Wednesday, March 23, 2011

Radiasi masih mengancam




MASIH SIHAT: Hazuki Oka (kanan), dari Minamisoma di wilayah Fukushima, menanti giliran sementara abangnya, Yukinari, diperiksa bagi paras radiasi, semalam. Rumah dua beradik itu hanya sekitar 25 kilometer dari loji nuklear Fukushima namun mereka tidak menunjukkan paras radiasi berbahaya. -- Foto REUTERS




TOKYO: Asap dan wap kelihatan menjulang daripada dua reaktor di sebuah loji nuklear Jepun semalam, menandakan perjuangan menghalang satu peleburan dan penyebaran radiasi masih belum berakhir.
Para teknisyen yang bekerja di satu zon pengosongan di sekitar loji bermasalah di pantai timur laut Jepun itu telah memasang kabel tenaga di keenam-enam reaktor dan mula mengepam air di sebuah reaktor bagi menyejukkan batang bahan api nuklear yang terlalu panas itu.Agensi berita Kyodo berkata wap kelihatan naik daripada reaktor No 2 dan satu kabus putih kelihatan di atas reaktor No 3.Juga terdapat beberapa hembusan wap daripada reaktor-reaktor itu, yang menurut pakar-pakar, mungkin telah mengeluarkan sedikit habuk radioaktif.Pengendali loji itu, Tokyo Electric Power Co (Tepco), berkata selepas itu bahawa asap itu telah menjadi wap dan mereka menganggap keadaan sudah selamat bagi meneruskan kerja pembaikan itu.Agensi keselamatan nuklear Jepun berkata wap itu dipercayai daripada kolam bahan api nuklear yang telah digunakan di reaktor No 2.Reuters sebelum ini melaporkan bahawa loji di Fukushima itu menyimpan bahan uranium dalam jumlah lebih banyak daripada sepatutnya, berdasarkan reka bentuk loji itu.Loji itu juga telah beberapa kali terlepas ujian-ujian keselamatan wajib dalam sedekad lalu, menurut dokumen-dokumen syarikat dan pakar-pakar dari luar.Sementara itu, paras radiasi dalam sayur-sayuran, air dan susu telah mencetuskan kebimbangan di kalangan warga setempat dan luar Jepun, walaupun ada jaminan daripada para pegawai bahawa kadar radiasi itu tidak berbahaya.Tepco berkata radiasi itu hanya terdapat di Lautan Pasifik yang berdekatan kerana sedikit air dari pam-pam di loji itu mengalir ke laut.Bahan iodin beradioaktif dalam contoh-contoh air laut adalah 126.7 kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan dan kadar bahan sesium 24.8 kali lebih tinggi, kata Kyodo.Namun masih tiada ancaman bahaya, kata Tepco.Jepun telah menggesa para penduduk berhampiran loji itu supaya jangan minum air paip setelah paras iodin beradioaktif yang tinggi dikesan.Negara itu juga telah menghentikan eksport susu, bayam dan sejenis sayur 'kakina' dari kawasan itu.Lebih 170,000 orang telah dipindahkan dari zon di sekitar loji nuklear itu sejak gempa 9.0 di skala Richter dan tsunami turut merosakkan kompleks nuklear itu yang terletak 240 kilometer ke utara Tokyo.Kerosakan daripada bencana itu dianggarkan AS$250 bilion (kira-kira $317 bilion), menjadikannya bencana alam yang mengakibatkan kerugian paling besar di dunia.Angka rasmi kematian telah melebihi 9,000 orang tetapi dijangka naik kerana 12,654 masih hilang.Bencana itu telah memusnahkan banyak pekan dan bandar, yang kini tinggal dataran lumpur dan serpihan bangunan. 350,000 orang kini tiada tempat tinggal. -- Reuters.

