Sunday, November 21, 2010

Indonesia mahu siasatan dijalankan

KES PEMBUNUHAN AMAH DI ARAB SAUDI


Yudhoyono terkejut dengan sifat tidak berperikemanusiaan majikan


JAKARTA: Indonesia semalam meminta agar satu siasatan dijalankan berhubung laporan yang mendakwa bahawa seorang pembantu rumah warga negara itu telah dibunuh oleh majikannya di Arab Saudi dan mayatnya dicampakkan ke dalam tempat sampah - kes kedua yang melibatkan penderaan pembantu rumah di Arab Saudi minggu ini.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengatakan demikian semasa bercakap dengan wartawan selepas satu mesyuarat Kabinet yang diadakan berhubung perlunya melindungi ratusan ribu pekerja pendatang di Timur Tengah.Kumpulan-kumpulan hak asasi berkata terlalu ramai pendatang itu menghadapi suasana kerja seperti hamba abdi, penderaan, penganiayaan seks dan kematian.Menteri buruh Indonesia, Encik Muhaimin Iskandar, berkata satu pasukan kedutaan telah dihantar ke bandar Abha di Arab Saudi, untuk menyiasat dakwaan bahawa seorang pembantu rumah Indonesia yang berusia 36 tahun, Cik Kikim Komalasari, telah dibunuh oleh majikannya.Leher pembantu berkenaan dikelar dan beliau mengalami kesan kelaran teruk di seluruh tubuhnya, kata Encik Muhaimin.'Amat mengejutkan apabila mendengar semua ini... ia tidak berperikemanusiaan,' kata Presiden Yudhoyono, tetapi menambah bahawa beliau berpuas hati dengan respons pantas kerajaan Arab Saudi terhadap kes tersebut.'Saya berharap para pelakunya akan dihukum mengikut undang-undang,' ujarnya.Laporan itu muncul sedang satu pasukan pegawai Indonesia berangkat ke Timur Tengah bagi mendapatkan keadilan dan bantuan perubatan untuk seorang lagi pembantu rumah, Cik Sumiati Salan Mustapa, yang terpaksa dirawat di hospital di Madinah sejak 8 November lalu.Majikan pembantu rumah yang berusia 23 tahun itu didakwa membakar, mematahkan jari hantunya dan menggunting bibirnya.Awal minggu ini, sebuah kumpulan hak asasi yang berpangkalan di New York, Human Rights Watch (HRW), menggesa Arab Saudi, Jordan dan Kuwait agar melakukan lebih banyak lagi bagi melindungi nasib pembantu rumah di negara masingmasing sambil berkata bahawa dakwaan mengenai penderaan pekerja seperti itu mencerminkan satu 'pola penderaan yang lebih meluas'.Mereka berkata demikian sebagai mengulas laporan-laporan bahawa seorang pembantu rumah Sri Lanka yang bekerja di Jordan telah dipaksa menelan paku.Seorang lagi pembantu rumah di Kuwait mendakwa majikannya memaku badannya.'Kekejaman secara wewenang dalam kes-kes ini amat mengejutkan,' kata Cik Nisha Varia, seorang pengkaji HRW, yang menggesa pihak berkuasa itu agar menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut dengan segera dan menghadapkan mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan. -- AP.

Terlanjur di rumah

AMBIL KESEMPATAN... Adila musnahkan kerpercayaan ibu bapa.
AMBIL KESEMPATAN... Adila musnahkan kerpercayaan ibu bapa.

KUALA LUMPUR: Ada ibu bapa percaya rakan anak datang ke rumah untuk belajar, tetapi akhirnya padah menimpa apabila alasan belajar diberi berakhir di bilik tidur.
Ada pula percaya anak berterus terang meminta izin untuk keluar dengan rakan sama ada lelaki atau perempuan untuk belajar, tetapi melencong ke tempat lain hingga kesudahannya ‘mendapat ilmu’ hal berkaitan seks.
Wartawan Metro Ahad menemui seorang remaja yang terlanjur seawal usia 13 tahun. Malah, seorang pelajar berusia 15 tahun yang ditemui di pusat siber di sini mengakui kerap melakukan seks oral bersama pasangan.

Mereka mengakui bukan daripada keluarga berantakan tetapi mengambil kesempatan di atas kepercayaan dan kealpaan ibu bapa yang bukannya tidak memberi didikan agama, malah bersikap tegas.


Berikut kisah dua pelajar yang ‘dahaga di awal usia’.


