Showing posts with label kahwin. Show all posts
Showing posts with label kahwin. Show all posts

Friday, December 28, 2012

Apex-Nur Eilunie sah bergelar suami isteri



Apex
Khairul Fahmi Che Mat mencium dahi isterinya, Nur Eilunie Natasha Nazri selepas majlis akad nikah di kediaman Nur Eilunie di Pasir Pekan, hari ini.- Foto Bernama
Khairul Fahmi Che Mat
Nur Eilunie Natasha mencium tangan suaminya, Apex selepas majlis akad nikah di kediaman Nur Eilunie di Pasir Pekan, Tumpat hari ini. - Foto Bernama
Khairul Fahmi Che Mat
Khairul Fahmi Che Mat mengenakan Nur Eilunie Natasha Nazri cincin pada majlis akad nikah di kediaman Nur Eilunie di Pasir Pekan, Tumpat hari ini. - Foto ihsan www.rotikaya.com
TUMPAT -  Dengan sekali lafaz, penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat, 23, sah bergelar suami kepada model dan usahawan, Nur Eilunie Natasha Nazri, 21, pada majlis akad nikah di kediaman pengantin perempuan di Pasir Pekan, di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan Imam Masjid Pasir Pekan, Abdul Ghani Abdul Mutalib pada 10.25 pagi di kediaman keluarga pengantin perempuan sambil disaksikan anggota keluarga kedua-dua mempelai.

Pada majlis tersebut juga, Khairul Fahmi atau lebih mesra disapa Apex, tampil bergaya memakai baju Melayu berwarna kuning cair menyerahkan wang hantaran sebanyak RM19,000 bersama tujuh dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh Nur Eilunie.

Kira-kira 2,000 tetamu termasuk peminat turut hadir pada majlis akad nikah tersebut.

Khairul Fahmi ketika ditemui selepas majlis tersebut berkata beliau bersyukur majlis akad nikah tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah yang timbul.

"Alhamdulillah majlis perkahwinan saya berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Saya pilih Leuniey (Nur Eilunie) kerana beliau faham dengan kerjaya saya yang sentiasa sibuk. Sebagai contoh, saya pulang untuk membuat persedian majlis ini sehari sebelum majlis berlangsung.

"Saya akui gementar ketika melafazkan akad nikah tetapi perasaan itu tidak sama ketika beraksi di atas padang kerana ramai yang beri sokongan dan mendoakan saya pada hari ini," katanya.

Khairul Fahmi berkata, beliau akan terus mengekalkan prestasinya sebagai penjaga gol nombor satu negara walaupun telah berkahwin.

Beliau berkata, akan menyerahkan perjalanan hidupnya kepada ALLAH s.w.t dan berharap untuk menimang sekurang-kurang empat cahaya mata.

Sementara itu, bagi Leuniey pula, beliau berharap Apex akan menjadi 'kapten' kepada keluarga mereka dengan baik walaupun sebelum ini sering terpalit dengan pelbagai kontroversi yang melanda.

"Saya bersedia sepenuhnya sebelum menjadi isteri Khairul Fahmi. Ketika bercinta, keluar pelbagai cerita dalam akhbar dan blog, namun saya tak cepat melenting dan ambil pendekatan berbincang dengannnya bila sesuatu kontroversi timbul.

"Ini jodoh yang telah ditentukan dalam perjalanan hidup kami. Saya bersyukur kami telah disatukan," katanya yang turut menyifatkan Khairul Fahmi sebagai seorang yang romantik dan penuh kejutan.

Bagaimanapun, kedua-dua mempelai ini belum merancang untuk berbulan madu berikutan Khairul Fahmi kini sibuk dengan persiapan menjelang Liga Malaysia yang bakal bermula pada Januari depan.

Majlis resepsi bagi pihak pengantin perempuan akan diadakan pada Ahad ini di Hotel Renaissance Kota Baharu manakala majlis menyambut menantu akan diadakan di  rumah Khairul Fahmi di Cherang pada 5 Januari.

Selain itu, pasangan itu turut dijadual untuk mengadakan satu lagi majlis resepsi di Hotel Royal Bintang, Kuala Lumpur pada 13 Januari ini dan turut menerima tajaan bernilai kira-kira RM300,000 daripada pelbagai pihak. - Bernama

Apek-Leuniey bernikah hari ini




NUR EILUNIE menunjukkan kad majlis resepsi persandingannya dengan Khairul Fahmi di rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat semalam.


KOTA BHARU – Selepas melalui pelbagai episod kontroversi, penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23, dan gadis pilihannya, Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, akan diijabkabulkan hari ini.
Majlis akad nikah Khairul Fahmi dan Nur Eilunie dijangka berlangsung di kediaman Nur Eilunie atau Leuniey di Pasir Pekan, Tumpat pada pukul 10 pagi.
Nur Eilunie ketika ditemui semalam, mengakui berdebar menanti detik pernikahannya dengan Khairul Fahmi atau Apek itu.
“Semakin dekat hari pernikahan berlangsung, semakin berdebar hati ini. Saya rasa semua orang yang hendak berkahwin juga merasai debaran sebegini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Nur Eilunie turut memberitahu, dia sudah lebih seminggu tidak bersua dengan Apek dan hanya akan bertentang mata dengan jejaka itu pada hari pernikahan.
“Sejak lebih seminggu lalu, saya tidak berjumpa dengan Apek kerana Apek menjalani latihan bola sepak di Pulau Pinang. Doakan majlis perkahwinan kami berjalan lancar,” katanya.
Kosmo! 22 November lalu melaporkan Apek bakal mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Leuniey pada 28 Disember ini pada majlis perkahwinan yang membabitkan kos RM300,000.
Mereka akan mengadakan tiga majlis iaitu majlis resepsi pengantin perempuan di Hotel Renaissance, Kota Bharu pada 30 Disember diikuti persandingan di sebelah pengantin lelaki di rumah keluarga Apek di Kampung Chenang, Kota Bharu pada 5 Januari tahun depan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz2GIZDhLqE 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, December 26, 2012

