Thursday, November 18, 2010

PKR semakin cacamarba – Shahrizat..ha.ha..kak ijat...bila nak masuk PKR..!!

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Pergerakan Wanita UMNO percaya sesiapa yang dipilih untuk memimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu tidak akan mendapat kepercayaan rakyat.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, ramai yang merasakan pemilihan dalam parti itu diibaratkan satu permainan yang cacamarba, main sana, main sini dan kerana itu pemimpin yang menang tidak akan diyakini.
Menurutnya, daripada apa yang beliau baca melalui blog dan media, sesiapa yang menang dalam pemilihan itu tidak boleh dianggap hebat dan diambil sebagai serius.
“Pada pemerhatian saya, proses pemilihan parti itu tidak mengikut sistem tertentu sebaliknya semua sistem boleh dilakukan seperti cacamarba,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidiladha Wanita UMNO di perkarangan Dewan Jinjang Utara D di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Kepong, Senator Datuk Rizuan Hamid; Ketua Pemudanya, Norizan Ali dan Ketua Puteri, Norshamsi Omar Talib.
Shahrizat yang juga Ketua Wanita Bahagian Kepong mengulas proses pemilihan pemimpin PKR dan keputusan calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim yang mengundur diri dan bakal menubuhkan parti baru.
Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu, beliau tidak menjangka perpecahan dalam PKR berlaku lebih awal daripada yang dijangkakan dan seterusnya tidak hairan Zaid menarik diri daripada pemilihan parti itu.
Dalam pada itu, beliau percaya rakyat Malaysia bijak dan mampu untuk menghitung apa yang sedang berlaku dan seterusnya tahu siapa yang akan mereka pilih pada pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, rakyat mengikuti perkembangan politik PKR dan seterusnya mengambil iktibar mengenainya.
Shahrizat menambah, PKR ditubuhkan tanpa visi, ideologi atau idealisme perjuangan bagi membantu rakyat dan negara sebaliknya untuk menentukan individu tertentu menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Beliau menambah, rakyat masih bernasib baik kerana mengetahui kerapuhan PKR itu lebih awal.
Katanya, di mana-mana beliau pergi termasuk kawasan Parlimen Lembah Pantai, ramai pengundi menyatakan kesal kerana membuat keputusan salah berlandaskan tsunami politik pada pilihan raya lalu.
“Kemenangan wakil rakyat PKR di Lembah Pantai tidak membela atau memperjuangkan nasib penduduk di kawasan tersebut sebaliknya mereka diabaikan.
“Saya boleh bercakap demikian kerana setelah berkhidmat tiga penggal membina satu-satunya kawasan dengan 20,000 keluarga setinggan hingga menjadi kawasan Parlimen yang hebat tetapi hari ini semuanya sudah ‘hancur’,” katanya.
Bagaimanapun Shahrizat mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang banyak membantu penghuni di kawasan tersebut.
PKR semakin cacamarba – Shahrizat..ha.ha..kak ijat...bila nak masuk PKR..!!

Selepas Aminulrasyid, Polis Tembak Mati Pula Remaja 16 Tahun

aminul
KUALA LUMPUR 18 Nov - Badan hak asasi manusia, Suara Malaysia (Suaram) mengutuk keras tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang menembak mati tiga suspek anak muda yang disyaki terlibat dalam satu kes rompakan sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam pada
pukul 4.15 pagi 13 November lalu.

Malah dalam kejadian itu salah seorang yang ditembak mati oleh anggota polis adalah remaja di bawah umur berusia 16 tahun, Mohd Shamil Hafiz Shafie.

Kematian tragis Mohd Shamil merupakan remaja bawah umur yang kedua ditembak mati oleh polis selepas kes kematian Aminulrasyid Anzah, 14 tahun pada 26 April tahun ini.

"Kami amat kecewa atas alasan polis terhadap insiden tersebut yang menuduh bahawa polis terpaksa menembak mati ketiga-tiga suspek kerana ketiga-tiga  menyerang polis dengan menggunakan parang. Kalau supsek hanya menggunakan parang, mengapa kesemua mereka di tembak mati? Adakah sebarang amaran diberikan oleh polis kepada suspek? Versi polis dalam setiap kes penembakan mati adalah sama dan mereka selalu menggunakan faktor keselamatan diri untuk justifikasi penngunaan senjata api di mana sehingga hari ini  pasukan polis tidak pernah mendedahkan konteks penggunaan senjata api oleh pihak polis di Malaysia.

