Sunday, August 17, 2014

Abdul Khalid bagai harimau cedera


  • Dr Dzulkefly Ahmad Dr Dzulkefly Ahmad

[VIDEO] SEHINGGA 17 Ogos ini atau esok, semua pimpinan Pas khususnya di Selangor diarah untuk tutup mulut dan tidak mengeluarkan sebarang pendirian dan kenyataan terhadap krisis politik di Selangor dan pada masa ini juga mereka perlu patuh kepada keputusan Majlis Syura Ulama Pas memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Namun kurang tiga sebelum tarikh itu, Lajnah Politik Pas pula bermesyuarat dan memutuskan untuk menolak cadangan supaya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.
Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat merangkap Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad untuk mengulas lanjut kemelut politik yang dihadapi Pas untuk terus kekal relevan dalam landskap politik di negara ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Pas melihat krisis politik di Selangor memberi kelebihan atau bencana kepada Pas untuk kekal menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor selepas dirampas oleh Menteri Besar dari Adun Bebas, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim?


DZULKEFLY: Saya telah nyatakan pada mulanya krisis ini saya sangat tertekan dengan cara kesemua komponen dan pimpinan parti dalam PR mula menembak sesama sendiri.

Ketika itu saya mengeluarkan beberapa kenyataan menyebutkan istilah sebagai PR dalam kemelut memusnahkan PR sendiri.

Lalu saya menekankan betapa pentingnya Majlis Presiden bersidang atau bermesyuarat untuk segera menangani kemelut itu.

Alhamdulillah esoknya itu keluar kenyataan mengingatkan semua pimpinan supaya berhenti daripada menembak sesama sendiri.
Setelah Tan Sri Khalid dipecat, berlaku krisis (pemecatan enam Exco PR Selangor) yang saya istilahkan sebagai ‘ribut yang sempurna’.
Lalu ketika itu juga tindakan parti-parti komponen itu jelasnya nampaknya sedikit berbeza, Pas semacam agak terasing daripada DAP dan PKR.
Tentunya ia telah mencetuskan pelbagai persepsi yang gusar dan khuatir, tidak memahami kenapa Pas mengambil tindakan-tindakan seperti ini.
Saya mahu jelaskan terdapat dua perkara sebagai penjelasan dan pencerahan daripada saya untuk memahami apa yang berlaku.
Pertama saya ingin tegaskan, meskipun dalam tindakan setelah berlaku pemecatan dan Tan Sri Khalid menghadap Sultan Selangor seraya mengatakan bahawa beliau masih mendapat sokongan dan Tuanku memperkenankan Tan Sri Khalid terus memerintah sekaligus PR telah hilang kerajaan ketika itu.
Kerajaan negeri Selangor itu sudah menjadi kerajaan Tan Sri Khalid dan ketika itu jugalah empat Exco dari Pas mengambil pendirian yang agak berbeza.
Undang-undang Tubuh Negeri mensyaratkan sekurang-kurang empat Exco, maka mereka boleh meneruskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor.
Saya memberikan tafsiran ini meskipun dilihat sebagai satu yang negatif kepada Pas tetapi saya pernah menyebut dalam penulisan awal bahawa dengan ‘campur tangan langit’ sahaja dapat mengelakkan PR daripada hancur apabila pimpinan PR mula menembak sesama sendiri.
Bagi saya langkah ini walaupun tidak nampak sebagai satu cemuhan daripada rakan-rakan dalam PR, saya berani menyatakan bahawa langkah ini sangat penting untuk mengelakkan kerajaan negeri Selangor ini dirampas kuasa mengikut pintu belakang (back door coup d'etat).
Apabila empat Exco kami ini menyatakan sokongan kepada Tan Sri Khalid dengan meletakkan syarat supaya Tan Sri Khalid tidak akan melantik mana-mana Adun dari Umno sebagai Exco, sekiranya berlaku maka mereka akan letak jawatan serta-merta.
Langkah ini saya fikir sangat berani dan konvensional sekaligus mencetuskan pelbagai persepsi terhadap Pas, namun saya berani mengatakan bahawa langkah itu telah menyelamatkan Pas daripada dirampas kuasa oleh Umno.
Saya juga mendengar daripada sumber-sumber sahih bahawa ada pihak mengatakan Umno akan dilantik oleh Tan Sri Khalid untuk mengambil alih kesemua kerusi Exco yang dikosongkan oleh wakil PR itu.
Ketika episod kedua berlaku yang diambil oleh PKR, kita dapati sekali lagi Pas menyelamatkan keadaan dengan pintu depan.
Dua Adun Pas Selangor yang mempunyai komitmen dan keyakinan diri mereka bahawa mereka bertindak dengan semangat dalam lingkungan dasar yang diputuskan dalam Muktamar Pas untuk mengukuhkan PR.
Mereka membuat ijtihad dan mereka berdepan dengan kecaman dan pelbagai tuduhan dari luar dan dalam, maka saya anggap satu tindakan itu tidak konvensional, tidak dijangka dan sangat luar biasa.
Dengan itu sekaligus mengizinkan PR membuka 'pintu depan' kepada apa yang ada pada hari ini nyata menjadi satu cabaran kepada Tan Sri Khalid bahawa kononnya bahawa dia dapat suara ramai (majoriti) dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.
Jadi tinggal 30 suara Adun jelas kepada Tuanku bahawa ia membuka isyarat jelas mengikut Undang-undang Tubuh Negeri, kita tahu siapa kerajaan di Selangor ini.
Walaupun kenyataan Tan Sri Khalid sangat mengejutkan yang mengatakan bahawa tiada kerajaan PR dan tidak wujud PR di Malaysia kerana tidak berdaftar kononnya.
Selama ini dia (Khalid) berdiri di atas apa ya? Itu perkara yang ditanya oleh rakyat. Sekali gus penafian Tan Sri Khalid itu tidak mengizinkan Sultan Selangor membubarkan Dun Selangor.
Dua perkara itu sangat penting bagi kami dalam Pas yang mahu difahami kerana banyak cemuhan kami terima kononnya kami telah keluar dari PR, kami menyokong orang yang sudah dipecat dan sebagainya.
Politik sangat kompleks bukan boleh dibaca selapis tetapi beberapa lapis, beberapa strategi yang “multipronged”.
Akhirnya yang penting bagi PR ialah melakukan transisi kepada pertukaran Menteri Besar Selangor dan PR kembali memerintah Selangor.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah pendirian Pas tidak konsisten selepas menyokong Tan Sri Khalid kemudian mahu meletak jawatan jika Adun Umno dilantik menjadi Exco?

DZULKEFLY: Sebagai sebuah parti politik yang berteraskan Islam, kita juga ada perhitungan-perhitungan, kita boleh terangkan secara jelas, sering kali perhitungan strategik itu yang dilihat dalam tindakan dan amalan kami termasuk pendekatan yang telah kami lakukan.
Saya kira dalam hal sangat penting, akhirnya rakyat boleh lihat dengan apa yang dilakukan oleh empat Exco Pas itu, ia tidak mencetuskan satu keadaan huru-hara.
Ada yang mengatakan boleh saja diMagerankan negeri ini, atau boleh diambil alih atau boleh saja dibubarkan DUN Selangor sekaligus boleh mengundang Pilihan Raya Negeri serta-merta.
Kami mahu tindakan-tindakan kami dilihat dengan segala rendah hatinya, bukannya kami mahu jadi hero, perhitungan kami itu ada asasnya dan terbukti apa yang dilihat pada hari ini.
Kepelbagaian tindakan itu kami berharap akan dapat difahami oleh kawan dan lawan.

