Tuesday, September 18, 2012

Beratus-ratus orang adakan protes depan kedutaan AS di Bangkok




18 September 2012
BANGKOK – Beratus-ratus orang menyertai demonstrasi secara aman membantah filem anti-Islam di luar Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini.
Hujan tidak menghalang mereka daripada berkumpul depan kedutaan itu pada 2.30 ptg (Malaysia: 3.30 ptg) dan perhimpunan berlangsung kira-kira 90 minit.
Mereka mahu pentadbiran Amerika Syarikat menghukum pembikin filem itu, dikatakan berketurunan Yahudi, dan menyatakan bahawa mereka tidak akan mencederakan sesiapa kerana mereka tidak menyokong keganasan.
Bantahan terhadap filem "c" yang memaparkan fakta diseleweng mengenai Nabi Muhammad s.a.w. telah merebak ke lebih 20 negara dan mengorbankan banyak nyawa, termasuk duta besar AS ke Libya.
Kedutaan AS di sini ditutup kepada orang ramai pada waktu petang berikutan demonstrasi itu.- Bernama

AS pasang peluru berpandu di Jepun




18 September 2012
Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta
Setiausaha Pertahanan Amerika, Leon Panetta
TOKYO - Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Leon Panetta berkata, AS dan pegawai kerajaan Jepun bersetuju menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu X-band kedua di negara matahari terbit itu.

“Tujuan penempatan ini adalah untuk meningkatkan keupayaan pertahanan Jepun, “kata Panetta.

Menurut pihak berkuasa Jepun, sistem radar itu disasarkan bagi melindungi rantau ini daripada ancaman Korea Utara dan ia tidak disasarkan kepada China.

Bagaimanapun, lokasi penempatan sistem pertahanan peluru berpandu itu masih belum ditentukan.

Sistem pertahanan peluru berpandu X-band pertama telah pun ditempatkan di bandar Tsugaru, Shariki, di utara pulau Honshu.

Sementara itu, AS sudah memiliki sistem radar amaran awal di atas kapal terletak di Asia-Pasifik dengan 47,000 tentera AS berkawal terutama di sekitar perairan selatan Okinawa.


Penempatan sistem kedua berpangkalan di Jepun akan membolehkan logistik kapal dijarakkan dan meliputi wilayah lain di rantau ini.

Pegawai tentera AS menegaskan radar amaran awal itu tidak diarahkan di China tetapi direka semata-mata untuk menentang Korea Utara.- AP

Rusia mahu haram Innocence of Muslims




18 September 2012
Alan Roberts
Demonstrasi protes pembikinan filem Innocence of Muslims di Dhaka baru-baru ini. - Foto ihsan demotix.com
MOSCOW - Pihak berkuasa Russia mahu mendapatkan kebenaran bagi mengharamkan filmInnocense of Muslims yang telah mencetuskan keganasan dan protes di seluruh dunia.
Pejabat Pendakwa Raya semalam berkata, pihaknya akan meminta kebenaran mengharamkan filem tersebut atas alasan ia "ekstremis dan menyinggung penganut" agama Islam.
Selain itu Pejabat Pendakwa Raya juga berkata, pihaknya telah menggesa penyedia Internet utama agar menyekat filem itu daripada terus disebar ke seluruh dunia.
Filem kos rendah yang dihasilkan di Amerika Syarikat (AS) itu telah ditayangkan sejak tiga bulan lalu dan trelernya dimuat naik di YouTube baru-baru ini.
Pendakwa Raya berkata, Russia bimbang bahawa filem itu akan mencetuskan rasa tidak senang di kalangan komuniti Islam di negara itu.
Interfax melaporkan bahawa Pejabat Pendakwa Raya "bersedia untuk memohon kepada mahkamah agar mengiktiraf filem itu, yang disebarkan di Internet dan memudaratkan penganut (agama Islam), sebagai bahan ekstremis."
Protes dan keganasan di 20 negara telah meragut 17 nama setakat ini di Afrika Utara dan Timur Tengah

Kedah tuntut Felcra RM200 juta



ROSLINDA HASHIM
18 September 2012
 Kedah tuntut Felcra RM200 juta
Datuk Seri Azizan Abdul Razak
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri sedang membuat tuntutan terhadap Felcra yang mengusahakan tanah milik mereka tetapi tidak menyerahkan hasil seperti yang dipersetujui dalam perjanjian.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, tuntutan itu kini sedang disediakan oleh peguam yang dilantik bagi mendapatkan kembali hak rakyat Kedah.

“Tuntutan dibuat oleh Menteri Besar Incoorporated (MBI) terhadap Felcra. Memang Felcra perlu bayar pada kita sebab ada dalam perjanjian, di mana tanah diusahakan Felcra, babitkan 60 peratus untuk negeri dan selebihnya 40 peratus untuk agensi itu,” katanya.

Menurutnya, kegagalan Felcra menyerahkan buku kira-kira kepada MBI antara punca Kerajaan Negeri bertindak demikian.

“Kita tidak tahu bagaimana perbelanjaan yang dibuat, oleh itu sekarang kita minta.

"Perkara sama berlaku di Kelantan tetapi mereka dapat balik walaupun nilainya tidak banyak. Mulai tahun ini, kita akan buat tuntutan dan tunggu perkembangan selanjutnya,” katanya.

Azizan berkata, buat masa ini, MBI sedang mengenal pasti pemilikan tanah bawah MBI dan Felcra untuk memudahkan proses tuntutan.

“Surat tuntutan sudah bincang, cuma jumlah sebenar belum pasti, namun ianya melibatkan jumlah yang banyak,” katanya.

