Wednesday, August 13, 2014

Adakah pas dan keluar dari pakatan rakyat?

apakah mungkin pas akan mengkhianati rakan-rakan dalam pakatan rakyat. kalau di perak pkr dan dap sanggup bersama pas mempertahankan kerajaan negeri yang diketuai pas, mengapa tidak di selangor mereka bersama 2 pkr dan dap mempertahankan kerajaan yang dipimpin oleh pkr, bukanya kerajaan yang diketuai oleh seorang calon bebas.

Zakat juga perlu diaudit secara terbuka


FAHMI ZAINOL | .
KEWAJIPAN membayar zakat bagi yang layak sudah termaktub dalam rukun Islam iaitu rukun yang ke empat dan zakat tersebut layak diterima oleh lapan golongan Asnaf seperti yang telah disyariatkan oleh Islam. Berdasarkan stastitik negara, juga menunjukkan bahawa bangsa Melayu yang menganut agama islam masih mendominasi kemiskinan di negara kita berbanding kaum-kaum lain. Lihat saja golongan gelandangan, golongan meminta sedekah terutama di kota raya, rata-ratanya ialah bangsa Melayu dan beragama Islam. Persoalannya, bagaimanakah pengagihan wang zakat yang disalurkan kepada mereka yang selayaknya? PMUM berpendirian sudah tiba masanya zakat perlu diauditkan. Antara sebab dan musababnya ialah?

1.  Integriti
Rakyat Malaysia memberikan keyakinan mereka terhadap badan zakat untuk menguruskan duit kutipan zakat. Namun, sering terpampang di dada-dada akhbar bahawa masih ramai golongan asnaf yang belum menerima hak mereka. Hal ini terbukti daripada laman web kerajaan menyatakan golongan miskin tegar dalam masyarakat Melayu paling tinggi iaitu 1.1 peratus berbanding masyarakat Cina dan India iaitu 0.1 peratus dan 0.3 peratus. Pada tahun 2012 sahaja, orang Melayu telah mendominasi tahap kemiskinan negara sebanyak 64.8 peratus dan selebihnya adalah kaum lain.

Hal ini menimbulkan persoalan dalam kalangan golongan muslim terutamanya terhadap ketelusan badan zakat dalam menguruskan pengagihan wang zakat. Timbul juga pelbagai persoalan antaranya tentang kelayakan yang perlu ada pada badan yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ini, berapakah jumlah wang zakat yang sepatutnya disalurkan? Siapakah yang sepatutnya layak menerima wang zakat? Bagaimanakah proses golongan asnaf dalam menerima wang zakat tersebut? Dan sebagainya. Sesungguhnya Islam melarang penganutnya daripada melakukan amalan yang tidak bermoral kerana ini akan menjadi punca kepada penindasan rakyat miskin.

2. Ketelusan
Dalam proses yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab, perlu adanya dokumen rasmi dan dokumen ini perlu disemak serta diuar-uarkan kepada masyarakat umum.  Proses ketelusan  ini perlu dilaksanakan agar tidak timbul lagi persoalan dalam kalangan rakyat dan persepsi buruk kepada badan zakat. Proses ini juga melambangkan ketelusan pihak yang bertanggungjawab menguruskan urusan zakat ini.

Kesimpulan
PMUM mencadangkan, kutipan wang zakat di negara kita perlu diaudit oleh pihak yang  berintegeriti sebagai contoh Jabatan Audit Negara. Cadangan yang diberikan oleh pihak PMUM ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan kadar kemiskinan terutamanya orang Islam sendiri, di samping  memastikan ketulusan dan integiriti dapat diwujudkan dalam organisasi yang menguruskan pungutan zakat ini. –HARAKAHDAILY 21/7/2014

Fahmi Zainol ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya

KRISISSELANGOR.. Kenapa Kalid diPECAT..?

KRISISSELANGOR..
Kenapa Kalid diPECAT..?
Agar kita tidak menyokong membabi buta..
Agar kita tidak membangkang membuta tuli..
Elok kita membaca..
Elok kita bertanya..
Kemudian kita nilai..
Wajar atau tidak..
KRISISSELANGOR..

LALALALAAA..
Pemimpin BAIK datang dan pergi..
Golongan JAHAT kita tolak pi mati...
Jika geng JAHAT makin dekat di hati...
Baik semua mula berhati hati..
LALALALAAA..

Bacalahhhhh....

KRISIS SELANGOR DAN DAULAH TERPENDAM

Ketika tulisan ini digarap Khalid Ibrahim sedang berbincang dengan Sultan Selangor. Hari Sabtu 9 Ogos 2014 yang lalu Parti Keadilan Rakyat telah menyingkirkan Khalid dari menjadi ahli PKR. Sebelum ini parti DAP telah juga hilang kepercayaan kepada Khalid Ibrahim. Manakala PAS akan membuat keputusan pada 17 Ogos ini.

Justeru apabila Khalid bersemuka dengan Sultan pada pagi Senin 11 Ogos 2014 , si Khalid ini tidak mewakili sesiapa pun. Dia hanya mewakili dirinya sendiri.

Saya yakin pasti ramai ahli PKR, ahli PAS dan ahli DAP tertanya-tanya apa telah berlaku pada kerajaan Pakatan di Selangor. Saya juga yakin bukan hanya warga Selangor yang ingin tahu apa yang sedang berlaku dalam kancah politik PKR dan Pakatan Rakyat, malah rakyat Malaysia juga mahukan pencerahan.

Pada hemat saya naluri ingin tahu ini adalah satu permintaan yang adil. Lampu picit politik wajib diberikan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pencerahan. Adalah juga adil kepada diri saya sendiri untuk menerangkan sajelas mungkin kepada pembaca tanpa berselindung dengan retorik.

Surahnya bermula disini: Umum mengetahui sebelum Khalid Ibrahim masuk menjadi ahli PKR, sosok ini adalah pegawai tertinggi dalam Perbadanan Nasional (PNB) dan juga menjawat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Guthrie. Pangkat yang besar ini membolehkan Khalid diberi peluang untuk memiliki berjuta-juta saham syarikat Guthrie. Memiliki saham bukan satu kesalahan dari segi undang-undang negara mahu pun dari segi undang-undang Islam.

Untuk membeli saham ini Khalid Ibrahim telah meminjam duit dari Bank Islam. Meminjam duit untuk beli saham - apabila harga saham naik maka saham ini akan dijual. Keuntungan dari penjualan saham membolehkan Khalid membayar hutang. Ini yang di rancang oleh Khalid IbrahimMeminjam duit, berhutang, atau menjual saham bukan satu kesalahan undang-undang dan tidak melanggar hukum Islam.

Jika pinjam duit bank tak salah, jika jual saham TIDAK salah dari segi undang-udang – apa kesalahan Khalid Ibrahim?

Apa yang terjadi ialah nasib si Khalid ini kurang baik. Bukan salah ibu mengandung – salahkan turun naik Bursa Saham Kuala Lumpur. Nilai saham milik Khalid merundum. Jika saham dijual – hasil dari jualan ini TIDAKdapat menampung untuk membayar hutang Bank Islam. Hutang Khalid bertapok tambah.

Akhirnya kerana hutang tak langsai - Bank Islam telah mengambil alih saham Guthrie milik Khalid Ibrahim dengan nilai sebanyak $56.5 juta dolar Amerika atau $214.7 juta ringgit Malaysia. Tolak punya tolak. Kira punya kira Khalid Ibrahim masih lagi terhutang sebanyak $18.521.806.12 dolar Amerika atau $56.5 juta ringgit Malaysia. Sebagai hutang tak berbayar maka duit bunga pun naik. Ketika Khalid membuat perundingan gelap dengan wakil Daulah Terpendam jumlah hutang Khalid Ibrahim dengan Bank Islam telah melintasi $70 juta ringgit Malaysia.