SINAR HARIAN ONLINE: Pas dikatakan lambat menyatakan pendirian dalam krisis Menteri Besar ini sedangkan parti komponen lain dalam PR menyatakannya lebih awal.
DZULKEFLY: Itu saya tidak boleh beri jawapan yang tepat, perhitungan itu dalam pemikiran Presiden Pas, walaupun saya tidak setuju, tetapi saya menghormati pandangan beliau itu dan saya yakin 17 Ogos nanti kita akan buat keputusan begitu cermat dan teliti setelah mendapat pelbagai pandangan.
Saya juga berpandangan kalau boleh kita mengadakan mesyuarat dengan segera kerana isu ini melibatkan pengurusan krisis.
Pas nampaknya tidak pandai mengurus krisis walaupun kita ada seorang pakar iaitu Dr Mujahid Yusof Rawa di mana PhDnya dalam “Crisis Management”.
Pas ini dilihat seperti berlengah-lengah, tidak tahu erti krisis, saya kira tuduhan-tuduhan itu bolehlah kita terima sebagai muhasabah dan peringatan bagi kami.
Sementara saya mahukan perkara ini disegerakan, saya masih menghormati pendirian Presiden Pas yang mungkin ada perhitungan-perhitungan tertentu.
Hanya tinggal 24 jam lagi dan kita akan bertemu dengan kenyataan dan realiti dalam membuat keputusan yang sangat besar untuk masa depan Pas dan PR.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Dr melihat tindakan Tan Sri Khalid itu yang membuat keputusan agak drastik memecat enam Exco DAP dan PKR disebabkan enggan bekerjasama dengannya?
DZULKEFLY: Saya kira beliau telah menjadi seumpama seekor harimau yang cedera, ia sangat ganas, dan juga kerana itu orang tahu beliau melanggari prinsip demokrasi.
Kalau kita sudah hilang kepercayaan oleh parti kita sendiri dan gabungan politik, maka kita tidak ada lagi moral untuk terus mentadbir sebuah negeri mahupun negara.
Perkara itu sudah jelas dalam tindakan-tindakan, menurunkan ketua negara itu bukannya sesuatu yang pelik, ia telah berlaku berulang kali dan kali ini berlaku dalam PR.
Jangan dianggap sebagai di luar daripada amalan demokrasi, mengikut peruntukan pun dia mesti lepaskan jawatan, tapi nampaknya Tan Sri Khalid pula lebih mengganas.
Kita tahu bahawa hari-harinya sudah tinggal beberapa hari untuk dihitung. Kita juga menunggu 27 Ogos ketika Tuanku balik, perkara ini kita akan terus hadapi, ketika itu pun Pas sudah membuat keputusan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana Pas menolak khabar angin mengenai kerajaan perpaduan akan menggantikan kerajaan negeri Selangor?
DZULKEFLY: Ini adalah politik, gelanggang politik itu dikatakan bermacam kemungkinan boleh berlaku dan mampu dilakukan.
Saya terlibat dalam politik sejak sekian lama, bagi saya ia bukan satu kejutan atau aneh di luar jangkaan, perkara itu perlu diambil kira oleh mana-mana pimpinan politik.
Persoalannya bagaimana kita menangani dan menggarap kemelut itu yang penting. Sesiapa pun boleh melontarkan apa jua cadangan, resepi, formula dan sebagai, tetapi inilah yang akan menguji kesepaduan, kematangan dan kedewasaan PR sebagai satu gabungan parti politik.
Apakah mampu kita atasi semua ini dan pada akhirnya keluar dengan satu kekuatan yang lebih ampuh, lebih mampu dan lebih berpadu.
Dengan pengalaman ini tentunya banyak sisi pandang dan iktibar yang perlu kita ambil dan kita kena perkemaskan tadbir urus dan cara-cara kita membuat penyelesaian pengurusan krisis seperti ini.
Krisis ini saya kira agak besar yang pernah berlaku dalam pengalaman kami dalam PR, mungkin kita ada dulu sebelum ini dalam Barisan Alternatif (BA), tetapi saya tidak merasakan ia akan menggugat PR.
Saya berpandangan bahawa Pas akan kembali meletakkan asas pendekatan politik kami dengan apa yang diputuskan bersama dalam beberapa muktamar Pas lalu secara berurutan dan berterusan menekankan betapa pentingnya untuk kita terlibat dalam tahaluf siyasi atau muafakat politik PR sebagai hanya satu wadah yang mampu menggugat, menyemak imbang dan dengan izin ALLAH mampu menumbangkan Umno dan BN.
Inilah wadahnya, jika tiada PR, rakyat di Malaysia ini sudah hilang satu kuasa menyemak imbang dan mencabar.
Sistem dua parti itu adalah sangat penting dalam kehidupan sesebuah politik yang sifatnya bertenaga dan punya sifat semak imbang.
Bayangkan jika tiada PR, maka saya berani mengatakan sampai kiamat negara ini akan ditadbir oleh Umno-BN dengan segala kebejatan kerana tiada pencabarnya.
Ini meletakkan demokrasi di negara kita dalam keadaan sangat tempang kerana ia tidak dapat mewujudkan sistem dua parti.
Dalam Islam pun dua sistem parti itu dikatakan sebagai prinsip dalam Al-Quran, prinsip Sunnatul Tadafuk.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah mungkin kerajaan campuran akan diwujudkan di Malaysia susulan krisis MB Selangor ini? Adakah konsep kerajaan itu boleh diterima?
DZULKEFLY: Saya memandang kerajaan campuran ini sebagai sesuatu yang berlawanan dengan apa yang kami mahukan sebagai pola sistem dua parti dalam gabungan politik.
Pas pernah punya pengalaman dalam Perikatan atau BN, jadi ia mengimbau pengalaman yang cukup pahit bagi kami, nampaknya lawan kami hanya mahu memanggil kepada gabungan ketika mereka sedang berdepan dengan tekanan dan kelemahan.
Tetapi ketika mereka kuat nanti, mereka akan tendang kami keluar, tetapi lebih penting bagi saya ialah saya mementingkan persoalan mewujudkan sistem dua parti.
Sangat bahaya seandainya berlaku gabungan antara Umno dan Pas kerana gabungan Melayu dan Islamis itu akan membawa satu pola yang dikatakan Melayu Islamis Supramasis satu doktrin yang sifatnya itu boleh membawa kepada pertentangan kaum, agama dan budaya.
Bagi saya untuk bergerak kehadapan ia (kerajaan campuran) tidak baik bagi sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, kaum dan budaya.
Saya rasa lebih sesuai dengan Islam dengan sifat demokrasi dalam Islam itu sendiri, ia kekal sebagai sistem dua parti, yang sana ada Umno, di sini ada Pas, di sana juga ada parti pelbagai kaum dan di sini juga ada begitu.
Itulah semak imbang yang cantik, cumanya kami mengingatkan semasa orang politik supaya jangan jadikan gelanggang politik ini hingga menjadikan satu sifatnya yang memusnahkan dan “zero sum game”.
Hal ini tidak dalam semangat politik Islam sebenar-benarnya. Siapa pun pemerintah, pembangkang menyemak dan mungkin suatu hari nanti akan bertukar kuasa ini.
Saya mengharapkan ia menjadi kematangan politik di negara ini yang langsung akan mengangkat keupayaan dan daya saing negara dengan segala sumber yang kita miliki.

SINAR HARIAN ONLINE: Baru-baru ini Merdeka Centre ada menyebut bahawa krisis politik di Selangor banyak menjejaskan keyakinan rakyat negeri itu ke atas PR?

DZULKEFLY
: Saya terpaksa mengakui sedikit sebanyak ia telah menjejaskan kepercayaan dan keyakinan rakyat khususnya pengundi sama ada pengundi tegar atau baharu kepada PR termasuk kepada Pas khususnya.
Kesemuanya saya pernah tweet sebelum ini, bahawa adat alam ini, ada panas, ada hujan, sekali sekala ada ribut. Tetapi ribut itu jugalah adalah penting menangani jerebu-jerebu yang tercetus.
Kadang kala jerebu itu diperlukan untuk membawa pergi segala pencemaran alam.
Begitulah pada sifat alam itu, saya dan kawan-kawan dalam PR khususnya Pas mengakui banyak penulisan yang dibuat, kadang kala orang bertanya, adakah benar “Pas for All”, nampak lebih kurang macam Umno dan sebagainya.
Apabila reda ribut ini, mereka akan nampak perkara sebenarnya, komitmen kami kepada Islam sebagai agama menaungi dan memberi keadilan semua.

