Tuesday, August 24, 2010

Program wakaf jam digital untuk masjid


24/08/2010 10:01pm

KUALA LUMPUR – Koperasi Muslimin Malaysia Berhad (KMMB), pengedar jam digital “Al-Asr” yang memaparkan waktu semasa serta solat, mempelawa orang ramai menyertai program wakaf Al-Asr dengan membeli jam berkenaan sebelum menyerahkannya kepada masjid dan surau di seluruh negara.
Pengurus Kanan KMMB, Ahmad Jais Alias berkata, melalui program itu, mereka yang membeli jam berkenaan boleh menyatakan nama masjid atau surau dan pihak koperasi akan menguruskan penyerahannya.
“Al-Asr adalah jam digital yang memaparkan waktu semasa dan waktu-waktu solat setempat secara automatik.
"Ketepatan waktu solat yang dipaparkan adalah selaras dengan waktu yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Mufti Negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Jais berkata, program itu dapat memberi peluang kepada individu, organisasi dan badan korporat untuk beramal jariah kepada masyarakat.
Untuk keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi talian 03-40210033 atau melayari laman web www.koperasimuslimin.com.my. – Bernama

Sambutan hangat laman web sosial khusus untuk umat Islam disambut hangat


PADANG 23 Ogos - Laman web sosial Indonesia yang dikhaskan untuk komuniti Islam, CMnet mendapat sambutan menggalakkan pengguna Internet sejak dilancarkan 6 Ogos lalu.
Agensi berita Antara melaporkan, CMnet yang diakses melalui www. cybermoslem.net adalah laman web sosial pertama bagi penganut Islam di Indonesia yang menggabungkan sistem facebook dan Twitter yang digabungkan dengan sistem edited- opensource.
"CMnet sekarang mempunyai 3,700 ahli bukan saja dari Indonesia malah daripada beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, Malaysia, Hong Kong, Mesir, Kuwait dan beberapa negara Eropah yang lain," menurut pengasas CMnet, Dolla Indra, 25, di sini hari ini.
Tambahnya, laman web sosial tersebut telah dilawat sebanyak 5,894,954 kali.
Menurut Dolla, selain dari perkembangan positif tersebut, laman sosial ini turut menjadi sasaran 5,000 penggodam, malah pernah digodam sehingga tidak boleh diakses selama beberapa jam.
Dalam pada itu, Dolla berkata, pihaknya akan menambah baik sistem CMnet bagi memastikan laman itu lebih kuat dan stabil bagi mengelakkan ia diceroboh penggodam.
Dolla berharap agar pihak kerajaan akan menyokong dalam usahanya membangunkan CMnetsebagai aplikasi berasaskan laman web di Indonesia. - BERNAMA

Pelajar IPTA menangis selepasdidakwa buang bayi


MELAKA 23 Ogos - Wad Bersalin di Hospital Melaka hari ini dikejutkan dengan tangisan seorang remaja berusia 21 tahun sehingga menarik perhatian pesakit-pesakit yang mendapat rawatan di wad tersebut.
Kebanyakannya terpinga-pinga apabila mendengar pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Jasin itu menangis teresak-esak bagaikan tiada hentinya.
Keadaan meruntun jiwa itu terjadi sewaktu prosiding pendakwaan terhadap gadis tersebut yang dituduh membuang bayi, dijalankan di wad berkenaan yang sebelum itu telah diisytiharkan sebagai Mahkamah Majistret.
Pendakwaan terhadap gadis dari Permatang Duyong itu dibuat di wad tersebut berikutan tertuduh masih lagi mendapat rawatan di situ.
Tangisan tersebut turut menyebabkan pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada pelajar itu terhenti sebanyak dua kali sehingga memaksa anggota polis dan kakitangan mahkamah menenangkan tertuduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara sulit di dalam tandas perempuan Wad Kecemasan Hospital Melaka antara pukul 2.30 dan 3 pagi, 17 Ogos lalu.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.
Majistret Mohd. Fairuz Johari menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, iaitu Haslinda Abu Bakar dan Mahmoodah Abdul Latif.
Lima hari lalu, pelajar terbabit dan teman lelakinya ditahan polis ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka hingga membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan di tempat pengumpulan sampah di wad kecemasan hospital tersebut.

Berbulan lamanya untuk bentuk kerajaan Australia


SYDNEY 23 Ogos - Para pemimpin politik Australia mungkin mengambil tempoh berbulan-bulan untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya kelmarin menghasilkan Parlimen tergantung.
Namun terdapat kemungkinan lebih besar mereka dapat berbuat demikian dalam masa beberapa minggu lagi, kata pakar politik hari ini.
Australia kini diperintah oleh kerajaan sementara selepas Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Julia Gillard dan perikatan pembangkang Liberal/Kebangsaan yang diketuai Tony Abbott gagal memenangi majoriti yang jelas untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Ketika dua parti utama itu berunding dengan calon-calon bebas dan seorang calon Parti Green yang bakal memegang imbangan kuasa di Parlimen, pakar menjangka tempoh sehingga tiga bulan diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Profesor Donald Rothwell daripada Kolej Undang-Undang di Universiti Kebangsaan Australia (ANU) berkata, Parlimen mesti bersidang dalam masa 30 hari selepas suruhanjaya pilihan raya mengesahkan nama setiap calon yang memenangi kerusi tetapi suruhanjaya mempunyai tempoh sehingga 27 Oktober untuk melakukannya.
"Ini akan membolehkan Gillard menjadualkan sidang Dewan Perwakilan selewat 26 November, dengan itu memberi masa sehingga tiga bulan untuk persetujuan dicapai dengan calon-calon bebas," katanya.
Sehingga persetujuan dicapai, Gillard boleh meneruskan khidmat sebagai Perdana Menteri sementara.
Bagaimanapun Dekan Kolej Undang-Undang ANU, Profesor Michael Coper berkata, besar kemungkinan Gillard atau Abbott akan dapat memperoleh cukup sokongan di Parlimen untuk membentuk sebuah kerajaan sebelum tempoh itu.
"Ahli politik sentiasa sensitif terhadap imej mereka di mata rakyat dan kita tidak mahu menambahkan lagi rasa kecewa dengan proses politik (dengan berlengah-lengah)," katan Coper.
Seorang lagi tokoh akademik ANU, Profesor Ian McAllister bersetuju dengan pandangan itu.
"Disebabkan perkara ini membawa kesan penting ke atas pasaran, saya fikir mereka perlu mencapai penyelesaian dalam masa seminggu dua lagi," katanya. - AFP

