Friday, April 17, 2015

PKR Perlu Minta Maaf, Kemudian Runding - Pemuda PAS Pulau Pinang


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 12:13 PM
Mohd Yusni Mat Piah

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang berkeras menuntut permohonan maaf daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) berhubung penghinaan terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah berkata, pihaknya tidak akan terlibat dalam sebarang rundingan berhubung pergerakan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh jika permintaan mereka tidak dipenuhi.

"Bagi saya senang saja, minta maaf dulu kemudian baru kita jumpa (bincang)," katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.

Menurut Mohd Yusni, beliau dihubungi Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat bagi mendapatkan penjelasan berhubung kata dua pendirian Pemuda PAS Pulau Pinang tentang kerjasama sayap itu pada PRK Permatang Pauh yang akan bermula 25 April ini.
"Suhaizan ada telefon saya untuk dapatkan maklumat lanjut. Saya pun maklumkan pendirian kami. Malah dia beritahu nak aturkan pertemuan segera antara Pemuda PAS negeri dan AMK.

"Dia nak cuba selesaikan isu ini. Tapi seperti yang saya katakan tadi, kita boleh jumpa kalau mereka minta maaf secara terbuka," katanya.

Selain itu Mohd Yusni turut mengakui menerima panggilan telefon oleh wakil AMK Pulau Pinang berhubung kenyataan kerasnya sebelum ini.

"Ada seorang wakil mereka telefon, dia pun nak tanya saya tentang isu yang sama. Tapi buat masa ini tak ada apa-apa permohonan maaf.

"Tak mengapa, kita bagi mereka masa sebab penamaan calon pun lambat lagi. Kalau mereka minta maaf, jentera kita sedia untuk bantu," katanya.

Sebelum ini Mohd Yusni dilaporkan memberi kata dua kepada AMK Pulau Pinang supaya menarik balik dan memohon maaf berhubung desakan sayap PKR itu supaya Hadi berundur daripada PAS.

Malah, beliau turut menegaskan, ahli-ahli Pemuda Pas negeri juga tidak selesa untuk bekerjasama dengan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) negeri dalam program di bawah pembangkang sepanjang kempen PRK tersebut yang sebelum ini bertindak memutuskan kerjasama dengan mereka.

Timbalan Ketua AMK Pulau Pinang, Khairil Anuar Kamaruddin sebelum ini dengan lantang meminta Hadi meninggalkan PAS kerana dilihat menjadi liabiliti kepada usaha mengukuhkan pakatan pembangkang menerusi tindak-tanduk yang ‘mesra Umno’.

Selain itu, Ketua Dapsy Pulau Pinang, Ng Wei Aik sebelum ini juga mengambil pendirian sama dengan Dapsy Kebangsaan untuk membekukan segala hubungan kerjasama dengan Pemuda PAS negeri itu.

PRK Pmtg Pauh: Siti Nurhaliza, Che Ta Modal Kempen PKR?


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 4:33 PM
Siti Nurhaliza dan Rozita Che Wan turut dikaitkan sebagai modal kempen PKR.

PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin dan pelakon Rozita Che Wan bakal menjadi modal kempen pembangkang sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang akan bermula 25 April ini.

Kedua-dua artis popular itu dijangka 'digunakan' pembangkang apabila menyentuh mengenai isu pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak 1 April lalu.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Dr Afif Bahardin berkata, bantahan dua individu berpengaruh itu terhadap GST merupakan contoh terbaik yang berupaya menghangatkan kempen PRK Permatang Pauh.
Dr Afif Bahardin


"Kita lihat Siti Nurhaliza dan Rozita Che Wan pun tak sokong GST, jadi apatah lagi rakyat biasa.

"Mereka yang berpendapatan jutaan ringgit pun merungut. Maknanya GST tak diterima rakyat. Mungkin kita boleh jemput mereka bagi ceramah tolak GST," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Kenyataan Dr Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya itu dilihat merujuk kepada posting Siti Nurhaliza dan Rozita di Instagram pada 14 April lalu yang menyatakan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Artis tersohor tanah air itu menyatakan sokongan secara terbuka kepada bekas perdana menteri berkenaan susulan kenyataan di blognya, mengakui dirinya berseorangan selepas beberapa siri mengkritik pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Malah penggunakan hashtag #bencigst oleh Rozita  atau lebih dikenali sebagai Che Ta pada posting yang sama juga jelas menunjukkan pelakon berkenaan menolak pelaksanaan GST.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan, Siti Nurhaliza tidak menyentuh atau menggunakan sebarang hashtag berhubung GST seperti yang didakwa Dr Afif.