Menurut sumber, antara kejayaan MBI bawah kerajaan PR ialah membuat tuntutan kepada Felcra, di mana sekurang-kurangnya RM200 juta wang rakyat Kedah yang diabaikan oleh kerajaan terdahulu kini akan dikembalikan kepada rakyat Kedah, pembayaran akan dibuat berdasarkan perjanjian.
Difahamkan, sejak Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, Felcra juga tidak membuat pembayaran.

Dalam perkembangan lain, Azizan menafikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dibuat rombakan besar-besaran akibat mengalami masalah.

“Setakat ini, tiada rombakan dibuat, semua GLC Kedah berjalan lancar. Saya adalah pengerusi MBI, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dan Permodalan Kedah Berhad (PKB), semuanya tiada masalah,” katanya.

Menurutnya, mungkin pada awal pengambilalihan, wujud beberapa masalah termasuk kewangan, namun selepas empat tahun PR menerajui Kedah, semuanya berjaya diselesaikan.

Sebelum ini, PKB ketika diterajui Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan tenat, namun berjaya dipulihkan sehingga mampu memberi sumbangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM10 juta setahun.

Azizan menyifatkan ini suatu kejayaan dalam mengendalikan GLC Kedah, ekoran PKB berjaya melunaskan hutang tertunggak, malah dalam tempoh empat tahun, kembali aktif dan menyumbang hasil kepada negeri.

AS, Jepun tempatkan radar kedua



TOKYO 17 Sept. - Amerika Syarikat (AS) dan Jepun semalam, bersetuju menempatkan satu lagi radar yang mampu mengesan peluru berpandu jenis X-band di negara ini.
Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta berkata, langkah itu dibuat bagi menangani ancaman peluru berpandu Korea Utara.
"Radar kedua ini akan meningkatkan lagi keupayaan dalam mempertahankan negara ini daripada ancaman peluru Korea Utara,'' katanya.
Kira-kira 47,000 tentera AS berpangkalan di negara ini, kebanyakan mereka berada jauh di selatan gugusan kepulauan Okinawa.
Sekumpulan tentera AS kini ditugaskan mencari lokasi yang sesuai untuk menempatkan radar tersebut yang berkemungkinan di selatan negara ini.
Jepun kini telah memiliki satu radar jenis X-band yang terletak di Pangkalan Shariki di bandar Tsugaru.
Pegawai menegaskan, amaran awal oleh radar itu tidak disasarkan kepada China, tetapi direka khas untuk mengatasi Korea Utara. - AFP

Isu pulau, China guna pendekatan undang-undang



BEIJING 17 Sept. - China meningkatkan usaha terbaru untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pertikaian tuntutan bertindih di Laut China Timur dengan Jepun iaitu melalui tindakan perundangan, lapor agensi berita Xinhua hari ini.
Selain itu, Beijing juga mengugut melancarkan sekatan perdagangan terhadap Jepun yang boleh 'melembapkan' ekonomi negara itu 'selama satu dekad'.
China mengumumkan akan mengemukakan permohonan kepada satu suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai tuntutannya di Laut China Timur, berdasarkan definisinya mengenai had kawasan kedaulatannya di benua tersebut.
"Rancangan itu menggambarkan usaha kerajaan China untuk melindungi kawasan maritimnya,'' kata pegawai Kementerian Luar, Deng Zhonghua yang bertanggungjawab dalam isu sempadan dan maritim.
Parti pemerintah China, Parti Komunis yang sebelum ini jarang membenarkan protes jalanan, membuka laluan untuk rakyat melahirkan kemarahan selepas keputusan Jepun pada minggu lalu untuk membeli beberapa pulau di gugusan kepulauan di Laut China Timur.
Demonstrasi rakyat China berterusan hari ini dengan beratus-ratus orang mengadakan tunjuk perasaan di luar Kedutaan Jepun di sini, sambil diperhatikan oleh polis antirusuhan. - REUTERS

Thaksin, tentera 'perlu jauhi’ politik Thai



BANGKOK 18 Sept. - Satu panel perdamaian Thailand menggesa bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dan tentera yang menggulingkan beliau supaya `menjauhi politik’ negara itu, dalam satu laporan mengenai demonstrasi berdarah 2010, semalam.
Dalam penemuan terakhir tentang keganasan politik dalam beberapa dekad, Suruhanjaya Perdamaian untuk Kebenaran Thailand (TRCT) mengeluarkan beberapa siri cadangan bertujuan untuk memperbaiki keadaan yang menjejaskan kerajaan sedia ada.
``Untuk negara ini kekal aman, sebagai pengerusi TRCT, saya percaya sudah sampai masa Thaksin berkorban dalam menghentikan setiap peranan politiknya,’’ kata ketua panel, Kanit Nanakorn dalam kenyataan bahasa Inggeris yang disiarkan. - AFP

Anasir luar burukkan krisis Syria



GENEVA 17 Sept. - Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai pencabulan hak asasi manusia hari ini memberi amaran, kehadiran pelampau asing menyebabkan konflik di Syria bertambah buruk.
"Penyertaan mereka dalam pertempuran sedia ada mendesak kumpulan anti-kerajaan ke arah kedudukan yang lebih radikal," kata Pengerusi Panel, Paulo Pinheiro.
Beliau yang mewakili badan itu turut mengesahkan peningkatan anasir luar termasuk kumpulan militan di Syria.
Selain itu katanya, keganasan antara penganut Sunah dan Syiah serta Alawiah yang berterusan turut memburukkan keadaan. - DPA