KES 1 - ADILAH, 13:

“SAYA mula disentuh teman lelaki awal tahun ini. Itulah kali pertama saya melakukan hubungan seks, saya sendiri tidak menyangka akan terlanjur dan ia berlaku dalam sekelip mata.

Ketika itu teman lelaki ‘cinta monyet’ saya (dikenali sebagai Helmi) berusia 12 tahun datang ke rumah untuk menghantar buku sekolah. Dia pernah beberapa kali datang ke rumah untuk belajar bersama dan ibu bapa saya mengenalinya.

Ayah dan ibu tiada di rumah kerana bekerja. Yang ada hanya adik saya.

Entah mengapa, tiba-tiba Helmi beria-ia mengajak saya masuk ke bilik. Hati saya berdebar-debar dan perasaan bercampur baur masa itu.

Sebaik masuk ke bilik, tanpa melengahkan masa Helmi terus menutup pintu. Entah mengapa saya merelakan saja. Kami terlanjur dan semuanya berlaku terlalu pantas.
Ayah dan ibu tidak mengesyaki apa-apa antara kami. Tambahan pula mereka mengenali Helmi dan tahu kami berkawan.

Helmi sudah beberapa kali datang ke rumah sebab tempat tinggal kami berdekatan. Mungkin dalam usia begini ayah dan ibu tidak percaya kami boleh terlanjur hingga melakukan hubungan seks, tetapi itulah hakikatnya.

Mereka (ayah dan mak) juga percaya dengan saya. Segala yang saya inginkan akan dipenuhi kerana saya anak sulung, meskipun tidak semuanya akan mereka beri.

Pun begitu, dalam masa sama saya takut dengan mereka. Mereka tegas dan sentiasa mengawal tindak tanduk serta segala aktiviti harian saya. Ayah adalah pensyarah manakala ibu guru sekolah menengah.

Dalam diam, mereka tidak tahu banyak perkara negatif antara saya dan rakan. Di kalangan rakan seusia, kami biasa melihat video lucah. Bercerita mengenai seks juga satu kebiasaan buat kami sejak usia saya 12 tahun lagi.

Telefon bimbit diberi ibu dan ayah dijadikan tempat menyimpan video lucah. Saya tidak berani berbuat demikian, tetapi tetap melihat video lucah di telefon bimbit rakan.

Saya terlanjur dengan kekasih juga sebab masing-masing ada perasaan ingin mencuba. Kerana ‘kesilapan’ pertama itu juga, akhirnya saya mengandung.

Selepas beberapa lama, saya tidak datang bulan. saya cuba beritahu ibu, tetapi takut untuk berbuat demikian.

Melihat perubahan diri saya, seorang saudara menyarankan saya membuat pemeriksaan doktor. Ayah dan ibu terkejut. Mereka tidak percaya dan menafikan saya boleh terlanjur sejauh itu.

Saya hanya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa kerana takut. Ayah dan mak paksa saya memberitahu hal sebenar, namun saya juga menafikan sudah melakukan hubungan seks sebelum ini.

Akhirnya, ketika pemeriksaan dilakukan, saya disahkan mengandung. Ayah dan ibu sangat kecewa dan terpaksa menerima hakikat itu.

Saya dikurniakan cahaya mata lelaki. Dalam gembira menimang cahaya mata, saya turut kesal atas apa yang berlaku. Namun, semuanya sudah terlambat.

Saya lukakan hati ayah dan emak. Anak saya pula akan dihantar kepada keluarga angkat.

Tiada apa yang dapat saya lakukan melainkan rasa kesal yang tidak sudah-sudah, tetapi saya percaya masih ada ruang dan peluang untuk saya berubah.


KES 2 - RAHMAN, 15:

“SAYA mengenali seks sejak sekolah rendah lagi. Ada saja peluang ke pusat siber, saya dan rakan suka memasuki laman web lucah.

Selepas memasuki sekolah menengah, pergaulan saya bertambah luas dan bebas. Saya mula ikut rakan yang lebih tua daripada saya jadi mat motor (rempit).

Tak usah cakaplah mengenai rakan perempuan, apabila bergelar mat motor semua itu datang dengan sendirinya. Saya juga memiliki teman wanita (Liana, 15), dia rakan satu sekolah. Sudah hampir enam bulan kami bercinta.

Setiap malam, kami sentiasa habiskan masa bersama. Biasanya, saya beritahu ayah dan ibu keluar malam berjumpa Liana untuk belajar bersama. Mereka kenal Liana dan tahu hubungan kami.

Bukan semua masa saya luangkan dengan Liana untuk belajar. Kami suka lepak di pusat siber bersama untuk melayari laman web lucah, selain seronok melayani Facebook dan Hi5 bagi mencari kenalan baru.

