Thursday, May 19, 2011

Hadi kekal Presiden PAS

Menang tanpa bertanding




KUALA LUMPUR: Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, secara rasmi mengekalkan jawatannya bagi penggal kelima pada pemilihan parti itu yang akan diadakan awal bulan depan.Datuk Seri Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, disahkan menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan tidak layak bertanding kerana gagal mendapat pencalonan yang cukup.Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, setiap calon memerlukan dua pencalonan daripada PAS kawasan bagi melayakkan mereka bertanding.Sebelum ini, PAS Kawasan Bukit Bintang menerusi mesyuarat agungnya membuat kejutan apabila mencalonkan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, bagi merebut jawatan nombor satu parti itu.Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden, seramai enam calon layak bertanding bagi jawatan berkenaan termasuk penyandang jawatan berkenaan, Encik Nasharudin Mat Isa, lapor mStar Online.Lima yang lain ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Datuk Husam; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Encik Mohamad Sabu; serta dua Naib Presiden iaitu Encik Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.Sebelum ini, Encik Nasharudin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu sementara Encik Mohamad Sabu turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan berkenaan.Selain itu, bagi jawatan Naib Presiden, seramai 14 calon yang layak bertanding termasuk Datuk Seri Azizan, Datuk Husam, Encik Mohamad Sabu, Nasharudin, Salahudin dan Tuan Ibrahim.Tambah Datuk Abdul Halim, seramai 82 calon yang layak bertanding bagi merebut 18 kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.Terdahulu pada sidang media yang sama, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata pihaknya menerima sebanyak 152 jumlah borang pencalonan daripada keseluruhan 180 kawasan.Bagaimanapun, daripada jumlah itu hanya 146 jumlah pencalonan yang diterima selepas menolak enam pencalonan kerana tidak lengkap.Muktamar Tahunan ke-57 PAS akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, Gombak, di sini, dari 3 hingga 5 Jun ini.Seramai 1,100 perwakilan dijangka menghadiri muktamar tahun ini dan sekali gus membuat pemilihan parti, lapor Bernama.Cyberita

PKR Mungkin Diharamkan?


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilapor berhadapan dengan risiko dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Laporan TV Selangor yang memetik sumber memberitahu, parti itu difahamkan telah menerima sepucuk surat berhubung pembatalan tersebut daripada ROS awal bulan ini.
“Saya dimaklumkan ROS sudah keluarkan surat untuk membatalkan pendaftaran. Surat itu diterima baru-baru ini, saya tak pasti tarikhnya,” kata sumber itu.
Dikatakan isi kandungan surat itu menerangkan bahawa PKR dilaporkan melanggar beberapa peruntukan perlembagaan parti sejak ia ditubuhkan pada April 1999.
“Namun PKR mempunyai alasan kukuh bahawa parti itu tidak pernah melanggar sebarang peruntukan perlembagaannya,” katanya.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dijadual mengadakan sidang media mengenai isu tersebut tengah hari ini.
PKR pada awal penubuhannya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan).
Kemudiannya bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada tahun 2003 dan menukar namanya kepada PKR.
mStar

