Showing posts with label buang bayi. Show all posts
Showing posts with label buang bayi. Show all posts

Thursday, June 2, 2011

Bayi baru lahir mati dicampak




Polis mengangkat mayat bayi yang ditemui mati dicampak dari tingkat tinggi Pangsapuri Sentul Utara, Sentul, tengah malam semalam.


KUALA LUMPUR 1 Jun - Seorang wanita terkejut apabila kenderaan dipandunya nyaris melanggar mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai dicampak dari tingkat tinggi Pangsapuri Sentul Utara di sini, tengah malam tadi.
Wanita berusia lingkungan 40-an itu sedang mencari tempat letak kereta terkejut apabila ternampak satu bungkusan plastik merah yang pada mulanya disangkakan anak patung.
Namun, apabila diperiksa, bungkusan plastik itu berisi mayat seorang bayi lelaki yang baru lahir dengan kepalanya telah pecah.
Terkejut dengan penemuan itu, wanita berkenaan segera memaklumkan kejadian tersebut kepada jirannya yang kemudian menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan memberitahu, dalam kejadian pukul 12 tengah malam, pihak polis yang menerima maklumat mengenai penemuan itu bergegas ke tempat kejadian.
Katanya, sebaik sahaja tiba, polis melakukan pemeriksaan menyeluruh dan turut menemui uri bayi itu di dalam bungkusan plastik tersebut.
"Polis percaya, individu yang mencampak bayi tersebut mahu membuang bayi itu dari tingkat tinggi pangsapuri terus ke dalam sebuah tong sampah.
"Ini kerana tempat pembuangan sampah pangsapuri itu hanya terletak kira-kira tiga meter dari tempat bayi malang itu ditemui," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Pangsapuri itu mempunyai beberapa buah blok dengan ketinggian 16 tingkat.
Polis, menurut beliau, sedang mengesan pelaku jenayah kejam itu namun ketika ini, belum ada tangkapan dilakukan.
Beliau berkata, siasatan turut menjurus kepada sama ada bayi itu telah mati sebelum dicampak atau meninggal dunia akibat kecederaan selepas dibuang dari tingkat tinggi.
Mayat bayi itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, seorang saksi, Amirun Sharubaini, 23, berkata, dia dimaklumkan oleh jiran mengenai kejadian itu dan ternampak mayat bayi tersebut di kawasan lapang kediaman berkenaan.
Katanya, ketika menghampiri mayat itu, dia nampak bayi berkenaan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan pecah di tempurung kepala.
"Keadaan mayat bayi itu amat menyedihkan. Saya dimaklumkan yang bayi itu baru dilahirkan," katanya ketika datang ke pejabat Utusan Malaysia di Shah Alam, Selangor hari ini.
Amirun yang tinggal di pangsapuri itu sejak 1996 berkata, pihak polis tiba di tempat kejadian tidak lama kemudian untuk memeriksa mayat bayi berkenaan.
Utusan Malaysia Online - Jenayah

Saturday, May 21, 2011

Mayat bayi dalam plastik

PASURUAN (Indonesia): Mayat seorang bayi ditemui di pinggir jalan di Desa Raci, Kecamatan Bangil, Kabupaten Pasuruan, semalam.
Bayi yang dipercayai lahir hasil daripada hubungan tanpa ikatan perkahwinan itu mungkin sengaja dibuang.

Bayi malang itu ditemui seorang penduduk, Arianto ketika pulang dari tempat kerja. Dia menjumpai bayi itu dalam kain sarung yang dimasukkan dalam plastik merah.

“Saya terlihat bungkusan plastik merah di pinggir jalan dan tertanya-tanya apakah isi di dalamnya. Saya mengambil bungkusan plastik itu dan membukanya. Saya cukup terkejut kerana mendapati ada jari bayi yang sudah mulai busuk,” katanya.

Dia kemudian memberitahu hal itu kepada penduduk desa sebelum mereka melaporkannya kepada polis.

Berdasarkan hasil bedah siasat, bayi yang berusia tiga hari itu adalah perempuan dan seberat 3.5 kilogram. Ketika ditemui, tubuhnya sudah berulat tetapi tali pusat masih melekat di perutnya. - JP

Saturday, May 14, 2011

Orphan Care selamat 30 bayi


PETALING JAYA: Setiap bulan, dianggarkan sebanyak lapan hingga sembilan kes pembuangan bayi kebanyakannya anak luar nikah dilaporkan kepada pihak berkuasa di seluruh negara. 


