Saturday, January 1, 2011

Pelakon Faizal Yusof meninggal dunia akibat serangan jantung- Al-fatihah








2011/01/01

KUALA LUMPUR: Pelakon Faizal Yusof meninggal dunia kira-kira jam 1.45 tengah hari ini di Pusat Rawatan Islam (PUSRAWI), Jalan Tun Razak, di sini akibat serangan jantung. 

Faizal, 32, dikatakan pengsan di rumahnya di Anjung Villa Bandar Baru Sentul di sini kira-kira jam 9 pagi, akibat serangan jantung sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Faizal dikenali kerana lakonannya dalam beberapa drama bersiri di televisyen seperti Tiramisu dan Manjalara.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Rosmunira Rashid, 27, yang sedang mengandung lima bulan. 

Allahyarham pernah berkahwin sebelum bercerai dengan penyanyi Siti Nordiana dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohd Rayyan Nakhaie, 2 tahun sembilan bulan. 

Abang pelakon itu Shaiful Yusof, 34, yang ditemui di Tingkat 3, Unit Rawatan Rapi (ICU) PUSRAWI, berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Muda, Batu Caves jam 10 pagi esok. 

Antara artis yang dilihat menziarah jenazah Allahyarham di hospital ialah pelakon Abby Abadi, Sharifah Amani, Liyana Jasmay, Amyza Adnan dan Pierre Andre. 
Sementara itu Abby Abadi yang ditemui, berkata kali terakhir beliau berjumpa dengan Faizal adalah bulan lepas ketika mereka bermain futsal di Bukit Jalil. 

"Dia seorang yang amat kelakar dan terkenal dengan sikap gila-gila dia. Ramai-ramai kawan yang pergi, dialah yang paling saya terasa kehilangannya," katanya yang pernah berlakon bersama Allahyarham dalam drama Manjalara di TV3. - BERNAMA 
-bharian

Duda, janda abadi cinta di depot tahanan imigresen





PASANGAN pengantin, Muhammad Nurhisham Gan Abdullah dan Siti Jawahari diiringi pegawai imigresen berarak selepas diijabkabul di surau Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di Alor Gajah, Melaka, semalam. - utusan/Nas Norziela Nasbah


ALOR GAJAH 31 Dis. - Kalau sudah jodoh tidak ke mana. Mungkin itu kata bidalan yang tepat untuk menggambarkan kisah percintaan Muhammad Nurhisham Gan Abdullah dan pasangannya yang berasal dari Surabaya, Siti Jawahari.
Pasangan itu sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok sempena tahun baru 2011 namun ia menjadi tanda tanya apabila Siti, 39, ditahan Jabatan Imigresen ketika berada di sebuah pusat beli-belah 22 Disember lalu.
Berikutan itu, Siti ditahan di Depot Tahanan Imigresen Machap Umboo di sini setelah permitnya didapati tamat pada November lalu.
Namun Nurhisham yang berasal dari Jalan Bendahara di sini nekad untuk meneruskan perkahwinan seperti dirancang walaupun terpaksa dilakukan di depot tahanan itu dengan seadanya tanpa dihadiri saudara-mara dan sahabat handai.
Justeru, tanpa sebarang hantaran, Nurhisham dan Siti memilih hari ini untuk diijabkabulkan dengan mas kahwin sebanyak RM40.
Dengan sekali lafaz, kedua-dua mereka menjadi pasangan suami isteri pada pukul 11.56 pagi setelah dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai Melaka, Abdul Halim Tawil di surau depot berkenaan.
Walaupun demikian, apa yang mengharukan pasangan berkenaan ialah kerjasama 150 kakitangan depot tersebut yang turut bersama meraikan majlis perkahwinan mereka dengan bergotong-royong menyediakan makanan.
Turut sama, 19 tahanan wanita yang menjadi 'tetamu' majlis tersebut.
Menurut Nurhisham, dia dan isteri sepatutnya melangsungkan perkahwinan esok setelah membuat pelbagai persiapan termasuk mendaftar di pejabat agama Islam negeri.
"Namun, isteri saya telah ditahan pihak Imigresen ketika berada di sebuah pusat beli-belah 22 Disember lalu apabila mendapati permitnya tamat pada November lalu.
"Alhamdulillah walaupun menghadapi rintangan, Allah telah mempermudahkan apabila pihak Imigresen juga bersetuju membenarkan kami melangsungkan pernikahan di surau depot ini," kata pengusaha kedai makan itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Nurhisham yang memeluk Islam 14 tahun lalu berkata, ini merupakan perkahwinan keduanya dan isterinya itu juga ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia 24 tahun.
"Tidak pernah terlintas di fikiran, perkahwinan saya ini akan mendapat liputan seluruh negara," katanya yang terkejut apabila melihat beberapa wakil media cetak dan elektronik merakamkan detik manis hidupnya itu.
Menurut Siti, perasaannya gembira bercampur sedih apabila terpaksa melangsungkan perkahwinan keduanya itu sebagai seorang tahanan di depot tersebut.
Namun begitu, katanya, dia terharu dengan usaha kakitangan pihak depot terbabit yang bergotong-royong menyediakan makanan bagi meraikan majlis pernikahannya itu.
"Terima kasih tidak terhingga kepada pihak Imigresen yang sentiasa menjaga kebajikan tahanan di sini dan merealisasikan permintaan saya ini," katanya disertai linangan air mata.
Sementara itu, Komandan depot tersebut, Abu Bakar Sideq Hasan berkata, ini adalah kali pertama pihaknya meraikan pernikahan tahanan di depot tersebut sejak ia beroperasi 20 tahun lalu.
"Memang menjadi keutamaan kami untuk menjaga kebajikan setiap tahanan di sini apatah lagi pasangan ini mempunyai dokumen yang lengkap untuk melangsungkan pernikahan mereka," katanya.