Jana pendapatan RM8 bilion setahun


Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB (iwan@thestar.com.my)
Noorul Hassan Saul Hameed
SEBUT saja restoran India Muslim atau lebih dikenali sebagai restoran mamak, pasti ada yang melemparkan 1,001 isu dan pandangan negatif mengenai industri itu.
Daripada isu penggunaan kas-kas dalam masakan, pengaruh budaya lepak, lambakan pekerja asing sehingga kepada harga makanan yang ‘mencekik darah’.
Bukan mahu menidakkan perkara itu tetapi jumlahnya amat kecil. Kasihan, kerana ‘nila setitik rosak susu sebelanga’.
Dari sisi lain, pengusaha restoran mamak turut diagung-agungkan sebagai pelopor kedai makan yang beroperasi 24 dalam menawarkan pelbagai makanan mampu beli.
Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed berkata, perniagaan restoran mamak mampu memperoleh pendapatan lumayan berdasarkan usaha gigih seseorang pengusaha itu.
“Industri restoran mamak di negara ini menjana ekonomi kira-kira RM8 bilion setahun. Lihatlah begitu besar sumbangannya kepada negara.
“Ini berdasarkan kajian terhadap lebih 7,500 restoran mamak di negara ini. Konsep makanan sepanjang masa pada harga berpatutan menjadi kunci utama kepada kejayaan restoran mamak,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Noorul Hassan bagaimanapun berkata, pada masa ini hanya kira-kira 3,500 restoran mamak merupakan ahli Presma manakala selebihnya masih belum berdaftar.
Mengenai kejayaan, katanya, pengusaha restoran mamak lebih cekap memahami selera dan citarasa pengguna serta mengikuti trend dan pasaran semasa.
Lauk di restoran mamak dimakan sepanjang masa.
“Daripada nasi kandar, makanan berlauk dan bergoreng, makanan ringan, hidangan Asia serta Barat sehingga ke pastri dan kek, semuanya ada di sini.
“Pelanggan pula terdiri daripada mereka yang berpendapatan paling rendah sehingga orang kenamaan melibatkan masyarakat berbilang bangsa,” katanya.
Persaingan kopitiam
Makanan nasi kandar sememangnya begitu sinonim dengan restoran mamak iaitu satu cara hidangan makanan yang berasal dari Pulau Pinang.
Berdasarkan rekod Presma, terdapat lebih 500 ahli Presma di Pulau Mutiara itu.
Suatu ketika dahulu, orang India Muslim hanya berniaga nasi kandar secara kecil-kecilan di tepi-tepi jalan dan kemudiannya menawarkan minuman.
Ia kemudiannya dikembangkan daripada gerai lebih besar sehingga ke konsep restoran serta mempelbagaikan hidangan dengan operasi 24 jam.
Noorul Hassan berkata, perbezaan ketara antara restoran mamak dahulu dan sekarang apabila pengusahanya kini semakin berani membuat pelaburan dalam perniagaan.
“Mereka sanggup membayar sewa yang tinggi kerana mahu meletakkan restoran di lokasi paling strategik selain dimiliki sendiri,” katanya.
Sudah menjadi lumrah perniagaan makanan, persaingan memberi tamparan hebat buat restoran mamak terutama dengan kebanjiran restoran berkonsepkan kopitiam.
Teh tarik sudah sinonim dengan restoran mamak.
Bagaimanapun katanya, ia dilihat sebagai satu persaingan sihat selain mendorong pengusaha untuk menambah baik perkhidmatan dan operasi perniagaan.
Jika tidak, restoran mamak hanya mengekalkan perniagaan dengan cara lama, tanpa mengikuti perkembangan dan akhirnya terus ketinggalan.
“Persaingan bukan dipengaruhi oleh kewujudan kopitiam semata-mata kerana selagi terdapat restoran di sebelah restoran mamak pastinya memberikan kesan.
“Namun ia hanya kesan sementara sekiranya terdapat usaha untuk mengekalkan pelanggan sedia ada dan menarik lebih ramai lagi,” katanya.
Kurang pekerja
Noorul Hassan berkata, restoran mamak juga menghadapi cabaran besar terutama kos operasi yang semakin meningkat dan kesukaran untuk mendapatkan pekerja.
“Kami berusaha untuk menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan namun kenaikan kos terbabit memberi tekanan kepada pengusaha.
“Kenaikan barangan mentah dan kadar sewa premis menyebabkan segelintir pengusaha terpaksa menanggung kerugian,” katanya.
Menurut Noorul Hassan, secara purata terdapat antara 60,000 sehingga 100,000 pekerja yang berkhidmat di restoran mamak.
“Bagaimanapun, pengusaha sukar untuk mendapatkan tenaga kerja di kalangan rakyat tempatan mahupun warga asing dari negara sumber terutama India.
“Segelintirnya lebih berminat untuk bekerja di Asia Barat berikutan gaji yang ditawarkan lebih tinggi tanpa dikenakan sebarang levi ke atas pekerja asing,” katanya.
Beliau menambah, kenaikan kadar levi pekerja asing hanya akan meningkatkan kos operasi sedangkan restoran perlu mengekalkan harga berpatutan kepada pelanggan.
Maka tidak hairanlah pada masa ini terdapat lebih 25,000 kekosongan jawatan di restoran India Muslim yang ditawarkan kepada rakyat tempatan
Namun Noorul Hassan menjelaskan, sambutannya amat mengecewakan kerana hanya menarik minat seramai 540 rakyat tempatan untuk bekerja di restoran mamak.
“Ini tidak termasuk dengan kekosongan jawatan apabila pembukaan banyak restoran mamak baru selain pekerja asing pulang ke negara asal.
“Justeru, pengusaha kini mula menggunakan mesin automatik bagi sesetengah tugasan dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja,” katanya.
Ikut perkembangan
Pada masa ini, gaji minimum yang ditawarkan di restoran mamak adalah RM800 sehingga gaji maksimum RM2,500 mengikut jenis pekerjaan.
Beliau berkata, kemungkinan gaji minimum boleh dinaikkan kepada RM1,000 dan maksimum sehingga RM3,000 berdasarkan keseimbangan kos dan keperluan.
“Harus diingatkan bahawa gaji untuk pekerjaan itu tidak termasuk makan dan minum dan lain-lain maka jumlah pendapatan sebenarnya lebih tinggi,” katanya.
Mengenai restoran mamak dalam mendepani cabaran akan datang, Noorul Hassan berkata, selepas ini akan berlaku perubahan dari segi persembahan dalam hidangan.
Menurutnya, pengusaha juga akan tertumpu kepada peranti komunikasi canggih selain mesin automatik bagi memastikan operasi lebih cekap.
“Setiap pengusaha harus mengikuti perkembangan semasa bagi mengukuhkan perniagaan dalam industri makanan yang kian mencabar.
“Mereka juga dinasihatkan supaya mengekalkan daya tahan dan kesungguhan dalam memperkukuhkan industri restoran mamak,” katanya.
mStar

