Jutawan berusia 60 tahun itu berkata, beliau mendapat inspirasi untuk menderma daripada pengasas syarikat perisian terkenal Microsof, Bill Gates yang menubuhkan Yayasan Gates pada tahun 1997.
Menurut laman bbc.com, wang yang didermakan itu akan digunakan untuk memupuk persefahaman budaya, membantu golongan wanita, dan menyediakan dana untuk bencana.
Putera Alwaleed yang juga anggota kerabat diraja negara ini, disenaraikan berada di kedudukan ke-34 dalam senarai orang terkaya di dunia oleh majalah Forbes.
Beliau berkata, wang tersebut akan disalurkan kepada pertubuhan kebajikan miliknya, Alwaleed Philanthropies, di mana beliau sebelum ini pernah menderma sebanyak AS$3.5 bilion (RM13.1 bilion).
Gates turut memuji hasrat kerabat diraja Arab Saudi itu dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai satu inspirasi kepada semua dermawan untuk melakukan kebajikan.
Putera Alwaleed yang tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam pentadbiran kerajaan merupakan pengerusi kepada firma pelaburan Kingdom Holding.
Kingdom Holding memiliki saham dalam syarikat-syarikat antarabangsa antaranya rangkaian Hotel The Four Seasons, Fairmont and Raffles, News Corp, Citigroup, Twitter, dan Apple.