Hujung minggu, saya dan Liana keluar merayau di Kuala Lumpur bersama rakan mat motor yang lain.

Ke mana saya pergi, keluarga jarang cari. Abang dan kakak tidak pernah ambil peduli apa yang saya lakukan. Ayah juga tidak pernah marah saya bawa motosikalnya ke mana-mana pun. Saya anak ketiga daripada lima beradik.

Ayah kata, bagus juga saya belajar menunggang motosikal sekarang. Nanti, senang nak ambil lesen memandu nanti (pada usia 16 tahun).

Dalam keluarga, ayah memang ‘sporting’. Saya dan dia macam kawan, saya cuma dilarang hisap rokok, sekalipun dia tidak tahu saya merokok sejak tingkatan satu lagi. Liana juga merokok.

Dia (ayah) pesan pada saya, yang penting sekali belajar rajin-rajin. Ayah dan ibu percaya dan sayang saya.

Ayah tidak tahu saya pernah hisap ganja. Kadangkala ada rakan sekolah yang ‘senior’ beli ganja, kami kongsi bersama-sama. Saya belajar hisap ganja selepas tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR) awal Oktober lalu. Biasanya kami beli dengan hasil perkongsian wang.

Bersama Liana, saya sangat bahagia. Saya cintakan dia, banyak perkara kami kongsi bersama. Banyak yang pernah kami lakukan bersama untuk mencuba sesuatu yang baru.

Apabila ada kesempatan berdua-duaan, kami suka menonton video klip lucah di rumah Liana bersama abangnya (berusia 17 tahun).

Kami tidak pernah terlanjur lagi setakat ini, tetapi kerap melakukan seks oral bersama.

Di kalangan rakan, soal seks perkara biasa. Saya ada banyak koleksi video klip lucah dalam telefon bimbit.

Pernah saya terfikir melakukan hubungan seks dengan Liana, tetapi abangnya tidak benarkan. Jika di rumah Liana, abangnya juga sering bersama kekasihnya. Semua yang ingin saya lakukan terbatas kerana abangnya sentiasa ada.

Biasanya kami berkumpul jika ayah dan ibu Liana tidak ada di rumah atau keluar ‘bekerja’. Ayah dan ibu Liana adalah jurujual.

Di rumah saya, ‘line tak clear’. Ibu suri rumah dan jarang keluar. Sebab itu saya suka habiskan masa di rumah Liana jika ada masa terluang dengan alasan hendak belajar bersama.

Ibu tidak pernah persoalkan dan tanya apa saya buat. Dia hanya tahu saya pergi belajar atau sekadar lepak dengan kawan sekolah.

Saya seronok dan suka dengan sikap terbuka mereka (ayah dan ibu), saya tidak rasa terkongkong.

Daripada habiskan masa sia-sia duduk di rumah, baik saya keluar dengan kawan. Yang penting ayah, ibu, abang dan kakak tidak melarang.

Saya tidak pernah bosan dengan rakan, lagi pula duduk di kawasan apartmen memang banyak kenalan.

Apa yang saya lakukan di luar, bak kata orang pandai makan, pandailah simpan.”

Tidur atas lantai simen

KUANTAN: Tidur hanya beralaskan kain atas lantai simen sejak lebih tiga tahun lalu adalah perkara biasa bagi seorang lelaki yang hidup sebatang kara di rumah usang di Kampung Gelugor, Jalan Gambang-Maran, dekat sini.
Menjalani kehidupan tanpa bekalan elektrik dan air serta pelbagai kelengkapan sejak mendiami rumah berkenaan lima tahun lalu sedikit pun tidak mematahkan semangat P Periasamy, 55, untuk meneruskan perjalanan hidupnya bersendirian sebelum 'dijemput'.

Begitulah kesusahan ditanggung lelaki ini yang tidak mempunyai saudara-mara dan hanya bergantung kepada ihsan penduduk yang tinggal berdekatan.

Ketika meninjau ke rumahnya semalam, Periasamy sedang memotong kayu api untuk memasak sebelum mengangkut air dari perigi berhampiran untuk mandi.

Keadaan dalam rumahnya begitu daif dengan tiada satu pun perabot menghiasi kediaman itu dan apa yang ada hanyalah peralatan memasak berselerakan atas lantai.

