Showing posts with label leukemia. Show all posts
Showing posts with label leukemia. Show all posts

Sunday, February 27, 2011

Keluarga pelajar hidap leukemia mohon bantuan




KAMALIA Kamaruzzaman (tengah) diberikan kata-kata semangat oleh Siti Mahfuzah Mohd. Bakin dan Kamaruzzaman Sulaiman di rumah mereka di Sungai Tiang Darat, Bagan Datoh, Perak, semalam. - mingguan/Ainsafre Bidin


BAGAN DATOH 26 Feb. - Keluarga Kamalia Kamaruzzaman, 16, yang menderita penyakit leukemia sejak tahun lalu, merayu bantuan orang ramai untuk menanggung kos rawatannya.
Menurut bapa Kamalia, Kamaruzzaman Sulaiman, 44, sejak menghidap penyakit itu, seluruh anggota badan anaknya lemah.
"Rambut Kamalia sering gugur dan hidung serta mulutnya juga kerap berdarah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Tiang Darat, Selekoh dekat sini, hari ini.
Menurut Kamaruzzaman, dia memerlukan RM700 sebulan untuk perbelanjaan rawatan ubat anaknya.
"Saya orang susah dengan berniaga menjual nasi campur di gerai tepi jalan dan pendapatan RM600 sebulan.
"Hasil pendapatan itu digunakan untuk menanggung tujuh orang anak masih bersekolah dan ia tidak mencukupi," katanya sambil menambah sejak anaknya sakit, pendapatannya terjejas kerana tidak dapat berniaga.
Beliau pernah mengemukakan permohonan bantuan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi masih belum mendapat jawapan.
Sehubungan itu, Kamaruzzaman berkata, dia merayu mana-mana pihak untuk membantu meringankan bebannya mengubati penyakit leukemia yang dihadapi anaknya.
Ibu Kamalia, Siti Mahfuzah Mohd. Bakin, 40, berkata, anak ketiga daripada tujuh beradik itu memerlukan perhatian dan bantuan bagi merawat penyakitnya itu.
"Saya sedih apabila melihat Kamalia sering menangis kerana tidak dapat menahan kesakitan yang dialaminya," ujarnya.
Sementara itu, Kamalia yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Razak, Selekoh berkata, setiap hari dia menangis kerana tidak mampu menahan kesakitan.
"Saya menangis kerana tidak mahu mati sebaliknya mahu terus menolong ibu bapa saya.
"Saya sering berdoa memohon supaya Allah dapat menyembuhkan penyakit saya bagi membolehkan saya berbakti kepada orang tua saya," katanya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Monday, November 15, 2010

Kanak-kanak empat tahun derita penyakit leukemia




PEKAN – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun terpaksa bertarung nyawa dengan penyakit leukemia yang dihidapinya sejak Jun lalu. 

Bapanya, Abdul Razak Ali, 55, berkata, dia menyedari penyakit anak bongsunya itu, Siti Zubaidah daripada enam beradik itu selepas dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada penghujung bulan Jun lepas. 

”Pada mulanya anak saya itu hanya demam biasa kat rumah selepas itu dia mengalami masalah darah yang keluar dari hidung dan muka dia nampak lebam-lebam. 

”Kami kemudiannya bawa di ke Hospital Pekan sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan masa itu kami masih belum tahu apa penyakit dia sebenarnya,” katanya ketika ditemui media di rumahnya di sini, semalam. 

Abdul Razak berkata, selepas di rujuk ke HTAA, doktor mengarahkan supaya anaknya itu dibawa ke HKL untuk tindakan lanjut. 

Katanya, Siti Zubaidah kemudiannya ditahan di HKL selepas dibawa ke sana pada 29 Jun lepas sebelum mengetahui keputusan anaknya itu mengidap penyakit Leukemia diketahui pada keesokannya. 

“Selepas sebulan lebih berada di HKL doktor memaklumkan anak saya sudah tidak mempunyai harapan sembuh dan membenarkannya dibawa pulang ke rumah,” katanya. 

Beliau berkata, meskipun sudah tidak mempunyai harapan sembuh, dia masih tidak berputus asa untuk mengubati penyakit leukemia yang ditanggung anaknya itu. 

Menurutnya, selepas diarah pulang dari HKL semalam dia berhasrat merawat penyakit anaknya yang berada di tahap akhir dengan perubatan tradisional. 

“Perkara yang merunsingkan kami adalah bayaran kos perubatan yang ditanggung selepas menerima rawatan di HKL hampir mencecah RM5,000 yang masih tertunggak. 

“Siti Zubaidah telah menerima dua kali pembedahan memasukkan dua wayar ke bahagian paru-paru dan jantung sepanjang berada di HKL,” katanya. 

Abdul Razak berkata, dia yang bekerja sebagai pembersih kebun hanya memperoleh pendapatan di antara RM300 hingga RM400 sebulan untuk menyara keluarganya dan tidak mampu menampung kos tersebut. 

”Justeru saya memohon bantuan mana-mana pihak untuk penyakit yang ditanggung oleh anak saya ini, kalau boleh mintak selamatkan anak saya,” katanya. 

Sebarang bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Bumiputra Commerce bernombor akaun 1210-0014164-52-8 atau alamatkan kepada Abdul Razak Ali, No B46, Kampung Baru Cenderawasih, Sungai Miang, Pekan atau hubungi talian 013-9071613. 

Sementara itu, ibu Siti Zubaidah, Supilah Husin, 50, berkata, mereka sekeluarga berharap agar bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung mereka sekeluarga. 

Katanya, Siti Zubaidah yang dilahirkan sihat kini menerima rawatan bulanan termasuk kos ubat-ubatan hampir RM400 sebulan.