"Kami memahami risiko keselamatan bertugas sebagai polis namun kami tidak boleh menerima cara polis yang selalu menggunakan senjata api dan menembak mati seseorang suspek. Perlembagaan Persekutuan Artikel 5 (1) jelas menyatakan setiap individu perlu menghormati hak bernyawa setiap manusia," kata Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung dalam satu kenyataan semalam.

Sehubungan itu Suaram menyeru Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar segera mengemukakkan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (IGSO) yang dituntut oleh rakyat dan membuktikan bahawa beliau serius dalam melaksanakan pendekatan 4P yang dilaung-laungkannya.
"Kami menyeru agar satu Suruhanjaya yang bebas dan berdikari ditubuhkan untuk menyiasat segala kes penembakan mati oleh polis dengan serta- merta.

"Kami tidak boleh menerima bahawa IGSO sebagai bahan sulit kerana ia melibatkan kepentingan keselamatan dan nyawa setiap rakyat dan ia sepatutnya diumunkan. Ini dengan jelas membuktikan bahawa penggunaan senjata api oleh polis tidak diimbangi oleh pemeriksaan awam dan
sekaligus menyebabkan tahap akauntabiliti yang amat rendah di dalam institusi polis.

"Oleh kerana ketiadaan prosedur yang kukuh untuk memastikan setiap kes tembakan polis seperti ini dilaporkan dan disiasat secara bebas dan menyeluruh, timbul keraguan sama ada pihak polis sememangnya menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri ataupun sengaja menggunakan terhadap suspek untuk memudahkan penyelesaian kes mereka," tegas beliau lagi.

Heng Lung berpendapat penggunaan senjata dan tidak memberikan hak untuk suspek membela diri adalah salah dari segi undang-undang hak asasi.

Tambah beliau, penembakan mati anak muda bawah umur Mohd Shamil merupakan satu pelanggaran terhadap  Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Kanak-Kanak (CRC) terutamanya  Artikel 16 (1) & (11) dan Artikel 37 yang memberi perlindungan terhadap kanak-kanak bawah undang-undang dan terlindung dari sebarang hukuman yang tidak berperikemanusiaan ataupun penangkapan tanpa bicara.

"Penyalahgunaan kuasa di kalangan PDRM dan penindasan terhadap hak asasi manusia adalah masalah serius yang jelas wujud dalam PDRM, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia.

"Kami menyeru pihak polis berhenti mengunakan alasan kononnya menyelesaikan kes jenayah dan untuk keselamatan polis dengan terpaksa menembak mati sesiapa suspek . Kami percaya pihak polis adalah terlatih dan berprofesional serta sanggup mengikuti prosedur penggunaan senjata api yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Suaram menuntut agar pihak Kerajaan melaksanakan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya DiRaja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia terutama menubuhkan Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dengan segera," ujar Heng Lung.Selepas Aminulrasyid, Polis Tembak Mati Pula Remaja 16 Tahun

Konsert Namewee batal



KUANTAN - Pertunjukan penyanyi rap kontroversi, Namewee yang dijadualkan Sabtu ini di sebuah pusat hiburan, di sini, dibatalkan apabila mendapat bantahan banyak pihak. 

Pemilik pusat hiburan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Wong ketika dihubungi semalam mengesahkan perkara itu dan menyatakan ia berlaku akibat salah faham. 

Beliau berkata, pengelola pertunjukan berkenaan sebelum ini datang menemuinya untuk menyewa premis berkenaan bagi pertunjukan seorang artisnya. 

“Dia menawarkan harga yang tinggi, saya pun tidak tanya siapa artis itu,” katanya. 

Wong berkata, dia hanya menyedari artis berkenaan ialah Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee setelah kain rentang pertunjukan itu digantung di premisnya, Isnin lalu. 

Lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) di Pahang membantah pertunjukan individu itu yang pernah mencetuskan kontroversi mempersendakan lagu Negaraku dalam sebuah laman sesawang pada 2007 selain menghasilkan klip video yang mencerca guru serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar. 

Wong berkata, dia juga dinasihatkan polis dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) supaya membatalkan pertunjukan itu. 