Sekali lagi dinyatakan – Khalid berhutang dengan Bank Islam bukan satu kesalahan. Betul. Tetapi yang menjadi satu kesalahan ialah apabila hutang Khalid Ibrahim sebanyak $70 juta ringgit ini telah digunakan oleh United Malays National Organisation sebagai sumber ugutan.

United Malays National Organisation tahu bahawa pada PRU13 dahulu parti Ketuanan Melayu ini telah ditolak rakyat. Hanya dengan penipuan SPR yang membolehkan Parti Ketuanan Melayu ini dapat berkuasa kembali. Amat jelas 52% rakyat Malaysia telah memilih Pakatan Rakyat. Hanya 47% pengundi memilih United Malaya National Organisation dan kuncu-kuncunya.

Selangor negeri terkaya telah jatuh ke tangan Pakatan. Justeru Daulah Terpendam telah meneliti dan merancang stratiji untuk merampas kembali Selangor. Daulah Terpendam melihat sosok yang bernama Khalid Ibrahim adalah sosok yang bermasalah. Hutang Khalid Ibrahim adalah peluang terbaik untuk dijadikan bahan ugutan.

Ini samalah saperti apa yang telah terjadi kepada Najib Razak. Sejarah merakamkan bagaimana Najib Razak telah bersetuju untuk mengagihkan tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura kepada Lee Kuan Yew.Berita agihan tanah KTM meledak luas kerana mengikut Akuan Bersumpah PI Balasubramaniam - pertemuan Najib dengan Altantuya bermula di Pulau Sentosa Singapura. Mustahil ajen Lee Kuan Yew tidak mengetahui 'rompi pompi' Najib di pulau ini. Justeru, kemungkinan 'ugutan' muncul maka Najib bersedia memberikan tanah KTM ini dengan harga yang amat murah sekali – lebih murah dari harga kepala ikan di pasar borong Chow Kit.

Hakikatnya Najib kena 'pow' oleh Lee Kuan Yew. Hakikatanya Khalid Ibrahim juga kena 'pow' oleh Parti Ketuanan Melayu. Kalau Najib memberikan tanah KTM di Singapura kepada Lee Kuan Yew. Apa pula yang diberikan oleh Khalid Ibrahim kepada United Malays National Organisation?

Peras ugut yang berlaku diantara Khalid Ibrahim dengan United Malays National Organisation amat jelas. Malah peras ugut ini berlaku secara terang dihadapan mata seluruh rakyat Malaysia.

Peras ugut ini berjalan saperti ini : Pertama Khalid Ibrahim wajib terus duduk jangan bergerak dari jawatan MB Selangor walau pun PKR, DAP dan PAS telah TIDAK percaya kepada kepimpinan Khalid Ibrahim. Ini penting kerana jika Khalid tergelincir dari kerusi MB maka semua perancangan akan gagal.

Kedua: Khalid Ibrahim wajib meluluskan Projek Langat dua yang selama ini tidak bergerak. Banyak kroni tertunggu-tunggu akan projek ini. Malah pelaburan dari Jepun ternanti-nanti. Entah-entah banyak rusuk kroni yang telah patah ditumbuk Jepun.

Ketiga: Khalid Ibrahim wajib meluluskan Projek Kidex – lebuh raya bertol di Petaling Jaya. Ini penting kerana Tuan Empunya Projek Kidex ini telah berjasa kepada United Malays National Organisation. Projek bertol ini adalah 'ucapan terima kaseh' kerana berjaya menggunakan Hukum bin Hakam untuk mengembalikan Perak ke tangan Ketuanan Melayu.

Keempat: Menjual 308.72 ekar Tanah Kerajaan Selangor adik Danny Tan – adik Vincent Tan – towkay judi tersohor. Jual beli ini dilakukan dengan cara gelap – atau lebih molek dipanggil ' negotiated deal' yang mana tak ada siapa pun tahu. Pemimpin Pakatan tidak tahu. Malah Exco Selangor sendiri pun tidak tahu.

Betul ke semua ini? Semua yang saya tulis ini adalah benar bukan fitnah dan bukan tohmah. Jauh sekali retorik politik. Pekara dan fakta ini wajib saya nyatakan kepada pembaca. Saya akan memikul beban politik yang maha berat kerana sayalah secara resmi telah memulakan membuka tentang salah laku Khalid Ibrahim ini.

Dalam SUARA KEADILAN 11 Febuari 2014 – saya telah menulis tentang kepimpinan Khalid – walau pun secara ''touch n go' tapi hakikatnya pada ketika itu semua maklumat telah ada dalam komputer saya. Justeru salah laku Khalid ini – jika TIDAK saya umumkan kepada orang ramai maka ianya akan menjadi beban yang terpaksa saya pikul dalam hidup saya. Melakar fakta-fakta ini adalah tugas jujur seorang warga yang menyokong perjuangan Pakatan Rakyat.

Pekara-pekara yang diatas adalah berdasarkan Laporan Bertulis dari Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat. Laporan setebal 24 muka surat ini telah diminta secara resmi oleh Murshidul Am Parti PAS – Tuan Guru Nik Aziz. Tuan Guru telah meminta Setiausaha Agong PKR – Saifuddin Nasution – menerangkan sebab musabab kenapa Khalid Ibrahim ini perlu digugurkan dari jawatan Menteri Besar Selangor.

Laporan ini telah siap tiga hari sesudah Hari Raya dan telah diberikan kepada semua pucuk pimpinan PAS dan DAP. Ini bertujuan untuk menerangkan dan memberi pencerahan kenapa PKR sebagai sebuah parti politik telah hilang kepercayaan terhadap Khalid Ibrahim. Kenapa Khalid Ibrahim wajib diundurkan dari jawatan Menteri Besar.

Sayugia saya ingatkan bahawa kes hutang Khalid Ibrahim ini telah lama berligar. Ini sebelum dia masuk menjadi ahli PKR. Sebelum dia bertanding dipilihan raya kecil Ijok. Kes ini sering mendapat laporan dari media – terutama ruang media yang bersangkutan dengan perniagaan.Lalu timbul pertanyaan – kalau Khalid Ibrahim ada kes salah laku kenapa TIDAK buat laporan kepada SPRM. Ini sabenarnya satu pertanyaan yang amat jujur jika pertanyaan ini datang dari Mak Cik Felda. Tetapi apabila pertanyaan ini datang dari Senator, Pemimpim AMK atau dari Ketua Cabang PKR – maka jelas ada niat busuk dibelakang pertanyaan ini.

Semua aktivis politik , ahli politik , aktivis Ngo dari apa saja bentuk sedar bahawa SPRM ini adalah jentera daulah. Deep State atau Daulah Terpendam menggunakan SPRM ini bukan untuk menyelesikan kes rasuah atau untuk membasmi rasuah. SPRM ini akan digunakan untuk membunuh musuh politik kumpulan elit yang berkuasa.

Apakah tuan-tuan pembaca terlupa apa yang terjadi kepada Datuk Norza – Ketua Pemuda United Malaya National Organisation Wilayah Persekutuan. Datuk muda yang bersinar cahaya politiknya ini adalah kawan baik menantu Pak Lah. Tetiba pada bulan Januari 2009 Norza dituduh memberi rasuah. Norza yang juga ahli Majlis Tertinggi akhirnya gugur dari perlawanan merebut jawatan. Yang menarik bukan Norza TIDAK bertanding. Apa yang menarik ialah bagaimana SPRM telah digunakan oleh Daulah Terpendam. Kes Datuk Norza ini padam bagitu sahaja.

Jika Khalid Ibrahim TIDAK mengikut skrip maka Khalid juga akan dijadikan Datuk Norza. Khalid akan diistiharkan bangkrap dan SPRM akan masuk. Pada ketika ini mustahil ini akan berlaku. Betul SPRM akan datang. SPRM akan datang untuk menobatkan Khalid - lebih puteh dari puteh - lebih bersih dari bersih. Kita lihat dan tunggu.