Laporan dikeluarkan pertubuhan amal, Orphan Care yang memetik statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyebut, bayi terbabit bukan saja dibuang di lokasi awam, tempat pengumpulan sampah dan sungai malah ditanam hidup-hidup.
Presiden Orphan Care, Tan Sri Faizah Mohd Tahir berkata, sejak ditubuhkan setahun lalu, organisasi itu menyelamatkan 30 bayi yang tidak mahu dipelihara ibu bapa selepas dilahirkan.
“Objektif pertubuhan ini bukannya memberi perlindungan jangka panjang kepada bayi tetapi lebih kepada menjadi ‘orang tengah’. Kami akan menerima atau mencari bayi tidak ingin dipelihara keluarga asal sebelum menyerahkannya kepada keluarga angkat yang berminat dan layak. 

“Sambutan daripada pasangan suami isteri amat menggalakkan iaitu dalam tempoh setahun, 600 pasangan datang ke pejabat atau menghubungi kami untuk mendapatkan bayi angkat,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Faizah berkata, Orphan Care tidak mengenakan sebarang bayaran bagi urusan pengambilan anak angkat, tetapi keluarga angkat perlu membayar kos bersalin ibu bayi terbabit. 

Pada sidang media itu, beliau turut mengumumkan penganjuran majlis makan malam ulang tahun pertama Oprhan Care’s Baby Hatch dan kutipan dana, Sabtu depan. 
Faizah berkata, majlis yang akan dianjurkan di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur itu bertujuan meraikan genap setahun penubuhan Orphan Care selain mengutip dana membiayai kos mencetak risalah, menganjurkan program serta aktiviti kemasyarakatan. 

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-78761900 atau menelefon Azra di talian 016-2094500 dan Kimi (012-3058802). -bharian

Tuesday, February 15, 2011

Tanam mayat anak baru lahir di belakang rumah



KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima mereka yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara, di sini, tengah hari kelmarin.Kejadian sekitar 1.45 tengah hari itu disedari seorang jiran selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan mahu menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.Jiran pasangan itu, Encik Mohd Ashaari Ulong, 56 tahun, berkata beliau mengesyaki sesuatu apabila jirannya tiba-tiba ingin meminjam cangkul dan menanam uri sedangkan bayinya telah lahir lebih seminggu lalu.'Pada masa sama, saya tidak pernah mendengar tangisan bayi dari rumah jiran saya itu walaupun saya tahu isteri jiran saya sudah melahirkan anak,' kata beliau ketika ditemui, kelmarin.Berikutan rasa waswas itu, Encik Mohd Ashaari enggan meminjamkan cangkulnya.'Saya meminta anak buah saya meninjau kawasan rumah lelaki itu dan diberitahu ada kesan timbusan tanah di belakang rumahnya. Mungkin ada sesuatu ditanam, jadi saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu dan sepasukan polis tiba untuk menyiasat. Saya terkejut apabila polis menemui mayat bayi lelaki ditanam dalam lubang itu,' katanya.Menurut sumber, mayat bayi itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.Berikutan itu, pasangan terbabit, yang berusia 40-an, ditahan bagi siasatan lanjut. Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintenden Zainuddin Ahmad, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu. -- Harian Metro.Cyberita Online Luar Negara

Thursday, February 10, 2011

Kejam! Kejam! Kejam!

KUALA LUMPUR: Jika angka dijadikan ukuran nilai kemanusiaan, rakyat negara ini boleh dianggap kejam kerana statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sejumlah 517 bayi dibuang di seluruh negara sejak enam tahun lalu.
Kebanyakan kes buang bayi dilakukan individu terutama gadis yang bimbang maksiat terbongkar selain tiada tempat mengadu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, berdasarkan perangkaan, seramai 203 mangsa dikenal pasti sebagai bayi lelaki manakala 164 bayi perempuan. “Bagaimanapun, 150 kes lagi gagal dikenal pasti jantina berikutan keadaan bayi tidak cukup sifat atau hanya penemuan janin. “Malah, ada juga mayat bayi sudah reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan.

“Daripada jumlah itu juga seramai 230 bayi ditemui masih hidup manakala 287 sudah meninggal dunia. Tahun 2008 mencatatkan jumlah pembuangan bayi teramai membabitkan 102 kes.

“Statistik ini agak menggerunkan apatah lagi gejala buang bayi terus berlaku. Dalam bulan lalu saja, sebanyak 19 kes bayi dilaporkan dan angka ini dijangka meningkat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Bukit Aman, di sini, semalam.


Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga seramai 37 suspek ditahan termasuk empat individu sepanjang bulan lalu.

“Hasil kajian mendapati lokasi yang paling digemari untuk membuang bayi di kawasan perumahan, tempat pembuangan sampah, masjid, surau, jalan, sungai, semak dan tandas,” katanya.