Pemilik pusat hiburan itu juga mempamerkan kain rentang memaklumkan pembatalan pertunjukan berkenaan. 

Sementara itu di Temerloh, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang membantah sekeras-kerasnya pertunjukan itu kerana bimbang akan mencetuskan perkara tidak diingini.: 

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimmi Samat berkata, bantahan itu bukan bersifat perkauman, tetapi bagi menjaga keamanan kerana sebelum ini pemuda terbabit pernah mengguris perasaan rakyat negara ini. 

“Kita mahukan penghibur yang baik, bersih dan berakhlak mulia serta boleh menjadi idola kepada semua kaum,” katanya. - Bernama

Perintah henti kerja landasan kereta api berkembar di Pulau Pinang ditarik balik


GEORGE TOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini menarik balik perintah berhenti kerja bagi projek landasan kereta api berkembar Ipoh-Padang Besar selepas kontraktornya, MMC Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MMC-Gamuda JV), memberi surat jaminan mengenai langkah-langkah mencegah banjir.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, bahawa selepas menerima jaminan itu hari ini, kerajaan negeri telah mengarahkan Majlis Perbandaran Seberang Perai supaya mengeluarkan surat kepada MMC-Gamuda JV bagi memberitahu bahawa larangan itu telah ditarik balik.

Perintah henti kerja itu dikeluarkan Jumaat lepas oleh kerajaan negeri dengan alasan projek itu boleh menyebabkan banjir.

Lim berkata, syarikat itu telah memberi jaminan ia sedia merobohkan mana-mana landasan sedia ada untuk tujuan tebatan banjir dan juga akan bertanggungjawab memberi pampasan jika berlaku banjir disebabkan oleh projek itu.

MMC-Gamuda JV adalah kontraktor utama projek landasan elektrik sejauh 329 kilometer itu yang menelan belanja RM12.5 bilion dan dijangka siap pada 2013.

Anwar hina tanah air sendiri: Abdullah





2010/11/18

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyifatkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan Malaysia sebuah negara Islam moden sebagai satu penghinaan terhadap tanah air sendiri. 

"Mengapa jadi penghinaan? Dia (Anwar) yang menghina, sebab itu dia kata itu penghinaan. Mungkin sudah ada dalam fikiran dia yang kita ini hina...kita tak dapat terima pandangan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.Abdullah diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pembangkang itu bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.
Anwar berkata demikian semasa ditemubual Sky News Australia dua hari lalu dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa. 

Terdahulu, Abdullah mengisytiharkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai Tapak Warisan Semula Jadi Negara di Dataran FRIM, Kepong di sini. 

Dalam ucapannya, Abdullah berkata pengisytiharan itu telah memberi pengiktirafan kepada institut yang ditubuhkan pada 1929 itu sebagai satu daripada institusi penyelidikan perhutanan tropika yang terulung di dunia. 

"Ternyata setelah lebih 80 tahun, kawasan FRIM yang dahulunya terdiri daripada kawasan terbiar yang ditumbuhi belukar, telah berjaya dipulihkan. 
"Oleh itu kawasan FRIM boleh diisytiharkan sebagai kawasan model pemulihan hutan yang terbaik melalui usaha penanaman dan penjagaan yang teratur," katanya. 

Abdullah berkata, FRIM sebagai kawasan hutan buatan manusia yang terbesar di dunia seluas 485.2 hektar perlu meningkatkan dan mengembangkan industri perhutanan negara supaya tidak dilihat hanya tertumpu kepada industri balak semata-mata. 

"FRIM mesti bersama dengan Jabatan Perhutanan mewujudkan satu industri perhutanan yang bukan hanya sekadar memberi permit kepada orang untuk tebang pokok tetapi menjadi pusat untuk menghasilkan banyak tanaman yang mempunyai nilai harga dari segi perubatan, ubat tradisional dan farmaseutikal. 

"Kita juga berharap FRIM akan mengembangkan usahanya dengan membuka institut penyelidikan yang lebih besar di setiap negeri supaya persekitaran hutan hujan seperti ini dapat kita wariskan kepada generasi akan datang," katanya. 

Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abdul Latif Mohmod, pula berkata penggunaan polisterin serta beg plastik akan mula diharamkan di kawasan FRIM mulai Januari tahun depan bagi meningkatkan amalan mesra alam dalam kalangan pengunjung ke FRIM. 