Mengulas lanjut, Dr Afif yang juga Ketua AMK Pulau Pinang berkata isu pengurusan kewangan syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang hangat diperkatakan juga akan diketengahkan sebagai modal kempen PRK itu nanti.

"Selain itu isu membabitkan hukuman penjara ke atas bekas penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang cukup dekat dengan pengundi di sana adalah senjata yang akan digunakan Pakatan Rakyat," katanya.

Najib Dan Rosmah Saman Rafizi


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 4:16 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli dan pemilik portal 'Media Rakyat' Chan Chee Kong berhubung isu subsidi minyak.
Saman tersebut difailkan semalam (16 April) menerusi Tetuan Hafarizam Wan  and  Aisha Mubarak di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini dan ia diserahkan kepada Mohd Rafizi dan Chan pada Jumaat.
Menerusi writ saman, Najib dan Rosmah menamakan Mohd Rafizi sebagai defendan pertama manakala Chan, defendan kedua.
Dalam penyata tuntutan, mereka mendakwa Mohd Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak pada 22 Nov 2014.
Najib dan Rosmah mendakwa ucapan Mohd Rafizi telah dirakam oleh 'Media Rakyat' yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak'.
Mereka juga mendakwa bahawa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chan dalam laman facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.
Kata mereka, rakaman tersebut telah ditonton sebanyak 9,736 kali dalam laman YouTube setakat 15 April manakala terdapat 356,569 pengguna yang mengikuti facebook milik Rafizi dan 162,118 lagi dalam facebook Chan.
Najib dan Rosmah berkata Mohd Rafizi mempunyai niat supaya perkataan yang disebut olehnya diterbitkan semula oleh media massa untuk dibaca oleh orang ramai dan Mohd Rafizi bertanggungjawap dalam memfitnah mereka.
Menurut mereka lagi Chan telah gagal mengamalkan prinsip 'responsible journalism' atau kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung di dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.
"Defendan-defendan mempunyai pengetahuan bahawa dengan penerbitan semula perkataan fitnah tersebut akan menyebabkan kerosakan yang teruk dan meninggalkan kesan terhadap reputasi kedua-dua plaintif," kata mereka menerusi penyata tuntutan itu.
Najib dan Rosmah menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, ganti rugi tambahan dan ganti rugi teladan yang akan ditafsir oleh mahkamah.
Mereka juga menuntut faedah ke atas ganti rugi tersebut atas kadar 5 peratus setahun daripada tarikh penerbitan sehingga tarikh penghakiman dan tarikh penyelesaian penuh.
Turut dituntut ialah satu arahan injunksi untuk menghalang Mohd Rafizi, Chan dan pembantu mereka daripada menerbitkan lebih lanjut perkataan fitnah terhadap plaintif dan perintah supaya kedua-dua mereka menerbitkan permohonan maaf secara bertulis dalam surat khabar dan majalah.
Najib dan Rosmah juga menuntut satu perintah supaya Chan mengeluarkan rakaman tersebut daripada laman YouTube Media Rakyat, laman web Media Rakyat dan facebook Media Rakyat dengan serta merta daripada tarikh penghakiman.

Pembantu Mursi dihukum penjara

Pembantu Mursi dihukum penjara
Rafaa (kanan) dihadapkan ke mahkamah bersama Mursi pada Disember lalu.

KAHERAH - MESIR . Pembantu kepada bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi, kelmarin dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa.

Rafaa el-Tahtawi yang pernah berkhidmat sebagai ketua turus di bawah pemerintahan Mursi didakwa mengambil individu yang dilarang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Jurucakap Mahkamah Jenayah di Kaherah memberitahu lelaki yang diambil bekerja oleh Rafaa itu adalah bekas banduan yang pernah meringkuk di dalam penjara pada 1990-an.

Difahamkan, lelaki tersebut juga dikenakan hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah kerana menerima jawatan itu.