15 tahanan politik Myanmar dibebas



YANGON 18 Sept. - Sekurang-kurangnya 15 tahanan politik telah dibebaskan dari penjara Myanmar, kata aktivis semalam, ekoran pengumuman media negara ini bahawa kira-kira 514 tahanan akan dibebaskan.
Jurucakap bagi gerakan demokrasi, Generasi 88 memberitahu AFP, kesemua yang dibebaskan termasuk lapan penentang dari penjara Insein yang terkenal di Yangon manakala selebihnya dari bahagian-bahagian lain negara ini.
Nay Win, seorang ahli parti pimpinan Aung San Suu Kyi merupakan salah seorang tahanan politik yang meninggalkan penjara Yangon, lewat semalam selepas dipenjarakan selama tujuh tahun pada 2008. - AFP

UMNO CEKIK RAKYAT

5 tahun mohon niaga secara halal



         
KUALA LUMPUR: “Lima tahun kami berusaha mendapatkan lesen malah turut memohon ruang kedai untuk disewa kerana tak sanggup lagi berniaga secara haram seperti ini namun ia terus ditolak.

“Apa yang kami harapkan sekarang supaya pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dapat membina lot kedai di sekitar kawasan sini untuk kami. “Terdapat banyak padang di sekitar PPR (Projek Perumahan Rakyat) ini yang saya rasa satu daripadanya boleh digunakan untuk didirikan premis perniagaan,” kata S Rajagogilah.


Rajagogilah, 37, antara sembilan peniaga di bahu Jalan 1/23c berhampiran PPR Kampung Baru Air Panas, di sini yang kesal dengan tindakan DBKL tidak meluluskan permohonan mereka khususnya bagi mendapatkan lot kedai untuk disewa.

Akibat berniaga secara haram, mereka beberapa kali diberi notis pengosongan tapak serta disaman dan kekecewaan turut disuarakan mengenai gerai mereka yang kerap runtuh malah terbang dibawa angin kuat sementara orang luar pula sewenang-wenangnya dapat menyewa lot kedai di situ.


Menurut Rajagogilah, paling membuat dia kesal apabila permohonannya menyewa rumah sampah di kawasan itu turut ditolak atas alasan ia tidak boleh dijadikan premis perniagaan namun kini ia sudah pun beroperasi sebagai kedai runcit sejak akhir tahun lalu.


“Saya dan peniaga lain cuba memohon kepada DBKL untuk mendapatkan rumah sewa ini kerana lokasinya hanya kira-kira 15 meter dari satu lagi rumah sampah namun ia ditolak.

“Apabila kami dapati rumah sampah itu beroperasi sebagai kedai runcit, kami cuba membuat laporan di pejabat DBKL namun kakitangannya juga tidak mahu mengambil aduan kami,” katanya.


Peniaga burger dan air, Mohd Nizam Mohd Naam, 24, berkata, timbul tanda tanya jika penduduk yang juga peniaga asal di situ tidak diberi lot kedai sedangkan orang luar begitu senang memperolehnya.

“Kami mula berniaga sebelum medan selera itu wujud lagi. Apabila ia siap, kami berpindah ke bahu jalan ini dan kami sentiasa cuba mendapatkan lesen perniagaan namun tidak dilayan seperti sepatutnya,” katanya.


Bagi Lim Geak Kee, 40, yang mengusahakan gerai makanan, dia juga pernah memohon bagi mendapatkan lot di medan selera kira-kira 20 meter dari lokasi gerai mereka sebelum ia dibangunkan lagi, namun gagal.


“Harapan kami sekarang hanya satu, semoga DBKL dapat menyediakan premis perniagaan untuk kami di sini atau memberi lot kedai yang tidak aktif kepada kami yang menjalankan perniagaan dari pagi ke petang,” katanya.


Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Sukiman Surahman, ketika dihubungi berkata, pembinaan premis perniagaan terbabit adalah penyelesaian jangka panjang yang memerlukan kajian menyeluruh sebelum dapat dilaksanakan.

GT200 semarak lagi api dendam




         
HASSAN ialah antara ratusan orang yang ditahan di selatan Thai oleh pihak berkuasa tentera negara itu dengan menggunakan alat pengesan bom yang didakwa pakar sebagai palsu dan tidak berguna.

Skandal berhubung penggunaan alat pengesan GT200 oleh tentera Thai meningkatkan dendam penduduk wilayah berkenaan yang majoritinya beragama Islam terhadap kerajaan.


Wilayah berkenaan dilanda keganasan sejak lapan tahun lalu kerana perjuangan untuk menuntut kuasa autonomi yang lebih luas. Keganasan yang meragut hampir 5,300 nyawa itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan berakhir.

Aktivis hak asasi manusia berkata, lebih 400 orang dipenjarakan, ada yang sehingga dua tahun, berpunca daripada penggunaan alat berkenaan yang kini menjadi tumpuan siasatan kes penipuan di Britain.


“Saya sedang bermain bola sepak di sekolah apabila ada orang menembak ke arah askar berhampiran,” kata Hassan. Dia ditahan tanpa tuduhan berhubung kejadian pada 2008 di Yala itu, antara tiga wilayah selatan Thai yang bergolak.


“Anggota tentera memasuki sekolah untuk mencari lelaki yang bertanggungjawab melepaskan tembakan. Mereka memaksa kami beratur dan menggunakan GT200. Antenanya menunjuk ke arah saya. Saya terus ditahan,” kata Hassan yang merayu supaya identitinya dirahsiakan kerana bimbang langkahnya bercakap mengenai penahanannya itu akan menyebabkan pihak berkuasa Thai bertindak balas.

Dikatakan berupaya menjejaki kesan letupan, bahan peletup dan juga dadah, GT200 menjadi alat pengesan utama tentera Thai.


