Wednesday, September 24, 2014

Akta Hasutan, kerajaan hipokrit


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus bersikap hipokrit dalam isu membabitkan Akta Hasutan 1948 apabila pelbagai pihak terus berdepan dengan tuduhan akta tersebut.

Setiausaha  Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus memberitahu, kerajaan tidak pernah serius dalam apa yang mereka janjikan terutama memansuhkan Akta Hasutan

"Seperti biasa apa yang BN katakan adalah janji-janji politik untuk menunjukkan mereka perihatin, seperti kata mansuh Akta Hasutan tetapi masih digunapakai.

"Akta ini akan terus digunakan sehingga pilihan raya akan datang dan BN ketika itu akan menunjukkan mereka sebagai hero dengan janji baru untuk kesediaan kerajaan memansuhkan akta tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, Najib ketika mengumumkan pemansuhan akta tersebut sebagai mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan bersuara setiap warga Malaysia dan keperluan menangani masalah kemajmukan yang wujud di negara ini.

"Semua tidak berlaku, kebebasan bersuara terus disekat walaupun dikatakan akan mengantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional. Ia tidak berlaku pun.

"Malah akta ini turut dilihat mempunyai sikap birokrasi apabila hanya mereka yang menyokong Pakatan Rakyat dikenakan tindakan.

"Sedangkan tiada kedengaran pula tindakan terhadap Perkasa mahupun Isma yang lantang diluar sana.

"Kita mahu kerajaan lebih telus dalam melaksanakan janji. Sebarang tindakan yang diambil ia perlu meliputi semua pihak dan bukan tertumpu kepada satu pihak semata-mata," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akant disoal siasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan pada Jumaat ini berkenaan dengan ucapan beliau pada Mac 2011 di Gombak. –HARAKAHDAILY 24/9/2014

Kisah guru: 'Double standard' antara dua PRK


NORMALA SUDIRMAN | .
Kementerian Pendidikan Malaysia harus menyiasat laporan bahawa isteri calon BN, Cikgu Khairos Husin yang didakwa berkempen membantu suami dalam PRK Pengkalan Kubor.

Aktivitinya dipaparkan di media bercetak dan media elektronik secara terang-terangan malahan laporan media akhbar menyatakan selepas cuti sekolah seminggu, beliau akan menyambung cuti bagi membantu suaminya berkempen bagi memenangkan calon PRK Umno BN, Mat Razi Mat Ali (mantan Penolong Pengarah PPD Tumpat bahagian Pengurusan Sekolah).

Pn. Khairos Husin adalah guru di Sekolah Kebangsaan Simpangan Tumpat.

NGO Pendidik menerima banyak aduan terhadap kes ini kerana ternyata jika ianya benar, maka berlaku 'double Standard' dalam melayan warga pendidik yang seharusnya mematuhi etika perkhidmatan profesionalisme perguruan dalam Buku Perintah Am.

Ketika PRK DUN Tenang, suami calon, Cikgu Maarof Abd.Mutalib(gambar) yang menerima tekanan Umno BN sehingga ditukarkan ke sekolah 500km pergi balik hanya kerana dakwaan yang belum terbukti bersalah dan hanya spekulasi media, blogger dan pimpinan Umno BN.

Bukan setakat itu sahaja beliau telah didakwa menipu cuti sakit sedangkan cuti diberikan oleh doktor bertauliah kerajaaan akibat simptom 'Stress Disorder' kerana menerima tekanan dan asakan hebat dari Umno yang mencampur adukkan politik kepartian dengan pendidikan anak bangsa.

Surat cuti yang merupakan dokumen sulit penjawat awam didedahkan oleh blogger upahan di dada akhbar, menerima tekanan psikologi surat tunjuk sebab  'Buang Kerja atau Turun Pangkat'. Bonus tahun semasa 2011 telah dinafikan dan menghadapi dua pertukaran yang bukan atas 'redeployment' atau atas keperluan perkhidmatan dalam tempoh 6 bulan.

Bukan setakat itu sahaja, Pengarah Pendidikan Johor tahun 2011 , Tn.Hj.Markom Bin Giran turun berkempen pada hari ke 2 persekolahan sesi 2011  secara terang -terangan di SMK Tenang Stesen, tempat suami Calon PRK Tenang berkhidmat dan menyerahkan surat pertukaran suami kepada pihak sekolah secara 'by hand' dengan dakwaan laporan yang mengatakan kepada pengetua sekolah,"saya tukarkan Cikgu Maarof bukan sebab prestasi dia tidak baik , tetapi sebab tak boleh kawal isteri terlalu aktif berpolitik".

Sedangkan pada ketika itu Cikgu Mala telah pun meletakkan jawatan berkuatkuasa 28 Disember 2010 sedangkan tarikh pengistiharan calon ialah pada 16 Januari 2011.

Hampir 80 orang guru dan staff sekolah begitu terkejut bagaimana seorang guru yang pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang dan banyak mengharumkan nama sekolah dalam bidang Hoki hingga ke peringkat negeri, tiba-tiba ditukarkan 24 jam tanpa sebab setelah berkhidmat hampir 13 tahun di SMK Tenang Stesen.

Arahan dipindahkan tanpa sebab dari SMK Tenang Stesen Segamat ke SMK Taman Daya , Johor Bahru, sejauh 150 km di hari ke 2 persekolahan sesi 2011 adalah tidak logik dan tidak masuk akal.

Akhirnya surat perpindahan ditarik balik dalam tempoh 24 jam, setelah bantahan dibuat dan setelah pihak JPN Johor menerima berita suatu kenyataan laporan SPRM akan dibuat jika arahan itu diteruskan. Umno telah memperalatkan pihak sekolah untuk mengikut telunjuk mereka , tetapi tidak berjaya .