Bersatulah menghapuskan UMNO

Orang Melayu, kembalilah bersatu’

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Sudah tiba masanya semua orang Melayu tanpa mengira ideologi politik kembali bersatu.
Ia kerana perpecahan telah menyebabkan kaum lain berani mempertikaikan setiap keistimewaan yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk berkaitan dengan Islam.
Malah, Presiden Protem Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar (gambar) berkata, orang Melayu harus sedar bahawa perpecahan yang dialami itu juga boleh menjadi penyebab kepada jatuhnya Malaysia ke tangan orang lain.
Beliau berkata, sekiranya itu yang berlaku bukan sahaja hak keistimewaan orang Melayu, bahkan segala institusi Melayu serta Islam termasuk institusi raja akan terhapus.
‘‘Adakah ini yang kita mahukan? Adakah kita mahu melihat Malaysia diperintah oleh kaum selain Melayu. Apa akan jadi kepada agama Islam, raja kita. Bagaimana pula dengan nasib anak cucu kita apabila negara diperintah oleh orang lain.
‘‘Kita harus sedar di sebalik perpecahan orang Melayu, DAP, MCA dan Gerakan pula telah menampakkan penyatuan mereka. Ini yang amat membimbangkan saya kerana tidak mustahil Malaysia akan diperintah oleh mereka,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pemimpin masyarakat Cina termasuk daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang berani menyentuh hak keistimewaan orang Melayu.
Terbaru, ucapan yang dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek ketika Kongres Ekonomi Cina Malaysia baru-baru ini yang antara lain meminta kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Kamarudin berkata, atas sebab itu juga pihak majlis telah mengadakan satu persidangan meja bulat semalam dan ia turut dihadiri oleh 136 ahli gabungannya iaitu terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.
Di dalam persidangan itu katanya, pihak majlis telah mengeluarkan satu resolusi dan antara intipatinya adalah menetapkan orang Melayu sama ada UMNO, Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau yang tidak berparti supaya kembali bersatu.
‘‘Lupakan segala pertelingkahan dan persengketaan demi survival Islam dan orang Melayu. Kita wajib mempertahankan negara daripada diperintah oleh orang lain.
‘‘Resolusi turut mengutuk orang Melayu yang sanggup diperbodohkan oleh kaum lain khasnya DAP sehingga mencemarkan kesucian agama serta menentang perlembagaan,’’ katanya.
Beliau berkata, resolusi turut mendesak kerajaan melaksanakan satu bahasa, satu budaya dan satu jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan dalam usaha merealisasikan konsep 1Malaysia.
‘‘Kita juga telah menetapkan supaya kadar 30 peratus ekuiti untuk bumiputera dinaikkan kepada 67 peratus dalam semua sektor supaya ia sejajar dengan kadar populasi 67 peratus bumiputera di negara ini,’’ katanya

MB selar pihak jual agama demi politik



TEMERLOH 23 Ogos – Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob menyelar sikap pihak tertentu yang sanggup menjual agama semata-mata untuk mencapai cita-cita politik mereka.
Beliau berkata, tindakan pihak terbabit boleh mencetuskan isu perkauman dan bibit perpecahan di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
‘‘Jika tidak ditangani segera isu penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat di beberapa masjid di Pulau Pinang baru-baru ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan umat Islam.
‘‘Perbuatan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam doa khutbah Jumaat tidak sepatutnya berlaku kerana baginda adalah ketua agama negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pengagihan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa KIMMA Pahang 2010 di Mentakab dekat sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin; Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah; Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) Syed Ibrahim Kader dan Pengerusi KIMMA Pahang, Mohd. Musa Noor Mohd.
Adnan berkata, nyata sekali pihak berkenaan tidak peka dengan sensitiviti umat Islam dan ia perlu dihentikan segera bagi mengelak berlaku pergaduhan di kalangan masyarakat Orang Melayu dan Cina.
Tambahnya, isu membabitkan soal agama tidak boleh dipandang remeh dan dipermain atau dipolitikkan.
Dalam perkembangan lain, Adnan meminta pemimpin KIMMA supaya aktif membantu ahli-ahlinya dan orang ramai yang miskin dan menghidap penyakit kronik serta memerlukan bantuan.
Katanya, ahli-ahli KIMMA perlu bersatu dan menjadi warganegara yang setia serta bersama-sama menjaga keamanan dan ketenteraman negara ini.
‘‘Pasti semua anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna bagi menjamin masa depan dan kerajaan melalui Yayasan Pahang sedia membantu pelajar yang susah, bukan sahaja anak-anak ahli KIMMA tetapi seluruh rakyat Pahang tanpa mengira kaum dan agama,” kata beliau.

