Wednesday, October 20, 2010

UMNO MEMANG BIADAP...!!!!



بسم الله الرحمن الرحيم



Oleh: Pria Malaya

BIADAP!..rupanya kalimat di dalam perkataan arab itu adalah merujuk kpd junjungan besar nabi kita, Muhammad SAW!..umat yang cinta akan kekasih Allah ini seharusnya tidak meredhai kemungkaran ini..

Kita menuntut pihak yg berkaitan supaya memberi penjelasan seterusnya membuat permohonan maaf!..





p/s: Terbaru: Video "Legends Islamic Fashion Show HD" yang membuktikan festival ini telah menghina Islam dikepalai oleh Rosmah Mansor telah diremove oleh user video terbabit atas desakan pihak tertentu..sumber

Ubah kuota haji

YANG Dipertua (Speaker), bukan saya yang kata tetapi orang Sabah kata, ini Barisan Nasional (BN) mahu masuk syurga pun ada kuota...dalam Islam kita tahu antara syarat mahu masuk syurga ialah naik haji. Jadi, apabila mereka tidak boleh naik haji kerana dikawal oleh kerajaan, siapa yang mahu tanggung dosa?, kata Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.
“Dalam televisyen, kita lihat ada yang mengatakan mereka sudah empat, lima dan enam kali naik haji...mereka ini tidak pakai sistem kuotakah?” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Sehubungan itu, beliau mendesak pengurusan Tabung Haji supaya mengubah sistem pemilihan bakal haji berasaskan kuota kerana ia menimbulkan masalah, selain cara lembaga itu yang dianggap terlalu berorientasikan perniagaan. Menurutnya, sistem kuota menyebabkan berlakunya ketidakadilan apabila ada mendakwa tidak diberi peluang mengerjakan rukun Islam kelima.

“Saya mencadangkan Tabung Haji menetapkan satu sistem iaitu mereka yang sudah mengerjakan haji tidak diberi peluang sama untuk tempoh lima tahun bagi membolehkan kuota diberi kepada mereka yang tidak pernah menerima tawaran dan belum berpeluang ke Makkah.

“Ini adil untuk penyimpan Tabung Haji yang mahu mengerjakan haji. Setahu saya, kerajaan Arab Saudi memberi kuota (35,000) kepada Malaysia tetapi ke mana kuota ini pergi? “Apabila kita minta dan tanya pasal kuota, Tabung Haji kata sudah tiada kuota...tahun ini Sabah hanya dapat 1,000 kuota sedangkan kalau bagi 2,000 untuk 13 negeri baru 26,000 orang saja,” katanya.

Abdul Ghapur turut bersetuju dengan pandangan Taib Azamudden Md Taib (Pas-Baling) yang mencelah bahawa Tabung Haji kini sudah lari daripada matlamatnya memberi kemudahan jemaah haji kepada sesuatu yang berbentuk perniagaan. “Tabung Haji ini berfikiran untuk berniaga, ada pakej Zamrud kerana mahu berniaga. Ada juga pakej am iaitu VVIP, kawan, anak saudara pergi naik haji...bayar RM10,000 semua kelas pertama...ini mana boleh! “Sedangkan orang miskin hendak kumpul RM10,000 kais pagi, makan pagi...kenapa? Tabung Haji untuk orang kaya sajakah? Rakyat menabung untuk naik haji, bukan mahu pakej mahal,” kata Abdul Ghapur.

Kesilapan pintas tongkang

KUCHING: Kecuaian manusia dikenal pasti sebagai punca bot ekspres karam di hulu Sungai Anap, Tatau, kelmarin, kerana siasatan awal mendapati ia mematuhi spesifikasi dan lulus ujian keselamatan yang dilakukan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) baru-baru ini.
Pengerusi LSSS, Roland Sagah Wee Inn, berkata siasatan yang dijalankan turut mendapati bot yang boleh memuatkan 40 penumpang itu tidak lebih muatan, selain dilengkapi jaket keselamatan yang sama ada diletak di ruang bawah tempat duduk atau di atas kepala penumpang.