'Jangan salah polis jika disaman'





Salleh Mat Rasid (kanan) dan Abdul Aziz Yusof melihat seorang anggota polis trafik menggunakan kamera berkelajuan tinggi semasa operasi perangkap laju di Rawang, semalam. - uTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN


KUALA LUMPUR 18 Mei - Pesalah trafik tidak wajar menyalahkan pihak polis sekiranya disaman akibat memandu melebihi had laju selepas ini kerana mereka terlebih dahulu diberi peringatan sebelum dikenakan tindakan.
Peringatan berbentuk papan tanda 'Awas, Perangkap Had Laju' itu diletakkan beberapa kilometer sebelum lokasi polis merakamkan kelajuan kenderaan.
Anggota polis trafik akan berada di lokasi rakaman itu dan akan merakamkan gambar pesalah trafik secara bertentangan dengan arah pemandu.
Operasi perangkap had laju secara terbuka itu berkuat kuasa pada 1 Mei lalu selepas diumumkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar pada April lepas.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, tindakan memberi peringatan itu merupakan usaha polis untuk mendidik pemandu daripada terus mengambil tindakan menyaman mereka yang melanggar peraturan.
"Bagi membentuk pemandu berhemah, adalah lebih baik kita mencegah mereka melakukan kesalahan dengan memberi peringatan sebelum kita merakamkan kenderaan yang memandu melebihi had laju.
"Sebab itu, papan tanda diletakkan beberapa kilometer sebelum lokasi kita mengadakan perangkap had laju. Bagi pemandu yang tidak melakukan kesalahan, mereka tidak perlu takut dengan kehadiran polis," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi perangkap had laju di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Rawang, dekat sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Trafik Pasukan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.
Dalam operasi kira-kira sejam hari ini, pengguna kenderaan yang memandu melebihi had laju yang ditetapkan tidak disaman serta-merta, sebaliknya mereka akan diberi notis berserta gambar kenderaan yang dipandu.
Salleh memberitahu, dalam operasi perangkap had laju secara terbuka selepas ini, pemandu yang melakukan kesalahan akan disaman serta-merta atau dihantar notis pemberitahuan ke alamat masing-masing.
Jelasnya, dalam notis tersebut akan disertakan gambar kenderaan selain kelajuan yang direkodkan ketika gambar itu dirakam.

Kes nusyuz isteri pertama ditangguh




Kamarullail Sulaiman bersama isteri kedua di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/DJOHAN SHAHRIN SHAH


