PILU...ahli keluarga mangsa yang terkorban tidak dapat menahan kesedihan.
Rakannya, Nurshapika Baba, 19, dari Jalan Pokok Mangga dan Muhamad Farizuddin Abu Talib, 19, dari Balai Panjang, terbunuh bersama 10 penumpang lain dalam kemalangan membabitkan bas ekspres Delima yang mereka naiki serta beberapa kenderaan lain.
Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia menghantar SMS kepada Nurshapika bertanya kedudukan bas dinaikinya kerana gagal mengesan bas berkenaan, tetapi tidak membalas dan saya tidak mengesyaki apa-apa.
“Apabila tiada balasan dan masih gagal mengesan bas berkenaan, saya hantar beberapa SMS lagi dan mula tidak sedap hati kerana tetap tidak mendapat balasan,” katanya yang mengekori bas berkenaan sejak ia berlepas bersama dari Terminal Melaka Sentral bersama rakannya, Nurul Baidatul Asyikin Asri, 19, dengan kereta.
Nurfaizah yang ditemui di Hospital Melaka di sini, semalam. berkata Nurshapika dan Muhamad Farizuddin yang enggan menaiki kereta bersamanya, berkeras mahu pulang ke Kuala Lumpur dengan bas.
Difahamkan, kedua-dua mangsa masih menuntut di Universiti Multimedia (MMU), Bukit Beruang, dalam jurusan kejururawatan dan menjalani latihan praktikal peringkat akhir di Hospital Melaka.
Menurut Nurfaizah, kedua-dua rakannya itu tidak menunjukkan perubahan sebelum mereka ke Terminal Melaka Sentral untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur dan ketika bas meninggal terminal, mereka melambaikan tangan bagaikan lambaian terakhir.
“Kami berdua hairan kerana gagal mengesan bas berkenaan dan timbul persoalan, sama ada bas itu laju sangat sehingga kami tidak dapat mengejarnya sedangkan ketika itu kenderaan di lebuh raya bergerak perlahan akibat kesesakan. Rupanya kesesakan itu akibat kemalangan membabitkan bas dinaiki rakan kami.
“Terdetik di hati teringatkan kedua rakan yang menaiki bas itu, namun saya tidak pasti sehingga kami memberhentikan kereta di bahu jalan dan menyedari kemalangan itu membabitkan bas ekspres dinaiki Nurshapika dan Muhamad Farizuddin,” katanya.