Wednesday, April 22, 2015

Jeritan ‘api’ selamatkan dua ekor burung kakak tua



SALAH seekor burung diberikan oksigen selepas terhidu asap dalam kebakaran tersebut.


IDAHO, Amerika Syarikat – Jeritan dua ekor burung kakak tua yang meminta tolong sambil menyebut, “api,api” berjaya menyelamatkan unggas tersebut daripada rentung dalam kebakaran yang berlaku di sebuah rumah di sini baru-baru ini.
Anggota bomba yang bertugas memadamkan kebakaran di tempat kejadian terdengar suara seperti manusia menjerit meminta tolong menyebabkan mereka bergegas masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan mangsa.
Bagaimanapun, mereka terkejut apabila menyedari suara jeritan itu datangnya daripada dua ekor burung kakak tua yang berada di dalam sangkar.
“Haiwan ini terperangkap dalam kebakaran kerana tuannya tiada di rumah ketika kejadian. Ternyata burung ini amat bijak kerana tahu apa yang perlu dibuat,” kata jurucakap bomba di Boise.
Sebaik diselamatkan, kedua-dua ekor burung itu diberikan oksigen kerana telah terhidu asap yang banyak.
Bagaimanapun, pemilik haiwan berkenaan masih belum dikenal pasti oleh pihak berkuasa, manakala punca kebakaran dipercayai disebabkan litar pintas dari sebuah bilik di rumah tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Y3BPmXEm 
Hakcipta terpelihara 

Pekerja jumpa 43 fosil telur dinosaur



FOSIL telur dinosaur yang ditemui dihantar ke Muzium Dinosaur Heyuan bagi tujuan penyelidikan.


BEIJING – Sekumpulan pekerja menemui 43 objek yang dipercayai fosil telur dinosaur ketika melakukan kerja-kerja pemasangan paip saluran kumbahan di pusat bandar Heyuan baru-baru ini.
Menurut akhbar People Daily, ia merupakan penemuan pertama seumpama itu di bandar tersebut. Sebanyak 19 biji telur masih berada dalam keadaan baik.
Beberapa pakar dari Muzium Dinosaur Heyuan sedang menjalankan penyelidikan bagi menyiasat jenis dinosaur yang menghasilkan telur berukuran 10 hingga 12 sentimeter lebar itu.
SEBANYAK 19 daripada 43 fosil telur dinosaur ini berada dalam keadaan baik ketika ditemui di pusat bandar Heyuan baru-baru ini.


Ketua kurator muzium tersebut, Du Yanli berkata, fosil telur dinosaur banyak terdapat di bahagian bawah tanah di bandar ini, cuma jarang ditemui kerana terletak di lapisan batu pasir merah yang dalam.
“Namun, apabila kerja-kerja pemasangan paip saluran kumbahan dijalankan, ia berjaya ditemui,” kata Yanli sambil memberitahu, kerja-kerja pemasangan paip terpaksa dihentikan sehingga penyelidikan selesai dijalankan. Sejak 1996, sebanyak 17,000 serpihan fosil telur dinosaur telah ditemui di China. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3Y3B0r9Od 
Hakcipta terpelihara 

PRK Permatang Pauh: Tuan Ibrahim Seru Ahli PAS Undi Calon PKR


Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 6:06 PM
Tuan Ibrahim Tuan Man.

