Saturday, September 20, 2014

Scotland kekal bersama UK


PENYOKONG kem 'Tidak' yang menentang kemerdekaan Scotland meraikan keputusan pungutan suara itu di Glasgow, Scotland, semalam. - AFP
EDINBURGH 19 Sept. - Penduduk Scotland menolak untuk menjadi sebuah negara yang merdeka sebaliknya mahu kekal bersama United Kingdom (UK) dalam keputusan rasmi pungutan suara yang diumumkan, hari ini.
Keputusan undian yang diumumkan itu menunjukkan, sebanyak 55.3 peratus penduduk Scotland menentang untuk berpisah berbanding 44.7 peratus rakyat yang bersetuju untuk merdeka.
Menurut pegawai kerajaan, sebanyak 84.6 peratus penduduk Scotland keluar mengundi, rekod tertinggi yang pernah dicatatkan dalam pilihan raya di Britain.
Kumpulan menentang yang menggelarkan mereka sebagai kem 'Tidak' di seluruh Scotland meraikan keputusan itu sejurus diumumkan, manakala aktivis yang menyokong perpisahan itu yang dikenali sebagai kem 'Ya' menangis tanda kecewa.
Keputusan undian itu sekali gus meranapkan impian ratusan ribu penduduk Scotland yang mengundi untuk berpisah semalam dalam undian yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang membangkitkan debat tentang tadbir urus di Britain dan kebimbangan ramai tentang risiko berpisah dari UK.
PENYOKONG pro kemerdekaan hampa dengan keputusan rasmi yang dikeluarkan. - AFP
Malah, keputusan itu turut mengakibatkan pasaran kewangan UK menerima kesan besar dengan menyaksikan kenaikan nilai pound berbanding dolar Amerika di pasaran matawang.
"Kami tahu bahawa akan berlaku majoriti bagi kempen 'Tidak'. Penduduk Scotland dengan majoriti memutuskan untuk tidak (berpisah) pada peringkat ini untuk menjadi sebuah negara yang merdeka," kata ketua kerajaan Scotland, Menteri Pertama Alex Salmond yang pro kemerdekaan di sini.
Keputusan itu sekali gus satu tamparan hebat kepada cita-cita politik sepanjang hayat Salmond walaupun keputusan meyakinkan dari blok 'Ya' menunjukkan kemungkinan akan ada usaha bagi satu pungutan suara mencapai kemerdekaan pada masa akan datang.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron ketika mengulas mengenai keputusan pungutan suara berkenaan berjanji untuk berpegang kepada komitmen yang dibuat menjelang undian tersebut termasuk rancangan kepada kuasa baharu cukai, perbelanjaan dan kebajikan.
Katanya, pelan itu akan dipersetujui menjelang November ini dengan draf undangundang akan dibuat pada Januari nanti.
"Kami akan memastikan komitmenkomitmen itu dihormati secara penuh," kata Cameron. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140920/lu_01/Scotland-kekal-bersama-UK#ixzz3DnxAUl6t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ebola: Jemaah haji Nigeria jalani 3 peringkat pemeriksaan


PEKERJA kesihatan mengukur suhu badan jemaah haji sebelum dibenarkan berlepas ke Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed di Logos, Nigeria, semalam. - AP
LAGOS 19 Sept. - Bagi memastikan penularan wabak Ebola tidak berlaku di Arab Saudi terutamanya pada musim haji kali ini, setiap jemaah Nigeria perlu menjalani tiga peringkat pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Mohammed, di sini.
Pemeriksaan itu dilakukan terhadap kira-kira 76,000 jemaah haji dari negara ini sebelum mereka dibenarkan menaiki pesawat dan berlepas ke tanah suci.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Lagos, Oguntimehin Olukayode berkata, pemeriksaan tersebut penting sebagai usaha mengelakkan penyebaran Ebola oleh warganegara ini ketika menunaikan haji.
"Pemeriksaan kesihatan ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa rakyat Nigeria tidak membawa keluar atau masuk virus maut Ebola," katanya.
Jelas beliau, usaha itu juga dilakukan sebagai usaha kerajaan agar Ebola tidak menjadi wabak dunia.
Menteri Kesihatan Onyebuchi Chukwu pula berkata, walaupun tiada kes Ebola dikesan di negara ini pada minggu ini, tetapi empat orang masih berada di bawah pengawasan di Lagos dan 344 lagi di bandar Pelabuhan Harcourt di selatan negara ini.
Nigeria merupakan satu-satunya daripada lima negara yang terjejas akibat Ebola, diberi kebenaran menghantar jemaah haji bagi menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140920/lu_03/Ebola-Jemaah-haji-Nigeria-jalani-3-peringkat-pemeriksaan#ixzz3DnwRpV6F
© Utusan Melayu (M) Bhd 

IPhone 6 mula dijual


DAVID Rahimi menunjukkan telefon iPhone 6 dan iPhone Plus yang dibelinya dari kedai Apple di Sydney, semalam. - AGENSI
SYDNEY 19 Sept. - Kumpulan pertama telefon pintar iPhone 6 mula dijual di Australia hari ini, sekali gus menamatkan penantian ribuan peminat gajet itu dari seluruh dunia yang mula beratur di luar kedai Apple di sini, sejak beberapa hari lalu.
Di Sydney sahaja, kesabaran kira-kira 1,200 peminat iPhone yang berbaris sehingga beberapa blok bangunan berakhir selepas pintu kedai Apple mula dibuka pada pukul 8.01 pagi waktu tempatan, lapor Mail Online.
Malah terdapat laporan yang menyatakan berlaku kekecohan antara peminat Apple dengan polis di utara Sydney selepas pasukan keselamatan itu mengarahkan seorang lelaki berundur kerana memotong barisan.
Seorang lelaki dari California yang hanya mahu dikenali sebagai Jack, muncul sebagai peminat pertama berjaya mendapatkan gajet itu dari kedai Apple di Perth yang dijual pada harga AS$869 (RM2,815) bagi iPhone 6 dan iPhone 6 Plus pada harga AS$999 (RM3,236).
Bagaimanapun, sewaktu Jack menunjukkan iPhone 6 yang baru dibelinya kepada wartawan sejurus dia mahu meninggalkan kedai tersebut, gajet itu secara tiba-tiba terjatuh di atas lantai.
Peminat yang beratur dan melihat kejadian itu kemudiannya mengeluh namun sewaktu Jack mengambil gajet miliknya itu, telefon pintar tersebut langsung tidak mengalami sebarang keretakan.
"Saya amat teruja kerana berpeluang memiliki telefon pintar skrin besar ini," kata David Rahmimi, peminat Apple dari California yang muncul sebagai individu pertama yang mendapatkan dua versi gajet iPhone 6 dan iPhone 6 Plus dari kedai Apple di Sydney.
Selain Sydney, kedai-kedai Apple di Brisbane, Melbourne dan Adelaide turut menjadi perhatian ramai peminat gajet itu selepas Australia menjadi antara negara terawal menjual gajet tersebut.
Menurut Apple, pihaknya menerima empat juta tempahan awal iPhone 6 dan iPhone 6 Plus pada hari pertama pelancarannya, meningkat daripada dua juta semasa pelancaran iPhone 5, dua tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140920/lu_09/IPhone-6-mula-dijual#ixzz3DnvO8XwB
© Utusan Melayu (M) Bhd