Thursday, July 29, 2010

Hanya guru dibenar berpolitik


PUTRAJAYA - Kerajaan belum bercadang untuk membenarkan pegawai siswazah lain selain dalam bidang pendidikan untuk melibatkan diri dalam politik bagi mengelak berlaku konflik kepentingan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam kes guru yang bertugas mendidik anak bangsa dan tidak mempunyai kuasa eksekutif, tidak akan berlaku konflik kepentingan jika mereka memegang jawatan dalam parti politik.
"Kita tidak mahu mereka yang ada kuasa (eksekutif) memegang jawatan (dalam politik). Bila kita ada jawatan tertentu, ada kemungkinan boleh berlaku pertembungan dari segi kepentingan atau konflik kepentingan.
"Kita mula dengan kumpulan guru dulu, lepas itu kita tengok sama ada wajar kita perluaskan untuk kumpulan-kumpulan (pegawai siswazah) lain atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 'Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengkisahan' di sini semalam.
Najib mengulas mengenai langkah kerajaan membenarkan pegawai pendidikan siswazah Gred DG41 hingga DG48 untuk melibatkan diri dalam politik bermula 1 Ogos ini.
Dalam laporan akhbar semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru pada suatu masa dahulu memainkan peranan penting untuk memimpin masyarakat dalam senario politik negara.
Berikutan pengumuman itu, kira-kira 190,000 guru berijazah di seluruh negara kini boleh terlibat dalam politik.
Mengulas lanjut, Najib memberitahu, dengan membenarkan guru terlibat dalam politik, ia akan dapat mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air.
Jelas beliau, golongan tersebut boleh menyumbang dari segi kepimpinan yang bersifat intelektual.

Nelayan Tanjung Leman rayu bantuan


MERSING 28 Julai - Lebih 50 nelayan Tanjung Leman dekat sini merayu agar Jabatan Perikanan daerah menghulurkan bantuan peralatan bagi meningkatkan hasil tangkapan dan sumber pendapatan mereka.
Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Tanjung Leman, Sahdan Isnin, 53, berkata, ia penting bagi membolehkan mereka turut menerima bantuan seperti nelayan lain di kawasan lain di daerah ini.
"Waktu ini, nelayan di Mersing dan Sedili Kota Tinggi menerima bantuan peralatan tetapi kami di Tanjung Leman tak dapat apa-apa jadi terasa seperti dianaktirikan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambahnya, persatuan itu telah mengutarakan masalah tersebut kepada jabatan itu namun pihak terbabit mengatakan tiada peruntukan bantuan untuk nelayan-nelayan di Tanjung Leman.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka berasa seolah-olah dipinggirkan daripada mendapat bantuan sedangkan mereka adalah nelayan sah yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Mersing.
Nelayan bot kecil, Rohim Man, 48, pula berkata, hasil perbincangannya dengan pihak terbabit mendapati alasan yang diberikan oleh jabatan agak pelik iaitu kedudukan Tanjung Leman berada di tengah-tengah antara Mersing dan Sedili menyebabkan bantuan itu tidak dapat diberikan.
"Mereka kata, kami bukan nelayan Mersing dan bukan juga nelayan Sedili jadi kami sendiri tak tahu kami ini di daerah mana?
"Walhal lesen nelayan kami dikeluarkan oleh pejabat Perikanan Mersing," katanya.
Nelayan lain, Misman Darkob, 48, berkata, walaupun kenaikan harga minyak baru-baru ini dilihat tidak menjejaskan nelayan namun bantuan peralatan itu dilihat akan melegakan perbelanjaan harian mereka.
"Sehari kos minyak lebih kurang RM54 untuk 45 liter, itu tiada masalah tetapi kalau ada bantuan enjin, jaring, pukat atau peralatan lain maka semakin kurang belanja dan kos kami," jelasnya.
Tambahnya, dengan peralatan tambahan seperti pukat maka hasil tangkapan juga dapat ditingkatkan kerana banyak lokasi boleh dilabuhkan jaring tersebut.
Bagaimanapun, anaknya, Mohd. Saiful, 19, berkata, awak-awak seperti dia juga sepatutnya dipertimbangkan untuk diberi bantuan tersebut dan ia tidak wajar dihadkan kepada pemilik bot sahaja.
Nelayan muda itu berkata, bantuan tersebut perlu diberikan kepada golongan awak-awak dengan kadar berpatutan kerana mereka setakat ini tidak menerima sebarang bantuan seperti subsidi minyak dan sebagainya.
Justeru, dia meminta agar jabatan itu mempertimbangkan rayuan itu agar kebajikan mereka lebih terbela.

Kaji semula kebenaran guru berpolitik


KUALA LUMPUR 28 Julai - UMNO Bahagian Cheras mahu kerajaan mengkaji semula keputusan membenarkan guru siswazah bergiat aktif dalam politik, demi menjaga kredibiliti dan kemuliaan profesion perguruan.
Ketuanya, Datuk Syed Ali Al-Habshee yang tidak bersetuju dengan langkah itu, menyifatkannya sebagai agak terburu-buru kerana ia boleh menimbulkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.
"Saya berharap keputusan ini tidak dibuat secara terburu-buru kerana tanggungjawab sebenar guru ialah mendidik dan melahirkan pelajar berilmu.
"Untuk berpolitik, mereka hanya sekadar boleh menjadi ahli parti dan tidak dibenarkan memegang sebarang jawatan penting.
"Kewibawaan warga pendidik harus dilindungi supaya mereka tidak dicemuh oleh masyarakat kerana perbezaan anutan politik," katanya dalam blog, umnobahagiancheras.blogspot.com.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyatakan bahawa bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.
Syed Ali yang juga Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) berkata, langkah membenarkan guru kembali aktif berpolitik hanya menimbulkan kecelaruan di dalam masyarakat.
Selain itu katanya, ia dikhuatiri akan menyebabkan 140,000 guru siswazah mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pendidik.
Beliau berkata, sejarah lalu sudah membuktikan apabila guru dibenarkan berpolitik akan berlaku pertelingkahan dan perselisihan dalam perkhidmatan.
"Akibatnya selain murid-murid menjadi mangsa adakalanya guru juga turut terheret dengan 'tekanan dan permusuhan politik' di sekolah sehingga menjejaskan mutu perkhidmatan mereka,'' ujarnya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan keputusan membenarkan golongan guru untuk berpolitik akan mengundang pelbagai implikasi kepada masyarakat.
Menurut beliau, jika dinilai daripada usaha meningkatkan mutu kepimpinan, keputusan itu disifatkan adalah baik namun beliau bimbang jika sebaliknya berlaku iaitu golongan guru yang tidak menyokong kerajaan berkecenderungan bertindak lebih agresif.
"Saya bimbang golongan ini akan bertindak di luar ruang lingkup etika perguruan dengan membawa sikap agresif dan emosi kepada masyarakat terutama penduduk kampung sekali gus memecah belahkan perpaduan sesebuah kampung itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, penyertaan golongan guru dalam politik pada masa dahulu melibatkan mereka yang berhaluan sederhana dan dihormati oleh masyarakat.
"Golongan ini mempunyai ilmu, bersikap sederhana dan menyokong kerajaan justeru perpaduan dalam masyarakat dapat disuburkan tetapi zaman sekarang saya bimbang berlaku sebaliknya menjadikan golongan ini tidak lagi dihormati," katanya.
habis.

