Sunday, January 26, 2014

Thailand setuju tangguh pilihan raya


26 Januari 2014

Thailand setuju tangguh pilihan raya
Thailand setuju tangguh pilihan raya Ribuan penyokong antikerajaan berhimpun di luar Mahkamah Persekutuan bagi mendesak hakim mengulingkan Yingluck. Foto: EPA



BANGKOK - THAILAND . Kerajaan sementara Thailand setuju secara bersyarat untuk menangguhkan pilihan raya yang dijadualkan 2 Februari ini.

Jurucakap pemangku Perdana Menteri Varathep Rattanakorn berkata, penangguhan itu boleh dilaksanakan jika penunjuk perasaan membatalkan perhimpunan pungutan suara di mahkamah.

“Mereka (penunjuk perasaan) mesti berjanji tidak akan menghalang pungutan suara baru dan tidak lagi menimbulkan kekecohan. Jika mereka ingkar rundingan antara kerajaan sementarahakim dan Suruhanjaya Pilihan Raya hanya sia-sia,” katanya menurut laporan Bangkok Post.

Sementara itu, SPR akan bertemu dengan pemangku Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan hakim-hakim Mahkamah Perlembagaan bagi membincangkan penangguhan pungutan suara selepas mahkamah memutuskan Yingkluck harus membincangkan tarikh pilihan raya baru dengan Pengerusi SPR, Supachai Somcharoen, Isnin ini.

Tindakan itu dilakukan bagi memberi keadilan dan menghentikan pertumpahan darah yang telah meragut lima nyawa dan puluhan cedera sejak bulan lalu.

'Terus perjuangkan Islam'

'Terus perjuangkan Islam'Orang ramai mengiringi jenazah Allahyarham Harun untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Persendirian Kampung Padang Ujib, Manir, Kuala Terengganu, semalam. Kuala Terengganu: “Teruskan perjuangan Islam.” Itu pesanan keramat terakhir Datuk Harun Taib kepada anak sulungnya, Hilmi Harun, sebelum Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal pagi semalam.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu meninggal dunia pada usia 71 tahun, jam 12.17 pagi, akibat komplikasi penyakit kencing manis yang semakin serius sejak seminggu lalu.

Hilmi, 36, yang menyifatkan pemergian bapanya ke rahmatullah sebagai kehilangan sebutir permata pejuang Islam berkata, keadaan Allahyarham mula tidak stabil sejak seminggu lalu kerana mengalami luka yang mula merebak hingga menyebabkan jangkitan kuman.


“Beberapa hari sebelum dimasukkan ke hospital, penyakit kencing manis dihidapinya semakin serius dan tidak stabil. Allahyarham mengalami luka yang kemudian merebak dan menyebabkan jangkitan kuman kepada organ dalaman termasuk buah pinggang.

“Kami sekeluarga reda dengan kematian bapa dan pemergian beliau adalah sebagai seorang pejuang Islam. Sudah sampai masa bapa ‘berehat’ sebagai seorang pejuang Islam. Seluruh anak didik Allahyarham akan menyambung perjuangan Islam yang dipelopori dan diasuh oleh beliau.

“Malah, sebelum meninggal dunia, Allahyarham juga sempat berpesan kepada saya supaya terus teguh dan tabah dalam memperjuangkan Islam dan saya akan pegang amanatnya itu,” katanya sambil menambah keadaan kesihatan bapanya kurang stabil sejak 2010 dan pernah mengalami minor strok.

Perkuburan persendirian
Jenazah Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir selama lima penggal selamat dikebumikan di tanah perkuburan persendirian milik keluarganya di Kampung Padang Ujib, Manir, di sini, jam 11 pagi semalam.

Terdahulu jenazah Allahyarham yang dikenali sebagai pemimpin PAS paling lantang memperjuangkan hak Islam termasuk isu kalimah Allah dan hudud, disembahyangkan di Markaz Tarbiyah PAS (Kolej Universiti Darul Quran Islamiyah) di Kubang Lembek, Manir, jam 10 pagi.

