Showing posts with label merempat. Show all posts
Showing posts with label merempat. Show all posts

Saturday, March 24, 2012

Lapan beranak merempat




SURAYA Ismail bersama tujuh anaknya yang tinggal di tepi tangga di kaki lima tingkat 10, Flat Seri Kelantan, Sentul Pasar, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 23 Mac - Akibat kesempitan hidup, seorang ibu yang disyaki menghidap kanser payu dara, terpaksa merempat di kaki lima bersebelahan tempat pembuangan sampah di sebuah rumah pangsa di sini bersama tujuh anaknya yang masih kecil, sejak seminggu lalu.
Disebabkan keadaan itu, kesemua anak Suraya Ismail, 35, kini menghidap jangkitan kurap di kepala, muka dan anggota badan lain yang memerlukan perhatian perubatan segera.
Kedaifan itu turut menyebabkan tiga anaknya iaitu Nurul Haizatul Ardiela Abdullah, 12; Nurul Anis Farhana Abdullah, 11; dan M. Aieman Hakim Abdullah, 8, terpaksa berhenti bersekolah sejak tiga bulan lepas.
Suraya berkata, dia tidak mampu membeli barangan keperluan untuk keluarganya kerana tiada kerja tetap dan terpaksa merayu belas ihsan jiran tetangga serta saudara-mara untuk mendapatkan bekalan susu buat anak bongsu, M. Fizz Iqram Badrisya Hamidi.
"Keadaan kami sekeluarga bertambah teruk selepas suami saya perlu menjalani program pemulihan dadah di Karak, Pahang sejak tahun lalu. Kami telah dihalau dari rumah kerana gagal membayar sewa yang tertunggak.
"Justeru, saya merayu budi baik sesiapa sahaja yang prihatin terhadap nasib kami sekeluarga untuk menghulurkan bantuan. Anak saya berhak meneruskan persekolahan dan menerima penjagaan yang sebaik-baiknya," ujarnya di sini hari ini.
Tersentuh dengan nasib malang keluarga itu, Pasukan Petugas 1Malaysia MCA Wilayah Persekutuan (MCAFT) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini mengunjungi mereka dan menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dan wang tunai.
Jelas Penolong Pengarah Bahagian Ekonomi dan Bantuan JKM, Abdul Razak Che Embi, keluarga berkenaan akan ditempatkan di sebuah rumah sementara berdekatan kawasan rumah pangsa tersebut sebelum menerima rumah baru dalam masa yang terdekat.
"JKM juga telah meluluskan permohonan Suraya untuk menerima bantuan kewangan khas RM450 sebulan berbanding kebiasaannya RM350 memandangkan keadaan keluarga ini yang begitu daif," ujarnya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Suraya di talian 014-7316541 dan 012-6674184.

Friday, September 17, 2010

Merempat di kaki lima

IPOH: Kesempitan hidup memaksa seorang wanita merempat di kaki lima dan taman permainan awam serta pekarangan hospital sejak enam bulan lalu selepas dihalau daripada rumah sewanya di Jalan Mustapha Al Bakri di sini kerana tidak mampu membayar sewa.
Sepanjang merempat di situ, dia berdepan pelbagai cabaran, termasuk diganggu kumpulan penagih dadah yang menyangkanya pelacur sehingga dia terpaksa mencari lokasi baru setiap malam untuk melelapkan mata.
Dia kini menumpang bilik sewa yang dihuni seorang kenalan di rumah kedai berdekatan rumah sewa lama bersama seorang cucunya berusia tujuh tahun yang juga murid di sebuah sekolah rendah di bandar raya ini.

Normah Asinar, 51, yang juga seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah menengah di sini tidak pernah mengecap hidup selesa selepas terbabit kemalangan dirempuh ‘Mat Rempit’ setahun lalu menyebabkan kaki kanannya tidak bermaya sehingga doktor mengesyorkan supaya menggunakan tongkat sepanjang hayat untuk berjalan.

“Saya turut dikategorikan Orang Kurang Upaya (OKU) berikutan kecederaan kekal itu. Doktor pernah memberi amaran jika saya berjalan tanpa tongkat, saya mungkin berdepan kemungkinan lumpuh sebelah kaki.

“Namun, apa saya boleh buat, jika saya pakai tongkat.....majikan tidak akan membenarkan saya bekerja. Saya terpaksa gagahkan diri bekerja bagi menampung kos pengajian cucu, Muhammad Zainawi Abdullah yang kini belajar di tahun satu,” katanya.

