Friday, October 7, 2016

Maria saman Jamal kerana kaitkan BERSIH dengan Daesh

JENAYAH JUMAAT, 7 OKTOBER 2016 @ 11:47 AM

 Oleh Ahmad Johari Mohd Ali ajohari@bh.com.my

GAMBAR fail, pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos pada sidang media berkenaan surat tuntutan saman oleh Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah di Bangunan UMNO Selangor, Rabu lalu. - Foto Shazreen Zamzur

KUALA LUMPUR: Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mengemukakan saman fitnah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos kerana mengaitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dengan Daesh.

 Maria Chin memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui peguam N Surendran dan Melissa Sasidaran.

Maria dalam pernyataan tuntutannya, berkata Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GNGOM) mengeluarkan kenyataan fitnah itu pada satu sidang media di pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 28 September lalu.

Jamal yang dinamakan selaku defendan juga didakwa mengeluarkan perkataan fitnah kedua pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 4 Oktober lalu. Plaintif (Maria Chin) berkata, perkataan fitnah itu kemudian disiarkan dalam media cetak dan elektronik serta di portal berita seluruh negara.

Katanya, ia membawa maksud beliau seorang yang ganas dan tidak mematuhi undang-undang serta seorang ejen Daesh. Maria Chin berkata, ia juga membawa maksud bahawa beliau bersubahat dengan kumpulan pengganas dan terbabit dengan keganasan.

 Sehubungan itu, Maria Chin menuntut daripada Jamal, ganti rugi am dan teruk serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah terbabit.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/199738

Nigeria jual pesawat elak pembaziran

Presiden Nigeria mempunyai 10 pesawat pada masa ini.
ABUJA - NIGERIA - Nigeria menjual 2 daripada 10 pesawat presiden dalam usaha untuk mengurangkan pembaziran," kata Jurucakap Presiden Muhammadu Buhari dipetik BBC News.
Menurut Garba Shehu, iklan penjualan jet eksekutif Falcon 7X dan Hawker 4000 muncul di akhbar, kata Garba Shehu.
"Beberapa pesawat lain diserahkan kepada tentera udara Nigeria bagi memantapkan operasi," katanya.
Nigeria adalah salah satu negara Afrika yang mempunyai ekonomi yang kukuh namun mengalami krisis paling teruk tahun ini.
Melalui posting di Facebook, Shehu berkata, pengurangan pesawat presiden adalah salah satu janji kempen yang dibuat Presiden Muhammadu Buhari sebelum pilihan raya tahun lalu.
Presiden meminta pesawat kecil dan bersesuaian untuk membawa pegawai kerajaan untuk misi khas.
Sementara itu, wartawan BBC, Naziru Mikailu berkata, iklan untuk jet meminta bakal pembeli membuat tawaran dalam dolar AS dan bukanya mata wang tempatan.
Ekonomi Nigeria mengalami kemelesetan pada bulan Ogos.
Kerajaan bergantung kepada penjualan minyak iaitu kira-kira 70% pendapatnya dan terjejas selepas kejatuhan harga minyak global.

PM Norway kantoi main Pokemon Go dalam Parlimen

PM Norway kantoi main Pokemon Go dalam Parlimen

Gelagat PM Norway yang dilihat bermain Pokemon Go
OSLO - NORWAY. Perdana Menteri Norway, Ema Solberg dilihat bermain Pokemon Go ketika sesi perbahasan di parlimen Norway, lapor The Guardian.
Ema dirakam sedang bermain permainan itu semasa perbahasan di Storting.
[ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen dikritik main Pokemon Go]
Namun, perbuatan pemimpin itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana umum mengetahui Ema adalah salah seorang  peminat Pokemon Go.
Semasa lawatan rasminya di Slovakia, dia mengambil sedikit masa untuk bermain permainan itu.
Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama insiden seumpama ini berlaku, sebelum ini seorang ahli politik Norway turut dilihat bermain permainan ini di Parlimen.
Pemimpin parti Liberal Norway, Trine Skei Grande, dilihat bermain permainan semasa mesyuarat keselamatan negara Ogos lalu.

1MDB: Nasib Rafizi 14 November Depan


Diterbitkan: Khamis, 6 Oktober 2016 6:29 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Seksyen di sini menetapkan 14 November depan untuk keputusan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli bagi dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mac lepas.

Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan tarikh tersebut selepas peguam tertuduh, Gobind Singh Deo, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan menutup kes selepas mendengar keterangan Mohd Rafizi yang merupkan saksi tunggal pihak pembelaan pada Khamis.

Mahkamah juga menetapkan 21 Oktober ini untuk pihak pembelaan mengemukakan hujahan bertulis dan 31 Oktober untuk pihak pendakwaan membalas hujahan tersebut.

Terdahulu, Mohd Rafizi, yang juga naib presiden dan setiausaha agung PKR memberi keterangan daripada kandang tertuduh.

Katanya beliau tidak bersalah atas dua tuduhan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu dan memohon agar dia dilepas dan dibebaskan.

Mohd Rafizi berkata ia berikutan perkara asas dalam pertuduhan terhadapnya iaitu halaman 98 laporan 1MDB tidak dikemukakan dalam perbicaraan.

"Dengan tiadanya halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan, saya diprejudiskan dengan amat sangat kerana tidak boleh merujuk kepada dokumen itu dalam pembelaan saya sepanjang perbicaraan ini.

"Saya tidak pernah memiliki halaman lengkap muka surat 98 Laporan Pengauditan 1MDB pada bila-bila masa seperti dinyatakan dalam pertuduhan terhadap saya.

"Oleh itu, saya menyatakan dengan tegas bahawa saya tidak bersalah untuk kedua-dua kesalahan yang saya hadapi dalam perbicaraan ini," katanya.

Gobind kemudian memohon mahkamah untuk memanggil semula saksi pendakwaan pertama kes itu iaitu Timbalan Pengarah Audit di Jabatan Audit Negara, Nor Salwani Muhammad @ Mat.

Ketika pemeriksaan balas oleh Gobind, Nor Salwani, 49, bersetuju bahawa dokumen yang bertanda 'P13' yang merupakan bahan bukti dalam kes itu adalah sebahagian daripada halaman 98 Laporan Pengauditan 1MDB.

Saksi itu turut bersetuju bahawa ada beberapa perenggan dalam halaman 98 yang tidak terkandung pada halaman terakhir 'P13' tersebut.

Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Hazmi Mohd Saad, Nor Salwani berkata setelah menyemak 'P13' beliau bersetuju ia adalah sebahagian dari halaman 98 laporan 1MDB yang asal.

Mohd Rafizi didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972 dan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan pada masa sama, 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.