Jangan nafi hak Melayu di bumi sendiri - Rahim Thamby Chik



KUALA LUMPUR 28 Julai - Cadangan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua supaya dimansuhkan diskaun bumiputera bagi pembelian hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor dilihat sebagai cubaan menidakkan hak orang Melayu di bumi sendiri.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik(gambar) berkata, cadangan itu satu tindakan berbaur perkauman.
Beliau berkata, Tony sepatutnya menyelidik terlebih dahulu perbezaan kedudukan kaum bumiputera dan bukan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Pemberian diskaun kepada kaum bumiputera telah dilaksanakan sejak sekian lama seperti diketahui masyarakat umum dan hak tersebut tidak boleh dinafikan.
"Cukuplah kaum bukan bumiputera menguasai sebahagian besar ekonomi negara, jangan pula hendak menggubal akta sendiri agar ekonomi kaum bumiputera terus ke belakang," katanya kepada 'Utusan Malaysia' di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai sambutan baik kerajaan negeri Selangor terhadap cadangan DAP agar pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah dimansuhkan.
Akhbar ini turut memetik kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap cadangan oleh Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP itu rasional kerana hanya melibatkan hartanah bernilai tinggi.
Menurut Abdul Rahim, Tony sepatutnya memperhalusi cadangannya itu dan mengambil kira realiti ekonomi negara sekarang yang menampakkan jurang ekuiti antara kaum.
"Pemberian diskaun sebanyak lima peratus itu tidak sedikit pun menjejaskan pembangunan ekonomi negara," katanya.
Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar pula berkata, pemimpin Melayu yang bersubahat dengan DAP di Selangor mesti memikirkan juga nasib bangsanya.
"Hak kaum bumiputera tidak seharusnya dipolitikkan. Cadangan Tony itu menunjukkan DAP sememangnya ingin menjatuhkan bangsa Melayu dan mengamalkan politik sempit," katanya.
Tambahnya, walaupun cadangan tersebut hanya melibatkan hartanah komersial dan rumah mewah, ia jelas menunjukkan DAP mula menidakkan keistimewaan orang Melayu.
Dalam pada itu, Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Kedah, Tan Sri Khalid Abdullah berkata, orang Melayu sekarang perlu sedar dan bersatu demi memelihara hak mereka.
"Jangan sampai semua tergadai dan terpaksa tidur di atas pokok baru kita nak sedar hak kita yang sebenar," katanya.

Guru dinasihat guna tiket secara profesional


KUALA LUMPUR 28 Julai - Golongan guru yang kini mendapat 'tiket' untuk bergiat aktif dalam politik dinasihatkan supaya menggunakannya secara profesional agar tugas mendidik sentiasa menjadi keutamaan mereka.
Langkah itu perlu kerana guru merupakan golongan yang amat berpengaruh dan lebih diyakini dalam masyarakat.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, para guru seharusnya sedar batas-batas yang perlu dipatuhi jika mereka mahu berkecimpung dalam politik.
"Jika mereka berada di dalam kelas, seharusnya ideologi politik yang dipegang ditinggalkan di luar kelas dan fokus pada tugas mendidik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang membenarkan Pegawai Pendidikan Perkhidmatan Siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini.
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, pindaan itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memainkan peranan penting sebagai pemimpin masyarakat dalam sejarah politik negara.
Mohd. Ali bagaimanapun mencadangkan agar Kementerian Pelajaran memantau penyertaan guru-guru yang menyertai politik setiap masa supaya mereka tidak lari daripada menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik.
"Jika terdapat bukti adanya guru yang berpolitik di dalam kelas, pindaan ini seharusnya dikaji semula," katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Guru-Guru Bersara Kedah (Cawangan Kulim/Bandar Bharu) Mohd. Khir Hassan berkata, guru mempunyai tugas penting di sekolah untuk mendidik anak bangsa dan perlu bijak menyeimbangkan tugas sebagai pendidik dan berpolitik.
"Tidak salah jika guru aktif dalam politik namun mereka perlu berwaspada agar tugas sebagai guru tidak diabaikan.
"Saya juga dulu pernah bergiat aktif dalam politik namun hanya aktif di peringkat cawangan kerana tidak mahu tugas sebagai guru terjejas," katanya.
Tambahnya, guru-guru yang aktif berpolitik juga perlu bertanggungjawab dan tidak menyebarkan dakyah politik dengan memburukkan imej kerajaan kepada pelajar di sekolah.
"Pelajar percaya dan yakin dengan apa yang dikatakan oleh guru mereka kerana separuh daripada masa para pelajar dihabiskan dengan guru.
"Jangan rosakkan minda pelajar dengan politik yang menyimpang dan memecahbelahkan negara," katanya.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohamed Arsad pula berkata, penyertaan guru dalam politik secara tidak langsung membolehkan mereka menjadi wakil kerajaan mendampingi rakyat.
Menurutnya, pembabitan itu dijangka mengubah senario politik negara terutamanya dalam menentukan hala tuju kemajuan negara.
"Guru merupakan kelompok manusia yang ada di mana-mana sahaja dalam komuniti masyarakat dan sentiasa berkhidmat serta menyumbang bakti secara ikhlas dan terarah untuk tujuan kebaikan.
Sementara itu Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah berkata, pengetua dan guru besar sekolah perlu menyelia dan memantau dengan rapi setiap guru supaya mereka tidak berpolitik di dalam kelas.
"Jika wujud, satu tindakan tegas harus diambil sebagai pengajaran kepada guru-guru lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa: Perspektif Pembangunan Inklusif: Melingkungi Kepelbagaian dan Mencipta Masyarakat Yang Sensitif Kecacatan di Kuching hari ini.
Fatimah memberitahu, guru merupakan seseorang yang mempunyai ketokohan dan kepimpinan yang jelas dan merupakan aset kepada parti politik.
Habis///