Katanya, dia sendiri terpaksa merayu untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan dan bersyukur kerana di terima walaupun terpaksa menahan kesakitan sepanjang masa.

Normah berkata, gaji sekitar RM500 diterimanya tidak mencukupi kerana sebahagiannya digunakan untuk menampung kos pendidikan Muhammad Zainawi dan perbelanjaan rawatan kaki dua kali sebulan di hospital.

“Apa yang saya perlukan ialah rumah bagi membolehkan cucu saya mendapat ruang pembelajaran selesa. Kami tidak mahu wang tunai mahupun sumbangan harta benda melainkan sebuah rumah,” katanya.

Katanya, dia mula mengambil alih menjaga cucunya itu selepas anak sulungnya, Siti Nur Ain Talib, 21, menghilangkan diri dipercayai lari ke Kuala Lumpur ketika Muhammad Zainawi masih bayi.

Malah, ketika menginap di rumah sewa lamanya, dia juga terpaksa menjaga seorang anak lelaki, Mohamad Kamarulzaman Talib, 17, yang juga OKU.
“Disebabkan tiada tempat tinggal, saya terpaksa menghantar Mohamad Kamarulzaman ke rumah bekas suami di Pulau Pangkor,” katanya.

Sebelum ini, Normah pernah mendapat liputan akhbar ini selepas cucunya gagal mendapat peluang belajar kerana tidak memiliki surat beranak.

Bagaimanapun, selang seminggu kemudian, Normah mendapat khabar gembira selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak mengesan semula sijil kelahiran kanak-kanak terbabit.

Menurut Normah, biarpun memasuki sekolah pada pertengahan tahun, cucunya itu tidak mempunyai masalah mengikuti sesi pembelajaran bersama murid lain.

Monday, July 5, 2010

9 beranak merempat di kaki bukit



Posted on the July 5th, 2010 under BeritaLuar Negara by johnjimat
15/7
JEDDAH: Seorang wanita Saudi bersama-sama lima anak perempuan dan tiga anak lelaki tidak mempunyai tempat lain untuk berlindung kecuali di kaki bukit di kawasan al-Fayha, berhampiran pintu masuk ke Makkah dari Jeddah.
Wanita itu dikatakan melarikan diri dan anak-anaknya daripada abangnya yang mengancam untuk membunuh mereka.
Anggota Suruhanjaya Kemanusiaan, Muhammad Al-Suhaili memberitahu Arab News, beliau yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Makkah selepas menghadiri mesyuarat di Jeddah ternampak seorang wanita dan lapan anaknya di kawasan pergunungan berdekatan pintu masuk ke Makkah.
Muhammad yang juga kakitangan Universiti Umm Al-Qura dan imam Masjid Puteri Sheikha mengatakan beliau berhenti lalu bertanya kepada wanita terbabit mengapa dia berada di kawasan terpencil yang tidak selamat bagi seorang wanita.
Wanita itu memberitahu Muhammad, Mahkamah Awam di Jeddah menjatuhkan talak ke atasnya selepas pihak mahkamah mendapati dia sering didera suaminya.
Selepas perceraian itu, dia tinggal di sebuah rumah kebajikan di Jeddah tetapi berpindah ke kediaman ibunya selepas beberapa waktu.
Abang saya yang juga tinggal di rumah ibu melayan saya dengan buruk. Dia mengugut untuk membunuh saya dan anak-anak jika kami tidak pindah dari rumah ibu.
Jadi saya terpaksa keluar dari rumah itu dan tinggal di sini, jelasnya kepada Muhammad. Muhammad kemudian membawa sembilan beranak itu ke Makkah dan mencari tempat tinggal untuk mereka.
Beliau memberitahu seorang sahabat ibunya menyatakan kesudian menerima sembilan beranak itu tinggal bersama buat sementara waktu sehingga mereka mendapat tempat tinggal tetap.
Saya belum membuat permohonan kepada jabatan kerajaan bagi mendapatkan bantuan untuk wanita terbabit tetapi sudah meminta beberapa dermawan tampil membantunya, ujar Muhammad.
Beliau berkata, Suruhanjaya Kemanusiaan sebelum ini berjaya mendapatkan sebuah rumah untuk seorang wanita dan beberapa anaknya menerusi bantuan seorang dermawan, Muhammad Ahmad Jamal.
Beliau berharap ibu serta lapan anak berkenaan juga akan bernasib baik. – Agensi
Sumber : Harian Metro