Beliau berkata, gejala pembuangan bayi ini banyak dipengaruhi faktor bimbang rahsia terlanjur melakukan hubungan seks diketahui keluarga dan rakan-rakan selain tidak mempunyai tempat untuk mendapatkan khidmat nasihat, jagaan dan sokongan moral daripada masyarakat sekeliling.

“Apa yang jelas kebanyakan remaja yang mengandung anak luar nikah itu tetap melakukan perbuatan kejam berkenaan walaupun menyedari perbuatan membuang bayi yang baru dilahirkan menyalahi undang-undang,” katanya.

Mohd Bakri berkata, dalam menangani masalah sosial itu, PDRM mengambil pendekatan serius dengan menggunakan pendekatan pencegahan dan rawatan serentak.


“Paling penting peranan ibu bapa dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan selain menjadi contoh terbaik kepada anak-anak. Mereka juga perlu mengawal pergaulan anak-anak bagi memastikan anak masing-masing tidak terbabit dengan seks bebas.


“Selain itu penyebaran filem pornografi turut menjadi punca aktiviti seks bebas ini terus menular di dalam masyarakat,” katanya. Pada masa sama beliau turut memberi penerangan berhubungan sistem amaran awal kehilangan kanak-kanak yang dikenali sebagai NUR Alert (National Urgent Response Alert) yang kini diambil alih sepenuhnya oleh pihak PDRM daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Menurutnya, tanggungjawab itu yang mula dijalankan PDRM sejak 27 Januari lalu membolehkan polis melakukan tugas mengesan, menyiasat dan menghebahkan perkara itu kepada media dengan lebih pantas berhubung laporan kes kehilangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.myMetro | Kejam! Kejam! Kejam!

Tujuh lokasi popular dikenal pasti




KEADAAN mayat bayi yang ditemui selepas dibuang ke dalam sungai. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Polis semalam mendedahkan, sebanyak 517 bayi yang baru dilahirkan dibuang sejak 2005 hingga Januari tahun ini membabitkan tujuh lokasi popular.
Tujuh lokasi itu termasuk di kawasan perumahan dan tempat pembuangan sampah selain di tepi jalan, masjid, sungai, semak dan dalam tandas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, daripada jumlah itu, seramai 203 bayi lelaki, 164 bayi perempuan manakala 150 bayi pula yang tidak diketahui jantinanya.
"Bagi kes tidak dikenal pasti jantina, keadaan ini berlaku apabila mayat tersebut reput dan bedah siasat tidak dapat dilakukan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.
Beliau berkata, daripada 517 bayi itu, sebanyak 230 merupakan bayi yang hidup manakala 287 pula bayi yang telah meninggal dunia.
Mohd. Bakri berkata, seramai 37 suspek telah ditangkap sejak 2005 termasuk empat orang pada Januari ini berhubung kes pembuangan bayiKosmo! Online - Negara

Saturday, January 1, 2011

Cara baru buang bayi




INILAH bayi yang ditinggalkan oleh seorang wanita kepada Qurattnaini di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.


SEREMBAN - Seorang gadis berusia 20 tahun panik apabila seorang bayi lelaki ditinggalkan kepadanya oleh seorang wanita yang terus hilang selepas memberi alasan untuk ke tandas.
Qurratnaini Amni Jamaludin berkata, dia ketika itu sedang menunggu rakannya di Stesen KL Sentral pada pukul 10 pagi bila tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.
Beliau lantas menoleh dan terlihat seorang wanita Melayu dalam lingkungan 20-an mendukung bayi lelaki dipercayai baru berusia seminggu.
Wanita bertudung serta berseluar jean dan berbaju warna hijau lumut itu memintanya menjaga bayinya seketika kerana katanya dia hendak ke tandas tanpa mengesyaki apa-apa.
"Kemudian, saya tunggu, dan tunggu...hingga kira-kira dua jam, namun wanita itu tidak juga muncul.

Wednesday, December 15, 2010

Kes buang bayi tertinggi di Selangor - Shahrizat


15/12/2010 7:07pm

KUALA LUMPUR — Selangor mencatatkan jumlah tertinggi kes pembuangan bayi berbanding negeri-negeri lain dari tahun 2004 sehingga Khamis lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, negeri itu mencatatkan sebanyak 147 kes daripada keseluruhan 571 yang direkodkan di seluruh negara.
Katanya, statistik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan Johor menduduki tempat kedua dengan 113 kes, jauh berbeza dengan Perlis yang hanya mencatatkan satu kes.
Shahrizat menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang ingin tahu statistik kes pembuangan bayi mengikut kaum dan negeri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. — Bernama