Jangan pilih kasih - Pas


KUALA LUMPUR 28 Julai - Pas menyambut baik langkah kerajaan membenarkan guru siswazah bergiat aktif dalam politik tetapi pada masa menggesa supaya tidak berlakunya elemen pilih kasih.
Ketua Penerangannya, Idris Ahmad mengharapkan penjelasan kerajaan mengenai kebenaran berpolitik itu kerana sekiranya unsur pilih kasih diamalkan, maka matlamat sebenar untuk menyuburkan demokrasi akan menjadi sia-sia.
Menurut beliau, pengumuman itu bersesuaian dengan hak kebebasan rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi ia tidak boleh hanya membenarkan guru pro-UMNO sahaja menyertai politik.
"Pas mengharapkan tidak ada pilih kasih ketika kebenaran diberi sama ada mereka hendak aktif dalam pembangkang atau kerajaan, kerana kuasa muktamad kebenaran ini terletak kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran," katanya.
Beliau berkata demikian dalam blognya, idrisahmad.wordpress.com di bawah entri bertajuk "Guru dibenar berpolitik jangan untuk guru UMNO sahaja".
Semalam, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menyatakan bahawa bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik.
Tambah Idris, Pas meminta kerajaan supaya selepas ini jangan menjadikan tindakan guru aktif berpolitik terutama dalam parti pembangkang sebagai alasan utama untuk ditukarkan tempat kerja.
"Kita yakin guru-guru yang sudah terdidik dengan moral yang tinggi tahu tentang tugas mereka walaupun mereka aktif berpolitik. Mereka sudah diasuh supaya amanah dengan kerjaya mereka," katanya.
"Guru-guru ini boleh diambil tindakan bukan kerana terlibat dalam aktiviti Pas atau pembangkang, tetapi bertindaklah kalau guru tersebut mengabaikan tugas seperti ponteng kelas dan tidak menjalankan tugas akademik," katanya.

Politik boleh tapi jangan taksub


SEREMBAN 28 Julai - ''Boleh berpolitik tetapi jangan terlalu taksub sehingga lupa peranan mendidik anak bangsa.''
Ingatan itu disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik.
Beliau berkata, ketaksuban segelintir guru dalam bidang politik hanya akan menyebabkan anak didik mereka ketinggalan dalam bidang pelajaran dan sudah pastinya tugas hakiki mereka turut terencat.
''Mereka perlu pandai membahagikan masa dengan baik. Boleh berpolitik tetapi jangan sampai mengganggu prestasi dan matlamat pendidikan anak-anak di sekolah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan membenarkan pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan melibatkan diri dalam politik mulai 1 Ogos ini.
Mohamad berkata, keputusan itu sekali gus memberi ruang kepada warga pendidik mengisi kekosongan dalam memberikan pandangan serta idea dalam usaha membangun dan mengisi kemerdekaan.
Jelasnya, peranan guru dalam pasca dan sebelum kemerdekaan tidak dapat dinafikan malah mereka juga menjadi jambatan kepada masyarakat dan juga kerajaan satu ketika dahulu.
''Kita perlu tahu bahawa peranan guru satu ketika dahulu penting dalam memperjuangkan kemerdekaan. Selepas mendapat kemerdekaan, mereka jugalah yang mengisi kekosongan membantu masyarakat dalam membasmi kemiskinan.
''Jadi sekarang ini kerajaan telah memberikan ruang kepada mereka, idea-idea mereka amat diperlukan dalam memastikan kelangsungan pembangunan negara dapat diteruskan," kata Mohamad.
Dalam pada itu Mohamad turut menyampaikan sumbangan kepada 30 penerima yang terdiri daripada pihak sekolah, kelab, persatuan serta orang perseorangan.

Tuan rumah Piala Dunia hanya angan-angan Mat Jenin


KUALA LUMPUR 28 Julai - Beberapa Ahli Dewan Negara hari ini menyifatkan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek bahawa Malaysia berminat menganjurkan kejohanan bola sepak Piala Dunia bersama Indonesia pada 2026 sebagai 'angan-angan Mat Jenin'.
Menurut mereka, hasrat itu tidak akan menjadi kenyataan kerana negara ini tidak mempunyai pasukan bola sepak yang kuat sedangkan ia adalah antara ciri yang akan menentukan sesebuah negara itu dipilih sebagai tuan rumah.
Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah berkata, pasukan bola sepak Malaysia masih lagi tertinggal di belakang dengan kedudukan 142 dalam ranking dunia.
"Kalau kita bercita-cita hendak menjadi hos, kita kena melonjak ke tangga 66 yang kedudukan itu kini disandang oleh tuan rumah Piala Dunia baru-baru ini, Afrika Selatan.
"Setiap tahun kita perlu membuat sekurang-kurangnya lima anjakan dan akhirnya selepas 16 tahun kita akan sampai ke tangga 66," katanya.
Beliau bangun mencelah sewaktu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Ping Sieu menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) peringkat kementeriannya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Dalam pada itu, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir turut mendesak Ahmad Shabery supaya melupakan hasrat berkenaan dan memintanya supaya memberi perhatian kepada pembangunan sukan tempatan terlebih dahulu.
"Saya minta, balik beritahu menteri, jaga sukan di negara kita ini sudahlah. Bola sepak kita hancur, badminton kita hancur, hoki kita pun tidak seberapa.
"Buat apa kita angan-angan Mat Jenin, hendak jadi hos Piala Dunia 2026. Tidak perlu angan-angan Mat Jenin, buat yang ada di Malaysia dulu lah," ujarnya.