Negara rugi RM7.8b akibat kemalangan jalan raya



21/11/2010 3:17pm

PULAU PANGKOR 21 Nov — Negara mengalami kerugian berbilion ringgit pada setiap tahun akibat kes kemalangan jalan raya yang kadarnya meningkat setiap tahun, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Menurut beliau, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati pada tahun 2008 sahaja, negara mencatatkan kerugian sebanyak RM7.8 bilion yang bersamaan dengan 1.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Berdasarkan statistik pada tahun lepas sahaja, seramai 6,745 pengguna jalan raya maut berbanding hanya 6,527 orang pada tahun 2008, di mana 60 peratus daripadanya merupakan penunggang dan pembonceng motosikal, katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkor di sini hari ini. — Bernama

80,000 mangsa Merapi pulang





2010/11/21

SEORANG lelaki melihat kampungnya yang musnah selepas letusan Gunung Merapi.
SEORANG lelaki melihat kampungnya yang musnah selepas letusan Gunung Merapi.
Pihak berkuasa kurangkan kawasan zon bahaya lingkungan lima kilometer 

YOGYAKARTA: Puluhan ribu penduduk sudah kembali ke rumah masing-masing di cerun Merapi selepas pihak berkuasa mengurangkan kawasan zon bahaya di sekitar gunung berapi itu sehingga lingkungan lima kilometer selepas aktivitinya berkurangan.
Ketua Agensi Pencegahan Bencana Gunung Berapi dan Geologi (PVMBG) Surono, berkata zon bahaya untuk Sleman, daerah paling teruk terjejas dalam letusan Merapi, dikurangkan daripada 20 kilometer dari bahagian kawah kepada antara 10 hingga 15 kilometer.
Bagi daerah Magelang dan Klaten, zon bahaya kini ditetapkan pada lingkungan 10 kilometer dari kawah berbanding 15 kilometer sebelum ini, sementara di Boyolali ia diletakkan pada lima kilometer, katanya. 

Pengurangan kawasan zon bahaya, tambahnya dibuat selepas penurunan kekuatan letusan sejak beberapa hari lalu. 

“Bagaimanapun, kami tidak merendahkan status Merapi dari amaran tertinggi dan kami terus memberi peringatan kepada penduduk Yogyakarta ancaman aliran lahar menerusi Sungai Kod, yang mengalir menerusi nadi bandar ini masih ada,” katanya. 

Syamsul Maarif, ketua Agensi Pencegahan Bencana Negara (BNPB) berkata kira-kira 80,000 daripada 272,164 penduduk yang dipindahkan di empat daerah mengelilingi Merapi - Sleman di sini, Magelang, Klaten dan Boyolali di Jawa Tengah, sudah kembali ke kampung masing-masing. 
Polis masih mengawasi pergerakan mangsa yang berpindah dan memberi amaran kepada bukan penduduk agar jangan memasuki kawasan bencana itu kerana ia mungkin menghalang usaha bantuan, katanya. 

“Kami meminta polis dan tentera mengawal dan memantau pergerakan penduduk yang berpindah dan menghalang orang luar memasuki kawasan bencana untuk melihat,” katanya. 

Orang luar yang berlegar-legar di kawasan itu, tambahnya bukan hanya mengganggu penduduk yang cuba kembali meneruskan hidup mereka, namun turut meletakkan diri mereka berisiko jika gunung berapi meletus kembali. 

Sri Purnomo, ketua daerah Sleman, meminta penduduk yang pulang supaya tidak mengambil risiko berlebihan. 

“Kami membenarkan penduduk pulang ke rumah, namun kami menggesa mereka untuk tidak cuba tinggal dalam rumah jika ia tidak sesuai untuk didiami,” katanya. 

Penduduk yang rumah mereka rosak teruk, tambahnya, diminta untuk mengambil barang yang boleh diselamatkan dan kembali ke pusat perlindungan. 

Sekurang-kurangnya tiga pusat perlindungan di daerah itu, semuanya dalam lingkungan 10 kilometer dari kawah dan ditinggalkan selepas letusan besar 5 November lalu akan dibuka semula untuk menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, katanya. 

Stadium Maguwoharjo di Sleman akan terus berfungsi sebagai penempatan perlindungan utama. 

Bekerja sama dengan BNPB, pentadbiran Sleman juga akan membina perlindungan kekal untuk penduduk. 

Pusat perlindungan akan dibina dalam lingkungan 10 kilometer dari puncak gunung dengan belanja 6 juta rupiah sehingga 7 juta rupiah(RM2,085.71 hingga RM2,443.70) seunit. Purnomo tidak menyatakan berapa banyak unit akan dibina. 

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Sosial, Salim Segaf Al-Jufri, berkata kerajaan dijangka menamatkan tempoh tindak balas kecemasan bagi letusan Gunung Merapi Rabu ini. 

