KARO, Sumatera Utara - Badan Pengurusan Bencana Daerah Sumatera Utara (BPBD) menyediakan bilik-bilik asmara untuk digunakan oleh mangsa letusan Gunung Sinabung di beberapa pusat perlindungan sementara sejak September tahun lalu, lapor akhbar The Jakarta Post semalam.
Bilik berupa khemah khas itu didirikan untuk pasangan suami isteri melakukan hubungan seks.
Khemah seluas 3 meter kali 3 meter itu diletakkan di kawasan lapang pada jarak 50 meter dari sesebuah pusat perlindungan.
Dua khemah itu didirikan berhampiran sebuah pusat perlindungan yang terletak kira-kira 17 kilometer dari Gunung Sinabung, di daerah Karo dalam wilayah Sumatera Utara.
Terdapat sebuah tilam getah dan bilik kecil di dalam khemah itu untuk digunakan sebagai bilik persalinan.
Suasana di dalam khemah itu cukup terang pada siang hari tetapi pasangan suami isteri boleh meminta lampu minyak tanah daripada pengawal pos kawalan untuk menggunakannya pada waktu malam.
Seorang mangsa di kampung Telagah, Riana Sembiring, 22, berkata, kemudahan itu sesuai untuk pasangan suami isteri yang ingin mengadakan hubungan seks selepas tinggal di pusat perlindungan selama berbulan-bulan.
"Bilik asmara ini hanya untuk pasangan suami isteri. Kami tidak pernah mengawal mereka tetapi memantau mereka dari pos perintah," kata Ketua Kampung Telagah, Teguh Kur niawan
Gunung Sinabung telah meletus sejak lima bulan yang lalu menyebabkan 32,303 orang atau 9,978 keluarga dipindahkan ke 42 pusat perlindungan di sekitarnya. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0208&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2sh50nIrB
Hakcipta terpelihara