Hasrat sanding atas jentolak tercapai

Hasrat sanding atas jentolak tercapai Zulkhairi dan Malisza tersenyum simpul atas jentolak yang menjadi pelamin bergerak mereka.
SIK- Hasrat sepasang pengantin untuk bersanding dengan cara istimewa tercapai setelah mereka diarak menggunakan jentolak sejauh satu kilometer di Kampung Teloi Tua dekat sini, kelmarin.

Mohd Zulkhairi Wahab, 30, bersama pasangannya Malisza Alias, 28, bersyukur keinginan mereka selama ini telah tercapai.

Mohd Zulkhairi berkata, dia memang teringin untuk melangsungkan majlis persandingannya dengan cara yang unik.

“Saya tak tahu kenapa, tapi memang teringin sangat nak sanding atas jentolak.

“Bukan sebab saya tengok pengantin lain buat, tetapi datang daripada diri sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkhairi yang bekerja di Pejabat Pos Sik turut diiringi kira-kira 30 motosikal.

Menurutnya, dia terharu dan bersyukur dengan komitmen semua pihak yang telah menjayakan dan melaksanakan hasratnya selama ini.

“Inilah hari yang tidak akan saya lupakan. Pengalaman ini terpahat dalam ingatan saya sampai bila-bila,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis persandingan itu dihadiri ribuan tetamu yang tidak ingin melepaskan saat melihat pengantin diarak menggunakan jentolak itu.

Mohd Zulkhairi yang bercadang berbulan madu di Sabah itu turut menghargai sokongan keluarga termasuk rakan-rakannya selama ini.

“Mereka tidak pernah bantah mahupun mempertikaikan hasrat saya malah berusaha demi melihat saya dan isteri bahagia pada hari persandingan kami,” katanya.

Friday, October 26, 2012

Alasan kahwin 11 kali

CERITA...Mohd Razis ketika ditemu bual wartawan.
CERITA...Mohd Razis ketika ditemu bual wartawan.
KAJANG: “Saya nak cari yang terbaik, tapi setiap kali berkahwin saya gagal.” Itu alasan diberikan lelaki berperwatakan alim yang didakwa berkahwin 11 kali ketika disoal siasat penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sejurus ditahan, awal pagi semalam.
Kisah Mohd Razis Ismail, 30, didedahkan Metro Ahad pada 21 Oktober lalu selepas mendapat aduan daripada sebahagian isterinya, sekali gus mendorong Jais melakukan siasatan sebelum menahannya.
Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Unit Dasar, Penyelewengan dan Doktrinisasi Jais diketuai Penolong Pengarahnya, Shahrom Maarop di sebuah kedai makan di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, jam 1 pagi semalam.

Dia didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kajang, di sini, jam 3 petang semalam, atas dua tuduhan iaitu memalsukan dokumen untuk bernikah dan bernikah tanpa kebenaran mahkamah.


Ketika disoal siasat, Mohd Razis bagaimanapun menafikan dia berkahwin 11 kali, sebaliknya hanya sembilan kali dengan yang terbaru pada Ogos lalu, namun dia gagal mengingati dengan tepat maklumat peribadi semua isterinya dengan alasan hanya berjumpa sekali-sekala sebelum bercerai.

Saturday, October 6, 2012

Kahwin Mega: Inikah contoh wasatiyyah?

Mohd Azmi Abdul Hamid
 Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) timbul tandatanya jika perbelanjaan Ketua Menteri Melaka telah mampu memecahkan Malaysia Book of Record kerana berbelanja mewah untuk perkahwinan anaknya , adakah amalan itu  sesuai dengan Islam wassatiyyah yang dicanang oleh PM.

Isu yang dibangkitkan bukan soal politik atau mempolitikkan perbelanjaan perkahwinan tersebut tetapi adalah isu moral yang telah berbangkit.

Adakah wajar seorang pemimpin berbelanja besar untuk majlis peribadi yang amat ketara menunjukkan kemewahan.

KM Melaka itu boleh menafikan bahawa ia mewah. Akan tetapi bagi rakyat biasa yang bersusah payah mencari makan untuk keluarganya sudah tentu ia menjadi sangat besar dan menyebabkan persoalan tentang gaya hidup pemimpin Negara bukan lagi  menjadi contoh sebagaimana sepatutnya.

Soal ia cuba dipolitikkan tidak timbul kerana jika bukan musim pilihanraya sekalipun rakyat berhak untuk bertanya dari mana kekayaan pemimpin diperolehi.

Inilah yang membuat rakyat semakin muak dengan tabiat pemimpin yang tidak mengotakan apa yang dikata.

Disatu ketika mereka memperkatakan rakyat diutamakan , namun di satu ketika yang lain , mereka hidup mewah dengan mengenepikan rakyat terbanyak yang maseh bertungkus lumus membanting tulang untuk mencari nafkah hidup.

