Friday, November 27, 2015

Kertas siasatan 7 individu diserah JK disiplin


Tengku Adnan Tengku Mansor
Tengku Adnan
KUALA LUMPUR - Kertas siasatan ke atas tujuh individu dalam Umno telah selesai dan akan diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk diambil tindakan selanjutnya.
Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kertas siasatan itu akan diserahkan dalam masa terdekat kepada jawatankuasa berkenaan.
"Sekarang ini kita tunggu Lembaga Disiplin untuk lihat kertas itu dan ia akan ambil masa sedikit.
"Keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi untuk mengambil tindakan ke atas mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung Umno 2015, di sini hari ini.
Ditanya identiti tujuh individu tersebut, Tengku Adnan bagaimanapun enggan mendedahkannya, tetapi mengakui beberapa anggota MT parti tersenarai di dalam kertas siasatan itu.
Beliau berkata Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman yang dipecat baru-baru ini tidak tergolong dalam tujuh individu yang disiasat itu. - Bernama

Google Map, Waze ancam keselamatan negara?


Google Map
Google Maps
KUALA LUMPUR - Terserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengkaji dan mengambil tindakan jika merasakan penggunaan aplikasi Google Map dan Waze mengancam keselamatan negara.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jalani Johari berkata, setakat ini kerajaan tidak melihat sebarang masalah pada penggunaan kedua-dua aplikasi tersebut.
"Tidak harus dilihat teknologi digital ini sebagai satu masalah kerana ia adalah berkaitan ruang umum dan bukan ruang privasi selain memudahkan masyarakat.
"Penggunaan kedua-dua aplikasi itu adalah tertakluk kepada polisi privasi antara pemberi perkhidmatan dan pengguna,"katanya semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN,  Tenom) yang meminta penjelasan bahawa rakyat terlalu bergantung kepada Google Map dan Waze bagi tujuan pencarian lokasi dan secara tidak langsung maklumat berkaitan Malaysia telah dibekalkan kepada pihak luar seperti Amerika Syarikat dan Israel.
Menurutnya, penggunaan aplikasi itu juga bukan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Akta Peribadi 2010 yang telah di kuatkuasakan kementeriannya.
Namun, beliau berkata, kementeriannya bersedia memberikan kerjasama kepada MKN untuk membantu dan menasihati terutama membabitkan isu komunikasi.
Katanya lagi, semua pihak tidak harus melihat aplikasi tersebut sebagai penghalang bagi rakyat negara ini menikmati kemajuan teknologi.
"Tetapi yang paling penting dan menjadi kebimbangan ialah rakyat terlalu mudah mendedahkan maklumat peribadi mereka dalam alam maya. Rakyat perlu sentiasa berhati-hati,"katanya.
Kadar penembusan jalur lebar di negara ini pada tahap 72.2 peratus dengan 22 juta rakyat menggunakan Internet.

Akta Hasutan hanya untuk lindungi pemerintah


Mohamad Sabu
Mohamad Sabu. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB

SHAH ALAM – Akta Hasutan nampaknya hanya digunakan untuk melindungi pemerintah, bukan lagi untuk keselamatan negara seperti tujuan asal kewujudannya.
Demikian dakwaan Presiden Parti Amanah Negara‎ (Amanah), Mohamad Sabu, ketika mengulas mengenai penyalahgunaan akta terbabit.
Kata Mohamad atau lebih dikenali dengan nama Mat Sabu berkata, penggunaan akta itu tidak seimbang antara parti pemerintah dengan pembangkang.
Malah katanya, adalah cukup jelas bahawa Akta Hasutan hanya diaktifkan semata-mata untuk mengekang pengaruh parti pembangkang dan pihak NGO yang menolak pemerintahan kerajaan.
“Amanah tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang sewenang-wenangnya menyalahgunakan Akta Hasutan ke atas pemimpin pembangkang, peguam, aktivis dan NGO yang menyuarakan kritikan terhadap penyelewengan dan rasuah pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru semua ahli, parti-parti pembangkang, aktivis dan NGO lain untuk terus  bersatu menentang penyalahgunaan akta itu.
Pihaknya dalam pada itu turut menyeru semua pihak terus memberi sokongan terhadap mereka yang menjadi mangsa di bawah Akta Hasutan.