Sampah pada tayar rupanya mayat bayi

PENEMUAN NGERI: Seorang pegawai polis sedang menyiasat mayat bayi lelaki di tempat turun bot di Sungai Johor, berhampiran Taman Kemang, Kota Tinggi, Johor, kelmarin. -- Foto UTUSAN MALAYSIA


KOTA TINGGI (Johor): Seorang kaki pancing menangis teresak-esak apabila objek yang disangka sampah terlekat pada tayar depan keretanya ketika hendak menurunkan bot di pelantar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di tebing Sungai Johor, pagi kelmarin, rupa-rupanya mayat seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan.
Dalam kejadian pada 7.30 pagi itu, Encik Lim Kin Chee, 58 tahun, mengundurkan kereta Datsun Wagonnya ke gigi air apabila tayar depan keretanya tersekat.'Saya ingatkan sampah dan turun untuk membuangnya tetapi terkejut apabila mendapati objek itu mayat bayi lelaki baru dilahirkan dan masih bertali pusat.'Mayat itu tersembul keluar daripada beg plastik hitam di bawah tayar kereta. Hampir separuh tubuh bayi itu terhimpit di bawah tayar dan saya menangis kerana kesedihan melihat keadaan itu,' katanya.'Saya sedih, marah dan kecewa sikap individu yang tidak berperikemanusiaan kerana membuang zuriat sendiri.'Ketua Balai Polis Kota Tinggi, Ketua Inspektor Mohd Azizi Abd Razak, bersama pegawai dan anggotanya bergegas ke lokasi itu sebaik menerima panggilan telefon daripada Encik Lim.Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Osman Muhammad Sebot, mengesahkan penemuan tersebut.'Kami meminta bantuan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor membantu siasatan dan mayat bayi itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi.'Setakat ini, siasatan masih berjalan dan tiada tangkapan dibuat. Keterangan Lim juga sudah diambil dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta menghubungi 07-8837222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,' katanya. -- Harian Metro.

Tuesday, December 14, 2010

Laporan kes buang bayi Oktober hingga 13 Disember 2010

13 Disember: Seorang tukang sapu yang ingin mengambil beg plastik hitam dalam tong sampah yang ditempatkan di sebuah stesen minyak di Batu 2, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, terkejut sebaik mendapati plastik itu mengandungi mayat bayi perempuan cukup sifat.




  • 17 November: Seorang lelaki yang menjala ikan di sungai berhampiran flat PKNS AU3, Keramat, Kuala Lumpur menemui mayat bayi lelaki di tebing sungai dengan tangan kanannya tersangkut pada sebatang kayu.






  • 15 November: Menyayat hati apabila seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan dalam kotak minuman di sebuah pangsapuri di Jalan Sungai Pinang, Georgetown, Pulau Pinang.





  • 6 November: Seorang wanita yang mengharung banjir untuk ke tempat kerjanya di Jalan Putra, Alor Setar, Kedah tergamam apabila terjumpa bungkusan plastik berisi mayat bayi yang masih bertali pusat dan uri.







  • 10 Oktober: Seorang lelaki yang ingin mencari daun keladi pelik melihat keadaan tanah dengan kesan masih baru ditimbus sebelum mengorek tanah itu dan menemui mayat bayi perempuan yang ditanam di kawasan tanah rizab, Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, berdekatan Sungai Klang, Shah Alam, Selangor.
  • Saturday, November 6, 2010

    Janin dibuang depan hotel



    ANGGOTA polis melihat bungkusan berwarna kuning yang mengandungi janin yang masih bertali pusat di tempat letak kereta di hadapan Hotel Sentosa Regency, Alor Setar semalam.


    ALOR SETAR - Angkara manusia tidak berperikemanusiaan, satu janin yang masih bertali pusat dan beruri ditemui dalam satu bungkusan di hadapan Hotel Sentosa Regency, Jalan Lumpur di sini semalam.
    Bungkusan yang diletakkan di atas rumput dekat tempat letak kereta itu dijumpai dua pekerja hotel berkenaan kira-kira pukul 11 pagi semalam.
    Menurut seorang pekerja hotel itu, Nor Hamidah Che Long, 30-an berkata, hanya kawasan tempat letak kereta itu sahaja yang belum dinaiki air banjir yang menyebabkan dia terpandang bungkusan tersebut.
    "Saya curiga dengan kandungan bungkusan tersebut lalu saya ajak kawan saya, Saidatul Zainuddin, 32, untuk melihat kandungan beg plastik berwarna kuning tersebut.
    "Bila saya buka bungkusan itu, saya nampak janin yang masih ada tali pusat, uri dan bungkusan tersebut dipenuhi darah," ceritanya di sini semalam.

