Wednesday, November 12, 2014

Selepas ditahan, akaun Facebook Fahmi pula digodam


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Selain berhadapan dengan pelbagai sekatan dalam siri jelajahnya di ke kampus-kampus, akaun Facebook Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol juga turut digodam.

Terbaharu, akaun Facebook peribadi beliau yang didaftarkan sejak 2008 tidak dapat diakses.

"Akuan peribadi Facebook saya yang dibuat pada tahun 2008 sudah tiada, akaun peribadi bertukar kepada "page". Akaun lama saya tidak mampu diakseskan," tulis belaiu dalam page baharunya.

Menurut Fahmi, cubaan mengganggu akaun Facebook beliau berlaku sejak beberapa hari lalu ketika beliau dan rakan aktivis mahasiswa mahu mengadakan program di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika itu, wujud satu akaun palsu atas nama beliau yang membuat posting 'menghina' rakyat Sabah.

Fahmi dalam pada itu beberapa kali membuat penafian di Facebook beliau berhubung kewujudan akaun palsu tersebut.

Berikutan itu juga, beliau telah membuat satu laporan polis terhadap kewujudan akaun palsu tersebut.

"Saya menerima pelbagai ancaman dan ugutan dari pelbagai pihak di Sabah berkenaan akaun palsu tersebut," katanya dalam laporan polis itu.

Ahad lalu, Fahmi bersama tujuh lagi aktivis mahasiswa lain ditahan pihak polis ketika merancang untuk berucap di UMS.

Mereka kemudian dibebaskan semalam selepas diambil keterangan.

Nama Fahmi mula mendapat perhatian selepas kejayaan PMUM pimpinannya membawa masuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Universiti Malaya untuk menyampaikan pidato berkait tuduhan fitnah ke atasnya.

Beliau kini berdepan tindakan tatatertib o;eh pihak Universiti Malaya ekoran penganjuran program itu yang didakwa tidak mendapat kelulusan pihak pentadbiran. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

Kenapa perlu 'sembunyi' audit RM93 juta Hari Belia?


MUHAMMAD FAIZAL | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: PAS menggesa kerajaan membentangkan Laporan Ketua Audit Negara berhubung program Hari Belia Negara.

Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pada sidang media di lobi Parlimen hari ini memberitahu walaupun audit telahpun dilakukan, namun kerajaan mengatakan ia tidak perlu didedahkan.

"Saya telah bangkitkan isu audit di peringkat Jawatankuasa berhubung laporan audit membabitkan hari belia negara sejak 2011 hingga 2013 yang tidak dibentangkan.

"‎Dulu diberitahu akan memasukkannya dalam laporan audit siri dua, namun dalam siri tiga pun tidak ada laporan tersebut," katanya.

Menurut beliau, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim‎ yang mengakui audit telah dilakukan, namun ia tidak perlu didedahkan kerana kementerian akan mengambil tindakan pembaikan, telah menimbulkan persoalan.
‎‎
"Kalau audit telah dilakukan kenapa ia tidak mahu dibentangkan, perkara ini perlu dimaklumkan kepada umum dan juga parlimen untuk kita ketahui secara mendalam apa yang telah dibelanjakan.

"‎Kita sedia maklum bahawa bagi program tersebut kementerian telah berbelanja melebihi peruntukan yang telah ditetapkan.

‎"Kita ingin tahu dari mana sumber kewangan itu diperolehi, keengganan membentang laporan audit tersebut menyebabkan perkara yang sama akan berulang dan pasti untuk audit 2014 akan berlaku perkara yang sama," sambung beliau.

‎Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut memaklumkan sehingga tahun 2014 kerajaan telah berbelanja hampir RM93.2 juga bagi program Hari Belia Negara.

Katanya, pada tahun 2011 sebanyak RM16.01 juta dibelanjakan, bagi tahun 2012 sebanyak RM28.91 juta, manakala bagi tahun 2013 pula RM18.07 juta telah dibelanjakan.