Audit: Bukti kerajaan boros, kata Nasrudin


Nasrudin Hassan
Nasrudin
SHAH ALAM - Laporan Kewangan Audit Negara bagi siri ketiga pada awal minggu ini didakwa menampakkan kegagalan kerajaan menguruskan hal ehwal kewangan negara, kata Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.
Tambah Nasrudin lagi, ia dibuktikan dengan hutang persekutuan yang membimbangkan dan kritikal iaitu 54.47 peratus KDNK (RM582.8 bilion).
“Kerajaan terus berbelanja dengan boros dan tidak berhemah dalam menentukan keutamaan perbelanjaan negara.
"Malah, dengan keadaan hutang yang terus meningkat, kerajaan terus menerus memohon pembekalan tambahan bagi menampung perbelanjaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya lagi, laporan audit juga mendedahkan jabatan dan kementerian berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan sehingga memaksa kepada peruntukan tambahan.
Jelas Nasruddin, ia sekaligus menunjukkan kerajaan tidak mempunyai perancangan kontingensi yang baik bagi menghadapi waktu-waktu kesulitan sehingga memaksa kepada pertambahan bekalan yang menjurus kepada bertambahnya hutang negara.
Bukan itu sahaja menurut Nasruddin, malah katanya, menurut analisis audit, terdapat kelemahan pengurusan dalam perbelanjaan pembangunan negara disebabkan kelewatan perlaksanaan projek,tiada kelulusan penyelarasan akhir harga projek dan bayaran kurang daripada anggaran keperluan semasa.
“Ini menyebabkan faktor pengurusan dalam pembangunan negara terus dipertikai,” katanya lagi.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa kerajaan mengambil sikap bertanggungjawab di atas kelemahan dan kelompangan yang didedahkan laporan audit.
“Ini meletakkan kerajaan tidak relevan untuk mentadbir negara terus corak pengurusan dan pentadbiran dengan begini,” ujarnya.

Warga emas bina rakit hadapi banjir


Warga emas bina rakit hadapi banjir
Mamat (kiri) menunjukkan rakit tempat meletakkan barang sekiranya banjir melanda Kampung Budi, dekat Kuala Krai.

KUALA KRAI - Seorang warga emas mengambil inisiatif membina rakit untuk meletakkan barang sebagai persiapan menghadapi banjir di Kampung Budi, dekat sini.
Mamat Deris, 84, berkata, dia mengambil inisiatif itu kerana masih trauma dengan banjir besar tahun lalu, sehingga menyebabkan semua harta benda miliknya musnah.
Menurutnya, dia sanggup membelanjakan sejumlah wang kira-kira RM1,000 semata-mata untuk menyiapkan rakit berkenaan.
“Rakit yang dibina mengambil masa lima hari untuk disiapkan seorang diri. Bahan yang diperlukan pula terdiri dari lapan tong sabun, kayu dan khemah.
“Khemah ini mampu menampung barang dalam rumah pakcik dan anak yang tinggal berjiran. Kalau banjir.. barang akan dipindahkan ke dalam rakit, sementara kami berpindah ke pusat pemindahan. Pakcik yakin barang tidak akan tenggelam kalau banjir,” katanya kepada Sinar Harian.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia membuat persiapan awal bagi mengelak keadaan kelam kabut.
“Kalau banjir.. pakcik dah ada tempat untuk selamatkan barang. Kalau tak banjir syukurlah.. rakit ini boleh dijadikan tempat berehat,” katanya yang mempunyai 20 cucu.
Menurut Mamat, rumahnya yang didiami sejak 1960-an itu tenggelam ketika kemuncak banjir besar yang melanda kampungnya pada 22 Disember tahun lalu.
Katanya, ia merupakan banjir terburuk pernah dia lalui berbanding kejadian banjir besar yang berlaku pada 1967.
“Banjir besar juga melanda kampung ini pada 1978, namun tidak lah sebesar tahun lalu,” katanya yang merupakan antara penduduk tertua di kampung itu.
Tambahnya, dia tetap bimbang jika banjir besar sekali lagi melanda kampungnya, tetapi sekurang-kurangnya barangnya ada tempat untuk dipindahkan.
Banjir besar tahun lalu, memberikan kesan mendalam kepada mangsa terdiri daripada sebahagian besar penduduk di daerah ini, sekali gus menjadi garis panduan dan pengajaran buat mereka untuk berhadapan cabaran ketika musim tengkujuh.
Ada dalam kalangan mangsa yang hilang tempat tinggal dan harta benda, malah ada yang masih trauma hingga kini setiap kali hujan.

Umno bukan hanya milik seorang ahli'


Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
SHAH ALAM - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal membidas tindakan pimpinan tertinggi parti itu yang membuat keputusan untuk menghalang Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap dalam perasmian sayap-sayap parti.
Beliau menegaskan Umno‎ yang menjangkau usia 70 tahun sepatutnya lebih terbuka dan tidak hanya eksklusif untuk kepentingan individu-individu tertentu sahaja.
"Umno bukan dimiliki oleh seorang ahli, Umno adalah hak kepada lebih tiga juta ahli yang telah bersama-sama mempertahankan parti keramat sejak sekian lamanya," katanya, dalam satu kenyataan, semalam.‎
‎Beliau berkata, walaupun menghormati keputusan Majlis Tertinggi Umno itu namun, beliau berpandangan adalah tidak wajar untuk menidakkan tradisi parti yang sebelum ini dilakukan dalam setiap kali Perhimpunan Agung Umno.
Katanya, dalam perhimpunan tersebut bukan hanya ahli Umno sahaja yang mahu mendengar ucapan dari pemimpin tertinggi tetapi rakyat Malaysia juga mahu mengikuti perkembangan Umno.‎
" Saya masih ingat semasa pertama kali saya mengikut ayahanda saya Tun Sakaran ke Perhimpunan Agong Umno pada tahun 1970-an di Hotel Hilton, tempat persidangan pada ketika itu bukan sahaja dipenuhi dengan asap rokok, malahan halwa telinga kita disajikan dengan ucapan-ucapan yang bernas.
"Walaupun ada juga teguran-teguran lantang yang dibuat, tetapi saya dapat lihat setiap ahli Umno yang hadir termasuk barisan pemimpin tertinggi parti menerima setiap bait ucapan dan teguran itu dengan berlapang dada," katanya.
Katanya, walaupun sebelum ini Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyuarakan supaya Umno perlu lakukan perubahan namun proses tersebut tidak berlaku di peringkat atasan.
"Ia perlukan komitmen dan juga sokongan di setiap peringkat, terutama di peringkat atasan yang mempunyai kemampuan menentukan hala tuju parti keramat ini," katanya.