PR adalah wadah untuk membawa satu landskap politik ke arah dua sistem parti ini adalah sangat penting untuk kita kekalkan.

Saya tidak kata PR mesti ambil alih Putrajaya, sama ada kami berjaya atau tidak, itu hanya ALLAH saja tahu dan takdirkan.

Tetapi saya minta supaya rakyat memahami adalah kepentingan untuk kita kekalkan sistem dua parti ini dan jangan kembali kepada sistem dominasi satu parti yang tidak mengizinkan negara ini diangkat sebagai negara maju kerana segala kebejatan tadbir urus sebuah kerajaan yang tidak disemak imbang oleh pembangkang yang kuat.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah pembangkang di Malaysia itu kuat, teruji dan terbukti?

DZULKEFLY: Saya kira inilah waktu-waktu dan era pembangkang paling kuat di negara ini.

 Saya berani mengatakan bahawa kita tidak pernah melihat kekuatan dan kesepaduan pembangkang di negara ini kecuali apa yang sedang berlaku dalam PR sekarang.

 Inilah gabung pembangkang yang terkuat di negara ini, jadi saya mengharapkan kita dapat mengekalkan kekuatan ini, momentum ini dan gagasan ini supaya ia tidak kembali kepada sistem dominasi satu parti kerana jika ia menyebabkan negara pincang dan tempang.


SINAR HARIAN ONLINE: Cubaan PR untuk berdaftar sebagai pertubuhan yang sah di negara ini dan hal ini telah dipertikaikan oleh Tan Sri Abdul Khalid. Adakah kekangan ini terus memberi cabaran kepada pimpinan PR membawa gabungan ini dalam sistem dua parti di negara ini?

DZULKEFLY: Saya yakin perkara itu sesuatu yang perlu kita tangani, namun saya sendiri terlibat dalam usaha mendaftarkan PR, suatu masa dahulu dan sebelum pernah mendaftar Barisan Alternatif, saya juga terlibat dalam sekretariat tersebut.

 Barisan Alternatif itu merupakan pengalaman pertama saya dan pengalaman kedua dalam PR saya terlibat pada peringkat awal ketika itu bersama Datuk Zaid Ibrahim dan sekarang ini usaha yang sama diperbaharui oleh sekretariat baharu ini.

 Saya yakin kalau benar-benar Kerajaan Persekutuan ikhlas dan berjiwa besar, mereka seharusnya memberi laluan untuk Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) mengizinkan kami (PR) berdaftar sebagai satu gabungan.

 Saya mengharapkan perkara ini dapat diatasi dalam waktu seberapa segera kerana cemuhan bahawa kami ini adalah Pakatan tiruan dan sebagainya itu adalah sangat tidak adil.

 Di atas semangat untuk membangunkan negara bersama, izinkan PR didaftar sebagai sebuah gabungan yang sah di negara ini.


SINAR HARIAN ONLINE: Adakah mungkin berlaku sekali lagi perpecahan gabungan pembangkang dalam PR sepertimana yang berlaku dalam Barisan Alternatif pada 2001?

 DZULKEFLY: Saya mengharapkan peristiwa itu tidak berulang dan berakhir begitu, dan 17 Ogos akan menentukan bagaimana Pas menangani seterusnya cabaran politik masa depan.

MH17: 2 lagi mayat warga Malaysia dikenal pasti


  • MH17

THE HAGUE - BELANDA. Pihak berkuasa Belanda mengenal pasti dua lagi mayat warga Malaysia bukan beragama Islam, menjadikan setakat ini 26 jenazah rakyat Malaysia mangsa tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang disahkan identiti mereka.
  
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong berkata perkembangan terbaharu itu telah dimaklumkan kerajaan Belanda kepada Kedutaan Malaysia dan MAS.
  
"Saya dimaklumkan mengenai perkara itu dalam perjumpaan dengan Duta Besar kita di Belanda Datuk Dr Fauziah Mohamad Taib dan Naib Presiden Perkhidmatan Operasi MAS Datuk Baharom Mohd Yatim pada Sabtu.
  
"Perkara ini telah dimaklumkan kepada keluarga. Proses dokumentasi kini sedang dijalankan dan akan disiapkan secepat mungkin sebelum upacara sembahyang atau pembakaran mayat dilakukan," kata Dr Ka Siong kepada Bernama lewat Sabtu.
  
"Juga untuk makluman, kedua-dua kerajaan sedang berusaha keras bagi memastikan dua mayat ini dapat dihantar pulang segera," katanya.
 
Pada 14 Ogos lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata 24 jenazah rakyat mangsa tragedi MH17 telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Belanda, iaitu 14 penumpang dan 10 anak kapal.
  
Beliau turut berkata, 16 jenazah mangsa nahas yang berlaku 17 Julai itu, termasuk seorang bukan warga Malaysia, akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur dengan sebuah pesawat khas yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 pagi, Jumaat ini.
  
Tarikh itu juga diumum sebagai hari berkabung negara dan satu istiadat penghormatan jenazah mangsa tragedi itu akan diadakan pada hari berkenaan di Kompleks Bunga Raya, KLIA.
  
Dalam pada itu, Ka Siong yang sebelum ini telah dilantik untuk menguruskan proses pengurusan mayat rakyat Malaysia beragama Buddha, berkata pihaknya menjangkakan untuk mengumpul semua abu dan mayat bukan Islam pada Khamis untuk proses penghantaran pulang ke Kuala Lumpur.
  
Menurutnya, perbincangan berterusan dengan kerajaan Belanda sentiasa diadakan dan dikemas kini bagi memastikan segala prosedur operasi standard dan dokumentasi dilakukan dengan betul dan lancar.
 
Mengulas kehadiran pelbagai ketua agama bukan Islam yang dibawa khas dari Malaysia untuk upacara pengurusan mayat dalam konteks keagamaan, Wee berkata pihaknya berpuas hati dengan sambutan baik yang diberikan untuk penyempurnaan upacara berkaitan.
  
"Kita tidak tahu bila lagi akan ada mayat bukan Islam untuk diletakkan di bawah mereka selepas ini dan oleh itu kita akan terus berbincang dan bekerjasama untuk memastikan upacara ini terus berjalan lancar.
  
"Kita juga dapat sambutan yang sangat baik daripada persatuan Buddha di sini untuk sukarela adakan sendiri atau menyertai upacara pengurusan mayat," tambahnya.
  
Dilapor Ketua Agama Buddha Sing Han, Ketua Agama Tao Daozhang Tan Boon Sin, Ketua Agama Hindu S. Mohanshan dan Ketua Agama Sikh Sardar Harcharan Singh diterbangkan khas dari Malaysia sejak beberapa hari lepas untuk upacara pengurusan mayat bukan Islam.  
  
Penerbangan MH17 milik Malaysia Airlines yang membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal, terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia, dipercayai akibat ditembak jatuh. - Bernama

Dua pemimpin Pas pengikut setia Anwar


  • Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSORAnwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR

SHAH ALAM - Dua pemimpin Pas yang bertindak menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor, boleh dianggap sebagai pengikut setia Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, atas alasan itu mereka sanggup membelakangi keputusan parti dengan menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah.

“Saya tidak terkejut jika dua tokoh ini menyokong Anwar kerana mereka dari awal lagi pengikut setia Anwar.

“Bila kita tahu sejarah, kita dapat simpulkan mengapa dua tokoh ini memberi sokongan kepada PKR,” katanya.

Beliau mengulas berhubung tindakan Adun Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin yang membelakangi keputusan Pas dalam krisis penggantian Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, ideologi dua Adun berkenaan semakin menyerlah setelah usaha Anwar menaikkan isterinya, Dr Wan Azizah menemui jalan buntu.

