Friday, August 1, 2014

Kaabah

Kaabah

Dakwaan mengarut


Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) menafikan dakwaan sebuah portal berita Israel yang mendakwa Malaysia adalah tempat latihan pejuang Hamas untuk melancarkan serangan rentas sempadan menggunakan payung terjun berenjin.
Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Rahim Bakri berkata, Malaysia tidak pernah menganjurkan sebarang latihan mahu pun menyediakan tempat kepada mana-mana pejuang Hamas Palestin.
"MINDEF tidak pernah melatih mana-mana pejuang Hamas dan kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas, Bahagian Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sebelum sebarang kesimpulan dibuat kredibiliti laporan berkenaan perlu diteliti.
Foto
LAPORAN The Jerusalem Post.

"Kita kena buat semakan kredibiliti laporan itu dan ia memerlukan siasatan terperinci.

"Setakat dakwaan liar begitu sukar disiasat," katanya.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga berkata, negara ini tidak pernah menyediakan ruang dan latihan kepada mana-mana kumpulan mahu pun individu dari negara berdepan krisis.


Jerusalem Post menyiarkan pendedahan seorang pejuang Hamas ditahan Israel mendakwa menerima latihan di Malaysia untuk melancarkan serangan serangan rentas sempadan menggunakan payung terjun berenjin yang juga sebahagian persiapan Hamas berdepan Zionis di Gaza, Palestin.

Laporan itu menjadi viral di laman sosial dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyifatkan tindakan Israel mengaitkan nama Malaysia sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian dunia daripada kekejaman pengeboman terhadap rakyat Palestin.

Cubaan memburuk-burukkan nama Malaysia itu juga dipercayai ada kaitan dengan bantuan kemanusiaan dan hubungan baik Malaysia-Palestin sejak sekian lama.

Malah, pemimpin Hamas termasuk Khaled Meshaal turut memuji dan menyanjung rakyat dan kerajaan Malaysia.

Ramai pengguna Internet juga mempersendakan laporan berkenaan dengan mengaitkan tiada ruang untuk dibina landasan di Gaza selain pejuang Hamas yang tidak memiliki sebarang pesawat.

"Dari mana anggota briged Al-Qassam mahu mendapatkan kapal terbang untuk terjun di Israel? Di mana landasannya" kata pengguna Facebook dikenali sebagai Azwa.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Wira hadapi ebola kecundang akhirnya


Freetown, Sierra Leone: Seorang doktor terkenal yang menggadai nyawanya merawat puluhan pesakit ebola meninggal dunia akibat wabak itu semalam.

Dr Sheik Umar Khan yang mendapat sanjungan antarabangsa kerana bertugas merawat lebih 100 pesakit di Sierra Leone disahkan meninggal dunia oleh pegawai kementerian kesihatan di negara itu.

Dia sebelum ini dikuarantin di sebuah hospital amal di utara Sierra Leone selepas dikesan dijangkiti wabak berkenaan.

Petugas kesihatan memang sangat terdedah kepada jangkitan ebola yang boleh berlaku melalui cairan seperti air ludah, peluh, darah dan air kencing.

Dua petugas kesihatan Amerika kini dirawat di hospital selepas dijangkiti di Liberia.

Sheik Umar, 39, dianggap wira negara oleh Kementerian Kesihatan Sierra Leone dan menghembus nafas terakhirnya tengah hari kelmarin - kurang dari seminggu selepas dia dikesan dijangkiti ebola.


Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, virus ebola dipercayai sudah meragut nyawa 672 orang di Guinea, Liberia dan Sierra Leone sejak wabak itu bermula Februari lalu.

Setakat ini belum diketahui apa yang mampu mengubati penyakit berkenaan yang boleh menyebabkan pelbagai simptom termasuk muntah, cirit-birit dan pendarahan - sama ada dalaman atau luaran.