Tukartiub..
Hishamudin Rais

Gerakan singkir Khalid jadi senjata makan tuan?


  • khalid ibrahim

KUALA LUMPUR - Gerakan untuk menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang diterajui pucuk pimpinan PKR dilihat menjadi 'senjata makan tuan' dan berpotensi menghancurkan PR.

Penganalisis politik berkata, krisis MB Selangor itu membawa implikasi kepada PR seluruh negara, kerana ia menunjukkan sikap sebenar pucuk pimpinan dan nilai ketelusan sebuah parti dalam mencapai matlamat yang diinginkan.

Apakah kegagalan PR mencapai persetujuan dalam isu MB Selangor dengan keengganan Pas bersetuju dengan rakan sekutunya bakal menjadi punca kepada perpecahan PR seperti yang berlaku pada Barisan Alternatif pada 2001 kerana bantahan PKR dan DAP dalam isu hudud?

Ketua Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmad Tarmizi Talib berkata, PR tidak lagi layak mengatakan mereka adalah pemerintah Selangor, ekoran tidak boleh mencapai persetujuan dalam pemilihan ketua.

Tambah beliau PKR tersalah langkah dalam permainan mereka, kerana lawan yang dipilih adalah Abdul Khalid, individu berprinsip yang memberi keutamaan kepada rakyat tanpa mengira 'siapa yang sedang bermain atau menggerakkan buah catur' di hadapannya.

"Saya melihat niat utama Abdul Khalid bukan untuk mempertahankan kerusi MB, namun lebih utama beliau menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bagaimana tahap ketelusan yang ada di dalam PR, khususnya di dalam PKR," katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad Tarmizi menambah kesilapan yang dilakukan adalah memandang rendah kemampuan Abdul Khalid dalam bidang politik memandangkan beliau lebih ke hadapan sebagai tokoh pentabiran dan pengurusan, ekoran latar belakangnya sebagai tokoh korporat.

"Abdul Khalid tak banyak bermain politik. Tapi beliau lebih kepada rakyat. Beliau tak perlu mengharapkan gaji MB kerana sudah tentu tidak setimpal dengan beban kerja. Jika wang ringgit yang menjadi keutamaan lebih baik beliau kekal dengan dunia korporatnya," katanya.

Pendapat sama diutarakan oleh Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Attory Hussain melihat Pas walaupun tidak menyatakan secara terbuka, isu Abdul Khalid menyebabkan parti itu kini berada dalam kedudukan 50-50 dalam pertaliannya dengan PR.

Justeru, Pas sewajarnya memikirkan adakah mereka masih mahu berkolaborasi dalam gabungan itu, kerana menurut Attory, jalan terbaik adalah untuk parti itu kembali berdiri sendiri. 

"Dalam kemelut MB, Umno menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid, dan jika Abdul Khalid memilih untuk menyertai Pas (beliau sedang mempertimbangkan kemungkinan ini), adakah sokongan Umno masih utuh jika Pas masih bersama PR? 

"Ini perkara yang perlu dilihat kerana darjah perbalahan antara Umno dan Pas tidak sehangat Umno dan PKR, yang banyak dianggotai oleh bekas anggota Umno," katanya.

Attory berkata, figura bernama Abdul Khalid itu boleh melahirkan dimensi politik baharu yang lebih positif, berpendirian dan berpegang kepada kebenaran.

"Ini x-factor Abdul Khalid. Saya fikir tidak ada masalah untuk beliau menyertai parti lain sama ada Pas, malah Umno juga pasti berbesar hati untuk menerimanya, walaupun saya berpendapat beliau berat ke arah Pas," katanya.

Sementara itu Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, Abdul Khalid kini perlu menimbangkan setiap implikasi yang boleh berlaku apabila menyertai sesebuah parti politik.

"Jika beliau memilih untuk menyertai Pas, sudah tentu akan menimbulkan rasa tidak senang kepada PKR yang cuba menyingkirkannya dan DAP yang menyokong gerakan itu. Jadi adakah Pas masih mahu bersama PR jika itu berlaku?," soalnya. - Bernama

BN jangan harap kerajaan campuran


  • Abdul Khalid ketika memaklumkan kedudukanya sebagai Menteri Besar Selangor semasa sidang media selepas beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, kelmarin.Abdul Khalid ketika memaklumkan kedudukanya sebagai Menteri Besar Selangor semasa sidang media selepas beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, kelmarin.

MENYUSULI pemecatan Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli PKR dan perkenan Sultan Selangor untuk dia meneruskan tugas sebagai menteri besar, ramai orang atas pagar berharap akan wujud kerajaan campuran Pas - BN di negeri itu.

Ini diimpikan dengan masuknya Khalid sebagai ahli Pas, apa yang dia sendiri kata sedang diberi pertimbangan dan akan membuat keputusan selepas membersihkan diri daripada tohmahan bekas partinya.

Penyokong Pas yang mula muak dengan kongkalikong politik Anwar Ibrahim dan perlahan-lahan sedang meneutralkan diri, pun juga menaruh harapan serupa.

Konflik MB Selangor yang tercetus daripada idea Anwar mahu isterinya menggantikan Khalid menyebabkan Anwar dan PKR hilang legitimasi untuk memperjuangkan isu-isu lain yang lebih penting. Anwar kini dilihat seorang pemimpin yang cakap tidak serupa bikin.

Mengenai kerajaan campuran, jangan terlalu berharap!

Ia boleh diimpikan tetapi realiti politik tidak semudah itu untuk Pas menerima BN sebagai rakan kongsi membentuk Kerajaan Selangor yang baharu.

Mursyidul Am Pas sendiri adalah penghalang No 1. Lihat kenyataan-kenyataannya selama ini yang begitu mendalam dendamnya kepada Umno selepas parti itu ditendang keluar BN pada 1978. Dan kita pun sedia tahu bagaimana patuhnya pemimpin dan ahli Pas kepada Tok Guru Nik Aziz.

Justeru, apa yang paling hampir akan berlaku ialah 12 Adun Umno - BN Selangor hanya menyokong Khalid terus memegang jawatan MB jika berlaku usul undi tidak percaya terhadapnya dalam sidang Dun akan datang, yang dijadualkan pada November.

Kerajaan campuran, merujuk pada kes di Selangor adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan dengan gabungan anggota Exco daripada Pas dan BN.

Soalnya, apakah Pas atau Khalid begitu terdesak serta tidak mempunyai pilihan untuk melantik barisan anggota Exco yang baharu?

Harimau tua

Harus diingat bahawa Pas pada masa ini pun, tanpa Khalid mempunyai 15 anggota Dun. Dan saya juga percaya, akan ada seorang, dua atau tiga Adun PKR sekurang-kurangnya yang akan mengikut jejak Khalid meninggalkan PKR. Pada masa ini pun sudah terbayang wajah mereka di ruang minda saya namun tidak manislah untuk saya menyebut namanya!

Dalam kenyataannya kelmarin, Muhyiddin Yassin pun sekadar berkata bahawa 12 Adun Umno - BN hanya akan menyokong Khalid terus sebagai menteri besar. Siapa juga pun tahu bahawa itu yang paling mampu boleh dilakukan oleh BN untuk memastikan projek Langat 2 dapat direalisasikan.

Ada juga pandangan dari dalam Umno sendiri, adalah lebih baik untuk pemimpinnya sekadar diam, jangan membuat sebarang kenyataan kerana berdasarkan sejarah silam, sebarang kenyataan sangka baik Umno terhadap pakatan - seperti cadangan

Kerajaan Perpaduan - akhirnya akan balik menikam. Umno dituduh terhegeh-hegeh minta bergabung kerana tidak mampu lagi bertahan!