"Kita telah berbelanja besar tetapi kita tidak mengetahui manfaat yang diperolehi oleh golongan belia melalui program tersebut.

"Kita ingin mengetahui apa kelemahan yang ditemui pada siasatan audit dan pembaikan yang akan dilakukan kementerian bagi mengatasi kelemahan dalam perbelanjaan program itu," katanya. -HARAKAHDAILY 11/11/2014

Nombor pendaftaran punca kemalangan tak masuk akal


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan alasan penggunaan nombor pendaftaran yang tidak mengikut spesifikasi boleh mengakibatkan kemalangan dan kematian sebagai tidak masuk akal.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad yang mendakwa operasi besar-besaran JPJ terhadap kesalahan itu adalah bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya.

"Berilah alasan yang munasabah, mana boleh nombor plat mengakibatkan kemalangan sehingga menyebabkan kematian.

"Pendapat dan pandangan selawak itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang Ketua Pengarah JPJ‎," katanya sambil menambah, ia sekadar alasan bagi menghalalkan operasi yang sedang dijalankan jabatan itu.‎

‎Ahli Parlimen Pokok Sen itu turut mempertikaikan Ismail yang meletakkan angka terhadap jangkaan kematian akibat kemalangan menjelang tahun 2020 iaitu seramai 5,358 orang.‎

‎"Dia mana boleh kata sedemikian, kita tak mahu orang mati dalam kemalangan, sepatutnya dia cakap untuk mengurangkan kemalangan dan bukannya meletakkan angka," kata Mahfuz lagi.‎

Mahfuz bagaimanapun bersetuju dengan larangan penggunaan nombor plat kenderaan yang sukar dibaca, yang boleh menimbulkan kesukaran khususnya dalam kes langgar lari.

"Saya tidak nafi operasi yang JPJ adakan sekarang tetapi menggunakan alasan kemalangan dan kematian itu bukan satu alasan yang kukuh serta boleh diterima masyarakat umum," jelas beliau.

‎JPJ pada satu November lalu telah memulakan operasi besar-besaran pemeriksaan kepada semua kenderaaan dan tertumpu kepada pemeriksaan ke atas nombor pendaftaran, lampu strobe dan lampu HID. - HARAKAHDAILY 11/11/2014

Kelantan sudah lama laksana perundangan Islam


MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Pada zaman pemerintahan Sultan Mansor, Undang-Undang Syariah dilaksanakan di Kelantan termasuk hukum hudud dan qisas.

Begitu juga pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad ke-III, baginda turut menguatkuasakan undang-undang Islam.

“Baginda menyambung usaha pelaksanaan undang-undang syariah yang telah dimulakan sultan-sultan terdahulu termasuk Sultan Muhammad Ke-II dan Sultan Ahmad,” kata Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Berucap di Istana Balai Besar di sini sempena Perayaan Ulangtahun Keputeraan yang Ke-45 Sultan Muhammad V katanya, rahsia kejayaan Kelantan kerana rakyatnya tunduk patuh kepada perintah Allah Taala.(Foto atas)

Menurut beliau lahirnya ramai ulama di negeri ini kerana kehebatan sultan yang menaungi pemerintahan negeri.

“Justeru patik turut menyatakan hasrat untuk menjadikan 2015 sebagai tahun permulaan ke arah pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Islam dan persiapan ke arah itu sudah berada di peringkat terakhir.

“Oleh kerana sebahagian bidang kuasa pelaksanaan Undang-Undang Syariah berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, maka pelaksanaannya di Kelantan tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan,” ujarnya.

Katanya juga kerajaan negeri akan membawa rang undang-undang tersebut dalam bentuk yang lebih lengkap ke Dewan Undangan Negeri sebelum dibentang di Parlimen.

Beliau berkata, usaha yang dilakukan kerajaan negeri mengikut peruntukan Perkara 76 (A) bagi mendapat kebenaran Parlimen untuk membolehkan hudud dilaksanakan di negeri ini.