Katanya, melalui laporan siasatan awal yang diterimanya semalam, mengesahkan kesilapan juragan bot yang berusia 58 tahun itu sebagai punca kemalangan.

Menurutnya, tindakan juragan cuba memintas tongkang balak yang sedang ditunda di selekoh sungai berkenaan adalah satu kesilapan besar yang membawa kepada tragedi.

“Juragan membuat keputusan silap kerana cuba memotong tongkang berkenaan di kawasan selekoh sungai sehingga bot yang dipandu bergesel sebelum kipas bot ekspres berkenaan tersangkut pada tali yang digunakan bagi menarik tongkang terbabit.

“Akibat momentum pergerakan bot ekspres dan tongkang itu menghala ke arah sama, menyebabkan ia terbalik serta-merta dan karam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Berenang peluk anak

TATAU: Ruang seluas kira-kira lima sentimeter dan tong gas menjadi penyelamat kepada seorang ibu dan anak perempuannya daripada mati lemas apabila bot ekspres yang mereka naiki tenggelam selepas terlanggar tali kapal tongkang di hulu Sungai Anap di sini, petang kelmarin.
Elizabeth Diran, 28, dan anaknya, Agnes, 2, menggunakan ruang sempit itu mendapatkan udara bagi bernafas ketika bot yang dinaiki dimasuki air dan tenggelam dengan cepat.

Katanya, selepas beberapa kali menyedut udara di ruang sempit itu, dia tekad berenang keluar sambil memeluk erat Agnes sebelum berjaya berpaut pada sebuah tong gas sebaik keluar dari bot yang tenggelam itu.

Bagaimanapun, Elizabeth terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan seorang lagi anaknya, Alicia yang berusia lima tahun kerana ketika kejadian mereka duduk berasingan.

Menceritakan kejadian itu, Elizabeth berkata dia menaiki bot berkenaan untuk pulang ke Rumah Ado di Kakus dari Tatau yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Bintulu menggunakan laluan sungai.

“Sebaik bot dinaiki tiba di lokasi kejadian, saya terdengar bunyi seperti letupan sebelum air mencurah-curah masuk ke dalam bot.
“Ketika itu, saya sedang memangku Agnes yang sedang tidur, manakala Allicia duduk di tempat lain dan apabila bot kami tenggelam, saya tidak melepaskan Agnes daripada pelukan dan berteriak mencari Allicia.

“Pada masa sama, saya berusaha mencari ruang untuk menyelamatkan diri tapi gagal. Ketika berusaha mencari jalan untuk mengelak mati lemas bersama Agnes, saya menemui satu lubang untuk bernafas,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

“Ketika itu, saya hanya ingat mati selepas usaha memaut pada tongkang gagal. Tangan kanan saya cuba memaut, manakala tangan kiri memeluk Agnes.

“Tiba-tiba, datang seorang wanita tidak dikenali menarik anak saya, sekali gus membolehkan saya memaut pada sebuah tong gas terapung,” katanya.

Ajal pulang 'panaskan dapur'

TATAU: Kepulangan tiga beranak untuk ‘memanaskan dapur’ yang menjadi sebahagian adat masyarakat Iban berakhir dengan tragedi memilukan apabila ketiga-tiga mereka mati lemas dalam kejadian bot ekspres terbalik di Ulu Sungai Anap, petang kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Peter, 28 dan isteri, Bermas anak Myium, 26, serta anak kesayangannya, Amilia dikatakan mahu pulang ke rumahnya, Ringkai Nanga Mejau di Kakus selepas lama menetap di Tatau.
Adik kepada Bermas, Dina, 25, berkata mengikut adat Iban, setiap mereka yang berkeluarga perlu memanaskan dapur (menjenguk rumah) sekurang-kurangnya sekali sebulan.

“Tapi, kami sekeluarga tidak menyangka kepulangannya membawa khabar menyedihkan apabila mereka sekeluarga mati lemas.