Imam Mesir cetus kelainan


KOTA BHARU 23 Ogos - Kehadiran Ramadan adalah saat yang ditunggu seluruh umat Islam dengan pelbagai pihak berlumba-lumba menghidupkannya dengan sesuatu yang lebih istimewa berbanding bulan-bulan lain.
Antaranya adalah kehadiran imam-imam dari negara Arab yang dijemput memimpin solat tarawih selama sebulan dan ia kini menjadi sesuatu yang semakin lumrah di masjid seluruh negara.
Kelantan tidak ketinggalan mengikut langkah serupa apabila program Qaryah Ramadan anjuran kerajaan negeri bersama Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) turut menjemput imam-imam dari Mesir sejak 2008 lagi.
Salah seorang daripada mereka, Syeikh Ahmad Rejab, 58, berkata, tahun ini merupakan kali ketiga beliau jadi imam solat tarawih dan qiamullail di khemah di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di sini.
Beliau yang berasal dari daerah Fayyum, Mesir, dipilih oleh kerajaan negeri setelah melalui sesi saringan yang dilakukan dengan kerjasama Pengerusi Gabungan Qari-qari Mesir, Dr. Isa Miksarawi, tokoh ternama negara itu dalam bidang tilawah al-Quran.
Syeikh Ahmad yang merantau ke seluruh pelosok dunia termasuk negara-negara di benua Afrika dan Amerika setiap kali Ramadan sejak 15 tahun lalu menjelaskan, masyarakat Islam di Eropah sebenarnya menawarkan ganjaran yang lebih tinggi untuk beliau memenuhi jemputan.
Bagaimanapun, tanpa menyatakan jumlah yang diterimanya, imbuhan wang bukan menjadi kriteria utama beliau apabila mendapat tawaran dan kebelakangan ini hatinya lebih 'terikat' dengan Malaysia sejak kali pertama menjejaki negara ini.
"Di negeri ini, hati saya merasa lebih tenang dan jiwa lebih tenteram kerana keadaan masyarakat yang majoriti Islam dan tidak ada langsung tempat hiburan secara terbuka.
"Ini berlainan jika saya ke United Kingdom atau Amerika Syarikat misalnya kerana suasana maksiat menguasai kehidupan masyarakat," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Sesi pertemuan itu dibantu oleh Penolong Pengarah Pembangunan Insan, Jabatan Pembangunan Masyarakat, MPKB-BRI, Wan Mohd Sharafi Wan Mustaffa selaku salah seorang pegawai pengiring yang ditugaskan berada di samping 'imam import' sepanjang mereka di sini.
Jika dua tahun lalu dia ditemani seorang lagi qari Mesir, Syeikh Abdul Rahman Mu'nis, pada tahun ini, Syeikh Ahmad turut membawa bakat baru dari negaranya, Syeikh Ahmad Ramadhan, 48.
Mereka berdua ditempatkan di hotel penginapan berdekatan dengan lokasi Qaryah Ramadan untuk memudahkan pergerakan.
"Kami berdua bergilir-gilir menjadi imam bermula dari solat maghrib hinggalah kepada program qiamullail pada jam 3.00 pagi setiap hari di khemah itu.
"Tidak ada perasaan gentar sedikitpun pada hati kami apabila berjalan dalam kegelapan pagi kerana kami yakin dengan keselamatan dan keamanan tempat ini seolah-olah berada di kampung halaman sendiri.
"Selain tugas wajib di Qaryah Ramadan, kami memenuhi ruang masa dengan menghadiri program contohnya di masjid seluruh negeri untuk memperdengarkan bacaan al-Quran dan juga melakukan 'tahsin' atau pembetulan kepada bacaan masyarakat setempat," katanya.
Kedua-duanya datang ke Kelantan seminggu sebelum Ramadan bermula untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan orang-orang di sekeliling.
Syeikh Ahmad memberitahu, beliau menjadi hafiz pada usia 20 tahun selepas tamat peringkat diploma dalam bidang industri dan meneruskan pengajian dalam bidang qiraat atau pengajian al-Quran di Institut Qiraat Fayyum dan kini merupakan salah seorang tenaga pengajar di situ.
Menurutnya, sehingga hari ini beliau telah membaca lebih 16,000 judul buku pelbagai jurusan ilmu untuk melengkapkan dirinya sebagai seorang pendakwah.
Ramadan sebenarnya mencatat sejarah tersendiri buat Syeikh Ahmad yang pada usia 21 tahun pernah menjadi sebahagian daripada anggota tentera negaranya dalam perang Mesir-Israel pada Oktober 1973.
Katanya, perang yang bermula pada 10 Ramadan itu adalah untuk membebaskan wilayah Mesir iaitu Semenanjung Sinai yang telah diceroboh oleh Israel dan beliau bersyukur kerana hasil daripada jiwa yang terdidik dengan al-Quran telah menyemarakkan semangat jihad dalam dirinya sepanjang peperangan berlangsung ketika itu.

Bazar Ramadan dilanda ribut tidak dipindah


KUANTAN 23 Ogos - Bazar Ramadan bersebelahan padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) yang dilanda ribut semalam tidak akan dipindahkan ke tempat lain.
Pegawai Perhubungan Awam MPK, Haslinda Hassan berkata, ini kerana lokasi tersebut disediakan khas untuk bazar Ramadan dan oleh itu tujuh khemah yang dipukul ribut semalam telah pun dibaiki MPK hari ini.
"Kita tidak akan ubah kedudukan gerai bazar Ramadan itu. Jika kita ubah sekalipun, ia tetap boleh berulang jika ribut yang sama berlaku lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tujuh khemah yang menempatkan gerai roboh dipukul ribut menyebabkan seorang peniaga patah tangan manakala beberapa peniaga lain cedera ringan.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.10 petang ketika bazar tersebut dipenuhi orang ramai yang sedang membeli juadah berbuka puasa di situ.
Keadaan itu juga menyebabkan 42 daripada 190 peniaga mengalami kerugian akibat kemusnahan harta benda, barangan jualan makanan serta minuman.
Mengulas lanjut beliau berkata, kejadian tersebut merupakan satu bencana dan ia tidak dapat dijangka.
"Oleh itu saya berharap orang ramai terutama peniaga di situ jangan menuding jari kepada MPK kerana ia berlaku tanpa diduga oleh sesiapa," katanya.

Pindah segera gajah di Umas Umas - Hamisa


TAWAU 23 Ogos - Jabatan Hidupan Liar negeri dan agensi berkaitan diminta mengambil tindakan segera memindahkan gajah yang tersesat di Gugusan Felda Umas Umas di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata, kewujudan gajah di kawasan berkenaan tidak harus dibiarkan terlalu lama kerana boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman penduduk.
"Saya minta pihak berkenaan jangan melengahkan lagi dan segera memindahkan gajah berkenaan.
"Kita tidak mahu lebih banyak lagi kemusnahan dilakukan gajah berkenaan khususnya melibatkan harta benda dan tanaman penduduk.
"Malah pemindahan segera boleh mengelak tragedi melibatkan keselamatan penduduk," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, semua pihak harus memandang serius apa sahaja masalah dan isu yang melibatkan kepentingan penduduk.
Justeru katanya, segala aduan tidak harus dipandang sepi sebaliknya diberi perhatian dan tindakan segera.
Dalam pada itu, Hamisa menasihatkan penduduk kampung supaya berhati-hati bagi mengelakkan sebarang tragedi.
"Saya difahamkan gajah berkenaan telah sampai ke padang dan saya harap semua pihak berhati-hati dan mengelakkan daripada menghampiri haiwan berkenaan.
"Ibu bapa dan juga golongan dewasa perlu mengawal dan melarang kanak-kanak mendekati gajah berkenaan," katanya.

Tarawih di pekarangan stadium


Sebahagian daripada pengunjung yang menunaikan solat tarawih di pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV di Kota Bharu, malam kelmarin.