“Kita tengok dua tokoh ini adalah bekas anak buah Anwar dan mereka muncul ketika parti berada dalam keadaan tersepit,” katanya.

Tambahnya, kenyataan dua Adun itu kononnya parti mereka lambat membuat keputusan berhubung pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya alasan semata-mata

Calon dua nama bukti Pas tidak yakin Azizah


  • Prof Madya Dr Sivamurugam PandianProf Madya Dr Sivamurugam Pandian

SHAH ALAM - [VIDEO] Keputusan Pas yang turut mencalonkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali selain Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan Menteri Besar Selangor menunjukkan parti itu masih mempunyai keraguan terhadap Wan Azizah.

Menjelaskan kepada Sinar Harian Online hari ini, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugam Pandian berkata, keputusan tersebut mungkin dibuat oleh Pas  berdasarkan pengalaman Azmin yang cukup matang dalam politik pentadbiran di negeri Selangor.

“Saya rasa apabila ada satu lain pilihan diberikan (bagi calon jawatan Menteri Besar Selangor), bermakna Pas tidak bersetuju sepenuhnya dengan Wan Azizah.

Azizah selaku Presiden, jika ditolak boleh beri gambaran kurang baik seolah-olah Timbalan Presiden lebih disenangi. Mungkin juga Azmin menjadi pilihan kerana Azizah kurang pengalaman,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.

Menurutnya lagi, keputusan Pas mencalonkan Azmin bagi jawatan Menteri Besar Selangor juga menunjukkan seolah-olah Azmin lebih berkelayakan dalam menyandang jawatan tersebut.

“Saya tidak tahu sama ada perlu ada alasan untuk diberikan namun Azmin mungkin dilihat sebagai pengganti Abdul Khalid yang sesuai kerana kedudukannya sebagai Timbalan Presiden (PKR) dan juga tanggungjawabnya ke atas PKR di Selangor,” katanya lagi.

Sivamurugam menambah, keputusan Pas yang menaikkan dua nama tersebut memberikan impak yang besar kepada perikatan PR.

Ia juga dikatakan boleh mendatangkan kesan dari segi kompromi dalam jangka masa panjang ke atas semua parti dalam PR.

“Ia merupakan implikasi U-Turn besar kepada Pakatan Rakyat sebenarnya. Ia seolah-olah memberi persepsi bahawa Pas sukar untuk buat keputusan dan susah untuk bekerjasama. Ia boleh mendatangkan kesan dalam jangka panjang.

“Rakyat Selangor mungkin sudah bosan dengan isu berpanjangan ini dan diharap ia tidak berakhir di pilihan raya negeri,” jelasnya.

Pas Selangor terima keputusan Pas Pusat


  • Mohd Khairuddin OthmanMohd Khairuddin Othman

PAS Selangor pada hari ini menerima dan akan taat kepada keputusan yang telah diambil oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pusat sebentar tadi iaitu menggantikan seorang Menteri Besar Selangor yang baharu.

Kita akan terus bekerja dengan mana-mana menteri besar yang ada termasuk yang bakal akan dilantik nanti atas perkenan Sultan Selangor kelak.

"Pas Selangor akan menjunjung titah Sultan Selangor dan seluruh kepimpinan pas serta ahlinya sangat menjunjung kasih ke bawah Sultan Selangor.

Pas Selangor yakin ada hikmah yang sangat besar di sebalik keputusan yang telah dibuat dan kita tegas meminta agar semua adun pas serta kepimpinan parti di semua peringkat agar akur kepada keputusan yang dibuat termasuk mentaati tatacara parti yang ada.

Pesuruhjaya telah mengarahkan agar semua anggota Exco Pas, Adun, Ahli Majlis serta JKKK untuk terus fokus kepada memperkukuhkan kerajaan PR dan menjaga agar kebajikan rakyat terus terbela.

Mohd Khairuddin Othman
Setiausaha Pas Selangor
17 Ogos 2014
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

Status MB: Khalid akan menghadap Sultan Selangor


  • Abdul Khalid Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIMAbdul Khalid Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapatkan nasihat mengenai jawatan yang masih disandangnya.
Keputusan tersebut dibuat selepas hasil mesyuarat pimpinan Pas Pusat yang berlangsung selama 90 minit itu mendedahkan dua nama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Abdul Khalid.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap Sultan Selangor untuk diberikan nasihat tentang langkah-langkah seterusnya.
“Sehingga sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan Negeri Selangor bersama empat Exco daripada Pas akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini,” katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menerima keputusan yang dibuat daripada hasil mesyuarat oleh pimpinan Pas.
“Saya menerima dengan hati terbuka keputusan Pas berkenaan status menteri besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.
“Saya juga berterima kasih atas kesabaran semua pihak dalam penyelesaian isu dan perkembangan terkini mengikut tatacara yang betul dan berasaskan undang-undang,” katanya lagi.

Dipecat PKR sebab Pas tolak Khalid


  • Mohamad Sabu  - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Mohamad Sabu - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI

KUALA LUMPUR - Pas menolak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal menjawat jawatan Menteri Besar Selangor kerana beliau bukan lagi ahli PKR.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, kini sudah tidak timbul soal Abdul Khalid selepas keahliannya dalam PKR telah ditarik.

"Sudah tidak timbul lagi soal beliau (Abdul Khalid) kerana dia sudah dipecat partinya.

"Dia bukan lagi ahli PKR. Kita tahaluf siyasi dengan parti bukan dengan individu," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat khas jawatankuasa Pas Pusat, hari ini.

Pas hari ini mengumumkan dua nama calon menteri besar bagi menggantikan Abdul Khalid iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Namun ketika ditanya pemberita sebab mencalonkan nama lain sedangkan PKR telah pun menamakan Wan Azizah sebagai calon menteri besar, Mohamad tidak menjawab dengan jelas.

Beliau terus diasak soalan sama berulang kali dan akhirnya beliau memberitahu perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PR, petang ini.

Sementara itu, media membangkitkan soal parti itu yang dilihat mengubah keputusan selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid.

"Tak ada 'U-turn’. Ini (cadang dua nama) keputusan bersama. Sebulat suara," katanya.

Sementara itu, beliau menolak untuk mengandaikan berlakunya pilihan raya negeri kerana PR masih lagi memegang majoriti dua per tiga Dun di Selangor.

Empat mayat bukan Islam diurus secara Buddha, Tao


  • Reverend Sing Han menjalankan upacara keagamaan agama Buddha di Rumah Mayat Monuta Ineeme, S-Gravanhage di The Hague hari ini. - Foto BernamaReverend Sing Han menjalankan upacara keagamaan agama Buddha di Rumah Mayat Monuta Ineeme, S-Gravanhage di The Hague hari ini. - Foto Bernama

THE HAGU - BELANDA. Suasana suram menyelubungi proses pengurusan empat mayat bukan Islam nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Rumah Mayat Monuta, S-Gravanhage di sini pada Sabtu.

Upacara penuh keagamaan itu membabitkan ritual agama Buddha dan Tao, yang bermula pada kira-kira pukul 11 pagi waktu tempatan.

Ketua Agama Buddha Reverend Sing Han dan Ketua Agama Tao Daozhang Tan Boon Sin, yang dibawa khas dari Malaysia, mengetuai upacara itu termasuk proses sembahyang dalam satu bilik khas.

Kelihatan empat keranda diletak secara bersusun dalam bilik itu namun upacara dijalankan secara tertutup untuk umum, termasuk media Malaysia yang berada di sini sejak pagi.

Kedengaran loceng dibunyikan selain mantera dan bacaan mengikut anutan serta kepercayaan masing-masing dilakukan, termasuk bertafakur sebelum upacara berakhir kira-kira sejam kemudian.

Kedua-dua ketua agama secara ringkas memaklumkan upacara menyempurnakan mayat terbabit dijalankan secara serentak, sempurna dan teratur.