Berangkat pada istiadat di Istana Balai Besar itu Pemangku Raja Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Sultan Muhammad V tidak hadir pada istiadat tersebut difahamkan berada di luar negara. - HARAKAHDAILY 11/11/2014

Status pendapatan isi rumah rakyat Malaysia terkini


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan status pendapatan isi rumah rakyat Malaysia yang terkini dan peratusan rakyat atau jumlah hakiki rakyat yang mendapat pendapatan seperti ini.  

Demikian pertanyaan bagi jawab lisan daripada Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Soalan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang disenaraikan hari ini seperti di bawah.

Dr. Mohd Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan statistik dari tahun 2004-2014, mengikut statistik tahunan, jumlah suspek yang didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 dan berapakah suspek yang telah disabitkan dan dihukum.   

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Perdana Menteri menyatakan tentang perancangan terbaru Kerajaan dalam melaksanakan Koridor Ekonomi di seluruh negara. Berapakah dana yang sudah dan akan dikeluarkan untuk merealisasikan perlaksanaan tersebut.  

Wan Hasan Mohd Ramli [Dungun] minta Menteri Belia Dan Sukan menyatakan usaha-usaha yang dilakukan bagi melahirkan jaguh sukan pelapis bertaraf dunia dalam sukan badminton.

Dr Izani Husin [Pengkalan Chepa] minta Menteri Pengangkutan menyatakan status terkini projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa.  

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz [Pasir Mas] minta Menteri Belia Dan Sukan  menyatakan sejauh mana peranan yang dimainkan Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri-Negeri (USPTN) dalam mencari bakat baharu sukan dan memperkembangkan bakat ke peringat yang lebih tinggi.  

Ahmad Baihaki bin Atiqullah [Kubang Kerian] minta Menteri Pendidikan menyatakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional adalah antara kemudahan yang disediakan untuk pelajar institusi pengajian tinggi meminjam bagi meneruskan cita-cita mereka ke menara gading. Apakah cara pengurusan pembiayaan dan pembayarannya mengikut kaedah Syariah Islam dan terhindar daripada riba. - HARAKAHDAILY 12/11/2014

Hukuman bunuh: Kaedah tali gantung cara purba


TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .
SAYA akan sertai perbahasan B.6 Butiran 020000 – Unit Perancang Ekonomi, Butiran 490300 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Butiran 490900 – Kehakiman Syariah, Butiran 160000 – Maritim dan Butiran 020000 – SPRM.

Secara ringkas sahaja Tuan Pengerusi, berhubung dengan butiran yang pertama, Butiran 020000. Dalam keadaan kita mencapai Wawasan 2020 yang kita uar-uarkan yang menjadi cita-cita kita bersama, saya lihat bahawa perancangan lebih diberi penekanan ke arah pendapatan tinggi, ke arah teknologi tinggi tanpa memberi penekanan yang lebih kepada pembangunan insan yang menjadi asas kepada kemajuan sesebuah negara.

Tanpa dinafikan betapa perlunya pendapatan tinggi, teknologi tinggi, tetapi tanpa pembangunan insan yang sempurna dan cukup akan membawa kecanggungan dan akan melakukan kesilapan-kesilapan yang boleh meruntuhkan pembangunan yang ditegakkan dan akan berlaku yang dikejar tidak dapat, yang sudah ada berciciran.

Bahkan, sejarah manusia merakamkan bagaimana kaum-kaum yang terdahulu yang menempa kemajuan yang sangat hebat dengan pendapatan tinggi tetapi melampau di antara satu sama lain, kaum yang mencapai teknologi tinggi melampau juga, runtuh kaum Ad, kaum Samud, kaum Firaun pada zaman dahulu. Jerman dan Jepun di abad yang lalu yang mencapai teknologi yang sangat tinggi tetapi tanpa kemanusiaannya, Tuhan menyebut.. [membaca beberapa potong ayat Al-Quran] puncanya ialah kerana manusia yang melakukan kejahatan walaupun maju dan tinggi teknologinya.