Penafian KM Melaka bahawa isu ini penting dan sangat relevan menunjukkan keangkuhan beliau bahawa perpsepsi rakyat terhadap kemewahan hidup pemimpin tidak dipedulikan.

Kami berpendirian nampaknya pemimpin-pemimpin Negara tidak mengambil kisah terhadap perasaan rakyat. Sikap tidak mempedulikan perasaan rakyat akan menandakan kerajaan yang berkuasa tidak lagi mesra rakyat.

Sikap angkuh dan ranggi seperti inilah yang akan menjadikan rakyat muak dan benci dengan slogan pemerintah bahawa rakyat diutamakan.

Kami tidak mahu perkara ini dipolitikkan , akan tetapi kami juga tidak boleh membiarkan isu ini berlalu tanpa ditegur. Jelas rakyat sering diperdaya oleh pemimpin yang tidak mempunyai niat untuk merasai penderitaan rakyat. Walhasil rakyat akan terus diperkuda oleh pemimpin mereka sendiri.

Kami ingin menegaskan bahawa tindakan untuk memastikan SPRM menyiasat perbelanjaan perkahwinan tersebut adalah wajar agar isu ini diambil perhatian bersungguh oleh pihak berkuasa.

Rakyat pasti menunggu keputusan yang akan menjelaskan bagaimana pemimpin mempunyai kekayaan sedemikian rupa.

Untuk berdiam diri dan cuba memperkecilkan isu yang dibangkitkan ini akan merumuskan bahawa kerajaan yang sudah memerintah lebih 55 tahun di Negara ini bersekongkol dengan kemungkaran hanya kerana mahu terus berkuasa.

*Penulis adalah Presiden TERAS
-Harakah

Thursday, October 4, 2012

Pengantin diarah bekerja pada hari perkahwinan



       
QINGDAO: Majlis perkahwinan seorang wanita terjejas pada hari perkahwinannya selepas dia diarah mengendalikan pondok tol beberapa jam sebelum majlis itu.

Zhang Yu, pengurus di pusat tol lebuh raya di Qingdao, wilayah Shandong di timur China, merancang bercuti seminggu untuk melangsungkan perkahwinannya.


Bagaimanapun, majikannya membatalkan semua cuti apabila jalan raya di seluruh China sesak dengan berjuta-juta pemandu pulang ke kampung halaman masing-masing minggu lalu sempena cuti Festival Bulan.

Zhang Yu terpaksa mengendalikan pondok tol itu dan pada masa sama, berjaya melangsungkan perkahwinan ketika waktu rehat makan tengah hari apabila rombongan kereta perkahwinannya melalui tol itu.


“Ia minggu yang sukar untuk semua orang. Saya tidak boleh mengecewakan majikan saya,” katanya. - DM

Monday, October 1, 2012

130,000 tetamu rai pengantin

SEPADAN...Mohd Ridhwan dan Nur Azieha berarak masuk ke Dewan Tun Ali, semalam.
SEPADAN...Mohd Ridhwan dan Nur Azieha berarak masuk ke Dewan Tun Ali, semalam.
HADIR...Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut memeriahkan majlis.
HADIR...Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa turut memeriahkan majlis.
MELAKA: Kira-kira 130,000 tetamu memeriahkan majlis perkahwinan anak sulung Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam di Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini, semalam, sekali gus mencatatkan jumlah kehadiran teramai dalam majlis perkahwinan diadakan.
Perkara itu disahkan wakil Malaysia Book of Records (MBR) yang turut berada di majlis berkenaan dan sijil disampaikan wakil MBR, Zulhairi Md Zin kepada Mohd Ali pada jam 5.30 petang.

Persandingan Mohd Ridhwan, 26, dan Nur Azieha Mohd Ali, 26, berlangsung dengan penuh meriah.

Keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyerikan lagi majlis persandingan pasangan pengantin baru itu.

Antara tetamu kehormat yang hadir adalah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob dan isteri, Toh Puan Zurina Kassim: Tengku Syarif Temenggung Perlis, Datuk Seri Diraja Syed Amir Abidin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan isteri, Che Puan Temenggung Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Mohamat Din dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohammad Azlan Abdullah.


Sultan Sharafuddin berangkat merenjis air mawar terhadap pasangan yang segak dan anggun dengan busana berwarna kelabu serta perang itu.

Majlis dihiburkan dengan dendangan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Pasangan itu bertunang pada 3 September 2011 dan diijab kabul pada Jumaat lalu di Kampung Merlimau Pasir, Jasin, di sini. Mohd Ridhwan yang memiliki Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari University of Auckland, New Zealand bekerja sebagai jurutera manakala Nur Azieha yang memiliki Ijazah Perubatan dari Crimea State Medical University, Ukraine, berkhidmat sebagai doktor di Hospital Selayang, Selangor.

Sunday, September 23, 2012

Bukan nikah sembunyi

BAHAGIA... gambar Sharifah Khasif bersama suami, Mohammad Hizal pada hari pernikahan mereka 7 September lalu.
BAHAGIA... gambar Sharifah Khasif bersama suami, Mohammad Hizal pada hari pernikahan mereka 7 September lalu.