“Mereka baru saja membina rumah baru dan tidak menetap di rumah berkenaan kerana bekerja sebagai pemotong kayu di Tatau,” katanya.

Tiga beranak itu antara 11 daripada 30 penumpang dikhuatiri mati lemas selepas bot mereka naiki terlanggar kapal tongkang membawa balak.

Pas anggap UMNO ‘salah faham’



KUALA TERENGGANU – Pas menganggap UMNO ‘salah faham’ apabila dalam kalangan pemimpin parti itu mendakwa pihaknya membuat fitnah dan memaki-hamun pemimpin UMNO dalam ceramah mereka. 

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, ceramah berhubung isu tertentu yang menyalahkan kerajaan adalah sebagai teguran kepada pemimpin kerajaan dan Barisan Nasional (BN). 

Beliau turut mendakwa apa yang dibawa UMNO dan BN khususnya banyak tidak benar sehingga kebenaran terpaksa diperjelas kepada rakyat. 

“Apabila kita sebut sesuatu perkara itu sudah tentu ia membabitkan individu tertentu dan menyebut individu tidak dilarang dalam al-Quran sebagaimana kitab itu juga menyebut me-ngenai Abu Lahab. 

“Jadi UMNO kena perbetul apa yang disebut. Pas juga terbuka kalau UMNO tegur asalkan bertepatan dengan al-Quran dan hadis,” katanya. 

Menurut beliau, kita ada mahkamah dan sekiranya apa yang dikatakan itu fitnah terutamanya beberapa isu seperti skandal PKFZ dan sebagainya, bawalah ke mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi. 

Beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat turut mendakwa pemimpin UMNO susah menerima teguran pihak lain sehingga parti itu didakwa kelam-kabut ketika ini. 

Teguran tersebut termasuklah cadangan supaya UMNO melakukan pe-laksanaan undang-undang berasaskan syariat Islam dan pentadbiran mengikut kehendak agama. 

“Kalau dia laksana Islam, Pas tidak akan wujud dan kita bersedia bergabung sekiranya mereka melakukan perkara tersebut,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, sikap acuh tidak acuh dengan teguran sedemikian juga menyebabkan UMNO dilihat sedang berada di ambang kehancuran. 

“Kalau dia dengar apa yang kita tegur dari dulu lagi, UMNO akan kuat sehingga sekarang,” katanya

Masih belum terlambat UMNO tarik diri




KOTA BHARU – Seminggu sebelum tempoh penamaan calon Pilihan Raya Kecil Galas tamat, Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, masih belum terlambat sekiranya UMNO menarik diri daripada meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu. 

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berkata, UMNO disifatkan sebagai parti yang berjiwa besar sekiranya tidak bertanding, sekali gus membuktikan bahawa parti itu betul-betul berhasrat mengamalkan perpaduan. 

“Tidak menjadi sesuatu yang menjatuhkan maruah sekiranya UMNO sebagai parti besar kaum Melayu tidak bertanding atas dasar perpaduan, malah mereka boleh dianggap sebagai berjiwa besar dan berjihad,” katanya pada sidang media sempena Penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kelantan, di sini, semalam. 

Sebelum ini, Takiyuddin pernah mencadangkan UMNO tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil ini, namun ditolak kepimpinan Barisan Nasional (BN), termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Takiyuddin berkata, pilihan raya kecil yang melibatkan Pas dan UMNO hanya akan menimbulkan percanggahan dan tuduh menuduh sehingga membawa kepada kerenggangan yang lebih luas antara kaum Melayu. 

“Kalau pun UMNO menang di Galas, ia tidak akan memberikan apa-apa kesan atau impak yang besar kerana mereka hanya menambah satu kerusi; enam menjadi tujuh, itu sahaja. UMNO tidak dapat memberikan pembangunan kepada rakyat Galas kerana mereka tidak bersama Kerajaan Negeri,” katanya. 

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa tidak ada pembangunan yang dilakukan Pas di Galas. 