Perkeso jual semua saham Carlsberg


KUALA LUMPUR 28 Julai - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi mempunyai pegangan saham di dalam syarikat minuman keras, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad (Carlsberg).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, semua saham berkenaan telah dijual baru-baru ini berikutan keputusan agensi kerajaan itu April lalu untuk melupuskan saham sedemikian.
"Pada masa ini, Perkeso tidak mempunyai saham di dalam syarikat terbabit walaupun pada satu ketika memang ia telah membeli saham syarikat ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi peringkat kementeriannya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Pada sesi perbahasan sebelum itu, Senator Mumtaz Md. Nawi meminta kementerian memberi penjelasan sama ada Perkeso masih lagi mempunyai pegangan saham dalam syarikat Carlsberg.
Dalam pada itu, Subramaniam menjelaskan, Perkeso pada masa hadapan tidak akan membeli saham dalam syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan yang haram di sisi agama seperti arak dan perjudian.

Felda tidak akan bankrap


KUALA LUMPUR 28 Julai - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tidak akan bankrap walaupun semua pokok kelapa sawit di atas tanah seluas 330,000 hektar miliknya diracun pihak pembangkang.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dalam menegaskan kenyataan tersebut berkata, Felda yang kini mempunyai nilai aset bersih berjumlah RM12.2 bilion mampu membayar cukai serta zakat melebihi RM1 bilion dan tidak begitu mudah akan diisytiharkan bankrap.
Katanya, Felda juga merupakan satu-satunya organisasi di negara ini yang menjamin pendapatan minimum sebanyak RM1,000 kepada peneroka di bawahnya dan tiada agensi lain yang berbuat demikian untuk kumpulan individu di bawah mereka.
"Pendapatan sebenar setiap peneroka akan berbeza mengikut umur pokok kelapa sawit, ada yang puratanya sekitar RM2,500 sebulan dan ada juga sekitar RM3,500 sebulan.
"Mengenai geran tanah peneroka, Felda telah memberikan hak milik kepada 70 peratus daripada 112,635 warga peneroka setakat ini.
"Di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga, nama isteri setiap peneroka akan dimasukkan ke dalam geran tanah sebagai pengiktirafan usaha sama suami dan isteri sebagai peneroka," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Husin yang meminta penjelasan mengenai isu Felda bankrap, pendapatan minima peneroka setiap bulan dan bila semua peneroka akan mendapat geran tanah pada sidang Dewan Negara hari ini.
Ketika menjawab soalan asal Senator Datuk Akbar Ali, Ahmad menjelaskan, aset semasa dan tetap Felda sebenarnya telah melonjak dari RM9.17 bilion pada 2004 kepada RM15.37 bilion pada 2009 walaupun aliran tunai menurun dalam tempoh tersebut.
"Penurunan kedudukan tunai Felda dan bukannya nilai aset antara 2004 dan 2009 disebabkan perbelanjaan dan bukannya disonglap mana-mana pihak tertentu.
"Perbelanjaan paling besar adalah untuk program pembangunan tanam semula kebun peneroka yang melibatkan elaun sara hidup peneroka, pembiayaan pendahuluan hasil dan kos tanaman yang kesemuanya berjumlah RM2.42 bilion.
"Selain itu, RM2.41 bilion lagi digunakan untuk program sosioekonomi, latihan kemahiran, bayaran bonus, sumbangan hari raya, insurans dan aktiviti kebajikan untuk peneroka dan generasi baru.
"Selebihnya melibatkan RM603 juta untuk pinjaman membesarkan rumah peneroka, RM269 juta untuk pembasmian kemiskinan rakyat di Sabah, RM220 juta untuk masalah air Felda di Pahang, RM 134 juta untuk Perumahan Warga Felda (PWF) dan RM662 juta untuk menara Felda di hadapan KLCC," jelasnya.
Akbar dalam soalannya meminta penjelasan faktor-faktor yang menyebabkan nilai aset Felda dilaporkan merosot hampir RM3 bilion dalam tempoh lima tahun itu serta tindakan yang diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.

21 kes pelajar sekolah mengandung luar nikah


KUALA LUMPUR 28 Julai - Kementerian Pelajaran hanya mengesan sebanyak 21 kes pelajar yang mengandung luar nikah di sekolah bandar dan luar bandar antara tahun 2006 dan 2010.
Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, 12 kes yang direkodkan itu berlaku di sekolah luar bandar sementara sembilan kes lagi di sekolah bandar.
"Sebanyak 20 kes mengandung luar nikah itu berlaku berdasarkan suka sama suka antara pelajar dan pasangan mereka sementara satu kes melibatkan jenayah rogol.
"Kesemua kes ini dikumpulkan berdasarkan sumber laporan akhbar, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah terbabit dan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.
Menurut beliau, masalah sosial ini berterusan berikutan naluri kedewasaan pelajar di samping kebebasan keterlaluan yang diberi keluarga sehingga ada kejadian berkenaan berlaku di rumah dan bilik pelajar itu sendiri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Azian Osman yang meminta penjelasan mengenai jumlah kes pelajar perempuan mengandung luar nikah, mengapa masalah sosial ini berlaku dan tindakan yang diambil ke atas pelajar terbabit pada sidang Dewan Negara hari ini.
Tambah Mohd. Puad, pelajar yang dilaporkan mengandung luar nikah juga tidak boleh dibuang dari sekolah mengikut Akta Pendidikan 1966 tetapi akan dinasihatkan bercuti sehingga mereka bersalin.