KUALA LUMPUR: Desas-desus naib juara Akademi al-Quran musim ketiga, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman mendirikan rumah tangga dan menjadi isteri kedua seorang Datuk Seri akhirnya terjawab apabila beliau mengesahkan status perkahwinannya kepada Metro Ahad, semalam.
Gosip pernikahannya dengan VIP itu disiarkan dalam ruangan CAK, Selebriti, minggu lalu. Berikut isi kandungan e-mel yang dikirim Sharifah Khasif berserta gambar pernikahannya.

“Assalamualaikum warahmatullah. Terlebih dulu saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Harian Metro atas cerita yang diuar-uarkan. Saya juga tidak menyangka perkahwinan ini akan menjadi buah mulut orang dan menjadi satu pertikaian yang sepatutnya kita syukuri hikmah sesebuah perkahwinan.

Itu sepatutnya pandangan yang perlu ada apabila seseorang umat Muhammad mampu mendirikan perkahwinan yang pastinya membawa keberkatan dunia dan akhirat.

Untuk pengetahuan media, sebenarnya tidak timbul isu nikah sembunyi, nikah Siam dan sebagainya kerana perkahwinan saya pada 7 September 2012 di kediaman saya dan resepsi pada malamnya dihadiri hampir ribuan tetamu.

Saya juga mewakilkan pengurus peribadi saya, Haryati untuk menjemput pihak media dan rakan-rakan daripada stesen televisyen untuk hadir bersama.


Saya tak tahu dari mana datangnya cerita yang tidak benar ini apatah lagi perkahwinan sembunyi-sembunyi sekali gus menyebabkan ada hati-hati yang terluka.

Perkara sebegini adalah satu keaiban memandangkan saya juga dikenali sebagai ahli al-Quran yang mana dalam Islam, perkahwinan itu sendiri hendaklah diuar-uarkan supaya tidak timbul fitnah dan masalah kemudian hari.

Persoalan yang mempertikaikan saya isteri kedua sepatutnya tidak timbul, yang pastinya saya adalah isteri sah kepada Datuk Seri Mohammad Hizal Othman. Saya juga mempunyai prinsip di mana soal peribadi tidak perlulah dikongsikan bersama.

Jodoh pertemuan ajal maut di tangan Allah. Saya bersyukur kerana mempunyai suami yang penyayang, bertanggungjawab dan menjaga saya dengan baik. Setiap doa kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan juga dan begitulah sebaliknya. Maka berdoalah yang elok-elok kerana setiap yang berlaku pasti akan ada hikmah di sebaliknya.”

Sunday, September 9, 2012

Farid, Diana kahwin tahun depan!



WARTAWAN SINAR HARIAN
9 September 2012
Farid, Diana kahwin tahun depan!
Farid Kamil - Diana Danielle
TAHNIAH diucapkan kepada pasangan selebriti, Farid Kamil dan Diana Danielle, yang baru melangsungkan pertunangan pada Ahad lalu. Majlis yang diadakan secara tertutup itu hanya dihadiri keluarga dan teman rapat mereka. Dalam majlis itu, Diana menerima sebentuk cincin dan juga beberapa hantaran lain.

Nampaknya pasangan ini serius menjalinkan hubungan cinta dan tentunya peminat mahu mereka segera ke jinjang pelamin. Sudah bersedia melangkah ke fasa itu, baik Diana mahupun Farid memilih tahun hadapan untuk memeterai cinta mereka.

Bagaimanapun, buat masa ini mereka ingin memberi tumpuan terhadap karier masing-masing.

Wednesday, April 11, 2012

Rahsia lokasi majlis

SIAP...kad jemputan perkahwinan Fasha dan Rizal Ashram sedia untuk diedarkan.
SIAP...kad jemputan perkahwinan Fasha dan Rizal Ashram sedia untuk diedarkan.

SIAP...kad jemputan perkahwinan Fasha dan Rizal Ashram sedia untuk diedarkan.
KUALA LUMPUR: Majlis perkahwinan pelakon Fasha Sandha, 28, dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 27 April ini, sebagaimana tercatat dalam kad undangan perkahwinannya yang akan mula diedarkan dalam masa terdekat.

Fasha yang dinobatkan Pelakon TV Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011) buat kali keenam, Ahad lalu berkata, majlis perkahwinannya akan diadakan secara tertutup membabitkan anggota keluarga serta kenalan rapat sahaja.


“Majlis ini kami lakukan secara tertutup membabitkan 300 jemputan termasuk keluarga dan teman rapat saja. Saya bersyukur dengan segala limpahan rezeki dan alhamdulillah akhirnya apa yang kami rancang dapat juga direalisasikan.

“Kad undangan kahwin sudah pun siap dan insya-Allah ia akan diedarkan tidak lama lagi, tapi saya minta maaf kerana masih tidak dapat memberitahu lokasi majlis diadakan kerana saya menghormati permintaan ibu bapa Rizal dan ibu bapa saya,” katanya kepada Harian Metro, semalam.


Awal bulan lalu, Fasha selepas sekian lama berteka-teki, akhirnya mengesahkan mengenai perkahwinannya dengan Rizal selepas gambar mereka berdua menghadiri kursus perkahwinan tersebar di portal berita hiburan di Internet.


Namun, ketika itu pelakon yang baru pulang dari Paris selepas selesai penggambaran drama Seindah Sakura, masih enggan memaklumkan mengenai tarikh perkahwinan mereka.


Sementara itu, Rizal ketika ditanya perasaannya menjelang persiapan majlis perkahwinan mereka berkata, dia hanya inginkan sebuah majlis sederhana, tetapi meriah.