Jerman dan Jepun yang mencapai teknologi yang tinggi di abad yang lalu tetapi ada manusia yang melampau yang mencetuskan perang dunia yang kedua, bukan sahaja merosakkan manusia yang lain bahkan meruntuhkan negara itu sendiri dan kita semua tahu bagaimana negara itu bangkit semula dengan cepat menjadi kuasa besar pada hari ini sama ada dalam aspek ekonomi ataupun politik dengan memulakan pembangunan insan. Di sinilah perlunya pembangunan insan.

Negara Arab yang mendapat hasil yang banyak, bagaimana pendapatannya sangat tinggi tetapi tidak memberi apa-apa makna dan erti. Duit banyak, hasil banyak tetapi insan Arab walaupun dia Islam, kita semua tahu, tidak memberi apa-apa makna.

Di sinilah maka Allah SWT menyebut dalam Quran sebagai satu contoh, kaum Bani Israel... [membaca beberapa potong ayat Al-Quran]  Bani Israel tidak puas hati kerana Nabi mereka mencadangkan Talut menjadi raja yang memimpin kerana Talut ini tidak ada duit, pendapatannya tidak tinggi, tidak boleh bagi pendapatan tinggi. Lalu Nabi mereka mengatakan dia seorang yang berilmu dan seorang yang mempunyai jati diri yang kuat.

Maka jati diri yang kuat, ilmu yang kuat, mengikut Islam ialah pembinaan iman, akhlak, ilmu yang berkait dengan bukan sahaja ilmu akhlak, ilmu imannya termasuklah ilmu sains dan teknologi yang perlu digabungkan kesemua perkara ini.

Hal ini perlu diberi peranan kepada pihak yang berkenaan khususnya kepada JAKIM, kepada badan-badan Islam yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri supaya membuat kajian yang lebih serius yang bersungguh untuk menjiwai Islam ini di dalam semua urusan pentadbiran dan pusat-pusat pengajian tinggi untuk membangun manusia yang mempunyai jati diri yang dapat mengambil manfaat daripada hasil-hasil dan sumber alam yang telah sedia ada.   

Kebetulan tanah air kita mempunyai sumber alam yang sangat baik sama ada darat dan laut. Mempunyai tenaga manusia yang tersendiri, masyarakat majmuk yang patut digabungkan masyarakat majmuk ini mengikut keistimewaan yang ada pada masing-masing tetapi tidak diolah dengan cara yang sebaiknya.

Sumber alam yang ada itu pun kadang-kadang yang diolah contohnya maritim, ada dalam butiran yang disebut tadi, maritim yang menguatkuasakan sumber alam maritim yang mengakibatkan kesusahan kepada nelayan-nelayan, mengaut tanpa batas, tanpa sempadan, musnahkan tempat-tempat pembiakan yang menjadi punca dalam sumber hasil nelayan-nelayan kita sendiri. Di sinilah Tuhan mengatakan; [membaca ayat Al- Quran] Maksudnya; “Kalau sekiranya Allah menjadikan rezeki melimpah ruah kepada manusia tanpa sempadan, kadang-kadang mereka melampaui batas maka perlu diqadarkan batas”.

Kita mempunyai hasil yang banyak, sumber laut yang banyak tetapi bila kita mengeluarkan lesen-lesen kepada orang-orang tertentu menyebabkan mereka melampau. Bukan mengutip hasil, memusnahkan sumber hasil. Di antaranya juga contohnya adalah baik kerajaan mengeluarkan subsidi kepada nelayan-nelayan tetapi mereka yang melampau ini jual minyak subsidi untuk berniaga minyak pula bukan untuk kemudahan. Ini ialah satu kelemahan yang perlu diatasi.

Seterusnya dalam hal ini, saya ingin membangkitkan juga peranan Islam di dalam perlembagaan. Kita sepatutnya hendaklah memerdekakan fikiran kita daripada Suruhanjaya Reid yang mentafsirkan perlembagaan. Islam sebagai agama persekutuan.