KOTA BHARU 23 Ogos - Setiap kali tibanya Ramadan, suatu pemandangan yang berbeza dapat dilihat sekitar pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV dekat sini.
Sebaik sahaja kedengaran laungan azan, umat Islam akan mula memasuki khemah yang disediakan di pekarangan stadium untuk menunaikan solat isyak, seterusnya solat sunat tarawih.
Mereka termasuklah Mohd. Hafiz Syarifudin Mohammad, 33, dari kampung Chabang Empat, Tumpat yang singgah untuk menunaikan solat isyak diikuti tarawih di khemah tersebut bersama keluarganya.
Menurutnya, walaupun jauh dari rumah, setiap kali tibanya Ramadan, dia bersama keluarga akan menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di kawasan pekarangan stadium itu.
"Setiap tahun, inilah tempat tarawih yang menjadi pilihan. Saya memilih untuk bertarawih di sini kerana suasananya yang cukup unik dan jarang terdapat di tempat lain di mana kita bersolat di tengah-tengah kawasan bandar.
"Terdapat sedikit perbezaan apabila menunaikan solat di sini, ditambah pula dengan imam yang didatangkan khas dari Asia Barat dengan bacaan yang merdu dan jelas mampu memberikan suasana seperti di tanah suci," ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Tambahnya, walaupun tidak memahami secara keseluruhan isi kandungan al-Quran yang dibacakan, gaya penyampaian imam tersebut mampu menyentuh hati setiap jemaah yang bertarawih di situ.
"Program ini cukup bagus untuk menyatukan masyarakat. Saya gembira dapat tengok kita berkumpul dan bersatu macam satu keluarga dan inilah yang dikehendaki oleh ajaran Islam," katanya.
Seorang pelajar dari Pasir Puteh, Musyahrin Che Bakar, 19, berkata pendekatan yang digunakan cukup bagus dan mampu menarik golongan muda untuk sama-sama menunaikan solat sunat tarawih tidak hanya tertumpu di masjid-masjid atau surau-surau.
"Saya lihat ramai golongan belia turut sama bertarawih di sini. Melalui program sebegini dapat menghindarkan golongan remaja daripada terjebak dan melakukan perkara yang tidak baik pada bulan suci ini.
"Selain itu, ia dapat menonjolkan kepada golongan belia bahawa solat boleh dilakukan di mana-mana sahaja asalkan kita berusaha untuk melakukannya dan ini membuktikan bahawa ajaran Islam itu sebenarnya mudah untuk diikuti jika ada keikhlasan dalam diri," ujarnya.
Jelasnya, tahun ini merupakan kali ketiga dia bertarawih di situ semata-mata untuk menghidupkan malam-malam sepanjang Ramadan dengan aktiviti yang berfaedah.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Ropien Hasan ketika dihubungi berkata, apa yang dilakukan oleh pihaknya adalah hasil cetusan idea Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, 17 tahun lalu.
Katanya, Menteri Besar sebenarnya terkesan dengan pengalaman yang beliau alami sendiri semasa melawat Sudan di mana umat Islam di sana bersembahyang di tempat terbuka sebaik tiba waktu solat, tidak kira di mana mereka berada sama ada di celah-celah kebun atau di tepi jalan.
"Sebab itu beliau mulakan Qaryah Ramadan pada 1993 dahulu di tengah bandar berhampiran stesen bas dengan mendirikan khemah-khemah terbuka untuk solat supaya rakyat sedar kewajipan bersolat tidak kira di mana berada.
"Namun perkembangan hari ini dengan ramai pihak yang mahu menghulurkan sumbangan membolehkan pula khemah yang lebih selesa disediakan, kita tidak nafikan niat baik mereka cuma kita mahu kembali kepada objektif awal yang sebenar," ujarnya.
Ropien memberitahu, pihaknya mungkin akan mengubah semula konsep Qaryah Ramadan pada masa akan datang kerana konsep khemah tertutup yang dilengkapi pendingin hawa seperti hari ini sebenarnya sedikit tersasar daripada hasrat awal pelaksanaannya.
Beliau berkata, objektif Qaryah Ramadan adalah sebagai medium dakwah kepada seluruh masyarakat agar Islam dilihat sebagai agama yang tidak menyempitkan ruang dan peluang untuk beribadat.
"Lokasi Qaryah Ramadan yang dipindahkan ke pekarangan Stadium Sultan Muhammed IV sejak 2006 mampu menarik antara 2,000 hingga 3,000 jemaah yang menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih setiap malam.
"Dengan adanya kemudahan sebegitu, seluruh masyarakat dapat melihat sendiri kaedah beribadat dalam Islam tanpa sebarang halangan.
''Ini syiar yang kita mahu sebarkan dan dalam masa yang sama menjadi pendorong kepada mereka yang belum datang untuk merasai suasana yang berbeza menunaikan solat di khemah Qaryah Ramadan," jelasnya

Melombong pasir laut tanpa permit


ALOR GAJAH 23 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang berpangkalan di Kuala Linggi di sini menahan dua buah kapal yang sedang melombong pasir laut tanpa permit di perairan di sini semalam.
Kedua-dua kapal ditahan oleh penguat kuasa Maritim Daerah Kuala Linggi kira-kira pukul 2.30 pagi selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam.
Ketua Penguat Kuasanya, Ibrahim Mohamad berkata, kedua-dua kapal jenis ‘Sand Pump Barge’ itu ditahan ketika sedang melombong pasir kira-kira tiga batu nautika dari Pulau Upeh.
“Setelah pemeriksaan dijalankan, kita dapati mereka tidak mempunyai dokumen dan permit kelulusan untuk melombong pasir laut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua kapal yang ditahan itu bernama ‘Cathay SP 1’ dan ‘Cathay SP 2’ adalah milik sebuah syarikat yang kini membuat kerja-kerja penambakan laut di Pantai Klebang di sini.
Sehubungan itu katanya, kapal terbabit kini ditahan untuk siasatan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 (Semakan 1972).
Ujarnya, kes itu kini diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian negeri untuk tindakan selanjutnya.