Puak pro-Gaddafi serang dua 'bandar pemberontak'



PERANG PELBAGAI PIHAK: Seorang lelaki melihat serpihan senjata milik pasukan pro-Gaddafi selepas satu serangan udara tentera sekutu Barat di jalan antara Benghazi dengan Ajdabiyah kelmarin. -- Foto REUTERS




TRIPOLI (Libya): Pasukan-pasukan yang taat kepada Encik Muammar Gaddafi menyerang dua bandar di Libya semalam selepas tiga malam serangan udara ke atas Tripoli, namun kempen Barat menghadapi persoalan mengenai masa depan struktur perintahnya.
Dalam pertempuran terbaru semalam, pasukan Gaddafi menggunakan kereta kebal untuk menyerang bandar di barat dikuasai pemberontak, Misrata, dengan meriam.Beberapa orang maut termasuk empat kanak-kanak apabila kereta yang mereka tumpangi terkena tembakan meriam, kata beberapa penduduk.Angka kematian dalam serangan kelmarin 40 orang, kata mereka.'Keadaan di sini sangat teruk. Kereta-kereta kebal mula menembak bandar ini dengan meriam sejak pagi,' kata seorang penduduk, Encik Mohammed, kepada Reuters semalam melalui telefon di luar hospital bandar itu.'Penembak curi juga ada dalam operasi itu. Sebuah kereta awam musnah dan empat kanak-kanak di dalamnya terkorban, yang paling tua berusia 13 tahun,' katanya lagi.Rangkaian berita Al Jazeera berkata pasukan Gaddafi sedang cuba merampas kembali bandar dikuasai pemberontak di barat, Zintan, menggunakan senjata berat.Para penduduk telah lari dari pusat bandar itu untuk berlindung di gua-gua di pergunungan.Televisyen Libya berkata beberapa kawasan di Tripoli telah diserang dari udara kelmarin.Namun belum ada pengesahan adanya serangan udara terbaru daripada Barat dalam kempen mereka mengenakan satu zon larangan terbang dan melindungi orang awam.Pemberontak yang diusir balik ke kubu kuat mereka di bandar timur Benghazi, tidak membuat apa-apa bagi meneruskan rancangan untuk mara ke Tripoli. Ini mencetus kebimbangan, perang itu akan menemui jalan buntu.Pihak Barat belum memutuskan negara manakah yang akan meneruskan operasi itu apabila Washington berundur.Sementara itu, sebuah pesawat F-15E angkatan udara Amerika terhempas di Libya semalam.Menurut tentera Amerika, seorang anggota kru dapat diselamatkan dan seorang lagi 'dalam proses pencarian'. Kemalangan itu kemungkinan angkara kerosakan mekanikal dan bukan kerana diserang, kata tentera Amerika. -- Reuters.

Elizabeth Taylor meninggal dunia akibat sakit jantung



23/03/2011 9:30pm

NEW YORK 23 Mac – Bintang legenda Hollywood, Elizabeth Taylor yang dianggap aktres paling memikat dalam abad ke-20, meninggal dunia hari ini dalam usia 79 tahun.
Beliau meninggal dunia di Cedars-Sinai Hospital di Los Angeles di samping empat anaknya selepas dimasukkan ke hospital enam minggu lalu disebabkan masalah jantung, kata pegawai publisitinya, Sally Morrison dalam satu kenyataan. - Reuters

Rahim Thamby Chik akui terlibat dedah video seks



23/03/2011 5:42pm

KUALA LUMPUR 23 Mac - Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik hari ini berkata, beliau adalah antara tiga orang yang dikenali sebagai Datuk T yang terlibat mendedahkan video skandal seks melibatkan seorang pemimpin pembangkang.
Rahim dalam satu sidang akhbar di sini hari ini berkata, dua lagi individu itu adalah ahli perniagaan, Datuk Syazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.
Beliau turut meminta supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat ketulenan video itu.
Jelaskan, huruf T dipendekkan bagi perkataan Trio. - Utusan

Obama dikecam campur tangan



WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mula dikritik hebat berhubung tindakannya menyerang Libya.

Bagaimanapun, Obama mempertahankan pendekatannya dalam isu Libya dan menegaskan tentera AS akan bertindak mengikut matlamat yang digariskan dalam usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), minggu lalu.

"Muammar Gaddafi (pemimpin Libya) perlu dihalang daripada menyerang penduduk negara itu dan beliau juga perlu dijatuhkan," katanya, kelmarin.

Menurutnya, AS juga menggunakan cara lain termasuk sekatan ekonomi bagi menamatkan pemerintahan Gaddafi selama 42 tahun.