Alat bimbit itu yang didakwa dijana elektrik statik pengguna, diiklankan sebagai alat yang menggunakan bahan pengesan dengan ‘kad penggera’ di dalam bekas plastik untuk menghidupkan fungsi antenanya bagi menghala ke arah bahan letupan.

Bukti ketidakberkesanan alat pengesan GT200 itu yang dijual oleh Global Technical Ltd, syarikat yang berpangkalan di Britain, sudah lama diketahui. Pakar menyifatkannya sebagai tidak lebih daripada sebuah radio dengan antenanya terlekat pada plastik yang tidak berguna walaupun syarikat terbabit mendakwa ia boleh mengesan bahan letupan sejauh beberapa ratus meter.


Julai lalu, lelaki di sebalik penciptaan GT200 itu didakwa di Britain atas tuduhan ‘tidak amanah’ dalam memberi keterangan mengenai kemampuan alat itu yang didakwanya berupaya mengesan bahan letupan.


Beberapa ahli perniagaan Britain menanti untuk dibicarakan kerana menjual alat yang tidak berguna itu di seluruh dunia termasuk di Iraq.


Siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand merumuskan, alat berkenaan hanya berfungsi 25 peratus, kadar kejayaan yang menurut pengkritik tidak lebih daripada satu kebetulan.


“Melambung wang syiling mungkin akan memberi keputusan yang lebih tepat,” kata Angkhana Neelapijit dari Yayasan Keadilan Untuk Keamanan, kumpulan yang membongkar skandal itu.


“Penduduk di selatan tahu bahawa GT200 itu palsu sejak ia mula digunakan pada 2007. Tetapi, pihak berkuasa enggan mendengar aduan. Ia menyebabkan kepercayaan mereka terhadap kerajaan dan tentera luntur sama sekali,” kata Angkhana. Agensi penyiasatan tertinggi Thai kini merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap Global Technical dan pengedarnya di negara itu.


Malangnya pihak berkuasa tentera yang berpengaruh enggan mengaku bahawa mereka tertipu dengan alat itu selepas membelanjakan kira-kira RM60 juta untuk membelinya. Mereka juga enggan memohon maaf kepada mangsa yang mereka tahan yang disifatkan oleh kumpulan hak asasi sebagai kesilapan melampau mahkamah.


Menurut Hassan, dia diancam dan disoal siasat sepanjang dalam tahanan serta dipaksa menuduh beberapa rakan sekolahnya menerusi sekeping gambar.


Antara mereka ialah Ayub yang mendakwa ditahan tanpa sebarang bukti selama dua tahun sebelum dibebaskan tanpa sebarang perbicaraan atau permohonan maaf.


“Saya begitu marah. Mereka menahan saya selama dua tahun. Saya amat bimbang jika ia berulang lagi,” kata Ayub kepada AFP. Dia juga meminta supaya identitinya dilindungi.


Kesan daripada kejadian itu, katanya, dia kini dicop sebagai orang yang pernah dituduh mempunyai hubungan dengan militan. Kumpulan berkenaan terbabit dalam perjuangan bersenjata, membunuh penduduk beragama Buddha dan juga Islam yang disyaki pembelot.


Tentera Thai menolak tuduhan melakukan penahanan membuta tuli berdasarkan alat bermasalah itu.


“Kami menemui bukti kukuh - pistol, senjata dan bom tangan. Kerana itu kami menahan mereka,” kata Timbalan Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Kolonel Pramote Promin, ketika memberi taklimat secara lebih meluas mengenai isu penahanan penduduk Islam.


“Ia mungkin satu halusinasi. Tetapi, banyak kali kami menemui senjata. Ia mungkin secara kebetulan, tetapi alat itu membantu operasi,” katanya. Menurut Pramote, keberkesanan GT200 itu mungkin sesuatu yang mengatasi ‘keupayaan sains.’ Walaupun memuji alat berkenaan, tentera Thai nampaknya sudah menghentikan penggunaan alat pengesan itu untuk menahan orang yang mereka syaki pejuang selepas bergantung dengannya sepanjang 2007 hingga 2010, kata penduduk Yala dan Pattani.


Tetapi, tentera masih memeriksa kereta dan jalan raya dengan menggunakan alat itu. Ia meningkatkan kebimbangan kerana jika digunakan secara berterusan, ia akan meluaskan ancaman nyawa mereka dan orang awam yang sepatutnya mereka lindungi.


“Ia skandal besar,” kata Jessada Denduangboripant, pakar biologi di Universiti Chulalongkorn, Bangkok.


Beliau, antara pakar Thai yang pertama mempersoalkan alat itu, tidak yakin badan penyiasat utama negara itu akan menyalahkan ‘golongan berpengaruh’ di sebalik pembelian alat pengesan berkenaan.


Tetapi, selagi pihak berkuasa enggan mengaku kesilapan mereka, mangsa akan terus dinafikan hak untuk mendapatkan keadilan, kata Kaosar Aleemama dari Pusat Peguam Muslim yang mewakili Hassan dan Ayub.


“Mangsa tidak pernah mendengar seseorang berkata, ‘Saya mohon maaf,’ kerana mengambil kebebasan mereka. Ia isu yang membabitkan maruah manusia,” katanya. - AFP

Wanita enggan cari ibu bapa kandung




         
KUALA LUMPUR: “Dulu saya pernah terlintas mencari ibu bapa kandung, tetapi apabila mengenangkan kisah silam saya, untuk apa saya perlu bersusah-payah sedangkan mereka tidak mahukan saya,” kata seorang anak terbuang.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Faiza kini berusia 34 tahun berkata, kehidupannya sekarang bahagia selepas berkahwin dan dikurniakan anak lelaki walaupun pernah berdepan saat sukar.


