Friday, September 9, 2016

“Tuan aku nak bunuh mu!”


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
“Tuan aku nak bunuh mu!”

“Tuan aku nak bunuh mu!” Seorang isteri dari Paka yang mengalami gangguan sihir dan saka muntah ketika dirawat Ustaz Jin.
“Tuan aku nak bunuh mu!”
KEMAMAN – “Tuan aku marah! Dia nak cari mu, nak tembak mu, nak bunuh mu,” teriak seorang wanita dengan muka marah menyinga memandang pengamal perubatan Islam, Ustaz Nor Azman Albanjary atau lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Jin.

Ugutan itu bagaimanapun langsung tidak mengubah riak wajah lelaki berusia 45 tahun itu, sebaliknya meneruskan rawatannya hingga wanita yang pada awalnya dirasuk itu kembali sedar.

Sesi rawatan percuma secara terbuka yang dijalankan di Mak Chili, di sini, itu disaksikan sendiri kira-kira 400 pesakit yang bukan sahaja datang dari serata daerah ini, malah ada juga dari Kuala Terengganu, Kelantan, Selangor, Brunei dan United Kingdom.

Demi memulihkan kembali diri yang mengalami gangguan jin, sihir, ilmu hitam, saka, santau dan seumpamanya, pesakit dari luar sanggup datang ke daerah ini kerana memahami rawatan yang dilakukan perawat mereka itu tidak tertumpu pada  satu-satu tempat sahaja.

Mereka yang mengalami gangguan itu perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya tujuh kali untuk pulih sepenuhnya yang mana kaedah rawatannya hanya menggunakan bacaan ayat suci al-Quran.

Nor Azman berkata, sesi rawatan di Kemaman sudah bermula sejak 21 Julai sebelum berakhir pada 12 Ogos lalu namun disebabkan permintaan ramai maka rawatannya disambung semula sejak 15 Ogos lalu dan waktu rawatan bermula pada jam 9 malam dan berlanjutan sehingga ke Subuh.

Katanya, kira-kira 10 peratus pesakit yang mendapatkan rawatannya di daerah ini adalah disebabkan mengalami gangguan jin dan terkena sihir.

“Bahayanya penangan sihir ini hingga membuatkan ada kanak-kanak tidak mampu berjalan. Walaupun dunia kini sudah moden, namun masih banyak lagi kes-kes angkara sihir dan gangguan makhluk halus ini berlaku dalam masyarakat kita.

“Sebab itu juga kita buat rawatan di tempat terbuka untuk beri kesedaran kepada orang ramai bahawa masalah ini masih terjadi seterusnya untuk mendidik masyarakat agar mempunyai ilmu untuk menghindar diri daripada gangguan jin, sihir, ilmu hitam  dan seumpamanya,” katanya.

Nor Azman yang berasal dari Melaka memberitahu, meskipun rawatan percuma secara menjelajah ke setiap negeri menuntutnya untuk menghabiskan masa lama di sesebuah tempat namun keadaan itu tidak menjadi bebanan untuknya dan enam sukarelawan yang  membantunya mengadakan rawatan demi niat berjihad di jalan ALLAH.

Baca al-Quran, jangan baca Facebook saja


WARTAWAN SINAR HARIAN
8 SEPTEMBER 2016
ABDUL HADI AWANG

ABDUL HADI AWANG
SHAH ALAM - Ketika pandangan awam terhadap Pas disampaikan kepada Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak melatah sebaliknya mengingatkan agar ahli parti itu membaca al-Quran bukannya membaca komen-komen di Facebook.

Berkongsi perkara itu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, ketika menerima laporan daripadanya Abdul Hadi kelihatan sangat tenang.

“Pandangan awam itu rata-ratanya saya kutip dari Facebook, Twitter, ‘Whatsapp group’ dan lain-lain media sosial termasuk media konvensional. Sebahagian mendakwa Pas telah ditipu oleh Umno-BN, Pas akan menyertai Umno-BN, Pas salah langkah politik sehingga menyebabkan Pas akan terpinggir tanpa menafikan sebahagian yang lain pula menyokong penuh langkah Pasmembawa RUU Ahli Persendirian ke Parlimen.

“Setelah mendengar laporan saya mengenai respons yang pelbagai terhadap sikap dan pendekatan Pas, beliau hanya mengulas sepatah ayat, ‘anta baca al-Quran! Jangan baca Facebook’,” katanya dalam satu kenyataan bertajuk Sekali Serban Dililit. 51, hari ini.

Katanya, ketika mendapat respons pendek Abdul Hadi itu, beliau menanggap Presidennya itu tidak berminat untuk melayan kritikan di media sosial sebaliknya mahu terus menumpukan agenda perjuangan parti.

“Seminggu kemudian, berlangsung mesyuarat bulanan Pas Pusat dan perkara sama dibangkitkan. Sewaktu merumus perbincangan itu, sekali lagi Tuan Guru Presiden menegaskan, ‘kita kena baca al-Quran! Jangan baca Facebook saja!’.

“Cuma bezanya kali ini, Tuan Guru menghurai panjang maksud penegasan beliau bagi memahamkan ahli usrah yang hadir,” katanya.

Abdul Hadi berkata, “baca al-Quran! Al-Quran tidak ada akaun palsu. Al-Quran adalah benar! Al-Quran adalah kalam ALLAH. Al-Quran adalah mukjizat Nabi SAW. Al-Quran adalah petunjuk dan pedoman hidup kita di dunia ini untuk sampai ke akhirat dengan selamat. ALLAH SWT perintah kita dalam Al-Quran supaya laksanakan hukumNYA.”

Menurut Abdul Hadi lagi, ahli Pas tiada pilihan lain selain memperjuangkan Islam sehingga syariatNYA tegak di bumi bertuah ini.

“Jangan ikut rentak mereka yang tak faham Islam. Jangan ikut jejak mereka yang menentang Islam. Sejumlah orang di Facebook atau media sosial, jika mereka menentang Islam, jika mereka tidak faham Islam, kamu jangan ikut mereka! Ini arahan ALLAH SWT ! Baca Al Quran itu.

“Kita baca Facebook, macam-macam kata dalam Facebook. Sebahagiannya adalah akaun palsu yang memang dicipta untuk menyerang Pas. Kita kena faham perancangan musuh. Kita kena sedar! Mereka mahu cipta persepsi bahawa kita salah, kita lemah, kita bodoh dan macam-macam lagi. Sebab itu kita kena baca al-Quran,” katanya.

Abdul Hadi juga mengingatkan ahlinya agar tidak mempedulikan kata-kata orang selagi mereka melaksanakan perintah ALLAH SWT.

“Sewaktu kita mahu melaksanakan perintah ALLAH SWT, ada orang melahirkan kebimbangan kemungkinan Pas ditipu. Malah ada yang mendakwa Pas telah ditipu oleh musuh.

“Jika kita membaca al-Quran, ALLAH SWT telah jawab kebimbangan ini. Baca Facebook, kita tidak jumpa jawapan terhadap persoalan ini,” katanya.