Pada Sabtu lalu, mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie bersama 11 lagi tertuduh yang didakwa menghasut keganasan selepas Mursi digulingkan pada Julai 2013.

Selain itu, seramai 23 defendan lain termasuk bekas jurucakap Ikhwanul, Gehad Haddad dihukum penjara seumur hidup atas kesalahan sama. - Press TV

Kubur besar di Tikrit digali semula

Kubur besar di Tikrit digali semula
Anggota keselamatan Iraq memeriksa kubur besar yang ditemui di Tikrit, minggu lalu.
BAGHDAD - IRAQ . Kerajaan Iraq menggeluarkan 165 mayat yang menjadi mangsa pembunuhan kejam kumpulan militan IS dari beberapa kubur besar di Tikrit, menurut media tempatan, kelmarin.

Kementerian Hak Asasi Manusia Iraq memaklumkan kesemua mayat tersebut berkemungkinan besar adalah milik anggota Akademi Udara Tikrit atau dikenali sebagai COB Speicher ketika di bawah pemerintahan Saddam Hussien.

"Kesemua mayat tersebut dipindahkan ke pusat perubatan untuk proses pengambilan DNA bagi mengenal pasti identiti mereka.

"Penemuan itu dilihat sebagai satu lagi bukti kekejaman IS terhadap nyawa tidak berdosa," kata jurucakap pihak berkuasa, Mohannad Okabi.

Difahamkan, sebanyak 10 kubur besar ditemui di bandar tersebut dan tiga daripadanya adalah di dalam kawasan istana Saddam Hussien. - Press TV

Tiada sebab untuk lepas jawatan MB - Mukhriz

KHAMIS, 16 APRIL 2015 @ 2:14 PM

Oleh Suzalina Halid suzalina@bh.com.my

AYER HITAM: Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan tiada sebab untuknya melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah hanya kerana belum membuat ketetapan mengenai sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Malah, beliau turut menegaskan bahawa jawatan Menteri Besar yang disandangnya kini adalah amanah yang dipertanggungjawabkan daripada Perdana Menteri dan rakyat sendiri. "Saya rasa tak ada sebab untuk saya lepaskan (jawatan Menteri Besar)...jawatan ini pun amanah daripada Perdana Menteri dan amanah rakyat. Jadi tak timbul sebarang masalah yang begitu besar yang memerlukan saya meletakkan jawatan," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Jalinan Tani di sini, sebentar tadi. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada yang mendesaknya melepaskan jawatan kerana tidak memutuskan sokongan terhadap Perdana Menteri. Berdasarkan maklumat, UMNO Kedah akan bermesyuarat pada 24 April ini untuk mencapai kata putus berhubung isu terbabit.


 GENERASI HARAPAN... Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) meluangkan masa untuk bergambar santai (wefie) bersama sebahagian pelajar Sekolah Menengah Sains (SMS) Kubang Pasu sempena Hari Anugerah Cemerlang dan Majlis Perasmian Sekolah itu, di Jitra, Kedah hari ini. - Foto BERNAMA 

PAS Bukit Gelugor tolak Abdul Hadi

KHAMIS, 16 APRIL 2015 @ 9:27 PM

GEORGE TOWN: PAS kawasan Bukit Gelugor mencalonkan bekas Naib Presiden PAS, Ahmad Awang untuk bertanding jawatan presiden, yang kini disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Yang Dipertuanya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata semua anggota sebulat suara mencalonkan Ahmad untuk jawatan itu dan mengekalkan Mohamad Sabu untuk jawatan timbalan presiden. Mujahid, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang berharap pencalonan itu dapat melonjakkan PAS ke hadapan. Di samping itu, mesyuarat turut sepakat memilih Mujahid, Datuk Husam Musa dan Salahudin Ayob untuk jawatan naib presiden. - BERNAMA

 BATU PAHAT 20 September 2014. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berucap penggulungan pada hari ke 3, di Muktamar Tahunan PAS ke 60 di Parit Raja , Batu Pahat. NSTP/Zulkarnain Ahmad Tajuddin 