“Gua Musang di bawah majlis daerah dengan kerjasama syarikat swasta banyak membina hotel-hotel, rumah kedai, perumahan yang habis dijual, membuktikan pembangunan dibuat Kerajaan Negeri. 

“Terbaru, projek perumahan golongan miskin di Bandar Utama Gua Musang yang akan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lama lagi,” katanya.

PR tetap edar buletin 'Suara CAT’




GEORGETOWN - Buletin Kerajaan Negeri ‘Suara CAT’ akan tetap diedarkan kepada orang ramai di Kepala Batas walaupun beberapa ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) diganggu oleh ahli UMNO kelmarin. 

Pegawai Penerangan, Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Anuar Hashim berkata, insiden yang berlaku tidak akan melemahkan semangat ahli Pakatan Rakyat (PR) malah akan meneruskan program yang dirancang oleh Penyelaras KADUN PR. 

“Kami tidak akan mengundur diri daripada menyampaikan buletin itu kepada penduduk di sana walaupun menghadapi tekanan daripada UMNO,” katanya pada sidang media di pejabat Ketua Menteri di Komtar, semalam. 

Menurutnya, UMNO tidak berhak menghalang pengedaran buletin itu kerana ia hanya menyampaikan maklumat Kerajaan Negeri kepada orang ramai. 

“Kenapa UMNO cuba menghalang buletin itu diedarkan kepada orang ramai. Mereka takut buletin ini memberi kesan kepada pembaca di kawasan berkenaan. Oleh itu, mereka cuba mencetuskan provokasi sedemikian,” katanya. 

Beliau juga kesal dengan tindakan ahli UMNO yang bertindak luar kawalan kelmarin dengan memukul dan mengugut Ketua Cabang PKR Kepala Batas, Abdul Latif Abdullah ketika mengedarkan buletin di tepi Jalan Perak berhadapan Masjid Jamek Jamiul Badawi. 

“Saya percaya individu yang bertamadun tidak melakukan sesuatu perkara di luar batasan seperti mencederakan orang. 

"Tindakan itu jelas menunjukkan penyokong UMNO kurang bijak dengan senario politik sekarang,” katanya. 

Justeru, beliau menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Zabariah Abdul Wahab menasihatkan penyokongnya supaya lebih berdisiplin dan berhemah. 

Sementara itu, Abdul Latif berkata tindakannya mengedarkan risalah di kawasan Kepala Batas bukan berniat untuk mengadakan demonstrasi atau perhimpunan haram. 

“Penyokong UMNO salah faham dengan kehadiran kami kerana menganggap saya mahu berjumpa Zabariah untuk bertengkar. Itu adalah satu persepsi yang salah,” katanya. 

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan pergaduhan kecil berlaku antara ahli UMNO yang berkumpul berhampiran Pejabat Pusat ADUN Bertam dengan Abdul Latif kira-kira jam 5 petang berpunca daripada tidak puas hati mereka terhadap provokasi ahli PKR ketika mengedar buletin berkenaan.

Panik Kerajaan Negeri ambil rumah



HUTAN MELINTANG - Seramai 59 pemilik rumah di Rancangan Perumahan Awam (RPA) Sungai Dulang, di sini panik apabila rumah yang dibeli mereka akan diambil oleh Kerajaan Negeri. 

Seorang pembeli, Razali Sabdin, 54, berkata, majoriti pemilik rumah tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan Negeri mengenakan tindakan ‘spray’ tanpa sebarang perbincangan dengan penduduk. 

Menurutnya, surat arahan supaya menjelaskan tunggakan itu diterima penduduk pada Jumaat lalu. 

“Bukannya kami tidak bayar langsung, cuma ada tunggakan sahaja tetapi mereka tak patut buat macam ini kepada kami. 

“Kami tidak mahu kehilangan rumah dan masalah ini perlu dibawa berbincang dengan penduduk yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di RPA Sungai Dulang, di sini, kelmarin. 

Razali berkata, jumlah tunggakannya cuma RM7,411 dan kadar bulanan sebanyak RM137 masih terus dibayar. 