Namun, kesan emosi yang mendalam akibat peristiwa itu telah menyebabkan suami calon PRK Tenang demam berpanjangan dan akhirnya setelah diagnosis dibuat oleh doktor akhirnya mendapati beliau mengalami 'Stress Disorder' yang menyebabkan doktor memberi cuti 14 hari dan diberi ubat anti kemurungan dan anti stress dengan nasihat jangan berada dalam keadaan kemurungan dan bersendirian sepanjang bercuti.

Terapi yang paling baik , mengikut nasihat doktor ialah berada dalam keadaan di tengah khalayak ramai agar melupakan tekanan yang berlaku dan melakukan aktiviti yang menggembirakan .Itulah rupanya peluang Umno BN dan pihak blogger upahan membuat spekulasi dan menfitnah yang akhirnya beliau menerima sekali lagi pertukaran di SMK Tanjung Pengelih, Pengerang yang mana surat diterima 2 hari sebelum Pengarah Pendidikan Johor , Markom Bin Giran bersara. Kezaliman dan dendam politik UMNO terserlah tanpa belas sedangkan merekalah yang melaungkan retorik politik semata-mata.

Ketika perletakan jawatan dibuat oleh Cikgu Mala  pada tahun 2010, beliau sendiri pun  tidak tahu siapa calon PRK DUN Tenang yang dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi parti dan Majlis Syura Ulama pada 16 Januari 2011, tetapi serangan psikologi yang telah dibuat kepada suami calon  ternyata amat rapi sekali.

Juga maruah guru yang dijaja dan difitnah di dada akhbar, media elektronik dan media bercetak tanpa belas kasihan dengan harapan agar dapat mengurangkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Inilah realiti salahguna kuasa yang berlaku, penggunaan premis pendidikan sekolah sebagai tempat berkempen, menggunakan warga pendidik dengan 'kalimat mandatori saya yang menurut perintah' dan memaksa guru hadir ke program Umno semakin berleluasa.

Di Kelantan, telah ramai guru dipindahkan , ditukar dan ditendang seperti bola ke sana sini hanya kerana dianggap cenderung menyokong Pakatan Rakyat. Walaupun lebih 23 tahun menjadi kerajaan negeri, namun martabat guru yang dicengkam oleh kerajaan pusat dipimpin oleh Umno BN tidak dibela oleh KPM.

Antara PRK DUN Tenang dan PRK Pengkalan Kubor. Pasangan warga pendidik dilayan secara tidak adil dan. Double Standard.

Calon PRK tidak lagi berkhidmat dalam dunia pendidikan, tetapi pasangan mereka dilayan seperti antara 'dua dunia berbeza ' sedangkan masing -masing masih berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan Malaysia yang sama.

Situasi mengiringi dan menemani adalah berbeza dengan berkempen secara terang -terangan membantu suami.

Justeru, NGO Pendidik mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) Kelantan , dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mengambil membuat siasatan dan tindakan sewajarnya atas apa yang berlaku.

Jangan mengambil sikap berpilih dalam membuat tindakan.Adil dan jangan menzalimi warga pendidik. Inilah penegasan kami.

*Penulis adalah Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) dan juga bekas Calon PRK Tenang.

Satelit India berjaya kelilingi planet Marikh

NEW DELHI: Misi satelit India ke planet Marikh berjaya mengelilingi Planet Merah itu dalam percubaan pertamanya, kata Perdana Menteri, Narendra Modi.
"India berjaya sampai ke Marikh. Tahniah kepada semua, kepada seluruh negara...sejarah ditempa hari ini," kata Modi dari Pusat Kawalan Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India, di selatan India, hari ini. - AFP

Gencatan senjata di timur Ukraine dicabuli

RABU, 24 SEPTEMBER 2014 @ 5:05 PM

 
MOSCOW: Gencatan senjata antara pemisah pro-Russia dan tentera kerajaan di timur Ukraine dicabuli di bandaraya Donetsk yang dikuasai pemberontak.

Pejabat Datuk Bandar Donetsk melaporkan kejadian dua serangan, satu semalam dan satu lagi awal pagi ini.

Dalam salah satu serangan itu, bedilan mortar terkena sebuah blok apartmen.

Agensi berita RIA Novosti memetik pemberontak sebagai berkata dua orang maut dalam serangan itu tetapi pejabat Datuk Bandar tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa terbabit.



Bagaimanapun gencatan senjata yang dipersetujui pada 5 September lalu secara keseluruhannya dipatuhi oleh kedua-dua pihak. - AP

55 maut dalam banjir kilat di timur laut India

GUWAHATI: Sekurang-kurangnya 55 orang terbunuh dan beratus ribu kehilangan tempat tinggal dalam banjir kilat dan tanah runtuh lumpur di timur laut India berikutan hujan lebat selama beberapa hari.
Ketua Menteri negeri Meghalaya di timur laut, Mukul Sangma memberitahu pemberita 35 orang maut dalam banjir paling teruk dalam tempoh terdekat ini.
Katanya, cuaca buruk juga menghalang kerja menyelamat.
"Setakat ini 35 orang maut dalam kejadian berasingan mati lemas dan tanah runtuh sejak dua hari lalu, manakala 20 orang masih hilang," kata Sangma.
Selain Meghalaya, negeri Assam bersebelahannya juga menyaksikan 20 orang maut dalam kejadian mati lemas dan tanah runtuh secara berasingan berikutan hujan lebat selama tiga hari.
Banjir melanda beberapa bahagian di Assam, terutama di bandaraya Guwahati.
"Lima orang maut di Guwahati dalam kejadian tanah runtuh dan kejutan elektrik selepas air menenggelamkan kebanyakan bangunan," kata Majistret Daerah Anga Mathu. - AFP
DISYORKAN

Aceh timbang hukuman sebat pesalah seks sejenis

RABU, 24 SEPTEMBER 2014 @ 4:43 PM

 
BANDA ACEH: Lelaki dan wanita yang mengadakan perhubungan homoseksual boleh dikenakan hukuman sebat di tempat awam di Aceh sekiranya undang-undang bercirikan Islam diluluskan di wilayah itu menjelang Jumaat ini.