PETALING JAYA: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru semua ahli parti yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh supaya menyokong calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil (PRK) akan datang.
Beliau yang juga Ahli Majlis Syura berkata, PAS menerima penjelasan PKR berhubung enakmen kanun jenayah syariah Kelantan dan memahami pendiran mereka yang tidak menolak syariat Allah yang menjadi kewajipan bagi umat Islam.
Menurut Tuan Ibrahim, perbezaannya ialah soal pendekatan dalam membawa usul dan pelaksanaannya maka sesi dialog dan perbincangan ilmiah perlu diadakan secara berterusan pada masa akan datang. 
"Isu kontroversi yang melibatkan hukum mesti dirujuk kepada pendirian rasmi Majlis Syura Ulama dan pendirian rasmi Dewan Ulama kerana ia mempunyai implikasi besar.
“Sebagai Ahli Majlis Syura, saya menyeru agar semua ahli PAS yang berdaftar sebagai pengundi di Permatang Pauh untuk keluar mengundi dan memberi undi kepada calon dari PKR kerana keputusan memberi kerjasama dalam PRK Permatang Pauh adalah keputusan yang turut melibatkan hukum syarak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh dan Pulau Pinang memutuskan untuk tidak menyokong kempen PRK Permatang Pauh sebagai tanda protes berhubung penghinaan terhadap presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tuan Ibrahim berkata, pimpinan parti di semua peringkat diminta untuk tidak mengeluarkan kenyataan kontroversi sama ada melibatkan hubungan dengan Pakatan Rakyat atau melibatkan hukum.
Menurutnya, PAS mempunyai organisasi lengkap bagi membuat keputusan melibatkan dasar dan perjalanan parti.
“Kenyataan kontroversi ini hanya akan menguntungkan musuh dan ia hanya menambahkan derita rakyat dalam situasi yang berlaku kini,” katanya.
Mengenai hubungan dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat, beliau sekali lagi menegaskan bahawa parti Islam itu masih bersama dengan pakatan itu.
“Musuh cuba memecah-belah PR (Pakatan Rakyat) sejak hari pertama kita wujudkan sehingga kini. Pendirian parti mesti didokongi oleh ahli sehinggalah ada keputusan baharu. Sehingga kini, kita tegaskan PAS adalah sebahagian dari komponen PR,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata, media arus perdana melaporkan beberapa isu yang melibatkan salah faham sehingga menimbulkan ketegangan.
“InsyaAllah, ia akan diselesaikan perundingan dan pertemuan mahabbah antara para pimpinan dan petugas yang akan diadakan dari masa ke semasa,” katanya.
Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan pada Selasa meminta Pemuda PAS Kawasan Permatang Pauh dan Pulau Pinang digesa supaya mengorbankan ego masing-masing demi menjaga nama baik parti itu di kalangan sekutu pakatan pembangkang.