“Sama ada tempoh itu akan dilanjutkan atau tidak bergantung kepada situasi,” katanya. – Agensi

Azmin dapat 15,417 undi, Mustaffa Kamil hanya 3,542



Oleh Mohd Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
2010/11/21

Azmin Ali (kiri) dan Mustaffa Kamil.
Azmin Ali (kiri) dan Mustaffa Kamil.
Proses pemilihan pimpinan PKR masuk minggu keempat 

KUALA LUMPUR: Calon pilihan bagi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali terus mendahului pesaingnya, Mustaffa Kamil Ayub pada proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan yang masuk minggu keempat, semalam.
Hingga jam 10 malam tadi, Mohamed Azmin memperoleh 15,417 undi, manakala Mustaffa Kamil hanya 3,542 menerusi keputusan lapan daripada 15 cabang PKR yang mengadakan pemilihan iaitu tiga di Johor dan masing-masing enam di Selangor serta Sarawak.
Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Abd Malek Hussin, berkata beberapa cabang PKR di Sarawak mencatatkan peratusan keluar mengundi yang tinggi atau lebih lapan peratus iaitu di Santubong (11 peratus), Hulu Rajang (17 peratus), Bandar Kuching (12 peratus) dan Semberong (27 peratus). 

“Ada cabang yang mencatatkan peratusan keluar mengundi rendah seperti di Pulai (empat peratus). Mungkin kerana ada ahli yang masih bercuti sempena Aidiladha dan berada di luar kawasan mendaftar sebagai ahli menyebabkan bilangan keluar mengundi amat rendah,” katanya kepada Berita Minggu. 

Di PULAI, hanya 31 ahli PKR keluar memilih manakala di Semberong sekadar 45 ahli selain Batang Lupar (lapan), Bandar Kuching (34), Mambong (30) dan Hulu Rajang (51). 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola pemilihan Johor, Zabidi Abas berkata, tiada kekecohan berlaku sepanjang proses pemilihan semalam di empat cabang di negeri itu. 
Hari ini, sebanyak 37 cabang lagi akan melangsungkan proses pemilihan iaitu di Sarawak (16 cabang), Johor (17), Selangor (tujuh) dan Sabah (satu) dan keputusannya akan menentukan siapa bakal menduduki kerusi Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti.

Penduduk Afghanistan tidak tahu mengenai serangan 11 September

KABUL: Kebanyakan penduduk di dua wilayah yang menyaksikan pertempuran paling sengit antara tentera asing dengan Taliban tidak pernah mendengar mengenai serangan 11 September 2001.
Kajian yang dijalankan di Helmand dan Kandahar bulan lalu menunjukkan 92 peratus daripada 1,000 responden tidak tahu mengenai serangan terhadap Washington dan New York yang menyebabkan Amerika Syarikat mengetuai serangan terhadap Afghanistan.

Hasil kajian itu diterbitkan semalam oleh Majlis Keselamatan dan Pembangunan Antarabangsa (ICOS) ketika pemimpin Nato bermesyuarat di Lisbon untuk menentukan penyerahan tanggung jawab keselamatan kepada tentera Afghanistan.

Sehubungan itu, ICOS mencadangkan supaya Nato meningkatkan usaha untuk meyakinkan penduduk Afghanistan bahawa kehadiran tentera asing adalah untuk kebaikan negara mereka.


“Kita perlu menjelaskan kepada penduduk Afghanistan alasan kita berada di negara itu dan membuktikan masa depan mereka akan lebih baik bersama kita daripada dengan Taliban,” kata Presiden ICOS, Norine MacDonald. - Reuters
metro

Rakyat Malaysia protes Ariel di Bandung



BANDUNG - Seorang warga Malaysia mengadakan tunjuk perasaan terhadap vokalis kumpulan Peter Pan, Nazriel Irham atau Ariel di depan halaman Pusat Tahanan Kebon Waru, Bandung, semalam.
Lelaki dikenali sebagai Mal Putrajaya, 35, itu mengaku dia sengaja datang dari Malaysia ke pusat tahanan di Kebon Waru semata-mata untuk menemui Ariel yang kini ditahan berhubung penyebaran beberapa klip video seks yang menampilkan individu mirip dirinya.
"Saya sengaja datang ke sini untuk menyampaikan pesan ini," ujar Mal sambil menunjukkan poster putih bertulis 'Ziarah Cut Tari: Ariel 'Zina - Mani - Merapi + Kartika 'Arak-Todi' Air Bah.
Ayah empat anak tersebut memilih membentangkan poster di halaman pusat tahanan itu selepas dia tidak dibenarkan untuk menemui Ariel.
"Saya tidak setuju dengan cara dia. Saya hanya ingin menyampaikan pesan bahwa tindakan Ariel jangan ditiru oleh yang lain," katanya. - Agensi