    Thursday, September 16, 2010

    Bayi berusia 14 hari dibuang



    BAYI perempuan yang dijumpai di Kampung Salor, Kota Bharu semalam.


    KOTA BHARU - Seorang bayi perempuan dipercayai berusia 14 hari dijumpai berbalut dengan kain lampin dan tuala di beranda sebuah rumah di Kampung Salor di sini semalam.
    Bayi berkulit putih itu ditemui oleh pemilik rumah tersebut yang juga seorang kakitangan kerajaan, Mohsin Syeikh Mohammad, (gambar) 50, pada pukul 8 pagi.
    Menurut Mohsin, dia mulanya dimaklumkan oleh seorang anak saudaranya yang berusia 19 tahun yang terdengar tangisan bayi.
    "Sebaik sahaja saya membuka pintu, saya ternampak seorang bayi perempuan yang diselimut dengan kain lampin serta tuala yang diletakkan di beranda.
    "Semasa dijumpai, saya dapati di sisi bayi itu juga terdapat botol susu yang dipenuhi dengan susu, kemudian saya membawa bayi itu ke dalam rumah sebelum membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini semalam.

    Tuesday, August 24, 2010

    Pelajar IPTA menangis selepasdidakwa buang bayi


    MELAKA 23 Ogos - Wad Bersalin di Hospital Melaka hari ini dikejutkan dengan tangisan seorang remaja berusia 21 tahun sehingga menarik perhatian pesakit-pesakit yang mendapat rawatan di wad tersebut.
    Kebanyakannya terpinga-pinga apabila mendengar pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Jasin itu menangis teresak-esak bagaikan tiada hentinya.
    Keadaan meruntun jiwa itu terjadi sewaktu prosiding pendakwaan terhadap gadis tersebut yang dituduh membuang bayi, dijalankan di wad berkenaan yang sebelum itu telah diisytiharkan sebagai Mahkamah Majistret.
    Pendakwaan terhadap gadis dari Permatang Duyong itu dibuat di wad tersebut berikutan tertuduh masih lagi mendapat rawatan di situ.
    Tangisan tersebut turut menyebabkan pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa kepada pelajar itu terhenti sebanyak dua kali sehingga memaksa anggota polis dan kakitangan mahkamah menenangkan tertuduh.
    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi secara sulit di dalam tandas perempuan Wad Kecemasan Hospital Melaka antara pukul 2.30 dan 3 pagi, 17 Ogos lalu.
    Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.
    Majistret Mohd. Fairuz Johari menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.
    Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, iaitu Haslinda Abu Bakar dan Mahmoodah Abdul Latif.
    Lima hari lalu, pelajar terbabit dan teman lelakinya ditahan polis ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka hingga membawa kepada penemuan mayat bayi lelaki yang baru dilahirkan di tempat pengumpulan sampah di wad kecemasan hospital tersebut.

    Sunday, August 22, 2010

    Laksana apa saja elak buang bayi

    KUALA LUMPUR: “Laksanakan apa saja asalkan dapat mengurangkan gejala pembuangan bayi yang semakin berleluasa hari ini,” kata Perunding motivasi dan psikologi, Dr Mohd Jantan sewaktu dihubungi mengenai kes buang bayi yang tiada kesudahan.
    Menurutnya, paling penting adalah langkah pencegahan berkesan supaya remaja sedar betapa pentingnya menjaga maruah diri dan mengelak terjebak gejala sosial.

    “Selain itu, ibu bapa sangat penting dalam membantu mencegah kegiatan tidak bermoral ini dengan memberi sokongan dan menerima seadanya keadaan anak mereka.

    “Jika kita lihat, kebanyakan yang terlanjur adalah gadis masih bersekolah dan berusia belasan tahun. Mereka masih di bawah umur dan tidak tahu membuat keputusan.

    “Waktu inilah peranan ibu bapa sangat penting untuk terus memberi sokongan, bukan memaki hamun supaya mereka tidak berasa terpinggir, sekali gus mengelak peningkatan kes buang bayi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

    Thursday, August 12, 2010

    Pasangan buang bayi waktu sahur



    MELAKA - Ketika umat Islam sedang sibuk bersahur, seorang wanita tergamak membuang bayi perempuan yang baru dilahirnya ke dalam tong sampah hadapan kilang tempat dia bekerja di Ayer Keroh, dekat sini, semalam. 

    Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, wanita itu dipercayai panik selepas melahirkan bayi dalam tandas kilang itu dan bertindak bersama kekasihnya membuang bayi itu dalam tong sampah. 

    Bagaimanapaun, usaha mereka untuk 'melenyapkan' nyawa bayi seberat 1.5 kilogram itu gagal apabila dijumpai pengawal keselamatan kilang terbabit. 