Ahli Dewan Perundangan Aceh, Moharriadi Syafari, berkata majoriti ahli dewan berkenaan menyokong larangan terhadap perhubungan seks sejenis.

Mereka kini sedang membahaskan rang undang-undang itu dengan harapan untuk meluluskannya sebelum Jumaat, hari terakhir sidang dewan.

Aktivis hak asasi gay, King Oey berkata beliau akan menggesa kerajaan pusat supaya menolak undang-undang itu sekiranya ia diluluskan.



Aceh diberikan hak untuk melaksanakan undang-undang Syariah pada 2006 sebagai sebahagian daripada perjanjian damai bagi menamatkan peperangan dengan pemisah.

Aceh sudah pun mengenakan hukuman rotan terhadap pesalah zina dan berjudi. - AP

Siasatan rasuah ke atas Sarkozy ditangguhkan

PARIS: Siasatan ke atas bekas presiden Perancis Nicolas Sarkozy yang dilakukan sejak Julai lalu atas tuduhan rasuah dan menyalah guna pengaruhnya ditangguhkan, selepas beliau mengumumkan hasratnya untuk kembali aktif berpolitik.
Mahkamah Rayuan di Paris memutuskan untuk menggugurkan siasatan tanpa memberi apa-apa alasan.
Perkembangan itu memberi kelegaan kepada Sarkozy, namun beliau masih lagi dibelenggu dengan kes lain termasuk dakwaan melakukan rasuah. - AFP

Australia larang rakyatnya kunjungi 'hot spot' keganasan

RABU, 24 SEPTEMBER 2014 @ 2:42 PM

 
SYDNEY: Australia akan menggubal undang-undang lebih ketat bertujuan menjadikan kunjungan ke kawasan 'panas' pengganas sebagai perlakuan jenayah dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman sehingga 10 tahun penjara.

Pindaan itu yang dibentangkan kepada sebuah jawatankuasa bagi kajian lanjut hari ini dicadangkan berikutan kebimbangan kerajaan bahawa kira-kira 60 rakyat Australia diketahui mengunjungi Iraq dan Syria untuk menyertai perjuangan jihad, dan mereka boleh kembali semula ke tanah air untuk melakukan keganasan.

Rang Undang-Undang Anti-Keganasan (pindaan) (Pejuang Asing) mencadangkan untuk menjadikan kesalahan bagi sesiapa memasuki atau terus berada di tempat 'yang diisytiharkan' itu, di mana menteri luar berpuas hati bahawa pertubuhan pengganas terbabit dalam kegiatan ganas.

Undang-undang itu bagaimanapun tidak melarang mana-mana pihak yang mengunjungi tempat tertentu untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan, sebagai wakil rasmi Australia atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melaporkan berita atau menziarahi keluarga.



Namun ia mengambil perhatian bahawa mereka yang mengunjungi tempat yang diisytiharkan itu tanpa tujuan sahih mungkin membabitkan diri dalam kegiatan ganas dengan pertubuhan pengganas yang disenaraikan.

"Mereka mungkin kembali dari tempat yang diisytiharkan dengan kemampuan bertambah bagi melakukan tindakan keganasan di Australia," kata seorang jurucakap.

Pindaan yang dicadangkan itu, yang akan dikaji oleh jawatankuasa perisikan Parlimen, juga mewujudkan kesalahan baharu bagi mereka yang menyokong keganasan yang membawa hukuman maksimum lima tahun penjara. - AFP

Menantu Osama, Abu Ghaith dipenjara seumur hidup

 RABU, 24 SEPTEMBER 2014 @ 10:24 AM
NEW YORK: Menantu Osama bin Laden dan bekas jurucakap Al-Qaeda dihukum penjara seumur hidup hari ini selepas mahkamah mendapati beliau boleh mengancam nyawa rakyat Amerika.
Sulaiman Abu Ghaith, 48, yang memiliki kerakyatan Kuwait dijatuhi hukuman itu selepas Mahkamah Persekutuan New York mendapatinya bersalah pada Mac lalu kerana terbabit dalam rancangan untuk membunuh rakyat Amerika dan menyalurkan bantuan kepada pengganas.
Sebelum hukuman dibacakan, Abu Ghaith - yang muncul dalam video propaganda selepas serangan pengganas 11 September 2001 - bercakap dalam bahasa Arab menerusi penterjemah bahawa hanya satu hukuman yang beliau terima adalah daripada Allah.
"Hari ini apabila anda merantai tangan saya dan mahu menanam saya hidup-hidup, anda sebenarnya menyatukan tangan ratusan orang Islam dan mereka akan menyertai gerakan untuk pembebasan," katanya yang berpakaian hitam banduan. - AP

Kempen antirasuah: Ratusan politikus dipenjara


Dia adalah seorang daripada ratusan ahli politik yang ditangkap dalam kempen kerajaan membasmi amalan rasuah di Indonesia. 
Berikut adalah senarai pembabitan parti politik dalam kes rasuah di negara itu: 
Foto
ANGELINA Sondakh
1. Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) 
• 157 kader terbabit, antaranya: 
- Theo Teomion - dipenjara selama enam tahun berikutan kes Program Tahun Pelaburan Indonesia 2003-2004. 

- Sjachriel Darham - dipenjara empat tahun kerana menyeleweng belanjawan daerah pada 2007. 

