SEORANG askar kerajaan membedil peluru mortar di bandar raya Zamboanga, selatan Filipina semalam.- REUTERS
ZAMBOANGA - Beberapa buah helikopter tentera membedil roket ke arah kawasan persembunyian gerila Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di sini semalam dalam usaha menamatkan konfrontasi selama lapan hari yang meragut berpuluh-puluh nyawa di selatan Filipina.
Tentera Filipina menyatakan, pihaknya semakin hampir menghapuskan kumpulan bersenjata MNLF yang menceroboh bandar raya ini untuk menggagalkan perjanjian damai antara kerajaan dengan seterunya, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
"Kami tahu mereka cuba melarikan diri," kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ramon Zagala sejurus sebelum serangan helikopter itu dilancarkan.
Dua buah helikopter membedil roket ke arah sejumlah gerila MNLF yang bersembunyi di dalam dan sekitar dua buah perkampungan tepi pantai semalam.
Ia merupakan serangan udara pertama sejak pihak tentera memulakan operasi menggempur anggota-anggota bersenjata MNLF pada Jumaat lalu.
Pada awal konfrontasi tersebut, kira-kira 200 gerila MNLF menawan berpuluh-puluh tebusan dan membakar ratusan kediaman sekali gus menyebabkan bandar raya ini lumpuh.
Seramai satu juta penduduk tinggal di sini yang merupakan pusat komersial utama di selatan Filipina.
"Kini tinggal cuma sekitar 100 gerila MNLF selepas berpuluh-puluh dibunuh dan ditangkap, manakala kubu mereka juga ditawan semula," ujar Zagala.
Namun, saki-baki anggota bersenjata MNLF itu katanya, masih bersembunyi dan menyamar sebagai orang awam.
Sebanyak 51 gerila MNLF dan enam anggota tentera serta empat orang awam terbunuh dalam pertempuran berkenaan.
Gerila Islam telah berjuang sejak tahun 1970-an untuk mendapatkan kemerdekaan atau status wilayah autonomi di selatan Filipina.
Dianggarkan seramai 150,000 orang terbunuh dalam kebangkitan tersebut.
Kerajaan Filipina masih berunding dengan MILF bagi mengembalikan keamanan di Pulau Mindanao, selatan Filipina dengan menjanjikan wilayah autonomi lebih luas kepada mereka.
Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan MNLF pimpinan Nur Misuari yang bimbang mereka akan dipinggirkan.
MILF yang mempunyai 12,000 anggota bersenjata merupakan kumpulan penentang terbesar di Mindanao. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0917&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2f68gWAHV
Hakcipta terpelihara