraine.
Australia hilang 38 rakyat dan penduduknya, termasuk kanak-kanak, apabila pesawat terbabit dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu dan mengorbankan semua 298 penumpang serta anggota kru.
Loceng gereja dibunyikan di seluruh negara ketika upacara memperingati mangsa dijalankan di Gereja St Patrick di Melbourne, yang dipilih kerana 16 daripada 38 mangsa dari Australia berasal dari negeri Victoria.
Perdana Menteri, Tony Abbott dan dan Gabenor-Jeneral, Sir Peter Cosgrove adalah antara orang kenamaan yang menyertai upacara itu di sisi anggota keluarga mangsa pada upacara memperingati mangsa terbabit.
"Hari ini adalah hari berkabung dan kami akan mengingati 298 orang yang tidak bersalah yang maut dalam penerbangan MH17 itu," kata Abbott sebelum upacara berkenaan.
"Kami amat sedih untuk semua yang terbabit, khususnya 38 yang berasal dari Australia. Hari ini kami mengingati dan memberi penghormatan kepada mereka," kata Abbott.
Australia menghantar beratus-ratus anggota polis, pertahanan dan pegawai lain untuk membawa balik mayat rakyatnya yang hilang di Ukraine.
Namun Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte berkata keadaan keselamatan di timur Ukraine tidak mengizinkan misi itu diteruskan dengan selamat.
Setakat ini 228 keranda cebisan mayat sudah diterbangkan ke Belanda, yang mempunyai mangsa paling ramai dalam kejadian itu. - AFP
MB keluarkan kenyataan 10 Ogos
Oleh NORHAYATI YAHAYA
norhayati.yahaya@kosmo.com.my
norhayati.yahaya@kosmo.com.my
KLANG – Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengeluarkan kenyataan mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor selepas mesyuarat kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 10 Ogos ini.
Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata, keputusan sama ada beliau akan mengekalkan jawatan itu atau sebaliknya hanya akan ditentukan oleh proses dalam Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.
“Tidak kira sama ada saya jadi Menteri Besar atau tidak, itu akan ditentukan oleh proses yang dilakukan seperti yang ditentukan dalam Enakmen Selangor (Undang-Undang Tubuh).
“Sekarang hanya bercakap tidak ada apa-apa pelaksanaan, untuk itu saya masih bekerja sebagai Menteri Besar dengan penuh minat dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Jambatan Ketiga Klang di Jalan Sungai Bertih di sini semalam.
Abdul Khalid berkata, desakan daripada kepimpinan partinya sendiri supaya beliau berundur menjadikannya lebih berazam bekerja lebih keras untuk rakyat negeri itu.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz39f5O1dst
Hakcipta terpelihara
Belum ada mayat rakyat Malaysia dikenal pasti
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan mengesahkan masih tiada mayat penumpang dan kru rakyat Malaysia yang terlibat dalam nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dikenal pasti sehingga kini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, sehingga semalam sebanyak 226 keranda telah selesai dibuka dan diperiksa bagi tujuan bedah siasat dan di dalam keranda berkenaan berkemungkinan ada satu atau dua mayat.
Menurutnya, di dalam keranda itu, terdapat 600 bahagian anggota badan dan 450 daripadanya telah diperiksa.
"Hasil pemeriksaan mendapati 150 mayat dalam keadaan sempurna manakala 300 anggota badan yang tidak sempurna.
"Bagaimanapun, setakat hari ini, belum ada mayat warga Malaysia dikenal pasti," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz39f4EuwHr
Hakcipta terpelihara
Rozana gagal hadirkan diri
Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my
KUALA LUMPUR - Proses 'Sulh' atau perbincangan mengenai hak jagaan kekal tiga orang anak hasil perkongsian hidup antara penyanyi rock terkenal, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 46, dengan isterinya, Rozana Misbun, 36, (gambar kecil) gagal apabila wanita itu tidak hadir di Mahkamah Syariah di sini semalam.
Peguam Mohd. Hafizal Parcho yang mewakili Awie berkata, proses berkenaan hanya dihadiri anak guamnya di hadapan pegawai bertugas iaitu Surayah Ramlee di Pejabat Bahagian Sulh, Mahkamah Syariah.
"Sepatutnya hari ini (semalam) perbincangan antara pihak anak guam saya dan Rozana mengenai siapa akan menjaga anak-anak itu tetapi disebabkan Rozana gagal hadir, maka proses ini gagal dan mahkamah menetapkan kes diteruskan dengan sebutan semula.
"Pihak kami juga ada menerima faks daripada Rozana semalam (kelmarin) memaklumkan bahawa dia tidak dapat hadir tapi dia tidak menyatakan sebabnya," katanya ketika ditemui di perkarangan mahkamah di sini semalam.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini untuk sebutan semula kes pasangan selebriti tersebut.
