Wednesday, September 29, 2010

Polis buka kertas siasatan





KUALA LUMPUR 28 Sept. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung kes seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam di sebuah gereja di Kuching, Sarawak, baru-baru, mengikut Akta Hasutan 1948.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu yang dianggap boleh mengugat ketenteraman kaum.
Katanya, berikutan itu, pihaknya mengarahkan polis Sarawak mengambil tindakan sewajarnya.
"Kita telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan paderi terbabit dan ia dikendalikan oleh polis Sarawak untuk siasatan di bawah Akta Hasutan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, PDRM telah diarah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat tindakan seorang paderi yang didakwa menyampaikan ceramah menghina Islam.
Beliau berkata, ceramah yang dimuat naik ke dalam laman web YouTube itu merupakan satu tindakan biadab dan boleh mengugat keharmonian negara.
Beliau yang berang dengan perbuatan itu meminta PDRM merujuk kepada pejabat Peguam Negara merangka tindakan boleh diambil terhadap paderi terbabit.
Akhbar melaporkan pendedahan Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah.
Paderi tersebut dilaporkan menghina Islam ketika menyampaikan ceramah di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.
Zainol dalam blognya http://mahaguru58.blogspot.com meminta pihak berkuasa bertindak sebelum umat Islam bertindak sendiri.

Pihak berkuasa diminta kumpul bukti



KUALA LUMPUR 28 Sept. - Pihak berkuasa diminta mengumpul bukti lengkap berhubung isu seorang paderi di Sarawak yang dikatakan menghina umat Islam dan Rasulullah SAW dalam ceramahnya yang disiarkan dalam laman YouTube baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, bukti yang kukuh penting untuk menghadapkan paderi berkenaan ke muka pengadilan.
''Kita tidak mahu ada benda (bukti) penting yang tercicir supaya paderi berkenaan akan dapat disabitkan dengan kesalahan serta menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya bersama-sama menjaga sensitiviti agama,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar bertajuk Kemelut Peradaban Remaja Masa Kini: Perspektif al-Quran dan al-Sunnah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.
Seminar dua hari itu dianjurkan oleh Yayasan Taqwa (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) dengan kerjasama Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam UM dan Panel Sosial Majlis Perundangan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Turut hadir Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Ahmad Ayob Ibrahim dan Pengarah Akademi Pengajian Islam UM, Prof. Dr. Ahmad Hidayat Buang.
Jamil Khir mengingatkan semua pihak termasuk bukan Islam supaya memahami sensitiviti agama lain sebelum ia mencetuskan perkara yang tidak disenangi.
Beliau berkata, ini kerana sensitiviti agama bukan melibatkan seorang individu sahaja sebaliknya seluruh penganut sesuatu agama.
''Semua pihak kena terima bahawa Islam agama rasmi Persekutuan di samping memberi kebebasan beragama kepada penganut agama lain,'' katanya.
Dalam pada itu, Jamil Khir menyarankan universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menganjurkan seminar berkaitan remaja secara berterusan supaya dapat mencari idea bernas bagi melahirkan generasi muda yang baik pada masa depan.
Katanya, seminar yang diadakan sekali setahun masih belum cukup untuk mencari pendekatan bagi menyelesaikan kemelut yang melanda remaja masa kini.
''Jawapan kepada kemelut ini mesti bersifat konkrit dan realiti supaya ia dapat disesuaikan dengan kehidupan golongan itu,'' katanya.

SKMM diarah siasat video paderi hina Islam: Rais

 

KUALA LUMPUR - Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya membuat siasatan serta merta terhadap klip video dalam laman YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam. 

Rais berkata, beliau telah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi berkenaan dalam klip video itu. 

“Kita akan buat siasatan secepat mungkin mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, saya sendiri akan tentukan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin,” katanya kepada media selepas merasmikan seminar “Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di Rantau Tropika” di sini, semalam. 

Rais berkata, isu itu adalah hal yang serius dan kementerian akan mengambil tindakan, tidak kira di mana ia dipancarkan sama ada menerusi laman YouTube atau Yahoo, asalkan ia disiarkan di negara ini kepada pendengar dan pemerhati internet. 