Hubungan Azmin-Anwar perlu diperjelas


KUALA LUMPUR 23 Ogos - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu membuktikan beliau bukan boneka, dengan menjelaskan mengapa naib presiden parti itu, Azmin Ali, begitu diberi keistimewaan oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, selain itu, Wan Azizah juga perlu menjelaskan bentuk hubungan istimewa yang terjalin antara Naib Presiden PKR tersebut dengan suaminya, sehingga ketua pembangkang itu sanggup melebihkan Azmin dalam apa jua keadaan.
"Wan Azizah perlu tampil menjelaskan semua dakwaan ini dan bukannya mengambil sikap membisu. Ini kerana isu yang mengatakan beliau seorang boneka sudah menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat dan juga penyokong PKR.
"Selaku Presiden, Wan Azizah perlu menjelaskan apakah bentuk hubungan istimewa yang terjalin antara Anwar dengan Azmin sehingga beliau sendiri kelihatan dipinggirkan oleh suaminya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gesaan bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak supaya Wan Azizah tampil menjelaskan pelbagai tohmahan berkait dakwaan yang mengatakan Anwar terlalu memberi keistimewaan kepada Azmin hingga menjadikan Ahli Parlimen Gombak itu sangat berkuasa melebihi presiden.
Sebelum ini, bekas rakan baik Anwar, Datuk S. Nallakarupan turut mempersoalkan mengapa Penasihat PKR itu dan Wan Azizah takut hendak menjawab tentang kedudukan istimewa Azmin walaupun dicabar berulang kali.
Mengulas lanjut, Anuar mendakwa, beliau pelik apabila melihat ketua pembangkang itu terlalu prihatin terhadap Azmin berbanding individu lain yang menyokong perjuangan PKR termasuklah ahli keluarganya sendiri.
"Pernah dalam satu insiden pada 1996 sewaktu Anwar menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau gelisah apabila Azmin (setiausaha sulit bagi Timbalan Perdana Menteri) tidak hadir ke pejabat sedangkan jika kakitangan lain, beliau tidak ambil kisah.
"Manakala pada satu insiden yang lain pula iaitu pada 1997 di Mauritius semasa mesyuarat Menteri Kewangan Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), Anwar begitu terganggu sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada ucapannya hanya disebabkan Azmin 'merajuk'," dakwanya.
Menurut beliau, kemampuan Azmin mempengaruhi tindak-tanduk dan perasaan Anwar membuktikan Naib Presiden PKR itu mempunyai 'tangan ghaib' yang sangat berkuasa melebihi kuasa yang dimiliki oleh Wan Azizah selaku presiden parti.
"Persoalannya apa dia tangan ghaib yang membolehkan Azmin mengikat Anwar? Ini yang perlu dijawab oleh Wan Azizah jika benar beliau bukan seorang boneka dalam PKR," katanya

10 keluarga Orang Asli pertama kali jalani ibadah puasa


MEHAT a/l Ubaidillah (tiga dari kanan) bersama keluarga sedang menghadapi juadah berbuka puasa di Kampung Orang Temetong, Kuala Lipis, baru-baru ini.


KUALA LIPIS 23 Ogos - Kehadiran bulan Ramadan tahun ini begitu bermakna bagi 10 keluarga Orang Asli di Kampung Nyentil, Pos Betau, dekat sini kerana pertama kali menunaikan ibadat puasa yang merupakan salah satu rukun Islam.
Sebagaimana masyarakat Melayu Islam, kaum minoriti itu 'sibuk' mengisi kedatangan bulan mulia ini dengan menunaikan solat tarawih dan bertadarus secara berjemaah.
Bagi kebanyakan saudara baru dari kaum minoriti suku Semai di Pos Betau yang memeluk Islam hampir setahun lalu, kedatangan Ramadan bukanlah suatu beban malah ia sentiasa dinanti-nantikan.
Sambil memanjat syukur terhadap segala nikmat yang diperoleh, mereka berterima kasih kepada kerajaan negeri dan badan-badan dakwah yang selama ini banyak memberi didikan dan asuhan berhubung cara hidup Islam.
Penduduk Orang Asli Islam Simoi Baru, Sam a/l Bah Kap, 40, berkata, ibadah puasa yang dijalani buat pertama kali menguji keimanannya.
"Walaupun sedikit kesulitan untuk membiasakan dengan amalan ini (puasa), saya tetap menempuhnya sesuai dengan ajaran Islam mewajibkan kita menunaikan rukun Islam itu.
"Insya-Allah, amalan puasa dapat menguatkan lagi keinsafan dan kesedaran saya serta keluarga dan berdoa supaya rakan lain yang belum memeluk Islam menerima hidayah Allah tidak lama lagi," katanya di Kampung Simoi Baru dekat sini, baru-baru ini.
Seorang suri rumah, Norizan a/p Bah Lipat, 37, berkata, amalan berpuasa banyak menginsafkan diri dan keluarganya terhadap kebesaran Islam khususnya mendidik diri sebagai Muslim sejati.
"Meskipun hidup susah, saya mampu mendidik anak-anak supaya lebih dekat dengan amalan ini serta memohon keberkatan hidup pada masa akan datang," katanya.
Rakannya, Norhayati a/p Tom, 24, berkata, kehadiran Ramadan merupakan detik yang paling bermakna untuk menginsafkan diri dan berpeluang melakukan sembahyang tarawih serta bertadarus pada sebelah malamnya.
"Kami Orang Asli tidaklah mampu berbelanja lebih untuk menyediakan pelbagai juadah seperti orang Melayu di tempat lain.
"Namun apa yang menggembirakan pada Ramadan ini, kami berkumpul beramai-ramai untuk berbuka puasa sambil menikmati makanan yang dibawa," katanya.
Ibu dua orang cahaya mata itu memberitahu, dia hanya menyediakan makanan ala kadar untuk juadah berbuka puasa seperti kuih-muih, nasi dan lauk kerana tidak mampu berbelanja berlebihan.
Seorang lagi saudara baru Islam Kampung Nyentil, Roslan a/l Bah Train, 27, berkata, kedatangan bulan mulia itu memberi kesempatan kepadanya untuk mendapat bimbingan seorang guru agama bertauliah bagi mendidiknya bersembahyang dan tadarus al-Quran.
"Inilah saat bagi saya setelah memeluk Islam untuk memohon keredaan Allah dan berdoa agar Orang Asli di tempat lain juga menerima sinar Islam," katanya.
Belia Kampung Nyentil, Farizul Shariff, 22, berkata, walaupun penat bekerja di ladang tetapi ia tidak menghalangnya untuk melaksanakan rukun Islam ketiga itu.
"Kami banyak menghabiskan waktu malam di surau untuk beribadat dan mengaji al-Quran menerusi bimbingan guru agama yang dilantik oleh kerajaan," katanya.
Dalam pada itu, Tok Batin Orang Asli Kampung Temetong, Mehat a/l Ubaidillah, 51, berkata, amalan berpuasa memang satu kewajipan dan masyarakat Bateq di kampung itu tidak menghadapi kesukaran untuk melaksanakannya.
"Islam memberi sinar kehidupan kepada kami tentang bagaimana mencari rezeki yang halal tanpa bergantung dengan orang lain dan mengubah cara hidup berpindah randah yang diamalkan sebelum ini," katanya.