"Masih ada enam tahun lagi tempoh untuk melangsaikan bayaran rumah berkenaan yang akan tamat pada 2016," katanya. 

Tempoh terlalu singkat 

Seorang lagi penduduk, Tan Teck Chai, 52, berkata, tempoh yang diberikan oleh kerajaan terlalu singkat iaitu sebulan dan hujung bulan nanti penduduk diarahkan pindah. 

Menurutnya, jumlah tunggakannya RM7,000 tidak mampu untuk dibayar sekali gus kerana keluarganya bukan berpendapatan tinggi. 

“Saya cuma kerja kampung dan mana boleh dalam tempoh sebulan untuk bayar semua hutang yang tertunggak itu. 

“Penduduk di sini memohon Kerajaan Negeri menggunakan budi bicara untuk menyelesaikan masalah ini kerana kebanyakan penduduk berpendapatan rendah,” katanya yang turut mengadukan hal tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Kesavan, kelmarin. 

Katanya, harga setiap rumah di situ berbeza-beza dan nilai rumah yang dibelinya adalah bernilai RM41,000. 

"Rumah yang dibeli ini saya didiami bersama isteri, seorang anak dan bapa yang sudah pun uzur," katanya. 

Sementara itu, seorang lagi penduduk, G Pendamah, 59, berkata, dia kini menghadapi masalah untuk membayar sejumlah RM29,565 iaitu tunggakan yang dikenakan. 

Menurutnya yang juga merupakan ibu tunggal, dia sukar menjelaskan hutang itu selepas mengalami lumpuh separuh badan dan tidak boleh bekerja. 

"Saya cuma sempat membayar ansuran selama enam bulan sahaja sebelum penyakit berkenaan menyerang. 

"Selepas menerima surat arahan itu, keadaan hidup saya semakin tertekan kerana memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar jumlah yang tertunggak itu," katanya. 

Ibu kepada enam anak itu berkata, mungkin dia akan meminta anak-anaknya membantu untuk menjelaskan tunggakan rumah berkenaan. 

"Dengan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) RM300, saya tidak mampu untuk membayar wang tunggakan itu," katanya. 

ADUN mahu bincang dengan MB 

Sementara itu, ADUN Hutan Melintang, S Kesavan yang menemui penduduk di situ berkata, beliau akan cuba mengadakan temu janji dengan Menteri Besar (MB) Perak bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi penduduk. 

Menurutnya, bayaran balik perlu dibuat mengikut kemampuan penduduk dan tidak boleh dibuat secara paksa. 

“Memang kita dah terima aduan ini sejak Jumaat lalu dan hari ini (kelmarin) saya sendiri datang bertemu penduduk untuk mengetahui masalah yang mereka hadapi,” katanya. 

Menurut Kesavan, kerja melabel dengan cat merah perlu ditarik balik kerana ia memalukan penduduk seolah-olah mereka langsung tidak membuat permbayaran ansuran bulanan yang ditetapkan. 

"Bagi masyarakat India yang akan meraikan Deepavali tidak lama lagi, masalah itu sesuatu yang memeritkan. 

"Bukan sahaja penduduk terpaksa mengosongkan rumah, tetapi mereka juga terpaksa menanggung malu apabila saudara mara datang ke rumah sempena perayaan kaum India itu," katanya.

Premis di tanah rizab diroboh




KOTA BHARU- Seorang pemilik kedai mengalami kerugian RM400 sehari, manakala lima pekerjanya hilang punca pendapatan kira-kira RM140 sehari apabila kedai makan hampir dirobohkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kira-kira jam 10 pagi semalam. 

Pemilik kedai berkenaan, Lokman Mat Yunus, 21, berkata, kedai berkenaan merupakan premis warisan yang menjalankan perniagaan makanan sejak 10 tahun lepas dan diambil alih daripada bapa saudaranya sejak dua tahun lalu. 

