Thursday, May 27, 2010

Judi: Dua mufti sudah terima memo PAS

Pemuda PAS berjaya menyerahkan memorandum kepada mufti di dua negeri supaya pakar agama itu memainkan peranan dalam isu pemberian lesen judi bola sepak.

Setakat
 ini, dua mufti negeri-negeri - Johor dan Kedah - sudah menerima memorandum tersebut semalam.

"Pada 25 Mei (semalam) Pemuda PAS negeri elah menghantar memorandum kepada mufti Johor (Datuk Mohd Tahrir Shamsuddin) mengenai desakan bantahan judi bola sepak," kata Ketua Pemudanya Nasrudin Hassan.

Di Kedah pula, ketua pemuda negeri Ahmad Yahaya baru sahaja menyerahkan memorandum bantahan yang sama kepada pejabat mufti petang ini.

Diiringi ahli parlimen Padang Terap Nasir Zakaria, Ahmad berkata morandum tersebut diserahkan melalui timbalan muftinya Syeikh Marwazi Dziyauddin.

Tarikh serahan di negeri-negeri lain setakat ini masih belum ditetapkan.

Malaysiakini
 difahamkan kesemua Pemuda PAS negeri diarahkan menyerahkan memorandum bantahan kepada pihak mufti negeri masing-masing sebelum Julai ini.

Sementara itu, Nasrudin menjelaskan pihaknya merangka kempen menyeluruh bagi membantah pemberian lesen judi, termasuklah mengadakan forum, ceramah dan penganjuran "perlawanan bola sepak bertemakan antijudi".

"Saya akan buat senarai untuk sesi jelajah (kempen)," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Bagaimanapun, tambah Nasrudin, tarikh program tersebut belum ditetapkan kerana ia masih dalam peringkat perancangan.

Katanya menjelang perhimpunan besar mereka pada 3 Julai ini, Pemuda PAS juga akan menghantar surat bantahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Judi bola: Pengarah Jais diminta nyata pendirian


Dzulfikar Mashoor   
SHAH ALAM, 26 Mei: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi diminta menyatakan pendirian peribadi dalam isu kerajaan Pusat meluluskan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.
Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (gambar), Khusrin sepatutnya tidak mengambil sikap berdiam diri kerana hukum berjudi jelas haram di sisi Islam.
Sehubungan itu, Khalid mencabar Khusrin mengambil sikap lantang dengan mengkritik pemimpin Umno dalam isu itu sebagaimana yang pernah dilakukan dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ di kalangan masyarakat bukan Islam suatu ketika dahulu.
“Dalam isu judi, hukumnya haram mutlak, kenapa Khusrin tidak naikkan sepanduk sebagaimana beliau menentang pendirian PAS, Pakatan Rakyat dulu,” jelas beliau di pejabatnya, petang ini.
Disebabkan Khusrin masih tidak menyatakan penderian sejak isu judi tersebut meletus, Khalid turut mempersoal kredibilitinya sebagai penjawat awam di Jais sendiri.
“Adakah diam Khusrin ini disebabkan kesetiaannya pada Umno serta masih terkenang jawatannya setiausaha politik bagi Muhammad Muhd Taib (bekas Menteri Besar) suatu ketika dulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mendakwa Khusrin sebagai dalang  Umno dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
Ini kerana, dakwaannya, Khusrin bertanggungjawab menghalang para pendakwah berkhutbah di masjid.
Namun, selepas beliau sendiri mendedahkan gambar kain rentang Majlis Bacaan Yaasin Memenangkan Calon BN, Khusrin dilihat mengambil sikap berpeluk tubuh, seakan tidak mahu mempertikai Umno BN yang cuba membawa politik kepartian ke masjid.
Selain mempertikai Khusrin, Khalid turut mendesak Jais, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) serta Mufti Selangor, Datuk Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid supaya menyuarakan protes terhadap pemimpin Umno negeri dan Pusat.
Dalam perkembangan yang lain, beliau berkata, pihaknya turut mengutus surat memohon sembah kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya Tuanku Sultan perkenan untuk mempengaruhi Majlis Raja-Raja Malaysia mendesak kerajaan membatalkan lesen judi bola secepat mungkin.