“Saya juga akan hubungi pihak penguat kuasa supaya semua laporan dan siasatan SKMM yang dikemukakan dapat perhatian segera oleh mereka,” katanya. - Bernama

27 GRO asing dicekup lagi tak sampai 24 jam



29/09/2010 5:17pm

GEORGETOWN - Walaupun baru diserbu 24 jam lepas, sebuah pusat hiburan di Jalan Burma di sini tidak serik, malah meneruskan perkhidmatan menawarkan aktiviti tidak bermoral mereka seperti biasa.
Jika dalam serbuan Jabatan Imigresen Isnin lepas seramai 24 wanita asing dari China dan Vietnam ditahan, semalam pasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman pula menahan 27 wanita asing.
Dalam serbuan “Ops Noda” yang bermula kira-kira pukul 11.30 malam tadi hingga 2.30 pagi ini, polis menahan 20 wanita China dan tujuh wanita vietnam dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di premis itu. - Bernama

Pengsan dipukul tauke restoran

TEMERLOH: Gara-gara enggan membayar harga minuman RM30, seorang buruh menerima padah apabila dipukul pemilik sebuah restoran di Taman Siva Garden, Mentakab dekat sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, mangsa berusia 40 tahun dari Kemayan, dekat Bera, pengsan di restoran berkenaan selepas dipukul serta cedera di kepala.

Sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakan minum di restoran berkenaan sebelum dihampiri pemilik kedai berusia 30 tahun yang memberitahu mahu menutup kedainya kerana sudah lewat.

Ketika pemilik terbabit meminta wang bayaran minuman, mangsa bersama dua rakan enggan berbuat demikian dan terus mahu pulang menyebabkan pemilik kedai berang sebelum mengambil rotan dari dalam restoran.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, belum sempat mangsa menyelamatkan diri, pemilik kedai bersama seorang pekerja terus memukul mangsa beberapa kali termasuk di kepala.

Menurutnya, melihat mangsa jatuh tersungkur, dua rakannya melarikan diri meninggalkan mangsa keseorangan menahan kesakitan sebelum pengsan di tempat kejadian.
Ahmad Fadzillah berkata, pada masa sama, orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian menghubungi polis sebelum sepasukan anggota tiba di restoran itu kira-kira 15 minit kemudian.

Katanya, polis menghantar mangsa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini, untuk rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh.

“Dua rakan mangsa yang melarikan diri gagal dikesan dan masih tidak membuat laporan berhubung kejadian itu.

“Mangsa lebam dan luka di kepala akibat dibelasah dengan rotan dan polis menahan pemilik restoran itu bersama pekerjanya kerana terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan kejadian itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata

Nik Aziz ajak ahli UMNO sertai Pas demi perpaduan Melayu




KOTA BAHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak ahli UMNO agar menyertai Pas sebagai cara menangani isu perpaduan orang Melayu.

Mursyidul Am Pas itu berkata, ini kerana parti berkenaan mewakili semua yang beragama Islam, dan sewajarnya orang Melayu yang juga orang Islam berada di dalam parti tersebut.

"UMNO tak payah bertanding selama-lama dan duduk dalam sebuah parti, iaitu Pas. Kalau boleh, tak perlu ada parti orang Melayu lain selain dari Pas," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan agar UMNO tidak menandingi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Takiyuddin sebaliknya mencadangkan kerusi itu diserahkan kepada Pas, demi perpaduan orang Melayu selain mengelakkan pergeseran berpanjangan antara dua parti utama orang Melayu tersebut.

Nik Abdul Aziz juga menegaskan perkara tersebut sudah sekian lama menjadi hasratnya.

Ditanya mengenai calon untuk pilihan raya kecil tersebut, Nik Aziz berkata, Pas tidak mempunyai masalah untuk memilih calonnya.

"Sebagai sebuah parti yang sentiasa berada dalam persiapan sama ada musim pilihan raya atau tidak, soal calon sudah lama dikenal pasti, cuma ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Apatah lagi apabila Pas sudah ada kelab penyokong bukan Islam iaitu Cina yang boleh diletakkan sebagai calon jika perlu, cuma ia akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti," katanya.

Main kutu haram di Malaysia




MAIN kutu yang popular di kalangan masyarakat rupa-rupanya salah di sisi undang-undang. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Aktiviti main kutu yang popular di Malaysia dan banyak dianjurkan secara kecil-kecilan di kalangan masyarakat di negara ini sejak dahulu lagi rupa-rupanya salah di sisi undang-undang.
Ramai yang tidak menyedari hakikat itu. Mengikut undang-undang, tidak ada individu mahupun syarikat di negara ini dibenarkan menganjurkan pelaburan wang kutu termasuk aktiviti mengutip wang orang lain bagi tujuan membina rangkaian perniagaan.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhd. Redzuan Abdullah berkata, kegiatan itu dilarang mengikut Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
"Pelaburan itu sama sekali tidak dibenarkan memandangkan ia menimbulkan kekhuatiran berlaku penyelewengan yang akan merugikan pelaburnya.
"Skim kutu diharamkan. Jika sabit kesalahan individu terbabit bakal berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3 akta yang sama," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Abu Bakar minta Ariel sembahyang, taubat