Obama sebelum itu didakwa tidak berunding dengan Kongres sebelum melancarkan tindakan ketenteraan ke atas Libya.

Bencana alam vs kelalaian manusia



TOKYO - Hanya sebulan sebelum gempa kuat dan tsunami merosakkan loji Fukushima Daiichi yang menjadi fokus krisis nuklear di Jepun, kerajaan negara itu meluluskan tempoh tambahan 10 tahun bagi penggunaan reaktor di loji itu walaupun selepas diberi amaran mengenai tahap keselamatannya.

Jawatankuasa penyelia yang menilai pemanjangan tempoh penggunaan reaktor itu sedar mengenai retakan pada penjana elektrik di reaktor No.1, menurut rumusan penilaian yang dimuat naik ke laman sesawang agensi nuklear Jepun selepas setiap kali pemeriksaan dijalankan.

Retakan itu menyebabkan enjin penjana terdedah kepada risiko karat disebabkan air laut dan hujan dan akhirnya penjana itu rosak selepas dilanda tsunami 11 Mac lalu, menyebabkan sistem penyejukan penting di reaktor gagal berfungsi.

Sejak itu, syarikat Tokyo Electric Power (Tepco) yang mengendali loji itu bertungkus lumus memastikan reaktor yang mula memanas tidak mengeluarkan sebarang bahan radioaktif.

Beberapa minggu selepas tempoh pemanjangan diluluskan, Tepco mengakui syarikat itu gagal memeriksa 33 alatan yang berkaitan dengan sistem penyejukan, termasuk pam air dan penjana elektrik di keenam-enam reaktor di loji itu.

Menurut penyelia kerajaan, pengurusan penyelenggaraan dan kualiti pemeriksaan di loji itu tidak mencukupi.

Dan kurang dua minggu selepas laporan itu dikeluarkan, gempa bumi dan tsunami mencetuskan krisis nuklear di loji penjana tenaga itu.

Keputusan untuk memanjangkan jangka hayat reaktor dan kegagalan pemeriksaan menyeluruh di semua enam reaktor membuktikan hubungan tidak sihat antara pengendali loji nuklear dan pegawai kerajaan.

Panel pakar yang meluluskan pemanjangan penggunaan kebanyakannya adalah ahli akademik dan jarang mencabar agensi yang mengupah mereka.

Disebabkan tentangan daripada orang awam menyukarkan pembinaan loji nuklear baru, pengendali loji nuklear kerap melobi untuk memanjangkan jangka hayat reaktor melebihi had 40 tahun yang dibenarkan walaupun mengetahui terdapat isu keselamatan.

Kerajaan pula yang ingin mengembangkan penggunaan tenaga nuklear dan mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan bahan mentah selalunya akan menyebelahi pengendali loji.

Kelulusan bagi pemanjangan jangka hayat tempoh reaktor nuklear dilihat mula menjadi perkara biasa di seluruh dunia.

Dalam tempoh sedekad lagi di Jepun, 13 reaktor - dan lima reaktor di loji Fukushima Daiichi - akan mencecah usia 40 tahun, membabitkan kos penggantian reaktor yang sangat tinggi.

Menurut pengkritik, ini adalah salah satu sebab mengapa jawatankuasa penyelia yang memeriksa loji yang sudah berusia menolak tepi aspek keselamatan.

Jurutera, Mitsuhiko Tanaka yang mereka bentuk reaktor di loji Fukushima Daiichi berkata, reaktor di loji itu sudah ketinggalan zaman.

"Sudah tiba masanya reaktor itu diganti. Memang tsunami menyebabkan kerosakan teruk kepada reaktor tetapi alatan yang sudah lama di reaktor itu memburukkan lagi keadaan," katanya.

Jepun berhadapan dengan krisis nuklear terburuk negara itu sejak Perang Dunia Kedua apabila gempa sekuat 9.0 pada skala Richter melanda utara negara itu, 11 Mac lalu.

Sejak itu, sekurang-kurangnya empat letupan dan dua kebakaran berlaku di loji nuklear Fukushima Daiichi selain lebih 9,000 penduduk dilaporkan terkorban dalam bencana itu.

Semakin terhimpit



TRIPOLI - Rakyat Libya semakin terhimpit dalam konflik di negara itu selepas tentera bersekutu meneruskan serangan udara bagi hari ketiga berturut-turut, semalam.