Gadis bawah umur ikut “suami” ke Lombok selamat pulang



26/05/2010 5:16pm

KUCHING 26 Mei – Seorang gadis bawah umur Steffanie Liana anak Langka, 15, dari Mukah selamat pulang ke Sarawak pagi ini selepas menempuh pelbagai pengalaman pahit ketika ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana memasuki negara tersebut secara tidak sah.
Steffanie atau nama Islamnya, Liana Abdullah berasal dari Rumah Nangkai Nanga Maga Mukah dikatakan mengikut “suaminya” Tohri Jadi Jaya, 22, ke Lombok Timur 26 Mac lalu selepas mereka dikahwinkan secara Islam oleh seorang rakan Tohri di rumah panjang tempat Liana tinggal 10 Okt tahun lalu.
"Selepas kami hidup bersama, saya yang tidak mempunyai MyKad dan pasport antarabangsa bersetuju dengan pelawaan Tohri untuk ke Lombok atas sebab untuk memperkenalkannya dengan keluarga Tohri di sana.
"Namun apabila sampai di sana saya telah berhadapan dengan pelbagai kesukaran hidup,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) di sini hari ini.
Liana yang tiba pada 1.00 pagi dari Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 9.00 pagi di KIA ditemani Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh sebelum meneruskan penerbangan ke Sibu petang ini.
Katanya, dia berkahwin dengan Tohri, pemandu jengkaut di sebuah ladang di Mukah hanya selepas tiga hari berkenalan dan perkahwinan tersebut mendapat restu daripada neneknya.
Liana yang kini mengandung lima bulan bagaimanapun berkata, dia masih lagi sayangkan suaminya namun buat masa sekarang dia hanya mahu tinggal bersama keluarga di kampung dan terpulang kepada suaminya untuk datang ke Sarawak selepas ini. – Bernama

GMJ seru seluruh rakyat sertai bantahan judi



Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 26 Mei: Sekretariat Gerakan Membantah Judi (GMJ) mendesak Kerajaan Malaysia segera menarik balik pemberian lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang akan bermula Jun ini.

GMJ yang berpusat di Kedah disertai oleh sayap pemuda ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PAS, PKR dan DAP), Pemuda Gerakan serta 20 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Mereka membuat gesaan tersebut dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat wakil mereka malam tadi.

GMJ menegaskan, mereka akan menggunakan apa sahaja cara dan ruang yang ada untuk membantah keputusan yang disifatkan sebagai 'tidak masuk akal' itu.

"Kami juga menyeru seluruh rakyat negeri Kedah, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik untuk bangkit membantah keputusan ini," kata kenyataan itu.

GMJ kesal dan kecewa dengan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein bahawa lesen judi itu diluluskan bagi mengawal aktiviti perjudian haram dan dengan pengawalan kerajaan, aktiviti itu akan dapat dilakukan dengan lebih teratur.

Sebaliknya mereka menegaskan bahawa kewujudan judi sukan ini akan menambahkan lagi kemusnahan institusi keluarga dan masyarakat serta meruntuhkan tamadun manusia walaupun mendatangkan perolehan lumayan kepada negara dalam bentuk kewangan.

Dalam kenyataan itu GMJ juga memberitahu mereka bukan mahu menghalang kemajuan sukan negara bahkan akan terus menyokongnya namun industri sukan negara akan hancur apabila ia terlibat dengan pertaruhan.

Selain itu, mereka berpandangan kerajaan wajib mendapatkan pandangan awam yang menentang kelulusan lesen baru di samping kewujudan lesen-lesen yang ada yang sudah terlalu banyak serta mahu kerajaan bertindak untuk mendapatkan sumber yang baik untuk membangunkan negara ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah, Nasir Zakaria ketika dihubungi Harakahdaily hari ini mengulangi seruan kepada seluruh rakyat untuk menyertai Himpunan Membantah Judi yang akan diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani, selepas solat Jumaat, 28 Mei ini.

Beliau juga memberitahu, Pemuda Gerakan yang menyokong penuh bantahan itu sedang menunggu kelulusan daripada Gerakan Pusat untuk sama-sama menyertai himpunan itu.

"Pemuda Gerakan memang menyatakan kenyataan bersama tapi untuk himpunan mereka tidak boleh sertai sehingga mendapat kelulusan daripada Gerakan Pusat.

"Mereka bersama membantah tapi polisi parti itu kalau dapat permit baru boleh turut serta," katanya yang juga ahli parlimen Padang Terap.

10,000 orang dijangka hadir perhimpunan anti-Samy Ahad



26/05/2010 8:19pm

PETALING JAYA 26 Mei – Seramai 10,000 orang dijangka menghadiri pelancaran Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Ahad ini, melebihi jangkaan awal 7,000 orang, dakwa bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan.
"Pada hari itu, saya kata 7,000 orang tetapi sekarang angka itu telah meningkat kepada 10,000 orang kerana kami sedang mendapatkan sokongan daripada pelbagai pihak,” kata Mugilan pada sidang akhbar di sebuah restoran India di sini hari ini.
Mereka yang dijangka datang termasuk anggota MIC, pemegang saham Maika dan kaum India yang bukan anggota MIC.
Mugilan juga berkata, beliau sendiri yang telah menempah Dewan Merdeka di PWTC untuk perhimpunan pada Isnin lepas dan bukan UMNO seperti yang didakwa oleh Ketua Pemuda MIC, T. Mohan semalam.
Oleh kerana dewan tersebut boleh menempatkan kira-kira 5,000 orang, beberapa layar besar akan dipasang di luar dewan untuk yang lain mengikuti perhimpunan itu.
Mugilan, yang dipecat oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu Khamis lepas mendesak Presiden MIC itu berundur Julai ini. – Bernama