ARIEL menunjukkan isyarat bagus di tingkap ibu pejabat polis di Jakarta, beberapa hari lalu. - AGENSI



JAKARTA 28 Sept. - Guru agama Abu Bakar Bashir yang ditahan di pusat tahanan ibu pejabat polis Indonesia bersama Nazriel Irham alias Ariel sering mengajak penyanyi itu sembahyang lima waktu.
Menurut pembantu peribadi guru agama itu, Hasyim Abdullah, Abu Bakar sering menasihati Ariel supaya rajin sembahyang dan bertaubat.
"Abu Bakar ditempatkan di bilik tahanan yang berhadapan dengan bilik tahanan Ariel dan mereka berdua sering berkomunikasi.
"Dia mengetahui bahawa Ariel adalah seorang penyanyi terkenal selepas dimaklumkan oleh penghuni lain di dalam tahanan itu," kata Hasyim di Jakarta hari ini.
Abu Bakar sering menjadi imam ketika penghuni pusat tahanan itu sembahyang lima waktu mahupun sembahyang Jumaat.
Tokoh agama itu ditangkap bersama-sama beberapa pengawalnya oleh Detasmen 88 di daerah Banjar, Ciamis, Jawa Barat pada 9 Ogos lalu.
Polis mengesyaki Abu Bakar terlibat dengan kegiatan merekrut pengganas di Aceh kerana melantik Dulmatin sebagai ketua pelatih serta menerima laporan kegiatan pengganas di Aceh.
Sementara itu, Ariel menjadi suspek kes video lucah bersama kekasihnya Luna Maya dan artis Cut Tari. - Agensi

Jenazah Chek Hashim selamat dikebumi



Anak-anak Allahyarham Chek Hashim Sulaima (gambar kecil) menyiram air mawar ke pusaranya di Tanah Perkuburan Kampung Kerinting, Gua Musang, semalam. – utusan/Rosni Masri


GUA MUSANG 28 Sept. – Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Allahyarham Chek Hashim Sulaima, 46, yang meninggal dunia akibat barah paru-paru petang semalam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kerinting dekat sini kira-kira pukul 1.30 pagi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Tengku Muhammad Faiz, Bandar Baru Gua Musang yang diimamkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Turut hadir, kepimpinan Pas Kelantan termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Nasuruddin Daud dan Naib Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Datuk Norzula Mat Diah yang juga ADUN Paloh.
Kira-kira 500 penduduk di kawasan tersebut hadir pada majlis pengkebumian tersebut.
Chek Hashim, 46, meninggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 4.30 petang semalam selepas menderita barah paru-paru sejak setahun lalu.
Allahyarham dimasukkan ke hospital tersebut sejak lima hari lalu selepas mengikuti rawatan tradisional sejak 14 September lalu di sekitar Kuala Lumpur.
Chek Hashim meninggalkan dua isteri iaitu Che Bongsu Junuh dan Aida Zakaria, 49, serta 12 anak berusia antara enam bulan hingga 19 tahun.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua Pas kawasan Gua Musang, Husin Embong berkata, ia merupakan satu kehilangan yang besar kepada penduduk di kawasan ini.
“Allahyarham telah menjalankan tugas dengan amat baik dan mesra dengan rakyat. Biarpun pernah tewas beliau tidak kecewa dan terus bekerja untuk memastikan Pas mendapat sokongan.
“Alhamdulillah hasil berkat usahanya, Allahyarham berjaya menembusi kubu kuat UMNO pada pilihan raya umum lalu," katanya.

Siasat klip video paderi hina Islam serta-merta



KUALA LUMPUR 28 Sept. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarah membuat siasatan serta-merta berhubung klip video dalam laman web YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, beliau telah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video itu.
''Kita akan buat siasatan segera di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan saya sendiri akan pastikan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di Rantau Tropika di sini hari ini.
Menurut Rais, isu itu merupakan hal yang serius dan kementerian akan mengambil tindakan tidak kira di mana ia dipancarkan sama ad a menerusi laman web YouTube atau Yahoo asalkan ia disiarkan kepada pendengar dan pemerhati Internet di negara ini.
Dalam perkembangan lain Rais berkata, beliau telah berhubung dengan pihak penguat kuasa supaya semua laporan dan siasatan SKMM yang telah dikemukakan kepada mereka mendapat perhatian segera.