KUALA LUMPUR 18 Mei - Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini menangguhkan kes nusyuz isteri pertama seorang ahli perniagaan, Lailan Nahar Ishak (gambar) berikutan wanita itu mendakwa suaminya Kamarullail Sulaiman pernah melafazkan cerai terhadapnya sebanyak dua kali, tahun lalu.
Hakim Syarie, Surayah Ramlee memutuskan demikian selepas Lailan selaku defendan yang diwakili peguam syarie Irsamuddin Ikhsan memaklumkan bahawa Kamarullail pernah berbuat demikian di kediaman mereka di Bukit Gantang.
Sehubungan itu Irsamuddin memohon mahkamah mengantung tuntutan nusyuz tersebut sehingga kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Taiping, Perak pada 13 Disember tahun lalu selesai bagi mengelakkan sebarang kekeliruan kelak.
Bagaimanapun, permohonan itu dibantah keras oleh peguam syarie Muhammad Nur Hafiz Roslan yang mewakili plaintif, Kamarullail, dengan mendakwa pihak defendan sengaja menimbulkan isu lain bagi melambatkan prosiding.
Ujar Muhammad Nur Hafiz, sepanjang prosiding tuntutan nusyuz yang dikemukakan sejak Januari lalu, beliau dan anak guamnya tidak pernah menerima dokumen pengesahan lafaz cerai itu daripada Lailan.
Pertikaian antara peguam kedua belah pihak dapat dihentikan sementara setelah Surayah menangguhkan kes itu sehingga esok bagi memberi peluang ia menyemak status kes pengesahan lafaz cerai sebelum membuat keputusan sama ada kes nusyuz itu diteruskan ataupun tidak.
Lailan, 45, hadir ke prosiding hari ini dengan ditemani tiga ahli keluarganya pada pukul 9.30 pagi, manakala suaminya Kamarullail, 48, yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang menyusul sejam kemudian.
Sebelum prosiding bermula, ibu Lailan yang uzur cuba menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Kamarullail, tetapi usahanya gagal kerana ditepis oleh tiga pengawal peribadi yang mengiringi lelaki tersebut.
Warga emas yang bertongkat itu kemudiannya cuba pula berjalan ke arah Kamarullail dan sekali lagi menghulurkan tangan tetapi menantunya melarikan diri.

Dr Mahathir stabil, perlu rehat: Mukhriz


MUKHRIZ keluar dari IJN selepas melawat bapanya, Tun Mahathir yang dirawat di situ, semalam.
MUKHRIZ keluar dari IJN selepas melawat bapanya, Tun Mahathir yang dirawat di situ, semalam.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) pagi semalam kerana batuk kini berada dalam keadaan stabil dan dinasihatkan berehat supaya dapat pulih sepenuhnya.

Anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata doktor menasihatkan bekas Perdana Menteri itu supaya berehat secukupnya walaupun tidak mengalami sebarang masalah jantung yang serius.
"Tidak ada langsung masalah dengan jantung. Cuma batuk, maksudnya paru-paru sikit... biasanya kalau dia batuk dia perlukan rehat secukupnya di IJN," kata Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu ketika ditemui di lobi IJN selepas melawat ayahnya.
Katanya, ayah beliau kini perlu menjalani rawatan fisioterapi seperti biasa, mengambil ubat antibiotik dan rehat yang secukupnya supaya sembuh secepat mungkin.

"Susah nak nasihatkan dia... dulu dia dah masuk gear lima, dah lama ini nak masuk gear rendah susah, tetapi apa pun dia sendiri pun tahu kesihatan dia," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, aktiviti luaran Dr Mahathir juga dikurangkan untuk memberinya peluang berehat memandangkan keadaan kesihatannya sekarang.

"Emak saya kini berada di sisinya untuk menjaga beliau... kita juga tidak menggalakkan lawatan daripada kawan buat masa ini bagi mengelakkan daripada berlaku jangkitan," kata Mukhriz.
Dr Mahathir, 85, dimasukkan ke wad biasa pada jam 6 pagi selepas mengadu demam dan batuk sejak dua hari lalu. – BERNAMA 

Hakim sedih banyak kes dadah babit orang Islam


SHAH ALAM: Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini, semalam melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam. 


Hakim Datuk Abd Rahim Uda, berkata orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
“Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan bahawa yang utama ialah ilmu dan apabila ilmu tiada kita main-mainkan hukum agama.
“Doa kami agar awak ambil (hukuman) ini sebagai lembaran baru dan jalani kehidupan mengikut undang-undang Allah dan bukan mengikut nafsu. Apa pun hukum dunia kita kena jalankan juga dan harap awak benar-benar insaf serta bertaubat nasuha,” katanya. 

Abd Rahim berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini, pada jam 10.45 malam pada 21 Februari 2009. 

Fazizol sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B (1), Akta Dadah Berbahaya 1952, bersama seorang rakannya, pembuat jeriji, Mohd Zuhaili Husen, 30, ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 akta sama, pada prosiding semalam. 

Mohd Zuhaili dibebaskan tanpa dilepaskan daripada pertuduhan asal iaitu mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 
Sementara itu, suasana sayu apabila Fazizol dan Mohd Zuhaili berpelukan selepas kes berkenaan selesai. 

Ibu Mohd Zuhaili menangis manakala ahli keluarga dan rakan mereka kelihatan sedih melihat kedua-dua sahabat itu berpelukan. 

