Sunday, June 27, 2010

Kes remaja hamil serius


15/7
Semua pihak digesa atasi masalah
MUAR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyifatkan isu remaja bawah umur hamil luar nikah sebagai membimbangkan dan mahu semua pihak terutama institusi keluarga, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti memainkan peranan penting bagi menangani isu itu.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kerajaan saja tidak dapat mengatasi masalah itu jika keluarga tidak mengawasi anak mereka.
Isu ini membimbangkan dan kita minta ibu bapa tidak lepas tangan kerana usaha kerajaan saja tak cukup. Sebab itu institusi keluarga adalah segala-galanya dan jika ibu bapa jaga anak, barulah kita dapat mengatasi isu sosial, katanya selepas perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Muar, di sini semalam.
Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil berat isu berkaitan remaja bawah umur dan mereka yang bermasalah diberikan bantuan termasuk tempat perlindungan.
Beliau berkata, kini JKM mempunyai sebuah rumah kebajikan khas di Perak sebagai perlindungan untuk remaja 18 tahun ke bawah termasuk membantu mereka yang melahirkan anak.
Di KUALA LUMPUR, Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid, berkata kegagalan mempertahankan keutuhan sistem kekeluargaan menjadi faktor utama gejala sosial semakin meningkat.
Katanya, sistem itu semakin terhakis apabila hanya membabitkan ibu, bapa dan anak, tidak lagi seperti dulu apabila datuk, nenek dan adik beradik turut menjadi penyokong utama dalam institusi kekeluargaan.
Sumber : Bharian.com.my

Siasat terperinci kes pelajar mati dibuli


15/7
TPM mahu pihak berkuasa bertindak tegas
SRI AMAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kesal dan sedih dengan kematian pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD), Muhammad Naim Mustakim Mohd Sobri akibat dibuli kelmarin, berharap pihak berkuasa bertindak tegas dalam kes berkenaan.
Kita sedih ada kes begini… mengenai pelajar meninggal dunia dipercayai akibat didera atas tujuan untuk ragging yang sebenarnya sudah pun kita haramkan di sekolah dan institusi. Malangnya ia masih berlaku,” kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran.
Sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, beliau berkata, Kementerian Pertahanan dan pengurusan MTD sudah memaklumkan bahawa siasatan terperinci akan dibuat dan insiden berkenaan juga sudah menjadi kes polis.
“Perkara sebegini sesuatu kejadian amat malang sekali dan kita harap ia tidak berulang,” katanya sambil berharap kes di MTD itu menjadi pengajaran.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Prasekolah Rumah Panjang di Sarawak dan Perasmian Prasekolah Rumah Panjang Kampung Sapak, Pantu, di sini semalam.
Di KUALA LUMPUR, Persatuan Bekas Putera Maktab Tentera Diraja (OPA) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk perbuatan buli, termasuk ugutan dan penderaan fizikal yang boleh mendatangkan kecederaan ke atas pelajar sekolah berasrama penuh berkenaan.
Presidennya, Mejar Jeneral (B) Datuk Dr Mohamad Termidzi Junaidi, berkata walaupun MTD berteraskan pendidikan ala-tentera, budaya buli tidak wajar diamalkan di mana-mana sekolah dan kejadian kelmarin tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi di sekolah yang menerapkan nilai murni dan jati diri dalam menjaga keselamatan negara.
Sumber : Bharian.com.my

Malaysia sertai latihan tentera di Hawaii


15/7
WASHINGTON: Malaysia buat kali pertama menyertai 13 negara lain dalam Latihan Tentera Lingkungan Pasifik 2010 (RIMPAC) diketuai Amerika Syarikat selama enam minggu di perairan Hawaii membabitkan 20,000 anggota tentera yang berlatih cara bertindak menghadapi krisis.
RIMPAC 2010 adalah latihan perang maritim terbesar dunia yang berlangsung setiap dua tahun sekali. Selain, Malaysia, Colombia, Perancis dan Thailand adalah peserta terbaru RIMPAC, menurut Armada Ketiga Amerika yang menyelaras latihan itu.
Hubungan Malaysia dengan Amerika bertambah baik sejak Presiden Barack Obama mengambil alih jawatan. Malaysia mengumumkan bulan ini bahawa ia akan turut menyertai Cobra Gold.
RIMPAC kali ini juga akan menjalankan latihan memerangi serangan lanun, salah satu kebimbangan di Selat Melaka.
Dengan penyertaan negara berkenaan buat pertama kali, mereka didedahkan dengan cara kami beroperasi, kata Kapten Tentera Laut AS, Paul McKeon, pegawai kawalan latihan RIMPAC.
Ini akan membolehkan peserta baru menjadi sebahagian daripada pertubuhan multinasional sekiranya ada panggilan kecemasan dalam kejadian krisis di peringkat antarabangsa, sama ada keganasan atau sesuatu yang berlaku secara semula jadi atau perbuatan manusia, katanya. AFP
Sumber : Bharian.com.my