Sementara itu, sebuah syarikat penerbangan dari Afrika Barat, Asky menggantung penerbangan keluar dan masuk dari Sierra Leone serta Liberia sebagai langkah berjaga-jaga.

Syarikat penerbangan terbesar Nigeria, Arik Air juga mengambil langkah sama.

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Rombongan Aidilfitri ditembak Abu Sayyaf


Seorang budak berusia 3 tahun dan bapanya adalah antara 23 korban keganasan di selatan Filipina semalam selepas militan Abu Sayyaf melepaskan tembakan ke arah rombongan orang awam sedang dalam perjalanan menziarahi keluarga masing-masing sempena Aidilfitri.

Jurucakap tentera, Brig Jen Martin Pinto berkata, kira-kira 40 hingga 50 anggota militan lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Mereka dalam perjalanan menemui sanak saudara kerana meraikan hari raya,” katanya.

Serangan itu juga, kata Pinto, menyebabkan sembilan yang lain cedera termasuk enam masih dirawat di hospital.



Kata Pinto, kejadian berlaku di bandar Talipao yang didiami ramai masyarakat Sulu Muslim dan hutannya menjadi kubu penting militan Abu Sayyaf.

Menurut Pinto operasi memburu kumpulan berkenaan masih diteruskan namun setakat ini tiada sebarang jejak ditemui.

“Ia bukan perkara yang mudah kerana kawasan berkenaan cukup luas,” katanya.

Kerajaan Filipina pula dalam kenyataannya memberitahu pasukan tentera meneruskan kemaraan dan akan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Laporan terkini tentera menyebut 10 anggota sukarelawan keselamatan berada bersama penduduk kampung ketika serangan, namun menurut Pinto maklumat itu masih belum disahkan.

Ia termasuk laporan yang menyatakan sebanyak enam orang terkorban dalam serangan adalah anggota Pasukan Bertindak Menjaga Keamanan.

Motif serangan itu masih belum diketahui.

Menurut pegawai bertugas ia mungkin sebahagian keganasan akibat peperangan antara puak atau tindakan balas dendam militan terhadap sukarelawan keselamatan yang membantu tentera negara itu dalam beberapa pertempuran yang menyaksikan anggota Abu Sayyaf terbunuh sebelum ini.

Timbalan Gabenor Sulu, Abdusakur Tan mengecam serangan itu dan mendakwa ada tali barut yang bekerjasama dengan kumpulan militan.

“Perkara ini sangat bertentangan dengan Islam.


Selepas menjalani ibadah di bulan Ramadan, bBinatang pun tidak sanggup melakukan perkara seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Konflik etnik ragut 100 nyawa


Pertempuran di wilayah Xinjiang yang sebahagian besarnya didiami etnik Uighur Muslim menyebabkan hampir 100 orang maut atau cedera, kata sebuah pertubuhan semalam.

Ketika pihak berkuasa China mendakwa kejadian itu ada kaitan dengan “serangan pengganas” Kongres Uighur Dunia berkata, ia tercetus apabila etnik berkenaan bangkit menentang dasar pemerintahan melampau Beijing.

Jurucakap pertubuhan itu, Dilxat Raxit berkata, pertentangan bersenjata itu menyebabkan kematian atau kecederaan di kedua-dua pihak.



Sebelum itu Dilxat berkata lebih 20 orang Uighur terbunuh dan 10 cedera selain 13 anggota keselamatan China maut atau cedera dalam kejadian berkenaan.

“Seramai 67 orang lagi ditahan,” katanya.

Agensi berita rasmi China Xinhua pula melaporkan puluhan orang awam dan “penjenayah” terbunuh atau cedera dalam serangan sekumpulan orang bersenjata pedang dan kapak.

“Polis menembak beberapa puluh orang anggota penjenayah,” lapornya.


Xinhua bagaimanapun tidak menyatakan pecahan kematian akibat kejadian Isnin lalu itu.

Laman sesawang kerajaan Xinjiang pula mendakwa beberapa puluh orang daripada etnik Uighur dan Han maut atau cedera dalam insiden berkenaan.