Letupan kuat menggegarkan ibu negara, Tripoli, semasa pasukan tentera Gaddafi cuba menghentikan sebarang serangan baru oleh tentera antarabangsa yang melaksanakan zon larangan terbang di negara itu.

Sementara itu, sebuah jet pejuang milik Amerika Syarikat (AS) dilaporkan terhempas di sebuah kawasan di Libya tetapi juruterbangnya dilaporkan selamat.

Nahas itu dipercayai berpunca akibat kerosakan alatan di dalam pesawat.

Kebangkitan rakyat di Libya bertukar menjadi besar-besaran, Februari lalu, selepas protes antikerajaan berkembang sehingga membentuk pergerakan pemberontak bagi menuntut Gaddafi meletak jawatan.

Serangan udara ke atas Libya yang diketuai AS, Perancis dan Britain dimulakan, Sabtu lalu, selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan usul mewujudkan zon larangan terbang di negara pengeluar minyak itu.

Brazil gesa gencatan senjata di Libya



SAO PAULO - Kerajaan Brazil menggesa gencatan senjata diadakan di Libya, di mana serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya menyebabkan konflik bertambah buruk di negara Arab itu, kelmarin.

Kementerian Luar Brazil menegaskan gencatan senjata perlu dilakukan bagi melindungi orang awam dan memberi ruang kepada kerajaan Libya di bawah pimpinan Muammar Gaddafi mengadakan rundingan secara damai dengan puak penentang.

Minggu lalu, Brazil, China, India, Jerman dan Rusia mengambil pendirian berkecuali daripada menyokong usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membenarkan semua cara digunakan untuk mewujudkan zon larangan penerbangan di Libya.

Sementara itu, pemimpin beberapa negara Afrika lain termasuk Uganda, Afrika Selatan dan Zimbabwe turut mengecam serangan Barat itu yang dianggap hanya helah untuk mengawal bekalan minyak Libya.

Isteri Presiden Guatemala tuntut cerai




GUATEMALA CITY - Isteri Presiden Guatemala memfailkan permohonan cerai selepas lapan tahun berkahwin bagi membolehkan beliau bertanding dan menggantikan suaminya sebagai presiden negara itu.

Proses penceraian antara Sandra Torres de Colom dan suaminya, Presiden Alvaro Colom dimulakan kelmarin, menurut mahkamah.

Perlembagaan negara itu menghalang ahli keluarga seorang presiden daripada bertanding untuk jawatan tertinggi itu.

Awal bulan ini, Torres mengumumkan beliau akan bertanding sebagai calon presiden menerusi parti pemerintah pada pilihan raya, September depan.
sh

Tidak mahu serah video seks kepada polis



SHAH ALAM – Ketua kumpu lan yang mendedahkan rakaman video seks seorang pemimpin pembangkang dengan wanita dipercayai pelacur kelmarin, tidak akan menyerahkan salinan asal rakaman itu kepada polis.

Individu itu yang hanya dikenali sebagai 'Datuk T' berkata, beliau tidak akan berbuat demikian kerana tidak mahu pembangkang menuduh polis dan kerajaan berpakat dalam pembikinan rakaman video itu.

"Ini mungkin akan berlaku jika hasil siasatan polis tidak berpihak kepada (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) (yang sudah pun menafikan individu dalam video itu adalah dirinya)," katanya.

Kata Datuk T, langkah yang lebih wajar dilakukan untuk menyiasat ketulenan video itu adalah dengan menubuhkan Suruhanjaya Awam Bebas yang dianggotai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media yang bebas daripada pengaruh mana-mana pihak.

"Jika ini yang berlaku (penubuhan suruhanjaya), saya akan serahkan salinan asal video itu kepada mereka. Selepas itu, terpulanglah kepada mereka untuk dihantar ke negara mana untuk dianalisa ketulenannya," katanya dipetik daripada laporan portal berita The Malaysian Insider, semalam.

Datuk T berkata, selain video, jam tangan jenama Omega yang dikatakan milik Anwar dan diserahkan kepadanya oleh wanita pasangan kepada pemimpin pembangkang dalam video seks itu juga akan diserahkan kepada suruhanjaya agar ujian pengecaman DNA dapat dilakukan.