Biaqpila: Dua dua tak boleh pakai

Biaqpila: Dua dua tak boleh pakai

Blog-list Malaysia: Khairy Cuma Penyibuk - Ibrahim Katak

Blog-list Malaysia: Khairy Cuma Penyibuk - Ibrahim Katak

Kematian Altantuya: Menteri Enggan Sahkan Pembabitan Pegawai Najib � BlogCkChew – Stand Up, Be Counted;

Kematian Altantuya: Menteri Enggan Sahkan Pembabitan Pegawai Najib � BlogCkChew – Stand Up, Be Counted;

Cananglahnie: Ariel Peterpan Meninggal Sebab 'Overdose'?

Cananglahnie: Ariel Peterpan Meninggal Sebab 'Overdose'?

DPPK PARIT: ULAMA YANG DIRAGUI?

DPPK PARIT: ULAMA YANG DIRAGUI?

ISLAM vs WAHABI: 40 Penyamun Tarbus Masuk UMNO! (mereka RUWAIBIDAH WAHABIAH)

ISLAM vs WAHABI: 40 Penyamun Tarbus Masuk UMNO! (mereka RUWAIBIDAH WAHABIAH)

Perkasa bukan penghalang 1Malaysia, kata Ibrahim Ali�|�Free Malaysia Today – Bahasa Melayu

Perkasa bukan penghalang 1Malaysia, kata Ibrahim Ali�|�Free Malaysia Today – Bahasa Melayu

KERENGGA: Tidak Hadir Retreat, Anwar Tahu Khalid Ada Komitmen Lain

KERENGGA: Tidak Hadir Retreat, Anwar Tahu Khalid Ada Komitmen Lain

400,000 Tin Untuk Duit Belanja Kahwin |Pulakdah!

400,000 Tin Untuk Duit Belanja Kahwin |Pulakdah!

TERIMA KASIH A

TERIMA KASIH A

Artis bida plat mahal

KUALA LUMPUR: Nombor pendaftaran kenderaan satu atau dua angka yang dilabel sebagai nombor cantik bukan saja menjadi pilihan golongan ternama atau VIP, malah sekelompok selebriti tempatan apabila sanggup membelanjakan sejumlah besar wang semata-mata untuk mendapatkannya.
Semakan Metro Ahad pada laman elektronik interaktif kerajaan mendapati sekurang-kurangnya 10 artis pernah memiliki nombor pendaftaran cantik membabitkan bidaan antara RM300 hingga RM66,500.

Aktres popular, Fasha Sandha memiliki beberapa nombor pendaftaran seperti WSX 28, WPY 111 dan WKG 1984, Asmawi Ani (MAW 1) dan Tiara Jacquelina (TJ 10).

Pelakon drama dan filem, Zul Huzaimy pula menggunakan AGC 515 dan WMM 515, Rozita Che Wan (WQA 93) dan Awal Ashaari (AW 41 dan AFM 41).

Artis berkulit gebu, Zizie Ezette Samad dikatakan pemilik nombor pendaftaran WRY 2121, Azhar Sulaiman MAF 14 manakala AC Mizal, AAC 1.

Selain itu, suami penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, disahkan memenangi bidaan nombor pendaftaran kenderaan KCT 1.

Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K disahkan memenangi bidaan dengan nilainya RM66,500 mengikut senarai yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, baru-baru ini.

Nama Datuk K disenaraikan dengan nilai bidaan paling tinggi dan beliau antara 193 pemenang bidaan bagi pelbagai nombor pendaftaran KCT dengan nilai antara RM300 dan RM23,500.

Difahamkan, nombor pendaftaran kenderaan berkenaan menjadi pilihan Datuk K disebabkan ia membawa maksud gabungan antara nama beliau dan penyanyi nombor satu negara itu.

Siti Nurhaliza juga pernah menggunakan nombor cantik pada kenderaannya termasuk ABP 2001 pada kereta Proton Waja Auto Premium 1.6 yang dimenangi untuk Anugerah Bintang Paling Popular 2001 anjuran Berita Harian.

Selain itu, penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu didapati pernah menggunakan nombor pendaftaran kenderaan cantik seperti WKF 1, WPT 11, WJA 9966, WNH 9966 dan CAV 9966.

Sementara itu, penyanyi lelaki popular, Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok yang turut menggunakan nombor pendaftaran cantik pada kereta Toyota Caldina miliknya mengakui membuat bidaan.

Namun dia menjelaskan, bidaannya tidak membabitkan jumlah besar kerana mungkin nombor berkenaan tidak menarik pilihan orang lain.