Justeru, saya terfikir ada baiknya bagi Umno untuk sekadar tunggu dan lihat hingga hingga sampai masa sidang Dun pada November. Pada masa itu, sokonglah untuk Khalid kekal jika benar mahu menyokong.

Apa pun, kenyataan Muhyiddin itu tidaklah sampai menjejaskan. Namun lebih elok berjaga-jaga. Mana tahu kalau-kalau pemimpin Pas nanti ambil langkah buat pusingan U. Bukan tidak biasa!

Apa pun, Umno janganlah bermimpi lebih daripada itu. Analogi saya, kedudukan Umno di Selangor pada masa ini tidak lebih seperti harimau tua. Walaupun lembu gemuk sudah di depan mata, lauk yang paling lazat itu hanya sekadar boleh dilihat, paling lebih dijilat sahaja kerana taringnya sudah tiada.

Pada pandangan saya, tiada pemimpin dalam barisan atas Umno Selangor sekarang yang diyakini rakyat seperti Khalid. Justeru, Khalid janganlah diganggu ataupun diberi sokongan yang tidak ikhlas untuk dia dimangsakan pula pada masa akan datang, selepas jadi mangsa politik PKR.

Lagi pun, Khalid asalnya daripada dalam mangkuk Umno juga, gayanya kurang lebih seperti Umno. sebab itu pada pilihan raya kecil Ijok yang pertama kali dia bertanding pada 2007, dia pernah tersasul meminta penyokongnya mengundi BN. Dia sertai PKR, pun kerana kecewa dengan permainan politik dalaman Umno yang menyaksikan seorang tokoh ekonomi negara sepertinya, tewas di tangan ahli politik kampung dalam perebutan jawatan ketua cawangan di Kuala Selangor.

Jadi dengan kekalnya Khalid sebagai MB, sudah cukup bagi Umno untuk bermesra-mesraan dengannya, sama-sama menguruskan negeri sebagai pembangkang yang konstruktif demi kepentingan rakyat.

Hannah Yeoh

Sebenarnya, masa depan Khalid dalam politik pun masih lagi samar. Walaupun dia nampak kuat, pengekalan jawatannya seperti yang diumumkan telah mendapat perkenan Sultan Selangor kelmarin setakat bersandar pada "sehingga ada perkembangan terbaru."

Setidak-tidaknya sehingga sidang Dun akan datang pada November, Khalid masih menteri besar. Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh jika mahu panggil sidang khas, hanya boleh melakukannya dengan arahan Khalid sebagai MB. Mustahil Khalid mahu adakan sidang Dun untuk orang beri undi tidak percaya terhadapnya!

Ada yang bertanya, bagaimana Khalid boleh beritahu Tuanku Sultan bahawa dia masih mendapat sokongan majoriti Adun - isu yang sama dibangkitkan Saifudin Nasution dan Tony Pua - sedangkan majoriti dalam Dun Selangor sekarang adalah ahli PKR,

DAP dan Pas yang masih dalam pakatan.

Itulah juga soalan yang sama kita boleh tanya semula kepada Saifudin dan Tony Pua, bagaimana mereka sendiri boleh yakin bahawa kesemua Adun itu menentang Khalid?

Ironinya, Khalid memberitahu demikian kepada Tuanku Sultan atas nama formaliti bahawa setakat ini tiada usul undi tidak percaya dikemukakan terhadapnya dalam sidang Dun, yang bermakna dia mendapat sokongan majoriti mengikut rekod sedia ada.

Yang penting, Tuanku Sultan mempunyai kuasa untuk memberi perkenan terhadap Khalid.

Jika tidak mempercayai Khalid, baginda boleh sahaja memanggil Adun-Adun untuk menghadap dan bertanyakan sendiri pandangan mereka sama ada mereka mahu Khalid kekal ataupun sebaliknya.

Ini pernah dilakukan oleh Sultan Perak pada Februari 2009 yang menyaksikan Nizar Jamaluddin akhirnya terpaksa turun dari kerusi MB.

Sekarang ramai mengandaikan Khalid akan sertai Pas, yang sekali gus akan mengubah komposisi kerusi dalam Dun Selangor dengan pertambahan kepada Pas - daripada 15 kepada 16 kerusi - manakala PKR berkurang kepada 13. DAP kekal 15 dan BN, 12.

Jika berlaku undi tidak percaya terhadap Khalid dengan andaian dia dan Pas akan dapat sokongan Adun BN sebagaimana yang telah diumumkan oleh Muhyiddin, akan ada 28 Adun berpihak kepada Khalid. Dan diandaikan pula kesemua Adun PKR kekal menentang, begitu juga DAP, pun juga 28 undi. Ini bermakna keputusannya seri.

Ramai yang garu kepala bagaimana konflik ini boleh disudahkan dengan keputusan yang demikian.

Jawapannya ada pada Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh, Adun DAP yang selain satu undi sebagai Adun, dia juga mempunyai satu undi penentu atau casting vote sebagai Speaker. Dengan ini, undi yang menentang Khalid boleh jadi majoriti mudah, 29.

Ertinya, Khalid belum tentu selamat untuk kekal jawatannya selepas November.

Apa pun, jangan ditolak kemungkinan akan ada Adun PKR yang melompat menyertainya.

Sekurang-kurangnya untuk masa sekarang, kita boleh tarik nafas lega.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

DAP: Pas tak berlaku adil dalam PR


  • Ean Yong Hian WahEan Yong Hian Wah

SHAH ALAM - Tindakan keempat-empat Exco Pas Selangor yang berdegil untuk menghadiri mesyuarat mingguan Exco hari ini sangat mengecewakan rakan parti komponen dalam PR.

Menurut Exco DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, tindakan Exco berkenaan sebagai tidak adil dalam semangat kerjasama politik yang dipersetujui dalam gabungan itu.

"Saya sangat kecewa apabila empat Exco Pas menghadiri mesyuarat Exco hari ini.

"Ia menunjukkan Pas tidak adil dalam semangat kerjasama politik yang dicapai sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Malam tadi, DAP meminta Pas turut menunjukkan solidariti dalam PR dengan tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, Hian Wah memberitahu, beliau masuk ke pejabat hari ini dan menjalankan tugasnya seperti biasa walaupun telah dipecat semalam.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menerajui Kerajaan Negeri Selangor sebagai tidak masuk akal kerana beliau adalah seorang Adun Bebas.

"Tindakan Abdul Khalid itu tidak berperlembagaan dan mengamal politik tidak bermoral.

"Abdul Khalid perlu ingat bahawa mandat rakyat pada Mei 2013 adalah untuk PR dan bukannya untuk beliau sendiri," katanya lagi.

Sehubungan itu, Hian Wah mendesak supaya Abdul Khalid meletakkan jawatan menteri besar dan mengembalikan kuasa itu kepada rakyat.

Beliau juga menggesa supaya pimpinan tertinggi PR supaya mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk membuat keputusan yang muktamad berhubung krisis Menteri Besar Selangor itu.

Saiful saman Anwar, tuntut ganti rugi RM50 juta


  • Anwar Ibrahim - Saiful Bukhari AzlanAnwar Ibrahim - Saiful Bukhari Azlan

SHAH ALAM -  Bekas pembantu peribadi Ketua Umum PKR, Mohd Saiful Bukhari Azlan memfailkan saman RM50 juta terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menuduhnya memfitnah dan berkonspirasi dalam kes liwat membabitkan dirinya.

Menurut peguam Zamri Idrus yang mewakili Mohd Saiful pada pengurusan kes saman itu hari ini, Timbalan Pendaftar menetapkan 8 Oktober depan sebagai pengurusan kes.

Tambahnya lagi, mahkamah memberikan arahan supaya Anwar memfailkan pernyataan pembelaan dalam masa tiga minggu.

Ketua Pembangkang itu sebelum ini mengaku tidak bersalah meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Penggabungan bank untungkan siapa?


DR DZULKEFLY AHMAD | .