Lebih 5,000 orang termasuk pemimpin kanan PAS dan pemimpin Barisan Nasional (BN) menziarahi dan mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dengan berjalan kaki tiga kilometer.

Antara pemimpin yang hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Suasana di tanah perkuburan juga sayu dengan esak tangis hadirin yang meratapi pemergian Allahyarham. Malah, Abdul Hadi yang terlalu sebak dengan kehilangan rakan seangkatannya itu dilihat beberapa kali menyeka air mata.

Presiden PAS itu enggan ditemu bual media kerana terlalu sedih.

Aplikasi beri maklumat selamat serangan bom

Aplikasi beri maklumat selamat serangan bomBeirut: Penduduk Lubnan kini memiliki satu aplikasi telefon bimbit yang direka khusus untuk memaklumkan kepada keluarga atau orang tersayang bahawa mereka terselamat sekiranya berlaku sebarang serangan bom berikutan meningkatnya kejadian ganas di sana.

“I am Alive (Saya masih hidup)” adalah ciptaan seorang pelajar sarjana Lubnan yang tinggal di Paris, Sandra Hassan, 26 di mana ia membolehkan pengguna segera mengirimkan mesej standard twitter selepas sesuatu serangan bom berlaku.

“Saya masih hidup!” dengan hashtag #Lubnan dan #LatestBombing.

Sandra memuatnaik aplikasi telefon pintar berkenaan berikutan satu serangan bom bunuh diri di selatan Beirut di Haret Hreik yang membunuh empat penduduk.


Bergegas dapatkan telefon

“Setiap kali ada letupan atau kejadian seumpamanya di Lubnan, kita semua bergegas mendapatkan telefon untuk memaklumkan keluarga atau rakan bahawa kita masih hidup atau bekerja di kawasan terbabit di mana kita perlu berhubung dengan mereka,” kata Sandra kepada AFP.
Masalah berkenaan menjadi lebih buruk kepadanya kerana beliau tinggal jauh dari keluarga dan rakan di Lubnan.

“Selepas letupan pada Selasa lalu, saya ciptakan dan siarkan aplikasi ini sebagai jenaka, bahawa dalam situasi berkenaan kita memerlukan aplikasi ini yang amat praktikal,” katanya.

Aplikasi untuk telefon Android itu bagaimanapun masih baru dan belum memiliki jumlah pengguna yang sudah memuat turunnya.

Tetapi Sandra berkata beliau terkejut dengan minat yang ditunjukkan terhadap ciptaannya itu untuk keadaan di Lubnan.

Malah beliau turut berjanji kepada pengguna aplikasi terbabit bahawa beliau turut merancang satu aplikasi baru untuk membolehkan ahli politik Lubnan terus memberi komen mereka apabila berlaku serangan.

Lubnan bukan asing dengan keganasan apabila ia mengalami perang saudara selama 15 tahun yang berakhir pada 1990 dan satu siri pembunuhan politik sejak 2005. - AFP

Model jadi setiausaha presiden paling miskin

Model jadi setiausaha presiden paling miskin
Mujica (gambar kecil) dan Leis. 
Montevideo: Presiden Uruguay, Jose Mujica menjadi bahan berita apabila beliau dikatakan mempunyai seorang setiausaha yang juga model seksi ketika sebuah akhbar Brazil menyifatkan pemimpin itu sebagai presiden paling miskin di dunia.

Fabiana Leis, 33 yang bekerja di pejabat presiden itu sejak 2002 pada masa sama juga bekerja sebagai seorang model, aktres dan seorang penari.

“Di Uruguay susah untuk hidup jika anda hanya bergantung kepada seni semata-mata,” kata Leis dalam temubual dengan Clarin.

Leis juga menarik perhatian umum apabila muncul menjadi model dengan berbogel dalam sebuah majalah Uruguay, Fevvi pada 2011.