Indonesia digesa henti hantar pekerja ke Saudi



SUMIATI SALAN MUSTAPA


JAKARTA 20 Nov. - Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Marzuki Alie menggesa kerajaan Indonesia menghentikan penghantaran pekerja-pekerja tempatan ke Arab Saudi jika pihak berkuasa negara itu gagal menangani kes penderaan ke atas rakyatnya Sumiati Salan Mustapa, yang bekerja di negara itu, baru-baru ini.
Sumiati dimasukkan ke hospital di Arab Saudi akibat didera secara fizikal dan psikologi.
"Penderaan itu mengaibkan Indonesia sebagai sebuah negara. Jika pihak berkuasa Arab Saudi gagal menangani kes itu, adalah lebih baik penghantaran pekerja-pekerja tempatan dihentikan untuk sementara waktu," kata Marzuki.
Menurut Marzuki, kerajaan Arab Saudi perlu menjatuhkan hukuman ke atas majikan Sumiati jika dia terbukti mendera pekerjanya itu.
Tambah beliau, kerajaan Indonesia juga perlu memantau proses undang-undang itu dan memulakan dialog serius dengan kerajaan Arab Saudi untuk menjamin keselamatan pekerja-pekerja Indonesia.
"Kami akan membantu kerajaan untuk melakukannya. Satu pasukan daripada kalangan penggubal undang-undang akan dibentuk bagi memastikan keselamatan rakyat negara ini yang bekerja di Arab Saudi,'' katanya. - AGENSI

Jemaah haji siap sedia untuk pulang



BERIBU-RIBU jemaah haji melakukan ibadah tawaf mengelilingi Kaabah di Mekah, semalam. - REUTERS


MEKAH 20 Nov. - Musim haji secara rasminya berakhir, semalam setelah 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia selesai menunaikan tawaf di Kaabah dan saie di Masjidil Haram.
Sementara itu, sebahagian jemaah daripada beberapa negara telahpun pulang hari ini, manakala yang lainnya masih berada di Mekah dan sebahagian lagi menuju ke Madinah untuk melawat Masjid Nabawi dan melakukan ibadat di sana.
Sebahagian lagi pula mengambil kesempatan untuk membeli-belah di bazar-bazar di kota suci ini sebelum pulang.
Musim haji tahun ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden buruk. Pada peringkat awal, jemaah haji berdepan cabaran ekoran cuaca panas, terutama di Mekah, Arafah dan Mina.
Namun, ketika jemaah selesai melakukan wukuf di padang Arafah, hujan lebat di Mina dan Mekah petang kelmarin menyebabkan berlaku banjir kilat menenggelami jalan-jalan raya dari Mina ke Mekah dan juga banjir di kota suci itu.
Statistik kerajaan Arab Saudi menunjukkan kira-kira 2.8 juta jemaah haji dari seluruh dunia menunaikan haji pada tahun ini, meningkat daripada anggaran asal sebanyak dua juta jemaah.
Daripada jumlah itu, seramai 1,799,601 adalah jemaah asing dan 989,798 lagi adalah jemaah tempatan, menjadikan jumlah keseluruhannya ialah 2,789,399. Peningkatan berlaku ekoran kebanjiran jemaah haji tanpa permit.
Jumlah jemaah haji Malaysia pula ialah seramai 26,000 orang yang tiba dengan penerbangan pertama sejak 9 Oktober lalu. Setakat ini, seramai 22 jemaah Malaysia dilaporkan meninggal dunia di tanah suci Mekah.
Penerbangan pertama membawa pulang jemaah haji Malaysia dijadual pada 22 November ini, manakala penerbangan terakhir pada 21 Disember. - AGENSI