CADANGAN penggabungan bank sekali lagi mengambil pentas utama dalam sektor kewangan negara mutakhir ini.

Saya ditanya pihak media apakah ia punya hubungan dengan persiapan mendepani cabaran era persaingan yang lebih sengit setelah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditandatangani.

Setelah saya ditanya media dan mungkin sahaja boleh 'diputar’ atau ‘spin’ oleh pihak media bagi menyokong atau membantah sesuatu maksud, lebih baik saya terus menulis sahaja artikel berhubung tajuk ini.

Menubuhkan sebuah bank bersifat mega dan mempunyai aset yang lebih besar, logiknya akan memberi keupayaan untuk lebih mampu bersaing. Begitulah agaknya tanggapan umum. Kalau diberitahu oleh pihak kerajaan akan keperluannya begitu, akan pasti diangguk dan diterima sahaja oleh rakyat.

Untuk peringatan umum, kali terakhir ‘penggabungan bank’ berlaku secara besar-besaran adalah pada era Tun Dr Mahathir Mohamad setelah kegawatan kewangan 1997.  Malaysia yang ada 58 institusi kewangan dan perbankan diarah bergabung menjadi enam ‘anchor bank'.

Tidak ramai yang ingat bahawa ‘konflik kepentingan’ antara Tun M dan Tun Daim Zainudin, setelah menggantikan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai Menteri Kewangan, berakhir dengan menyaksikan jumlah 'anchor bank' menjadi 10 buah. Tun Daim yang berebut dengan Mokhzani Mahathir untuk mengambil alih ‘control’ salah satu ‘anchor bank' tersebut.

TRADISI SONGSANG

Peristiwa ini juga merakamkan sejarah yang menyaksikan Tun M melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan dan sehingga kini tradisi ‘songsang’ ini diteruskan secara ‘komplian’ oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kini Dato' Seri Najib Razak.

Penguasaan terhadap Kementerian Kewangan sekali gus memberikan Presiden Umno kawalan ke atas sektor kewangan negara yang sebahagian besarnya adalah dalam pemilikan kerajaan melalui syarikat-syarikat kaitan kerajaan (GLC) mengikut dapatan Dr Terrence Gomez, seorang profesor ‘Political Economy’ di Universiti Malaya.

Untuk ingatan umum, semasa Krisis Kewangan Asia 1999, bebanan hutang tak berbayar (NPL) seumpama ditanggung Sime Bank (nama asal UMBC) dan Bank Bumiputra, yang 'dikontrol' oleh kerajaan, mencecah RM21 bilion daripada sejumlah RM28 bilion seluruh NPL dalam negara.

Bank Bumiputra digabung dengan Bank of Commerce menjadi sebahagian daripada CIMB Holding Group. Sementara itu, Sime Bank digabungkan dengan RHB Bank yang umum mengetahui dimilikki oleh Tan Sri Rashid Hussain. Ketika Rashid Hussain ‘bermasalah’ dengan pimpinan Umno, kepentingan RHB diambil oleh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud melalui penggabungan dengan Bank Utama dan dana KWSP memiliki pegangan saham majoriti.

SKANDAL UMBC

RHB itu sendiri adalah hasil penggabungan antara Kwong Yip Bank yang dibeli daripada Malayan Banking dan Bank D&C yang ditubuhkan oleh bekas Menteri Kewangan HS Lee dan dimiliki oleh anaknya Alex Lee, seorang pimpinan kanan Parti Gerakan, yang juga rapat dengan Tun M dan Daim.

Meneliti sejarah CIMB dan RHB secara lebih khusus akan menyerlahkan dakwaan tentang bagaimana sektor kewangan ini sememang menjadi perebutan dan dikawal rapi oleh kepentingan penguasa politik dan elit bisnes.

Umno pada 1975 mengambil alih sebuah bank berpangkalan di Sarawak iaitu Bank Bian Chiang dan dijenamakan kembali sebagai Bank of Commerce, yang sepatutnya bergabung dengan UMBC (United Malayan Banking Corporation) milik Daim pada 1985 tetapi gagal dilaksanakan. Peristiwa yang diberi jolokan “UMBC Scandal” berakhir dengan saham Daim dalam UMBC dijual kepada Pernas.

UMBC kemudiannya berada di bawah 'kontrol' Datuk Keramat Holding dan koperasi Umno, KUB. UMBC mengalami pelbagai masalah tadbir-urus dan skandal pinjaman, sehingga beralih kawalan di bawah Sime Darby, sebuah GLC awam. UMBC mengalami penjenamaan semula dengan nama Sime Bank yang kemudiannya bergabung dengan RHB.

Pada 10 Julai lalu, pasaran kewangan kembali sibuk dengan berita bahawa penggabungan antara CIMB Group Holding, RHB Capital, dan Malaysian Building Society Bhd (MBSB) sedang dalam proses pembikinan. Ia sekali gus akan menampilkan sebuah institusi kewangan Islam terbesar di Asia Tenggara.

Ia akan membentuk sebuah bank mega dengan aset sejumlah RM613.7 bilion, mengatasi bank utama dan terbesar di Malaysia, iaitu Maybank Bhd yang memiliki aset sebanyak RM578 bilion.

TUJUAN PENGGABUNGAN

Nah, apakah tujuan penggabungan buat kali ini? Ramai yang ingin tahu. Apakah cakap tentang perlaksanaan TPPA puncanya?

Yang jelasnya daripada sedikit pengkisahan dan naratif penggabungan perbankan di atas, ia adalah lebih tepat lagi untuk konsolidasi kuasa dan 'kontrol-kawalan' pihak keajaan dan elit bisnes. Maka  dalam pusingan kali ini pun, penulis cenderung untuk membuat telahan bahawa ia juga bermatlamat sedemikian.

Siapa yang mendapat keuntungan segera daripada proses penggabungan ini tidak perlu dipertikaikan kerana umum sudah sangat faham dan tahu bank mana yang kerap diberikan tugasan melaksanakan kegiatan M&A atau penggabungan dan pembelian seperti ini.

Tidak ada penganalisis kewangan pun yang diperhatikan penulis secara jelas menyokong penggabungan bank menjadi sebuah ‘mega bank’ sebagai langkah yang bijak dan wajar dalam mendepani cabaran TPPA.

Sebaliknya proses pergabungan yang dizinkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk dilunaskan dalam 90 hari itu, dilihat sebagai berpotensi mencetuskan pelbagai masalah kompleks dalam proses integrasi atau penggabungan serta menampilkan pelbagai risiko dan cabaran.

Kekhuatiran ini dilahirkan oleh sebuah agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings. Isu-isu yang dibangkit Fitch Rating adalah sangat munasabah bersabitan proses integrasi yang kompleks di antara CIMB dan RHB yang dirumitkan lagi dengan kmasukan MBSB yang bukan sebuah bank. Juga Fitch Ratings menelah kemungkinan akan melemahkan ‘capital buffer’ bagi CIMB kalau tidak dibantu dengan suntikan ekuiti baru yang mencukupi.

PEKERJA MENJADI MANGSA

Tidak kurang juga ada pihak-pihak yang akan menjadi mangsa dan dimangsakan seumpama pekerja-pekerja dan pemilik saham minoriti, seperti biasa.

Maka tidak hairanlah, cadangan penggabungan CIMB Group Holding, RHB Capital, dan Malaysian Building Society Bhd (MBSB) ini telah ditentang oleh beberapa pihak. Masing-masing punya sebab untuk menolak penggabungan.

Putrajaya berdepan kritikan terhadap cadangan penggabungan ini apabila kesatuan perbankan nasional, pemimpin Umno sendiri dan kerajaan Abu Dhabi membantah pembentukan bank terbesar negara itu.