“Tak sampai ribu-ribu pun saya masuk tender tetapi ratusan ringgit jugalah digunakan untuk mendapatkan nombor berkenaan kerana ia memberi makna istimewa kepada saya.

“Saya berasa tidak perlu dijelaskan makna istimewa itu dan didedahkan nombor pendaftaran kereta saya, tetapi nombornya sememangnya sungguh bermakna,” katanya.

Cerita penari bogel lelaki


15/7

MENURUT Reezman, anak-anak gadis orang kaya antara yang banyak menonton tarian bogel.
SEJAK di bangku sekolah lagi, Reezman (bukan nama sebenar) aktif menari. Merata tempat di Pulau Pinang dijelajahinya untuk mempamerkan aksi tarian kebudayaannya.
Namun, dia tidak menyangka ada mata yang mencuri pandang tubuh kekarnya dan menyimpan hasrat jahat untuk memesongkan langkah seni tari budayanya kepada dansa erotik tanpa seurat benang.
Pada suatu hari, seorang lelaki Cina datang menghampirinya dan menyuakan tawaran untuk menjadi penari bagi produksi mereka. Lelaki itu memberitahu Reezman bahawa dia akan menjadi penari tarian moden.
Sebagai seorang yang jiwa dansanya begitu menebal, Reezman yang ketika itu berusia 21 tahun menganggapnya satu peluang mengecapi pengalaman baru.
Tidak bercerita lanjut tentang tarian yang bakal dipamerkan, lelaki tersebut membawanya ke sebuah rumah besar yang dipercayai dimiliki oleh seorang orang kaya di Pulau Pinang.
Di situ, satu majlis persendirian sedang diadakan. Kata Reezman, majlis itu dikunjungi bermacam keturunan. Ada orang Cina, India, Melayu dan mat saleh. Ada pengunjung lelaki dan ada perempuan. Beberapa lelaki sasa yang sedang menari dengan sekadar berseluar dalam menjadi pusat perhatian pengunjung.
Terkejut
Melihat penari-penari itu, Reezman sudah dapat membayangkan tarian jenis apa yang menantinya. Dia sangat terkejut dan takut.
Reezman terfikir untuk menolak sahaja tawaran itu tetapi apabila dia melihat not-not wang yang dihamburkan ke arah penari-penari itu oleh pengunjung yang rata-ratanya orang berada, terdetik hatinya: Lumayan.
Lagipun, dia masih boleh memakai seluar dalam.
Itu yang saya fikir mula-mula. Wang juga menggelapkan mata saya. Sebagai penari sebegitu, saya dimaklumkan sebulan RM3,000 sudah dalam tangan iaitu duit yang dibayar bos.
Itu belum lagi dicampur dengan wang tip yang diberikan pengunjung, kata Reezman, 30, kepada Jurnal tentang pengalamannya menjadi penari bogel kira-kira sedekad lalu.
Produksi tempat Reezman bekerja mempunyai 12 penari lelaki kesemuanya. Sepuluh merupakan penari Cina dan dua Melayu.
Kemudian, saya dimaklumkan oleh penari-penari senior bahawa mereka beraksi secara berperingkat-peringkat.
Pada awalnya mereka akan menari berpakaian namun nampak seksi, kemudian apabila sudah berpengalaman mereka berseluar dalam dan akhirnya pasti akan berbogel, katanya.
Reezman mengambil masa selama enam bulan sebelum beraksi telanjang.
Mula-mula menari bogel saya rasa malu dan tidak selesa. Tetapi, apabila irama dan cahaya bergabung ditambah dengan jerit pekik penonton-penonton, rasa malu mula menghilang. Namun, setiap kali lepas menari, saya akan bertanya diri sendiri, apa yang aku dah buat tadi? ujarnya.
Reezman mendedahkan, lebih lama ereksi yang dipamerkan penari bogel atau lebih membonjol kemaluan di balik seluar dalam lagi banyak wang yang akan diterima kerana penonton akan lebih tertarik.
Ereksi
Sebab itu, ada di kalangan penari bogel yang mengambil pil ereksi untuk memastikan mereka boleh kekal ereksi lebih lama. Ingat, kami di atas pentas dan disaksikan ramai orang bukannya di atas katil.
Ada juga penari bogel yang buat pembedahan membesarkan zakar di Thailand, katanya sambil memberitahu penari bogel lelaki hanyalah lelaki yang mempunyai tubuh badan menarik ala model dan sasa tetapi bukan pondan.
Semasa menari, kemaluan kami dipegang atau punggung diraba penonton itu perkara biasa. Kalau hendak duit tambahan, yang meminta khidmat sehingga ke bilik tidur pun ada, katanya sambil memberitahu anak-anak orang kaya, wanita-wanita berusia atau bekerjaya tinggi, datin-datin dan golongan gay adalah kelompok yang banyak membuat permintaan mengadakan tarian bogel untuk majlis-majlis mereka.
Pertunjukan tarian bogel juga ada dilangsungkan di disko-disko selepas pukul 12 malam.
Tempat tarian boleh jadi pentas biasa dan mungkin juga di dalam sangkar yang digantung di mana penonton yang berada di bawah hanya boleh melihat kaki hingga paras pinggang penari.
Hanya sanggup bergelar penari bogel selama dua tahun, Reezman berkata dia menerima banyak pelawaan ke bilik tidur namun dia tidak menerima satu pun.
PENARI bogel bagai sudah hilang perasaan malu.