“Hidup saya pernah terumbang-ambing selepas keluar dari rumah jagaan kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 1995, namun Alhamdulillah, saya dapat melaluinya dan mampu melalui kehidupan sama seperti orang lain,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia ditemui semasa masih bayi di Batu 7, Jalan Puchong, Puchong, Selangor oleh seorang wanita sebelum diserahkan kepada JKM.


“Saya tidak pasti di mana saya ditemui, tetapi saya bersyukur kerana tanpa wanita itu serta JKM yang menjaga, saya tidak tahu apa yang mungkin berlaku kepada saya,” katanya.


Walaupun sejak kecil melalui kehidupan tanpa kehadiran ibu bapa kandung, Faiza berkata, tidak pernah terdetik di hati rasa cemburu apabila melihat orang lain menikmati kebahagiaan bersama anggota keluarga.

“Saya tidak ada perasaan sebegitu, saya tidak rasa sedih, cemburu atau hiba. Biasa saja, mungkin sebab saya tinggal dengan keluarga angkat sebelum ini.


“Tetapi sejak berkahwin dan dikurniakan seorang anak, baru terasa kebahagiaan,” katanya. Menceritakan kehidupan lalunya, Faiza berkata, selepas keluar daripada jagaan JKM ketika berusia 18 tahun, dia kerap berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain kerana bekerja.

“Saya pernah dihalau keluarga angkat angkara fitnah, menumpang di rumah rakan serta bekerja di banyak tempat. Banyak dugaan yang saya lalui dan terpaksa berdikari ketika usia masih mentah.


“Saya tidak pernah berputus asa kerana tidak semestinya ‘anak yatim’ seperti saya tidak boleh mendapat kehidupan yang baik.


“Tanpa panduan JKM serta usaha merujuk dan mendapatkan bantuan, mungkin saya boleh terjebak dalam kegiatan tidak elok, namun saya cekalkan diri menempuh setiap cabaran,” katanya.


Dia berkata, kehidupannya berubah selepas bertemu suaminya 10 tahun lalu, tetapi dugaan tetap menimpa apabila keluarga sebelah suami pada mulanya tidak dapat menerima latar belakangnya.


“Alhamdulillah, sekarang kehidupan saya bahagia. Saya tidak perlu fikir pun siapa ibu bapa kandung saya,” katanya.


Sementara itu, Kaunselor Berdaftar, Hushim Salleh berkata, mereka yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak tidak mempunyai ibu bapa perlu mencurahkan kasih sayang untuk membangunkan keperibadian positif mereka apabila dewasa.


“Sama ada JKM, keluarga angkat atau rumah anak yatim yang bertanggungjawab menjaga anak sebegini perlu memberi didikan dan kasih sayang supaya mereka memiliki jati diri tinggi untuk melalui kehidupan tanpa ibu bapa kandung.


“Banyak perkara negatif boleh berlaku jika mereka tidak dididik dengan betul, jadi pembentukan jati diri sangat penting,” katanya.


Beliau berkata, sokongan masyarakat yang mengetahui latar belakang individu sebegini melalui kata-kata semangat dan motivasi juga boleh membantu mereka menjadi orang yang berjaya.


“Tidak ada sesiapa minta dilahirkan sebegini, tidak diketahui ibu bapa, sebagai anggota masyarakat kita perlu memberi sokongan moral kepada mereka,” katanya.

Wartawan Oman dipenjara kerana ‘memfitnah’




         
MUSCAT: Seorang wartawan dan bloger di Oman dijatuhi hukuman penjara selama setahun selepas disabitkan kesalahan menghasilkan tulisan antikerajaan ketika tindakan keras ke atas pembangkang di negara itu terus dilakukan.

Agensi Berita Oman melaporkan, Mukhtar Mohammed al-Hinai semalam didapati bersalah memfitnah dan melanggar kod media negara itu.


Namun, tiada butiran lain mengenai kes itu dinyatakan. Mukhtar bertugas dengan akhbar harian Azzaman yang pernah menerima tekanan hebat tahun lalu kerana membuat laporan mengenai kemarahan sesetengah pegawai kerajaan Oman. Ogos lalu, kumpulan kebebasan media, Reporters Without Borders, mengecam Oman kerana menghukum 20 aktivis termasuk bloger berpengaruh atas tuduhan menghadiri perhimpunan haram serta menghina pemerintah. Oman dan Iran bersama mengawal Selat Hormuz yang menjadi laluan kira-kira satu per lima perdagangan minyak dunia. - AP

Pengguna tandas di hotel mewah terkejut aksi diperhati




         
NEW YORK: Ketika pelawat sebuah hotel eksklusif di New York boleh menikmati pemandangan indah dari tandas di tingkat 18 bangunan itu, keadaan yang sama tidak dirasai orang lain yang ada di sekitar kawasan berkenaan.

Pelanggan Kelab Boom Boom Boom di Hotel Standard di Manhattan dapat melihat ke luar melalui kaca yang menjadi lantai, dinding dan siling di tandasnya.


Pada masa sama, kaca itu juga membolehkan orang lain melihat aksi mereka di tandas. Keadaan itu membimbangkan sesetengah pengguna tandas kerana tiada sebarang notis diletakkan mengenai situasi berkenaan. Lebih memalukan, sesetengah aksi mereka turut dirakam orang tidak dikenali yang melihat mereka dari bawah. Pelancong dari Melbourne, Australia, David Langdon, 55, berkata melihat ke luar dari tandas itu memang menyeronokkan.