Mereka berkata upacara penuh keagamaan itu diharap dapat memberi penghormatan terakhir kepada mayat agar roh mereka tenang dan aman.

Seorang anggota keluarga yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mangsa terbabit dalam upacara itu bagaimanapun enggan ditemu bual.

Upacara menguruskan satu mayat beragama Hindu dilakukan oleh Ketua Agama berkenaan Datuk S.Mohanshan pada Khamis manakala satu mayat beragama Sikh pula disembahyangkan oleh Ketua Agama Sikh Sardar Harcharan Singh pada Jumaat.

Sementara itu, upacara solat jenazah, bacaan Yasin dan tahlil bagi enam penganut Islam dilakukan pada Selasa dan Rabu di pusat ini, juga disempurnakan Imam Besar Masjid Putrajaya Abdul Manaf Mat.

Dalam pada itu, dua mayat beragama Kristian dijangka diurus oleh paderi dari Majlis Gereja Belanda pada Isnin.

Kesemua mayat adalah antara 16 yang akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur dengan sebuah pesawat khas dari Amsterdam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 10 pagi pada 22 Ogos. -Bernama

Saya belum terima sebarang surat dari Guan Eng


  • Nasrudin HassanNasrudin Hassan

TEMERLOH – Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan belum menerima sebarang surat atau notis daripada peguam kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berikutan kenyataannya mengenai projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang diberi kepada sebuah syarikat secara rundingan terus.

Menurutnya, beliau juga bersedia jika Guan Eng meneruskan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Kenyataan ini saya sudah jelaskan sebelum ini, saya tidak akan memohon maaf kepadanya kerana saya tidak menganggap kenyataan itu satu fitnah,” katanya kepada media selepas majlis sambutan kemerdekaan anjuran Pas Pusat di sini, semalam.

Sambutan tersebut disempurnakan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, Pengarah Program Peringkat Pusat Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan Pesuruhjaya Pas Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nasrudin yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, pendirian beliau itu disebabkan kenyataan berkenaan bukan ditujukan kepada Guan Eng tetapi berkaitan dengan pergolakan di Selangor.

“Saya sudah jelaskan panjang lebar mengenai isu ini di Facebook, saya tidak mempunyai niat menuduh sesiapa, saya juga tidak menganggap kenyataan itu sebagai fitnah,” katanya.

Nasrudin berkata, sehingga kini beliau tidak pernah berhubung dengan Guan Eng mengenai isu tersebut secara terus sebaliknya ketegangan itu hanya melalui media.

Sementara itu, Mohamad Sabu berkata, ketegangan membabitkan Nasrudin dan Guan Eng itu isu peribadi dan biasa berlaku.

“Itu bukan isu parti, itu isu individu, di Malaysia tidak sah kalau tidak ada saman menyaman ini. Kita akan lihat (isu ini) dari semasa ke semasa,” katanya.

Umno lapor polis isu video Surendren


  • Mohd Khusairi (duduk) sedang membuat laporan polis sambil ditemani pemimpin Umno Bahagian Tanjung MalimMohd Khusairi (duduk) sedang membuat laporan polis sambil ditemani pemimpin Umno Bahagian Tanjung Malim

IPOH -  Umno Bahagian Tanjung Malim semalam membuat laporan polis berhubung satu rakaman video yang dimuat naik dalam lama Youtube mengenai satu sidang media oleh Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendren yang didakwa menghina perdana menteri dan institusi kehakiman negara.

Ketuanya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib melalui laporan polisnya berkata, kandungan video berkenaan jelas menunjukkan kenyataan dalam sidang media berkenaan disampaikan Ahli Parlimen dari PKR itu.

Menurutnya, kenyataan di dalam video yang dimuat naik pada 8 Ogos itu jelas mempertikai keputusan mahkamah dengan menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam penentuan tarikh perbicaraan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia (Surendran) sengaja mahu mencemarkan imej perdana menteri dengan cuba mempengaruhi penonton kononnya tarikh itu memang telah ditentukan oleh perdana menteri sedangkan ia tidak berlaku.

“Kenyataan itu seolah-olah perdana menteri mampu mempengaruhi mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim, semalam.

Hadir sama membuat laporan polis itu, Ketua Wanita Umno Negeri yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Malim, Datuk Rusnah Kassim dan beberapa pemimpin bahagian itu.

Mohd Khusairi berkata, ucapan Surendran itu juga berunsur fitnah dengan cuba mengaibkan perdana menteri dan memberikan gambaran buruk terhadap sistem kehakiman negara.

Menurutnya, sebagai seorang peguam, Surendran seharusnya lebih tahu tentang tindakan itu yang boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.

Pas cadang Azizah atau Azmin ganti Khalid


  • Pas cadang Azizah atau Azmin ganti Khalid

KUALA LUMPUR – [DIKEMASKINI] Pas Pusat mengumumkan bersetuju untuk mengangkat dua nama dari PKR bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata keputusan itu dicapai sebulat suara melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Peringkat Pusat yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, jam 10.10 pagi, hari ini.

"Nama yang dicadangkan oleh Pas ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamed Azmin Ali," katanya pada sidang media di ibu pejabat Pas, hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan, empat Exco Selangor yang masih berkhidmat dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan terus kekal menyandang jawatan masing-masing.

Sementara itu, ketika ditanya sebab menolak Abdul Khalid terus meneraju kerusi nombor satu itu, Mohamad hanya menjawab, "...dia sudah bukan ahli PKR. Kami pegang pada tahaluf siyasi."

Sinar Harian Online difahamkan, kedua-dua nama tersebut bakal ditentukan untuk jawatan menteri besar itu dalam mesyuarat  PR, petang ini.

Sebelum ini, melalui Majlis Syura Pas memilih untuk mengekalkan Abdul Khalid.

Virus Ebola ambil enam bulan untuk dikawal - MSF

GENEVA: Virus Ebola merebak dengan pantas berbanding keupayaan pihak berkuasa untuk mengendalikannya dan mungkin perlu mengambil masa enam bulan bagi mengawalnya, kata pasukan perubatan sukarela, MSF.
Amaran itu muncul sehari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata, anggaran skala virus yang dibuat adalah kurang dan "langkah luar biasa" diperlukan untuk mengawal penyakit berbahaya itu.
Angka terbaharu yang diumumkan agensi kesihatan UN terbabit menunjukkan jumlah kematian berpunca daripada virus Ebola dalam tempoh empat dekad meningkat kepada 1,145 orang membabitkan empat negara di Afrika Barat iaitu Guinea, Liberia, Nigeria dan Sierra Leone.
"Ia merebak dengan pantas dan bergerak dengan cepat berbanding keupayaan kita untuk mengawalnya," kata ketua Doctors without Borders atau dikenali sebagai MSF, Joanne Liu. - AFP

Robin Williams hidap Parkinson tahap awal: Isteri

LOS ANGELES: Pelakon Hollywood, Robin Williams, yang ditemui mati minggu ini selepas dikatakan membunuh diri, dilapor mengalami kemurungan dan menghidap penyakit Parkinson tahap awal, demikian menurut isterinya.
Mayat Williams ditemui oleh pembantu peribadinya dengan menggantung dirinya menggunakan tali pinggang di bilik tidur kediamannya di California, Isnin lalu dan insiden itu sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa pelakon komedi itu masih tidak dapat menangani masalah penagihan.
Namun isterinya, Susan Schneider, mengeluarkan kenyataan menerusi ejennya hari ini berkata, suaminya berusia 63 tahun itu kebelakangan ini mengalami masalah kesihatan mental dan kecelaruan awal akibat Parkinson.
"Ketika Robin bergelumang dengan masalah kemurungan dan penyakit Parkinson tahap awal, dia masih tabah walaupun ketika itu dia belum bersedia untuk berkongsi keadaannya dengan masyarakat umum," kata kenyataan itu.
Koroner Marin County dari San Francisco kini sudah membuka inkuiri mengenai kematian Williams namun mengesahkannya ia disyaki akibat membunuh diri.
"Robin terlalu banyak menghabiskan kehidupannya membantu orang lain," kata Schneider.
"Meskipun dia menghiburkan orang ramai di atas pentas, filem atau di kaca televisyen atau kepada askar di perbatasan atau kanak-kanak yang sakit - Robin hanya mahukan kita ketawa dan kurangkan ketakutan dalam diri.
"Legasi hebatnya selain bersama tiga anak ialah dia sentiasa seronok dan mahu menggembirakan orang lain terutama kepada mereka yang bergelut dengan masalah peribadi, " katanya. - AP