Vitamin C
Bukan hanya wanita atau lelaki gay, bahkan pernah sekali seorang lelaki mat saleh yang sudah berumur mengajaknya tidur.
Lelaki mat saleh itu mengajak saya ke bilik hotelnya. Saya tidak mahu tetapi akhirnya didesak dan pergi. Lelaki itu nampak berpengaruh. Ada empat pengawal yang menjaga biliknya. Kemudian saya mendapat tahu bahawa lelaki itu ialah seorang ahli parlimen dari sebuah negara Eropah.
Saya akhirnya dilepaskan selepas memberitahu bahawa saya bukan gay. Tetapi dia terus memujuk supaya mengikutnya ke negara asalnya. Saya tolak pelawaannya tapi dia masih memberikan bayaran RM5,000.
Apabila dia pulang, dia telefon saya tidak henti-henti. Dia beritahu kalau saya ikut dia, dia akan menukarkan hak milik semua rumah dan keretanya kepada nama saya sebab dia sudah sangat tua, kata Reezman sambil memberitahu kadangkala mereka turut dijemput membuat persembahan di Kuala Lumpur, Singapura, Indonesia dan Thailand.
Dia mendakwa lokasi paling banyak dia beraksi ialah di sekitar Georgetown serta pernah membuat tarian bogel di apartmen dan disko di sekitar Ampang.
Reezman mendedahkan, penari-penari bogel ini dijaga oleh produksi yang menaunginya agar bentuk tubuh mereka terus menarik.
Penari-penari bogel diberikan perkhidmatan gimnasium percuma, suntikan vitamin C dan suntikan oksigen percuma. Suntikan oksigen adalah untuk memastikan tubuh kami sentiasa segar, cerah dan lembab sentiasa.
Saya cuma berkongsi apa yang telah saya tempuhi. Saya telah terlanjur dan saya tidak mahu penari-penari di luar sana jadi macam saya, ujarnya.
kredit : kosmo.com.my

Kembar siam Iraq tiba di Saudi


15/7

MENTERI Kesihatan Arab Saudi, Dr. Abdullah Al-Rabeeah (kanan), memeriksa kembar Zainab dan Ruqiya ketika tiba di King Abdul Aziz Medical City di Riyadh.

RIYADH – Sepasang kembar siam perempuan Iraq, Zainab dan Ruqiya diterbangkan dengan helikopter dari tempat asal mereka di Najaf terus ke Arab Saudi untuk menjalani pembedahan pemisahan di King Abdul Aziz Medical City di sini kelmarin.
Bapa kembar itu, Naseer Muhammad Hassan menjunjung kasih keprihatinan pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz yang mengarahkan pembedahan dilakukan segera dengan pembiayaan baginda sendiri selain meringankan beban keluarga miskin itu.
Bayi tersebut dilahirkan pada 5 Jun lalu dengan bercantum di bahagian dada. Setakat ini, pusat perubatan terbesar itu telah berjaya memisahkan 27 kembar siam dari 16 buah negara termasuk pasangan Malaysia, Filipina, Poland, Cameroon dan Mesir.
Akhbar Arab News melaporkan baru-baru ini, Raja Abdullah turut menanggung pembedahan selama enam jam terhadap kembar siam dari sebuah keluarga miskin Jordan yang berusia tiga bulan, Mohammed dan Amjad. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Ragam pemandu teksi wanita


15/7


TENGAH hari itu, seusai menu kegemaran keluarganya, masak lemak cili api daging panggang dihidang di atas meja, Kamisah Mohd. Din, 50, cepat-cepat mengangkat kain jemuran yang disidainya pagi tadi.
Tanpa membuang masa, kain baju dilipat dan disusun di rak-rak baju milik suami dan anak-anaknya. Sambil menunggu masuknya waktu solat Zuhur, Kamisah sekali lagi menjengah ke dapur, melihat andai ada tugasnya yang belum selesai.
“Saya biasanya keluar membawa teksi selepas waktu Zuhur dan balik sebelum malam. Bukan apa, saya lebih suka melakukan sendiri kerja-kerja rumah lebih-lebih lagi memasak,” ujar pemandu teksi sepenuh masa ini.
Pengalaman Kamisah bukan sedikit di atas jalan raya. Sepanjang 23 tahun dia membawa teksi, banyak momen pahit dan manis yang pernah diharunginya.
Dengan usia yang hampir menginjak separuh abad, wanita kelahiran Negeri Sembilan ini tidak berdepan sebarang masalah untuk memandu di tengah kesibukan bandar Seremban biarpun sesetengah penumpang meragui kecekapannya.