Pesawah kecewa potongan tinggi


Sebahagian petani berbincang mengenai pemotongan berat padi yang tinggi mencecah 30 kilogram bagi setiap 100 kilogram di Bukit Raya, Pendang, Kedah, semalam.


PENDANG 23 Ogos – Pesawah di sekitar Bukit Raya di sini kecewa apabila mendapati hasil padi yang dijual kepada Syarikat Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) pada musim ini dikenakan potongan yang tinggi sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.
Mereka yang ditemui hari ini mendakwa, kilang Bernas di sini mengenakan potongan antara 25 hingga 30 kilogram minimum bagi setiap 100 kilogram padi yang dihantar ke situ.
Menurut mereka, potongan itu jauh lebih tinggi daripada dikenakan kilang padi milik swasta di kawasan berkenaan iaitu sebanyak 17 kilogram sahaja.
Seorang petani, Abdullah Shamsudin, 47, berkata, sebagai seorang pelanggan setia Bernas, dia kesal dengan keadaan itu terutama apabila dibandingkan dengan kadar potongan kilang padi swasta yang lebih rendah.
Menurutnya, sesetengah kawasan sawah padi berhampiran Bukit Raya telah pun dituai sejak beberapa minggu lalu manakala lain-lain sawah pula dijangka dalam tempoh terdekat.
“Bernas perlu mengambil kira nasib petani, lebih-lebih lagi yang setia menghantar hasil padi mereka ke situ pada setiap musim.
“Syarikat itu perlu mengkaji semula potongan yang dikenakan ke atas hasil padi petani kerana nampak benar perbezaan dengan potongan yang dikenakan oleh kilang swasta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam perbincangan antara wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA); pengilang-pengilang beras bumiputera dan swasta di seluruh Kedah; Syarikat Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) dan Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara pada 9 Ogos lalu, harga padi bagi musim ini ditetapkan pada kadar RM1,050 satu tan metrik.
Seorang lagi petani, Omar Abdullah, 70, berkata, masalah potongan terlalu tinggi menekan petani di sini memandangkan kebanyakan mereka mengusahakan padi secara kecil dan pendapatannya tidak seberapa.
Katanya, petani terpaksa menampung kos pengeluaran seperti racun yang semakin meningkat dan kenaikan kos sara hidup.
“Dalam keadaan kos untuk mengusahakan bendang yang semakin meningkat, keadaan ini pula yang berlaku. Fikirkanlah mengenai nasib kami,” katanya.
Rakannya, Mohd. Rodzi Ishak, 47, pula meminta kerajaan campur tangan menyelesaikan masalah potongan tersebut kerana ia menyebabkan kehidupan petani semakin terhimpit.
Dia juga memohon kerajaan mengembalikan sistem pengagihan benih padi kepada Jabatan Pertanian kerana mendakwa benih yang dikeluarkan jabatan itu lebih bermutu.

Pasangan bisu, 4 anak dapat perhatian


Hasan Rahman (kiri) bersama Abdul Aziz Hashim yang bisu (tiga dari kiri) dan keluarganya, membaca doa makan sebelum bersahur pada Program Jom Sahur di Kampung Parit Putat, Sg. Rambai, Jasin, Melaka, malam kelmarin.


JASIN 23 Ogos - Seperti tahun sebelumnya, pasangan suami isteri bisu, Abdul Aziz Hashim, 53, dan Nazura Kariman, 38, bersama empat orang anaknya akan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan sederhana.
Tidak ada sebarang persiapan rapi dibuat menjelang ketibaan Syawal melainkan kuih raya yang dibuat untuk dihidangkan kepada orang yang sudi singgah di rumahnya di Batu 21 Kampung Parit Putat, Sungai Rambai di sini.
Kesempitan hidup kerana pendapatan pasangan suami isteri itu yang bekerja sebagai tukang kebun dan tukang sapu sebanyak RM400 tidak membolehkan mereka berbelanja besar.
Biarpun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sebanyak RM600 setiap bulan, pasangan itu tetap mahu menjalani sambutan Aidilfitri dalam suasana yang sederhana.
Buat keempat-empat orang anaknya terdiri daripada Mohd. Fauzan, 16, Mohd. Faiz, 11, Mohd. Fauzi, 10, dan Mohd. Fitri, 6, mereka sekadar memakai baju Melayu dan baju raya yang dibeli tahun lalu.
Bagaimanapun, daripada empat anak pasangan itu, hanya anak kedua iaitu Mohd. Faiz, 11, mengalami kecacatan pendengaran seperti ibu bapanya.
Menurut Mohd. Fauzan, dia dan tiga lagi adiknya tidak kisah menyambut Aidilfitri tanpa memakai baju raya ataupun kasut baru seperti yang dinikmati remaja seusianya.
''Kami empat beradik akan pakai baju raya dan baju Melayu yang ayah beli tahun lalu. Masih elok dan boleh dipakai dan kami tak kisah sangat.
''Saya sedar kehidupan kami sekeluarga tidak mewah seperti orang lain. Pendapatan ayah dan emak sekadar cukup-cukup makan, cukuplah buat yang sederhana," katanya ketika ditemui pada Program Jom Sahur di Kampung Parit Putat, Sg. Rambai di sini malam tadi.
Program itu adalah anjuran Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan DUN (Japerun) Sungai Rambai diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Hasan Rahman.
Pada lawatan yang disertai kira-kira 40 penduduk kampung termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Kelab Sukarelawan Sahabat Belia Melaka turut menyumbang barangan keperluan harian dan duit raya.
Fauzan yang menuntut di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai berkata, ibu dan ayahnya hanya akan membeli langsir baru dan membuat kuih raya.
Katanya, walaupun tidak ada persiapan rapi seperti yang dilakukan oleh keluarga lain tetapi mereka sekeluarga tetap gembira menyambut Aidilfitri nanti.
''Sambutan ini seperti juga tahun lalu tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang. Jika ada pihak hulur sumbangan kami menerima dengan tangan terbuka," katanya.