“Persiapan kami lakukan perlahan-lahan memandangkan jadual kerja masing-masing yang padat namun alhamdulillah semuanya hampir selesai. Insya-Allah kami akan mengedarkan kad dalam masa terdekat,” kata usahawan berusia 36 tahun yang menyifatkan Fasha seorang wanita yang melengkapkan hidupnya.


Ketika ditanya mengenai khabar angin mengatakan pasangan glamor ini akan mengadakan majlis resepsi gilang gemilang sama ada di Jakarta atau Pulau Bali, Indonesia pada Jun depan, Rizal berkata: “Biarlah kita lakukan mana yang wajib dulu. Majlis bersanding atau majlis lain kemudian,” katanya.

Thursday, January 19, 2012

Roslin sudah kahwin lain

KUALA LUMPUR: “Ya, saya sudah kahwin baru...akhir tahun lalu,” demikian secara ringkas pengakuan bekas pemain badminton negara, Muhammad Roslin Hashim.
Selepas sekian lama ‘mengunci mulut’, Roslin ketika ditemui wartawan, semalam akhirnya akur dengan pertanyaan dan mengesahkan sudah berkahwin kali ketiga dengan seorang wanita yang enggan didedahkan identitinya.

“Saya tak boleh cakap siapa isteri saya demi menghormati keluarga orang rumah (isteri) saya,” kata Roslin yang pernah menjadi pemain badminton nombor satu dunia itu.

Dia juga berharap perkahwinannya kali ini adalah yang terakhir. Pengakuan itu sekali gus melenyapkan teka-teki dan spekulasi berita perkahwinannya yang tersebar luas sejak kebelakangan ini.

Dia berkata demikian selepas selesai prosiding perbicaraan secara tertutup kes tuntutan ganti rugi perkahwinan sebanyak RM53,460 yang dikemukakannya terhadap bekas isteri daripada perkahwinan pertama, Faizah Mohamad, 34, di Mahkamah Tinggi Syariah, semalam.

Faizah selaku defendan yang diwakili peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin hadir ke mahkamah dengan berbaju kurung dan bertudung biru ditemani dua saudaranya.


Roslin, 37, sebelum ini pernah berkahwin buat kali kedua dengan Pengarah Pemasaran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai 2010 sebelum menceraikan isterinya itu 28 hari kemudian.

Terdahulu, pada perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan, Roslin memberi keterangan utama kira-kira 20 minit prosiding berjalan.

Peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim memberitahu, hakim menetapkan 22 Mac ini tarikh menyambung perbicaraan termasuk tambahan empat saksi.

Menurutnya, pihaknya akan memanggil beberapa saksi dan antaranya termasuk penerbit filem...Dalam Botol, Raja Azmi Raja Sulaiman. Roslin menceraikan Faizah selepas 12 hari mereka melangsungkan perkahwinan.

Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 30 Januari 2009 dan disahkan bercerai pada 12 Mei tahun sama oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menerusi talak bain sughro.

Pada 21 Oktober 2009, Roslin mengemukakan tuntutan perbelanjaan terhadap Faizah ketika merisik, antaranya cincin bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).

Bagi perbelanjaan ketika perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080), bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500), barang hantaran (RM11,465), baju serta kasut pengantin perempuan (RM6,750).

Turut dituntut, khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang (RM500).

Monday, December 26, 2011

Gambar Perkahwinan Anak DS Anwar Ibrahim.. Tahniah!! Moga Bahagia Hingga Akhir Hayat..


Tahniah Buat Dato Seri Anwar Ibrahim dan Dato Seri Wan Azizah yang telah menerima Menantu Ke 4 secara rasminya semalam 24 Disember 2011 dan Selamat Pengantin Baru buat Nurul Ilham Binti Anwar dan pasangannya Mohd Reza Bin Mohd Rafie semoga kekal hingga akhir hayat. Majilis perkahwinan mereka di kediaman Dato Seri Anwar Ibrahim di No.11 , Jalan Bukit Segambut, Segambut Dalam, Kuala Lumpur.
Gambar Perkahwinan Anak DS Anwar Ibrahim.. Tahniah!! Moga Bahagia Hingga Akhir Hayat.. ~ SEDAKA SEJAHTERA:

'via Blog this'

Saturday, December 24, 2011

Lisa & Yusry Nikah 23 Februari


Lisa Surihani dan Yusry bergambar bersama selepas mengumumkan
 tarikh perkahwinan mereka kepada media di Hotel Marriot
Putrajaya pada Sabtu. Foto THE STAR Oleh SHAARI CHE MAT.