MUSALMAH merupakan antara tiga pemandu teksi wanita yang beroperasi di sekitar Putrajaya dan Sepang.

Tidak yakin
Ia nampak mudah, namun untuk memasuki kerjaya yang hampir 99 peratus dimonopoli oleh golongan lelaki, Kamisah dikenali sebagai antara wanita yang berani membuktikan golongan wanita bergelar ibu juga mampu menggalas tugas sebagai pemandu teksi dan kereta sewa.
“Saya tidak melihat kerjaya ini sesuai untuk kaum lelaki sahaja, sebaliknya wantita juga boleh menjadi pemandu teksi, malah saya percaya mereka lebih berhemah di atas di jalan raya.
“Tidak dinafikan ramai yang tidak yakin dengan kemampuan saya memandu teksi, lebih-lebih lagi penumpang muda.
“Tetapi selepas melihat kecekapan saya memandu, ramai penumpang selesa dengan cara pemanduan saya,” jelasnya yang juga isteri kepada seorang pemandu teksi.
Setelah lebih dua dekad membantu suaminya memandu teksi dan kereta sewa, Kamisah bersyukur kerana dikurniakan keberanian untuk terus memandu hingga ke hari ini.
“Sebelum ini saya hanya melakukannya secara sambilan. Setahun selepas saya menerima Surat Tawaran Kelulusan (STK) Lesen Teksi dan Kereta Sewa, barulah saya jadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa.
“Walaupun pendapatan tidak menentu, sekurang-kurangnya hasil daripada membawa teksi ini dapat juga membantu meringankan beban suami membesarkan lapan orang anak kami,” tuturnya yang senang tersenyum sendiri apabila melihat ketabahan dirinya yang mampu melakukan apa jua kerja halal demi meneruskan kelangsungan hidup keluarganya.
Bagi rakan seperjuangan Kamisah, Chiang Quee Lam, 45, kerjaya sebagai pemandu kereta sewa di sekitar Rembau, Negeri Sembilan banyak memberi pengalaman baru dalam hidupnya walaupun pada awal pembabitannya dalam bidang ini dia sukar menepis perasaan malu.

KEMUNCULAN pemandu teksi wanita memberi pilihan kepada penumpang daripada kaum Hawa untuk lebih selesa menaiki teksi.

Malu
“Dulu saya malu kerana rata-rata pemandu kereta sewa adalah lelaki, namun selepas 23 tahun memandu, sekarang saya cukup selesa.
“Ia pekerjaan yang sangat menggembirakan kerana setiap hari saya boleh melihat pelbagai ragam penumpang,” katanya.
Bersetuju dengan pendapat yang mengatakan pemandu teksi dan kereta sewa adalah duta kecil negara, Quee Lam mengakui dia sentiasa mahukan penumpang selesa menaiki kereta sewa yang dipandunya.
“Orang kata kalau kita ramah, rezeki kita murah. Hati saya cukup senang jika dapat melayan pelanggan dengan baik dan boleh menghantar mereka ke destinasi yang dituju dengan selamat.
“Jika dulu saya anggap kerja ini semata-mata untuk cari wang, tetapi setelah sekian lama, saya tidak lagi berfikiran begitu.
“Saya menganggap kerja ini sebagai khidmat dan sumbangan saya kepada orang ramai. Saya gembira apabila pemanduan saya dapat membantu orang lain,” ujarnya yang turut mengakui memilih pelanggan demi keselamatannya.
Taktik melihat gerak tubuh dan ekspresi muka pelanggan sedikit sebanyak dapat membantu pemandu teksi wanita daripada menjadi mangsa jenayah samun, cabul, rogol dan sebagainya.
“Saya sentiasa berwaspada dengan pelanggan terutama lelaki. Bukan mahu bersangka buruk, tetapi lebih baik jika kita berhati-hati sebelum terkena.
“Sebagai pemandu yang memberi perkhidmatan, kadangkala keramahan kita disalahertikan dan ada pelanggan yang cuba mengambil kesempatan,” kata Musalmah Mustafa, 36.
Hampir tiga tahun membawa teksi di sekitar Putrajaya dan Sepang, dia pernah hampir diraba oleh seorang penumpang lelaki.
“Seorang penumpang warga asing pernah menaiki teksi saya dan ketika itu dia duduk di bahagian penumpang hadapan.