Bangang repot polis

Laporan polis terhadap Nurul Izzah

Mohd. Zahid Md. Arip menunjukkan laporan polis tentang kenyataan Nurul Izzah yang salah terhadap aset Tentera Laut Diraja Malaysia di Balai Polis Tun H. S. Lee, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 23 Ogos - Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd. Zahid Md. Arip hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung kenyataannya yang memperlekehkan kemampuan pasukan keselamatan negara dan kerajaan Malaysia kepada media asing baru-baru ini.
Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Tun H.S Lee di sini pada pukul 12.30 tengah hari.
Mohd. Zahid ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, Nurul Izzah dalam wawancara bersama akhbar Harian Kompas di Indonesia pada 4 Ogos lalu telah mempertikaikan kemampuan operasi kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman.
Katanya, selain itu, Nurul Izzah juga turut melakukan pembohongan besar tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan mempersendakan pelan ekonomi yang telah membangunkan negara selama ini.
Sehubungan itu, kata Mohd.Zahid, pihaknya meminta polis menyiasat tindakan Nurul Izzah yang tergamak 'melacurkan' keselamatan negara demi meraih simpati politik untuk kepentingan keluarganya.
"Ia memberi gambaran buruk dan menjejaskan imej Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Seperti yang telah dimaklumkan media tempatan kapal selam dimiliki negara itu telah melakukan beberapa siri ujian termasuk mengebom dan ia berjalan lancar.
"Dengan pembohongan yang telah dilakukan Nurul Izzah kita bimbang pihak luar cuba menyerang negara dan merosakkan keselamatan negara.
"Dengan tindakan tersebut saya tidak nampak semangat patriotik dalam diri Nurul Izzah sebagai ahli parlimen yang perlu memperjuangkan hak rakyat dan negara," ujarnya.

Diami pondok buruk bersama 9 anak


BATU PAHAT 23 Ogos - Ujian paling getir dalam bulan Ramadan.
Itu yang dihadapi seorang suri rumah Salidah Selamat, 39, yang kematian anaknya, Shahidan Hashim, 12, dalam kemalangan ngeri apabila motosikal ditunggang mangsa berlanggar dengan lori, Khamis lalu.
Lebih menyedihkan, dia yang hidup dalam serba kedaifan berkemungkinan berdepan hukuman penjara jika didapati bersalah membenarkan anaknya yang tidak mempunyai lesen dan masih di bawah umur untuk menunggang motosikal.
Tinjauan Utusan Malaysia ke rumah ibu malang yang mempunyai sembilan anak termasuk Allahyarham itu mendapati, keadaan hidup wanita itu bersama lapan anak yang lain sungguh menyedihkan.
Wanita itu tinggal di dalam pondok kecil tanpa dinding, hanya bilik tidur yang sempit ditutup dengan kain, manakala di luar bilik itu, ada dapur kecil yang sangat daif untuk mereka sekeluarga.
Salidah memberitahu, dia, suami dan dua anaknya tidur di pondok buruk itu, manakala Allahyarham bersama adik yang lain tidur di rumah ayahnya yang terletak bersebelahan.
Ini kerana pondok kecil beratap zink itu tidak kukuh dan hanya menanti masa untuk rebah tidak dapat menampung kesemua ahli keluarganya.
"Bukan tak nak pindah semuanya ke rumah ayah. Tetapi anak saya ramai, malah di rumah ayah yang kecil pun sudah ada adik bersama keluarganya menumpang di situ," katanya ketika ditemui di Kampung Sri Desa, Ayer Hitam dekat sini, baru-baru ini.
Salidah berkata, pondok serba daif itu dibina oleh ayahnya dan mereka tinggal di situ kira-kira setahun lalu.
Lebih menyedihkan, suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya seorang anak perempuannya yang bekerja di kedai bunga dengan pendapatan bulanan RM300.
Dia mengakui keluarganya ada menerima bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun sumbangan itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupan mereka.
Ditanya mengenai kemalangan yang meragut nyawa Shahidan yang lebih mesra dengan panggilan Mamat, Salidah berkata, memang dia tidak membenarkan mangsa menunggang motosikal walaupun sering dipujuk dan dipaksa oleh mangsa.
"Mak kedekut, tak bagi Mamat naik motor. Itu yang selalu dia cakap apabila saya tak bagi dia naik motosikal," katanya.
Bagaimanapun, pada hari kejadian dia tidak menyangka Allahyarham sanggup menunggang motosikal ke sekolah tanpa pengetahuannya.
Allahyarham merupakan murid tahun enam di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam dan bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.
Akhbar baru-baru ini melaporkan mangsa maut setelah berlanggar dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 91 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam kira-kira pukul 12.30 tengah hari, Khamis lalu.
Ketua Trafik Daerah Kluang, Asisten Supritendan Razali Mohamed dilaporkan berkata, punca nahas itu masih dalam siasatan.
Beliau turut menyatakan, pemilik motosikal atau ibu bapa mangsa juga akan disiasat kerana membenarkan mangsa yang tidak mempunyai lesen dan berusia di bawah 16 tahun menunggang motosikal.
Siasatan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Zakaria dipanggil beri keterangan