69 Ketua UMNO DUN Bukit Lada setuju Mukhriz lepas jawatan jika tidak sokong Najib

69 Ketua UMNO DUN Bukit Lada setuju Mukhriz lepas jawatan jika tidak sokong Najib
69 Ketua UMNO DUN

 Bukit Lada setuju Mukhriz lepas jawatan jika tidak sokong Najib
POKOK SENA: Seramai 69 daripada 86 Ketua UMNO Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lada menyokong penuh kenyataan ADUNnya, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang mahu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatannya sekiranya tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sokongan itu disuarakan Ketua UMNO Cawangan Kampung Hujung Bendang Datuk Mohd Ismail Othman, yang mewakili ketua-ketua UMNO cawangan lain yang menyatakan sokongan teguh kepada ADUN Bukit Lada itu dan Najib selaku Presiden UMNO.

Pada masa yang sama, mereka menasihatkan Ahmad agar tidak menarik balik kenyataan yang disiarkan menerusi akhbar dan media elektronik sebelum ini serta tidak membuat permohonan maaf seperti yang dituntut oleh UMNO cawangan Bukit Lada.

Malah kenyataan yang mengatakan Ahmad perlu meletakkan jawatan juga tidak sepatutnya di suarakan kerana Ahmad telah diberi mandat oleh rakyat Bukit Lada untuk mewakili mereka.

“Kami juga menyokong penuh ADUN Bukit Lada yang disiarkan di dalam akhbar dan media sosial baru-baru ini di atas dasar prinsip organisasi suatu parti bukan atas dasar sokongan yang melulu,” ujar Mohd Ismail dalam sidang medianya di Pokok Sena.

Sehubungan itu, bagi mengelak sebarang spekulasi, Mukhriz diminta menyatakan sokongan beliau terhadap Najib demi perpaduan UMNO.

400,000 penjawat awam masih terima gaji serendah RM805 sebulan



Terdapat 400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805 sebulan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.
Beliau berkata, mereka yang menerima gaji sedemikian kebanyakannya adalah pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam menggunakan kelayakan
Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Yang menerima gaji minimum itu ialah golongan pelaksana dan mereka adalah rakyat serta aset kepada kerajaan dan negara. Jika aset ini tidak dijaga, kita bimbang mereka terkesan dan tidak dapat menumpukan sepenuhnya jiwa dan raga untuk meningkatkan produktiviti.

Selain itu, mereka juga tidak akan dapat memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak disebabkan kewangan yang tidak mencukupi, di samping tidak mampu menanggung kos kesihatan yang kini meningkat 120%,” katanya. Azih berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Penjawat Awam 2015 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tuntutan Cuepacs yang mahukan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35% bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum.

Azih berkata pihaknya berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan tersebut memandangkan kos sara hidup kini meningkat di kawasan bandar-bandar utama.
"Kita faham kedudukan kewangan kerajaan berubah mengikut pertambahan bilangan rakyat. Tetapi evolusi yang berlaku menyebabkan kos sara hidup meningkat di bandar-bandar utama.
"Di Johor contohnya, penjawat awam sudah hampir tidak boleh hendak menyesuaikan kehidupan," jelasnya.
Selain meningkatkan gaji, kongres itu juga meminta kerajaan agar menyemak semula kadar pengecualian cukai pendapatan penjawat awam sehingga 100% sebagai mengurangkan bebanan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung masa kini. – Bernama

Lelaki mendarat dengan helikopter mini di laman Capitol



SEORANG anggota unit pemusnah bom memeriksa helikopter mini yang mendarat di halaman bangunan Capitol, Washington kelmarin.


WASHINGTON – Kakitangan bangunan Capitol di sini gempar selepas seorang lelaki bertindak mendaratkan sebuah helikopter mininya menyebabkan pihak berkuasa terpaksa bertindak menutup kawasan berkenaan.
"Polis Capitol Amerika Syarikat (AS) telah menahan seorang lelaki dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan," kata pegawai polis, Shennell Antrobus kepada AFP.
Menurut akhbar Tampa Bay Times, juruterbang helikopter mini berkenaan merupakan seorang lelaki dari Florida yang bertindak demikian sebagai kempen mendesak reformasi kewangan.
Ruang udara di sekitar mercu tanda Washington itu termasuk White House merupakan kawasan larangan kepada sebarang penerbangan.
Ketika kejadian terdapat 535 anggota Kongres AS sedang bersidang.
Polis berkata, sekumpulan skuad bom juga telah dihantar untuk memeriksa helikopter berkenaan yang mendarat beberapa ratus meter dari bangunan Capitol.
Pihak berkuasa juga dilaporkan mengarahkan bangunan itu dikunci walaupun tiada arahan pengosongan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3XVravWfK 
Hakcipta terpelihara 