“Biarlah orang awam dan dunia menjadi hakim dalam kes ini,” katanya.

Datuk T berkata, tindakan Anwar membuat laporan polis pagi semalam berhubung pendedahan video seks itu, sekali gus dianggapnya sebagai reaksi ‘tidak berminat’ atas kesediaannya menyerah kan salinan rakaman adegan lucah itu kepada tokoh pembangkang berkenaan Isnin minggu depan.

"Saya sudah beritahu akan serah video itu dalam masa seminggu. Saya akan serahkan video itu kepada Anwar dan isterinya, (Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) tapi apabila buat laporan polis, saya anggap dia tak berminatlah," katanya.

Tiga orang disebalik pendedahan video seks Anwar



PETALING JAYA: Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim mengakui bahawa mereka adalah tiga orang di sebalik pendedahan video seks mengaitkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Dalam satu sidang akhbar di sini bagi menjelaskan persoalan berkenaan "Datuk T" dan rakaman video yang didedahkan kelmarin.
Beliau berkata, "Datuk T" adalah nama samaran bagi mereka bertiga. Serentak itu, beliau mahu kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang turut dianggotai oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dan wakil media.

Diminta mengulas lebih lanjut lelaki dalam rakaman video itu, beliau enggan menyebut nama tetapi memberi bayangan bahawa "lelaki itu mungkin menjadi PM"
SH

Ditinggal lepas nikah 3 bulan


KUALA LUMPUR: Bimbang rahsia perkahwinan keduanya di negara jiran diketahui isteri pertama, seorang pengerusi sebuah pertubuhan kebajikan Islam di Ranau, Sabah sanggup meninggalkan isteri baru tanpa nafkah zahir dan batin hanya selepas beberapa bulan mereka bernikah.
Malah, lelaki berusia 50-an itu turut membiarkan isteri keduanya hidup tanpa status yang sah apabila enggan mendaftarkan perkahwinan mereka di sini walaupun mengetahui ia menyalahi undang-undang syariah.

Wanita malang itu yang hanya ingin dikenali sebagai Khadijah, 53, berkata, dia sanggup berkahwin dengan lelaki itu kerana terlalu mempercayainya yang mempunyai latar belakang agama tinggi dan berasa suaminya itu akan bertanggungjawab serta berlaku adil.

Menurutnya, mereka bernikah pada 30 Julai tahun lalu di Narathiwat, Selatan Thailand dan kira-kira sebulan selepas itu dia dengan usaha sendiri mendaftarkan pernikahan mereka di jabatan agama, namun suaminya enggan menandatangani dokumen dengan memberikan pelbagai alasan.

“Sebelum kahwin macam-macam dia janjikan, hingga sanggup memberi mas kahwin RM15,000. Tapi tidak sangka selepas tiga bulan bernikah dia meninggalkan saya tanpa sebarang nafkah serta turut bersikap dingin terhadap saya hingga kini. “Dia langsung tidak mempedulikan saya sekarang dan apabila ditanya mengapa, dengan selamba dia mengatakan mereka tidak boleh hidup bersama kerana cara hidup mereka berbeza,” katanya yang ditemui di sini, kelmarin.

Khadijah berkata, dia berasa dipermainkan dan lebih teruk suaminya seperti tidak mahu mengaku yang mereka sudah berkahwin dengan beberapa kali menghantar SMS mengatakan pernikahan di negara jiran itu tidak sah dan mereka tiada sebarang ikatan atau hubungan lagi.


Menurutnya, dia tidak sangka seorang berjawatan tinggi dalam pertubuhan Islam yang boleh dikatakan berstatus pendakwah serta mengetahui mengenai hukum agama serta undang-undang syariah tergamak melakukan perkara sedemikian. Katanya, dia kini malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling terutama ahli keluarga dan rakan yang mengetahui mengenai perkahwinan mereka dan perkara itu juga mengganggu kehidupan hariannya.