Terdahulu, ketika mitigasi, peguam Fazizol, Azizul Shariman Mat Yusof, memberitahu mahkamah anak guamnya hanya memperoleh pendidikan sehingga Tingkatan Satu. 

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi manakala Mohd Zuhaili diwakili peguam Suzanawati Ismail. 

Rachel Corrie kekurangan makanan, air


KAPAL The Spirit of Rachel Corrie  (atas) terpaksa berlabuh di kawasan menunggu berdekatan Pelabuhaan Al Arish lebih 48 jam selepas diiringi pihak berkuasa Mesir dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.
KAPAL The Spirit of Rachel Corrie (atas) terpaksa berlabuh di kawasan menunggu berdekatan Pelabuhaan Al Arish lebih 48 jam selepas diiringi pihak berkuasa Mesir dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Pasukan evakuasi tingkat usaha keluarkan mangsa terkandas
BEKALAN makanan dan air bersih semakin terhad di atas kapal kargo The Spirit of Rachel Corrie yang kini telah tiga hari terkandas di Pelabuhan Al Arish, sejak Isnin lalu.
Bekalan air bersih bagi kegunaan harian seperti mandi, memasak dan tujuan lain atas kapal kargo itu tinggal empat tan dan dijangka bertahan selama dua hingga tiga hari saja lagi.
Bagaimanapun, semua 12 krew dan penumpang, termasuk tujuh rakyat Malaysia yang berlabuh kira-kira satu batu nautika dari pelabuhan berada dalam keadaan sihat dan selamat walaupun sedikit tertekan.

Wartawan New Straits Times (NST), Iskandar Bendahara ketika dihubungi, berkata mereka kehabisan bekalan makanan segar dan kini bergantung kepada bekalan makanan sejuk beku yang dibawa dari Pelabuhan Piraeus, Greeek.

“Makanan mungkin bertahan dua hingga tiga hari lagi. Sama dengan air, kami mandi tapi jarang-jarang (untuk jimat air),” katanya yang turut dimaklumkan mengenai usaha wakil Kedutaan Malaysia di Mesir yang kini bertungkus-lumus untuk membolehkan kapal kargo itu berlabuh dan menurunkan penumpang serta memunggah keluar barangan.

Pasukan evakuasi Kedutaan Malaysia di Mesir diketuai Menteri Penasihat kedutaan, Saharuddin Hassan, sedang berusaha untuk menghantar bekalan makanan kepada kapal itu, namun masalah birokrasi di pelabuhan menyulitkan keadaan.
Derek Graham, aktivis keamanan dari Ireland yang berada atas kapal itu juga cuba memanggil nelayan berdekatan untuk membeli makanan segar sejak kelmarin, namun gagal kerana masalah komunikasi dan kedudukan kapal kargo yang jauh.

Isnin lalu, kapal kargo misi kemanusiaan tajaan Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Palestin, iaitu paip UPVC sepanjang 7.5 km, dipintas dan ditembak dua bot peronda Israel yang memaksa mereka berundur ke perairan Mesir selepas berjaya memasuki zon selamat Palestin di perairan Semenanjung Gaza di sini.

Kapal misi kemanusiaan itu berlepas dari Pelabuhan Piraeus, Greek, Rabu lalu bertujuan memecahkan kepungan laut rejim Tel Aviv ke atas wilayah Gaza sejak 2007.

Sehingga berita ini ditulis, kapal kargo yang turut membawa dua aktivis keamanan Ireland, dua krew warga India dan seorang wartawan Kanada, masih belum menerima kebenaran untuk berlabuh kerana masalah dokumentasi.

Sementara itu, cadangan untuk berlabuh bagi menurunkan penumpang dan memunggah barang keluar serta menghantarnya ke Gaza melalui sempadan Rafah tidak dapat dilaksanakan selagi belum mendapat kelulusan Kementerian Luar Mesir di Kaherah.

Saharuddin berkata, pihak kedutaan telah menghantar nota rasmi ke kementerian berkenaan bagi mempercepatkan kelulusan kapal itu berlabuh dan menjalankan urusan berkaitan.

Katanya, Duta Malaysia ke Mesir, Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti juga menghubungi Penolong Timbalan Menteri Kementerian Luar Mesir bagi Hal Ehwal ASEAN dan Asia Tenggara, Salwa Mauhid dan Penolong Timbalan Menteri Kementerian Luar Mesir (Hal Ehwal Asia), Dr Mohamad Hegazi untuk mempercepatkan proses kelulusan.