Lalat ‘serang’ semula Kg. Desa Jaya





ITHNIN Ahmad menunjukkan lalat yang terperangkap pada kertas pelekat khas di rumahnya sambil diperhatikan cucunya di Kampung Desa Jaya, Yong Peng, Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 19 Nov. – Kira-kira lima bulan lalu, lalat telah menyerang Kampung Desa Jaya, Yong Peng dekat sini namun hasil pendedahan Utusan Malaysia, masalah itu dapat diatasi.
Masalah gangguan lalat itu dipercayai berpunca daripada ladang ternakan ayam berhampiran rumah penduduk kampung.
Menurut penduduk, pendedahan bertarikh 28 Mei lalu bertajuk ‘Dihurung lalat siang malam’ menyebabkan pengusaha ladang ternakan ayam mengambil tindakan menjaga kebersihan kawasan ladang untuk membasmi pembiakan lalat.
Bagaimanapun, sejak enam hari lalu, penduduk kembali menderita diserang lalat.
Malah, ibadat korban sempena Aidiladha baru-baru ini dicemari ‘pesta’ lalat.
Wakil penduduk, Ithnin Ahmad, 63, berkata, walaupun kebiasaannya lalat akan mengerumuni daging lembu korban yang dilapah, namun bilangannya kali ini terlalu banyak seolah-olah pesta lalat.
“Sebelum korban pun dah banyak lalat, hari korban apatah lagi. Kami dapati sejak enam hari lalu sampai sekarang masih banyak lalat.
“Cuti sekolah ini, ada yang mengadakan kenduri kahwin, kalau sudah banyak sangat lalat begini tentu susah dan malu tuan rumah. Belum kira penyakit yang dibawa lalat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ithnin yang lebih senang dipanggil Wak Nin turut bimbangkan kesihatan cucunya yang baru berusia dua bulan akibat serangan lalat itu.
Isterinya terpaksa berjaga dan menghalau lalat daripada menghinggapi bayi kecil itu yang tentunya mempunyai daya tahan lebih rendah berbanding orang dewasa.
Wak Nin turut menunjukkan lokasi ladang ternakan ayam yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah penduduk yang terdekat.
Ladang ternakan terbuka itu terletak agak terceruk dari perumahan penduduk dan dilindungi ladang kelapa sawit dan getah, menyebabkan kenderaan biasa seperti kereta tidak dapat masuk ke situ dan terpaksa menggunakan motosikal.
Dia turut meminta pihak ladang mengambil tindakan sewajarnya bagi membasmi penyebaran lalat yang menyusahkan orang kampung.
“Jika ada lesen operasi, kena jaga kebersihan dan sembur ubat lalat jangan sampai ia merebak ke kampung. Duit juta-juta ada untuk buat ladang, tak akan tak mampu sembur ubat lalat,’’ katanya.
Dia mendakwa telah memaklumkan masalah itu kepada pengusaha ladang dan Jabatan Kesihatan, namun hingga kini belum ada tindakan penyelesaian dilakukan.

Hamid minta simpati



HAMID Jusoh yang mengalami kecacatan kedua-dua belah kaki bersama Azizah Mahamud dan anaknya, Nurul Husna, di Kampung Kuala Pai, Kuala Nerang, Padang Terap, Kedah, semalam.


PADANG TERAP 19 Nov. - Menjalani kehidupan harian dengan sepasang kaki yang cacat bukan sesuatu yang mudah.
Tanpa bantuan dan sokongan semua pihak, sudah tentu ia menjadi lebih sukar lagi.
Itu yang dialami Hamid Jusoh, 69, yang tinggal bersama isterinya, Azizah Mahamud, 50, dan empat anak mereka di Kampung Kuala Pai dekat Kuala Nerang di sini.
Kehidupan Hamid hanya bergantung kepada Azizah yang mengambil upah menoreh getah dengan pendapatan kasar kira-kira RM200 sebulan.
Hamid berkata, dia mengalami kecacatan kaki sejak zaman kanak-kanak lagi dan sebelum ini pernah mengambil upah menoreh getah serta membuka kedai runcit secara kecil-kecilan di kawasan rumah sekitar tahun 1970-an.
Namun, katanya, kedai runcit itu sudah tidak beroperasi lagi dan ketika ini tiada sebarang sumber pendapatan yang mampu menampung kehidupan keluarga itu.
"Anak-anak pula bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu. Saya ada seorang anak yang masih bersekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.
Katanya, dia pernah menerima wang zakat sebanyak RM650 setahun tetapi tidak lagi menerimanya tahun ini.
"Begitu juga dengan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah lama tidak dapat.
"Saya ada kad orang kurang upaya (OKU) daripada JKM tetapi setakat ini tiada sebarang bantuan," katanya.
Hamid berharap dengan bantuan yang disalurkan pihak tertentu dapat meringankan beban keluarganya bagi menampung kehidupan seharian.
Katanya, dia hanya boleh mengesot di dalam rumah dan tidak mampu untuk melakukan sebarang pekerjaan.
Sumbangan wang boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) anak Hamid, Hasnah 0213029000058876.