Ramai pertikai kemampuan Wan Azizah sebagai MB Selangor

KUALA LUMPUR: Mampukah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan tugas, tanggungjawab serta amanah sebagai Menteri Besar Selangor?
Persoalan ini disuarakan penganalisis dan pemerhati politik yang sangsi dengan keupayaan Anggota Dewan Undangan Negeri Kajang itu untuk memikul tugas menerajui Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Dr Wan Azizah pernah mempermainkan kepercayaan rakyat apabila presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008 bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 26 Ogos 2008.
"Dalam pentadbiran parti (PKR) itu sendiri, corak kepimpinan parti beliau dipengaruhi 'pihak ketiga' dan bukan ideanya," kata Tun Faisal ketika ditemui selepas wawancara Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini, baru-baru ini.
Oleh itu, katanya rakyat, terutamanya warga Selangor, perlu berfikir secara matang dalam menilai kemelut politik yang melanda negeri itu, termasuk perebutan jawatan menteri besar.
Beliau berpendapat Abdul Khalid lebih berkemampuan mentadbir Selangor berdasarkan rekod pentadbirannya sejak lebih lima tahun lepas, lebih-lebih lagi apabila kini beliau terus mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menduduki jawatan itu.
"Berbanding Abdul Khalid, Dr Wan Azizah tiada langsung pengalaman mentadbir," katanya.
Beliau berkata, Abdul Khalid juga seorang pemimpin yang lebih mengutamakan rakyat daripada parti dan perkara ini terbukti dalam isu air di Selangor apabila bersetuju bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2).
Projek LRAL 2 yang merupakan langkah kerajaan Persekutuan untuk selesaikan masalah kekurangan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah tertangguh sejak 2008.
Sementara itu, anggota Panel Pemikir JASA, Lokman Noor Adam sependapat dengan Tun Faisal bahawa Abdul Khalid adalah pemimpin yang komited dalam menjaga kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti.
"Isu air di Selangor misalnya, telah menonjolkan Tan Sri Khalid sebagai pemimpin yang lebih mengutamakan rakyat berbanding parti," katanya.
"Beliau adalah seorang yang berani untuk melanggar arahan parti bila mana kepentingan rakyat diperjudikan," katanya.
Senada dengan pandangan itu, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, urusan mentadbir sebuah negeri lebih kompleks berbanding mentadbir sebuah parti.
Katanya, sebagai negeri yang pesat membangun, Selangor memerlukan seorang pentadbir yang mahir dan berpengalaman luas dalam pelbagai aspek, termasuk kewangan, organisasi dan kemanusiaan.
"Pentadbiran sesebuah negeri membabitkan perancangan yang teliti kerana ada aspek pembangunan, belanjawan dan hubungan dengan pelabur luar.
"Malahan, kalau diteliti sejarah politik Dr Wan Azizah, beliau sendiri bukan sukarela berada dalam politik, sebaliknya menjadi calon atas faktor yang tidak dapat dielakkan, bukan atas kemampuan atau kemahuan sendiri, jadi bagaimana pula beliau mahu mentadbir sesuatu yang lebih besar (negeri)?," soalnya.
Ahmad Marthada bagaimanapun menegaskan gender tidak sesekali menjadi persoalan dalam krisis ini kerana seseorang pemimpin itu dipilih berlandaskan kemampuan dan kebijaksanaannya.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugam Pandian pula berkata, kemampuan Dr Wan Azizah menerajui Selangor sebagai Menteri Besar bukan saja diragui pihak lain, malah rakan sekutu PKR sendiri iaitu PAS.
"Berdasarkan kepada keterangan Dr Wan Azizah sebelum ini, beliau sendiri mengakui belum bersedia untuk tadbir Selangor, apatah lagi banyak isu perlu ditangani.
"Barangkali, itu juga menjadi halangan kepada PAS untuk menolak Dr Wan Azizah. Lebih baik mengekalkan calon sedia ada atau calon lain yang dirasakan mampu menjalankan tanggungjawab menteri besar dengan lebih berkesan," katanya.
Isnin lalu, Sultan Sharafuddin memberi perkenan kepada Abdul Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar selepas dipecat sebagai anggota PKR. - BERNAMA

'Rizab Selangor RM3b punca berebut nak jadi MB'

Faekah Husin
 
Kemelut politik Selangor mendapat perhatian ramai, sejak dua minggu ini. Ramai yang masih tertanya-tanya isu sebenar kemelut berkenaan walaupun pelbagai penjelasan sudah diberikan Parti PKR dan Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenainya.

Wartawan BH Ahad, ROHANIZA IDRIS mewawancara 'orang kanan' Abdul Khalid yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI), Faekah Husin mengenai kemelut berkenaan. Beliau mengisytiharkan keluar PKR selepas Abdul Khalid dipecat. Ikuti temu bual bersama dengan pakar rujuk utama Abdul Khalid dan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar ini, selain pernah berkhidmat dengan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wartawan: Apakah sebenarnya berlaku dalam krisis MB Selangor ini serta punca utama Abdul Khalid dipecat dan mahu digantikan dengan Datin Seri Dr Wan Azizah?

Faekah: Jika saya boleh rumuskan secara ringkas, krisis ini tercipta apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipaksa melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar tanpa sebarang sebab munasabah dan hanya lebih setahun selepas pakatan pembangkang yang diterajuinya di Selangor menang besar, lebih tiga perempat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Seperti majoriti masyarakat Malaysia, punca utama sebenarnya masih menjadi teka-teki kepada kami. Hanya mereka yang tahu jawapannya.

S: Bagaimana dengan pemecatan MB Selangor sebagai ahli PKR, adakah saudari berasakan ini taktik kotor parti selepas MB enggan meletak jawatan?

J: Memecat keahlian seseorang daripada mana-mana parti politik adalah hak parti. Persoalannya, adakah pemecatan berkenaan sudah melalui due process berlunaskan prinsip common sense dan natural justice yang sememangnya hak setiap insan. Sekiranya due process tidak dihormati, agak sukar untuk dinafikan ada unsur berniat jahat. Saya tidak mahu mengulas panjang kerana Abdul Khalid sudah menghantar surat kepada Pendaftar Pertubuhan untuk dilakukan siasatan berkenaan pemecatan ini. Biarlah Pendaftar Pertubuhan menyiasat dengan telus dan bebas.

S: Bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranannya dalam pentadbiran Khalid terutama selepas beliau dilantik menjadi Penasihat Ekonomi Selangor?

J: Matlamat asal pelantikan Anwar sebagai Penasihat Ekonomi Selangor untuk memanfaatkan sebaik mungkin kepakaran, pengalaman dan keupayaannya dalam pelbagai bidang, terutama berkaitan ekonomi seperti pelaburan, perdagangan antarabangsa dan kewangan. Ada beberapa projek yang dirujuk oleh Anwar dan berjaya, namun saya tidak pasti projeknya.

S: Apakah alasan yang diberikan PKR untuk menyuruh Khalid berundur sebagai MB? Apa yang mereka mahukan?