    Bayi yang diletakkan dalam sebuah beg kain ditemui pengawal keselamatan, Muhamad Asri Shaari, 44, dalam keadaan masih bernafas dan bertali pusat di dalam tong sampah yang terletak di bawah pokok berhampiran pondok pengawal.: 

    Muhamad Asri berkata, ketika kejadian, dia sedang menghisap rokok sambil bersembang dengan dua rakan perempuan, sebelum didatangi seorang pekerja lelaki kilang itu. 

    Menurutnya, lelaki itu meminta kebenaran keluar sebentar yang disangka hendak bersahur. 

    Dalam masa sama, Muhamad Asri sebenarnya sedang menunggu giliran masuk ke tandas, selepas dua rakannya itu memaklumkan ada seorang wanita dalam tandas di sebelah pondok pengawal. 

    “Ketika itu saya ada terdengar tangisan bayi seperti baru lahir dan saya beritahu dua orang kawan saya, tetapi disebabkan bunyi tangisan itu sekejap saja jadi kami membiarkan dan mengganggap bunyi ituadalah nada dering telefon bimbit saja,” katanya . 

    Bagaimanapun, katanya, selepas beberapa saat dua rakannya ternampak wanita dalam tandas menghulurkan sesuatu kepada lelaki itu melalui tingkap tandas sebelum membuangnya ke dalam tong sampah. 

    Mereka yang mencurigai perbuatan kedua-dua pekerja terbabit memaklumkan kepada Muhamad Asri sebelum dia memeriksa sendiri tong sampah itu. 

    “Saya membuka penutup tong sampah dan ternampak sebuah beg. Saya kemudian mengangkat beg itu tetapi meletaknya semula ke dalam tong sampah, selepas beg itu bergerak-gerak. 

    “Saya buka beg itu dan nampak bayi yang masih bertali pusat dan terdapat kain merah di lehernya,” katanya kepada :Sinar Harian:, di sini, semalam. 

    Muhamad Asri kemudian memanggil kedua-dua pasangan terbabit yang dipercayai telah bertunang sebelum menghubungi polis. 

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, pihaknya sudah menahan kedua-dua pasangan itu, semalam. 

    Beliau berkata, kedua-duanya ditahan di kawasan kilang tempat mereka bekerja selepas siasatan awal dilakukan. 

    “Kedua-dua suspek berasal dari Gemas, Negeri Sembilan dan baru sebulan bekerja di kilang itu ditahan reman hingga 14 Ogos ini,” katanya di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK), semalam. 

    Mohd Adnan berkata, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka (HM) untuk menerima rawatan. 

    Menurutnya, kes disiasat di bawah seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang baru lahir dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

    Sunday, August 1, 2010

    Bayi nyaris dimakan anjing liar



    Oleh Mohamad Danial Mohd Saad
    bhnews@bharian.com.my 
    2010/08/01

    SHAFIEN (kanan) berkata sesuatu kepada jururawat di Hospital Sungai Bakap mengenai keadaan bayi perempuan yang ditemui di depan sebuah kedai di Taman Cegar, semalam.
    SHAFIEN (kanan) berkata sesuatu kepada jururawat di Hospital Sungai Bakap mengenai keadaan bayi perempuan yang ditemui di depan sebuah kedai di Taman Cegar, semalam.
    Pemilik kedai terkejut temui budak perempuan kesejukan dalam balutan kertas

    NIBONG TEBAL: Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat hampir menjadi habuan sekumpulan anjing apabila ditinggalkan di depan sebuah kedai di Taman Cegar, Simpang Ampat di sini, pagi semalam.
    “Kasihan... ketika saya jumpa, bayi ini menangis dan menggigil kesejukan walaupun dibalut kain dan kertas.
    “Saya sangkakan bunyi anjing tetapi apabila memeriksa bungkusan itu, saya dapati seorang bayi. Nasib baik saya jumpa lebih awal, kalau tidak mungkin dimakan anjing yang sering berkeliaran,” kata pemilik kedai itu, Ng Song Huat.

    Bayi yang cukup sifat seberat 2.58 kilogram itu, ditemui kira-kira jam 7.56 pagi dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk pemeriksaan lanjut.

    Ng ketika ditemui berkata, dia terkejut apabila melihat satu bungkusan di depan kedainya sebaik membuka premis itu untuk pergi membeli barangan dapur.

