Friday, February 25, 2011

Calon terbaik Pas

TEMERLOH - Hasanuddin Salim, 43, dipilih mewakili Pas bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Pengumuman dibuat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kompleks Pas Pahang di sini malam tadi.

Hasanuddin yang berasal dari Kampung Loyang di sini bakal berhadapan dengan Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad yang dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu nanti.

Ini merupakan kali kedua Hasanuddin bertanding kerana beliau pernah dicalonkan pada pilihan raya umum yang lalu, tetapi tidak berjaya.

Beliau berkelulusan diploma ukur UiTM, Shah Alam mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak.

Hasanuddin yang berpengalaman dalam bidang Pembangunan dan ukur selama 15 tahun pernah terlibat dalam industri tersebut di luar negara.

Dalam politik, Hasanuddin kini adalah Ketua Penerangan Pas Pahang dan memegang beberapa jawatan lain dalam parti.

Manakala di MERLIMAU pula, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Yuhaizad Abdullah diumumkan sebagai calon mewakili parti itu bagi merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada pilihan raya kecil, 6 Mac ini.

Pengumuman dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di hadapan kira-kira 4,000 penyokong di Kampung Merlimau Pasir, malam tadi.

Berusia 38 tahun, Yuhaizad merupakan lulusan Diploma Tasawur Islam dari Pusat Latihan Minda Mahir (Ilham), Selangor dan mempunyai Sijil Kemahiran Mara serta Kejuruteraan Mekanikal.

Terlibat dalam bidang politik sepenuh masa dan beliau merupakan anak watan Merlimau.
Pengalaman luas dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Belia 4B dan Pertubuhan Kebajikan seperti Yayasan Amal Malaysia.
SH

5 pengawal keselamatan UPM cedera

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Lima pengawal keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) disahkan mengalami kecederaan termasuk seorang terpaksa menerima 16 jahitan di tangan semasa cuba menghalang sekumpulan pelajar promahasiswa memasuki pejabat pentadbiran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, kelima-lima pengawal keselamatan itu terpaksa dikejarkan ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan setelah cedera terkena cermin kaca yang pecah dirempuh kumpulan pelajar berkenaan.

Beliau berkata, dua daripada mereka mendapat luka di tangan kanan menyebabkan masing-masing terpaksa menerima 16 dan enam jahitan.

"Tiga lagi rakan mereka mengalami kecederaan ringan iaitu luka kecil di tangan dan kaki.

"Kelima-lima mangsa berusia antara 32 hingga 35 tahun bagaimanapun dibenarkan keluar dari hospital selepas mendapatkan rawatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.

Semalam, kekecohan berlaku di UPM apabila sekumpulan 200 pelajar promahasiswa bertindak mengadakan demonstrasi hampir 17 jam memprotes tindakan HEP membatalkan kemenangan 11 calon.

Kumpulan pelajar itu dianggotai gabungan pelajar Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Selangor (Unisel), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan UPM.

Mereka mula berkumpul seawal 10.30 malam kelmarin bertujuan meminta penjelasan Timbalan Naib Canselor HEP UPM mengenai pembatalan kemenangan calon terbabit.

Namun, keadaan menjadi tidak terkawal pada pukul 3 petang semalam, apabila pengawal keselamatan dan kakitangan HEP cuba menghalang mereka memasuki pejabat pentadbiran sehingga menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan mahasiswa tersebut.

Menurut Abd. Razak, setakat ini, dua laporan diterima mengenai kejadian tersebut iaitu dibuat oleh pihak pentadbiran UPM dan pengawal keselamatan.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian serta video yang diambil oleh polis dan pelajar, pihaknya sudah mengenal pasti lebih lima pelajar yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan itu.

"Kita sudah meneliti rakaman CCTV di tempat kejadian, rakaman video diambil polis dan pelajar yang dimuat turun dalam laman sosial Facebook untuk membantu siasatan.

"Lebih lima pelajar dikenal pasti terlibat mencetuskan kekecohan itu dan mereka akan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Abd. Razak turut meminta kedua-dua pihak terlibat dalam masalah ini agar mencari penyelesaian dengan cara berkhemah dan bijaksana bagi mengelak kejadian sama berulang.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pertemuan antara kumpulan pelajar promahasiswa dan Naib Canselor HEP UPM yang sepatutnya diadakan hari ini bagi membincangkan isu tersebut, telah ditunda kepada esok.

"Di sini, pihak polis ingin menasihatkan mereka yang terlibat supaya mengawal diri, tidak bertindak agresif dan mengambil tindakan di luar undang-undang.

"Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika mahasiswa terbabit melanggar undang-undang kerana menjadi tanggungjawab polis mengawal keselamatan termasuk dalam kawasan universiti," ujarnya.