Han adalah etnik terbesar di China dan mereka berhijrah ke Xinjiang sejak beberapa dekad lalu sehingga mengubah nisbah penduduk di wilayah berkenaan.

Keganasan itu berlaku di daerah Shache - atau Yarkand menurut bahasa Uighur - berhampiran padang pasir Taklamakan di barat Xinjiang.

Xinhua mendakwa kejadian itu dirancang lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

Padah kalah bertaruh dalam Piala Dunia


Wrexham (Wales): Seorang peminat bola sepak di sini mungkin menjadi orang yang paling rugi dalam bertaruh ketika kejohanan Piala Dunia lalu.

Jon Jolley bertaruh £100 (RM540.00) ke atas Brazil untuk menjuarai kejohanan itu dengan penyerang handalannya Neymar memenangi anugerah kasut emas. Kerana begitu yakin akan memenangi pertaruhan itu, dia juga berikrar: “Jika Brazil tidak berjaya membawa pulang piala kali ini, saya akan mendaki Gunung Snowdon dengan hanya memakai thong (seluar dalam wanita),” katanya.


Namun, sangkaan Jolley meleset kerana Brazil gagal memenangi piala berkenaan.



Dengan kekalahan Brazil 1-7 kepada Jerman dalam peringkat separuh akhir, Jolley terpaksa menunaikan janjinya.


Menurut media, dengan tidak memakai apa-apa selain seluar dalam wanita, Jolley mendaki gunung setinggi 1,085 meter itu dalam masa selama tiga setengah jam untuk sampai ke puncak, kelmarin. “Saya orang yang berpegang pada janji. Biasanya jika bertaruh dalam perlawanan, saya tidak akan menyuarakan sesuatu seperti ini, tetapi kali ini Neymar dan David Luiz benar-benar menghampakan saya. “Selepas menangis selama beberapa jam, saya sedar saya boleh menjadikan kekecewaan ini kepada sesuatu yang positif. “Dengan menunaikan janji saya itu, saya menjadi lelaki pertama mendaki gunung dengan berseluar dalam. Pada masa sama, saya juga memungut derma dan berjaya mengumpul £450 (RM2,427) untuk tujuan kebajikan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Keprihatinan rakan muslim buka hati peluk Islam


  • Mazlan Aliman (tengah) mewakili Pas Kawasan Kulai menyampaikan sumbangan kepada Osman dan keluarga.Mazlan Aliman (tengah) mewakili Pas Kawasan Kulai menyampaikan sumbangan kepada Osman dan keluarga.

KULAIJAYA – Berbeza dengan saudara baru lain, Osman Abdullah, 47, mengenali Islam ketika dia ditimpa musibah dan terlantar sakit di hospital selama lebih tiga bulan akibat kencing manis, tahun lalu.

Katanya, dia terbuka hati memeluk Islam selepas melihat kesungguhan rakan beragama Islam yang prihatin terhadapnya dan tidak teragak-agak menghulurkan bantuan.

Menurutnya, sejak terlantar di hospital, pendapatannya sebagai tukang cuci mula terjejas dan tidak mampu menampung tiga anak kecil berusia setahun hingga 11 tahun.

“Ketika itu, keadaan saya susah, namun saya bernasib baik kerana rakan tidak jemu menjenguk dan menghulurkan bantuan walaupun berlainan agama.

“Selepas dibenarkan keluar dari hospital, saya mula tergerak hati mengenali Islam dengan lebih mendalam,” katanya.

Osman berkata, dia membuat keputusan memeluk Islam bersama isteri, Siti Mariam Abdullah, 43, serta tiga anaknya pada Januari lalu dan berpeluang merasai pengalaman pertama berpuasa di bulan Ramadan.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya berpuasa, walaupun agak sukar kerana saya perlu mengambil ubat untuk penyakit kencing manis, namun saya berusaha memenuhi kewajipan ini.