“Saya mengakui premis ini berada pada tanah rizab kerajaan dan saya menghargai kedai ini tidak dirobohkan secara keseluruhan setelah dibuat rayuan apabila memikirkan ia baru sahaja diubahsuai (tiga bulan lalu) dengan nilai lebih RM10,000. 

“Namun, sebagai peniaga, saya kesal dan masih buntu dengan keputusan ini serta berharap pihak berkaitan membuat pertimbangan bagi membolehkan punca pencarian rezeki kami terbela,” katanya kepada Sinar Harian, di Cabang Tiga, Kampung Kedai Buloh, di sini, semalam. 

Dalam kes ini, pihak PBT yang terdiri daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu (PTJ Kota Bharu), Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan beberapa anggota polis turut serta merobohkan bahagian bumbung hadapan kedai itu. 

Katanya, pihak berkuasa berkaitan pernah memberikan surat makluman bagi merobohkan bangunan kedai miliknya tiga hari lepas bagi menjalankan usaha berkenaan Selasa lalu, tetapi pihaknya sudah melakukan rundingan dengan MPKB-BRI, tetapi tidak dengan PTJ Kota Bharu. 

Lokman mendakwa, tindakan membuat laporan mengenai pemilikan tersebut mungkin dibuat oleh kenalannya setelah mereka pernah berniaga bersama, namun apabila berlaku salah faham, kedai berkenaan dibahagikan dan berada pada tanah rizab kerajaan.

“Kedai ini memang menjadi tumpuan lebih 100 pelanggan sehari yang terdiri daripada penduduk kampung yang mendapatkan nasi pagi dan masakan panas semasa beroperasi dari jam 8 pagi hingga 2 pagi. 

“Walaupun ada perasaan terkilan, namun saya menghargai cara pihak berkuasa datang dengan memohon izin terlebih dahulu dan saya merayu akan merobohkan sendiri bahagian lain. 

“Bagaimanapun, saya memohon jasa baik mereka (PBT) supaya memberikan jalan terbaik bagi membolehkan kedai ini masih beroperasi biarpun pada lokasi lain,” katanya. 

Beliau turut mendakwa, abangnya, Mohd Bakri Mat Yunus, 27, pernah membuat perbincangan dengan pemimpin setempat pada Ahad lalu dan sekarang ini mereka sedih apabila kedai yang dahulunya berbumbung atap dan dibina baru terpaksa dirobohkan. 

Sementara itu, pekerjanya, Wan Munirah Wan Noh, 29, sedih apabila memikirkan dia akan hilang punca pencarian setelah bergantung harap dengan sumber pendapatan di kedai itu sejak lebih setahun lalu. 

“Saya terkejut melihat keadaan kedai makan ini dan sekarang saya tidak tahu bagaimana untuk mencari pendapatan sedangkan di kedai ini sudah ramai pelanggan tetapnya yang tersendiri,” katanya yang mempunyai tiga anak. 

Pekerja lain, Wan Yusri Wan Hasan, 33, pula yang mempunyai lima anak berkata, dia terkejut melihat keadaan bumbung kedai yang dirobohkan semasa sampai ke tempat itu bagi memulakan kerja sebagai 

pembantu gerai.

Abang beritahu Aminulrasyid hilang



SHAH ALAM – Seorang penuntut mendakwa abang kepada Aminulrasyid Amzah memberitahunya, adiknya itu hilang bersama kereta kakaknya pagi kejadian sebuah kereta Proton Iswara terbabas melanggar pokok, dalam satu kejadian tembakan di Seksyen 11, April lalu. 

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, juga mendakwa abang Aminulrasyid, Muhammad Shahreeman Putra Amzah, 29, menghubunginya supaya dia menceritakan kejadian itu. 

Dia memberi keterangan itu dalam perbicaraan seorang anggota polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam , Koperal Jenain Subi, 48, yang dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, tanpa niat di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 dan 2 pagi, 26 April lalu. 

Dalam keterangan lalu, dia mendakwa melihat sebuah kereta terbabas dan seorang lelaki melarikan diri selepas mendengar bunyi dentuman kuat di hadapan rumahnya yang terletak di atas bukit. 