Proton dengan rasminya sahkan perbincangan dengan VW



26/05/2010 8:35pm

SHAH ALAM 26 Mei – Proton Holdings Bhd. dengan rasminya telah mengesahkan perbincangan dengan Volkswagen (VW) dan keputusannya akan dimaklumkan dalam tempoh dua minggu.
"Kami akan membuat pengumuman bila tiba waktunya, mungkin dalam tempoh satu atau dua minggu,” kata Pengerusinya, Datuk Nadzmi Mohd. Salleh apabila ditanya mengenai keputusan perundingan Proton-Volkswagen.
Beliau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Terdahulu, Pengarah Urusan Proton Group, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir mengumumkan keputusan kewangan berakhir 31 Mac, 2010, di sini hari ini.
Untuk tahun kewangan, beliau berkata, Proton mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM285 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM319 juta dalam tempoh yang sama tahun 2009.
Beliau berkata, yang pendapatan mengembang sebanyak 27 peratus kepada RM8.23 bilion berbanding RM6.49 bilion sebelumnya, dirangsang oleh jualan menggalakkan tiga model terasnya iaitu Saga, Persona dan Exora.
Proton turut mencapai kenaikan lapan peratus dalam jumlah jualan domestiknya, sekali gus meningkatkan penguasaan pasaran kepada 28 peratus daripada 26 peratus sebelumnya. – Bernama

Tanah KTMB di Singapura tak boleh dibangun



PUTRAJAYA 26 Mei - Kementerian Pengangkutan hari ini menjelaskan tapak tanah yang dimiliki oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura hanya dibenar untuk digunakan bagi tujuan melibatkan perkhidmatan kereta api.
Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, pertikaian sesetengah pihak bahawa tanah tersebut sepatutnya dimanfaatkan oleh kerajaan Malaysia untuk tujuan-tujuan lain adalah tidak berasas.
''Persoalan sesetengah media dan blog yang mempertikaikan kenapa kerajaan tidak membangunkan tanah di Tanjong Pagar adalah tidak berasas.
''Mengikut perjanjian yang ada, tanah di Tanjong Pagar tidak boleh digunakan untuk tujuan lain yang tidak mempunyai kaitan dengan kereta api.
''Singapura berhak mengambil alih hak tanah itu sekiranya tanah di Tanjong Pagar digunakan untuk tujuan lain, kita selama ini mematuhi perjanjian yang ada," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Malaysia dan Singapura sebelum ini bersetuju stesen KTMB di Tanjong Pagar dipindah ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) pada 1 Julai 2011.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, perpindahan tersebut turut melibatkan pemindahan kemudahan Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) Malaysia dari Tanjong Pagar ke Woodlands.

17 pelajar agama terima biasiswa RM5.1 juta





BIASISWA 1MALAYSIA... NAJIB Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom bersama sebahagian daripada 17 pelajar yang menerima biasiswa 1Malaysia di Putrajaya, semalam. Mereka adalah lulusan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia dari sekolah menengah agama negeri dan sekolah menengah agama rakyat. Setiap seorang daripada mereka menerima biasiswa RM300,000 bagi tempoh pengajian selama enam tahun dalam bidang perubatan di Mesir. – Utusan/Zaki Amiruddin


PUTRAJAYA 26 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menunaikan satu lagi janjinya apabila menyerahkan surat tawaran biasiswa 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) bernilai RM5.1 juta kepada 17 pelajar cemerlang aliran agama bagi melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Mesir.
Pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari sekolah menengah agama negeri (SMAN) dan sekolah menengah agama rakyat (SMAR) itu menerima biasiswa sebanyak RM300,000 bagi tempoh enam tahun pengajian.
Perdana Menteri berkata, beliau mahu melihat pelajar agama yang cemerlang itu menjadi golongan ulul albab selain mempunyai pilihan yang luas dalam bidang pengajian termasuk dalam kursus kritikal yang diperlukan negara.
‘‘Ini bagi mereka yang hendak meneruskan pengajian untuk menjadi pegawai agama yang mana kita dapat lihat mereka bertugas di Pusat dan negeri-negeri.
“Di samping itu, saya juga sedar bahawa kita perlu memberi satu lagi pilihan kepada mereka yang ingin meneruskan pengajian dalam bidang kritikal kerana ini juga terangkum dalam hasrat kita untuk melahirkan umat cemerlang dan membangunkan tamadun Islam yang berjaya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB berkata demikian pada majlis penyampaian surat tawaran biasiswa tersebut di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin dan Timbalan Menteri di JPM, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.