Akhbar Korean Herald menyifatkan tidak seperti rakyat Korea, penduduk tempatan di Uruguay tidak pernah mempersoalkan aktivitinya di mana kakitangan kerajaan akan didakwa jika melakukan perbuatan seperti itu sedangkan mereka masih dalam perkhidmatan awam.

Malah model terbabit dikatakan turut mengedarkan 200 kalendar berkenaan kepada rakan sekerjanya di pejabat presiden itu.

Presiden Mujica, terkenal kerana penampilan beliau yang hanya menaiki motosikal ketika menjadi ahli parlimen selepas 14 tahun merengkok di dalam penjara atas kesalahan anti kerajaan ketika pemerintahan bekas tentera.
Presiden berusia 78 tahun itu menjalani kehidupan paling ringkas dengan hanya menerima 10 peratus daripada gajinya berjumlah AS$1,200 (RM3,988) manakala selebihnya didermakan.

Presiden Mujica dan isterinya memiliki harta yang amat sedikit berbanding presiden lain termasuk hartanah bernilai AS$1,870 (RM6,234), dua kereta bernilai AS$5,520 (RM18,348) dan tiga traktor serta peralatan ladang bernilai AS$18,993 (RM63,132).

Presiden itu tinggal di sebuah rumah ladang yang hampir roboh dengan kain bersidaian di luarnya. Bekalan airnya adalah dari sebuah perigi di halaman rumahnya yang sudah ditumbuhi banyak lalang. Tidak ada pengawal keselamatan lengkap bersenjata, yang ada hanya dua anggota polis dan seekor anjing berkaki tiga, Manuela yang berkawal di luar rumah berkenaan.

AGENSI

Presiden Perancis akan berpisah dengan teman hidup



GAMBAR fail menunjukkan Hollande dengan Valerie-Trierweiler di Paris pada 1 Oktober 2013.


PARIS - Presiden Perancis, Francois Hollande bakal mengumumkan beliau akan berpisah dengan teman hidupnya, Valerie-Trierweiler.
Pengumuman itu dibuat selepas pihak media menyiarkan laporan Hollande menjalin hubungan sulit dengan seorang aktres, Julie Gayet.
Hollande sebelum ini hidup dengan Valerie-Trierweiler, 48, sejak tahun 2006 tanpa melangsungkan perkahwinan.
Dua minggu lalu, majalah Closer mengeluarkan laporan yang menyatakan, Hollande menjalin hubungan sulit dengan Gayet.
Ia menyiarkan beberapa keping gambar yang menunjukkan Presiden Perancis itu memakai topi keledar selepas menunggang sebuah skuter untuk menemui aktres tersebut.
Liputan berita itu telah menyebabkan dasar-dasar Hollande yang properniagaan tidak mendapat perhatian orang ramai.
Menurut tinjauan pendapat, Hollande, 59, merupakan Presiden Perancis paling tidak popular dalam sejarah moden negara ini. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2rS4FrjDZ 
Hakcipta terpelihara 