Sebelum itu saksi itu mendakwa mendengar bunyi mercun seperti tembakan diikuti bunyi siren kereta peronda polis. 

Ketika disoal peguam M Athimulan perihal bagaimana abang Aminulrasyid tahu mengenainya yang melihat kejadian, Zafrullah Ahmad menjelaskan, pada malam itu dia cuba menghubungi lelaki itu berhubung kejadian sebuah kereta terbabas di lorong berdekatan. 

Katanya, dia sengaja ingin memberitahu Shahreeman kerana berdekatan rumah rakannya sedangkan dia tidak mengetahui kereta terbabas membabitkan Aminulrasyid. 

Bagaimanapun talian tidak berangkat tetapi jam 8 pagi, Shahreeman menghubunginya supaya menceritakan kejadian itu dan dia kemudian ke rumahnya. 

“Pada masa itu dia (Shahreeman) tidak tahu kejadian. Dia cakap kereta dan adiknya hilang,” katanya. 

Dia menceritakan kejadian itu kepada Shahreeman berdasarkan pengetahuan dan penglihatannya pada malam itu.

Denggi di Terengganu 'mencemaskan'



KUALA TERENGGANU - Kes demam denggi di negeri ini dalam situasi ‘mencemaskan’. Sejumlah 1108 kes dilaporkan sehingga 16 Oktober baru-baru ini berbanding 822 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu dengan menunjukkan jumlah peningkatan sebanyak 34.4 peratus. 

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nordiyanah Hassan berkata, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi dalam tempoh berkenaan iaitu sejumlah 649 kes berbanding 338 kes dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya dengan mencatatkan dua kes kematian. 

“Ia diikuti daerah Dungun (99 kes) dan daerah Besut (117 kes) manakala daerah lain masih dalam keadaan stabil walaupun turut menunjukkan jumlah peningkatan kes dalam tempoh berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu Kempen Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Negeri Terengganu di Auditorium Kompleks Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam. 

Menurutnya, masalah utama dikenal pasti menjadi penyumbang besar kes demam denggi di daerah Kuala Terengganu ini ber-punca daripada sikap masyarakat yang tidak mengambil berat cara pembuangan sampah. 

“Setelah membuat pemantauan, kami dapati isu utama penyumbang kes tertinggi berpunca daripada corak pembuangan sampah terutamanya di perkampungan tradisional dan juga di kawasan perpindahan. 

“Contohnya di Kampung Chendering dan Kampung Gong Tok Nasek, kami dapati masih ramai dalam kalangan masyarakat di sini tidak mengendahkan cara pembuangan sampah yang betul terutama sampah di dalam plastik,” katanya. 

Sementara itu dalam perkembangan lain, Nordiyanah berkata, tahap kesedaran kaum Melayu menjadi penderma organ masih lagi kurang berbanding kaum lain disebabkan faktor agama. 

“Masih ramai dalam kalangan kaum Melayu di sini takut untuk menjadi penderma organ atas alasan agama sedangkan dalam masa sama, keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan telah pun memutuskan menderma organ (seperti pemindahan mata dan jantung orang yang telah meninggal dunia) kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam. 

Sehingga kini, 140,000 rakyat negara ini sudahpun berikrar untuk mendermakan organ dan 300 pendermaan organ dilakukan manakala di negeri ini pula, hanya dua yang sudah berikrar.

'Saya ikut tingkap'

RESAH...ahli keluarga sedih menunggu mayat mangsa lemas.
RESAH...ahli keluarga sedih menunggu mayat mangsa lemas.
BINTULU: “Semuanya kelam-kabut, tetapi saya dapat memecahkan tingkap bot dan berenang keluar,” kata Silo Gerenang, 58, seorang daripada tujuh penumpang yang selamat selepas sebuah bot ekspres karam di Sungai Kakus, Kelebu di sini, semalam.
Menurut Silo, sebaik bot yang membawa lebih penumpang itu terbalik selepas berlanggar dengan bot tunda balak di Ulu Sungai Anap, suasana menjadi kelam-kabut dengan jeritan penumpang meminta tolong dan ada juga berasak mencari jalan keluar menyelamatkan diri.