Kita mestilah mentafsirkan Islam itu sebagaimana ajaran Islam itu sendiri. Bebaskan daripada kepompong tarif Suruhanjaya Reid yang membataskan Islam dalam hal-hal yang tertentu yang tidak menjayakan Islam sebagai agama yang sempurna, yang lengkap, yang boleh menyelesaikan masalah. Padahal kita perlu menyedari bahawa pengaruh Islam banyak dalam sistem pemerintahan barat khususnya British.

Oleh kerana kita mewarisi sistem British dan British merupakan paling banyak mewarisi sistem pengajian Islam melalui orientalis dalam pentadbirannya, dalam kehakimannya, dalam berbagai- bagai perkara banyak dipengaruhi termasuklah sistem demokrasi Barat itu sendiri, mereka tak tahu nak amalkan demokrasi nak ubah kerajaan, mereka menyembelih, membunuh raja-raja dan penyokong-penyokong mereka setelah mereka mengkaji kitab-kitab Islam yang berkait dengan sistem pemerintahan. Baru mereka tahu cara pilihan raya termasuklah dalam mengendalikan urusan pentadbiran mengikut feudalisme, mengikut jabatan-jabatan, skim gaji. Ini banyak dipengaruhi oleh Islam cumanya British ini tak ada roh, tak ada perhitungan dosa dan pahala. Kita masukkan sahaja perhitungan ini dalam sistem kerajaan kita. Ini peranan JAKIM, peranan badan-badan Islam dalam Jabatan Perdana Menteri. Termasuklah bila roh ini tidak ada dalam penguatkuasaan undang-undang, kita gagal, tak berjaya mengatasi masalah jenayah. Walaupun undang-undang itu sangat keras, undang-undang bunuh mandatori kepada pengedar dadah, undang-undang sebatan namun tidak menakutkan penjenayah. Puncanya ialah kerana tidak ada yang Tuhan sebut dalam Al-Quran [membaca sepotong ayat Al-Quran] maksudnya; “Cegahan daripada Allah”.

Di sini terdapat perbezaan di antara syariat Islam dengan undang-undang barat. Syariah Islam ada roh, aspek spiritual di dalamnya walau undang-undangnya dianggap sebagai tidak keras. Sebatannya tidak memecahkan kulit, tidak mencederakan badan cuma di khalayak yang ramai. Boleh memalukan pelaku dan memberi pengajaran kepada orang lain. Ini, disebat dalam penjara, pecah kulit, cacat, tak memberi kesan. Yang kena hukum itu mungkin berkesan tapi masyarakat tak ada kesan.

Di sinilah peranan media yang perlu menyebarkan kepada umum mengenai hukuman-hukuman ini, bukan menyebarkan jenayah itu, bukan menyebarkan filem-filem jenayah untuk mengajar jenayah tetapi menyebarkan perkara yang mendidik masyarakat. Contohnya hukum bunuh, mati kepada penjenayah walaupun di sana ada negara Barat tak setuju hukuman bunuh ini. Islam mengatakan hukuman bunuh itu baik.

Cuma bila mana hukuman bunuh dilaksanakan, Barat dia lebih simpati kepada penjenayah kadang-kadang, tak simpati kepada mangsa. Itu Barat, kita tak boleh pakai fikiran mereka. Sepatutnya kita simpati kepada mangsa bukan penjenayah. Penjenayah pun ada simpati, sebagai contohnya Islam menganjurkan [dalam bahasa Arab] ertinya; “Bila kamu bunuh, bunuh dengan cara yang baik”.

Kita masih lagi menggunakan kaedah tali gantung untuk cekik, ini cara purba, cara zaman dahulu. Padahal di sana ada yang perlu dikaji secara saintifik yang lebih tidak menyakitkan, bius kah apa, kah. Kajian-kajian sains perlu dibuat. Ini dianjurkan oleh Islam.  Di antaranya ialah masalah Lembaga Pengampun sebagai contoh, undang-undang qisas, Lembaga Pengampunan.

