Showing posts with label cukai. Show all posts
Showing posts with label cukai. Show all posts

Saturday, September 29, 2012

Pesalah cukai ke mahkamah


CYBERJAYA 28 Sept. - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memperkasakan usaha mengutip cukai termasuk memberi tumpuan kepada siasatan jenayah berbanding siasatan sivil terhadap pesalah cukai mulai tahun depan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, langkah itu bermakna, LHDN akan mengambil tindakan mahkamah ke atas syarikat dan individu yang lewat atau tidak menyerahkan borang cukai.
''Kalau sebelum ini ada orang yang lewat atau gagal hantar borang, kita hanya mengambil tindakan sivil dan mengenakan penalti.
''Tetapi di bawah tindakan jenayah, kita akan bawa kes ini ke mahkamah jika seseorang itu gagal menghantar borang dalam tempoh yang ditetapkan, ini merangkumi semua kategori termasuk untuk e-Filing," katanya pada sidang akhbar di sini malam ini.
Mohd. Shukor berkata, LHDN juga akan memantapkan tindakan jenayah terhadap majikan yang memotong cukai daripada gaji pekerja tetapi tidak memasukkannya kepada LHDN.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya akan bertolak ansur terhadap kesalahan yang tidak disengajakan termasuk pembayar cukai yang lewat menghantar borang buat pertama kali.
''Kita akan melihat rekod sama ada pembayar cukai itu selalu lakukan kesalahan atau sebaliknya, apa yang penting ialah pembayar cukai mesti serahkan borang.
''Ini bukan bertujuan menakutkan pembayar cukai tetapi mahu memastikan mereka memainkan peranan masing-masing," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penurunan kadar cukai pendapatan yang diumumkan dalam Bajet 2013 akan membolehkan golongan berpendapatan kasar kira-kira RM3,000 sebulan tidak perlu membayar cukai.
''Sebelum ini mereka perlu bayar sedikit cukai tetapi untuk pendapatan 2013, mereka mungkin tidak perlu membayar cukai," katanya.
Sementara itu, Mohd. Shukor berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan tentang Bajet 2013 dan soal cukai boleh mengemukakan pertanyaan melalui talian 1-300-88-3010 atau emel ke callcentre@hasil.gov.my.
''LHDN juga akan menganjurkan seminar percukaian kebangsaan di 23 lokasi di seluruh negara untuk memberi keterangan lanjut berkaitan perubahan dalam Akta Cukai Pendapatan dan akta-akta lain.
''Satu topik khas mengenai siasatan jenayah cukai pada 2013 juga akan dikupas dalam seminar ini," katanya.

Sunday, September 11, 2011

Hanya 1.7 juta aktif bayar cukai




MOHD. SHUKOR (depan, dua dari kiri) bersama Abdul Ghafar (depan, kiri sekali) serta guru dan pelajar selepas perasmian Kem Cerdik Cukai di Bandar Baru Bangi semalam.


BANGI - Hanya 1.7 juta orang daripada kira-kira lima juta pembayar cukai di negara ini merupakan pembayar cukai yang aktif bagi semua kategori termasuk individu dan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, daripada jumlah tersebut kira-kira tiga juta orang merupakan pembayar cukai yang ingkar atau tidak aktif.
"Mereka juga dalam kalangan pemilik syarikat domain atau pada masa tersebut berlaku kerugian, atau pendapatan tidak mencapai tahap yang sepatutnya menyebabkan mereka tidak perlu membayar cukai," katanya pada sidang akhbar di Akademi Percukaian Malaysia di sini semalam.
Beliau sebelum itu melancarkan Kem Cerdik Cukai 2011 yang melibatkan seramai 204 pelajar tingkatan enam dan 51 guru daripada beberapa buah sekolah dari sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan.

