Oleh : TAN SRI ABDULLAH AHMAD
Pinjaman mega - RM250 juta dan RM6 juta geran kepada National Feedlot Corporation (NFC) – benar atau tidak apa diperkatakan, tidak lagi mustahak. Yang penting, persepsi rakyat dan pengundi. Kerana lembu, dua kondo mewah di Bangsar (dalam bekas kawasan Parlimen Sharizat Jalil, kini dipegang oleh Nurul Izzah Anwar) kerajaan dan Umno terus dipandang serong.
Apa lagi skandal ini timbul seolah-olah ditimekan dekat Mesyuarat Agong Umno. Sebab setitik nila (lembu dan kondo) rosak susu sebelanga (Umno, PM dan kerajaan). Benar atau tidak seperti saya tegas di atas tidak relevan. Apa yang dilihat keterlaluan, keburukan walaupun sedikit dalam situasi dekat pilihan raya merosakkan imej kerajaan dan Umno. Lembu banyak jenis lembu – lembu dogol/dongkol kalau dibalun dan diusik selalu melawan; lembu tanduk panjang kalau pun tidak menanduk, dikata orang menanduk! Lembu kasi badan besar tapi penakut, lembu daging dipelihara untuk dagingnya, lembu kebiri (orang malas lagi degil); lembu perahan (untuk susunya).
Musim korban awal bulan ini di Kelantan kebanyakan lembu diimport dari Thailand dan Kemboja. Tiga keluarga saya lawati dua lembu dari Siam, satu lembu tempatan. Lembu korban saya RM3,000 dari Thailand. Korban anak saudara di Tanah Merah RM2,600 juga dari Siam. Di Pangkal Nering, Machang lembu tempatan, harganya lebih murah tetapi agak sukar mendapatinya. Dalam kehidupan saya didapati banyak perihal lembu punya susu, sapi dapat nama. Lumrah lah itu terutama dalam masyarakat politikus. Orang lain melakukan kebajikan, mendapatkan projek tetapi orang lain, oportunis dapat nama, pujian dan gelaran.
Dalam masyarakat serupa, pemuji, pembelot, orang munafik atau pun hipokrit ramai bilangannya. Siapa perlu musuh kalau kita dikelilingi oleh pemuji, pemuja, pembodek, hipokrit dan tukang cium tangan? Walaupun buih mulut Perdana Menteri, Najib Razak mengingatkan ahli Umno agar tidak belot, serong, berpuak-puak dan cah-keting jika tidak dipilih sebagai calon tiada impak langsung. Di Kelantan, ramai ahli Umno mahu jadi calon, apa jadi pun walaupun mereka mungkin menjadi korban politik seperti calon yang akan diletak di Bunut Payong, di Cempaka, di Seberang Perai, di Permatang Pauh.
Tengah hari Khamis, saya terjumpa dengan seorang pemimpin Umno dari Kedah disaksi oleh seorang Tan Sri, mengatakan di Kedah pun susah Umno hendak kembali memerintah: sebabnya terlampau banyak puak wujud!
Terjumpa juga di tempat sama seorang pemimpin kanan Umno Kelantan yang agak optimis tentang Kelantan. Saya senyum lebar tetamu lain gelak besar. Memenangi hati Peribumi seperti ditegas oleh Dr Mahathir seolah tiada prioriti pada UMNO dan pemimpin selepasnya. Kata Dr Mahathir, ‘sehingga kini Umno dan pemimpinnya belum lagi giat berusaha untuk mendapat sokongan rakyat terutama Peribumi-Melayu.
BN tidak akan menang hanya dengan undi Cina sahaja (yang dikejar oleh pemimpin Umno ke hulu ke hilir, siang malam, bawah dan atas, 24/7 yakni 24 jam 7 hari). Undi Cina mustahak tetapi ia hanya undi tambahan sahaja. Undi Peribumi-Melayu mesti dikejar tanpa mendapat majoriti (65 peratus keatas) UMNO sukar menang.’ (Mingguan Malaysia, Ahad 20 November 2011). Tambahnya, ‘saya tidak nampak perubahan berkesan dan Umno pun tidak boleh mempertahankan diri. Bila dituduh rasuah senyap, bila dituduh rasis pun senyap juga. Malah nak sebut nama Melayu pun sudah tidak boleh lagi. Kalau sebut sahaja sudah jadi rasis/perkauman.’