    Dia yang pada awalnya menyangkakan bunyi anjing dalam bungkusan yang dimasukkan ke dalam plastik, terkejut apabila mendapati seorang bayi menangis dan menggigil kesejukan. 
    Berikutan itu, dia memanggil isterinya untuk memberi bantuan. Pasangan itu kemudian menghubungi polis sebelum membawa bayi itu ke hospital.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata bayi berkenaan dipercayai dilahirkan di tempat lain sebelum dibersihkan dan ditinggalkan di kaki lima itu.

    Katanya, pihaknya sedang menyiasat untuk mengesan ibu bayi berkenaan dan setakat ini belum dapat mengenal pasti keturunan bayi itu.

    Kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

    Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu dan mana-mana klinik serta hospital yang merawat wanita baru bersalin dalam keadaan mencurigakan, diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

    Monday, May 17, 2010

    Apa dah nak jadi dengan pelajar sekarang!


    Pasangan pelajar tanam bayi di tebing sungai


    2010/05/17

    MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya yang juga pelajar belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi Khamis lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Mohd Adnan Abdullah, berkata kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok.
    "Siasatan kes ini telahpun selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
    Mohd Adnan berkata, mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada jam 4 pagi di Taman Melaka Baru.

    "Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.

    Mohd Adnan berkata, polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira 10 malam Rabu lalu.

    Katanya, wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan. 
    Semasa disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.

    Katanya, polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira jam 1.45 pagi di rumahnya yang kemudiannya membawa polis ke tempat bayi itu ditanam. - Bernama

    Thursday, May 6, 2010

    lagi buang bayi


    Mayat bayi cukup sifat ditemui terapung dalam Sungai Klang

    06/05/2010 8:10pm

    KUALA LUMPUR 6 Mei – Mayat seorang bayi lelaki yang cukup sifat dan masih bertali pusat ditemui terapung dalam Sungai Klang berhampiran Kampung Sungai Lancung, Subang, dekat sini hari ini.
    Mayat bayi malang itu ditemui oleh seorang pemancing warga Indonesia kira-kira 12 tengah hari tadi dengan terdapat kesan lebam di kepala dan dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu.
    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pemancing itu Omar Hussein, 32, menemui mayat bayi tersebut yang dalam keadaan bogel ketika sedang memancing berdekatan sungai itu.
    "Apabila menyedari benda terapung dalam sungai itu adalah bayi, lelaki itu bertindak mengangkat dan meletakkan bayi terbabit di tepi sungai sebelum menghubungi polis,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
    Beliau berkata, kesan lebam di kepala bayi itu dipercayai berpunca akibat dibawa arus deras.
    Zainal Rashid berkata, identiti bayi itu belum dapat dikenal pasti kerana pihaknya tidak menemui sebarang petunjuk dalam sungai terbabit yang boleh mengaitkannya dengan individu tertentu. – Bernama

    Wednesday, May 5, 2010

    lagi buang bayi


    Ingatkan bunyi kucing, rupanya bayi menangis


    Seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang ditinggalkan di sebuah pondok di Sepang, semalam.


    SEPANG 4 Mei - Mulanya disangkakan bunyi kucing mengiau.
    Tetapi rupa-rupanya suara bayi menangis.
    Itulah yang dialami Aminah Muhamad, 56, yang menemui seorang bayi lelaki di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di sini hari ini.
    Dia yang sedang memotong rumput di hadapan rumahnya sebelum itu tidak dapat mengagak bunyi seperti kucing mengiau itu adalah tangisan seorang bayi.
    "Disebabkan perasaan tidak puas hati, saya terus menuju ke pondok yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumah.
    "Terkejut dan menggigil saya apabila melihat seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang hanya diletakkan di atas sehelai kain batik," katanya ketika dihubungi 
    Utusan Malaysia.
    Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang, Asisten Supritendan Zaihairul Idrus berkata, bayi lelaki berumur sebulan itu dipercayai keturunan Melayu.
    "Bayi itu ditemui pada pukul 7 pagi ini dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya.
    "Dipercayai bayi malang itu ditinggalkan selama dua jam sebelum ditemui," katanya.
    Zaihairul berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Serdang.
    Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
    Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes pembuangan bayi boleh menghubungi IPD Sepang di talian 03-87774222.