Jawatankuasa Fatwa Kedah haramkan vape


vape

ALOR SETAR - Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan hukum menghisap rokok elektrik (vape) dan shisha stick adalah haram.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad berkata, hukum berkenaan diputuskan melalui hasil Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah pada 23 November lalu.
“Sejak kebelakangan ini, fenomena baru dalam industri rokok iaitu menghisap rokok menggunakan kaedah elektronik atau lebih dikenali sebagai vape diperkenalkan.
“Namun, rokok berkenaan dipercayai mengandungi bahan kimia tertentu antaranya nikotin, sebatian organik berwap (VOC) dan karsinogen,” katanya.
Syeikh Muhamad Baderudin berkata, terdapat juga bahan kimia yang menghasilkan bau dan perasa buah-buahan dimasukkan ke dalam rokok elektronik berkenaan.
Menurutnya, ada produk cecair vape tertentu pula dilaporkan mengandungi dadah, polycyclic aromatic hidrokarbon dan sebatian fenolik.
[ARTIKEL BERKAITAN: Vape alternatif terbaik atasi ketagihan rokok?]
Bagi shisha stick pula katanya, tabiat menghisapnya dikhuatiri sukar untuk ditegah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.
“Berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan, bahan tertentu seperti propilena glikol, gliserin sayuran dan perasa dalam bentuk cecair didapati terkandung dalam shisha stick.
“Sesetengah produk berkenaan didakwa mampu menyebabkan penyakit berkaitan jantung dan kanser. Justeru, menghisap vape dan shisha stick disifatkan haram kerana aktiviti tidak sihat berkenaan akan menyebabkan kemudaratan dan pembaziran kepada umat Islam,” katanya.
Katanya, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah turut bersetuju mengekalkan keputusan mesyuarat 13 Januari 1996 mengenai pengharaman merokok disebabkan ia memudaratkan dan membazirkan.
“Semua pihak dilarang menghisap rokok elektrik berkenaan ataupun shisha stick,” katanya.

Banduan kes rompak dipilih Ratu Cantik Penjenayah


Michelle Neri Rangel (tengah) dimahkotakan sebagai pemenang Pertandingan Ratu Cantik Penjenayah 2015 di Penjara Wanita Talavera Bruce, Rio De Janeiro, Brazil, baru-baru ini. AGENSI
RIO DE JANEIRO 26 Nov. – Seorang banduan yang dijatuhi hukuman penjara 39 tahun dimahkotakan sebagai pemenang Pertandingan Ratu Cantik Penjenayah 2015 yang berlangsung di sebuah penjara di negara ini, baru-baru ini.
Laman web mirror.co.uk melaporkan, Michelle Neri Rangel, 27, berjaya mengalahkan pesaing lain untuk dinamakan sebagai pemenang pertandingan ratu cantik yang dilangsungkan di Penjara Wanita Talavera Bruce, di sini.
Rangel meringkuk di penjara sejak 2010 atas kesalahan melakukan rompakan dan menjadi pelacur di dalam sel lokap.
Matlamat utama pertandingan ratu cantik tahunan itu diadakan adalah bagi meningkatkan keyakinan dan kebolehan banduan untuk berdepan dengan situasi sukar.
Pertandingan ratu cantik Penjara Wanita Talavera Bruce tersebut turut mendapat sokongan daripada komuniti setempat dan pihak gereja.
Sama seperti pertandingan ratu cantik yang lain, peserta akan bersolek dan memakai pakaian terbaik bagi menarik perhatian juri untuk memilih mereka sebagai pemenang.
“Peserta akan berdandan, memakai pakaian menarik serta perlu berjalan di atas pentas peragaan sebagai syarat untuk memenangi pertandingan ini,” jelas sumber.
Penjara Wanita Talavera Bruce merupakan penjara yang memiliki kawalan ketat di Brazil dan sehingga kini menampung lebih 600,000 orang banduan wanita.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/banduan-kes-rompak-dipilih-ratu-cantik-penjenayah-1.162760#sthash.g0GSN1FU.dpuf