“Tetapi pemandangan di dalam tandas amat menakutkan,” katanya. Menurut Langdon, dia melihat pejalan kaki melambai ke arahnya dari bawah.


Katanya, keadaan itu bukan sesuatu yang diharapkan apabila seseorang membuang air. Deretan mangkuk tandas pada dinding bilik itu dibina berhampiran dengan tingkap kaca dan ia membolehkan orang lain melihat setiap pergerakan yang ada di situ. Pemilik premis itu juga tidak memasang langsir atau bidai bagi melindungi pengguna tandas berkenaan. Menurut sumber, hotel berkenaan memang popular di kalangan selebriti.


Antara bintang yang pernah menggunakan tandas itu ialah Leonardo DiCaprio dan Cameron Diaz. Walaupun ada yang menyuarakan rasa tidak puas hati, sesetengah pengguna lain tidak keberatan aksi mereka dalam tandas menjadi tontonan. Malah, ada antara mereka sempat melambai ke arah orang lain yang melihatnya dari bawah. Pengurus hotel berkenaan pula enggan memberikan sebarang komen ketika dihubungi media. - DM

Kedutaan AS di Thailand ditutup




         
BANGKOK: Amerika Syarikat semalam mengumumkan akan menutup kedutaannya di Bangkok sebagai langkah berjaga-jaga atas rancangan tunjuk perasaan yang akan dilakukan oleh “beberapa ratus orang” sebagai memprotes filem anti-Islam.

Kata kenyataan dalam laman webnya, konsulat yang terletak di jalan utama daerah perniagaan di Bangkok akan ditutup pada waktu tengah hari, hari ini, dan “pekerja yang mempunyai tugas tidak penting, akan dihantar pulang.”
“Jumlah penunjuk perasaan yang ramai dijangka menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu,” katanya.

Jurucakap kedutaan, Walter Braunholer mengesahkan rancangan bantahan itu adalah sebahagian daripada tunjuk perasaan yang biasa bertukar ganas yang memprotes trailer filem bajet murah bertajuk Innocence of Muslims. - BP

Protes bertukar ganas




         
JAKARTA: Penunjuk perasaan melempar bom petrol dan bertempur dengan polis Indonesia di luar Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini apabila bantahan bertukar menjadi ganas, semalam.

Selama dua hari, beratus-ratus penunjuk perasaan di Indonesia membuat bantahan terhadap filem bajet rendah yang menghina orang Islam, tetapi bantahan ini dibuat secara aman.
Segalanya berubah apabila penunjuk perasaan membaling bom petrol sambil menjerit slogan anti-Amerika. Polis perusuh membalas dengan meriam air dan melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menyuraikan 700 penunjuk perasaan.

Polis juga dilihat menyepak dan menarik beberapa penunjuk perasaan dan asap hitam daripada bom petrol berkepul ke udara. Seorang anggota polis yang berdarah di muka dibawa ke hospital.


Penunjuk perasaan menjerit, “Amerika! Amerika masuk neraka!” dan ada di antara mereka membawa poster yang bertulis “Amerika mati” atau “pancung mereka yang menghina Islam”.


Kebanyakan daripada mereka adalah penyokong kumpulan pelampau Front Pembela Islam, yang terkenal kerana serangan bersenjata tanpa provokasi terhadap puak liberal, pondan dan di kelab malam, juga Jemaah Anshorut Tauhid, yang dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh AS, awal tahun ini.

Ada antara penunjuk perasaan, membawa lastik.

Beberapa ratus anggota polis yang membawa kelengkapan rusuhan bersama dua kenderaan berperisai lengkap dengan meriam air dan trak bomba, mengawal bangunan kedutaan AS.

Ketua Polis Jakarta Tengah, Angesta Romano Yoyol menganggarkan jumlah penunjuk perasaan sekitar 700 orang.

Katanya, tujuh anggota polis cedera dalam rusuhan itu dan dibawa ke hospital.

Jurucakap Polis Jakarta, Rikwanto mengesahkan, beberapa penunjuk perasaan ditahan tetapi tidak dapat memberi jumlah sebenar.

“Kami menggunakan meriam air dan tembakan amaran iaitu mengikuti prosedur standard untuk tunjuk perasaan ganas seperti ini,” katanya. - Jakarta Post

Satu lagi kumpulan pemberontak dijangka serah diri akhir bulan




         
BANGKOK: Satu lagi kumpulan pemberontak mungkin akan menyerah diri kepada pihak berkuasa sebelum akhir bulan ini, kata Timbalan Perdana Menteri Yutthasak Sasiprapa, semalam.

Yutthasak yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan berkata, daripada 93 pemberontak yang menyerah diri pada 11 September kepada Komander Tentera Leftenan Jeneral Udomchai Thammasarorach, hanya tiga yang akan dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Prosedur Jenayah.
Yang lain hanya melanggar perintah kecemasan.

Ada di antara mereka yang telah dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan mereka, katanya.


Yutthasak berkata, beliau telah mengarahkan Thammasarorach untuk menerangkan kepada orang ramai langkah yang telah diambil untuk membawa pemberontak berpaling tadah kepada pihak berkuasa kerana masih ada yang percaya ia hanya helah tentera.


Katanya, dia telah diberitahu oleh gabenor di wilayah selatan bahawa terdapat satu lagi kumpulan pemberontak yang mahu menyerah diri sebelum akhir bulan ini. - Bangkok Post

Tentera laut AS ketuai latihan di Teluk




         
WASHINGTON: Satu latihan tentera untuk membersihkan periuk api diketuai Amerika Syarikat (AS) berlangsung di Teluk semalam ketika ketegangan berterusan dalam program nuklear Iran.

