'Saya mahu tawan dunia pula'
KUALA LUMPUR - “Insiden yang paling sukar saya lupakan sepanjang ekspedisi ini apabila terpaksa berhadapan dengan penyamun yang mahu mencuri motosikal kapcai saya semasa tiba di India.”
Demikian cerita Syed Ahmad Abdul Hadi Syed Hussien, 39, tentang pengalaman buruknya sewaktu menjelajah 24 negara dengan menggunakan motosikal Modenas GT 128cc dalam tempoh enam bulan.
Mengulas lanjut kejadian mendebarkan itu, dia berkata, ekspedisinya ke London nyaris terjejas kerana motosikalnya cuba disamun seorang lelaki sewaktu tiba di kaunter Jabatan Imigresen India.
“Selepas buat pengesahan Imigresen, saya kembali ke motosikal dan tiba-tiba seorang lelaki datang dan meminta saya menyerahkan kenderaan tersebut.
“Saya enggan berbuat demikian menyebabkan berlaku sedikit pergelutan antara kami dan lelaki tersebut mengalah dan terus pergi,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Syed Ahmad Abdul Hadi berlepas dari Malaysia pada 24 April menuju ke London dengan menggunakan motosikal Modenas GT 128cc dan merentas 23 negara termasuk India, Pakistan dan Iran.