Bapa miliki tiga anak gemuk tidak cukup wang beli makanan


SETIAP minggu Rameshbhai terpaksa membelanjakan kira-kira 10,000 Rupee untuk makanan anak-anaknya.– AGENSI


NEW DELHI – Seorang bapa di sini mengalami kesempitan wang bagi membeli barangan keperluan makanan dan kos perubatan tiga orang anaknya yang mengalami masalah obesiti.
Bagi menangani masalah itu, bapa berkenaan, Rameshbhai Nandwana, 34, kini sanggup menjual buah pinggangnya bagi membiayai kos ketiga-tiga anaknya itu yang merupakan antara kanak-kanak tergemuk di dunia.
Ketiga-tiga anaknya, Yogita, 5, Anisha, 3, dan seorang lagi anak lelaki yang berusia 18 bulan, Harsh masing-masing kini mempunyai berat 48 kilogram (kg), 34kg dan 15kg.

Rameshbhai bercadang untuk menjual buah pinggangnya bagi membiayai kos rawatan anaknya yang gemuk.– AGENSI


Menurut Rameshbhai, jumlah makanan bagi seminggu yang diambil oleh anak-anaknya itu cukup untuk menyara dua buah keluarga selama sebulan iaitu sebanyak 10,000 Rupee (RM587).
"Bayangkan, Yogita dan Anisha mampu makan 18 keping capati, 12 biji pisang, 1 liter susu, enam peket kerepek, lima peket biskut dan dua mangkuk sup setiap hari," katanya.
Sejak tiga tahun lalu pula, Rameshbhai telah mengeluarkan hampir 50,000 Rupee (RM2,935) untuk perbelanjaan merawat kesihatan anak-anaknya yang obesiti itu, malah doktor menyarankan supaya mereka dirujuk kepada pakar.
"Saya tidak mampu kerana tiada pekerjaan tetap. Jadi, saya bercadang menjual buah pinggang untuk membiayai kos rawatan mereka," katanya.
– AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0417&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3XVqvTkkx 
Hakcipta terpelihara 

Indonesia kuat kuasa larangan jual arak


gambar merakamkan sebuah restoran di Jakarta mempamerkan iklan
GAMBAR merakamkan sebuah restoran di Jakarta mempamerkan iklan larangan menjual dan minum minuman beralkohol yang dikuatkuasakan serta-merta di negara ini. AFP
JAKARTA 16 April - Kerajaan Indonesia menguatkuasakan larangan penjualan minuman alkohol di kedai dan pasar raya bermula hari ini, tindakan terbaharu republik itu bagi mengekang gejala meminum arak secara berleluasa, khususnya dalam kalangan umat Islam.
Larangan berkenaan melibatkan pengharaman jualan bir dan minuman campuran alkohol, termasuk minuman ringan di semua pasar raya besar, 16,000 pasar raya mini dan 55,000 kedai runcit kecil.
Bagaimanapun pihak hotel, restoran dan kelab malam masih dibenarkan menjual minuman tersebut.
Larangan itu menunjukkan usaha kerajaan mengekang pengambilan minuman beralkohol di negara yang majoritinya penduduk Islam, walaupun langkah tersebut mendapat tentangan daripada syarikat arak dan industri pelancongan.
Kementerian Perdagangan dalam kenyataannya berkata, tindakan tegas itu perlu ekoran gejala minum arak dalam kalangan individu bawah umur yang semakin berleluasa, selain kandungan alkohol yang boleh menjejaskan tahap kesihatan dan moral.
Pengasas Pergerakan Anti-Alkohol Kebangsaan, Fahira Idris berkata, alkohol diibaratkan sebagai mesin yang boleh membunuh golongan belia.
“Anggota sukarelawan kami sering melihat golongan bawah umur membeli alkohol dengan mudah di pasar raya mini,” katanya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/indonesia-kuat-kuasa-larangan-jual-arak-1.81699#sthash.2Wa1QV6m.dpuf