Thursday, October 21, 2010

Kastam kehilangan RM185 juta, mansuh cukai 300 barangan


PUTRAJAYA 20 Okt. – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bakal kehilangan pendapatan hasil kutipan cukai sebanyak RM185 juta tahun depan ekoran keputusan kerajaan memansuhkan cukai untuk produk berkaitan pelancongan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamed Khalid Yusuf berkata, kesan daripada pemansuhan cukai tersebut bagaimanapun akan tetap memberi pulangan lumayan kepada JKDM ekoran pengumuman kenaikan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dalam Pembentangan Bajet 2011, minggu lepas.
Beliau optimis, pemansuhan cukai kira-kira 300 produk pelancongan itu akan meningkatkan lagi kemasukan pelancong asing ke Malaysia kerana negara ini sememangnya sudah dikenali sebagai lokasi syurga membeli-belah.
”Pelancong akan terus berkunjung ke sini dan mereka akan berbelanja besar untuk membeli barang-barang yang diminati tanpa dikenakan cukai.
”Seterusnya, industri pelancongan dan pengangkutan akan mendapat manfaat pula apabila hotel dan restoran penuh, mereka (pelancong) akan bayar cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus dan hasilnya kepada kerajaan juga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis perjumpaan khas bersama kepimpinan tertinggi JKDM serta penyerahan watikah pelantikan pengarah kastam ibu pejabat dan negeri.
Mohamed Khalid berkata, peningkatan satu peratus cukai perkhidmatan dan caj cukai perkhidmatan untuk pakej-pakej filem di stesen penyiaran berbayar dijangka dapat menjana hasil lebih besar daripada jangkaan pengurangan kutipan RM185 juta.
”Jadi kita yakin bajet yang kita anggap mesra rakyat ini tetap mampu membantu jabatan ini mencapai kutipan hasil lebih RM28 bilion tahun depan,” katanya.
Beliau menambah, dari aspek penguatkuasaan pula JKDM mencatat kejayaan amat memberansangkan sejak tiga tahun lalu apabila hasil rampasan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Saturday, April 17, 2010

Barack Obama bayar cukai RM6 juta



WASHINGTON 16 April - Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama dan isterinya, Michelle Obama membayar cukai pendapatan persekutuan bernilai AS$1.79 juta (RM6.08 juta) selepas memperoleh pendapatan berjumlah AS$5.5 juta (RM18.7 juta) pada 2009, kebanyakannya daripada hasil jualan bukunya.
White House memberitahu semalam, pembayaran yang dibuat Obama bersama Wanita Pertama itu menunjukkan pasangan berkenaan semakin kaya sejak menjadi pemimpin AS yang mana kebanyakan pendapatan mereka diperoleh daripada jualan buku mereka yang mendapat sambutan.
Kisah kenangan Obama yang dibukukan melalui Dreams From My Father dan The Audacity of Hope: Thoughts on Reclaiming the American Dream menjadi jualan laris New York Times.
Kedua-kedua buku itu diterbitkan sebelum Obama menjadi Presiden.
Laporan tahunan pendapatan kasar Obama menunjukkan dia memperoleh AS$5.5 juta (RM18.7 juta) pada 2009, peningkatan berbanding AS$2.6 juta (RM8.8 juta) pada 2008.
Pasangan itu juga dilaporkan membayar AS$163,303 (RM521,344) bagi cukai pendapatan di Illinois, sebuah negeri yang mana Obama menjadi senator sebelum dipilih sebagai presiden pada 2008.
Selain itu, Obama juga mendermakan AS$329,100 (RM1.05 juta) kepada 40 pertubuhan kebajikan tahun lalu.
Naib Presiden AS, Joe Biden dan isterinya, Jill, pula dilaporkan membayar cukai pendapatan lebih rendah, kata kenyataan White House.
Biden memperoleh AS$333,182 pada 2009 (RM1.06 juta) dan membayar AS$71,147 (RM227,549) bagi cukai pendapatan persekutuan.
Obama menerima pendapatan AS$400,000 (RM1.27 juta) setahun manakala Biden memperoleh AS$227,300 (RM725,973) tahun lalu bagi jawatan masing-masing. - Reuters