"Langkah lain yang mungkin kita akan kuatkuasakan ialah meningkatkan caj masuk ke FRIM dari RM5 ke RM7, (tetapi) jika orang ramai serahkan sampah sarap yang mereka bawa masuk kepada kita di pintu keluar, kita akan kembalikan semula caj tambahan RM2 itu," katanya. - BERNAMA 

Lembu 'gergasi' korban bernilai RM11,500



Foto BHM




MARANG: Sambutan Aidiladha tahun ini agak istimewa bagi penduduk daerah ini apabila seekor lembu 'gergasi' bernilai RM11,500 ($4,767) dikorbankan semalam di Surau Taman Safiah Murni, di sini.Pengerusi surau, juga pengerusi Korban Perdana perumahan tersebut, Encik Mohd Zainasir Taib, 45 tahun, berkata lembu berusia tiga tahun 10 bulan itu dibeli daripada seorang penternak dari Kampung Teluk Pasui, Manir, Kuala Terengganu.'Semua tujuh peserta lembu korban baka Charolais Mega dari Thailand ini masing-masing membayar RM1,600 dan mereka dijangka menerima daging sebanyak 60 kilogram seorang.'Kebiasaannya penduduk membeli lembu korban berharga antara RM2,600 dengan RM3,500 seekor, dan tahun ini sebanyak enam ekor lembu dikorbankan,' tambahnya. -- BHM.

Kes Roslin-Faizah: Keputusan merayu luar masa 29 Disember


ROSLIN Hashim (kanan) ketika hadir di Mahkamah Rayuan Syariah, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 16 Nov. - Bekas isteri pemain badminton negara, Roslin Hashim akan mengetahui pada 29 Disember ini keputusan permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memfailkan rayuan di luar masa berhubung kes tuntutan ganti rugi perkahwinan berjumlah RM53,460.
Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Syarie, Tan Sri Ibrahim Lembut menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak di Mahkamah Rayuan Syariah di sini hari ini.
Hakim Ibrahim bersidang bersama Hakim-Hakim Syarie, Datuk Mohd. Yusof Che Teh dan Datuk Hussin Harun.
Terdahulu ketika membantah permohonan tersebut, peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili Roslin selaku responden mendakwa, pemohon, Faizah Mohamad telah secara cuai atau sengaja gagal memfailkan rayuan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Ini kerana pemohon merupakan pihak yang menerima keputusan dalam kes bantahan awal dan menurut Arahan Amalan No. 13 Tahun 2001, penerima keputusan mempunyai hak untuk merayu dan tidak digalakkan membuat semakan kehakiman.
Peguam syarie, Mohammad Amir Nazli Hussin yang mewakili Faizah pula menghujahkan bahawa pihaknya mengikut prosedur yang sepatutnya dan ia perkara biasa dilakukan oleh mana-mana pihak.
"Jadi saya membantah hujah responden yang mengatakan pemohon telah sengaja cuai atau gagal dalam memfailkan rayuan tersebut mengikut tempoh masa yang ditetapkan," katanya.
Faizah memfailkan kebenaran untuk merayu di luar masa berikutan tempoh 14 hari yang dibenarkan untuk memfailkan rayuan telah berakhir.
Permohonan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi Syariah membatalkan semakan kehakiman itu pada 19 April lalu dengan alasan Faizah sepatutnya memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah pada 25 Januari lalu yang menolak bantahan awal Faizah dan bukannya semakan kehakiman.
Isu ganti rugi perkahwinan tersebut mendapat perhatian apabila Roslin atau nama penuhnya, Muhammad Roslin Hashim, 35, menuntut semua perbelanjaan yang dikeluarkan semasa merisik, bertunang dan berkahwin.
Antara yang dituntut ialah cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).
Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran jurunikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).
Turut dituntut ialah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).
Pasangan itu terdahulunya menjadi tumpuan awam apabila perkahwinan mereka hanya bertahan selama 12 hari dan ketika perbicaraan mengesahkan perceraian itu, Roslin telah bersumpah bahawa tidak berlaku persetubuhan dalam tempoh tersebut.
Pasangan itu bernikah di rumah Faizah di Puchong pada 1 Februari tahun lalu dan lapan hari kemudian majlis bertandang di rumah Roslin di Kampung Sirih, Kota Bharu dengan wang hantaran RM15,000.
Pada 12 Mei tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya memutuskan pasangan tersebut sah bercerai dan talak tersebut jatuh dalam kategori bain sughro (talak yang tidak boleh rujuk kembali kepada perkahwinan asal).
Bekas jaguh badminton itu kemudian berkahwin semula dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 39, pada 9 Julai lalu tetapi bercerai talak satu selepas perkahwinan itu mencecah usia 28 hari.
Pada 1 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, memutuskan lafaz cerai yang diucapkan oleh Roslin kira-kira pukul 8.32 malam, 7 Ogos lalu di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang dekat sini adalah lafaz yang sorih (jelas) dan sah.