“Kejadian berlaku sekelip mata dan kebanyakan penumpang gagal menyelamatkan diri kerana terperangkap. Saya bersyukur dapat keluar dan berenang ke tebing sungai sebelum dibawa orang ramai ke hospital,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, sebuah bot yang sarat dengan 30 penumpang terbalik selepas bot dinaiki tersangkut tali tongkang dan 19 daripadanya masih hilang dan dikhuatiri lemas.

Sehingga jam 8 malam tadi, empat mayat ditemui manakala nasib yang lain belum diketahui. Dua mayat ditemui kira-kira jam 8 malam dan kira-kira 40 minit kemudian, satu lagi mayat yang belum dikenal pasti identiti ditemui dalam bot terbabit.

Selang lima minit kemudian mayat keempat ditemui ketika bot ekspres yang terbalik ditarik naik ke permukaan menggunakan sebuah tongkang lain.

Difahamkan, bot ekspres berkenaan tidak menyediakan jaket keselamatan kepada penumpang dan ketika kejadian ia membawa penumpang berlebihan.

Tragedi semalam mengimbas kembali beberapa kejadian bot karam di Sarawak membabitkan kehilangan ramai penumpang.

Pada April 1999, 12 pelajar Sekolah Menengah Pusa maut apabila bot laju yang mereka naiki berlanggar dengan kapal pengangkut kayu di Sungai Saribas dan sehari selepas itu, sekali lagi penduduk mendapat berita buruk apabila tujuh penumpang mati lemas selepas bot pukat tunda berlanggar tongkang pasir di sungai yang sama.

Manakala pada April 2005, kira-kira jam 4 pagi, bot pukat tunda dinaiki 16 penumpang dari Kuching ke Beladin berlanggar dengan tongkang membawa pasir menyebabkannya tenggelam mengorbankan tujuh nyawa.

Tragedi paling besar pernah tercatat dalam sejarah pengangkutan di Sarawak ialah kapal MV Pulau Kidjang, kapal pengangkut penumpang dan kargo yang karam di muara Sungai Rejang (perairan Tanjung Jerijeh) pada Disember 1973. Dalam kejadian itu, Pulau Kidjang yang dipercayai mampu memuat seramai 150 penumpang mengorbankan 121 nyawa penumpang dan hanya 38 orang terselamat dalam kejadian yang berlaku disebabkan keadaan cuaca buruk ketika pelayaran.http://www.hmetro.com.my

Mogok sehari di Perancis




SEORANG lelaki merosakkan sebuah kereta dalam protes menentang had umur persaraan dilanjutkan di Lyon, Perancis semalam.


PARIS - Sebahagian pesawat dihalang memasuki lapangan terbang Perancis manakala anggota-anggota polis terpaksa bertembung dengan sekumpulan pemuda yang membaling batu semalam.
Kejadian itu merupakan gelombang baru mogok di seluruh negara kerana membantah cadangan untuk melanjutkan had umur bersara daripada 60 tahun kepada 62 tahun.
Sebahagian pekerja di pelbagai sektor di seluruh Perancis bergabung menyertai mogok selama sehari itu semalam.
Sebelum ini negara itu diselubungi selama seminggu tunjuk perasaan yang dilakukan pekerja-pekerja penapis minyak, pelajar dan pekerja-pekerja operator kereta api kebangsaan berhubung cadangan untuk melanjutkan had umur persaraan.
Semalam merupakan hari keenam tunjuk perasaan yang memprotes pelan pembaharuan pencen.
Pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja berikrar untuk meneruskan tekanan sehingga pemerintah memansuhkan pelan yang kurang popular itu.
Presiden, Perancis, Nicolas Sarkozy berikrar mahu meneruskan pelan persaraan itu sebagai langkah untuk mengurangkan defisit. - AP