'Sulh' merupakan satu daripada alternatif yang efektif kepada mana-mana pasangan selain kaedah perbicaraan dan timbang tara untuk mendapatkan penyelesaian rumahtangga.
Pada 21 Julai lalu, Awie yang popular dengan filem Sembilu berjaya mendapatkan hak penjagaan sementara ketiga-tiga anaknya dan perintah injunksi supaya isterinya itu tidak mendekatinya dan ketiga-tiga anak itu dengan apa jua cara.
Sementara itu, Awie ketika ditemui enggan memberikan sebarang komen mengenai ketidakhadiran isterinya itu.
"Saya tidak pernah lalui perkara ini (Sulh), Rozana pun tidak hadir, jika dia hadir mungkin saya boleh memberi komen," ujarnya yang bernikah dengan Rozana di Songhkla, Thailand pada 20 Jun 2005 dikurniakan tiga anak.
Pada 4 Julai lalu, Awie didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Rozana, di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz39f2zbSkQ
Hakcipta terpelihara
Nenek kahwin teruna 30 tahun lebih muda
KUALA LUMPUR - Perbezaan usia 30 tahun tidak menghalang seorang lelaki bujang, Mohd. Nor Rais Razali, 27, untuk memilih wanita lebih berusia, Fatimah Abdul Rahman, 57, sebagai suri hidupnya selepas bercinta selama enam tahun.
Jodoh pasangan tersebut termeterai setelah mereka dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Jurunikah, Ustaz Abdullah Shahril Mohamed Yusof di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam di sini, kira-kira pukul 9.45 malam kelmarin.
Majlis yang diadakan secara sederhana itu diserikan dengan kehadiran kaum keluarga sebelah pengantin perempuan.
Fatimah yang merupakan nenek kepada tiga cucu dan dikurniakan tiga anak berusia antara 21 hingga 33 tahun memberitahu, dia tidak pernah menjangkakan hubungannya selama lebih enam tahun dengan Mohd. Nor Rais berakhir di jinjang pelamin.
"Kami mula berkenalan ketika sama-sama bekerja di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz39f2c3SPq
Hakcipta terpelihara
Firma Belanda diberi kontrak terajui usaha cari MH370
KUALA LUMPUR - Australia memilih firma Belanda, Fugro Survey Pte Ltd., untuk menerajui usaha pencarian laut sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di selatan Lautan Hindi sejak 8 Mac lalu.
Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, Fugro akan menggunakan dua buah kapal yang dilengkapi kenderaan laut dalam yang ditunda dan membawa pakar untuk menjalankan operasi pencarian.
"Kapal akan mencari di dasar laut menggunakan peralatan sonar imbasan sisi, peralatan gema dan kamera video untuk mencari dan mengenal pasti sebarang serpihan.
"Saya tetap yakin kami akan mengesan pesawat yang hilang dalam tumpuan kawasan pencarian," katanya dalam sidang akhbar di Canberra yang turut disalur secara dalam talian hari ini.
Beliau berkata firma yang berpangkalan di Perth itu sudah biasa dengan operasi pencarian MH370 yang dilakukan Australia dengan menawarkan 'penyelesaian teknikal yang berbaloi'.
Kini kapal milik firma itu, Fugro Equator menjalankan survei pemetaan dasar laut di kawasan baharu pencarian bersama kapal tentera laut China, Zhu Kezhen.
Truss berkata survei itu telah meliputi 60 peratus kawasan atau kira-kira 32,000 kilometer persegi sejak April lalu.
Pesawat MH370 yang membawa 239 orang sedang menuju Beijing apabila hilang awal pagi pada 8 Mac sebaik berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Ia sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
Analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat ialah di selatan Lautan Hindi, barat Perth, Australia.
Namun, pihak Australia mengumumkan pada 26 Jun lalu bahawa kawasan pencarian akan diubah pula ke selatan di kawasan kira-kira 60,000 kilometer persegi di sepanjang apa yang dikenali sebagai 'lengkungan ketujuh' di Lautan Hindi.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Martin Dolan berkata survei pemetaan dasar laut setakat ini menemui beberapa anomali berkaitan geologi dasar lautan.
"Kawasan utara secara bandingan adalah mendatar dan dalam, dan ia menaik ke arah selatan dan permukaannya menjadi semakin sukar.
"Kami belum habis membuat pemetaan... (dan) masih mencari perincian, bentuk yang tidak kami ketahui (sebelum ini), gunung berapi bawah laut dan pelbagai benda lain. Jadi kami menemui beberapa kejutan semasa kami melakukannya," katanya.