Masa lemak nak bersatu masa kuat hentam PAS bertalu-talu

'Perlu ikhlas satukan Melayu'

PUTRAJAYA 28 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha penyatuan parti-parti politik di kalangan orang Melayu terutama membabitkan UMNO dan Pas boleh menjadi kenyataan jika kedua-dua pihak mempunyai keikhlasan.
Perdana Menteri berkata, kerjasama politik seumpama itu telah berjaya dilakukan ketika kepimpinan Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein kerana wujudnya sifat keikhlasan di kalangan pihak terlibat.
"Untuk melakukan sesuatu mesti ada keikhlasan daripada kedua-dua belah pihak, bukan satu pihak sahaja.
"Di zaman Tun Razak ia (kerjasama politik) menjadi kenyataan sebab diusahakan secara tertutup dan senyap-senyap dahulu dan ada perasaan saling hormat menghormati antara parti-parti berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Perdana Menteri ditanya mengenai aspek kepimpinan Tun Razak yang berjaya mewujudkan kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Barisan Nasional (BN) ketika menerajui negara selepas Tragedi 13 Mei 1969.
Menurut Najib, Allahyarham Tun Razak bukan sahaja menyatupadukan orang Melayu malah juga orang bukan Melayu apabila turut menjemput parti Gerakan yang ketika itu merupakan parti pembangkang untuk bersama-sama menyertai BN.

Najib sumbang RM30,000 kepada Pusat Tahfiz Hayatul Uloom


KUALA LUMPUR 28 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada pengurusan Pusat Pengajian Islam Hayatul Uloom di Hulu Langat, dekat sini yang terbakar dan mengorbankan seorang pelajarnya, Abdul Rahman Rosmali, 9, awal pagi Ahad lalu.
Sumbangan dalam bentuk cek itu disampaikan Perdana Menteri melalui Setiausaha Politiknya, Datuk Jailani Ngah kepada Pengetua Hayatul Uloom, Dr. Shahrir Hussin di pusat berkenaan.
"Sumbangan ini sebagai lambang keprihatinan Perdana Menteri terhadap institut pengajian tahfiz di Selangor dan sebagai memberi semangat untuk mereka teruskan aktiviti pembelajaran di sini.
"Perdana Menteri juga bersedia untuk memberi bantuan lain sekiranya mereka memerlukannya," kata Jailani.
Menurut beliau, Najib secara peribadi turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar yang terkorban namun pada masa yang sama mahu aktiviti pengajian di tempat itu diteruskan.
Pusat yang didirikan di atas tanah persendirian seluas 0.8 hektar itu menempatkan 25 pelajar.
Bagaimanapun, 80 peratus daripada banglo dua tingkat yang menempatkan pusat tahfiz itu hangus dalam kebakaran yang dipercayai berpunca daripada ubat nyamuk tersebut.
Sementara itu, Shahrir yang terharu dengan sumbangan tersebut berkata, pihaknya telah memberi cuti kepada pelajar untuk sementara waktu.
"Selepas ini aktiviti pengajian akan diteruskan di sebuah bangunan sementara di Kampung Palil, kira-kira empat kilometer dari sini," katanya.
Menurut beliau, kebakaran itu menyebabkan pusat tersebut mengalami kerugian kira-kira RM180,000.

Bayi jantung berlubang perlu RM30,000


KUALA LUMPUR 28 Julai - Keluarga Mohan Raj, bayi berusia enam bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang hari ini merayu sumbangan orang ramai bagi membiayai kos pembedahannya.
Ketua Penerangan Pemuda MIC, S. Subramaniam berkata, Mohan yang juga menghidap sindrom Down memerlukan rawatan segera bagi memastikan tahap kesihatannya tidak menjadi semakin kronik.
"Pemuda MIC telah melancarkan tabung kutipan derma untuk Mohan bagi membolehkan pembedahan yang dianggarkan menelan kos RM30,000 itu dapat dijalankan segera,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Bapa bayi tersebut, N. Sellvaraja yang bekerja sebagai penyelia keselamatan tidak mampu menanggung kos pembedahan jantung yang akan dilakukan di Hospital Pakar Gleneagles di sini.
Ibu Mohan, P. Lalitha yang turut hadir pada sidang akhbar tersebut berkata, pendapatan suaminya kecil tidak mampu membiayai kos pembedahan itu manakala dia pula tidak bekerja.
"Saya merayu orang ramai dan sesiapa sahaja membantu agar Mohan dapat dibedah secepat mungkin,'' katanya.
Sementara itu, Subramaniam berkata, mereka yang prihatin boleh menyumbang kepada tabung khas melalui cek, draf bank dan kiriman wang atas nama Mohan Raj a/l Sellvaraja.
Katanya, semua sumbangan boleh dihantar kepada Biro Sosial dan Kebajikan Pemuda MIC di Wisma Manikavasagam, Tingkat 7, Jalan Rahmat melalui Jalan Ipoh, 50350 Kuala Lumpur.
Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi biro berkenaan di talian 03-40431111 atau 012-6103905.

Sekolah pelajar hamil diteruskan


MELAKA 28 Julai - Biarpun hasrat Melaka menubuhkan sekolah khas bagi pelajar yang mengandung tidak mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Pelajaran namun rancangan tersebut tetap akan diteruskan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim sebagai pengerusi bagi menggerakkan penubuhan sekolah berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pelantikan Ab. Rahaman itu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut beliau, ia merupakan komitmen kerajaan negeri yang serius untuk menubuhkan sekolah tersebut biarpun terdapat beberapa pihak memperlekehkan cadangan mengenainya.
''Saya mencadangkan perkara ini bukan untuk suka-suka tetapi berdasarkan pandangan banyak pihak menerusi rumusan setiap seminar menangani gejala sosial sebelum ini.
''Tiada jalan penyelesaian yang boleh dibuat sekali gus menyelesaikan masalah ini sehinggalah kerajaan negeri mencadangkan perkara ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Chua Kheng Hwa (BN-Bemban) pada sidang Dewan Undangan Negeri Penggal Ketiga kali ke-12 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Cadangan penubuhan sekolah untuk gadis mengandung yang diumumkan oleh Mohd. Ali baru-baru ini tidak mendapat sokongan pelbagai pihak kerana menyifatkannya sebagai tiada keperluan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi pula menyifatkan ia suatu idea yang pelik dan tidak sesuai dilaksanakan.
Tambah Mohd. Ali, sekiranya sekolah pelajar hamil itu berjaya ditubuhkan, ia diharap mampu membantu golongan terbabit mengharungi kehidupan sepanjang tempoh mengandung.
''Tiada salahnya jika sekolah ini diwujudkan kerana ia bertujuan baik dan digalakkan oleh semua agama termasuk Islam, apatah lagi cadangan itu turut dipersetujui oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM),'' katanya,