    Monday, March 29, 2010

    SOFI WAHAB: Tukar kerajaan cegah anak luar nikah



    Sofi Wahab   
    Gejala buang bayi memang sudah lama berlaku. Sudah ratusan malah mungkin ribuan bayi yang tidak berdosa dibuang di merata tempat oleh manusia berhati iblis. Darjat manusia ini lebih teruk dari binatang kerana binatang pun tahu sayang kepada anaknya.
    Hari ini (22 Mac) media sekali lagi melaporkan kejadian buang bayi yang berlaku dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu. Bayi ini masih hidup walaupun basah kuyup ditimpa hujan.
    Semalam (21 Mac), media juga melaporkan bahawa terdapat 17,303 orang anak luar nikah didaftarkan pada tahun 2009.
    Apa maknanya kedua-dua fakta di atas? Maknanya ialah gejala maksiat zina sudah menjadi perkara biasa di Malaysia. Kalau dikira purata anak luar nikah yang dilahirkan di Malaysia ialah 47 orang sehari, kira-kira dua orang setiap jam.
    Saya lebih suka membicarakan punca kepada perkara sebelum kita berfikir tentang cara penyelesaiannya. Mengikut kaedah problem solving, sebelum kita membuat correctieve action atau langkah pembetulan kita mesti mencari punca-punca masalah ini.
    Di bawah ini adalah punca-punca kepada gejala zina, buang bayi dan anak luar nikah:-
    1) Tiadanya kesedaran agama di kalangan penzina kerana mereka sudah tidak takut kepada Allah sehingga sanggup melakukan dosa besar iaitu perzinaan. Mereka ini mungkin tidak mempunyai asas agama yang kuat.
    2) Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita disebabkan ibu bapa tidak melarang mereka, keluar rumah dan bergaul bebas, kawan-kawan dan masyarakat tidak memberi nasihat dan membiarkan maksiat terus berlaku.
    3) Persekitaran yang sudah rosak dengan program-program maksiat/pergaulan bebas seperti konsert, kelab malam, dangdut, disko dan sebagainya. Selain itu gejala berdua-duaan ke sana ke mari sudah menjadi tidak salah di sisi masyarakat dan ibu bapa serta undang-undang.
    4) Gejala meminum arak dan dadah di kalangan muda-mudi juga sudah menjadi perkara biasa dan bila kepala sudah khayal maka mudah maksiat berlaku.
    5) Tiadanya undang-undang yang mampu mencegah perbuatan mungkar yang berlaku sekarang. Undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia yang tidak mampu menggerunkan manusia. Sedangkan Allah sudahpun menurunkan undang-undang-Nya untuk mencegah perbuatan zina dan maksiat ini. Malangnya kerajaan yang ada sekarang terus berdegil tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini.
    6) Sistem pendidikan yang ada di negara kita sekarang gagal melahirkan pelajar yang beriman dan berakhlak kerana apa yang diutamakan ialah pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan kesedaran Islam dan kekuatan Iman di kalangan pelajar-pelajar. Sebab itulah generasi muda hari ini amat rapuh pegangan agamanya sehingga sanggup berzina dan bergaul bebas tanpa rasa berdosa.
    7) Program mencegah kemungkaran dibuat sambil lewa sehingga membiarkan tempat-tempat hiburan, rumah pelacuran dan lain-lain dibiarkan beroperasi macam cendawan lepas hujan.
    8) Banyak lagi punca-punca lain yang ada tetapi bagi saya fakta di atas adalah antara perkara asas yang menjadi penyebab kepada gejala ini.
    Pagi tadi semasa saya mendengar siaran radio Ikim.FM saya mendapati 100% pendengar mahukan undang-undang Islam ditegakkan di Malaysia dan kata mereka itulah sahaja jalan penyelesaian yang mampu menyelesaikan masalah tersebut. Ini kerana menurut mereka hanya undang-undang Allah yang ada keberkatan dan pencegahan dari Allah sedangkan akal manusia tidak mampu untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah ini. Ada juga pendengar yang secara tegas menyatakan supaya ditukar kerajaan.
    Di bawah ini saya cadangkan beberapa jalan penyelesaian kepada perkara ini.
    1) Tukar kerajaan yang ada hari ini kerana dengan menukar kerajaan kepada kerajaan PR, insya Allah undang-undang Islam akan ditegakkan; sistem pendidikan akan diubah dengan menekankan ilmu Islam; program amar makruf dan nahi mungkar akan ditingkatkan; tempat-tempat maksiat ditutup, program-program maksiat dan pergaulan bebas dihentikan dan sebagainya.
    2) Ibubapa mestilah menghadkan pergaulan anak-anak dengan tidak membenarkan mereka keluar malam dan tidak membenarkan anak-anak gadis keluar secara bersendirian bila-bila.
    3) Dan lain-lain.
    BAGI SAYA, SELAGI KERAJAAN BN MEMERINTAH SELAGI ITULAH MEREKA TIDAK AKAN MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN MEREKA HANYA MEMANDANG ISU INI SEBAGAI REMEH. DARI ITU, RAKYAT MESTI MENUKARKAN KERAJAAN YANG ADA PADA HARI INI IAITU KERAJAAN BN KEPADA KERAJAAN PR.
    Sofi Wahab adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.