- Hamit Bintih (bekas Ketua Daerah Gunung Mas) dipenjara tiga tahun kerana merasuah bekas Ketua Mahkamah Perlembagaan, Akil Mochtar berhubung pertikaian pilihan raya. 


2. Parti Golongan Karya (Golkar) 

• 113 kader terbabit, termasuk: 
- Akil Mochtar - dipenjara seumur hidup kerana menerima suapan untuk memberi kemenangan pilihan raya ketika menjadi Ketua Mahkamah Perlembagaan. 

- Zulkarnaen Djabar - dipenjara 16 tahun kerana terbabit skandal pembekalan al-Quran Mei tahun lalu. 

- Ratu Atut Chosiyah - dipenjara 4 tahun kerana merasuah Akil Mochtar dalam pertikaian pilihan raya di Lebak. 


3. Parti Demokrat 

• 49 kader terbabit, antaranya: 
- Menteri, Jero Wacik, M Nazaruddin (Bendahari Parti Demokrat), Andi Mallarangeng (jurucakap presiden), Angelina Sondakh (aktres dan bekas wakil rakyat), dan Sutan Bhatoegana. 

- Ada antara kes itu membabitkan wang berjumlah Rp 9.9 bilion (RM2.6 juta). 


4. Parti Amanat Nasional (PAN) 

• 41 kader terbabit. Antaranya: 
- Bekas anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah, Abdul Hadi Djamal dipenjara selama 3 tahun kerana menerima suapan lebih RM800,000 untuk projek pembangunan. 

- Wa Ode Nurhayati dipenjara enam tahun pada 2012. 


5. Parti Persatuan pembangunan (PPP) 

• 22 kader terbabit 
- Antara bekas Menteri Agama, Suryadharma Ali serta Bekas Menteri Sosial, Bachtiar Chamsyah. 


6. Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) 

• 13 kader terbabit 
- Bekas anggota Dewan Perwakilan Rakyat Demak, Mohammad Sofyan yang dipenjara setahun kerana terbabit dalam rasuah untuk dana pengubahsuaian Pusat Kesihatan Demak. 


7. Parti Bulan Bintang 

• 9 Kader terbabit 
- Hilman Indra didakwa terbabit rasuah dalam pengurusan proses belanjawan Sistem Komunikasi Radio Bersepadu (SKRT)di Kementerian Perhutanan sekitar 2006 hingga 2007. 


8. Parti Keadilan dan Persatuan Indonesia 
• 5 kader terbabit 


9. Parti Keadilan Sejahtera (PKS) 

• 4 kader terbabit 
- Bekas Ketua Umum PKS, Lutfi Hasan Ishaaq dipenjara selama 18 tahun berikutan skandal kuota import lembu Kementerian Pertanian membabitkan rasuah berjumlah RM10.8 juta. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Jangkitan Ebola ancam populasi dunia


Geneva: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berkata, kes jangkitan Ebola dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang November tahun ini jika usaha mengekangnya tidak dipergiat.

“Tanpa usaha yang efektif untuk memulihkan keadaan, jumlah kes dan kematian akibat Ebola dijangka akan meningkat setiap minggu dalam bulan berikutnya,” kata laporan agensi itu.

Penularan wabak itu di barat Afrika membunuh lebih daripada 2,800 orang dan menjangkiti 5,800 yang lain.

Menurut Ketua Strategi Kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan penerbit bersama kajian yang dijalankan dengan Kolej Imperial London Christopher Dye, perkembangan jangkitan dilihat berterusan dan menggesa langkah pencegahan diambil segera.

“Jika wabak itu tidak dihentikan, ia akan bertukar menjadi lebih buruk.



Ini boleh menjadi penyebab berkurangnya populasi manusia di dunia,” katanya.

Ebola boleh menjangkiti mangsa dalam beberapa hari menyebabkan mereka mengalami sakit sendi, muntah, cirit-birit dan dalam kebanyakan kes, mengalami pendarahan dalaman dan luaran tanpa henti.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Mumbai kurang pemandu teksi


Mumbai: Kekurangan pemandu teksi di Mumbai kini mencapai tahap membimbangkan, khususnya di lapangan terbang dan stesen kereta api.

Mengikut perangkaan, kira-kira 25 peratus teksi di Mumbai tersadai kerana kekurangan pemandu.



Seorang penduduk yang sering berulang-alik ke lapangan terbang, V K Krishnan berkata, sangat sukar mendapatkan teksi terutama waktu petang.

“Operator juga enggan memberi jaminan jika saya membuat tempahan kerana mereka tidak boleh menjamin teksi akan tiba,” katanya.

Sementara itu, pemimpin kesatuan teksi A L Quadros mengakui kekurangan pemandu dan teksi.

“Kami mempunyai beratus teksi di kawasan seperti Sion-Chunabhatti, namun ia tidak digunakan kerana tiada pemandu.


“Pada dekad lalu ada 45,000 teksi beroperasi tetapi jumlahnya berkurangan kepada 35,000.


“Pemilik permit teksi juga sukar mendapatkan pekerja,” katanya.

Pemimpin kesatuan Swabhiman Sanghathana K K Tiwari berkata, beberapa ketika ramai pemandu bersara hanya sejumlah kecil anak muda mahu menyambung legasi kerjaya itu.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Hamid: Washington tak mahu lihat Afghanistan aman


Kabul: Presiden Hamid Karzai menggunakan majlis perpisahannya semalam untuk melepaskan geram kepada AS yang didakwanya tidak mahu melihat Afghanistan aman.

Kata Hamid, Washington enggan membenarkan kestabilan dicapai di negaranya kerana mahu menjaga kepentingan mereka.



Dia juga menuding jari kepada pegawai atasan tentera Pakistan yang dituduhhnya menyokong perang yang disengajakan itu.

“Jika AS dan Pakistan benar-benar mahukan keamanan, ia boleh dicapai,” katanya.