Dolan tidak menolak kemungkinan kanyon dasar laut 'menyembunyikan' pesawat. - Bernama
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz39f1IcshN
Hakcipta terpelihara
Prabowo dakwa penipuan berlaku
JAKARTA - Mahkamah Perlembagaan Indonesia semalam mula mendengar dakwaan untuk mencabar keputusan pilihan raya Presiden pada 9 Julai lalu yang dimenangi oleh Gabenor Jakarta, Joko "Jokowi" Widodo.
Kes itu difailkan pada bulan lalu oleh lawan kepada Jokowi, Prabowo Subianto yang merupakan bekas jeneral tentera Indonesia dan menantu bekas Presiden Suharto.
Dalam dakwaannya, Prabowo menyatakan peluangnya untuk memenangi pilihan raya itu musnah sama sekali akibat penipuan besar-besaran dan bersistematik membabitkan Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia.
Pada 22 Julai lalu, suruhanjaya itu mengisytiharkan Jokowi sebagai pemenang selepas beliau memperoleh 53 peratus atau lebih lapan juta undi mengatasi Prabowo.
Wakil-wakil Prabowo meninggalkan pusat pengiraan undi sebelum proses pengiraan undi berakhir.
Prabowo bagaimanapun enggan mengaku kalah dan meminta para penyokongnya supaya menolak keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya itu dengan alasan ia dicemari kelemahan selain bercanggah dengan prinsip demokrasi.
Peguam Prabowo, Makdir Ismail memberitahu mahkamah itu semalam bahawa berjuta-juta undi yang dikira di seluruh Indonesia adalah tidak sah berikutan terdapat beberapa percanggahan keputusan di lebih 55,000 pusat pembuangan undi di lapan wilayah termasuk Jakarta, Jawa Timur, Papua Barat dan semua 14 daerah di Papua.
Makdir mendakwa, penipuan yang berlaku antara lain melibatkan pegawai-pegawai pilihan raya yang menambah undi untuk Jokowi, pengundi menggunakan kad pengenalan meragukan manakala proses pengiraan semula undi dijalankan secara tidak konsisten.
Menurut dokumen mahkamah, Prabowo mendakwa, pengiraan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati beliau sebaliknya mengatasi Jokowi dengan kemenangan tipis 67 juta atau 50.25 peratus undi berbanding 66.5 juta atau 49.7 peratus undi yang diperoleh lawannya walaupun jumlah itu bukan 100 peratus atau keseluruhan kertas undi.
"Kami amat, amat kecewa dengan amalan tidak adil dan tidak jujur melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya," kata Prabowo di mahkamah.
Dalam pada itu, beratus-ratus penyokong Prabowo berhimpun di luar mahkamah berkenaan yang terletak berdekatan dengan Istana Presiden di sini.
Lebih 1,500 anggota polis turut dikerahkan untuk mengawal mahkamah dan sembilan orang hakim yang mengadili kes tersebut.
Pilihan raya pada 9 Julai lalu merupakan Pilihan Raya Presiden ketiga selepas Indonesia bebas daripada cengkaman pemerintahan diktator Suharto selama 30 tahun.
Perbicaraan kes itu akan disambung semula hari ini manakala keputusannya dijangka diketahui pada 21 Ogos ini.
Keputusan Mahkamah Perlembagaan adalah muktamad di Indonesia.
Tiada rayuan boleh dibuat selepas mahkamah tersebut mengeluarkan keputusan.
Dalam pada itu, para penyokong Prabowo mengadakan tunjuk perasaan di depan pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya Indoenesia di Surabaya bagi membantah keputusan pilihan raya tersebut.
Anggota-anggota polis pencegah rusuhan kemudian menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan tersebut dengan sebahagian penyokong Prabowo dipukul. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0807&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz39f0jp2sK
Hakcipta terpelihara
Perjanjian damai Filipina-MILF rapuh
MANILA 6 Ogos - Perjanjian damai antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang ditandatangani pada Mac lalu, berada dalam kedudukan bahaya apabila kerajaan dituduh cuba memungkiri usul undang-undang kumpulan pergerakan Islam yang diberi kuasa autonomi bagi mengawal wilayah Mindanao, selatan negara ini.
Ketua perunding MILF, Mohagher Iqbal berkata, pasukan perundangan yang dilantik oleh Presiden Benigno Aquino telah melakukan perubahan terhadap usul Perlembagaan yang dibentangkan dengan memadamkan atau mengkaji semula kira-kira 70 peratus perkara yang ditulis dalam draf undang-undang Bangsamoro setebal hampir 100 muka surat itu.