Jambatan runtuh, ibadat korban terjejas


Dua penduduk melihat struktur bahagian tengah jambatan kayu yang merentangi Sungai Jelai terputus dua akibat banjir di Kampung Gemuncur, Kuala Lipis, kelmarin. - utusan/ Haris Fadilah Ahmad


KUALA LIPIS 17 Nov. - Ibadah korban di tujuh kampung di Cheka Satu, dekat sini terjejas apabila jambatan kayu di Sungai Jelai runtuh dihanyutkan arus deras kelmarin.
Lima penempatan yang terputus hubungan itu ialah Kampung Gemuncur, Kampung Baru, Kampung Tanjung Jelai, Kampung Batu Bor, Kampung Batu Tunggal, Kampung Talus dan Kampung Batu Balak.
Selain gagal melaksanakan ibadat korban, penduduk terbabit juga tidak dapat keluar berbelanja di bandar Jerantut dan Kuala Lipis untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha.
Jambatan itu terputus dua kira-kira pukul 1 pagi kelmarin akibat dihanyutkan arus kuat Sungai Jelai berikutan banjir kilat di Hulu Jelai dekat sini selepas hujan lebat selama empat hari.
Difahamkan, penduduk terbabit menggunakan jambatan yang diperbuat daripada kayu balak itu sejak 20 tahun lalu untuk berulang alik menjalankan urusan harian.
Jambatan kayu merentangi Sungai Jelai itu dibina oleh pengusaha balak dan perladangan yang mengangkut hasil keluar ke bandar Jerantut dan Kuala Lipis.
Berikutan kejadian itu, suasana Hari Raya Aidiladha tahun ini muram apabila penduduk tidak dapat menjalani ibadah korban dan mengunjungi sanak saudara.
Kejadian itu juga menjejaskan usaha membawa keluar hasil pertanian seperti getah dan kelapa sawit ke bandar manakala sebahagian penduduk lagi tidak dapat pergi ke kebun masing-masing.
Ketua Kampung Gemuncur, Ismayatim Salleh berkata, jambatan itu runtuh apabila air banjir Sungai Jelai yang menghanyutkan sampah-sarap dan kayu besar tersangkut pada tiang jambatan menyebabkan bahagian tengahnya tidak dapat bertahan sehingga terputus dua.
''Kami di sini terkandas untuk membawa keluar hasil kampung dan berbelanja ke pekan Mela, bandar Jerantut dan Kuala Lipis bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha," katanya.
Ismayatim berharap kerajaan dapat membina segera jambatan konkrit agar penduduk lebih selesa menyeberang Sungai Jelai dan tidak menghadapi kesukaran ketika musim banjir.
Seorang penduduk Kampung Gemuncur, Mohd. Safri Salleh, 30, berkata, kejadian itu bukan kali pertama berlaku malah sudah lebih 10 kali jambatan itu runtuh apabila musim tengkujuh.
''Inilah satu-satunya laluan kami ke bandar dan membawa anak ke sekolah serta urusan harian. Setiap kali jambatan ini runtuh, kami tidak mempunyai alternatif lain untuk menyeberang sungai kecuali mengambil risiko menggunakan perahu menongkah arus Sungai Jelai yang deras dan merbahaya itu," tambahnya.
Seorang remaja, Amirul Haidil Ismail, 18, berkata, keadaan itu menyukarkan penduduk membawa hasil getah dan kelapa sawit dari kawasan pertanian seluas 800 hektar di tujuh kampung berkenaan.
''Kami menghadapi kesukaran memunggah hasil getah kerana hanya ada sebuah bot beroperasi di sini manakala pengusaha kelapa sawit terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat mengeluarkan hasil ke kilang," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu membina sebuah jambatan konkrit untuk keselesaan penduduk menyeberang Sungai Jelai selain mengelakkan daripada kejadian tidak diingini jika menggunakan sampan dan bot.
Sementara itu Penghulu Mukim Cheka Satu, Ab. Lah Mat Isa, berkata, penduduk di tujuh kampung itu menggunakan jambatan kayu yang dibina oleh pengusaha balak sejak 20 tahun lalu.
''Pada tahun ini sahaja, dua kali jambatan itu runtuh dihanyutkan banjir sehingga menimbulkan kesukaran kepada penduduk dan pelajar ke sekolah di Mela dan Kerambit.
''Saya difahamkan pihak pentadbiran daerah telah mengemukakan perancangan pembinaan projek jambatan baru bernilai RM12 juta dan diharap dapat direalisasikan dengan segera untuk keselesaan penduduk," katanya.
Ab. Lah menambah, pembinaan jambatan konkrit menggantikan jambatan kayu merupakan kaedah terbaik untuk memacu sektor pertanian di kawasan Seberang Sungai Jelai.