Tesco UK Rugi £6.38 Bilion, Yang Terbesar Dalam sejarah


Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 6:47 PM

LONDON: Tesco United Kingdom (UK) mengumumkan yang ia telah mengalami kerugian sehingga £6.38 bilion – iaitu yang terbesar dalam sejarah 97 tahun kewujudannya.
Ia juga adalah antara kerugian yang terbesar dalam sejarah korporat UK.
Bukan sahaja Tesco yang berhadapan dengan kerugian besar ini malah gedung-gedung peruncitan yang lain sekitar UK turut menyaksikan para pelanggan setia mereka telah beralih kepada pesaing yang menawarkan harga rendah seperti Aldi dan Lidl.
Mereka bersaing sengit untuk menjadi siapa yang mampu menawarkan harga paling rendah untuk barangan asas harian seperti susu, roti dan juga telur.
Ini sekaligus menjejaskan garis keuntungan.
Tesco UK pada Selasa telah mengumumkan bahawa keuntungan pra-cukai tahunan mereka sekitar £961 juta, turun 68 peratus walaupun jualan total tahunan di UK antara Februari tahun lalu sehingga Februari tahun ini adalah £44.6 bilion.
Jumlah ini adalah menurun 1.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keuntungan urus niaga Tesco UK adalah sekitar £1.4 bilion, tetapi jumlah ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan apa yang dicapai pada tahun sebelumnya sebanyak £3.3 bilion.
Penurunan ini adalah untuk tahun yang ketiga berturut-turut.
Tetapi kerugian tahunan keseluruhannya adalah didorong menerusi item 'one-off' bernilai  £7 bilion termasuklah £3.8 bilion daripada kajian semula keseluruhan potfolio gedung ekoran penurunan keuntungan.
Ini termasuklah pembatalan projek yang sedang berjalan bernilai £925 juta ekoran keputusan Tesco Januari lalu untuk tidak meneruskan hasrat membina 49 gedung kecil dan besar baru di seluruh UK kerana pasaran yang lembab.
Tesco turut mendedahkan yang ia kini menanggung hutang bersih sebanyak £8.5 bilion dan defisit pencen bernilai £3.9 bilion.
Bekas pengerusi Persatuan Pembekal-Pembekal Makanan, Lord Haskins menyifatkan kerugian besar yang dialami oleh Tesco adalah kerana kegagalan mereka meneruskan pendekatan yang inovasi.
"Tesco adalah sebuah syarikat yang pernah dikenali sebagai syarikat inovatif...pada hari anda tidak lagi menjadi inovatif, anda akan mati," ujarnya.
Seorang pakar runding peruncitan, John Ibbotson pula berkata, keputusan kewangan tahunan ini adalah petanda berakhirnya era kegemilangan Tesco sebagai raja gedung peruncitan UK.
Bagaimanapun, ketua pegawai eksekutif Tesco yang baru, Dave Lewis menegaskan yang syarikat itu kini telah menggariskan sempadan antara kisah lama dan yang baru malah telah terdapat petanda yang menunjukkan mereka mampu kembali pulih.
"Pasaran yang ada hari ini adalah pasaran yang masih mencabar tetapi keutamaan kami kini adalah untuk memperbaiki perkhidmatan kami untuk pelanggan," ujarnya.
Katanya Tesco memerlukan perubahan dan itulah pendekatan yang sedang mereka ambil sekarang.
Para penganalisa berkata, sebahagian besar kerugian Tesco terletak pada bank tanah yang dimilikinya yang kini didapati nilainya jauh lebih rendah daripada apa yang mereka anggarkan sebelum ini.
Tesco menghabiskan berbilion wang untuk membina gedung-gedung besar tetapi kemudiannya mendapati para peruncit enggan membeli-belah lagi di tempat-tempat seperti itu sebaliknya memilih untuk menghabiskan lebih banyak masa di kedai-kedai runcit kecil dan sederhana.
Akibatnya, Tesco terpaksa membatalkan hasrat untuk membina lebih daripada 100 gedung baru malah di sesetengah tempat terpaksa menutup gedung besar sedia ada dan dalam kes yang lebih teruk terpaksa menjual tanah milik mereka kepada projek lain termasuk perumahan.
Mereka juga terpaksa memberhentikan kerja beribu kakitangan apabila mengambil keputusan untuk menutup gedung sedia ada. Dari ibu pejabat sahaja, sejumlah 6,000 kakitangan akan kehilangan pekerjaan.
Keseluruhannya Tesco bercadang untuk memberhentikan 10,000 pekerja mereka.
Kos hangus akibat pemberhentian kerja ini telah menelan belanja sehingga £300 juta sepanjang tahun lalu.
Sepanjang tiga tahun yang lalu, Tesco telah berhadapan dengan pelbagai isu dan krisis termasuklah skandal perakaunan yang menyaksikannya membuat deklarasi keuntungan yang tidak wujud berjumlah £263 juta.
Insiden itu menyaksikan sembilan eksekutif kanan Tesco sama ada digantung kerja atau dipaksa meninggalkan syarikat itu dengan segera.
Mereka turut mengantikan ketua pegawai eksekutif Philip Clarke dengan yang baru iaitu Dave Lewis September lalu yang diparacutkan dari Unilever.
Lewis buat masa ini telah memperbaiki hubungan Tesco dengan para pembekal dan terdapat juga tanda-tanda yang kejatuhan jualan berjaya dikurangkan.
Ketika puncaknya, Tesco adalah gedung peruncitan yang ketiga terbesar di dunia.
Tesco bagaimanapun masih menguasai 29 peratus daripada pasaran peruncitan UK.
Para penganalisa juga berkata yang Tesco juga berkemungkinan akan menjual gedung-gedungnya di Asia sebagai usaha untuk mengurangkan hutang dan beban semasa.

Saya Tak Minta Najib Berundur - Nur Jazlan


Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 7:47 PM
Nur Jazlan Mohamed.

