Wednesday, November 13, 2013

Etnik Uighur nafi penyebab keganasan


HOTAN, China 12 Nov. - Masyarakat Uighur di Xinjiang yang didakwa menjadi punca serangan ke atas Dataran Tiananmen dan keganasan di wilayah ini menyatakan, penindasan budaya, rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh polis merupakan faktor sebenar mengapa ia berlaku.
Mereka menolak tuduhan kerajaan yang menyatakan punca kejadian itu adalah disebabkan oleh kegiatan pengganas yang didorong oleh perjuangan jihad.
"Kami marah kerana wanita tidak dibenarkan memakai tudung dan perlu merasuah pegawai kerajaan untuk menyelesaikan sesuatu urusan," kata seorang doktor di Hotan, bandar yang didiami oleh 96 peratus oleh etnik Uighur.
Televisyen milik kerajaan, CCTV melaporkan, tiga suspek serangan di Dataran Tiananmen pada hujung bulan lalu yang menyebabkan lima orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera, adalah dari Hotan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131113/lu_10/Etnik-Uighur-nafi-penyebab-keganasan#ixzz2kUb3yDT0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Buat kebajikan selepas jalani hukuman mati


Columbus (Ohio): Seorang pembunuh kanak-kanak yang dijadual menjalani hukuman mati minggu ini memohon supaya organnya didermakan bagi membantu seramai mungkin orang lain.

Peguam Lisa Lagos berkata, Ronald Phillips bersedia mendermakan anggota badannya kepada sesiapa saja jika ia tidak mampu membantu ibu dan saudara kandung perempuannya yang kebetulan uzur ketika ini.

Kata Lisa, tawaran Phillips itu dibuat tanpa sebarang syarat.

“Permohonan ini dibuat bukan helah untuk melengah-lengahkan pelaksanaan hukuman mati,” katanya.


Phillips, 40, dihukum mati atas kesalahan merogol dan membunuh anak kekasihnya yang baru berusia tiga tahun di Akron pada 1993,


Dia dijadual menerima suntikan maut esok melalui cecair yang tidak pernah digunakan dalam mana-mana pelaksanaan hukuman di AS sebelum ini.

Rayuan Phillips ditolak Gabenor Ohio, John Kasich, minggu lalu.

Ibu Phillips mengalami masalah sakit buah pinggang dan bergantung kepada mesin rawatan dialisis, manakala seorang daripada saudara kandung perempuannya menghidap sakit jantung.

Pendakwa berkata Ohio tidak lagi menggunakan dua ubat yang merosakkan organ dalaman banduan apabila mereka menjalani hukuman mati.

Pihak berkuasa bercadang menggunakan dua cecair lain untuk melaksanakan hukuman mati itu tetapi tidak diketahui bagaimana kesannya terhadap organ dalaman seseorang. - AP

87 negara ada ‘drone’


2013/11/13
   
Washington: Agensi perisikan Amerika Syarikat sedar sebanyak 87 negara menggunakan teknologi ‘drone’ di seluruh dunia dan melakukan pemantauan teliti terhadap penggunaannya.

“Washington suka bercakap seolah-olah monopoli Amerika akan berakhir tetapi penggunaan pesawat tanpa pemandu begitu meluas dan hanya menanti masa sebelum teknologi itu digunakan negara lain,” kata Peter W Singer yang mengetuai Pusat Keselamatan dan Perisikan Abad ke-21 di Institut Brookings.
Singer berkata, daripada 87 negara berkenaan, ada yang menggunakannya untuk melakukan pemantauan di wilayah sendiri atau luar wilayah.

Daripada jumlah itu, 26 negara membeli atau membangunkan drone yang sama saiz dengan MQ-1 Predator -model buatan General Atomics di San Diego.

Sut kalis peluru berharga RM61,189


2013/11/13
 
Toronto: Sebuah syarikat pakaian mula menjual sut kalis peluru dan bergaya untuk seorang eksekutif abad ke-21 yang dikatakan pasti menyebabkan perisik 007, James Bond, cemburu.

Syarikat itu, Garrison Bespoke, menggabungkan gaya dan ciri keselamatan menerusi teknologi nano karbon ringan untuk menyerap impak peluru senapang patah dan menghalang tusukan pisau menembusinya.
Keseluruhan kos sut mewah itu berharga K$20,000 (RM61,189.96) untuk pelanggan terpilih bagi mengelak dibunuh ketika berada di luar negara.

“Kami memberi tumpuan membuat sut lengkap James Bond. Industri jahitan sebenarnya agak suram dan anda mahukan cabaran seperti ini,” kata ketua projek khas untuk Garrison Bespoke, David Tran.

Tran berkata, sut itu hasil inspirasi perbualan dengan seorang pelanggan yang terselamat selepas ditembak di negara asing enam bulan lalu.

Pada kunjungan berikutnya ke kedai itu, beliau mengaku masih tergamam dengan kejadian itu.

“Selepas lima minit, kami terfikir, ‘Bolehkah kami menghasilkannya? Kami mula memikirkannya selepas itu,” kata Tran.
Masukkan 6 lapisan nano karbon

Selaku pengasas jahitan pintar, syarikat itu tidak boleh dengan mudah menggunakan Kevlar, bahan perlindungan tempur biasa yang digunakan polis dan tentera.

Justeru, mereka berbincang dengan kontraktor yang dirahsiakan Tran, yang sebelum ini menyediakan perisai pelindung tubuh kepada komando Amerika di Iraq.

Sebaik saja sut dijahit, enam lapisan nipis nano karbon dimasukkan ke dalam lapisan belakang sut jaket dan di hadapan, membolehkannya terletak dengan elok.

Walaupun lebih banyak lapisan boleh ditambah untuk perlindungan tambahan, keselesaan dan memudahkan pergerakan boleh disesuaikan.

“Ramai eksekutif lelaki dalam industri kewangan, perlombongan dan minyak membuat pengakuan kepada kami bahawa mereka rasa tidak selamat serta gementar apabila berada di luar sana,” kata Tran.
AFP