Cerai isteri tidak cantik makin meningkat

KUCHING: Ada sesetengah lelaki yang bergelar suami sanggup melepaskan isteri masing-masing selepas mendakwa wanita dinikahi tidak lagi kelihatan menarik dan cantik seperti ketika mereka berkenalan dan melangsungkan perkahwinan dulu.
Mereka menganggap perubahan wajah dan penampilan wanita terbabit memaksa mereka mencari pengganti sehingga menyebabkan rumah tangga dibina mulai goyah, malah ada yang membawa kepada perceraian.

Perkara ini didedahkan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Daud Abd Rahman yang memberitahu, kadar perceraian di kalangan pasangan Islam di negeri ini semakin meningkat saban tahun disebabkan ada suami menganggap isterinya tidak cantik apabila mencapai satu tempoh.

Meskipun tidak menyatakan statistik membabitkan kes perceraian, beliau berkata, kebanyakan kes perceraian membabitkan pasangan muda berusia 20 hingga 25 tahun.

“Mereka berkahwin pada usia muda iaitu bawah 20 tahun atau sebaik selepas tamat persekolahan. Kadar perceraian meningkat seiring peningkatan kadar perkahwinan terutama di kawasan bandar seperti di Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu.

“Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) mendapati berlaku peningkatan jumlah kes cerai di kalangan pasangan Islam dan kami memanggil mereka untuk memberi kaunseling, namun dalam kes tertentu, ada pasangan enggan menerima nasihat kami,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengagihan Daging Korban di Surau Kolong Dua, Matang, dekat sini, semalam.

Risau anak makin ganas

CEDERA...Rakiah menunjukkan kesan luka kepada salah seorang anaknya, manakala gambar sebelah mangsa mengemas barang yang disepah suspek.
CEDERA...Rakiah menunjukkan kesan luka kepada salah seorang anaknya, manakala gambar sebelah mangsa mengemas barang yang disepah suspek.


KUALA TERENGGANU: Buntu memikirkan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah dihadapinya, seorang ibu meminta pihak tertentu ‘mengambil’ anaknya yang menghidap sakit mental untuk ditempatkan di pusat pemulihan atau rumah kebajikan.
Rakiah Ngah, 60, seorang tukang sapu dari Kampung Laut di sini, berkata, dia kini hilang punca untuk mengawal anaknya, Ahmad Shaari Mohamed, 27, yang berperangai pelik dan semakin ganas sehingga sanggup mencederakannya.

Warga emas itu bimbang sekiranya Ahmad Shaari dibiarkan tanpa kawalan atau rawatan sewajarnya, nyawanya sendiri akan melayang kerana tindakan anaknya semakin keterlaluan.

“Kebelakangan ini, anak semakin ganas. Ahad lalu, dia menggigit lengan kanan saya sehingga luka dan bengkak.

“Ketika itu, saya berseorangan mencarinya di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk mengambil beg sandang yang dicurinya, tetapi dia menggigit lengan kanan saya dengan sekuat hati untuk melepaskan diri,” katanya.

Rakiah berkata, mujurlah beberapa anggota polis yang bertugas di pondok berhampiran bertindak pantas menyelamatkannya kerana sebelum itu dia memberitahu mereka mengenai tujuannya ke situ untuk mencari anaknya.