Definisi hasutan dunia siber akan dikeluarkan



KUCHING 20 Nov. - Kementerian Dalam Negeri akan memperkenalkan garis panduan bagi menerangkan definisi kesalahan hasutan secara terperinci khasnya dalam konteks dunia siber minggu depan.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penggubalan draf garis panduan tersebut turut dilakukan dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri.
Tanpa mendedahkan tarikh bila garis panduan itu akan dikuatkuasakan katanya, dari sudut perundangan, maksud kesalahan hasutan secara jelas membabitkan dunia siber masih belum diperincikan kecuali membabitkan cetakan, ucapan dan bentuk elektronik.
''Dengan adanya garis panduan ini, ia akan mengelakkan mana-mana pihak daripada mengeksploitasi serta mempolitikkan sesuatu isu yang akhirnya akan mengakibatkan masyarakat berbilang kaum di negara ini berlaga sesama mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan gantian MyKad satu hari di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempersoalkan keistimewaan Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee sehingga pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, tidak adil untuk mempersalahkan kementeriannya semata-mata kerana tidak mengambil tindakan ke atas Namewee.
Menurutnya, kes Namewee turut membabitkan agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang memantau kegiatan di dunia siber serta Jabatan Peguam Negara yang akan membuat keputusan sama ada untuk membuat pendakwaan atau tidak.
''Disebabkan itu adalah tidak adil untuk meletakkan keputusan sama ada untuk mengambil tindakan atau tidak (ke atas Namewee) di bahu Kementerian Dalam Negeri sahaja dan ini perlu dimaklumkan kepada semua pihak.

Wanita gemar berjudi di Singapura





JOHOR BAHRU 20 Nov. - Kira-kira 40 peratus atau 1,200 rakyat Malaysia yang aktif berjudi di kasino negara jiran ialah golongan wanita termasuk suri rumah berusia 40 tahun ke atas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong (gambar) berkata, mereka mudah terpengaruh dengan tawaran yang disediakan pihak kasino iaitu perkhidmatan pengangkutan secara percuma dan pemberian baucer tunai S$30 (RM72) sekiranya berjudi di sana.
Beliau berkata, pihak kasino memberi S$10 untuk membeli makanan, barangan lain dan menukar cip.
"Penganjur kasino di Singapura bijak. Mereka memberi baucer S$30 kepada pengunjung dan secara logik pengunjung tidak hanya berbelanja pada kadar tersebut. Mereka sekurang-kurangnya membelanjakan kira-kira S$200.
"Apabila mendengar tawaran tersebut, golongan wanita yang kebanyakannya suri rumah dan bekerja sendiri menggunakan peluang yang ada dengan harapan mampu membawa balik pulangan besar," katanya semasa dihubungi Mingguan Malaysia di sini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan rakyat tempatan semakin aktif berjudi di kasino negara jiran dengan nilai pertaruhan dianggarkan kira-kira RM7 juta sehari.
Malah, dianggarkan seramai 3,000 orang mengunjungi Singapura untuk berjudi di kasino setiap hari dengan nilai perbelanjaan minimum RM2,400 seorang iaitu bersamaan RM7 juta sehari atau RM200 juta sebulan.
Siew Kiong berkata, selain menggunakan perkhidmatan bas, difahamkan ada 'kaki judi' menggunakan pengangkutan sendiri untuk memasuki Singapura.
"Difahamkan kira-kira 500 buah kereta persendirian akan berulang- alik ke lokasi perjudian tersebut selepas pukul 7 malam," ujarnya.
Ketagihan terhadap aktiviti tersebut, menurutnya, bukan sahaja mendedahkan diri mereka untuk meminjam wang daripada ceti haram atau ah long, tetapi boleh menjejaskan hubungan suami isteri sehingga mencetuskan pergaduhan dan penceraian.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya menerima 22 aduan dalam tempoh tiga bulan daripada peniaga khususnya di bandar raya ini.
Beliau berkata, kebanyakan peniaga yang terdiri daripada pengusaha pusat hiburan, pusat beli-belah, cuci kereta, pusat refleksologi dan makanan mengadu perniagaan mereka terjejas teruk akibat kekurangan pelanggan.
"Mereka mengadu perniagaan kurang memberangsangkan kerana ramai pelanggan cenderung 'bersuka ria' di Singapura. Mereka tidak gembira dengan situasi berkenaan," katanya.
Seperti Siew Kiong, Chee Boon turut menyeru kerajaan melakukan sesuatu dengan segera kerana pengaliran wang keluar kira-kira RM7 juta sehari itu merupakan pembaziran yang besar.