Ujar dan tegasnya, ‘bila lemah, orang Cina ekstrem akan membuat pelbagai permintaan (tuntutan) kemudian menyatakan bila permintaan ini dipenuhi barulah mereka akan sokong BN (tiada jaminan, rujuk kepada Sibu).’
Sambungnya lagi, ‘sekarang ini kita sudah menjadi puak minoritilah. Sekarang ini apa yang kita hendak buat pun kena tanya, apa orang Cina dapat. Kalau kita hendak tolong orang sakit pun orang Cina pun kena dapat juga. Kalau macam ini susahlah.’
Politik kita makin hangat. Semua parti makin berhasrat mahu memperbaiki imej masing-masing, tetapi setengah pula konsisten dengan dasar mereka. Buruk baik imejnya tidak merisaukan mereka asal pengundi fixed deposit mereka terus menyokong. Bintang kolumnis STAR, Joceline Tan, minggu lepas menulis, ‘an uphill battle ahead for DAP’. Kononnya DAP sekarang berusaha hendak mencuci imej chauvinis Cinanya.
Tegasnya dalam bahasa asal: “the DAP is struggling to dilute its Chinese chauvinist image but its relentless attacks on the police (majoriti Melayu-Islam, dengarlah juga nasihat Sultan Selangor), civil service (juga majoritinya Melayu-Islam), New Economic Policy (Dasar Ekonomi Baru yang memberi nafas baru pada Melayu) dan Umno (dengan segala kerenahnya. Tetapi Umno telah banyak berbakti kepada Peribumi) leave it with the perception that it (DAP) isn’t for the Malays.’
Kesimpulan Joceline Tan jitu yakni sahih. Joceline amat mengerti. Hanya Melayu Baru tidak sedar. ‘It takes a Chinese to say all that’, tegas Speaking. Melayu liberal kini sedang mabuk, tidak sedarkan diri – tergoda, melanun mabuk dengan liberalisme. Mereka ini seperti Dr Mahathir tegaskan suatu masa dahulu adalah seperti kacang lupakan kulit. Apalah nasib Melayu! Mereka terus berpecah belah, berkenduri ke hulu ke hilir. Mengenang nasib buruk Peribumi/Melayu ramai menitis air mata. Sudahlah bahasa mereka diperlekehkan oleh bangsa lain yang sedihnya lagi oleh pemimpin mereka sendiri.
Yang peliknya setengahnya adalah Malay-educated! Saya bangga mendengar Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) berucap dalam sidang Kemuncak Asean di Bali dan dalam sidang media menggunakan Bahasa Indonesia. Perdana Menteri China, Wen Jibao Mandarin. Saif al-Islam Gaddafi dalam Bahasa Arab walaupun petah bercakap dalam Bahasa Inggeris. Hu Jintao, Presiden China, sentiasa bercakap Mandarin, begitu juga dengan pemimpin Jepun, Korea, Iran dan banyak lagi. Mereka tidak perlekeh bahasa mereka seperti pemimpin kita.
Dalam tangisan itu saya terbaca pula kerdil-kerdil dalam Umno merangka strategi hendak merampas negeri yang kalah – Pulau Pinang dan Kuala Lumpur (lupalah), Selangor (lupalah), Kelantan (terus bermimpi), Kedah (sukar, tidak mustahil). Kalaulah saya kerdil-kerdil itu saya pastikan dahulu kubu-kubu Umno seperti Johor, Perak, Terengganu tidak ditembusi dalam PRU13.
Orang bisnes suka cut losses (maximise profits). Dalam perkataan lain cuba di Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Kedah. Bijak tuju sepenuhnya di Johor, Pahang, Perlis, Sabah, Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak. Saya percaya Umno-BN boleh menang. Persoalannya lebih hebat dari Badawi yang juga menang pada 2008? Sungguhpun menang Badawi tidak mampu mengekalkan takhtanya.
Lembu, kondo dan Umno - Komentar - Sinar Harian:
'via Blog this'