Makan kanji setiap hari


Tajenisha Beevi Sirajidin bersama anak-anaknya memerhatikan bantuan makanan yang diberikan oleh Kesatuan Malaysia Hindu Sangam di rumahnya di flat Batu Lanchang, Pulau Pinang, semalam. - bernama


PULAU PINANG 28 Julai - Kanji dan air suam sudah menjadi hidangan rutin Tajenisha Beevi Sirajidin dan tujuh anaknya sejak tiga tahun lalu.
Sejak suaminya dipenjarakan, hanya makanan itu yang mampu disediakan oleh ibu muda ini untuk mengisi perut mereka setiap hari.
Bagaikan mengerti kepayahan Tajenisha, 34, anak-anaknya yang berusia di bawah 16 tahun tidak merungut meminta yang bukan-bukan.
Cuma anak bongsunya yang kadang-kala merengek meminta susu dan dia terpaksa memberikan botol berisi air kosong untuk menenangkannya.
Dia sendiri tiada daya untuk menyusukan anaknya kerana sudah lama tidak menjamah nasi.
''Saya sedih kerana anak-anak saya tidak macam anak orang lain. Usahkan hendak makan lauk-pauk yang enak, menjamah nasi pun payah.
"Sejak suami tiada, hidup kami bertambah susah sampaikan terpaksa berlapar," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di flat Batu Lanchang di sini hari ini.
Ekoran kesempitan hidup, Tajenisha terpaksa memberhentikan persekolahan anak keduanya.
''Saya pernah terfikir untuk memberi anak bongsu kepada orang lain sebab tidak sanggup tengok anak- anak hidup dalam keadaan macam ini," katanya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana terpaksa menjaga anak-anaknya yang masih kecil.
Tambah merisaukan Tajenisha kini, mereka sekeluarga mungkin diusir keluar daripada rumah yang didiami sekarang setelah gagal membayar sewa selama tiga bulan sebanyak RM1,200.
Dia hanya berharap tuan rumah mendengar permintaannya untuk menangguhkan bayaran duit sewa, apatah lagi dia masih menanggung hutang kos bersalin sebelum ini kira-kira RM3,000.
''Itu semua perlu dijelaskan sebelum Hari Raya Aidilfitri. Saya tidak tahu sampai bila nasib kami akan begini, bukan tidak pernah bekerja tetapi anak kecil saya sering sakit dan saya tidak boleh bergantung dengan jiran selamanya," katanya.
Tajenisha mendakwa pernah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak tiga kali tetapi permohonannya masih belum diluluskan.
Beliau berharap pihak yang bertanggungjawab tampil membantu meringankan bebannya termasuk kemungkinan memberi peluang menyewa rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Tajenisha di talian 016-4715994 atau wakil Persatuan Hindu Sangam, P. Murugiah di talian 016-4449246.

Awasi propaganda media asing


KUALA LUMPUR 28 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar)menyelar segelintir pemimpin politik yang mempunyai hubungan baik dengan media asing kerana beliau percaya, organisasi media yang kebanyakannya didokong oleh Yahudi itu mempunyai niat tidak baik terhadap keharmonian Malaysia.
Beliau berpengalaman mentadbir Malaysia selama 22 tahun berkata, media asing sentiasa mempunyai agenda untuk menjatuhkan kerajaan.
Tegas beliau lagi, propaganda itu lebih mudah apabila terdapat pemimpin politik tempatan sendiri yang sanggup memberi kerjasama demi kepentingan peribadi.
"Terdapat sesetengah ahli politik (merujuk kepada pembangkang) menggunakan media asing untuk kepentingan diri sendiri. Sedangkan pada masa yang sama mereka juga dipergunakan oleh media asing yang hendak melihat perubahan kerajaan yang didakwa mereka sebagai 'rejim'.
"Media asing yang dilihat cukup rapat dengan pemimpin tertentu sebenarnya mahu ahli politik itu menjadi Perdana Menteri bagi menggantikan kepimpinan sedia ada yang dipilih oleh rakyat," katanya semasa menyampaikan ucaptama di Persidangan Media Sosial dan Penulis Blog Asia 2010, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mengulangi kecaman terhadap kewajaran pihak tertentu membayar RM1 juta kepada bekas Perdana Menteri Britian, Tony Blair, dalam usaha untuk membawa apa yang didakwanya sebagai penjenayah perang-berucap di Persidangan Pencapaian Kebangsaan 2010 April lalu.
"Blair adalah seorang penipu dalam usahanya untuk menghalalkan perang terhadap Iraq yang akhirnya membunuh ratusan ribu nyawa yang tidak berdosa. Beliau berbohong bukan sahaja kepada dunia malah Parlimen Britian apabila mendakwa Iraq berupaya memusnahkan negara itu dalam masa 45 minit.
"Tetapi kita bawa seorang penjenayah perang untuk berucap dan mendidik rakyat negara ini dengan bayaran RM1 juta. Pendidikan apa yang kita dapat daripada seorang pembohong? Penipu hanya akan mengajar kita bagaimana cara hendak menipu, itu sahaja," katanya sambil diberi tepukan gemuruh oleh para penulis blog.
Sementara itu, mengulas perkara berasingan, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak menyaman penulis buku, Barry Wain, yang menuduhnya membazir sebanyak RM100 bilion sepanjang 22 tahun mentadbir Malaysia menerusi buku yang bertajuk 'Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times' kerana percaya kepada kebebasan bersuara.
Jelasnya, serangan politik perlu ditangani secara politik dan bukannya menggunakan platform mahkamah bagi tujuan menutup mulut seseorang daripada mengemukakan pandangan dan kritikan.
"Saya tidak pernah menyaman seseorang walaupun mereka mengkritik dan melemparkan dakwaan yang tidak benar kerana saya berpendapat setiap ahli politik perlu matang dalam menghadapi semua ini dan bukan menggunakan mahkamah untuk menutup kebebasan bersuara.
"Lagipun, perbicaraan mahkamah akan mengambil masa yang lama. Sama seperti yang berlaku hari ini, apabila terdapat individu tertentu yang sengaja menggunakan taktik melambat-lambatkan perbicaraan," jelasnya.