PUTRAJAYA: Teka-teki mengenai tarikh perkahwinan pasangan artis Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim terjawab apabila mereka mengumumkan bakal bernikah pada 23 Februari 2012.
Yusry berkata, dia tidak berniat untuk menyorokkan tarikh perkahwinan mereka kerana perlu berbincang dengan kedua-dua belah keluarga terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pegumuman.
"Seperti yang sering saya katakan sebelum ini bila keluarga telah mengetahui mengenai perkara ini baru akan diberitahu kepada media tentang tarikh perkahwinan kami.
"Bukan ingin menyorok daripada media tetapi menghormati keluarga kedua-dua belah pihak," ujarnya.
Yusry dan Lisa membuat pengumuman itu dalam satu sidang media khas di Hotel Marriot Putrajaya di sini, Sabtu.
Dalam pada itu, Yusry memberitahu pihak keluargannya juga telah pun merisik Lisa dalam satu majlis ringkas yang diadakan pada Jumaat malam.
Ujarnya, majlis tersebut diadakan secara ringkas dengan kehadiran keluarga terdekat kedua-dua belah pihak dan telah memberikan sebentuk cincin sebagai tanda.
"Bagaimanapun tidak akan ada sebarang majlis pertunangan akan diadakan kerana kami memilih untuk bernikah terus pada tarikh yang diumumkan itu," katanya.
Sementara itu, Lisa berkata, majlis akad nikah akan dilangsungkan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya selepas solat Asar manakala resepsi perkahwinan dijadualkan pada 26 Februari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Lisa berkata, dia dan Yusry sepakat untuk mengadakan sebuah majlis perkahwinan yang sederhana dan tidak terlalu mewah untuk hari bahagia mereka nanti.
"Saya tidak begitu memikirkan untuk membuat majlis gilang gemilang tetapi biarlah ia sederhana kerana apa yang penting nanti adalah majlis akad nikah.
Yusry menambah, setakat ini mereka berdua masih belum memikirkan sebarang konsep untuk majlis itu nanti tetapi akan berbincang dengan Lisa dan keluarga dalam masa terdekat.
"Saya baru hantar tanda semalam dan hari ini umum tarikh pernikahan jadi kami masih belum membincangkan mengenai perancangan majlis itu nanti cuma lokasi sahaja telah ditempah," ujarnya.
Berhubung isu perkahwinan mereka akan disiarkan secara langsung di Astro, Yusry berkata, tiada sebarang perbincangan dibuat antara pihak pengurusan mereka dengan stesen berbayar tersebut.
Bagaimanapun katanya, keputusan sama ada perkahwinan mereka akan disiarkan secara langsung atau tidak adalah terletak ditangannya dan Lisa tetapi tidak dapat memberi jawapan sekarang kerana masih belum ada perbincangan.
"Seperti saya katakan tadi, kami mahukan perkahwinan ini menjadi satu majlis yang sederhana dan bukannya ingin menunjuk-nunjuk.
"Bagaimanapun sebarang hak penyiaran atau tajaan akan kami fikirkan sebaik-baiknya sebelum membuat sebarang keputusan," ujarnya.
Turut hadir dalam sidang media itu adalah ibu Lisa, Siti Amira Ahmad, ibu bapa Yusry, Abdul Halim dan Zarina Fenner selain abang sulungnya, Norman Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif, Metrowealth International Group (MIG), David Teo.
Ibu Lisa ketika ditanya mengenai perkahwinan anaknya berkata, dia tidak mempunyai sebarang halangan mengenai siapa pilihan anak gadisnya itu dan membiarkannya memilih lelaki yang dirasakan sesuai untuk dijadikan suami.
"Sudah tentu saya gembira dengan perkahwinan anak saya selain menganggap Yusry adalah seorang lelaki yang baik dan saya merestui perkahwinan ini," ujarnya.
Manakala ibu yusry, Zarina berkata, Lisa adalah seorang yang mudah didekati dan gembira dengan kehadirannya dalam hidup Yusry dan mengambil berat tentangnya.
"Lisa sangat disukai oleh semua ahli keluarga saya kerana sifat ramahnya dan saya gembira dia sangat mengambil berat tentang Yusry," katanya.
mStar Online : Lisa & Yusry Nikah 23 Februari:

'via Blog this'

Saturday, July 16, 2011

Pernikahan ala Titanic


SAMA CANTIK...Johan menyarungkan cincin di jari Farah selepas majlis akad nikah di atas Cruise Tasik, Putrajaya.
SAMA CANTIK...Johan menyarungkan cincin di jari Farah selepas majlis akad nikah di atas Cruise Tasik, Putrajaya.

PUTRAJAYA: Selepas enam tahun menyulam cinta, akhirnya bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2) juga pengacara, Farah Diana Anuar atau Farah, 26, selamat diijab kabul dengan jejaka pilihan hati Johan Johari, 26 tahun dalam majlis pernikahan ala Titanic, di sini semalam.
Pasangan itu dinikahkan pada kira-kira jam 4.35 petang oleh mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abd Aziz dengan disaksikan hampir 60 tetamu termasuk keluarga kedua-dua pihak di atas bot persiaran Cruise Putrajaya. Dalam majlis pernikahan yang pertama kali diadakan seumpamanya, Farah turut menerima mas kahwin berjumlah RM2,500 dan wang hantaran RM25,185, selain tujuh dulang hantaran termasuk sirih junjung, senashkah al-Quran serta barangan perhiasan peribadi dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan.

Sewaktu majlis membatalkan air sembahyang, Johan menyarungkan seutas gelang tangan dan sebentuk cincin kepada Farah, sementara penyanyi mula mencipta nama menerusi lagu Antara Dua itu turut menyarungkan sebentuk cincin ke jari suaminya.
Ditemui sebaik majlis selesai, Farah berkata dia memang mengimpikan majlis pernikahan sedikit berbeza dan idea diberikan rakan agar diadakan di atas bot persiaran dirasakan cukup menarik.

“Apabila perkara ini dirujuk kepada pihak pengurusan Cruise Putrajaya, mereka bersetuju dan berkata belum ada lagi orang mengadakan majlis pernikahan di atas bot dan saya yang pertama,” katanya.