Kerajaan Thailand sedia tangguh pilihan raya


Suthep Thaugsuban bersama penyokongnya ketika menyertai tunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK 25 Jan. - Kerajaan sementara Thailand bersedia menangguhkan pilihan raya umum yang dijadualkan pada mulanya pada 2 Februari ini dengan syarat penunjuk perasaan antikerajaan menghentikan bantahan mereka di ibu negara dengan serta-merta.
Portal berita Bangkok Post yang memetik sumber Pejabat Perdana Menteri sementara Yingluck Shinawatra melaporkan, penunjuk perasaan juga perlu berjanji tidak menghalang atau memulaukan pilihan raya baharu jika tarikh asal ditunda.
Menurut laporan itu, Yingluck bersedia berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya, yang sebelum ini mendesak agar pilihan raya itu ditangguhkan ekoran kebimbangan proses pengundian boleh terganggu oleh tunjuk perasaan.
Semalam, Mahkamah Perlembagaan memutuskan bahawa kerajaan dan suruhanjaya terbabit mempunyai kuasa untuk menangguhkan pilihan raya di negara ini.
Keputusan tersebut, sekali gus memberi tekanan kepada kerajaan pimpinan Yingluck yang menetapkan 2 Februari ini sebagai tarikh pilihan raya, ketika tunjuk perasaan antikerajaan semakin memuncak di Bangkok.
Proses pengundian awal dijadual bermula esok, namun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini oleh Yingluck berhubung isu penangguhan pilihan raya itu oleh mahkamah.
Sementara itu, ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban berjanji penyokongnya tidak akan mengganggu proses pengundian awal itu.
Jelas Thaugsuban, penunjuk perasaan tidak akan menghalang orang ramai untuk turun mengundi, namun bantahan akan tetap diteruskan di 50 pusat pengundian di ibu negara.
"Kami akan memujuk orang ramai yang ingin mengundi agar menyertai tunjuk perasaan bagi mendesak pembaharuan dilaksanakan di Thailand," katanya kepada Bangkok Post.
Bagaimanapun beliau tidak memberi sebarang kenyataan berhubung kesediaan kerajaan untuk menangguhkan pilihan raya jika tunjuk perasaan dihentikan. - DPA/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140126/lu_03/Kerajaan-Thailand-sedia-tangguh-pilihan-raya#ixzz2rRxPhnAr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Presiden Perancis, teman wanita berpisah?


PARIS 24 Jan. - Presiden Perancis, Francois Hollande dijangka mengumumkan perpisahannya dengan teman wanitanya, Valerie Trierweiler, hari ini ekoran pendedahan media tentang hubungan sulitnya dengan seorang pelakon.
Akhbar Journal du Dimanche melaporkan Trierweiler, 48, yang menjadi teman wanita Hollande sejak 2006, merancang ke India untuk lawatan amal dan pemimpin Perancis itu mahu menyelesaikan hubungan mereka sebelum Trierweiler berlepas ke India.
"Kenyataan akhbar dari Istana Elysee (kediaman Presiden) dijangka disiarkan pada bila-bila masa hari ini," jelas akhbar tersebut.
Seorang jurucakap Presiden yang dihubungi enggan mengulas lanjut tentang laporan itu dan jurucakap Trierweiler turut berbuat demikian.
Trierweiler, seorang penulis dengan majalah Paris Match, tidak berkahwin dengan Hollande tetapi dianggap memegang tugas sebagai Wanita Pertama Perancis pada majlis rasmi sejak Hollande dipilih sebagai Presiden pada Mei 2012.
Dua minggu lalu, majalah hiburan Closer menyiarkan laporan tentang skandal Hollande dengan pelakon tempatan, Julie Gayet.
Majalah itu turut mendakwa Hollande memakai topi keledar dan menaiki skuter untuk menemui Gayet pada waktu malam.
Presiden berusia 59 tahun itu mempunyai empat orang anak dalam hubungannya dengan pemimpin kanan Parti Sosialis, Segolene Royal, sebelum ini.
Royal mengumumkan berpisah dengan Hollande selepas beliau tewas di tangan Nicolas Sarkozy pada pilihan raya Presiden 2007. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140126/lu_06/Presiden-Perancis-teman-wanita-berpisah#ixzz2rRxBmIAl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Presiden UAE stabil selepas pembedahan akibat strok


DUBAI 25 Jan. - Presiden Emiriah Arab Bersatu (UEA), Sheikh Khalifa Zayed al-Nahayn telah menjalani pembedahan selepas diserang penyakit strok dan kini berada dalam keadaan stabil, lapor agensi berita WAM hari ini.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Presiden, Sheikh Khalifa mengalami strok semalam yang menyebabkan beliau terpaksa menjalani pembedahan, namun tiada maklumat terperinci tentang hal itu diumumkan. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140125/lu_13/Presiden-UAE-stabil-selepas-pembedahan-akibat-strok#ixzz2rRx0Z6H9
© Utusan Melayu (M) Bhd