“Jika benar dia sudah tidak mahu ada apa-apa hubungan, saya harap perpisahan itu dilakukan mengikut cara yang betul dengan mendaftarkan terlebih dulu perkahwinan dan kemudian barulah bercerai cara baik melalui proses yang betul.
“Macam mana nak bercerai sedangkan pernikahan kami tidak didaftarkan dan saya percaya dia mengetahui perkara itu, tetapi sengaja berbuat demikian kerana takut perkahwinan kami diketahui isteri pertama selain bimbang kedudukannya terjejas ekoran melakukan kesalahan mengikut undang-undang syariah ,” katanya.

Menurutnya, dia masih menyayangi suaminya dan jika boleh ingin mencari jalan terbaik bagi menyelamatkan perkahwinan mereka serta berharap suami lebih bertanggungjawab dengan tidak lepas tangan dengan apa yang sudah berlaku. Khadijah berharap agar pengalaman pahitnya itu dijadikan iktibar kepada wanita lain supaya tidak terpedaya dengan kedudukan seseorang itu hingga sanggup membelakangkan undang-undang.

Cinta RM300,000


KECEWA...Azlina (kiri) menceritakan kepada Chong (tengah) bagaimana dia ditipu.
KECEWA...Azlina (kiri) menceritakan kepada Chong (tengah) bagaimana dia ditipu.

KUALA LUMPUR: Akibat ‘mabuk cinta’ dengan seorang lelaki warga Pakistan melalui perkenalan di Internet sejak September tahun lalu, seorang wanita menjadi mangsa penipuan sehingga kerugian RM300,000.
Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Azlina, 49, berasal dari Pulau Pinang tidak pernah bersua muka dengan ‘kekasihnya’ itu, tetapi terpesona dengan perwatakan suspek seolah-olah alim dan mampu membimbingnya sebagai suami yang soleh.

Azlina yang bertugas sebagai sebagai kerani berkata, kisah cinta bersama kekasih yang dikenali sebagai Hassan, 50, yang mendakwa berasal dari Atlanta, Amerika Syarikat dan bekerja sebagai ahli perniagaan bermula di satu laman web sosial.

“Lelaki berkenaan sentiasa berbicara mengenai hukum Islam dan perhubungan kami berjalan lancar,” kata Azlina ketika membuat pendedahan di Biro Pengaduan MCA, semalam.

Menurutnya, Hassan juga tidak ingin menggunakan kamera web kerana mendakwa dia tidak ingin melihat tubuh badan seperti yang dilakukan lelaki lain kerana ia adalah salah di sisi agama sebaliknya mereka saling bertukar gambar.

Katanya, melalui gambar pasport yang dihantar kepadanya, Hassan menyerupai lelaki warga Pakistan dan mendakwa dia adalah rakyat Amerika dan mempunyai kacukan Pakistan.


“Pada Oktober tahun lalu, dia melamar dan meminta saya berhijrah ke Amerika selepas berkahwin dengannya dan saya pun bersetuju,” katanya.

Bagaimanapun, lelaki itu mula menunjukkan tembelangnya apabila meminta dipinjamkan RM300,000 dengan alasan mengalami masalah kewangan.
Azlina memberikan wang berkenaan selepas mengeluarkan simpanan dan dipinjam daripada keluarga.

“Saya menghantar wang berkenaan secara berperingkat melalui khidmat syarikat penghantaran wang sejak November lalu hingga bulan ini,” katanya.

Azlina berkata, dia menerima panggilan terakhir daripada Hassan pada Khamis lalu, bagaimanapun terkejut apabila dua hari kemudian, seseorang yang mengaku rakan Hassan memaklumkan lelaki berkenaan meninggal dunia di Hospital St Mark, Atlanta, Georgia akibat dibunuh.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong berkata, sebanyak 12 kes membabitkan penipuan Internet Afrika direkodkan pihaknya sejak tahun lalu.

“Kami dapati semua mangsa ditipu melalui taktik sama,” katanya.