Abu Dhabi (melalui Aabar Investment PJS) pemilik 21.4% saham RHB, mahu memastikan mereka mendapat harga bayaran saham terbaik. Mereka turut mengugut Putrajaya untuk menarik balik pelaburan berbilion ringgit bagi projek Rapid Petronas di Pengerang. Isunya adalah harga saham.

Sementara Abu Dhabi khuatir tentang kepentingan mereka tidak diambil kira dalam proses penggabungan ini, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), menyuarakan rasa tidak puas hati dengan Bank Negara kerana tidak dibawa berunding bersama.

Secara lebih khusus mereka mahu pastikan nasib pekerja-pekerja bank terjamin selepas penggabungan. Penggabungan pusingan pertama meninggalkan pekerja sebagai mangsa ‘collateral damage’ dalam ‘perang korporat’ merebut kuasa dan 'kontrol'.

NEPOTISME

Pemimpin Umno membantah kerana mereka akan dituduh mengamalkan nepotisme dan kronisme kerana CIMB diterajui adik kepada PM Najib iaitu Dato' Seri Nazir Razak.

Kalau benar mewujudkan sebuah Mega Bank Islam adalah penting maka mengapa tidak diberikan kepada Maybank, bank milik negara, yang juga mahu membeli RHB sedikit waktu dahulu? Jelas persepsi tentang amalan kronisme Putrajaya sekali lagi berbangkit.

Ketiga-tiga institusi ini mempunyai satu persamaan yakni dimiliki oleh KWSP, yang berkebetulan di bawah penguasaan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Tidak dapat tidak ‘masalah persepsi’ tentang amalan kronisme sukar untuk dinafikan ketika Najib memilih Nazir melalui CIMB dan tidak pula Maybank untuk melaksanakan mewujudkan Mega Bank Islam ini.

Benar Nazir akan diganti Dato' Zafrul Abdul Aziz, selaku CEO baru CIMB namun Nazir disamping akan mengambil alih Pengerusi Lembaga akan juga menjadi Pengerusi sebuah ‘Jawatankuasa Eksekutif’ yang bakal ditubuhkan CIMB yang berperanan dalam penentuan polisi dan urusan strategik pelaburan.

Maka persoalan yag perlu dijawab Najib dan pentadbirannya di Putrajaya adalah, apakah penggabungan ini mencetuskan ‘iklim’ dan menyuntik semangat dan keyakinan ‘pelabur’ terhadap sektor kewangan dan perbankan negara?

MEGA BANK

Penguasaan elit politik yang bersekongkol dengan elit bisnes adalah satu sindrom dan amalan yang sangat dibenci pelabur kerana acapkali meletakkan akhirnya mereka tidak bersaing di atas ‘padang sama-rata’. Ini akan bakal meneruskan kegiatan ’rent-seeking’, kronisme dan nepotisme dalam pelbagai kegiataan tadbir-urus yang dilhat dan dipandu oleh kepentingan ‘parokial’ pihak tertentu serta ‘greed’ atau tamak sekali gus merosakkan pasaran kewangan.

Sememangya betul penggabungan ini akan menjadi entiti ini keempat terbesar di segi 'aset' selepas DBS Group milik Singapura, Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC) dan United Overseas Bank.

Sememangnya ia akan membenarkan entiti ‘Mega Bank’ ini melakukan ’leveraging'nya pada skala yang lebih besar di rantau ini dan mengizinkan pinjaman serantau atau ‘regional lending’ dan ‘pembiayaan perniagaan rentas sempadan’ atau ‘cross-border trade financing’ dapat dijalankan.

Juga kumpulan yang bergabung ini pastinya akan mempunyai yang terbesar dari segi keuntungan (profit), pinjaman (loan) dan jumlah pendeposit. Mereka juga akan dapat membuka lebih banyak lagi cawangan di Singapura apabila mendapat status ‘Qualifying Full Bank' (QFB).

Maybank yang kini memiliki 22 cawangan di Singapura sementara CIMB, selama kini gagal mendapat status QFB dan hanya ada dua cawangan di Singapura, Pusat Kewangan paling rancak di rantau ini. Sementara RHB punya tujuh cawangan. Ini yang diidam-idamkan CIMB bukan sangat kerana TPPA dan persaingan yang bakal dihadapi nanti.

BESAR BUKAN SEGALANYA

Namun seperkara juga yang perlu diingatkan bahawa pengalaman krisis 'sub-prima' di Amerika Syarikat membuktikan bahawa ‘besar bukan segala-galanya’. Pengalaman keruntuhan institusi kewangan membuktikan dakwaan ini. Lehmann Brothers, Bear Stearns dan Merill Lynch, AIG, Fannie Mae dan Freddie Mac adalah contoh-contohnya.

Kerajaan Amerika terpaksa memperkenalkan konsep ‘Too Big To Fail’ bagi menjustifikasikan ‘bantuan untuk menyelamatkan’ atau ‘bailout’ kerajaan Amerika ke atas gergasi-gergasi besar ini yang ditanggapi sebagai terlalu penting untuk negara, untuk mengelakkan mereka ini ‘gulung tikar’ bahkan sebaliknya mesti dibantu dan diselamatkan.

Dengan kata lain, sementara penggabungan membentuk bank mega itu ada kemunasabahannya, namun tetap faktor tadbir-urus korporat institusi kewangan atau perbankan dengan amalan terbaik atau ‘best practice’, telus dan mengamalkan keamanahan serta kebertanggungjawapan itu adalah jauh lebih penting dan penentu kritikal dalam meningkatkan prestasi dan daya-saing sesebuah entiti bisnes.

Masa akan menentukan siapa pihak yang mengaut keuntungan lumayan daripada penggabungan ini.- HARAKAHDAILY, 12/8/2014
______________________
Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat

PENDEDAHAN : Siapa Edward Snowden dan kenapa AS mahukannya?

Petikan dari laman web VIRAL MEDIA!
PENDEDAHAN : Siapa Edward Snowden dan kenapa AS mahukannya?
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca blog AA ni.Penulisan kali ini berkenaan lelaki paling dikehendaki Amerika Syarikat buat masa ini iaitu Edward Snowden.Siapakah Edward Snowden? Dan kenapa Amerika Syarikat mahukannya?

Edward Snowden

Edward Snowden merupakan seorang pakar computer berasal dari AS.Edward pernah bekerja dengan Agensi Keselamatan Kebangsaan(NSA) AS sebagai seorang kontraktor teknikal dan juga pernah bekerja di Central Intelligent Agency(CIA) sebagai Pentadbir Sistem.Tiga bulan permulaan kerjanya di NSA,dia telah memulakan aktiviti mengumpul atau mencuri secara diam data-data perisikan AS yang sangat sulit.Tidak lama selepas itu,dia berhijrah ke China secara senyap seterusnya mendedahkan data-data sulit yang diambil tersebut.
Tindakannya yang berhijrah ke China sebelum menyebarkan maklumat perisikan AS adalah kerana data yang diambil mempunyai kandungan perisikan AS ke atas China dan Hong Kong terutamanya melibatkan banyak kes penggodaman yang berlaku.China yang berang dengan pendedahan tersebut telah melindungi Edward daripada diekstradisi oleh AS untuk dibicarakan.Antara pendedahan Edward yang mengejutkan umum ialah :
1. AS merisik sejumlah hampir 5 Billion pengguna telefon selullar,ini termasuk rakyat negaranya sendiri.Melalui risikan tersebut, pihak AS mempunyai data lokasi dan maklumat mengenai pengguna tersebut.
2. Edward mendedahkan AS menyenaraikan beberapa tokoh di seluruh dunia dalam risikan mereka.Ini termasuklan bekas Perdana Menteri Malaysia yang ke-5,Tun Abdullah Ahmad Badawi.
3. 1.7 Juta data sulit ketenteraan AS juga berjaya diperolehi Edward dimana keseluruhan data tersebut jika didedahkan kepada umum bakal mengganggu-gugat keselamatan tentera dan pangkalan AS di serata dunia.
4. Ejen perisikan AS dan Israel mempunyai hubungan baik dan bekerjasama dalam risikan keatas Negara-negara di dunia.
5. Pendedahan mengenai suatu program “bayangan” oleh AS terhadap Brazil.Program tersebut diumumkan AS sebagai program anti-terrorism sedangkan ia sebenarnya program untuk merisik ekonomi,kawalan social dan juga manipulasi diplomatik.
6. Edward mendedahkan NSA dengan kerjasama GCHQ merancang untuk menyebar sejenis virus ‘malware’ ke seluruh computer di serata dunia yang digelar “Turbine”.Virus itu berupaya mewujudkan satu server palsu untuk laman social ‘Facebook’ dan akan mengaburi mata pengguna seterusnya membolehkan mereka mengumpul maklumat peribadi pengguna laman tersebut.
7. AS juga melakukan risikan keatas syarikat-syarikat besar dunia termasuklah Google,AT&T dan Cisco!