Menurut Mohagher, di bawah perjanjian damai yang diusahakan dengan kerjasama kerajaan Malaysia, MILF bersetuju untuk meletak senjata dan membina semula masyarakat sebagai pertukaran kerajaan Filipina memberi kuasa pemerintahan yang lebih besar kepada kumpulan pemisah tersebut termasuk sektor ekonomi dan kemasyarakatan.
Jelasnya, perkembangan positif perjanjian damai itu semakin rapuh apabila kerajaan melanggar perjanjian awal dengan meletakkan had ke atas kuasa autonomi MILF berbanding persetujuan yang dicapai sebelum ini.
"Kami tidak boleh menerima usul yang telah diubah oleh pasukan perundangan kerajaan Filipina.
"Kami akan kehilangan maruah jika menerima usul tersebut kerana mereka (kerajaan) melupakan tujuan dan nilai sebenar perjanjian damai yang merupakan perkara asas untuk membentuk undang-undang Bangsamoro," katanya.
Kedua-dua pihak yang menandatangani perjanjian damai pada Mac lalu untuk mengakhiri konflik hampir 50 tahun di Mindanao, terpaksa mengadakan pertemuan tergempar pada minggu ini bagi menyelesaikan kemelut yang tidak dijangka dan membahayakan pencapaian terbaik Aquino itu.
Pembatalan perjanjian damai antara Filipina dan MILF berpotensi mengembalikan keganasan dan memberi kesan buruk ke atas usaha memulihkan ekonomi di Mindanao ketika pelabur dan syarikat asing termasuk sektor pertanian dan perlombongan masih menunggu lampu hijau bagi memastikan keamanan di wilayah selatan itu benar-benar terjamin.
Syarikat-syarikat besar seperti firma pemprosesan makanan, Del Monte Pacific Limited yang mempunyai ladang nenas di Mindanao, turut dilapor bersedia untuk mengembangkan operasi selepas perjanjian damai itu dimeterai. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140807/lu_07/Perjanjian-damai-Filipina-MILF-rapuh#ixzz39eZXggoJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Etnik Uighur dilarang naik bas awam
BEIJING 6 Ogos - Selepas berkali-kali berdepan sekatan mengamalkan cara hidup Islam, etnik Uighur di Xinjiang sekali lagi ditindas apabila masyarakat Islam itu dilarang menaiki bas awam di wilayah tersebut.
Menurut laporan akhbar, Karamay Daily, pihak berkuasa di Karamay melarang lelaki berjanggut panjang serta wanita memakai tudung, burka atau niqab daripada menaiki bas.
"Individu tidak mematuhi peraturan itu boleh ditahan polis," jelas akhbar berkenaan.
Peraturan baharu yang dikuatkuasakan itu mengundang kritikan banyak pihak terutamanya kumpulan hak asasi manusia.
Jurucakap Kongres Uighur Sedunia (WUC), Dilxat Raxit dalam satu kenyataan kepada AFP berkata, langkah tersebut merupakan antara sekatan diskriminasi yang telah dialami sejak sekian lama oleh etnik Uighur.
Masyarakat Uighur dilaporkan sering ditindas pihak berkuasa China termasuk dilarang berpuasa sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini.
Beijing turut menuduh etnik itu bertanggungjawab dalam beberapa serangan ganas di seluruh negara atas alasan mahu mencapai kemerdekaan untuk wilayah Xinjiang.
Pihak berkuasa di ibu negara Xinjiang, Urumqi bulan lalu melarang penumpang bas awam daripada membawa barangan seperti pemetik api dan yogurt berikutan kebimbangan berlaku serangan ganas. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140807/lu_09/Etnik-Uighur-dilarang-naik-bas-awam#ixzz39eYkvOU5
© Utusan Melayu (M) Bhd
Rusia kumpul 20,000 tentera di sempadan Ukraine
Brussels 7 Ogos - Rusia mengumpulkan kira-kira 20,000 anggota tenteranya di sempadan timur Ukraine dan akan digunakan untuk misi kemanusiaan atau pengaman, kata Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam satu kenyataan, semalam.
"Kami tidak boleh meneka apa yang (ada) di fikiran Rusia, tetapi kita boleh melihat apa yang Rusia lakukan atas alasan dan itu sangat membimbangkan. Rusia telah mengumpulkan kira-kira 20,000 tentera dan bersedia di sempadan timur Ukraine," kata jurucakap NATO, Oana Lungescu dalam satu kenyataan. - REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140807/lu_02/Rusia-kumpul-20000-tentera-di-sempadan-Ukraine#ixzz39eWoiadr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Posts (Atom)