Hari ini Lembaga Pengampunan tak melibatkan mangsa jenayah. Orang tertentu yang jadi ahli Lembaga Pengampunan iaitulah Raja, Perdana Menteri, Peguam Negara dan orang yang ditetapkan. Mengikut Islam, hak pengampunan ini ada. Pengampunan diberi kepada mangsa jenayah. Oleh sebab itu mangsa jenayah perlu ditanya dalam masalah pengampunan ini. Ini perkara Islam, inilah peranan jabatan-jabatan Islam di bawah Pejabat Perdana Menteri.

Badan Pencegah Rasuah perlu disempurnakan lagi, perlu dibantu. Tidak cukup dengan sebab itulah tidak berkesan. Di sana, bukan sahaja pencegah rasuah, dalam Islam ada hisbah, ombudsman bukan sahaja nak memantau pegawai itu dirasuah atau tak rasuah, bukan nak lantik dia pun. Dalam Islam ada hisbah ombudsman. Ini dipakai oleh setengah-setengah negara, setiap pegawai penting yang nak dilantik. Menteri yang nak dilantik pun akan dihadapkan di hadapan jawatankuasa Parlimen, dalam bentuk senate. Didedahkan peribadi dia sama ada baik ataupun buruk, bijak ataupun tidak.  Boleh tak boleh sebelum diberikan jawatan itu dan termasuk masa dia sekolah, apa perangai dia, diketahui. Kalau dia berubah atau tak berubah, itu diketahui. Kita pakai lantik secara spontan begitu sahaja maka berlakulah akibat-akibat yang sangat negatif selepas itu. Itu ialah pandangan saya dalam perkara ini. Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Rencana di atas adalah ucapan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika membahaskan Kepala Bekalan B.1 hingga B.9 dan B.40 dan Kepala Pembangunan P.6 dan P.7 di bawah Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 10 November 2014 yang dipetik daripada Penyata Rasmi (Hansard) Dewan Rakyat.

Putin, Abbott mahu siasatan MH17 disegerakan

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin dan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott hari ini berbincang mengenai nahas pesawat Penerbangan Malaysia, MH17 yang terhempas ketika menghadiri Sidang Kemuncak Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), di sini.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata kedua-dua pemimpin mahukan siasatan dilakukan dengan seberapa segera yang boleh.
Putin juga berbual seketika dengan Presiden Barack Obama pada sidang kemuncak itu yang berlangsung di sini, dan mereka menyentuh mengenai krisis Syria, Ukraine dan Iran. - Agensi

Tuduh Malala anti-Islam


Islamabad: Sebuah persatuan sekolah swasta Pakistan mengadakan hari ‘I am not Malala’ (Saya bukan Malala) kelmarin bagi mengecam pemenang Nobel Malala Yousafzai yang dilihat sebagai penyokong penulis kontroversi, Salman Rushdie.
Perikatan Sekolah Swasta Pakistan mendakwa biografi remaja itu, ‘I am Malala’ yang ditulis bersama wartawan Britain Christina Lamb terlalu bersimpati dengan Salman yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam seluruh dunia dengan bukunya ‘The Satanic Verses’ (Surah Syaitan) pada 1989.
Dalam satu kenyataan, presiden perikatan berkenaan Mirza Kashif Ali berkata Malala jelas mempunyai perhubungan dan menyokong ideologi Salman serta aktivis wanita Taslima Nasrin.
“Kami mengecam bab di dalam buku itu apabila Malala mendakwa buku Salman sebagai kebebasan menyuarakan pendapat,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mengadakan seminar dan sidang media untuk menimbulkan kesedaran mengenai hari ‘I am not Malala.’
Organisasi itu tahun lalu turut melarang anggotanya membeli biografi berkenaan yang dianggap anti-Pakistan dan anti-Islam. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8362#sthash.IXKjxIex.dpuf