QUEE LAM kini cukup selesa memandu teksi miliknya di sekitar pekan Rembau.

Kena pegang
“Tidak mahu dikatakan sombong, saya memberikan nombor telefon bimbit supaya mudah jika dia mahu memanggil teksi saya. Kebiasaannya memang saya memberi nombor telefon jika ada penumpang yang minta.
“Sebelum tiba di destinasi, dia mula mengubah cara duduk untuk kelihatan lebih rapat dan memegang tangan saya. Saya tepis dan memberi amaran kepadanya.
“Selepas itu, saya kerap menerima panggilan daripada lelaki tersebut meminta untuk dihantar ke mana-mana. Saya enggan.
“Jika dia telefon ke syarikat saya pun, dia mahu saya sahaja yang mengambilnya. Saya tidak layan, takut kejadian yang sama berulang,” katanya.
Selain Musalmah, ramai lagi pemandu teksi wanita terdedah kepada situasi mencemaskan seperti itu.
Malah, apa yang lebih mengecewakan, ada segelintir penumpang yang sanggup melakukan lebih daripada itu seperti mencabul dan samun.
kredit : kosmo.com.my

Empat beranak di rumah usang




ABDUL Wahab Ahmad berbincang bersama Mohd. Guntur Tobeng di hadapan rumahnya di Kampung Tok Sabil, Mukim Tajar, Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 26 Jun – Kerana kesempitan hidup sebuah keluarga di Kampung Tok Sabil, Mukim Tajar di sini terpaksa tinggal di sebuah rumah pusaka usang yang hanya menunggu masa untuk roboh.
Abdul Wahab Ahmad, 46, yang mengambil upah membuat sawah berkata, dia tidak mampu untuk meneruskan kerja-kerja membuat rumah baru yang telah tergendala empat tahun lalu di kawasan sama kerana kekurangan wang.
“Sejak setahun lalu, setiap malam, saya akan tinggal di sebuah lagi rumah yang terletak di belakang rumah pusaka ini kerana bimbang lantai akan roboh.
“Saya tidak mampu untuk bina rumah baru kerana tidak cukup duit dan upah membuat sawah hanya cukup untuk membeli barangan keperluan harian kami sekeluarga sahaja,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, turut tinggal di rumah itu ialah isterinya, Zainab Ahmad, 46, serta dua anaknya, Mohd. Nasir, 22, dan Nur Fazilah, 16, dan dia bimbang mengenai keselamatan mereka apabila tinggal di rumah pusaka yang usang itu.
“Pendapatan saya tidak menentu kira-kira RM400 sebulan dan saya hanya mengharapkan anak sulung saya, Mohd. Nasir untuk membantu keluarga.
“Anak sulung telah bekerja di sebuah kilang di Pokok Sena dan kami mengharapkan dia untuk membeli barang-barang makanan,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO bahagian Alor Setar, Ir. Mohd. Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata, pihaknya akan membawa kes tersebut ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu keluarga tersebut untuk mendapatkan bantuan.
“Kita juga akan cuba dapatkan bantuan untuk mendirikan rumah melalui Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) bagi membolehkan mereka sekeluarga hidup lebih selesa,” katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Rais kunjungi S. Shamsudin


DR. Rais Yatim berbual mesra dengan S. Shamsudin semasa berkunjung ke rumahnya di Singapura, semalam. Turut hadir isteri Shamsudin, Puteh Esmoon (kiri), Mustafa Maarof dan Aziz Satar.