Hamid menjadi presiden pertama Afghanistan sejak AS campur tangan di negara itu pada 2001.

Di tahun-tahun terakhirnya sebagai presiden Pakistan, hubungan Hamid dengan Washington keruh walaupun pada peringkat awal mereka kelihatan akrab.

Ashraf Ghani Ahmadzai - sebelum ini menjadi Canselor Universiti Kabul - memenangi pilihan raya presiden baru-baru ini akan menggantikan Hamid selepas mengangkat sumpah Isnin ini.


- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Azmin enggan dedah exco bayangan


Azmin Ali
Azmin Ali
PETALING JAYA - Menteri Besar Selangor yang baharu Mohamed Azmin Ali hari ini enggan mendedahkan barisan Exco kerajaan negeri bayangannya sehingga Jumaat.
 
Beliau berkata, ini kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mendapatkan persetujuan daripada parti sekutunya iaitu DAP dan Pas.
   
"Adalah tidak adil untuk saya dedahkan butiran perbincangan, kerana ini melibatkan semua ketiga-tiga parti, bukan PKR sahaja," kata ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini.
  
Semalam, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
  
Beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan barisan Exco kerajaan negeri Selangor, Jumaat ini.

Menurut beliau, mesyuarat mengenai calon barisan Exco yang pertama sudah diadakan semalam dan kini di peringkat kedua dengan keputusan akhirnya akan dicapai esok.
  
Ditanya respons DAP dan Pas, Mohamed Azmin berkata biarpun pemimpin tertinggi Pas sedang sibuk bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor di Tumpat, Kelantan, namun beliau sentiasa berkomunikasi tentang senarai Exco.
  
Pilihan raya kecil itu akan berlangsung esok  berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar daripada Barisan Nasional (BN) pada 20 Ogos
 epas.
  
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. - Bernama

Empat Exco Selangor letak jawatan


Dari kiri: Sallehen, Dr Halimah, Dr Ahmad Yunus dan Ir Iskandar tiba di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, semalam. -Foto Bernama
Dari kiri: Sallehen, Dr Halimah, Dr Ahmad Yunus dan Ir Iskandar tiba di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, semalam. -Foto Bernama
SHAH ALAM - Empat Exco Pas yang bersama dan menyokong pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan serta-merta semalam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Ir Iskandar Abdul Samad berkata, bagi pihak empat Exco, mereka akan menurut amalan perlu meletak jawatan bersama Abdul Khalid dan ia merupakan amalan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Empat Exco Pas meletak jawatan serta-merta sebab kita dilantik bersama dengan Abdul Khalid, jadi bila beliau  letak jawatan, kita semua pun perlu letak jawatan, ini memang amalan dalam kerajaan dan Exco baharu akan dilantik oleh menteri besar baharu.

"Kita juga mahu mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dorongan yang diberi semua pihak selama ini, " katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau dalam pada itu berkata Pas Selangor sebenarnya menjadi penyelamat  utama dalam krisis menteri besar hingga berjaya mengelakkan berlakunya pilihan raya negeri.

"Empat Exco Pas yang terus kekal bersama pentadbiran Abdul Khalid sebenarnya membawa semangat dan prinsip PR sepanjang tempoh krisis berlaku.

"Empat orang Exco ini pada hakikatnya menjadi penyelamat dan menghalang dari berlakunya pilihan raya negeri kerana kita tetap kekal mendengar arahan Pas Pusat dan terus bersama kerajaan menteri besar (kini bekas), sekali gus menyelamatkan kerajaan negeri.

"Mereka juga dengan tegas menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan jika ada Adun Umno dibawa masuk ke dalam kerajaan.

"Akhirnya, kemelut menteri besar ini sudah berakhir dan saya  bersyukur ia berakhir dengan baik," katanya.

Beliau merujuk empat Exco Pas yang meletak jawatan itu melibatkan Dr Ahmad Yunus Hairi, Dr Halimah Ali, Sallehen Mukhyi dan beliau sendiri yang kekal bersama pentadbiran Abdul Khalid.

Semalam, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor baharu menggantikan Abdul Khalid di Istana Alam Shah.

Iskandar turut menzahirkan kesediaan Pas dalam bekerjasama dengan Mohamed Azmin dan yakin mampu bekerja dengan baik demi kebajikan dan kemajuan rakyat.

Sementara itu, Sallehen berkata, beliau tiada masalah jika bukan lagi Exco dan menyifatkan semua Adun Pas yang lain juga mempunyai kredibiliti masing-masing terpilih untuk menggantikannya.

“Saya seronok kalau nama saya digugurkan. Kuasa memilih barisan Exco adalah terletak pada menteri besar dan ia terpulang sama ada Azmin ingin mengekalkan empat Exco Pas yang lama atau melantik yang baharu.

“Cuma dalam parti saya rasa masih akan tetap mengekalkan Exco yang sedia ada sebab masing-masing sudah ada perancangan dan elok untuk meneruskannya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar, di Istana Alam Shah, semalam.

Sementara itu beliau menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai jahil dan tidak memahami Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor ketika membuat kenyataan mendakwa empat Exco Pas sebagai ‘pengkhianat’ kerana tidak meletak jawatan ketika pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Azmin pertimbang kembalikan aset air kepada rakyat


Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali ketika berucap selepas dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali ketika berucap selepas dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
GOMBAK – Rakyat Selangor mungkin akan menikmati pengembalian aset penyusunan semula air Selangor yang bernilai jutaan ringgit kepada rakyat secara saham pada masa akan datang.

Bagaimanapun menurut Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, perkara tersebut akan dibincangkan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan secepat mungkin dalam masa terdekat.

“Saya perlu meneliti kesemua dokumen dan berjumpa dengan agensi berkenaan untuk mengumpul maklumat. Ia bertujuan bagi mengelakkan wujudnya sebarang spekulasi pada masa akan datang.

