Monday, October 14, 2013

Lelaki Pakistan berjalan kaki untuk tunai haji di Mekah


Kharlzada Kasrat Rai (berbaju biru), sebelum memulakan perjalanan jalan kaki dari Karachi ke Mekah pada 7 Jun lalu. - Agensi
MEKAH 13 Okt. - Jika kebanyakan jemaah menggunakan kapal terbang, belayar atau memandu untuk menunaikan haji di tanah suci Mekah, berbeza pula dengan seorang jemaah dari Pakistan.
Kharlzada Kasrat Rai sebaliknya memilih untuk berjalan kaki dari kampung halamannya di Karachi untuk ke Mekah.
Lelaki berusia 37 tahun itu berjalan kaki sejauh 6,387 kilometer melalui Iran, Iraq dan Jordan.
Kharzalda memulakan perjalannya pada 7 Jun lepas dan tiba di Mekah pada 1 Oktober lalu.
Ketibaannya disambut meriah oleh kerajaan Arab Saudi yang menyifatkan usahanya itu sebagai luar biasa.
Kharzalda menyatakan bahawa tujuannya berjalan kaki ke Mekah adalah untuk menyampaikan mesej keamanan kepada dunia, selain mengutuk kegiatan keganasan.
Kharzalda merupakan pemegang Rekod Dunia bagi Berjalan Kaki untuk Keamanan sebanyak dua kali.
Pada 2007, dia berjalan kaki sejauh 1,999 kilometer selama 85 hari antara Khyber dan Karachi, sekali gus memecah rekod dunia buat kali pertama.
Pada 2009 pula, lelaki itu berjalan kaki sejauh 327 kilometer dari Lahore ke Islamabad dalam tempoh 14 hari dan 222 kilometer dari Islamabad ke sebuah perkampungan di Pakistan iaitu Chakuti dalam masa sembilan hari.
Kharzalda berjaya memecahkan rekod dunianya buat kali kedua apabila mengulangi berjalan kaki dari Khyber ke Karachi pada 2011 dengan jarak yang lebih jauh iaitu 2,287 kilometer dalam masa 72 hari. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131014/lu_08/Lelaki-Pakistan-berjalan-kaki-untuk-tunai-haji-di-Mekah#ixzz2hgtCaTm8
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kontroversi hijab

hijabISU mengharamkan wanita Muslim memakai purdah ketika di tempat awam baru-baru ini menjadi antara topik hangat yang dibincangkan ahli Parlimen di Britain selepas dua kes berkaitannya mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Bermula dengan kisah seorang hakim, Peter Murphy mengarahkan seorang wanita menanggalkan purdah ketika membuat rayuan di mahkamah atas alasan, memudahkan juri mengesahkan identiti defendan.

Selepas itu, Birmingham Metropolitan College mencetuskan kontroversi baru apabila mengharamkan pelajar dan kakitangannya memakai atau mengenakan purdah atau apa-apa pakaian menutup muka termasuk tudung, topi dan hoodies.

Alasannya, bagi tujuan keselamatan dan supaya mudah dikenal pasti pada setiap masa. Namun, larangan itu nyata diselar kebanyakan pelajar dan ia ditarik semula selepas kempen dan bantahan diadakan bagi menentang keputusan itu.
Berbeza keadaannya di sebuah sekolah persendirian Islam pertama di Britain iaitu Sekolah Al-Madinah yang mengarahkan kakitangan memakai tudung dan melarang pelajar menyanyi serta membaca kisah dongeng.

Malah, guru wanita di sekolah itu, perlu menandatangani kontrak baru yang mewajibkan memakai tudung walaupun bukan beragama Islam. Selain itu, mereka turut dilarang membawa makanan tidak halal ke sekolah dan memakai barangan kemas.

Sebagai sekolah persendirian, Al-Madinah ditubuhkan September tahun lalu beroperasi di luar bidang kuasa pihak berkuasa tetapi masih layak mendapat pembiayaan daripada kerajaan.

Perdana Menteri Britain, David Cameron menyokong tindakan institusi yang mengharamkan pemakaian purdah di kalangan wanita Islam di negara itu.

“Ini adalah negara yang bebas dan semua orang bebas memakai apa jua pakaian sama ada ketika di tempat awam atau pun tidak.

“Bagaimanapun, kita perlu menyokong undang-undang sesebuah institusi supaya ia dapat memainkan peranannya dengan baik,” katanya.

Menurutnya, jika pihak sekolah ingin mempunyai kod etika pakaian khas yang mewajibkan pelajar memakai tudung, kerajaan perlu memberikan sokongan. Begitu juga dengan mahkamah dan pihak imigresen.

Ketika mengulas mengenai pendapatnya mengenai cadangan hakim perlunya ada garis panduan kebangsaan mengenai pemakaian niqab di mahkamah, beliau bersetuju dengan cadangan itu.

“Sudah tentu ketika berada di mahkamah hakim perlu melihat muka seseorang. Saya pernah berada di tempat itu dan sememangnya perkara itu perlu dilakukan sebagai seorang hakim.

“Apabila seseorang datang ke sesebuah negara, pegawai imigresen perlu melihat mukanya dan apabila berada di sekolah proses pengajaran dan pembelajaran adalah sukar, melainkan dapat melihat ke dalam mata pelajar,” katanya.

