Friday, June 6, 2014

Beijing sembunyi kebenaran


Agensi penapisan China semalam menafikan cubaan mengakses carian mengenai Tiananmen di Internet ketika pelbagai pihak memperingati tragedi berdarah di dataran itu 25 tahun lalu.

Berdepan tekanan daripada pihak berkuasa, rangkaian sosial China segera memadamkan sebarang carian merujuk kepada operasi ketenteraan dalam insiden itu, termasuk perkataan ‘Tiananmen’, ‘gerakan mahasiswa’, ‘6/4’ dan ‘ulang tahun ke-25.’ Ekoran kehadiran lebih 100,000 orang di majlis mengenang tragedi itu di Hong Kong malam kelmarin, senarai carian yang disekat turut diperluas, membabitkan ‘Victoria Park’ yang menjadi lokasi acara itu serta ‘Teng Biao’ (nama peguam dan aktivis yang menyampaikan kecaman kepada China di Dataran Tiananmen.

Pelayar Internet yang cuba mencari sebarang maklumat mengenai isu itu akan disambut dengan mesej menjelaskan mengapa ia tidak dibenarkan diakses - ‘Selaras dengan undang-undang serta polisi yang berkenaan.’ Sementara itu, penganjur berkata, 180,000 orang memenuhi Victoria Park di Hong Kong walaupun polis mendakwa hanya 99,500 orang hadir.



Dalam kejadian 25 tahun lalu, penunjuk perasaan prodemokrasi diserang pihak berkuasa China menyebabkan banyak kematian.

Sesetengah pihak mendakwa lebih 1,000 orang maut akibat keganasan tentera China dan isu itu kekal sensitif diperkatakan di negara komunis berkenaan.

Beijing turut mengambil langkah awal dengan menahan puluhan individu, termasuk aktivis hak asasi manusia, peguam dan wartawan sejak bulan lalu.


Seorang daripada mereka ialah peguam, Pu Zhiqiang, yang didakwa menyertai seminar membincangkan insiden Dataran Tiananmen.


Seorang penulis, Hu Shigen, dan tokoh akademik Xu Youyu dibebaskan tengah hari semalam.

Menjawab teguran AS supaya bertanggungjawab menyiasat kematian, penahanan atau kehilangan aktivis prodemokrasi, Beijing berkata, mereka tidak mempunyai alasan untuk melakukannya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/06

NACC siasat aset Yingluck Shinawatra


YINGLUCK
BANGKOK 5 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Thailand (NACC), hari ini memulakan siasatan terhadap aset bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berhubung skim subsidi beras yang mencetuskan kemarahan di negara ini.
Menurut badan tersebut, selain Yingluck, dua orang bekas menteri perdagangan dan timbalan mereka turut disiasat.
"NACC telah bersetuju mewujudkan satu jawatankuasa kecil untuk menyiasat aset pemimpin-pemimpin terlibat dalam skim subsidi beras di bawah pemerintahan Yingluck," kata badan itu dalam satu kenyataan.
Pada 9 Mei lalu, bekas Perdana Menteri itu didapati bersalah kerana cuai menguruskan skim tersebut yang didakwa menyababkan rasuah berleluasa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140606/lu_08/NACC-siasat-aset-Yingluck-Shinawatra#ixzz33oOCAd99
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Junta Thailand singkirkan pemimpin proThaksin


Bekas Menteri Pendidikan, Chaturon Chaisaeng merupakan antara pemimpin proThaksin yang ditahan pada akhir Mei lalu selepas menentang rampasan kuasa oleh tentera Thailand. - AGENSI
BANGKOK 5 Jun - Kerajaan junta Thailand melakukan rombakan sistematik bagi meminggirkan pegawai-pegawai kerajaan yang dilihat menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, tindakan dilihat sebagai usaha untuk mematahkan sokongan dan memastikan beliau tidak kembali berkuasa di negara ini.
Menurut Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO), gabenor-gabenor di 13 wilayah terutama di utara dan timur laut negara ini yang proThaksin, telah dipindahkan.
Kerajaan junta turut menstrukturkan semula pasukan polis yang dilihat sebagai penyokong Thaksin dan adiknya, Yingluck Shinawatra.
Berdasarkan dokumen NCPO yang dilihat oleh Reuters, sekurang-kurangnya 17 pegawai kanan polis telah dipindahkan sejak minggu lalu.
Thaksin yang merupakan bekas pegawai polis, digulingkan pada 2006, menyaksikan Perlembagaan digubal di bawah kerajaan disokong tentera dalam usaha mengehadkan pengaruh politiknya, namun Yingluck pula menjadi Perdana Menteri selepas menang dalam pilihan raya umum pada 2011.
Kerajaan junta kali ini dilihat mahu memastikan Thaksin atau ahli keluarganya tidak kembali menguasai arena politik negara ini.
Tentera telah menahan sejumlah pemimpin dari parti politik yang bertelagah, namun dilihat lebih ramai penyokong Thaksin ditahan dalam tindakan tersebut.
Kerajaan junta juga mendapatkan pinjaman sebanyak 1.5 bilion baht (RM150,000) untuk membuat pembayaran kepada petani dalam usaha mendekati penyokong Thaksin di kawasan pedalaman. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140606/lu_04/Junta-Thailand-singkirkan-pemimpin-proThaksin#ixzz33oNqViwu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penutupan pusat seks di Surabaya dibantah


SEBAHAGIAN pekerja seks yang menyertai tunjuk perasaan di kawasan pelacuran Dolly di Surabaya semalam.- AFP


SURABAYA - Lebih 1,000 orang pekerja seks di sini mengadakan tunjuk perasaan semalam bagi membantah rancangan pemerintah untuk menutup sebuah kawasan pelacuran yang merupakan antara yang terbesar di Asia Tenggara.
Kawasan pelacuran itu yang dikenali sebagai daerah Dolly tidak pernah diganggu oleh pihak berkuasa sejak beberapa dekad lalu.
Bandar raya ini merupakan kota metropolitan kedua terbesar di Indonesia.
Namun, Datuk Bandar Surabaya, Tri Rismaharini berikrar akan menutup lokasi tersebut menjelang 18 Jun ini.
Nama Dolly berasal daripada seorang ibu ayam warga Belanda yang menguruskan sebuah rumah pelacuran di lokasi itu semasa pemerintahan penjajah di Indonesia.
Bagaimanapun, ramai wanita yang bekerja di daerah Dolly memberitahu, mereka akan hilang mata pencarian jika lokasi tersebut ditutup.
Seorang wartawan agensi berita AFP yang berada di lokasi kejadian semalam berkata, kira-kira 1,200 pekerja seks berarak di sepanjang daerah tersebut.
Mereka kemudian menulis surat bantahan kepada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dan Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia.
"Wanita-wanita itu tiada pilihan kecuali bekerja sebagai pelacur untuk menyara diri sendiri dan keluarga masing-masing," kata seorang aktivis tempatan, Anisa.
"Mereka tidak dapat mencari pekerjaan lain kerana kurang kemahiran dan berpelajaran rendah. Mereka tiada pilihan tetapi bekerja di sini," tambahnya.
Tri sebelum ini berjanji memberikan bantuan kewangan kepada pekerja-pekerja seks tersebut apabila pusat pelacuran tersebut ditutup.
Beliau juga berkata, pihak berkuasa tempatan juga berjanji akan mengajar kemahiran baharu seperti menghasilkan kraftangan kepada mereka. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz33nwnktih 
Hakcipta terpelihara