“Saya bersyukur kerana isteri juga sama-sama berusaha mematuhi syariat Islam dan kami akan mengajar anak-anak secara berperingkat mengenai kepentingan berpuasa. Kami juga ada mengikuti kelas agama setiap minggu,” katanya.

Keluarga ini diuji apabila rumah sewanya di Kulai Besar terbakar pada 13 Julai lalu.

“Kami tinggal sehelai sepinggang, mujur majikan tempat saya bekerja menyediakan kediaman sementara secara percuma untuk kami.

“Kami ada terima bantuan kewangan dari beberapa pihak, cuma belum cukupi,” katanya.

Mufti Menk berbaju Melayu


  • Mufti Menk berbaju Melayu

SHAH ALAM - Imam dari Masjid terbesar di Harare, Zimbabwe, Mufti Ismail Musa Menk atau lebih dikenali sebagai Mufti Menk tampil berbeza pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan mengenakan busana baju Melayu lengkap dengan samping dan songkok.

Mufti Menk berkongsi gambar hari rayanya yang diraikan bersama keluarga Melayu di Facebook pada 29 Julai lalu dengan kapsyen berbunyi, "Aidilfitri di Malaysia disambut dengan sentuhan Melayu. Baju Melayu. Pengalaman baru dan mengujakan."

Penampilannya itu mendapat pujian daripada pengikut-pengikutnya di laman sosial.

Malah rata-rata pengikut melahirkan keterujaan melihat imej berbeza Mufti Menk yang sebelum ini sering tampil berjubah.

"Pertama kali saya melihat Mufti tanpa 'trademark' jubah putih dan kain menutup kepala," kata Haseef Ahmed.

"Pertama kali saya melihat anda dalam pakaian yang berlainan," kata Navid Mr-Kaka Kazemyar.

"Masha-ALLAH...anda kelihatan hebat dengan persalinan dari Malaysia," tulis Fathima Muhmmad.

Melalui laman mikro Twitternya, Mufti Menk berkongsi rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan Malaysia.

"Sedih kerana meninggalkan Malaysia selepas sebulan (di sini) sepanjang bulan Ramadan tapi saya gembira dapat kembali ke kampung halaman, Zimbabwe," tulisnya, semalam.

HSBC tutup akaun bank pertubuhan Muslim


  • HSBC HSBC

UNITED KINGDOM - Bank terkemuka dunia, HSBC Group dilaporkan telah mengeluarkan surat menutup akaun bank beberapa pertubuhan Muslim dan orang perseorangan dipercayai kerana membantah serangan kejam zionis Israel.

Menurut laporan BBC, HSBC telah mengeluarkan surat kepada Finsbury Park Mosque dan organisasi Muslim lain di UK memaklumkan bahawa akaun mereka akan ditutup dengan alasan untuk kawalan pengurusan risiko (risk appetite).

Finsbury Park Mosque menerima surat dari HSBC 22 Julai lalu bagi memaklumkan penutupan akaun secara rasmi pada 22 September depan.

“Bank itu langsung tidak menghubungi kami terlebih dahulu. Tidak beri kami peluang untuk mengatasi kebimbangan mereka.

“Bagi kami ini sangat menghairankan. Kami badan amal yang beroperasi di UK dan semua operasi kami di sini dan kami tidak memindahkan apa-apa wang daripada UK. Semua operasi dibiayai dana dari dalam UK,” kata Pengerusi Masjid, Mohammed Kozbar.

Menurut beliau, tindakan HSBC itu bakal meninggalkan kesan negatif kepada bank tersebut.

“Mereka telah meletakkan kami dalam situasi yang sangat sukar. Ini satu-satunya akaun yang kami ada.

“Kami pasti komuniti akan kecewa dan mungkin menimbangkan untuk menutup akaun mereka dengan HSBC jika pihak bank tidak kembali membuka akaun kami atau setidak-tidaknya memberikan penjelasan,” katanya.