Komen itu diperoleh selepas Pejabat Menteri, Jeremy Browne mencadangkan ahli parlimen perlu berbincang semula sama ada kerajaan perlu campur tangan dalam mengharamkan wanita Islam memakai purdah ketika di tempat awam.

Sementara itu, Turki juga mengumumkan penarikan semula pengharaman memakai penutup kepala di kebanyakan pejabat awam, kerana pengkritik berpendapat fahaman Islam boleh meneguhkan sesebuah negara sekular.

Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan berkata, beberapa pengecualian penjawat awam dibenarkan menutup kepala selepas larangan itu dikuatkuasakan sejak sekian lama.

“Bagaimanapun, pengharaman tetap dikekalkan kepada hakim, pendakwa, polis dan anggota tentera,” katanya dalam ucapan sempena memperkenalkan pembaharuan politik negara itu.

Penarikan semula larangan adalah sebahagian daripada pembaharuan politik yang diumumkan Erdogan bagi meningkatkan hak kumpulan minoriti termasuk 15 juta Kurd di negara tersebut.

Menurutnya, ia juga adalah satu langkah ke arah pemulihan sekali gus mengakhiri era kegelapan di negara itu selepas lebih 70 tahun.

Intipan rahsia AS makan diri

Intipan rahsia AS makan diri   Imej video yang disiarkan laman web pembocor maklumat WikiLeaks, menunjukkan Snowden (tengah) menerima anugerah Sam Adams di Moscow, Russia, 11 Oktober lalu. Moscow: Program pemantauan besar-besaran Amerika Syarikat membabitkan intipan menerusi telefon dan internet di seluruh dunia hanya menyebabkan keadaan semakin tidak selamat.

Pandangan itu disuarakan oleh bekas penganalisis sistem komputer Agensi Keselamatan Kebangsaan (NSA), Edward Snowden, di sini, Jumaat lalu.
Snowden yang berada di Russia, menjelaskan perkara itu menerusi klip video yang disiarkan laman web WikiLeaks.


Pemantuan besar-besaran

Katanya, pemantauan secara besar-besaran itu ‘menyebabkan kita berisiko bergaduh dengan kerajaan sendiri.’

Sebuah mahkamah Amerika sudah mendakwa Snowden mencabul Akta Pengintipan kerana mendedahkan kepada umum program rahsia itu.

Snowden menyifatkan program itu sebagai menyebabkan ‘segala tindak-tanduk berjuta-juta penduduk diperhatikan meskipun ia tidak perlu.’
“Program itu menjejaskan ekonomi. Ia juga memberi masalah kepada negara kita. Ia mengehadkan keupayaan kita untuk bercakap, berfikir dan menjadi kreatif selain menjalin hubungan dan bebas bergaul,” kata Snowden.

Video itu kali pertama Snowden dilihat berucap sejak 12 Julai lalu apabila bekas pekerja NSA itu berada di lapangan terbang Moscow untuk memohon diberi perlindungan yang diterimanya pada 1 Ogos lalu.

Keputusan Moscow menjejaskan hubungan antara Amerika dan Russia. Presiden Barack Obama membatalkan mesyuarat dengan Presiden Vladimir Putin ketika satu sidang kemuncak berlangsung di Russia, September lalu.

Snowden berkata, kerajaan Amerika ‘tidak mahu mendakwa pegawai kanan yang didapati berbohong kepada Kongres dan negara sedangkan ia dirakam tetapi melakukan apa saja untuk menghukum sesiapa yang memberitahu kebenaran.’

Dalam satu ulasan lain, WikiLeaks berkata, Snowden pada Rabu lalu menerima anugerah tahunan Sam Adams yang menggunakan nama penganalisis Agensi Perisikan Pusat (CIA).
AP

Kumpulan khas jejak Misuari


Manila: Polis Filipina berkata, ia sudah memaklumkan pasukan pengesannya agar menjejaki pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari.

Timbalan Ketua Pengarah Felipe Rojas Jr yang juga timbalan ketua operasi berkata, lima pasukannya dengan masing-masing terdiri daripada tujuh anggota dibentuk untuk menjejaki Misuari yang dituduh mendalangi pemberontakan Zamboanga bulan lalu.
Pasukan itu dibentuk selepas hakim Eric Elumba di mahkamah Zamboanga City mengeluarkan waran tangkap terhadap Misuari dan komander MNLF iaitu Habier Malik, Assamin Hussin, Bas Akri dan beberapa yang lain.

Menurutnya, Misuari kali terakhir dilihat di Talipao, Sulu, tetapi sering berpindah dari satu tempat ke tempat lain.


Polis berkata, saudara-mara mangsa yang dibunuh anggota MNLF yang tidak berpuas hati turut memburu Misuari.


Beberapa anggota MNLF yang ditahan sebelum ini mendakwa mereka dijanjikan bayaran 10,000 peso (RM738) sebagai upah menyertai “perhimpunan aman”. Mereka tidak tahu-menahu yang mereka akan diberikan senjata api bagi menentang tentera kerajaan.

Rojas berkata, wang ganjaran pasti akan diberikan terhadap maklumat yang membawa kepada penangkapan Misuari, tetapi pihak berkuasa masih belum menentukan jumlah yang akan diberikan.

Dalam kes Habier, Rojas berkata, mereka perlu mengesahkan statusnya. - Agensi