Latihan itu dilancarkan pada hari Pengawal Revolusi Iran memberi amaran untuk bertindak balas terhadap Selat Hormuz serta pangkalan tentera Israel dan AS jika negara mereka diserang.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula bertegas dengan “batasan” dari Washington sambil mendakwa Teheran kini “90 peratus” bakal memiliki bom nuklear.

Latihan itu turut membabitkan tentera dari lebih 20 negara.


Menurut kenyataan, latihan itu akan “mengekalkan kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa di Timur Tengah serta menggalakkan kestabilan serantau.” - AFP

Rancangan serang kemudahan nuklear Iran idea paling bodoh: Bekas ketua Mossad




         
TEL AVIV: Bekas Ketua Mossad, Meir Dagan, semalam berkata kemungkinan serangan tentera Israel ke atas kemudahan tenaga nuklear Iran akan menjadi “idea paling bodoh pernah didengar.”

“Serangan ke atas Iran sebelum semua pendekatan lain diterokai bukan cara yang betul untuk melakukannya,” katanya dalam temu bual dengan program 60 Minutes terbitan stesen CBS.


Kenyataan bekas ketua agensi perisikan Zionis itu dibuat ketika Israel terus meningkatkan retorik mereka terhadap Republik Islam Iran dengan mengancam negara terbabit dengan tindakan ketenteraan bagi menghentikan program tenaga nuklearnya. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak, sejak sekian lama mendesak Britain dan Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap Iran. Sementara itu, pemimpin Kor Pengawal Revolusi Islam, Mohammad-Ali Ja’fari, berkata Iran akan memberi “tindak balas jelas” ke atas rejim Israel jika rejim Zionis itu berani menyerang. “Saya yakin tiada satu pun kesan yang tinggal di Israel jika serangan ke atas Iran dilancarkan,” katanya. - Press TV

3,000 penduduk Islam pijak, bakar bendera AS, Israel




         
MANILA: Kira-kira 3,000 rakyat Filipina beragama Islam semalam, membakar bendera Amerika Syarikat dan Israel dalam bantahan terhadap filem anti-Islam yang menyebabkan huru-hara hampir di seluruh dunia.

Penunjuk perasaan di selatan bandar Marawi, berkumpul di dataran umum untuk menunjukkan kemarahan mereka terhadap filem berkenaan dan memijak bendera Amerika dan Israel lalu membakarnya.
Penunjuk perasaan membawa poster bertulis, “Amerika adalah syaitan” dan “Yahudi Israel.. musuh umat Islam” di bandar yang majoritinya adalah penduduk Islam itu. Ada di antara penunjuk perasaan itu menggesa Presiden Benigno Aquino mengharamkan filem berkenaan.

Namun begitu, tiada kejadian tidak diingini berlaku dalam tunjuk perasaan itu.


Sementara itu, Benigno memberitahu wartawan, dia tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan filem bajet rendah terbitan Amerika Syarikat yang menyebabkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.


“Jangan lupa, dalam perlembagaan negara ini, kita mempunyai kebebasan bersuara dan kita tidak boleh menyekatnya,” katanya.

Namun begitu, katanya, lembaga penapisan filem negara itu boleh mengharamkan filem itu daripada ditayangkan di panggung wayang atau televisyen tempatan.

Sementara itu, Jurucakap Polis Nasional, Ketua Superintenden Generoso Carbo berkata, “Kami mengambil langkah berjaga-jaga dan terus memantau operasi kami sekiranya ada ancaman.”

Katanya, buat masa ini mereka tidak menerima laporan ancaman daripada ketua Islam tempatan untuk mengelakkan keganasan. - MT

Hari tanpa kereta di Brussels




BEBERAPA orang mengayuh basikal di sebatang jalan raya di Brussels kelmarin.


BRUSSELS, Belgium - Beberapa batang jalan raya di bandar raya ini tidak dilalui sebuah kenderaan pun sempena Hari Bebas Kereta kelmarin.
Sejumlah orang berjalan, berbasikal, menunggang skuter dan memakai kasut roda semasa mereka melalui jalan tersebut.
Ia diadakan bagi menggalakkan orang ramai tidak menggunakan kereta ketika berada di kawasan bandar.
- Agensi

PM Zimbabwe temui cinta sebenar




TSVANGIRAI memegang tangan isterinya pada majlis perkahwinannya di sebuah stadium di Harare pada Sabtu lalu.


HARARE - Perdana Menteri Zimbabwe, Morgan Tsvangirai menyatakan, beliau telah menemui wanita yang sesuai untuk dijadikan isteri.
Beliau yang berusia 60 tahun berkahwin dengan tunangnya, Elizabeth Macheka yang berumur 35 tahun pada Sabtu lalu.
Ketika bercakap kepada para tetamu, beliau menyatakan selepas mengadakan temu janji dengan beberapa wanita, akhirnya beliau mendapati Macheka sesuai untuk dijadikan isteri.
Majlis perkahwinan itu diadakan di sebuah stadium di sini yang dihadiri kira-kira 2,000 orang.
Pada tahun lalu, Tsvangirai menceraikan Locar-dia Karimatsenga selepas 12 hari mereka berkahwin pada satu upacara perkahwinan tradisional.
Sebuah mahkamah pada Jumaat lalu bagaimanapun memutuskan bahawa Tsvangirai masih menjadi suami yang sah kepada Karimatsenga menyebabkan beliau mungkin didakwa kerana melakukan poligami berdasarkan undang-undang negara tersebut.
Bagaimanapun, undang-undang suku kaum membenarkan lelaki mengamalkan poligami.
Tsvangirai melangsungkan perkahwinan itu berdasarkan undang-undang suku kaum yang membenarkan lelaki berkahwin lebih daripada seorang wanita. - Agensi

William, Kate naik perahu perang




WILLIAM (berbaju merah) menaiki sebuah perahu perang di Tavanipupu, Kepulauan Solomon semalam.


