Showing posts with label Syeikh Hamad bin Khalifa Al-Thani. Show all posts
Showing posts with label Syeikh Hamad bin Khalifa Al-Thani. Show all posts

Saturday, October 27, 2012

Ziarah Raja Qatar

Ziarah Raja Qatar yang menggunakan gelaran "Amir", Syeikh Hamad bin Khalifa Al-Thani semalam, Selasa 23 Oktober jelas telah menggembirakan penduduk Gaza. Kunjungan pertama kali dari seorang pemimpin negara Arab sejak HAMAS menguasai Gaza selepas Pilihanraya Umum 2007 ternyata menyenangkan hati Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya. 

Ketibaan Amir Qatar dan isteri, Syeikhah Mouza dengan diiring
i Perdana Menteri Qatar, Syeikh Hamad bin Jasim bin Jabr itu melalui jalan darat yang diiringi dari Rafah, pintu sempadan Mesir-Gaza sebelum tiba di Gaza sekitar jam 11 pagi waktu tempatan dengan disambut oleh Haniya dan menteri-menteri Palestin yang lain. Turut hadir ialah Menteri Pengajian Tinggi Mesir sebagai mewakili Presiden Mesir, Dr.Mohammad Morsy.

Ketibaan rombongan disambut dengan penuh kegembiraan oleh rakyat Gaza sejak awal pagi lagi bermula dari rakyat bawahan hingga pembesar negara termasuk ribuan pelajar-pelajar sekolah berbaris di bahu kiri dan kanan jalan memegang bendera Palestin dan Qatar.

Lawatan pertama pemimpin Arab ke Gaza ini sekurang-kurangnya memberikan sokongan moral kepada perjuangan rakyat Palestin khasnya Semenanjung Gaza yang dikepung hari ini. Apatah lagi, menurut Haniya, pemimpin Qatar itu bersetuju menambah sumbangan yang diterima sebelum ini dari USD 254 juta kepada 400 juta bagi Gaza dibangunkan semula dengan pelbagai infrustruktur dan prasarana. Menurut Haniya, sumbangan tersebut termasuk bagi membina hospital, rumah kediaman, sekolah dan pusat kebajikan.

"JIKA TIDAK KERANA MESIR DAN PRESIDENNYA,KAMI TIDAK AKAN BERSAMA KALIAN PADA HARI INI"- AMIR QATAR


Amir Qatar, Syeikh Hamad bin Khalifa Al-Thani (gambar) yang berucap di Gaza semalam dalam lawatan sehari bersama isteri, Syeikhah Mouza mengucapkan terima kasih buat Mesir dan Presidennya, Dr.Mohammad Morsy.

"Kami mengucapkan penghargaan buat Mesir dan Presiden Tuan Dr.Mohammad Morsy, jika tidak ke
rana mereka maka kami tidak akan bersama-sama kalian di Gaza pada hari ini."

Ucapan tersebut disampaikan beliau di Universiti Islam Gaza yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniya.

Haniya yang berucap kemudiannya berkata, dengan kunjungan seorang ketua negara Arab ini maka benteng dan kepungan yang dibina ke atas Gaza selama ini telah roboh. Selama lima tahun, Gaza dan penduduknya dinafikan hak oleh rejim Zionis setelah HAMAS memenangi Pilihanraya Umum dan memerintah Gaza pada tahun 2007. Sejak itu, Israel telah menyekat sebarang bantuan kepada Gaza dan ia hanya disalurkan kepada kerajaan Fatah yang menguasai Tebing Barat. Ia dilakukan bertujuan mendera rakyat Gaza kerana 'kesalahan' memilih HAMAS sebagai kerajaan.

Hingga hari ini, Israel masih meneruskan keganasan di Gaza apabila askarnya menyerang penduduk Gaza yang menyebabkan kematian hampir saban hari.

Sementara itu, Kementerian Luar Israel mengkritik lawatan Amir Qatar ke Semenanjung Gaza dan menyebabkan kerajaan Israel tidak senang hati terhadap kunjungan tersebut.