Edward ketika melakukan persidangan video bersama
Ahli Majlis Keselamatan Eropah
Dan banyak lagi pendedahan yang dilakukan Edward. Edward sekarang berada di Russia dan mendapat suaka perlindungan selama setahun.Permohonannya untuk memohon suaka dari 20 negara masih tidak mendapat kelulusan selepas AS menekan negara-negara tersebut.Keberanian lelaki ini mendapat banyak anugerah dari seluruh dunia dan menjadi tokoh penting dalam program-program hak kebebasan.Peluang Edward untuk kembali ke AS disifatkan sebagai ‘perkara mustahil’ atas sebab pendedahannya ini dan dia juga diklasifikasikan AS sebagai ancaman/musuh No 1 AS.

Usaha damai masih buntu

Usaha damai masih buntu2014/08/13 - 03:21:19 AM
Wanita Palestin bersedih atas kematian saudara mereka di Jabalia.
Gaza/Kaherah: Rundingan untuk menamatkan perang selama sebulan antara Israel dan pejuang Islam di Gaza adalah sukar, kata anggota delegasi Palestin semalam, manakala pegawai Israel berkata tiada kemajuan dicapai sehingga kini.

Ketika gencatan senjata 72 jam di wilayah Palestin itu memasuki hari kedua, perunding dari Palestin mula berbincang dengan pihak perisikan Mesir, selepas perbincangan kelmarin yang berlanjutan selama sembilan jam. Anggota delegasi Israel kembali semula ke Kaherah semalam.

Hamas dan sekutunya mahu supaya sekatan oleh Israel dan Mesir di Semenanjug Gaza ditarik balik.

Tiada persefahaman 

Kita berdepan rundingan yang sukar, kata pemimpin Hamas di Kaherah, Moussa Abu Marzouk melalui Twitter.

Agensi berita negara Mesir, Mena memetik ketua sekutu Hamas, Khaled al Batch dari Jihad Islam, sebagai berkata rundingan sekarang adalah paling serius, intensif dan sukar.

Pegawai Israel yang enggan memberikan nama pula berkata: Jurang antara kedua-dua pihak sangat besar dan tiada kemajuan dalam rundingan.
Wakil rasmi Palestin memaklumkan Reuters dengan identitinya dirahsiakan berkata, sehingga kini kami tidak boleh menyatakan sebarang perjanjian dicapai.

Tunggu sehari lagi untuk melihat sama ada kita akan bersetuju.

Sementara itu, penduduk Palestin mengambil kesempatan di atas ketenangan sementara berikutan gencatan senjata selama 72 jam itu untuk kembali menjalani kehidupan normal meskipun banyak rumah musnah, di samping kematian dan kecederaan yang dialami penduduk.

Tiada laporan pencabulan perjanjian daripada kedua-dua pihak sejak tengah malam Ahad lalu. Kedai dan premis perniagaan dibuka semula dan orang ramai membanjiri jalan raya di wilayah bergolak itu.

Kami mahu kembali untuk melihat apa terjadi kepada rumah kami, kata Hikmat Atta, 58, yang bersama keluarganya mahu untuk kembali ke rumah mereka di Beit Lahiya.

Di New York, Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) telah melantik pakar menganggotai suruhanjaya siasatan mengenai kemungkinan pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Pengumuman kelmarin itu disambut sinis oleh Israel dan menyifatkan siasatan itu sebagai mahkamah olok-olok Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Pasukan bebas akan siasat

Jurucakap Hamas di Gaza, Sami Abu Zuhri, berkata: Hamas mengalu-alukan keputusan membentuk jawatankuasa siasatan mengenai jenayah perang yang dilakukan rejim Zionis ke atas Gaza dan menggesa ia dimulakan secepat mungkin.

Kenyataan PBB berkata, pasukan bebas itu akan menyiasat semua pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dalam konteks operasi tentera yang dijalankan sejak 13 Jun 2014. REUTERS / AGENSI

Sultan tak perkenan Wan Azizah menghadap


Shah Alam: Istana Selangor semalam mengesahkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menolak permohonan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon untuk isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memohon perkenan menghadap baginda, kelmarin.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani berkata, pihak istana menerima surat ditandatangani Anwar pada Ahad lalu bertujuan memberi penerangan dan penjelasan yang sudah diputuskan PKR.


“Surat permohonan itu dipersembahkan kepada Tuanku Sultan pada Isnin (kelmarin) dan baginda menitahkan saya memaklumkan kepada Anwar bahawa baginda tidak berkenan menerima menghadap Wan Azizah yang juga Presiden PKR.



“Baginda tidak berkenan menerima menghadap Wan Azizah berikutan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah pun menghadap baginda berkaitan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya.


Menurut Mohamad Munir, Sultan Selangor berpendapat pemecatan Abdul Khalid daripada ahli PKR adalah isu dalaman parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dan Menteri Besar Selangor.


Katanya, baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman PKR.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Munir berkata, keputusan mengekalkan Abdul Khalid sebagai menteri besar adalah keputusan baginda sendiri dan bukannya keputusan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor seperti disiarkan dalam beberapa akhbar tempatan.


“Mesyuarat itu adalah mesyuarat berjadual yang sudah diperkenankan Sultan Selangor dan tidak membincangkan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

“Abdul Khalid sudah menghadap Sultan Selangor bagi menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR dan beberapa perkara berkaitan kedudukan menteri besar sebelum Mesyuarat Dewan Diraja,” katanya.


Menurutnya, Sultan Selangor sudah memaklumkan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor mengenai keputusan baginda untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

6 Exco DAP, PKR dipecat


Shah Alam: Sehari selepas memberi kata dua kepada enam ahli Exco dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya meletak jawatan jika tidak menyokongnya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam mengambil tindakan drastik memecat semua Exco terbabit berkuat kuasa serta-merta.
Tiga Exco itu daripada DAP iaitu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram Ean Yong Hian Wah dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin V Ganabatirau.

Tiga Exco daripada PKR pula ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Rodziah Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi.
Abdul Khalid berkata, semua enam Exco berkenaan dipecat berkuat kuasa serta-merta berikutan terdapat usaha untuk mengehadkan kuasanya sebagai Menteri Besar untuk membuat keputusan dalam kerajaan negeri.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerana Exco daripada dua parti berkenaan membuat kenyataan bersama serta menandatangani surat untuk mengadakan satu sekatan bagi mengurangkan kecekapan pentadbirannya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Foto
ABDUL Khalid menjawab pertanyaan media sebelum meninggalkan bangunan SUK, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

16 jasad bakal pulang


Kuala Lumpur: Sebanyak 16 jasad rakyat Malaysia terdiri daripada penumpang dan kru MH17 sudah dikenal pasti dan dijangka dibawa pulang ke tanahair minggu depan.
Menurut sumber, jasad penumpang akan dibawa pulang dengan segera sebaik selesai proses dokumentasi dan serahan rasmi oleh pihak berkuasa Belanda. 
“Bagaimanapun kita tidak boleh mendedahkan identiti semua mangsa terlebih dulu sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan Malaysia. 