Jangan bawa politik ke bilik darjah - TPM


SEOUL 28 Julai - Guru-guru diberi amaran supaya tidak membawa fahaman politik masing-masing ke dalam bilik darjah berikutan keputusan kerajaan membenarkan mereka berpolitik.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jika ada laporan mengenai perkara tersebut tindakan akan diambil terhadap guru-guru yang terlibat kerana melanggar pekeliling kerajaan.
Tegasnya, kebenaran kepada guru untuk berpolitik tidak seharusnya memberi kesan kepada aspek pengajaran dan pembelajaran di sekolah kerana ia merupakan tugas hakiki mereka yang perlu diutamakan.
"Itu satu tanggungjawab utama yang guru mesti sempurnakan. Tidak ada kompromi dari segi pelajaran di Malaysia. Ibu bapa mahu anak mereka dididik secara dedikasi.
"Kalau guru ada masa dan mahu membantu masyarakat, dengan kebenaran ini bolehlah mereka beri sumbangan tetapi perlu ada keseimbangan dari segi tanggungjawab rasmi dan tidak rasmi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan itu hanya untuk guru dan bukan penjawat awam lain kerana tempoh mengajar adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 2 petang dan golongan pendidik mempunyai masa jika mahu menyumbang tenaga kepada masyarakat.
"Ini suatu keputusan yang sebenarnya mempunyai kebaikan kerana kalau ikut sejarah, peranan guru dalam masyarakat sejak dahulu dihargai, lebih-lebih lagi dalam masa sekarang, guru perlu menjadi pemimpin dalam masyarakat.
"Mereka mempunyai masa selain mengajar dan di luar waktu itu boleh berbakti kepada masyarakat," katanya.
Menurutnya, terpulang kepada guru untuk menyokong mana-mana parti politik, namun sebagai kakitangan awam beliau berharap mereka membantu serta menyokong program-program yang dijalankan kerajaan.
"Apabila kita sudah benarkan, perkara ini memang sudah diberi pertimbangan. Kita tidak boleh diskriminasi walaupun harapan kita sebagai kerajaan mereka akan sokong kita, namun itu kita tidak boleh sekat," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kebenaran itu bukan diberi secara automatik sebaliknya guru-guru perlu membuat permohonan daripada Ketua Setiausaha Negara untuk apa-apa jawatan yang hendak disandang.
"Diharapkan mereka faham, bantu kerajaan Barisan Nasional (BN), saya fikir syarat terperinci akan diumumkan oleh Kementerian Pelajaran nanti," jelasnya. - Utusan

Hanya guru dibenar berpolitik




Najib Tun Razak melihat gambar keluarganya selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 28 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan belum bercadang membenarkan pegawai kumpulan siswazah selain daripada bidang pendidikan terbabit dalam politik.
Perdana Menteri berkata, ini bagi mengelak timbul konflik kepentingan kerana mereka mempunyai kuasa eksekutif berbanding mereka dalam profesion perguruan.
"Kita tidak mahu mereka yang ada kuasa memegang jawatan (terlibat politik), macam guru ini mereka mendidik jadi tidak ada kuasa eksekutif, tidak berlakulah konflik kepentingan.
"Jadi kita mula dengan kumpulan guru dahulu selepas itu kita tengok sama ada wajar ia wajar diperluaskan pada bidang lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak Bapa Pembangunan - Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Najib mengulas pengumuman Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan bahawa mulai 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan terlibat dalam politik.
Ia berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu berperanan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.
Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam kumpulan sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.
Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.
Tentang kemungkinan wujud suasana berpuak-puak di sekolah apabila guru aktif berpolitik, Najib berkata, perkara itu mungkin berlaku tetapi boleh dibendung.
"Saya melihat langkah ini boleh mengukuhkan lagi kepimpinan politik tanah air sebab kita hendak guru-guru menyumbang dari segi kepimpinan bersifat keintelektualan di peringkat akar umbi.
"Mereka ini golongan disegani kerana memiliki kelulusan dan pengetahuan yang lebih daripada kelompok lain dan kepimpinan mereka lebih diterima kerana bersandarkan kepada keilmuan dan kedudukan dalam masyarakat," katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan para guru agar tidak mengabaikan tugas utama sebagai pendidik atau membelakangkan arahan jika memegang jawatan politik sebaliknya menghormati struktur kepimpinan dalam sekolah dan jabatan.
Menurutnya, tugas seorang guru yang tidak bersifat material membolehkan mereka menyumbang kepada pembentukan akhlak yang lebih baik.
"Saya tidak fikir guru akan bersikap keterlaluan walaupun ada jawatan politik kerana mereka daripada golongan yang dewasa dari segi pemikiran sebab itu dari dulu pun tidak berlaku perpecahan dalam sekolah," katanya.