J: Fakta terpesong dan dakwaan tidak berasas menghampiri fitnah yang dijadikan alasan menggesa Abdul Khalid meletak jawatan terkandung dalam surat bertarikh 4 Ogos 2014 mengenai pencalonan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar kepada PAS berserta kertas 'Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor'. Alasan lain dinyatakan dalam surat tunjuk sebab daripada PKR kepada Abdul Khalid bertarikh 5 Ogos 2014 yang menyatakan bahawa pada 15 Januari dan 21 Julai 2014 Pimpinan Pusat telah memutuskan bahawa Menteri Besar Selangor hendaklah digantikan dengan Dr Wan Azizah. Namun, pada 22 Julai 2014, Abdul Khalid telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan selagi proses dan tatacara pelantikan MB tidak dilaksanakan secara teratur serta tertib. Seterusnya, alasan sama diberikan pada surat jawapan kepada Notis Tunjuk Sebab; surat penjelasan daripada Abdul Khalid kepada PKR bertarikh 6 Ogos 2014. Rujuk juga surat balasan kepada Jawatan Surat Tunjuk Sebab dari PKR kepada Abdul Khalid bertarikh 7 Ogos 2014.

S: Berdasarkan perkembangan semasa, sudah ada sokongan daripada PAS yang mengikut PKR dan DAP untuk menyingkirkan Abdul Khalid sedangkan PAS Pusat belum buat keputusan mengenai beliau?

J: Agak jelas hampir seluruh kepemimpinan PAS sama ada pada peringkat Pusat atau negeri Selangor telah menyatakan sokongan terbuka kepada Abdul Khalid terutama Mursyidul Am, Majlis Syura, Presiden dan Pesuruhjaya Selangor meskipun tidak dapat dinafikan ada segelintir yang bersetuju dengan cadangan PKR dan DAP.

S: Apakah janji parti kepada Abdul Khalid ketika mereka menamakan semula beliau sebagai MB selepas pilihan raya umum lalu. Adakah Tan Sri mungkir janji atau Anwar dan PKR kurang senang dengan tindak-tanduk beliau?

J: Saya tiada pengetahuan mengenai janji yang dimaksudkan. Namun, apa yang penting janji Abdul Khalid kepada rakyat Selangor bahawa kerajaan pimpinan beliau akan meneruskan corak pentadbiran dengan konsep 'Merakyatkan Ekonomi Selangor' dan 'Hasil Negeri Untuk Rakyat'. Ini termasuk menyelesaikan isu penstrukturan industri air di Selangor dengan mengembalikannya kepada rakyat Selangor. Malah telah ada pelan strategi untuk membolehkan semua rakyat Selangor yang membayar bil air memperoleh saham dalam syarikat air yang akan dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri.

S: Benarkah dakwaan meyatakan saudari sebenarnya 'mastermind' Abdul Khalid?

J: Saya amat terharu dengan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya sayalah mastermind bagi semua langkah dan gerak politik Abdul Khalid. Saya anggap ia satu pujian dan antara penghormatan terbesar dalam karier politik saya! Hakikatnya, kami sentiasa bekerja secara berpasukan tanpa seseorang pun boleh mengambil kredit. Dasar kami adalah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat berdasarkan lunas Islam dan dan prinsip Rukun Negara dan paling utama jangan memperkecil kemampuan Abdul Khalid. Dia adalah individu Melayu yang mengetuai gerakan Dawn Raid ke atas Guthrie pada masa kebanyakan kita masih di bangku sekolah dulu.

S: Bagaimana saudari melihat isu ini dikaitkan dengan teori 'badi MB Selangor' yang dijatuhkan dengan pelbagai isu?

J: Oh! MB Selangor ada badikah? Kalau benar ada, hairan juga mengapa ramai sangat yang berminat dengan jawatan berkenaan. Saya bukan mahir atau peduli sangat dengan hal sedemikian. Apa yang nyata, Selangor adalah negeri terkaya di Malaysia, apatah lagi dengan corak bersih, berhemah dan menjaga kepentingan rakyat pimpinan Abdul Khalid. Selangor telah bukan saja menjadi nadi pertumbuhan ekonomi negara, malah berjaya mengumpul wang rizab lebih RM3 bilion. Agaknya itulah punca badi berkenaan.

S: Adakah saudari percaya rakyat akan menyokong Tan Sri berdasarkan atas apa yang telah dilakukan?

J: Seperti yang saya katakan tadi, sejak 2008 rakyat Selangor berpeluang mendapat MB yang tidak berpolitik dalam menjalankan pentadbiran negeri. Semua hasil negeri diagih secara adil tanpa melihat kaum, agama hatta pegangan ideologi politik. Sebagai contoh, hak mendapat air percuma 20 meter padu diberikan kepada semua rakyat. Begitu juga Skim Khairat Kematian RM2,500 seorang yang berumur lebih 60 tahun. Pentadbiran ini tidak memilih penerima sama ada mereka adalah pengundi ataupun tidak, siapa yang mereka undi pada PRU lalu dan sebagainya. Tiada juga borang keahlian mana-mana parti diedarkan bersama borang permohonan peruntukan. Pasti rakyat selesa dengan corak pentadbiran profesional sebegitu. Saya yakin kerana itu juga rakyat memberikan mandat lebih besar kepada pakatan pembangkang ketika PRU-13. Tambahan pula slogan kita ketika itu adalah 'Meneruskan Kecemerlangan'.

Menyentuh keadaan semasa dan melihat bagaimana tiba-tiba Abdul Khalid cuba digambarkan seorang yang sangat berbeza ketika 2013, pendapat saya secara umumnya, perjuangan umat membabitkan tentangan terhadap kezaliman dan penindasan serta usaha menegakkan keadilan serta kebenaran. Mangsa yang difitnah, dianiaya dan diaibkan harus diberi pembelaan sewajarnya tanpa mengira latar belakang, warna kulit, agama, pangkat, kekayaan dan sebagainya. Jelas, ini semua nilai sejagat yang secara dasarnya menjadi dukungan dan pegangan rakyat. Memandangkan apa yang dilalui Tan Sri sejak sekian lama terutama selepas Langkah Kajang, Insya-Allah, saya yakin lebih ramai rakyat sedar dan faham duduk perkara sebenar dan akan memberi sokongan kepada Tan Sri dalam pelbagai bentuk sama ada secara terang atau dalam diam.

S: Adakah selama ini Abdul Khalid tidak memberi peluang kepada Anwar untuk campur tangan dalam hal ehwal Selangor dan diketepikan atau dalam kata lain Abdul Khalid sukar dikawal parti?

J: Saya rasa ramai bersetuju dengan pendapat bahawa demi menjunjung prinsip urus tadbir yang baik dan berbeza dengan zaman sebelum ini, hal ehwal pentadbiran negeri sepatutnya perlu bebas daripada pengaruh politik melampau. Meskipun demikian selain mempunyai barisan EXCO daripada PKR, PAS dan DAP dalam pentadbiran Abdul Khalid, dengan tujuan membawa aspirasi parti masing-masing, pimpinan lain malah rakyat biasa boleh memberi cadangan atau kritikan membina ke arah penambahbaikan menerusi saluran dan mekanisme yang betul. Ini sudah dilakukan apabila kerajaan negeri menjemput semua pimpinan Ahli Parlimen, ADUN, Ahli Majlis, penghulu, ketua kampung dan ketua komuniti untuk turut serta dalam Dialog Pembentangan Belanjawan Negeri. Tujuannya untuk sama-sama merangka bagaimana hasil di Selangor harus dan patut dibelanjakan.

S: Sehingga kini Abdul Khalid nampak tenang. Adakah saudari berasakan beliau akan melakukan apa saja untuk pertahankan diri termasuk menyertai parti lain.

J: Manusia yang mempunyai akal, harga diri dan maruah akan melakukan perkara sama seperti Abdul Khalid. Daripada seorang yang dikatakan telah menjadi model pemimpin kepada pemerintahan pakatan, tiba-tiba digambarkan sebagai manusia yang buruk sekali. 'Dossier' (dokumen) yang dikeluarkan oleh PKR sebagai alasan untuk menjadikan pemecatan Abdul Khalid sebagai sah dan halal, agak mirip dengan 50 Dalil yang dikeluarkan satu ketika dulu.