Penjara kerana dakwah


Beijing: China menghukum hampir dua dozen orang termasuk imam yang berdakwah secara haram di wilayah barat Xinjiang di mana kerajaan mendakwa berlaku kempen keganasan untuk berpisah daripada pentadbiran Beijing.
Media tempatan melaporkan, 22 suspek itu dipenjara antara lima hingga 16 tahun dalam prosiding hukuman besar-besaran yang diadakan di khalayak ramai di Xinjiang, kelmarin.
Selain imam, hukuman turut dikenakan terhadap mereka yang terus melakukan aktiviti keagamaan selepas dipecat atau melanggar undang-undang ketika melaksanakan tugas.
Ada juga yang didakwa mengapi-apikan kebencian etnik, menggunakan tahyul dan menimbulkan kekacauan.
Sementara itu, Kongres Uyghur Sedunia di dalam buangan mengecam hukuman berkenaan berikutan sekatan keagamaan oleh Beijing mencabul hak penduduk Uighur. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/8391#sthash.UaXW76ku.dpuf

Staf diarah ambil pil perancang


Staf jabatan farmasi Hospital Rajavithi di Bangkok diberi arahan
Staf jabatan farmasi Hospital Rajavithi di Bangkok diberi arahan agar mengambil pil perancang atau dipecat ekoran kekurangan staf. Bagaimanapun arahan kontroversi itu ditarik semula selepas didapati melanggar undang-undang. – GAMBAR HIASAN
BANGKOK 11 Nov. – Gara-gara kekurangan staf akibat kekerapan cuti bersalin, sebuah hospital di ibu negara Thailand melaksanakan langkah drastik apabila mengeluarkan arahan kontroversi untuk petugas wanita supaya mengambil pil perancang atau berdepan tindakan dipecat.
Menurut laporan portal Mail Online, arahan tersebut dikeluarkan oleh jabatan farmasi Hospital Rajavithi di Bangkok dan telah ditandatangani lebih 25 staf sebagai memaklumkan mereka akur dengan peraturan itu.
“Bermula 30 Oktober ini sehingga 31 Disember 2015, semua staf wanita perlu mengambil pil perancang. Anda tidak dibenarkan mengandung. Sesiapa yang didapati mengandung akan dipecat,” jelas arahan tersebut.
Gambar yang menunjukkan arahan itu turut disebarkan dalam laman sosial, sekali gus mengundang kritikan masyarakat tentang sikap prejudis pihak pentadbiran hospital yang secara terang-terangan melanggar hak asasi petugas.
Selain itu, arahan berkenaan bertentangan dengan undang-undang buruh Thailand yang membenarkan petugas wanita mengambil cuti bersalin selama 90 hari.
Ekoran bantahan orang ramai dan staf hospital itu sendiri, Pengarah Hospital Rajavithi, Dr. Udom Chaowarin membatalkan arahan tersebut dan mendakwa peraturan terbabit tidak pernah diluluskan olehnya.
Beliau menjelaskan bahawa arahan itu merupakan mesej dalaman jabatan farmasi yang beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga kerja wanita dan sering kekurangan staf akibat cuti bersalin.
“Memandangkan arahan itu melanggar undang-undang, saya telah berjumpa dengan ketua jabatan yang kemudiannya menerangkan tindakannya bertujuan merayu kerjasama staf agar tidak cuti bersalin.
“Kami bersetuju membatalkan arahan tersebut dan semua staf wanita tidak perlu bimbang untuk mengandung kerana jabatan farmasi boleh mengadu kepada pihak pengurusan jika kekurangan orang,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/staf-diarah-ambil-pil-perancang-1.23617#sthash.chAj3fLU.dpuf