Waris budak berusia empat tahun dicari



ALOR SETAR 22 Mac - Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar ingin mencari waris seorang kanak-kanak berusia empat tahun, Chin Ah Din yang ditinggalkan kepada seorang individu Melayu sejak berusia lapan bulan.
Ibu kanak-kanak tersebut bernama Chin Chooi Leng, 42, manakala bapanya dipercayai bernama Yiap Ha Tek dan kanak-kanak tersebut dilahirkan di Hospital Langkawi pada 26 Ogos 2006.
Pegawai Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Mohd. Basharudin Samsudin berkata, kanak-kanak tersebut mempunyai MyKid dan sijil kelahiran bernombor 68467 namun kedua-duanya berada dalam simpanan ibu bapanya.
"Ketiadaan Mykid dan sijil kelahiran itu menyukarkan urusan pendaftaran kanak-kanak itu ke prasekolah serta urusan lain. Justeru sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapanya diminta tampil menghubungi saya atau kakitangan Pejabat JKM, Rosmini Meh di 04-7202370 atau 04-7202351,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Seks boleh membunuh: Penyelidik AS





2011/03/23

CHICAGO: Perubahan mendadak aktiviti fizikal daripada tahap sederhana kepada tinggi seperti berjoging dan melakukan hubungan seks, meningkatkan risiko serangan jantung terutama kepada mereka yang jarang bersenam, menurut penyelidik Amerika Syarikat. 

Doktor sudah lama mengetahui bahawa aktiviti fizikal boleh menyebabkan masalah serius jantung tetapi penyelidikan terbaru itu membantu mengukur risiko itu, kata Dr Issa Dahabreh daripada Pusat Perubatan Tufts di Boston.
Penyelidikan beliau disiarkan dalam Journal of the American Medical Association.
Kumpulan penyelidik itu menganalisis data daripada 14 penyelidikan yang mencari kaitan di anatara senaman, seks dan risiko serangan jantung atau kematian kardiaologi secara tiba-tiba - ritma jantung berbahaya yang menyebabkan jantung berhenti mengepam darah. 

Mereka mendapati individu adalah 3.5 kali ganda berkemungkinan mengalami serangan jantung atau kematian kardiologi secara tiba-tiba jika mereka bersenam berbanding mereka yang tidak bersenam. 

Individu juga 2.7 kali ganda berkemungkinan mengalami serangan jantung ketika mengadakan hubungan seks atau sejurus kemudian berbanding mereka yang tidak melakukannya. - Reuters


bharian

Kempunan KWSP



Oleh Azida Shaharuddin

2011/03/23

SIDEK menunjukkan kad pengenalannya dan penyata KWSP yang mempunyai nama berbeza.
SIDEK menunjukkan kad pengenalannya dan penyata KWSP yang mempunyai nama berbeza.
Angkara berbeza nama sebenar, timangan bekas pengawal keselamatan gagal berurusan

JOHOR BAHRU: Angkara perbezaan nama sebenar dan timangan, seorang bekas pengawal keselamatan bank terpaksa berputih mata apabila tidak berpeluang mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperlukan untuk menyara hidupnya yang kini lumpuh separuh badan. 

Nasib malang itu ditempuhi Sidek Aziz, 72, yang turut dikenali sebagai Yusof di kalangan ahli keluarganya dan pernah menggunakan nama timangan, Yusof Abdul Aziz, ketika memohon pekerjaan sebelum ini dan caruman KWSP dibuat atas nama berkenaan.
Sidek tidak dapat mengeluarkan wang simpanannya kerana kehilangan kad pengenalan kira-kira 20 tahun lalu dan tidak membuat laporan polis mengenainya, menyebabkan beliau terpaksa membuat dokumen baru.
Namun, apabila kad pengenalan baru siap atas nama Sidek, timbul masalah berikutan beliau melakukan kesilapan pernah mendaftar nama dengan majikan sebagai Yusof iaitu nama panggilan digunakan ahli keluarganya terhadap beliau, menyebabkan caruman KWSP didaftarkan atas nama berkenaan. 

Isterinya, Faridah Basir, 66, berkata masalah itu dikenal pasti akhir tahun lalu, apabila Sidek ingin menuntut wang caruman KWSP miliknya. 

“Apabila kami ke KWSP Johor Bahru, kakitangan agensi itu memaklumkan suami saya tidak boleh mengeluarkan wang tanpa kad pengenalan, menyebabkannya dia (Sidek) susah hati dan diserang angin ahmar pada petang hari sama. 

“Suami lumpuh separuh kiri badan dan tidak boleh bercakap dengan jelas, selain mengidap darah tinggi, masalah buah pinggang dan rabun teruk kedua-dua belah mata. 
“Sejak itu saya terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah kilang untuk menjaga suami, dan pada masa sama bergantung kepada wang simpanan sendiri, selain RM200 hasil sewa tanah di Segamat yang diwarisi suami daripada bapanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu Majidee, semalam. 