HONIARA - Pewaris kedua takhta Britain, Putera William dan isterinya, Kate Middleton menaiki sebuah perahu perang di Tavanipupu, Kepulauan Solomon semalam.
Pasangan diraja itu diraikan ribuan penduduk yang menunggu kedatangan mereka.
William dan isterinya itu tiba di sini kelmarin selepas melakukan lawatan ke Malaysia dan Singapura.
Kate memakai gelaran Catherine selepas berkahwin dengan William pada 29 April tahun lalu.
Lawatan itu diteruskan walaupun terdapat laporan berita bahawa majalah Chi di Itali telah menyiarkan gambar separuh bogel Kate.
Edisi khas majalah itu kelmarin menyiarkan 18 gambar yang dirakamkan paparazi yang menunjukkan Kate dan William berjemur di sebuah rumah di Perancis.

KATE dan William berbual dengan seorang lelaki di sebuah kampung budaya di Honiara semalam.


Para peguam pasangan diraja itu telah memfailkan aduan di sebuah mahkamah di Perancis ekoran sebuah lagi majalah, Closer menyiarkan gambar payu dara Kate.
Kate dan William menuntut ganti rugi kerana mendakwa majalah tersebut menceroboh kehidupan peribadi mereka apabila gambar berkenaan dirakamkan.
Bagaimanapun, gambar bogel tersebut tidak menjejaskan lawatan pasangan diraja itu.
Kate dan William turut melawat sebuah kampung budaya di sini.
Kelmarin pada satu majlis William berkata: "Tanah ini adalah yang paling indah dan penduduk di Kepulauan Solomon merupakan antara yang paling ramah serta baik."
Ketika berucap, William memakai baju batik.
Lawatan diraja itu diadakan sempena sambutan ulang tahun pemerintahan nenda William, Ratu Elizabeth II kali ke-60. - Agensi

Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan



WARTAWAN SINAR HARIAN
17 September 2012
Netbook 1Malaysia: Rosak sebelum sempat digunakan
Mohd Pauzi menunjukkan Netbook 1Malaysia milik anaknya yang terpaksa dibaiki.
TEMERLOH – Entah di mana silapnya, berdozen Netbook 1Malaysia yang diedarkan kepada pelajar di daerah ini terpaksa dihantar ke kedai komputer untuk dibaiki atas pelbagai kerosakan.

Ada antara ibu bapa yang ditemui kecewa kerana hanya sempat menggunakan produk itu dalam tempoh seminggu, malah lebih teruk ada yang mendakwa langsung tidak boleh menggunakannya sejak diterima tiga bulan lalu.

Mohd Pauzi Abdul Ghani, 32, dari Bandar Bera, berkata, dia sedikit terkilan apabila dimaklumkan anaknya, netbook berkenaan langsung tidak boleh digunakan.

Menurutnya, netbook yang diterima anaknya dalam satu majlis pengagihan Jun lalu itu cuba dihidupkan, namun langsung tidak boleh berfungsi.

“Saya sedikit terkilan kerana sudah membeli modem untuk mengakses internet tetapi netbook pula rosak, saya hantar baiki pada 19 Jun lalu dan hari ini baru siap dibaiki,” katanya sewaktu mengambil semula netbooknya di salah sebuah kedai komputer, di sini.

Mohd Pauzi berkata, sebagai bapa penerima, dia tidak menafikan sumbangan kerajaan dalam membantu pelajaran anaknya, tetapi sedikit terkilan apabila produk yang dibekalkan tidak berkualiti.

“Saya takut benda-benda macam ini dimanipulasikan pihak tertentu, mungkin pembekal sendiri tidak mengetahui produk mereka tidak berkualiti, tambahan pula ia diedarkan dalam kuantiti yang banyak dari kilang," katanya.

Mohd Pauzi berkata, dia dimaklumkan memang ramai ibu bapa yang mengeluh mengenai produk itu kerana ada yang baru pakai seminggu sudah rosak.

Sementara itu seorang lagi bapa, Wahid Ahmad Salleh berkata, anaknya juga langsung tidak sempat menggunakan netbook tersebut.

“Anak saya punya pun sama, dapat dalam keadaan sudah rosak, terpaksa hantar ke kedai untuk dibaiki,” katanya.

Sinar Harian yang melakukan tinjauan selama setengah jam semalam turut mendapati dalam tempoh itu tiga pelanggan datang ke kedai semuanya berkaitan netbook yang rosak.

Sinar Harian dimaklumkan kebanyakan ibu bapa menghantar netbook yang rosak pada Jun lalu iaitu selepas menerima pengagihan secara berkelompok di salah sebuah sekolah, di sini.

Menurut pekedai, ada juga ibu bapa yang marahkan mereka sedangkan mereka langsung tidak mengetahui hujung pangkal produk itu.

“Kami hanya bantu orang ramai, kebanyakan netbook yang dihantar mengalami masalah hardisk, motherboard dan screen rosak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memastikan produk dibekalkan itu berkualiti supaya tidak menyusahkan orang ramai.

“Kita akan usahakan penyelesaian isu ini kerana kita tidak mahu bantuan yang diberikan kerajaan menjadi bebanan pula kepada ibu bapa apabila produk tidak berkualiti,” katanya.
* Tulisan ini sebahagian daripada laporan khas dibawa oleh Sinar Harian edisi Isnin, 17 September 2012