Rumah calon pilihan raya Gujarat perlu ada tandas


Semua calon pilihan raya di negeri Gujarat, India, perlu memiliki
Semua calon pilihan raya di negeri Gujarat, India, perlu memiliki tandas di rumah sendiri bagi membolehkan mereka bertanding dalam pilihan raya akan datang. – AGENSI
GUJARAT 11 Nov. – Semua calon pilihan raya di negeri Gujarat, perlu memiliki tandas di rumah sendiri bagi membolehkan mereka bertanding, demikian menurut rang undang-undang baharu yang diluluskan Dewan negeri Gujarat semalam.
Undang-undang tersebut juga menetapkan, semua wakil rakyat negeri ini perlu mengisytiharkan rumah mereka mempunyai tandas dalam tempoh enam bulan atau boleh hilang kelayakan.
Undang-undang itu diperkenalkan untuk mengatasi masalah pembuangan air kecil/besar secara terbuka.
“Masalah pembuangan air kecil secara terbuka perlu diatasi bagi mewujudkan keadaan yang bersih dan mengelak daripada pencemaran air,” jelas kenyataan yang dikeluarkan kerajaan negeri.
Gujarat adalah negeri asal Perdana Menteri baharu, Narendra Modi, yang berpendapat setiap rumah di negeri ini perlu memiliki tandas dalam tempoh empat tahun bagi mencegah penyebaran penyakit disebabkan pembuangan air kecil/besar secara terbuka.
Kerajaan negeri dalam pada itu akan memberikan insentif kewangan kepada penduduk tempatan untuk membina tandas di rumah masing-masing.
Baru-baru ini, satu laporan oleh Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) menganggarkan, kira-kira 594 juta atau hampir 50 peratus penduduk di negara ini membuang air kecil/besar di tempat terbuka.
Situasi tersebut memaksa mereka meninggalkan rumah pada waktu malam dan menyebabkan kira-kira 300 juta wanita dan kanak-kanak perempuan terdedah dengan gangguan dan serangan seksual.  AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rumah-calon-pilihan-raya-gujarat-perlu-ada-tandas-1.23619#sthash.Prl8rKEw.dpuf

Australia komited misi pencarian MH370

Australia komited untuk terus menjalankan usaha mencari pesawat
Australia komited untuk terus menjalankan usaha mencari pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi. – REUTERS
SYDNEY 11 Nov. – Kerajaan Australia hari ini menyatakan komitmennya untuk terus mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang selepas kenyataan seorang pegawai kanan MAS yang mencadangkan pesawat tersebut akan diisytiharkan ‘hilang’ secara rasmi, mencetuskan kemarahan keluarga penumpang.
Pengarah Komersial MAS, Dr. Hugh Dunleavy pada 4 November lalu memberitahu sebuah akhbar New Zealand, waris keluarga penumpang MH370 akan diberi pampasan sebaik-baik jet tersebut diisytiharkan hilang secara rasmi.
Menurut akhbar itu lagi, Australia dan Malaysia kemungkinan besar akan mengumumkan pesawat itu secara rasmi hilang pada akhir tahun ini, sekali gus menamatkan operasi pencarian di dasar laut secara besar-besaran selepas pesawat yang membawa 239 penumpang tersebut dilaporkan hilang di Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.
Semalam, kumpulan aktivis, Voice 370, dalam satu kenyataan berkata, kenyataan Dunleavy menambah penderitaan kepada ahli keluarga penumpang dan membuatkan mereka hilang kepercayaan kepada usaha-usaha pencarian.
Sementara itu, MAS dalam satu kenyataan pula berkata, pendapat yang dinyatakan Dunleavy itu bersifat peribadi dan kerajaan Australia serta Pusat Penyela­rasan Agensi Bersama (JACC) yang bekerjasama dalam menjalankan operasi pencarian, akan memberi perkembangan terkini mengenai usaha berkenaan.
“Australia akan terus menge­tuai usaha pencarian MH370 mewakili Malaysia dan komited untuk menyediakan segala bantuan dalam usaha pencarian pesawat tersebut,” kata JACC dalam satu kenyataan yang menggambarkan pendapat Dunleavy itu ‘sangat mengganggu’ emosi ahli keluarga penumpang. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/australia-komited-misi-pencarian-mh370-1.23621#sthash.PE0iqbAz.dpuf