3 maut dalam 40 kejadian angkara pemisah selatan Thailand

Bangkok: Seorang guru dan dua renjer Thai terbunuh kelmarin dalam satu serangan besar-besaran secara serentak disyaki oleh pemisah selatan Thailand yang melakukan serangan bom, membakar dan melepaskan tembakan ke arah sasaran.

Kerajaan Thai berkata, serangan di Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla bertujuan menyambut ulang tahun pembentukan Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO).
BRN dibentuk pada 10 Oktober 1963 manakala Pulo pada 11 Oktober 1968. Lebih 40 serangan dilaporkan di 17 daerah di empat wilayah berkenaan, lapor Bangkok Post.


Sebelas serangan - enam daripadanya letupan bom, empat kejadian bakar dan satu kejadian mencuri lori tangki dilaporkan di lima daerah Narathiwat, kata Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Patthanawuth Angkhanawin.

Di Yala, 11 mesin juruwang automatik (ATM) diletupkan di Muang, Yala dan Bannang.

Beberapa pemisah disyaki mencuri sebuah lori tangki kosong yang biasanya membawa air dari daerah Rueso di Narathiwat dan mengisinya dengan minyak.

Guru maut

Mereka kemudian menggunakan minyak itu untuk dicurah ke sebuah bangunan dekat balai polis Ja Kwa di daerah Raman, Yala.

Tiada yang cedera dalam serangan di Narathiwat dan Yala tetapi seorang guru, Wae-na Muno, 55, maut kena tembakan di sekolah Ban Cho Keu Yae di daerah Sai Buri, Pattani, apabila asrama penginapannya ditembak.

Kejadian tembakan itu kemudian disusuli perbuatan membakar menggunakan bom petrol. Dua lagi bangunan dekat sekolah itu juga rosak.

AGENSI