SINGAPURA 26 Jun - Pelakon komedi terkenal filem Melayu, S. Shamsudin tidak menduga seorang menteri Malaysia sanggup datang ke Singapura semata-mata untuk menziarahi beliau.
Hari ini, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bertemu Shamsudin, 81, di rumah anak bongsunya di flat Bukit Batok di sini.
Shamsudin adalah seniman komedi sepanjang zaman yang seangkatan dengan seniman agung Allahyarham P Ramlee, Allahyarham A. R Tompel dan Datuk Aziz Satar, dan telah berlakon dalam lebih 30 filem.
Anak kelahiran Singapura ini mula berlakon pada tahun 1948 dalam filem-filem Melayu terbitan Studio Jalan Ampas di sini dan namanya mula memuncak setelah berlakon bersama Ramlee dan Aziz dalam filem-filem siri Bujang Lapok.
Ketibaan Rais, yang diiringi Aziz, pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim di sambut Shamsudin, isterinya, Puteh Esmoon, serta beberapa anak dan cucunya.
Shamsudin yang kelihatan kurus dan kurang sihat setelah demam sejak dua hari lalu, menggagahi dirinya untuk bangun bertemu dengan Rais dalam suasana yang penuh mesra dan terharu.
Beliau kelihatan kurang bercakap dan hanya menjawab sepatah dua apabila ditanya Rais mengenai perkembangan dirinya dan ketika mengenang kembali lakonan lampau Shamsudin.
Rais memberitahu Puteh, beliau mendapat tahu Shamsudin agak uzur dan sebab itu beliau datang untuk menengok suaminya hari ini dan berharap Puteh sentiasa berkomunikasi dengan suaminya supaya beliau ceria semula.
Rais kemudian menyampaikan kepada Shamsudin sumbangan RM10,000 daripada dana bantuan untuk seniman yang dikendalikan oleh kementerian dan Finas setelah meluangkan masa hampir sejam bersama Shamsudin.
Rais berharap Shamsudin akan cepat sembuh dan kembali sihat serta mengajak beliau dan isterinya ke Kuala Lumpur untuk bertemu rakan-rakan lama beliau serta menyertai acara-acara yang dianjurkan kementerian.
Rais juga sempat bergambar bersama Shamsudin, isteri dan anak cucunya sebelum beredar.
Puteh kemudian memberitahu pemberita Malaysia yang beliau pada mulanya tidak percaya Rais, seorang menteri Malaysia, akan bertandang ke flatnya untuk bertemu Shamsudin.
Katanya, Aziz yang menelefon rumahnya dua hari lepas memberitahu mengenai keinginan Rais untuk datang bertemu suaminya dan beliau mula percaya setelah Aziz meminta alamat penuh flatnya semalam.
"Kami sungguh terharu dan cukup gembira serta berterima kasih dengan kedatangan beliau," kata Puteh dengan tergenang air matanya, sambil menyambung,"tidak pernah seorang menteri datang ke rumah kami sebelum ini." Shamsudin pula sempat meminta media Malaysia menyampaikan rasa terima kasihnya kepada menteri kerana sudi menziarahnya serta atas sumbangan yang diberikan Rais.
Shamsudin yang berkahwin dengan Puteh pada 1954 mempunyai tujuh anak dan 14 cucu. - Bernama

Aida dah tukar nama


AIDA kelihatan tenang ketika hadir ke mahkamah dalam busana muslimah yang cukup menawan.


DULU Aida Rahim lepas tu Aida Radzwill, sekarang dah jadi Aida Khalida. Terimakasih kepada Aida sebab dia dah guna nama baru sekarang, sedap nama tu. Kata orang kalau guna nama sendiri yang emak bapa kita bagi, lebih berkat. Mungkin lepas dah tukar kepada nama diri sendiri, kehidupan Aida lebih tenang dan bahagia, Joyah harap macam itulah.
Sebut pasal Aida atau nama sebenarnya Khalidah Adibah, Joyah nak cerita apa yang berlaku di mahkamah Selasa lalu. Suaminya, Joe Radzwill mahu pelakon itu kembali semula kepadanya atau jika tidak Aida diisytiharkan sebagai isteri nusyuz.
Joe juga meminta supaya tuntutan cerai fasakh yang dibuat oleh Aida, ditolak oleh mahkamah. Melalui peguamnya, Joe membuat tuntutan supaya pelakon berusia 53 tahun itu kembali taat kepadanya memandangkan mereka masih suami isteri yang sah dan kes berkenaan akan dibicarakan lagi pada hujung Julai depan.
Sesiapa yang tahu tentang kes dia orang ni, tentunya masih ingat yang baru-baru ni, Aida ada membuat permohonan untuk bercerai dengan suaminya itu atas alasan Joe tidak bertanggungjawab dan seringkali menyiksa kehidupannya. Banyak kali Joe membuatkan dia merana dan berada dalam keadaan sedih dan tertekan emosi.
Apa yang Joyah nak ulas ialah ketabahan Aida melalui detik-detik getir seperti sekarang dengan wajah selamba dan senyuman yang tidak melekang di bibir. Walaupun sukar untuk pihak media mendapatkan kenyataannya tentang isu tuntutan cerai itu, Aida tak adalah sampai lari lintang pukang bila jumpa orang media. Dia memang kuat dan tabahlah!
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

ISLAM vs WAHABI: 40 Penyamun Tarbus Masuk UMNO! (mereka RUWAIBIDAH WAHABIAH)

ISLAM vs WAHABI: 40 Penyamun Tarbus Masuk UMNO! (mereka RUWAIBIDAH WAHABIAH)

Perkahwinan kali ketiga



Desas-desus mengenai status perkahwinan penyanyi Aishah kini terjawab apabila penyanyi itu tampil membuat pengakuan sudah menamatkan zaman solonya bersama seorang duda Faizal Sazali Zulkifli pada 30 April lalu. 

Walaupun pada mulanya enggan bercerita mengenai perkahwinannya itu, namun penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu ini akur apabila gambarnya bersama suami tersebar di Internet. Gambar yang diletakkan di laman facebook Aishah menjadi tanda tanya ramai pihak terutama peminatnya ingin mengetahui status sebenar penyanyi itu. 

