Showing posts with label penyakit. Show all posts
Showing posts with label penyakit. Show all posts

Wednesday, May 11, 2011

6.2 juta hidap dua penyakit


Pesakit diabetes, darah tinggi berusia 30 tahun ke atas meningkat 


KANGAR: Seramai 6.2 juta penduduk negara ini berusia 30 tahun ke atas menghidap dua penyakit tidak berjangkit (NCD) utama, iaitu diabetes dan darah tinggi yang menjadi penyebab utama kematian pramatang.
Mengikut Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi (NHMS) 2006, seramai 1.4 juta penduduk Malaysia dianggarkan menghidap diabetes dan selebihnya 4.8 juta darah tinggi atau hipertensi.
Malah, rekod NHMS menunjukkan kes diabetes di kalangan penduduk Malaysia dewasa berusia 30 tahun ke atas meningkat 79 peratus, iaitu daripada 8.3 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006. 

“Kes darah tinggi turut mencatat meningkat kepada 42.6 peratus pada 2006, berbanding hanya 32.9 peratus yang direkodkan 10 tahun sebelum itu,” kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai. 

“Angka itu adalah sekadar anggaran dan kami menjangka jumlah sebenar sekarang jauh lebih tinggi memandangkan rekod terkini hanya berdasarkan tinjauan pada 2006. 

“Justeru, bagi tempoh empat tahun akan datang, Kementerian Kesihatan akan memberikan tumpuan khusus kepada usaha menangani NCD yang turut mengisi kedudukan teratas senarai 10 penyebab utama kemasukan dan kematian di hospital kerajaan,” katanya di sini, semalam. 
Terdahulu, beliau mengiringi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, mencemar duli merasmikan program Perlis Sihat Sejahtera yang dianjurkan sempena Hari Keputeraan ke-68 baginda di Dewan 2020, di sini. Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid. 

Sementara itu, Liow berkata, dalam usaha memastikan rekod yang lebih terkini, Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menjalankan NHMS secara lebih kerap, iaitu empat tahun sekali, berbanding 10 tahun sekali seperti sekarang. 

“Jika NHMS dilakukan lebih kerap, kita berupaya mengenal pasti perkembangan serta trend penyakit dengan lebih cepat, sekali gus memudahkan tindakan diambil untuk mengatasinya,” katanya. 

Mengenai denggi, Liow berkata, sejak Januari lalu 7,362 kes dikesan di seluruh negara dengan 12 kematian. 

“Jumlah itu, walaupun menurun berbanding 17,296 kes dengan 56 kematian yang direkod tempoh sama tahun lalu, masih dianggap membimbangkan,” katanya. 

Thursday, December 2, 2010

Si kembar derita hidap penyakit




PEREMBA – Sejak dilahirkan tiga bulan lalu, pasangan kembar lelaki dan perempuan bagi pasangan suami isteri dari Kampung Peremba di sini terpaksa menanggung derita apabila menghidap pelbagai penyakit.

Pasangan kembar berkenaan, Mohd Amirul Aiman menghadapi masalah kekurangan darah dalam badan, manakala Siti Nuralia Narisha menghadapi implikasi usus dan juga jangkitan kuman dalam darah.

Bapa pasangan kembar itu, Jamaludin Abdullah, 33, berkata, dua anak kembarnya itu menderita penyakit itu sejak dilahirkan lagi.

Menurutnya, anak lelakinya memerlukan rawatan berpanjangan, sementara anak perempuannya kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Saya mempunyai lima anak yang mana semuanya masih kecil dan hanya anak sulung yang sudah bersekolah di Tahun Satu.

“Dalam keadaan kesihatan pasangan kembar saya yang sakit ini, saya menghadapi masalah kewangan bagi menampung kos rawatan dan juga perbelanjaan untuk anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Jamaludin berkata, anak perempuannya yang sakit itu kini dijaga isterinya, Siti Norhamadiah Abdul Talib di hospital, memandangkan dia perlu bekerja dan menjaga anak yang lain di rumah termasuk Mohd Amirul Aiman.

Menurutnya, gaji atau upah diterima sebagai pembantu kedai tidak menentu dan dia dibayar mengikut hari.

“Upah bekerja ini tidak menentu bergantung kepada keadaan yang mana adakalanya saya menerima RM25 dan ada harinya saya hanya menerima upah sebanyak RM15 sahaja.

“Tambahan pula, hanya saya seorang yang bekerja untuk menanggung keluarga ini dengan anak-anak yang masih menyusu dan bersekolah, mereka memerlukan penjagaan sewajarnya,” katanya yang berasal dari Sabah.

Semua anak Jamaludin dan Siti Norhamadiah berusia dalam lingkungan tiga bulan hingga tujuh tahun.

Malah, anak ketiga pasangan suami isteri itu juga menghidap sakit penat dan memerlukan rawatan kesihatan.

Jamaludin berkata, dia tidak pernah menerima sebarang bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mengetahui saluran untuk memohon dan dia berharap agar ada pihak yang dapat membantu meringankan bebannya.

Ketua UMNO Cawangan Peremba, Ayob Ali bersama Penyelaras Teluk Chengai, Marshita Din telah sudi menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada keluarga itu