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menafikan beliau meminta presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur daripada memegang jawatan itu.
Beliau yang memperjelaskan mengenai kenyataan di blognya nurjazlan.net pada Rabu berkata, Perdana Menteri perlu segera menjawab kritikan dan dakwaan yang dilontarkan kepadanya atau ia boleh menjejaskan Umno dalam jangka panjang.
"Jika beliau tunggu penggal penuh parlimen (sehingga 2018) untuk menjawab, ia akan menjadi masa yang lama. Beliau seharusnya melihat kepentingan parti secara keseluruhan," kata Nur Jazlan kepada pemberita selepas menghadiri Asean Peoples's Forum pada Rabu.
Ahli Parlimen Pulai itu yang bercakap demi parti berkata, para pemimpin Umno yang lain akan bersetuju dengan pandangannya sekiranya mereka amat menyayangi parti.
Jika mereka hanya mempertahankan pemimpin parti semata-mata, mereka tidak melakukannya demi parti.
"Tiada sebab untuk Najib berundur kerana parti masih memerlukan sokongan beliau. Tetapi berapa lama Umno akan menyokong beliau?" soalnya.
Nur Jazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata, temuramah khas Perdana Menteri di TV3 baru-baru ini sedikit-sebanyak menjawab kritikan dan spekulasi mengenai beberapa isu seperti 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dab Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
"Ia sudah tentu tidak puaskan hati (Tun) Dr Mahathir (Mohamad). Hanya sekali rakyat berpuas hati dengan jawapan-jawapan itu, isu tersebut akan terhenti," tambahnya.
Dalam kenyataan di blognya, Nur Jazlan menulis bahawa Najib perlu bertindak segera untuk memperjelaskan kebimbangan terhadap 1MDB, yang kini menjejaskan Umno secara keseluruhan.
Beliau berkata, Pakatan Rakyat bukan menyebabkan kejatuhan Barisan Nasional, sebaliknya unsur dalaman Umno sendiri.
"Perdana Menteri boleh memilih jalan singkat untuk membubarkan Parlimen dan membuat ‘snap election’ bagi mencuci persepsi negatif terhadap diri beliau dan keluarga dengan mendapatkan mandat yang baru," kata Nur Jazlan di blognya. 

Majlis Resepsi Perkahwinan Belah Menantu Najib Di Almaty, Kazakhstan


Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 8:44 PM
Majlis meraikan perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak Nooryana Najwa dengan Daniyar Kessibayev di Grand Ballroom Royal Tulip Hotel, Almaty, Kazakhstan, Ahad.

KUALA LUMPUR: Majlis resepsi perkahwinan anak perempuan perdana menteri, Nooryana Najwa Najib dan pasangannya Daniyar Kesikkba, telah diadakan di pihak lelaki di Almaty, Kazakhstan pada 17 hingga 19 April lepas.
Menggabungkan elemen moden dan tradisi Kazakhstan atau 'Betashar', majlis berlangsung meriah dengan dihadiri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta 250 tetamu dari Malaysia, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Rabu.
Antara yang turut hadir ialah isteri Yang DiPertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M. Jasni; Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan isteri; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapha Mohamad dan isteri; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isteri; serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek dan isteri.
Kenamaan lain ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan isteri,  beberapa kerabat diraja Perak, Pahang dan Selangor serta keluarga terdekat dan sahabat.
Turut memeriahkan majlis ialah kenamaan dan tetamu dari Kazakhstan dan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta ibu Daniyar, Maira Kessikbayev (kiri) bergambar kenangan ketika meraikan majlis perkahwinan anak mereka Nooryana Najwa dan Daniyar Kessikbayev di Grand Ballroom Royal Tulip Hotel, Almaty, Kazakhstan, Ahad.
Semasa di negara itu, perdana menteri mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev.
"Dalam pertemuan itu kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama dua hala berkaitan perdagangan, ekonomi, pelaburan, industri dan kebudayaan di samping beberapa isu-isu antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Majlis resepsi perkahwinan pasangan itu di Kuala Lumpur sebelum ini diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 28 Mac dan Pusat Dagangan Dunia Putra pada 29 Mac.
Pada 4 April, satu majlis resepsi diadakan di kawasan Parlimen perdana menteri, di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.
Nooryana dan Daniyar, masing-masing berusia 27 tahun, bertemu ketika sama-sama menuntut di Amerika Syarikat, dan mengikat tali pertunangan pada 2011. -- Bernama