Walaupun sudah berkahwin, Farah yang kini aktif dalam bidang pengacaraan berkata, dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa, namun dia keberatan untuk aktif berlakon.
“Selepas berkahwin saya akan menetap bersama suami di Pulau Pinang kerana dia berasal dari sana dan mempunyai perniagaan perlu diuruskan. Bagaimanapun kami akan datang ke Kuala Lumpur jika ada urusan,” katanya.

Pada majlis itu Farah turut membuat kejutan kepada suami dengan mengumumkan dia menghadiahkan Johan, percutian ke Pulau Maldives seperti yang diidamkan suaminya sebagai bulan madu mereka.
Mereka akan ke sana minggu depan dan pulang sehari sebelum Ramadan.myMetro | Pernikahan ala Titanic

Saturday, July 2, 2011

Tiga artis popular bernikah



TOMOK dinikahkan bapa mentuanya, Abas, malam tadi.
TOMOK dinikahkan bapa mentuanya, Abas, malam tadi.

Noh Hujan-Mizz Nina, Tomok akhiri zaman bujang

KUALA LUMPUR: Vokalis Hujan, Noh atau nama sebenarnya, Mohd Noh Salleh, 27, dan juara One In A Million 3 (OIAM3), Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 27, masing-masing menamatkan zaman bujang mereka di ibu negara, malam tadi.
Noh menikahi penyanyi popular yang juga anak kelima Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim, Shazrina atau Mizz Nina sempena hari lahir Mizz Nina yang ke-31.
Majlis akad nikah berlangsung di kediaman keluarga Mizz Nina di Ampang, secara tertutup.

Manakala Tomok diijabkabulkan dengan pramugari Penerbangan Malaysia (MAS), Siti Rahayu Abas, 32, di Dewan Serbaguna, Taman Sri Keramat, dekat sini.

Noh dinikahkan bapa Mizz Nina, Azman sambil disaksikan imam Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Mohamed Khairi Husin. Mas kahwin RM888 serta tujuh dulang hantaran daripada pengantin lelaki dan dibalas dengan jumlah sama oleh pengantin perempuan.

Noh menyerahkan wang hantaran berjumlah RM 11,111.11. Acara pernikahan diikuti dengan majlis persandingan tertutup di Hotel Shangri-La, esok.
Manakala majlis resepsi untuk kenalan industri hiburan dan media dijadual berlangsung di Hotel Double Tree by Hilton di sini, Rabu ini. Majlis bertemakan gaya Jepun itu turut mengundang rakan artis seperti Misha Omar, Altimet dan band dari Indonesia untuk membuat persembahan.

Sementara itu, Tomok yang bertemu jodoh dengan Siti Rahayu selepas lapan tahun bercinta, dinikahkan bapa mentuanya, Abas Mohd Saidon disaksikan Pegawai Tadbir Agama dan Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Gombak, Daim Jajuli.

Pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300, sembilan dulang hantaran dibalas 11 dulang hantaran oleh pengantin perempuan. Manakala wang hantaran pula berjumlah RM12,697.11. Berita Harian Online | Tiga artis popular bernikah

Wednesday, May 18, 2011

‘Kami kahwin di Satun’

myMetro"
LANGKAWI: “Kami sudah berkahwin dan jangan ada pihak cuba ganggu dan musnahkan rumah tangga yang baru dibina ini,” kata pelajar pintar bawah umur, Halimaton Abd Rashid, 16, yang pernah mencetuskan kontroversi awal tahun lalu kerana mahu berkahwin pada usia muda.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Parit (SMK) Panjang dan berasal dari Kampung Lanai, Kupang, Baling itu mengaku sudah berkahwin dengan teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 20, pada 7 April lalu di Satun, Thailand.
“Apa yang berlaku sepanjang dua tahun kami berkenalan adalah ketentuan Ilahi dan saya bersyukur kerana kami akhirnya disatukan sebagai suami isteri walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan.

“Alhamdulillah, keluarga saya khususnya ibu (Normah Abd Mutalib) sudah dapat menerima Adam (Mohamad Noor) sebagai suami saya,” katanya ketika ditemui di rumah bapa saudara suaminya di Kampung Sungai Kedak, semalam.


Halimaton berkata, dia dan suaminya berkesempatan pulang ke kampung di Baling minggu lalu untuk bertemu ibunya, selain beramah mesra dengan ahli keluarga."

Thursday, May 12, 2011

Bekas isteri Datuk K bernikah

12 MEI 2011: Datuk Rayyan Joseph King menyarungkan cincin pernikahan dijari Tengku Zawyah pada majlis pernikahan pasangan tersebut di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Tengku Zawyah adalah bekas isteri Datuk K. - Utusan/MOHD FARIZWAN HASBULLAH

Sunday, May 8, 2011

Fazren kahwin ikut cara Melayu lama



Fazreen bersama pasangannya, Sharifah Marlina Asyikin Syed Hasan.