“Apa yang penting buat masa sekarang ialah rakyat Selangor menerima manfaat yang sepatutnya diberikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan pihaknya tidak akan mendedahkan sebarang polisi, urusan dan perjanjian yang dibuat oleh menteri besar sebelumnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkenaan dengan beberapa projek besar yang diuruskan oleh Abdul Khalid sebelum ini.

“Saya tidak akan mencadangkan untuk dedahkan sebarang maklumat mengenai urusan dan perjanjian melibatkan perjanjian Kidex, perjanjian Aset Air Negeri Selangor atau seumpamanya.

“...Bagaimanapun saya akan mendapatkan taklimat penuh berkenaan isu-isu tersebut,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di kediaman ibunya di Kampung Klang Gate, di sini hari ini.

 Mohamed Azmin tiba seawal jam 8:15 pagi  bagi upacara Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang, dan kemudiannya menuju ke Masjid Klang Gate untuk menunaikan solat Zohor bersama-sama penduduk setempat.

Usai solat Zohor, beliau menuju ke kediaman bondanya, Che Tom Yahaya di Kampung Klang Gate untuk berjumpa ibunya dan beramah mesra dengan tetamu yang hadir sebelum meneruskan perancangan untuk mengadakan mesyuarat membincangkan kedudukan barisan Exco Selangor.

Beliau berharap dengan pelantikan tersebut, kemelut melibatkan kerusi menteri besar yang melibatkan semua parti antara PR diselesaikan dengan serta-merta.

“Kita harap krisis ini diselesaikan segera. Kita mahu maju ke hadapan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam membangunkan negeri Selangor dan memajukan rakyat negeri ini,” ujarnya.

Malaysia gesa OIC terus bantu Sierra Leone


Anifah Aman
Anifah Aman
MALAYSIA menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk terus membantu Sierra Leone dari segi kewangan dan material.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata sumbangan itu boleh memperkasa kerajaan negara berkenaan melaksanakan program ekonomi dan sosial yang konkrit selain mengurus kepulangan lebihan pelarian negara berkenaan dari negara jirannya.
  
"Selain mengalami wabak Ebola. Sierra Leone masih menghadapi isu pembangunan dan sosioekonomi lain. Malaysia melahirkan penghargaan kepada negara OIC yang bermurah hati menyumbang kepada negara berkenaan," katanya.
  
Beliau berkata demikian semasa mesyuarat kumpulan penghubung peringkat menteri OIC mengenai Sierra Leone di New York pada Isnin.
  
Teks ucapan beliau dihantar kepada Bernama di sini hari ini.   

Malaysia merupakan pengerusi kumpulan penghubung tersebut.
 
Anifah berkata Malaysia amat yakin modal insan yang mahir dan terlatih merupakan faktor penting kepada kemajuan dan pembangunan mapan sesebuah negara.
  
"Dalam konteks ini, Malaysia akan terus membantu proses pemulihan dan pembangunan semula Sierra Leone terutama menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP). Sejak 1987, sebanyak 66 pegawai negara berkenaan menjalani latihan di Malaysia di bawah program itu.
  
"Dalam hubungan ini, kami menggalakkan kerajaan Sierra Leone untuk mencalonkan lebih banyak pegawainya bagi menyertai pelbagai program latihan MTCP," katanya.
  
Anifah berkata dengan bantuan dan sokongan berterusan masyarakat antarabangsa terutama anggota OIC, Malaysia berpendapat Sierra Leone sedang bergerak ke haluan betul untuk mencapai masa depan lebih baik bagi rakyatnya. - Bernama

Wartawan calon Presiden Tunisia


23 September 2014


TUNIS - TUNISIA . Seorang wartawan berpusat di London antara calon pertama menghantar permohonan untuk bertanding pada Pilihan Raya Presiden Tunisia yang dijadualkan November ini.

Mohammad al-Hachemi Hamdi antara 24 calon mencuba nasib untuk merebut kerusi nombor satu negara itu termasuk Presiden Sementara Tunisia, Mohamed Moncef Marzouki, Presiden Majlis Perlembagaan Negara, Mustapha Ben Jaafar dan Ketua Pergerakan Call, Beji Caid Essebsi.

Calon wanita turut mengemukakan pencalonan antaranya, Pengerusi Pergerakan Demokratik Pembaharuan dan Pembinaan, Amina Mansour al-Karoui dan hakim Kalthoum Kennou yang juga merupakan bekas presiden Persatuan Hakim Tunisia.

Menurut ketua suruhan jaya pilihan raya, mereka mempunyai dua hari lagi untuk mengekalkan keputusan bertanding atau menarik diri sebelum kertas pencalonan ditutup, dipetik dari laporan Middle Esat Monitor.

Afghanistan setuju perkongsian kuasa


23 September 2014

KABUL - AFGHANISTAN . Bekas Menteri Kewangan, Ashraf Ghani diisytiharkan sebagai Presiden Afghanistan beberapa jam selepas beliau menandatangani perjanjian perkongsian kuasa dengan lawannya, Abdullah Abdullah, kelmarin.

Perjanjian kerajaan perpaduan itu dilihat membuka jalan bagi persetujuan keselamatan dua hala (BSA) yang mengawal kehadiran tentera Amerika Syarikat di negara terbabit di mana Washington telah bersetuju untuk menandatangani persetujuan terbabit.

Abdullah akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif yang mempunyai peranan sama seperti perdana menteri iaitu untuk menubuhkan keseimbangan kuasa setelah Afghanistan memasuki era baharu.

Difahamkan, pengumuman itu dibuat bagi mengakhiri keputusan proses pilihan raya yang tertangguh sejak 14 Jun lalu susulan pertikaian keputusan pilihan raya presiden yang didakwa wujud unsur penipuan.