Janda Akhil Hayy kemalangan




MAIZAWATI ditemani Mohd. Yassin selepas menjalani pembedahan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh semalam.


IPOH - "Saya bersyukur kerana bayi dalam kandungan saya disahkan selamat."
Demikian luahan Maizawati Zainal, 35, bekas isteri penceramah dan penyanyi, Akhil Hayy, beberapa jam selepas menjalani pembedahan memasukkan dua plat besi pada tangan kirinya selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah di sini pagi Selasa lalu.
"Doktor pakar mengesahkan tiada sebarang komplikasi terhadap kandungan yang kini berusia hampir lima bulan," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 5.15 pagi itu, kereta Proton Gen 2 yang dipandu Maizawati atau lebih dikenali sebagai Maiza merempuh sebuah kereta dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba membuat pusingan U berdekatan Sekolah Menengah Izzudin Shah di sini.
Akibat kemalangan itu, Maiza patah tangan kiri dan cedera kedua-dua kaki selain mengalami lebam pada dahi.

Sanah sedia jadi teman hidup Ahmad




SANAH (kanan) bersama anaknya, Sabaha membaca kisah 
mengenai Ahmad yang disiarkan akhbar di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Hasrat seorang lelaki warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa untuk mendirikan rumah tangga mungkin tercapai selepas seorang wanita di sini terpaut hati padanya.
Wanita itu, Sanah Ahmad, 82, yang hidup sendirian sejak kematian suami 28 tahun lalu, menyatakan kesediaan untuk bersuamikan warga emas itu selepas membaca kisahnya dalam akhbar Kosmo! pada Rabu lalu.
Menurut Sanah, hatinya berdebar apabila menatap gambar Ahmad yang disifatkannya saling tak tumpah seperti arwah suami keduanya yang merupakan bekas tentera.
“Saya faham kesunyian yang dialami oleh Ahmad kerana saya sendiri pun sunyi tinggal seorang diri di rumah ini,” katanya ketika ditemui di Flat Desa Rejang, Setapak di sini semalam

Cara baru buang bayi




INILAH bayi yang ditinggalkan oleh seorang wanita kepada Qurattnaini di Stesen KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.


SEREMBAN - Seorang gadis berusia 20 tahun panik apabila seorang bayi lelaki ditinggalkan kepadanya oleh seorang wanita yang terus hilang selepas memberi alasan untuk ke tandas.
Qurratnaini Amni Jamaludin berkata, dia ketika itu sedang menunggu rakannya di Stesen KL Sentral pada pukul 10 pagi bila tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.
Beliau lantas menoleh dan terlihat seorang wanita Melayu dalam lingkungan 20-an mendukung bayi lelaki dipercayai baru berusia seminggu.
Wanita bertudung serta berseluar jean dan berbaju warna hijau lumut itu memintanya menjaga bayinya seketika kerana katanya dia hendak ke tandas tanpa mengesyaki apa-apa.
"Kemudian, saya tunggu, dan tunggu...hingga kira-kira dua jam, namun wanita itu tidak juga muncul.