SHAH ALAM 7 Mei - Pelakon drama bersiri Spa Q, Mohd. Fazren Mohd. Rafi memilih konsep kenduri cara kampung untuk majlis resepsi perkahwinan dengan pasangannya, Sharifah Marlina Asyikin Syed Hasan biarpun ia cuma diadakan di sebuah dewan di sini hari ini.
Mohd. Fazren atau lebih dikenali sebagai Fazren, 26, berkata, pada majlis persandingannya dengan Marlina Asyikin, 25, para hadirin bukan sahaja disajikan dengan makanan tradisional Melayu seperti ubi kayu rebus, malah dekorasi pelamin juga seperti berada dalam istana kesultanan Melayu zaman silam.
"Saya sengaja memilih konsep ini bagi mengembalikan semula nostalgia kenduri kahwin orang Melayu zaman dulu. Antaranya saya selitkan acara joget lambak dan acara menabur duit syiling kepada kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah," katanya.
Mohd. Fazren yang berasal dari Klang, Selangor berharap konsep perkahwinan itu terus dihidupkan memandangkan kebanyakan majlis perkahwinan orang Melayu sekarang lebih banyak dipengaruhi oleh elemen kontemporari yang boleh menyisihkan budaya kaum itu.
Majlis resepsi itu diadakan selepas pasangan terbabit melangsungkan pernikahan mereka pada 1 Mei lalu di Batu Gajah, Perak dengan mas kahwin RM101.

Friday, May 6, 2011

Sultan Kelantan sedia untuk berkahwin




SULTAN MUHAMMAD (kanan) bersalam dengan wartawan sebelum sidang akhbar di Istana Negeri, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam memberi gambaran bahawa baginda bakal berkahwin.
Dalam satu sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini kelmarin bagi mengumumkan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu ini, Sultan Muhammad ditanya sama ada baginda akan berkahwin.
Sambil tersenyum baginda, menjawab: "Insya-Allah saya berdoa, Insya-Allah Tuhan akan makbul."
Sultan Muhammad, 42, yang membahasakan diri baginda sebagai 'saya' atau 'kita', berharap berkat doa pemimpin dan pembesar negeri serta sahabat, perkahwinan baginda akan menjadi kenyataan.
"Jadi saya fikir dengan berkat doa Tok Guru (Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat), datuk-datuk, sahabat-sahabat, Insya-Allah (perkahwinan) akan berjaya," titah baginda.
Sultan Muhammad yang dimasyhurkan pada 13 September tahun lepas menggantikan bapa baginda, Sultan Ismail Petra, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.
Baginda yang terkenal dengan sifat mendekati rakyat dengan berkopiah dan berjubah adalah putera sulung Sultan Ismail Petra.-kosmo
Sebelum ini baginda pernah mendirikan perkahwinan dengan bekas isteri, Tengku Zubaidah Tengku Norudin, namun tidak dikurniakan cahaya mata. - Bernama.

Saturday, April 30, 2011

Majlis gilang-gemilang


WILLIAM menyarungkan cincin perkahwinan kepada Kate di hadapan Ketua Biskop pada upacara perkahwinan mereka di Westminster Abbey, semalam.

WILLIAM menyarungkan cincin perkahwinan kepada Kate di hadapan Ketua Biskop pada upacara perkahwinan mereka di Westminster Abbey, semalam.

LONDON: Putera William mengahwini Kate Middleton dalam suasana gilang-gemilang di Gereja Westminster Abbey di London, semalam, dengan jutaan rakyat jelata dan penonton televisyen di seluruh dunia menyaksikan acara perkahwinan diraja yang terbesar di Britain sejak tiga dekad lalu.
Kate memakai gaun pengantin satin putih gading yang kembang berjela dengan lengan panjang berenda dilengkapi vel jarang amat menawan ketika berdiri di altar bersama William, yang menduduki tangga kedua senarai pewaris takha di raja Britain.

“Saya setuju,” ucap bakal raja dan pemasiuri itu secara bergilir-gilir sebelum William menyarungkan cincin diperbuat daripada emas Wales pada jari Kate sebelum Ketua Biskop Canterbury, Rowan Williams mengumumkan mereka sebagai suami isteri. Majlis itu adalah upacara diraja yang amat gilang -gemilang sejak perkahwinan ibu William, Puteri Diana yang berkahwin dengan Putera Charles pada 1981 dan memberi kesempatan untuk keluarga diraja Britain memulihkan hubungan selepas perceraian Charles dan Diana.
Ketiadaan Diana yang mati dalam nahas kereta di Paris pada 1997 amat dirasai sepanjang majlis berlangsung dan muzik yang dimainkan pada hari perkahwinan 30 tahun lalu dan ketika majlis pengebumiannya di tempat yang sama dimainkan semula ketika majlis berlangsung, semalam.

Dua juta orang - satu pertiga penduduk dunia - didipercayai menonton majlis perkahwinan anak sulung Diana yang berkahwin dengan orang biasa, wanita yang berpacaran dengannya di Universiti St Andrews, Scotland sejak lapan tahun lalu. Sebaik beratus ribu orang mengibarkan Union Jack di London, Kate melambai ke arah mereka sejurus tiba di Abbey bersama bapanya, Michael dengan menaiki limosin Rolls-Royce. Dia mengambil masa empat minit untuk berjalan menuju ke altar yang dihiasi dengan pokok yang dibawa khas bagi menghidupkan suasana taman Inggeris.

William atau William Arthur Philip Louis - putera sulong Diana dan pewaris takhta kedua - tiba di Abbey 45 minit sebelum itu, diiringi adik dan juga pengiringnya Putera Harry. Selepas menjalani upacara perkahwinan pasangan pengantin baru itu menaiki kereta kuda dari Abbey menuju ke Istana Buckingham di mana mereka muncul di balkoni sambil berkucupan dengan disertai anggota keluarga diraja yang lain. - AFP