Pelantikan Ashraf adalah bagi menggantikan Hamid Karzai yang telah bersara wajib, dipetik dari laporan AFP.

Jemaah haji wajib suntikan anti-Ebola


Pasukan perubatan sentiasa bersiap-sedia di KAIA untuk menghadapi sebarang kemungkinan jangkitan Ebola.
Pasukan perubatan sentiasa bersiap-sedia di KAIA untuk menghadapi sebarang kemungkinan jangkitan Ebola.
JEDDAH - ARAB SAUDI . Jemaah haji yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz (KAIA), diwajibkan menjalani ujian imbasan dan mengambil ubat anti-Ebola.

Penyelia pusat pencegahan, Fahd Al-Ghazwi berkata, pasukan perubatan turut ditempatkan di situ itu untuk memantau ketibaan jemaah terutamanya dari Afrika Barat.

"Mereka dikehendaki mengisi borang kesihatan sejurus tiba di Saudi," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kawalan Kesihatan KAIA, Abdul Ghani Al-Malki berkata, mereka sudah membuat persediaan awal menghadapi kemungkinan jangkitan virus pembawa maut tersebut.

"Pasukan perubatan akan menggunakan kamera khas dan alat pemerhati visual untuk mengesan Ebola.

"Penyelia Perkhidmatan Perubatan di Kementerian Dalam Negeri juga telah melakukan pemeriksaan di pusat kesihatan di Makkah, Jeddah, Madinah bagi memastikan segala persiapan telah dibuat menjelang musim haji," jelasnya lagi menurut laporan Arab News.

Azmin Ali MB Selangor ke-15


AZMIN (dua dari kiri) menandatangani watikah pelantikan jawatan Menteri Besar sambil disaksikan Mohamad (kanan) di Istana Alam Shah, Klang semalam.


KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balai Rong Seri, Istana Alam Shah di sini semalam.
Azmin, 50, yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah pada pukul 10.45 pagi bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat daripada parti tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak turut melafazkan 10 Ikrar Aku Janji dengan memegang lembing Sembuana yang bersalut kain kuning pada Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3EDqlu1E1 
Hakcipta terpelihara 

Pesakit Ebola 20,000 November



GAMBAR yang dirakam pada 4 September lalu menunjukkan seorang pekerja kesihatan menyembur mayat seorang lelaki dengan bahan kimia pembasmi kuman selepas dia disyaki mati akibat virus Ebola di Monrovia, Liberia.


GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa bilangan mangsa wabak Ebola mungkin akan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 20,000 orang sekiranya tiada usaha berkesan dilakukan untuk menangani masalah itu.
"Jika tiada perubahan drastik dilakukan bagi mengawal penularan wabak ini, kes kematian akibat Ebola daripada ratusan orang akan menjadi ribuan dalam seminggu," kata WHO.
Wabak Ebola di Afrika Barat telah menyebabkan kematian lebih 2,800 orang, manakala lebih 5,800 penduduk lagi disahkan menghidap wabak berkenaan.
Kajian oleh WHO baru-baru ini menunjukkan langkah-langkah yang diambil bagi menangani wabak itu tidak begitu berkesan dan jika keadaan itu berterusan, pertubuhan tersebut mengunjurkan pada November ini pesakit Ebola di Guinea meningkat kepada 5,925 orang, Liberia (9,939) dan Sierra Leone (5,063).
Jumlah tersebut yang cuma merangkumi tiga negara akan menjadikan lebih 20,000 orang dijangkiti, kata kajian berkenaan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine semalam.
Simptom penyakit Ebola ialah demam, sakit sendi, muntah, cirit-birit serta pendarahan luaran dan dalaman.
Tiada penawar ditemui sehingga hari ini bagi merawat penyakit itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3EDofvmRW 
Hakcipta terpelihara 

13,000 mahasiswa HK demonstrasi tuntut demokrasi


HONG KONG 23 Sept. - Kira-kira 13,000 pelajar Hong Kong, semalam mengetepikan cuaca panas dengan mengadakan demonstrasi bagi menuntut pelaksanaan lebih banyak demokrasi di wilayah itu termasuk memboikot menghadiri kelas selama seminggu.
Dalam usaha mereka menentang Parti Komunis China itu, mahasiswa dari lebih 20 buah universiti dan kolej memakai baju putih dan reben kuning dengan memenuhi dataran kampus Universiti China Hong Kong di sini.
"Kami sedia membayar harga untuk demokrasi. Tidak ada seorang pun yang boleh mengambil hak rakyat, tidak seorang pun. Bukan kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas’ (SAR) dan juga Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China," kata pemimpin Persekutuan Pelajar Hong Kong, Alex Chow.
Beijing bulan lalu menolak tuntutan bagi orang ramai secara bebas memilih pemimpin seterusnya bagi bandar itu yang membangkitkan ancaman daripada aktivis pro-demokrasi bagi menutup daerah pusat kewangan tersebut. -


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140923/lu_12/13000-mahasiswa-HK-demonstrasi-tuntut-demokrasi#ixzz3EDnjpbah
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Menantu Osama dipenjara seumur hidup


NEW YORK 24 Sept. - Menantu kepada Osama bin Laden, Suleiman Abu Ghaith dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di sini semalam ekoran pensabitannya di atas tuduhan keganasan.
Juri persekutuan dari Mahkamah Manhattan pada Mac lalu mendapati Suleiman, 48 didapati bersalah kerana bersubahat membunuh rakyat Amerika, bersama-sama menyediakan sokongan kepada pengganas dan menyediakan sokongan sedemikian.
Hakim Daerah Amerika Syarikat, Lewis Kaplan mengenakan hukuman itu beberapa minit selepas Suleiman membacakan kenyataan dalam bahasa Arab dengan memetik ayat-ayat al-Quran dan mengumumkan bahawa dia tidak akan meminta belas kasihan daripada sesiapa melainkan dari Allah. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_14/Menantu-Osama-dipenjara-seumur-hidup#ixzz3EDnLEp1h
© Utusan Melayu (M) Bhd 