Peringatan kepada DAP


PUTRAJAYA 28 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan DAP supaya tidak terlalu menekankan soal hak istimewa orang Melayu dan bumiputera sehingga menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan kaum tersebut.
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan cuba menentukan dasar-dasar yang adil dan saksama tetapi orang Melayu dan bumiputera akan merasa marah jika parti itu asyik menekankan tentang soal penghapusan dasar membabitkan kepentingan orang Melayu di negara ini.
"Kalau terlalu menekan orang Melayu dan bumiputera tanpa mereka melihat ada juga pihak lain yang memberi pertimbangan kepada orang Melayu terutama sekali swasta, ia akan ada rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.
"Maknanya, orang Melayu pun mengharapkan syarikat-syarikat swasta (yang dikuasai bukan bumiputera) membantu mereka dalam memajukan ekonomi mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan - Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Orlaith Inc. Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Perikatan Malaysia (AFM).
Hadir sama beberapa menteri dan Pengerusi AFM, Tan Sri Sabaruddin Chik.
Pada majlis itu, Najib turut meluangkan masa menonton persembahan teater Tun Razak-Suatu Pengisahan yang menampilkan pelakon Melissa Saila sebagai Tun Rahah manakala Mazlan Tahir sebagai Tun Razak.
Najib mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada kerajaan Selangor agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.
Tony yang juga Penasihat Ekonomi Setiausaha Agung DAP mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.
Sementara itu Najib berkata, meskipun pemberian diskaun kepada bumiputera itu merupakan bidang kuasa yang termaktub di bawah kerajaan negeri, setakat ini negeri di bawah Barisan Nasional (BN) tidak bercadang menghapuskan dasar berkenaan.
"Walaupun saya akui dasar itu tidak mungkin akan kekal selama-lamanya tetapi pada masa ini, ia (penghapusan diskaun) belum sesuai lagi,'' katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, generasi baru boleh mengambil teladan dari segi gaya kepimpinan Tun Abdul Razak yang banyak terserlah termasuk begitu rapat dengan rakyat bawahan.
Katanya, ciri kepimpinan tersebut perlu dikupas dan dianalisis oleh generasi muda hari ini.
"Tun Razak meniti tangga rumah yang robek, ada gambarnya. Dengan hanya berbaju singlet masuk kolam untuk menjala bersama-sama orang kampung, juga ada gambarnya dan meniti jambatan lama di celah-celah bendang, ada gambarnya.
"Imej itu masih tersemat dalam ingatan rakyat sehingga sekarang,'' katanya.
Najib mengimbas bapanya terkenal dengan identiti 3B iaitu gemar memakai 'bush jaket' ketika di luar pejabat, bertongkat dan berdehem setiap kali ingin berucap menunjukkan beliau cukup teliti soal perwatakan dan pakaian mengikut peredaran fesyen ketika itu.
Perdana Menteri berkata, Allahyarham menunjukkan kepimpinannya sebagai seorang pentadbir yang cekap dan berkesan selain bijak membuat pemilihan pegawai bagi menerajui sesuatu agensi.
"Kebolehan Tun Razak adalah memilih orang terbaik untuk mengisi suatu pekerjaan yang secocok dengan seseorang itu, seperti pelantikan Tan Sri Arshad Ayub menerajui Institut Teknologi Mara (ITM) dan juga pelantikan pemimpin seperti Tan Sri GK Rama Ayer dan Datuk Micheal Chen," katanya.
Selain itu, beliau berkata, Allahyarham seorang pemimpin bersifat institusi kerana berjaya mencetuskan penubuhan ITM yang sekarang menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pernas, Felda, Felcra, Bank Bumiputera dan lain-lain.
"Ini adalah legasi Tun Razak untuk negara,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan – Suatu Pengisahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Orlaith Inc. Sdn. Bhd. dengan kerjasama Yayasan Perikatan Malaysia (AFM).
Hadir sama beberapa menteri dan Pengerusi AFM, Tan Sri Sabaruddin Chik.
Pada majlis itu, Najib turut meluangkan masa menonton persembahan teater Tun Razak-Suatu Pengisahan yang menampilkan pelakon Melissa Saila sebagai Tun Rahah manakala Mazlan Tahir sebagai Tun Razak.
Najib mengulas cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada kerajaan Selangor agar memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera bagi pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.
Tony yang juga Penasihat Ekonomi Setiausaha Agung DAP mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.
Sementara itu Najib berkata, meskipun pemberian diskaun kepada bumiputera itu merupakan bidang kuasa yang termaktub di bawah kerajaan negeri, setakat ini negeri di bawah Barisan Nasional (BN) tidak bercadang menghapuskan dasar berkenaan.
“Walaupun saya akui dasar itu tidak mungkin akan kekal selama-lamanya tetapi pada masa ini, ia (penghapusan diskaun) belum sesuai lagi,'' katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, generasi baru boleh mengambil teladan dari segi gaya kepimpinan Tun Abdul Razak yang banyak terserlah termasuk begitu rapat dengan rakyat bawahan.
Katanya, ciri kepimpinan tersebut perlu dikupas dan dianalisis oleh generasi muda hari ini.
“Tun Razak meniti tangga rumah yang robek, ada gambarnya. Dengan hanya berbaju singlet masuk kolam untuk menjala bersama-sama orang kampung, juga ada gambarnya dan meniti jambatan lama di celah-celah bendang, ada gambarnya.
“Imej itu masih tersemat dalam ingatan rakyat sehingga sekarang,'' katanya.
Najib mengimbas bapanya terkenal dengan identiti 3B iaitu gemar memakai `bush jaket' ketika di luar pejabat, bertongkat dan berdehem setiap kali ingin berucap menunjukkan beliau cukup teliti soal perwatakan dan pakaian mengikut peredaran fesyen ketika itu.
Perdana Menteri berkata, Allahyarham menunjukkan kepimpinannya sebagai seorang pentadbir yang cekap dan berkesan selain bijak membuat pemilihan pegawai bagi menerajui sesuatu agensi.
“Kebolehan Tun Razak adalah memilih orang terbaik untuk mengisi suatu pekerjaan yang secocok dengan seseorang itu, seperti pelantikan Tan Sri Arshad Ayub menerajui Institut Teknologi Mara (ITM) dan juga pelantikan pemimpin seperti Tan Sri GK Rama Ayer dan Datuk Micheal Chen,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, Allahyarham seorang pemimpin bersifat institusi kerana berjaya mencetuskan penubuhan ITM yang sekarang menjadi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pernas, Felda, Felcra, Bank Bumiputera dan lain-lain.
“Ini adalah legasi Tun Razak untuk negara,'' katanya.