“Setakat ini, empat Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga pakar patologi dan tiga pakar tulang masih berada di Kem Tentera Hilversum untuk proses pengecaman identiti,” katanya.
Foto
FOTO AFP

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai turut mengesahkan bilangan mayat itu menerusi kenyataan di laman Fecebooknya.

Menurutnya, 16 jasad warga Malaysia yang terbabit dalam nahas MH17 sudah dikenal pasti dan usaha sedang dilakukan untuk membawa mereka pulang. 

“Bagaimanapun, nama mangsa tidak dapat diumumkan sekarang sehingga perbincangan dengan waris dibuat termasuk menerima mayat mangsa,” katanya. 

Keseluruhannya, 43 warga Malaysia, termasuk anak kapal berada dalam pesawat berkenaan sebelum didakwa ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak pro-Russia menggunakan peluru berpandu anti pesawat BUK.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Maloney idam jadi wanita


Frank Maloney
England: Selama tiga dekad, Frank Maloney terkenal sebagai raja dalam dunia tinju menjadi pengurus Lennox Lewis, peninju terkenal Britain dan juara heavyweight dunia.

Jutaan melihat kegembiraannya meraikan kejayaan Lewis selepas kemenangan besarnya pada 1992 sehingga nama Maloney tidak asing bagi peminat sukan tinju.


Namun, tanpa disangka Maloney mempunyai rahsia yang sukar diatasinya iaitu keinginan menjadi wanita.

Maloney, 61, baru-baru ini mendedahkan bersedia menjalani pembedahan menukar jantinanya, malah kini dikenali sebagai Kellie.


Dia mengakui rasa terperangkap dalam badan lelaki sejak masih kecil dan menceritakan bagaimana dia akhirnya memutuskan membuat perubahan paling besar dalam hidupnya. untuk hidup sebagai wanita.


Maloney yang pernah berkahwin dua kali dan mempunyai tiga anak menceritakan saat dia mengakui perkara itu kepada isterinya selain kebimbangannya dicerca terutama dalam kalangan rakan dunia sukan tinju.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/13

6 Exco Pakatan Rakyat dipecat


KHALID tiba di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam semalam untuk meneruskan tugas rasmi sebagai Menteri Besar Selangor.


SHAH ALAM - Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor runtuh apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak memecat enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berkuat kuasa serta-merta.
Khalid telah menghantar surat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memohon perkenan untuk memecat Exco terbabit semalam.
Beliau berkata, tindakan tersebut diambil kerana kesemua Exco terbabit cuba mengehadkan kuasanya sebagai Menteri Besar untuk mentadbir negeri itu dengan lancar.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0813&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3ADpZBUM5 
Hakcipta terpelihara 

Isu MB: Khalid saman The Malaysian Insider


KUALA LUMPUR 12 Ogos - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menfailkan saman terhadap portal berita The Malaysian Insider berhubung artikel mengenai isu jawatan Menteri Besar Selangor.
Abdul Khalid menfailkan saman itu menerusi Tetuan Bon di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini semalam dan media memperoleh salinan penyataan tuntutan itu hari Selasa.
Peguam New Sin Yew yang mewakili Abdul Khalid memberitahu media hari ini bahawa pihaknya akan menyerahkan salinan saman itu kepada The Malaysian Insider.
Dalam saman itu, Abdul Khalid selaku plaintif menamakan Ketua Pegawai Eksekutif dan penyunting laman sesawang www.the malaysianinsider.com (The Malaysian Insider), Jahabar Sadiq Abdul Kader; Penyunting Bahasa Melayu untuk versi Bahasa Melayu portal itu, Amin Shah Iskandar; pemilik dan pentadbir portal berita itu, The Edge Communications Sdn. Bhd.; dan TMIDOTCOM Sdn. Bhd. sebagai defendan pertama hingga keempat.
Dalam pernyataan tuntutan, Abdul Khalid mendakwa defendan, pertama (Jahabar) telah menerbitkan kenyataan fitnah dan atau/palsu dalam suatu ulasan penyunting Bahasa Inggeris bertajuk Going by Selangor ruler's criteria, Khalid should quit as MB dalam ruangan Komentar, The Malaysian Insider pada 24 Julai lepas.
Abdul Khalid mendakwa artikel sama turut dikeluarkan oleh defendan kedua (Amin) dalam versi Bahasa Melayu pada tarikh sama dengan tajuk Berasaskan Kriteria Sultan Selangor, Khalid wajar berundur sebagai MB.
Plaintif mendakwa artikel yang diterbitkan dalam dua versi (Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu) itu menunjukkan beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, tidak beretika, seorang yang tidak layak menyandang jawatan Menteri Besar Selangor serta seharusnya berundur dan/atau meletak jawatannya sebagai Menteri Besar kerana tidak memenuhi kriteria Sultan Selangor.
Beliau juga berkata, perkataan-perkataan dalam artikel itu diterbitkan dengan niat jahat.
Selain itu, Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mendakwa, The Malaysian Insider juga telah menerbitkan suatu siri ulasan dari 9 Jun hingga 24 Julai lepas yang kononnya mendedahkan salah laku beliau.
Abdul Khalid mendakwa ulasan itu juga membincangkan berkenaan cadangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggantikannya sebagai Menteri Besar Selangor melalui ulasan penyunting bertarikh 15 Julai lepas bertajuk Let Pakatan Rakyat Decide Selangor MB post, not Umno di pautan www.themalaysianinsider.com.
Sehubungan itu, beliau mendakwa defendan-defendan pada setiap masa dan material sedar dan berpengetahuan bahawa perkataan-perkataan yang diterbitkan akan menjejaskan reputasi dan kredibiliti beliau.
Menurut plaintif, defendan telah menerbitkan perkataan itu secara melulu tanpa membuat pengesahan menyeluruh sama ada fakta atau perkara yang dilaporkan adalah benar atau palsu.
Abdul Khalid turut mendakwa defendan telah menerbitkan artikel yang mengandungi perkataan untuk menaikkan kemarahan pembaca The Malaysian Insider dan orang awam agar tekanan dan pendapat awam dapat dijanakan terhadap plaintif untuk berundur sebagai Menteri Besar Selangor.
Akibat daripada penerbitan artikel itu, Abdul Khalid mendakwa reputasinya sebagai Menteri Besar Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang terjejas teruk.
Abdul Khalid mendakwa, beliau turut mengalami penghinaan yang teruk, tekanan dan emosi serta dipandang rendah oleh umum.
Abdul Khalid dalam pernyataan tuntutannya berkata melalui surat bertarikh 25 Julai lepas daripada peguam caranya Tetuan Bon, beliau telah memberi peluang kepada defendan untuk memohon maaf dan menarik balik penerbitan itu namun defendan tidak menerima peluang itu dan artikel itu masih diterbitkan sehingga kini.
Berikutan itu, Abdul Khalid menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang defendan mengeluar atau menerbitkan artikel fitnah itu dan juga membuat ulasan.
Abdul Khalid turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, perintah untuk defendan mengeluarkan atau menerbitkan satu kenyataan awam dan dipaparkan di laman The Malaysian Insider untuk tempoh dan cara yang sama seperti artikel fitnah itu dipaparkan.
Abdul Khalid juga menuntut defendan menarik balik artikel fitnah itu dan memohon maaf kepadanya atas penulisan dan penerbitan artikel tersebut serta memohon perintah terhadap defendan untuk membatalkan, membuang dan menurunkan daripada laman portal itu berkenaan artikel fitnah yang disiarkan, serta-merta.
Selain itu beliau turut memohon faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140812/ma_09/Isu-MB-Khalid-saman-The-Malaysian-Insider#ixzz3ADnvam2z
© Utusan Melayu (M) Bhd