Sunday, February 9, 2014

RTM henti sementara siaran 88 Kopitiam



SALAH satu adegan dalam klip video yang dihasilkan oleh Teresa Kok yang menimbulkan kontroversi.


KUALA LUMPUR - Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menghentikan siaran sebuah rancangan sitkom yang ditayangkan stesen televisyen itu buat sementara waktu berikutan dakwaan pelakonnya terlibat dalam penerbitan video kontroversi Teresa Kok di laman sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail (gambar kecil) berkata, pihaknya akan memanggil penerbit sitcom 88 Kopitiam itu dalam masa terdekat bagi mengesahkan perkara tersebut.
"RTM sedang mengkaji mana-mana rancangan yang mengaitkan pelakonnya dengan aktiviti yang memburuk-burukkan nama dan imej negara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz2smHqpfsR 
Hakcipta terpelihara 

Taib-Mahmud-sah-letak-jawatan


Taib Mahmud sah letak jawatan


Abdul Taib Mahmud hadir bagi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi PBB di ibu pejabat parti Kuching, Sarawak, semalam. Turut hadir Timbalan Presiden I PBB, Tan Sri Alfred Jabu (kiri), Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (dua, kiri) dan Ketua Penerangan PBB, Tan Sri Adenan Satem (baju putih). - BERNAMA
KUCHING 8 Feb. - Spekulasi berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri Sarawak terjawab, apabila beliau disahkan akan melepaskan jawatan itu yang disandangnya sejak 1981.
Bagaimanapun ketika ditemui pemberita, Abdul Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kelihatan sebak sehingga menitiskan air mata tidak menyatakan tarikh sebenar beliau akan berundur, namun memaklumkan akan mengumumkan penggantinya Isnin ini.
Keputusan beliau mahu melepaskan jawatan yang sudah 33 tahun disandang itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap PBB yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako di sini.
Dalam mesyuarat tersebut, MKT PBB juga menyokong beliau dicalonkan sebagai pengganti Yang Di-pertua Negeri Sarawak berikutan tempoh perkhidmatan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng akan berakhir pada 28 Februari ini.
Menurut Mohamad Asfia, dalam mesyuarat tersebut, Abdul Taib telah mengumumkan hasrat untuk melakukan peralihan kuasa dan MTK PBB bersama Jawatankuasa Kaukus bersetuju meluluskan resolusi untuk memberi mandat kepada beliau memilih sendiri calon pengganti.
"Kita bersetuju memberi mandat kepada Ketua Menteri sebagai Presiden PBB untuk menamakan seorang calon pilihan sebagai Ketua Menteri baharu Sarawak.
"Calon (Ketua Menteri baharu) tidak diumumkan hari ini," katanya.
Yang turut hadir dalam sidang akhbar tersebut ialah Setiausaha Agung PBB, Datuk Dr. Stephen Rundi Utom dan Ahli MKT (Bumiputera) PBB, Datuk Talib Zulpilip.
Terdahulu, Abdul Taib bersama lebih 50 MKT PBB mengadakan mesyuarat khas membincangkan isu peralihan kuasa sejak pukul 10 pagi hingga 3 petang ini.
Menurut Mohamad Asfia, mesyuarat tersebut tidak membincangkan mengenai tarikh peletakan jawatan Abdul Taib kerana perbincangan mengenai nama calon yang sesuai perlu didahulukan.
"Tiada tempoh masa (diberikan untuk letak jawatan), ia bergantung kepada masa yang sesuai. Dakwaan mengatakan kemungkinan beliau meletak jawatan pada akhir Februari ini pula hanya spekulasi tetapi mungkin juga benar dan kemungkinan itu tidak ditolak.
"Setakat ini, beliau tidak pernah menyebut sebarang nama atau personaliti yang bakal menggantikannya. Siapa sahaja yang beliau pilih sebagai Ketua Menteri akan mendapat sokongan penuh MKT dan kaukus," ujarnya sambil memberitahu PBB sendiri mempunyai pemimpin berkaliber yang boleh mengisi jawatan tersebut.
Beliau berkata, pemilihan calon Ketua Menteri baharu menjadi keutamaan kerana Ketua Menteri adalah jawatan eksekutif dan beliau bakal mengetuai Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Kesebelas (PRN-11) nanti, memandangkan Sarawak akan tamat penggal pada 20 Jun 2016.
Mohamad Asfia berkata, Abdul Taib memang mempunyai senarai pendek nama calon pengganti pilihan dan tidak menolak antara dipertimbangkan ialah tiga nama pemimpin yang sering dikaitkan bakal menggantikan beliau sebelum ini.
Tiga nama tersebut ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-Tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem; Menteri Perumahan merangkap juga Menteri Pelancongan negeri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan PRN-11 akan diadakan lebih awal.
Dalam pada itu, katanya, sebagai menghargai jasa Abdul Taib sebagai Ketua Menteri kepada negeri dan rakyat negeri ini, MKT juga menyokong supaya namanya dicalonkan menggantikan Yang Di-pertua Negeri Sarawak kerana berpendapat beliau paling sesuai mengisi jawatan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140209/po_06/Taib-Mahmud-sah-letak-jawatan#ixzz2smEHxDLs
© Utusan Melayu (M) Bhd