BUKIT MERTAJAM 23 Ogos - Khatib Zakaria Ahmad yang dikaitkan dengan isu penggunaan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat di beberapa masjid di negeri ini mengesahkan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung isu tersebut.
Zakaria memberitahu, pihak polis telah menghubunginya hari ini dan memintanya hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes berkenaan tetapi ditangguhkan kerana dia tidak berada di negeri ini.
''Saya diberitahu ia ditangguhkan dulu setidak-tidaknya untuk beri keselesaan kepada saya yang tidak menetap di Pulau Pinang. Saya dimaklumkan polis sendiri mungkin datang ke rumah untuk ambil keterangan pada bila-bila masa," katanya ketika dihubungi di Manjung, Perak hari ini.
Khatib itu mendapat perhatian umum berikutan pendedahan UMNO negeri berhubung penggunaan nama Guan Eng menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam doa khutbah solat Jumaat di beberapa masjid termasuk di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong baru-baru ini.
Zakaria yang juga ahli Pas Perak mengakui ada melafazkan doa untuk Guan Eng tetapi menegaskan tidak pernah mendoakan keselamatannya sebaliknya memohon supaya Guan Eng diberikan hidayah memeluk agama Islam.
Ditanya sama ada isu itu memberi tekanan kepadanya, Zakaria berkata, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama memberi keterangan kepada polis kerana percaya tidak ada apa yang perlu disembunyikan.
''Saya tiada masalah, polis nak kita bantu (siasatan) jadi kita kena bantulah, saya masih tunggu lagi kerana mereka (polis) kata mungkin mereka nak datang sendiri ambil keterangan dalam masa terdekat ini," tambahnya.
Zakaria yang juga lulusan Universiti Al-Azhar bagaimanapun meminta semua pihak berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung isu tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.
''Polis pun dah kata nak siasat, tidak perlulah keluarkan lagi kenyataan yang boleh menjejaskan nama baik orang lain. Cukup-cukuplah isu ini dipolitikkan," ujarnya.
Sementara itu, khatib itu akan memberi penjelasan kepada pihak berkuasa agama negeri berhubung perkara itu esok.
Zakaria akan memberi penjelasan kepada barisan panel yang dibarisi oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Ellias Zakaria, Pengarah Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Sazali Hussein dan Pegawai Pentadbir Agama Daerah di JHEAIPP.
Ellias berkata, pihaknya sudah mengumpulkan segala maklumat yang diperlukan, namun sehingga hari ini MAIPP dan JHEAIPP tidak dapat menentukan ayat sebenar yang digunakan Zakaria dalam khutbah tersebut.
''Alhamdulillah, individu yang dilibatkan itu juga telah membuat pengakuan bahawa beliau yang membaca doa yang disebut itu dan bagi pihak kami pula akan mendengar penjelasannya esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ditanya adakah wujud arahan bahawa nama Yang di-Pertuan Agong perlu disebut dalam khutbah solat Jumaat, beliau menjawab, dalam penyampaian khutbah di negeri ini, Perkara 6 (Panduan Mendirikan Solat Jumaat) yang dikeluarkan JHEAIPP ada mengatakan dua nama perlu disebut.
''Selain menghormati rukun khutbah, kuasa hal ehwal agama Islam adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong, maka nama Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas perlu disebut," ujarnya.

Sambung kontrak Musa Hassan – NGOK


PUTRAJAYA 23 Ogos – Kontrak Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang akan tamat bulan depan perlu disambung kerana ketokohan dan personaliti beliau dalam memimpin pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amat meyakinkan.
Setiausaha Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd. Jurit Ramli berkata, ketegasan Musa juga berjaya meletakkan suasana politik negara berada dalam keadaan stabil ekoran kecekapan sistem perisikan PDRM menghalang para penentang kerajaan yang agak ekstrem.
Katanya, melihat kepada senario politik semasa, negara perlu mempunyai seorang Ketua Polis yang berkebolehan dan berkemampuan seperti Musa kerana bersungguh- sungguh memastikan kestabilan politik dan ketenteraman awam yang diperintah kerajaan tidak tergugat.
“Ketokohan dan personaliti Musa pada masa ini tiada tandingannya, kecergasan dan kesihatannya yang baik memenuhi kriteria seperti dikehendaki pasukan keselamatan itu.
“Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa beliau mempunyai aura tersendiri yang boleh bertahan sebagai ketua yang digeruni oleh penjenayah, dihormati dan disegani oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Justeru, katanya, kajian rambang ke atas responden yang juga ahli-ahli Gabungan NGO mendapati hampir kesemuanya berpuas hati dengan peranan PDRM memerangi jenayah sambil menyifatkan Musa sebagai tonggak kecemerlangannya.
“Menurut mereka, Musa telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang selain komitmen tinggi beliau membawa perubahan kepada organisasi itu ke arah yang lebih baik dan berintegriti.
“Dalam menghadapi keadaan keselamatan dan ketenteraman awam yang tidak menentu dan trend jenayah yang sofistikated, orang ramai, kakitangan kerajaan, swasta dan NGO memuji kecekapan dan ketangkasan polis dalam memerangi penjenayah,” ujarnya.

Ada pihak cuba timbulkan kekacauan?


KUALA LUMPUR 23 Ogos - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan terdapat usaha pihak tertentu untuk menimbulkan kekacauan di negara ini melalui isu perkauman dan agama.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, meskipun tiada laporan berlaku sebarang ketegangan ketika ini, namun pihaknya menyedari kemungkinan perkara itu berlaku dan beliau telah mengarahkan polis untuk mengambil tindakan awal bagi menghalang masalah itu daripada terus berkembang.
"Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang baru atau 'unik' kerana kita pernah menghadapi keadaan seperti ini sewaktu gereja dibakar dan masjid dicemari. Pihak berkuasa sudah tunjukkan bahawa kita mengambil tindakan tegas. Cuma, dalam siasatan kita perlu pastikan tiada pihak teraniaya.
''Saya percaya matlamat dan tujuan jahat ini tidak akan berkesan kerana pihak berkuasa mampu memastikan keadaan terjamin dengan rakyat berasa selesa dan pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan," katanya pada majlis berbuka puasa dan penyerahan bantuan kepada 30 anak yatim dan balu-balu bekas polis di Selangor, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai kejadian surau baru di Taman Pulai Impian, Seremban disimbah dengan cat merah awal pagi ini.
Mengenai laporan polis yang dibuat beberapa pihak terhadap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar beliau menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat individu tertentu melakukan sesuatu yang menjejaskan keselamatan dan keamanan di negara ini.
"Tetapi yang memburuk-burukkan Malaysia di negara luar tidak ramai. Mereka hanya melakukan perkara itu dalam kelompok masing-masing. Kalau kita hendak ambil tindakan kepada empat atau lima orang ini, saya rasa kita banyak kerja lain.
"Bukan saya menidakkan kepentingan isu ini, tetapi berdasarkan keutamaan kita perlu tahu perkara yang paling menjejaskan orang ramai dan memerlukan pembelaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, katanya, Polis Terengganu sudah memperoleh beberapa petunjuk untuk menyelesaikan kes rumah tinggal yang dijadikan stor simpanan mercun meletup dan mengorbankan seorang budak lelaki berusia enam tahun semalam.
"Saya minta polis Terengganu kalau sudah cukup bukti, bawa mereka yang terlibat ke mahkamah secepat mungkin. Saya minta mereka agar siasat dengan bersungguh-sungguh," katanya.