Faridah berkata, beliau dan suami tidak berputus asa sebaliknya mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abd Samad, berhubung masalah itu. 

Katanya, hasil nasihat dan bantuan Shahrir serta Kementerian Dalam Negeri, Sidek dapat membuat kad pengenalan baru akhir tahun lalu, walaupun sebelum itu wujud masalah pertindihan nombor kad pengenalan dengan seorang wanita yang sudah meninggal dunia. 

“Ketika membuat kad pengenalan di JPN, kakitangan jabatan itu tidak membenarkan suami mendaftar dua nama sebaliknya hanya satu nama iaitu Sidek Aziz walaupun kami meminta meletakkan nama panggilannya iaitu Yusof, sekali. 

“Namun permintaan ditolak dengan alasan suami boleh membuat pertukaran nama di masa depan. Satu demi satu masalah terpaksa dilalui dan pelbagai usaha diambil namun wang caruman sendiri masih belum boleh dikeluarkan suami, malah menjadi semakin rumit,” katanya. 

Faridah berkata, beliau pernah meminta bantuan rakan anaknya pada 2008, untuk memeriksa dan mendapatkan penyata jumlah keseluruhan caruman KWSP yang boleh dikeluarkan Sidek menggunakan nombor kad pengenalan beliau dan jumlahnya mencecah puluhan ribu ringgit. 

Katanya, masalah lain turut timbul apabila beberapa geran tanah diwarisi Sidek daripada bapanya turut didaftarkan atas nama Yusof Abdul Aziz. 

“Kini suami hendak menjual tanah seluas kira-kira 0.8 hektar di Tunku Tiga, Sungai Segamat Kanan, namun tidak dapat dilakukan kerana bakal berdepan masalah kerana nama pada kad pengenalan tidak sama dengan nama yang didaftarkan,” katanya. 

Beliau berkata, suami pernah cuba membuat pertukaran nama pada 4 Januari lalu, namun permohonan itu ditolak JPN dan kelmarin, satu lagi permohonan pertukaran nama sudah dilanjutkan kepada JPN termasuk menyertakan kad pengenalan lima anak mereka berusia antara 25 hingga 39 tahun ketika ini. 

“Kami harap JPN prihatin dengan keadaan ini dan mengambil berat permohonan kami. Suami saya bukan pendatang asing tanpa izin tetapi warga negara ini dan berasal dari Kampung Tengah, Segamat. 

“Dia (Sidek) setakat hanya mahu merasai wang caruman KWSP yang patut diterimanya di usia lanjut ini, yang diperoleh sepanjang beliau penat bekerja sebelum ini selain hasil jualan tanahnya. 

“Buat masa ini, suami masih hidup dan sedang berusaha melakukan pembetulan yang perlu. Saya risau sekiranya apa-apa terjadi kepada suami kelak, bagaimana pula dengan nasib saya dan keluarga apabila tidak mendapat harta yang sepatutnya diwarisi,” katanya.


bharian

Kereta jadi padang golf mini



JOHN MCARTHUR berdiri di atas bumbung kereta miliknya yang dijadikan padang golf.


CHELMSFORD, England - Seorang peminat fanatik kereta, John McArthur, 22, mencipta kelainan apabila dia menukarkan kereta jenama Skoda Felicia miliknya menjadi sebuah padang golf mini, lapor sebuah akhbar semalam.
McArthur hanya membeli kereta tersebut pada harga murah iaitu £347 (RM1,718.13) daripada sebuah laman web lelong, eBay bagi menggantikan kereta lama berjenama Renault Megane Scenic.
"Adik perempuan saya tidak akan menaikinya tetapi rakan-rakan saya yang turut sama meminati kereta suka dengan kereta ini.
"Mereka menyatakan orang ramai pasti akan melihatnya apabila saya memandu dan saya ada melihat beberapa orang merakamkan gambar dan bertanyakan pelbagai soalan," katanya.
Dia meletakkan rumput palsu di atas kereta tersebut dengan dilengkapi lubang dan tiang bendera. - Agensi
kosmo