22,000 pegawai perubatan ditugaskan sempena musim haji


ARAB Saudi menyediakan perkhidmatan ambulans yang disokong 22,000 pegawai perubatan bagi musim haji tahun ini. - AGENSI
MEKAH 23 Sept. - Sejumlah 22,000 orang pegawai perubatan dan paramedik ditugaskan untuk menjaga kebajikan kesihatan jemaah haji tempatan dan luar negara di Mekah dan Madinah tahun ini.
Laman web, arabnews.com melaporkan, Kementerian Kesihatan turut menyediakan 100 buah ambulans dan 50 ambulans mini bagi memudahkan membawa pesakit ke hospital berdekatan.
Selain itu, sebanyak 141 pusat penjagaan kesihatan serta 17 pusat kecemasan dibangunkan di sekitar kawasan melontar jamrah, di samping bekalan sebanyak 16,000 unit darah untuk tujuan kecemasan.
Minggu lalu, kementerian turut memperkenalkan perkhidmatan telefon Saha Ziyufur Ar Rahman yang dikelola oleh pegawai kesihatan kementerian yang menggunakan bahasa Arab dari pukul 9 pagi sehingga 3 petang untuk kemudahan para jemaah.
Jemaah haji juga boleh menghubungi pegawai kesihatan menggunakan laman web Twitter, @saudimoh atau www.moh.gov.sa untuk mendapatkan penjelasan tentang isu kesihatan pada musim haji.
Penyelia umum jabatan hal ehwal kesihatan untuk haji dan umrah, Dr. Hussein Ghannam berkata, Kementerian Kesihatan juga mengerahkan pegawai kesihatan di 15 buah pintu masuk melalui udara, laut dan darat bagi memantau keadaan jemaah haji.
Tambahnya, pegawai kesihatan terbabit akan memastikan para jemaah telah mengambil suntikan vaksin seperti yang dinasihatkan sebelum memasuki tanah suci.
Bagi jemaah yang belum menerima suntikan vaksin, pegawai kesihatan akan menyediakan rawatan tersebut bagi mengelakkan jangkitan penyakit khususnya Ebola dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV).
"Mereka juga diarah untuk melaporkan sebarang perkembangan kesihatan kepada jawatankuasa arahan pusat dalam tempoh 24 jam," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_02/22000-pegawai-perubatan-ditugaskan-sempena-musim-haji#ixzz3EDmPDCBA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lion King teater terlaris


Teater The Lion King dinobatkan sebagai pementasan paling laris dalam sejarah dengan kutipan box-office sebanyak AS$6.2 bilion (RM20.18 bilion). - REUTERS
NEW YORK 23 Sept. - Teater muzikal terkenal, The Lion King semalam dinobatkan sebagai pementasan paling laris dalam sejarah, dengan kutipan box-office sebanyak AS$6.2 bilion (RM20.18 bilion), melebihi mana-mana teater serta filem.
Kutipan itu berdasarkan hasil jualan tiket sahaja tanpa mengambil kira jualan barangan, rakaman serta hasil pendapatan daripada filem asalnya yang diterbitkan oleh Disney.
Teater The Lion King dipentaskan buat kali pertama di teater Broadway pada 1997, tiga tahun selepas filemnya yang memenangi Anugerah Oscar ditayangkan di pawagam.
Presiden dan Penerbit Produksi Teater Disney, Thomas Schumacher berkata, agak sukar baginya untuk tidak berasa emosional melihatkan impak hasil daripada pementasan teater itu.
"Objektif kami ketika menerbitkan teater ini adalah untuk menceritakan kisah ini dengan murni supaya penonton turut merasainya," katanya.
Sebanyak 10 produksi pementasan The Lion King di seluruh dunia, termasuk di London, New York dan Tokyo dan lebih 75 juta penonton dari seluruh dunia menyaksikan pementasan teater tersebut.
Sebelum ini, pementasan teater, The Phantom of the Opera arahan Andrew Lloyd Webber yang ditayangkan di London pada 1986 merupakan pementasan paling laris dan masih mendapat sambutan penonton.
Seorang jurucakap memaklumkan, The Phantom of the Opera mengutip sejumlah AS$6 bilion (RM19.53 bilion) dalam tayangan seluruh dunia dengan jumlah penonton seramai 140 juta orang.
Filem Avatar yang ditayangkan pada 2009 pula menjadi filem paling laris yang pernah direkodkan, iaitu dengan jumlah kutipan sebanyak AS$2.8 bilion (RM9.11 bilion). - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_08/iLion-Kingi-teater-terlaris#ixzz3EDlstf8o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Ebola di Senegal, Nigeria terkawal


LAGOS 23 Sept. - Penularan virus Ebola di Senegal dan Nigeria kini dapat dikawal, lapor Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) hari ini.
Menurut agensi kesihatan dunia itu, Senegal tidak lagi mencatat sebarang kes Ebola sejak satu-satunya kes dilaporkan pada 29 Ogos lalu melibatkan seorang pelajar yang kini telah pulih sepenuhnya.
Nigeria pula yang merekod lapan kematian daripada 21 kes, tidak lagi mencatat kes baharu sejak 8 September lalu.
WHO dalam pada itu menyatakan, wabak Ebola sehingga kini telah mengorbankan 2,811 nyawa di seluruh Afrika Barat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_07/Ebola-di-Senegal-Nigeria-terkawal#ixzz3EDlfv8z5
© Utusan Melayu (M) Bhd