“Benar saya sudah pun kahwin dengan seorang duda yang ada enam orang anak. Tapi perkahwinan ini hanya diketahui oleh keluarga dan orang terdekat sahaja. Kami berkahwin di Narathiwat, Thailand. Keputusan bernikah di Thailand adalah kerana pada waktu itu suami saya masih belum mendapat surat perceraian dengan isterinya secara rasmi. 

“Bukan mahu terburu-buru tetapi perkara baik seperti ini seharusnya tidak dilengahkan dan kami ingin mengelakkan diri daripada maksiat dan fitnah orang,” katanya yang akan mendaftarkan perkahwinan mereka di Pejabat Agama Kuala Lumpur. 

Bercerita mengenai saat perkenalan dengan suaminya itu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 45, tidak menyangka lelaki yang dikenalinya melalui laman sembang di Internet akan menjadi suaminya. 

“Kami kenal tidak lama, lebih kurang seminggu sahaja. Kami selalu berchatting. Tak sangka perkenalan singkat ini akan membawa kami ke gerbang perkahwinan. Sudah sepuluh tahun hati saya tertutup untuk berkahwin lagi, tetapi kali ini berbeza sedikit. 

“Saya rasakan bahawa inilah jodoh dan hati mula terbuka untuk menerima seseorang dalam hidup saya. Kami serasi dan kerana itu kami ambil keputusan untuk berkahwin,” katanya yang bersyukur dikurniakan suami yang memahami dirinya. 

Menurutnya, anak-anaknya turut gembira menerima kehadiran ayah baru dalam hidup mereka yang boleh menjaga dan membimbing ke jalan yang diredhai. 

“Saya bersyukur kerana anak-anak saya memahami hasrat ini dan tumpang gembira di samping mempunyai ayah baru. Sememangnya saya memang mencari orang yang boleh membimbing kami sekeluarga ke jalan yang diredhai di samping memberi kebahagiaan yang dicari selama ini,” katanya yang sedang menyiapkan album yang memuatkan koleksi zikir dan doa serta melahirkan single berjudul Anak.

Kaji semula Bina jambatan ganti Tambak Johor

JOHOR BAHARU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu kerajaan mempertimbangkan rancangan asal pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.
Sultan Ibrahim bertitah Tambak Johor amat penting kepada rakyat malah institusi kesultanan Johor sejak pemerintahan terdahulu sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor.
"Jika disingkap sejak dahulu, tidak dinafikan bahawa Tambak Johor adalah amat penting kepada rakyat. Berdasarkan kepada kepentingan Tambak Johor kepada rakyat, maka keluarga saya sejak zaman moyang Almarhum Sultan Ibrahim sehingga ayahanda saya, Almarhum Sultan Iskandar sentiasa memberi sokongan kepada usaha menaik taraf Tambak Johor," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika merasmikan bangunan JB Sentral dan melancarkan Kembara Mahkota Johor 2010, di Dewan Menunggu Penumpang, JB Sentral, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Sultan Ibrahim bertitah baginda yakin seluruh rakyat terutama rakyat Johor berasa gembira dengan kejayaan pembinaan bangunan JB Sentral, namun, terdapat kekurangan kerana komponen utama bangunan itu iaitu jambatan, masih belum dilaksanakan.

Baginda bertitah perasmian bangunan JB Sentral hari ini adalah bersejarah selepas almarhum ayahanda baginda merasmikan Bangunan Sultan Iskandar yang menempatkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, pada 1 Disember 2008.

Menurut Sultan Ibrahim, baginda sendiri turut terbabit dalam memberi pandangan sehingga projek pembangunan Bangunan Sultan Iskandar, JB Sentral dan pembinaan jambatan diluluskan pada 2003.

"Apabila kerajaan mengatakan wujudnya masalah untuk mencari tapak yang sesuai dalam kawasan Johor Baharu bagi memindahkan penghuni Flet Lumba Kuda dan Bukit Chagar, maka almarhum ayahanda saya memberi keizinan agar tanah milik kesultanan Johor di Kampung Bakar Batu seluas 27 ekar digunakan secara menyeluruh bagi tujuan penduduk yang terbabit dalam projek berkenaan.

"Itulah tanda sokongan pihak istana supaya projek ini dapat diteruskan demi kepentingan rakyat," titah baginda.

Sambil melahirkan penghargaan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri atas kejayaan membangunkan Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral, Sultan Ibrahim bertitah baginda berasa bangga kerana bangunan itu dibina oleh kontraktor Bumiputera dari negeri ini dan siap mengikut jadual yang ditetapkan.
Baginda berharap lebih banyak projek kerajaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera di negeri ini kerana kemampuan mereka terbukti dalam membangunkan projek mega. -Bernama