Ikuti siri akhir yang memaparkan mengenai keluhan pekerja makanan segera McDonald's yang terkesan akibat boikot yang dilaksanakan di seluruh negara.
Salah seorang pekerja McDonald’s di Melaka mengakui mereka cukup terkesan akibat kempen boikot yang dibuat pelanggan restoran makanan segera itu.
Katanya, pelanggan Melayu amat berkurangan sejak kempen memboikot dilakukan.
“Memang dahulu ada kempen boikot tetapi hanya sementara... apa nak buat kak, mereka tak nak makan McDonald’s lagi.
“Kadang-kadang ada yang malu nak membeli di kaunter dan beli di laluan pandu lalu,” katanya.
Menurutnya, dia bersama rakan-rakan menerima tempias kerana disindir masyarakat berikutan bekerja di restoran itu.
Katanya, masyarakat tidak boleh memandang serong pekerjaan mereka kerana ia adalah punca pendapatan mereka untuk meneruskan kehidupan.
Bagaimanapun, dia tidak berfikir untuk berhenti kerja kerana sudah lama berkhidmat di restoran itu.
Seorang juruwang McDonald's di Kelantan yang enggan dikenali mengakui perubahan mendadak kekurangan jumlah pelanggan amat dirasai, namun terpaksa meneruskan kerja seperti biasa.
“Saya tahu situasi ini berlaku disebabkan kempen memboikot yang dilakukan seluruh negara, apa pun kami kena kerja,” katanya.
Tinjauan di negeri itu juga mendapati, masyarakat bukan Islam turut sama menyokong usaha memboikot McDonald’s.
Malah, restoran itu yang sebelum ini menjadi pilihan pelajar berkumpul dan membuat perbincangan bukan lagi tumpuan kerana ada yang memilih untuk ke kedai makan biasa sebagai ganti.
Sementara itu, seorang pekerja McDonald’s di Perak berkata, rakyat negara ini bebas membuat pilihan dalam isu boikot namun mempersoal mengapa restoran itu menjadi sasaran utama.
Seorang lagi rakan sekerjanya beranggapan usaha memboikot McDonald’s berdasarkan kepada persepsi individu.
“Sebenarnya kami sendiri tidak tahu menahu kebenaran tentang saluran dana kepada Israel. Cuma baca di laman-laman sosial,” katanya.
Rasa takut pakai uniform kerja
“Kami hanya bekerja mencari rezeki, bukannya menyokong Israel."
Demikian luahan rasa sebahagian pekerja McDonald’s di sekitar Negeri Sembilan yang mula merasa terkesan dengan kempen boikot terhadap produk makanan segera berkenaan.
Malah masing-masing mula bimbang dengan keselamatan diri terhadap individu atau pihak yang bertindak ekstrem semata-mata marahkan Israel dengan menjadikan pekerja McDonald’s sebagai sasaran melepaskan geram.
Jika dahulu mereka bebas memakai uniform kerja ke mana-mana, tetapi kini perasaan kekok dan rasa diperhatikan mula menyelubungi diri.
Seorang pekerja memberitahu, kempen boikot terhadap produk berkenaan pernah dibuat sebelum ini, namun kali ini ia lebih membimbangkan.
“Saya sudah bekerja di sini empat tahun dan sebelum ini kempen yang sama pernah dilakukan, tapi ia tidak begitu ketara berbanding sekarang.
“Tapi saya sendiri pun takut sekarang sebab ‘orang luar’ pandang kami seolah-olah menyokong Israel sedangkan kami tidak tahu apa-apa,” katanya.
Menurutnya, ada segelintir rakan-rakannya yang mula menyatakan hasrat mahu berhenti kerja berikutan bimbang terus dikecam.
Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada lagi perkara yang tidak diingini terjadi kepadanya namun perasaan bimbang itu sentiasa ada.
“Ada pelanggan datang ke kaunter semata-mata mahu beritahu dia boikot McDonald’s.
“Keadaan provokasi macam ini sebenarnya boleh menimbulkan kejadian di luar dugaan. Sebab itu sekarang, kami rasa takut sehinggakan majikan menasihatkan kami agar tidak memberi kenyataan kepada sesiapa yang bertanya tentang isu ini,” katanya.
Malah dia juga tidak menafikan penjualan semakin merosot dan kempen boikot dilancarkan ternyata berkesan.
Seorang lagi pekerja berumur 23 tahun berkata, dia tetap akan bekerja di restoran itu seperti biasa.
“Saya sudah bekerja di syarikat ini selama empat tahun, dan inilah punca pendapatan saya.
"Syarikat ini yang membayar setiap titik peluh saya bekerja di sini," katanya yang yakin isu boikot ini akan selesai.
Kami dilabel tali barut
Sementara itu, seorang pekerja McDonald’s di Pulau Pinang berkata, sejak kebelakangan ini pelanggan agak berkurangan.
“Selalunya dalam waktu makan tengah hari antara jam 1 hingga 2 petang, ramai pelanggan mengunjungi restoran.
“Namun, sejak akhir-akhir ini pelanggan kurang, mungkin disebabkan kempen boikot yang dilakukan badan bukan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Di Terengganu, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, dia dan rakan-rakan lain kini berdepan dilema apabila turut terkena kutukan masyarakat dengan kempen memboikot secara besar-besaran ini.
“Secara jujurnya kami juga tertekan dengan keadaan ini kerana ada yang melabel kami sebagai tali barut Israel kerana bekerja di sini.
“Sedangkan niat kami adalah untuk mencari rezeki bagi menampung hidup, namun dengan apa yang sedang terjadi ini secara tidak langsung mengundang pelbagai tekanan dan rasa serba salah,” katanya yang dalam pertimbangan sama ada meneruskan khidmat atau
mencari pekerjaan lain.
Katanya, masyarakat juga diminta agar tidak mudah menghukum dan mengecam mereka kerana sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam, mereka pastinya turut bersimpati dengan apa yang sedang dilalui masyarakat di Gaza.
Namun berlainan situasinya di sekitar Lembah Klang, apabila kebanyakan pekerja yang ditemui mengakui tidak tertekan dengan isu boikot yang sedang dilaksanakan kerana sebelum ini sering berdepan dengan desakan memboikot daripada pelbagai pihak.
Salah seorang pekerja restoran tersebut berkata, dia dan rakan-rakannya tidak bersetuju dengan dakwaan pengunjung ke restoran itu semakin berkurangan.
“Tidak ada perbezaan yang berlaku sebelum dan selepas boikot diadakan. Kami menerima ramai pelanggan dan ia tidak menjejaskan pendapatan di cawangan kami. Pendapatan kami sama sahaja sama ada melalui pandu lalu dan kaunter.
“Saya dan rakan-rakan tidak menghadapi tekanan dengan situasi sebegini kerana sudah biasa. Orang ramai memboikot McDonald’s bukanlah perkara baharu, ia telah berlaku beberapa kali sebelum ini,” katanya.
Menurutnya, sepanjang minggu ini, pelanggan Melayu tidak ramai kerana mungkin masih lagi dalam mood raya.
Restoran McDonald's yang terletak di luar kawasan pusat membeli-belah pula masih dipenuhi pengunjung yang terdiri daripada golongan muda pelbagai bangsa walaupun sehingga jam 9 malam.
“Sambutan yang diterima baik sahaja. Tidak ada masalah,” kata seorang lagi pekerja.