Abdul Khalid tiada selain terus tegak untuk membersihkan nama baik beliau. Jika kita sentiasa istiqamah dan ikhlas dalam perjuangan, Insya-Allah kita dapat rasa nikmat ketenangan, keselesaan dan dipermudahkan dalam apa juga keadaan.

S: Benarkah Abdul Khalid akan terus mempertahankan jawatan MB?

J: Menyentuh pendirian Abdul Khalid yang kini cuba digambarkan kononnya beliau dalam apa cara sekalipun mahu mempertahankan jawatan MB, itu adalah gambaran jahat. Tidak tepat mengatakan Abdul Khalid sebegitu kerana beliau sudah beberapa kali menyatakan pelantikan dan pemecatan Menteri Besar hendaklah dilakukan secara teratur tertib dan berhemah. Pelantikan Menteri Besar tidak dilakukan di tepi jalan atau di dalam hotel mewah. Menteri Besar Selangor dilantik menurut peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Selangor. Di sana dinyatakan dengan jelas tatacara, proses adab dan adatnya.

Cuba bayangkan jika Abdul Khalid menurut perintah PKR dan meletakkan jawatan seperti yang diputuskan mereka pada 21 Julai lalu. Pada ketika itu, seluruh barisan EXCO akan gugur dan Selangor tidak mempunyai pihak berkuasa negeri.

Sehingga hari ini, PKR, PAS dan DAP masih gagal mencapai kata sepakat siapa calon yang akan menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. Itu belum lagi mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor. Proses akan mengambil tidak kurang tiga hingga empat minggu. Situasi di Selangor akan bertambah cacamarba tanpa pihak berkuasa negeri. Abdul Khalid cuba menyelamatkan negeri ini daripada bertambah kacau, sebaliknya pula beliau dituduh gila kuasa. Oleh kerana itu juga beliau dipecat daripada PKR kononnya melanggar keputusan parti.

S: Ada kemungkinan Abdul Khalid bakal menyertai parti lain selepas ini kerana PAS enggan menerima mereka yang tidak menyertai mana-mana parti dalam pakatan?

J: Mengenai perkara itu atau Abdul Khalid bakal menubuhkan parti baharu, saya rasa lebih baik kita tunggu dan lihat apa tindakan beliau selanjutnya. Sehingga itu, marilah berdoa semoga Abdul Khalid dan kita semua sentiasa diberi petunjuk dan hidayah Allah SWT.

Jenazah cukup sifat


Amsterdam: "Keadaan enam jenazah pertama penumpang MH17 yang dimandikan kami sebelum ini masih elok dan cukup sifat anggota tubuh," ujar Imam Besar Masjid Putrajaya, Abdul Manaf Mat yang ditemui wartawan Harian Metro di sini, semalam.
Dia yang turut bertanggungjawab mengimamkan solat jenazah itu Rabu lalu, mengakui proses memandikan semua jenazah itu berjalan lancar sama seperti jenazah biasa diuruskan di tanah air. 
"Walaupun mungkin ada anggota tubuh jenazah yang terpisah namun pasukan forensik di Hilversum sudah menyambungnya semula."Ramai menyangka jasad enam jenazah itu sudah hancur berkecai dah sukar untuk urusan dimandi serta dikafankan. Namun perkara itu tidak benar sama sekali," katanya yang dibantu sekumpulan lapan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat). 

Photo
GAMBAR Danial Saad

Menurutnya, mereka dipecahkan kepada dua kumpulan membabitkan kumpulan lelaki dan wanita bagi menjalankan tugas memandi serta mengkafankan jenazah mengikut jantina.

"Terdapat tiga jenazah lelaki dan tiga jenazah wanita beragama Islam yang juga penumpang pesawat MH17 diuruskan kami."Proses dijalankan dengan teliti. Jenazah yang selesai dimandikan kemudian diletakkan di atas plastik dan kain kafan sebelum dipindahkan ke dalam keranda."Kami perlu gunakan plastik berikutan jenazah ini akan melalui perjalanan jauh untuk dibawa pulang ke tanah air."Proses memandikan dan mengkafankan jenazah mangsa ini selesai sepenuhnya dalam tempoh kurang satu jam," katanya.Dia berkata bagi mangsa wanita itu, jenazah dipakaikan baju dan telekung sama seperti proses biasa dilakukan.Menurutnya jenazah semua mangsa itu kemudian disolaykan dengan disertai semua ahli keluarga, penuntut Malaysia di Belanda dan kakitangan kedutaan Malaysia."Setakat ini kami sudah jalankan tiga dari empat fardu kifayah utama iaitu memandikan, memakaikan kafan dan menyembahyangkan jenazah itu. Ia hanya tinggal untuk dikebumikan."Bagaimanapun, terpulang kepada ahli keluarga mangsa di tanah air sekiranya mereka mahu melakukan solat jenazah sekali lagi di Malaysia sebelum dikebumikan," katanya yang masih tidak pulang ke tanah air sejak 18 Julai lalu kerana bertugas di Ukraine dan Belanda. 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada: 2014/08/16

Kerajaan sedia terima jenazah MH17



ANGGOTA tentera mengusung keranda semasa melakukan raptai persediaan menerima mayat mangsa nahas pesawat MH17 di KLIA, Sepang, Selangor pada 30 Julai lalu.


PONTIAN - Kerajaan sudah bersedia untuk menyambut ketibaan 16 jenazah mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dari Amsterdam, Belanda yang dijangka tiba di tanah air pada 22 Ogos ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, lima helikopter Nuri dan dua pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan digunakan bagi membawa jenazah ke kampung halaman masing-masing untuk disemadikan termasuk dua jenazah dari Johor.
"Selepas upacara penghormatan di Kuala Lumpur, jenazah dari Pagoh, Muar dan Segamat akan dibawa menaiki helikopter Nuri ke kampung masing-masing.
"Saya berharap, semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik dapat memberi penghormatan secara tertib terhadap mangsa," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjong Piai di sini semalam.
Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan 22 Ogos ini sebagai hari berkabung negara berikutan ketibaan jenazah warga Malaysia mangsa nahas pesawat MH17 di Ukraine bulan lalu.
Muhyiddin berkata, satu istiadat penghormatan jenazah tragedi tersebut akan diadakan pada hari tersebut di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3AbI2koOE 
Hakcipta terpelihara 

Kerajaan negeri Selangor masih sah


KUALA LUMPUR – Pentadbiran kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih sah mengikut undang-undang setelah mendapat mandat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pakar pentadbiran awam, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat, ini berdasarkan hasil pertemuan Khalid dengan Sultan Selangor baru-baru ini yang menyatakan baginda berpuas hati dengan penjelasan Khalid dan menerima perkenan baginda untuk beliau terus memegang jawatan Menteri Besar itu.
“Sultan Selangor telah memberi perkenan kepada beliau untuk terus menjadi Menteri Besar. Jadi tiada apa-apa perubahan dari segi itu.
“Sebarang perubahan tertakluk kepada perkenan Sultan Selangor. Selagi tiada undi tidak percaya dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), Khalid masih Menteri Besar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kelmarin, sebuah portal melaporkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran mendakwa pentadbiran Khalid tidak sah setelah kehilangan majoriti sokongan ahli DUN.
Beliau memetik Perkara 53 (6), Perlembagaan Negeri yang menyatakan setelah kehilangan keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri, seorang Menteri Besar hendaklah meletak jawatan.
Mengulas lanjut, Ahmad Atory memberitahu, kenyataan Surendran itu seolah-olah meremehkan kuasa Sultan yang dilihat lebih kecil berbanding perlembagaan negeri.
“Pandangan beliau mungkin rasional sekiranya Khalid belum mendapat perkenan Sultan untuk kekal memegang jawatan sebagai Menteri Besar.
“Bagaimanapun, apabila beliau mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Sultan, ia umpama tidak menghormati perlembagaan yang sedia ada,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0817&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3AbHlkYTu 
Hakcipta terpelihara