Menurutnya, selepas itu, anggota polis terbabit terus menahan anaknya itu dan dibawa ke balai polis sebelum dibebaskan berikutan anaknya mempunyai kad pesakit mental.

Katanya, Ahmad Shaari menjadi kurang siuman selepas rumah mereka dibakar jiran, 10 tahun lalu dan selepas tragedi itu perangai anaknya berubah menjadi pendendam.

Penduduk diancam parit runtuh



ZAMIE (kanan) menunjukkan tebing parit sebelah rumahnya yang runtuh di Kampung Tanah Merah, Krubong, Melaka semalam.


MELAKA - Enam sekeluarga yang sedang berehat sambil menonton televisyen sempena cuti Hari Raya Aidiladha semalam terkejut apabila rumah yang didiami mereka tiba-tiba bergegar selepas tebing parit bersebelahan rumah mereka di Kampung Tanah Merah, Krubong di sini runtuh.
Panik dengan gegaran yang berlaku kira-kira pukul 1 petang itu, kesemua mereka bergegas keluar rumah bagi menyelamatkan diri walaupun pada ketika itu hujan lebat.
Pemilik rumah berkenaan Zamie Saat, 37, berkata, dia sekeluarga terkejut apabila tiba-tiba mendengar bunyi kuat sebelum rumahnya bergegar lalu meminta isteri dan anak-anaknya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
"Pada mulanya saya sangka rumah saya akan runtuh.
"Setelah keluar, baru kami tahu rupa-rupanya tebing parit sebelah rumah runtuh," katanya ketika ditemui di rumahnya.
Zamie memberitahu, runtuhan tebing parit itu turut menyebabkan kaki lima rumahnya sepanjang 10 meter rosak teruk.

Sambut raya di masjid terbengkalai



PENDUDUK Villa Rimbawan terpaksa mendirikan khemah di tapak masjid yang terbengkalai untuk bersolat sunat Aidiladha di Taman Pinggiran Putra, Seri Kembangan semalam.


SERI KEMBANGAN - Selepas lima tahun menunggu masjid yang tidak siap dibina seperti yang dijanjikan, penduduk Villa Rimbawan, Taman Pinggiran Putra di sini ada cara tersendiri melakukan protes.
Semalam, kira-kira 100 penduduk di kawasan berkenaan mengadakan solat sunat dan ibadat korban di tapak masjid terbengkalai itu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Mereka bersolat beramai-ramai dengan memasang khemah di dalam kawasan masjid yang hanya terdapat lapan batang tiang konkrit sebelum menyembelih lima ekor lembu di kawasan berhampiran masjid.
Pengerusi Persatuan Penduduk Villa Rimbawan, Amat Ramsa Yaman berkata, pembinaan masjid dua tingkat di atas tanah seluas 0.4 hektar itu yang menelan belanja sebanyak RM3.5 juta sepatutnya siap pada penghujung tahun 2008.
Mengikut perjanjian, pemaju sepatutnya menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada jumlah itu berdasarkan perkembangan projek manakala selebihnya disediakan oleh persatuan penduduk.
Bagaimanapun katanya, pemaju didakwa hanya membayar sebanyak RM375,000 dan selepas itu memberhentikan pembayaran atas alasan harga bahan mentah meningkat secara mendadak.

Nasib melayu islam Singapura nak makan daging pun susah

Terkilan daging dibuang


KAMI sedia maklum semua produk daging atau diperbuat daripada daging tidak dibenarkan atau perlu mendapatkan keizinan pihak berkuasa untuk dibawa masuk ke Singapura kerana sebab-sebab kesihatan, khususnya produk dari negara jiran.
Cuma kami terkilan produk yang kami beli dengan jumlah yang kecil hanya untuk makan sendiri bersama keluarga daripada gedung beli-belah yang dikenali dengan kebersihannya di negara jiran masih tidak dibenarkan dibawa masuk oleh pihak berkuasa.
Akibatnya, ia terpaksa dibuang dalam tong sampah di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.
Kami ingin bertanya apakah rakyat Singapura tidak dibenarkan langsung membawa masuk produk- produk ini walaupun hanya untuk makan sendiri bersama keluarga?
Fazidah Yusoff