Selain itu, beliau turut memberi amaran kepada pihak luar supaya jangan cuba mengambil kesempatan memanipulasikan isu tersebut.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Tentera Gaddafi bedil masjid



PENUNJUK perasaan antikerajaan berdiri di atas kereta kebal sambil mengangkat senjata meraikan kejayaan mereka menawan bandar Shahat di timur Libya, semalam. - REUTERS


BENGHAZI 24 Feb. - Tentera Libya yang setia kepada Muammar Gaddafi hari ini membedil menara sebuah masjid dengan peluru berpandu antipesawat udara dan senjata automatik selepas berpuluh-puluh penunjuk perasaan antikerajaan enggan meninggalkan kawasan masjid itu.

Ramai penunjuk perasaan yang berkhemah di dalam dan luar masjid itu terbunuh atau cedera dalam serangan ke atas bandar Zawiya, 50 kilometer ke barat Tripoli, menurut seorang saksi yang tidak dapat menyatakan angka sebenar.

Tentera dan militia yang pro-Gaddafi bertindak balas dengan ganas apabila pemimpin veteran itu menyaksikan cengkamannya semakin longgar, selepas Zawiya dan bandar serta pekan lain yang dekat dengan ibu negara jatuh ke tangan pemberontak.

Setelah hampir seluruh bahagian timur negara ini dikuasai oleh penunjuk perasaan, mereka berikrar pula untuk 'membebaskan' Tripoli, di mana Gaddafi bertahan dengan pasukan militia meronda di jalan raya dan kereta kebal berkawal di pinggir ibu negara.

Saksi berkata, serangan ke atas masjid itu berlaku pada 9 pagi ini (3 petang waktu Malaysia), sehari selepas seorang pegawai Gaddafi bernama Abdullah Megrahi datang ke Zawiya dan memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya 'beredar atau mereka akan menyaksikan pembunuhan beramai-ramai'.

"Kami memberitahunya kami tidak akan berganjak, sama ada kami mati atau mencapai kemenangan," kata saksi itu.

Pihak berkuasa sebelum itu menggesa penunjuk perasaan menyerahkan senjata mereka dan menawarkan hadiah wang tunai kepada sesiapa yang menyalurkan maklumat mengenai para pemimpin protes.

Sementara itu, Gaddafi semakin hilang penguasaan ke atas beberapa wilayah hari ini selepas kawasan yang terlepas daripada kawalannya semakin meluas di sebelah timur negara ini termasuk beberapa bandar berhampiran ibu negara Tripoli.

Terdapat empat lokasi strategik yang akan menjadi kunci penentu sama ada Gaddafi mampu terus bertahan atau sebaliknya iaitu ibu negara Tripoli, bandar padang pasir tempat kelahiran Gaddafi di Sirte di sebelah timur dan terminal minyak di Teluk Sirte di Ras Lanuf serta bandar Marsa el-Brega .

Bandar, Benghazi tempat bermula pemberontakan sejak lapan hari lalu telah jatuh ke tangan penunjuk perasaan antikerajaan.

''Kita tahu...Benghazi pada dasarnya telah mengisytiharkan merdeka daripada Tripoli,'' kata penaganalisis Peter Zeihan yang berpangkalan di Stratfor Amerika Syarikat.

Satu laporan dalam Facebook menyatakan berlaku pertempuran di Garyan kira-kira 100 kilometer di sebelah selatan Tripoli.

Wartawan asing melaporkan sukar untuk mendapatkan pengesahan apa yang sebenarnya sedang berlaku di Libya sekarang. - AP/Reuters

Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Harapan temui mangsa masih hidup kian tipis


BELUM PUTUS ASA: Pekerja penyelamat masih mencari mangsa yang masih hidup di celah runtuhan bangunan CTV, tempat 48 kakitangan dan pelajar dipercayai tertimbus selepas satu gempa bumi melanda Christchurch Selasa lalu. Sementara itu para penyelamat antarabangsa telah meningkatkan pencarian mereka walaupun harapan menemui mangsa yang hidup semakin tipis. -- Foto AFP

Angka kematian kini 98 orang, 226 masih hilang


CHRISTCHURCH (New Zealand): Harapan menemui lebih banyak orang yang masih hidup di dalam timbunan runtuhan beberapa bangunan di pusat bandar Christchurch yang dilanda gempa Selasa lalu kini semakin menipis.
Para pegawai New Zealand berkata sejauh ini angka kematian ialah 98 orang dan kebanyakan daripada 226 orang yang masih hilang mungkin sudah meninggal dunia.Polis berkata hingga 120 mayat mungkin tertimbus di bawah runtuhan bangunan Canterbury Television atau CTV.Berpuluh-puluh pelajar dari Jepun, Thailand, China dan beberapa negara Asia lain dipercayai tertimbus apabila sebuah sekolah bahasa Inggeris, bersama beberapa pejabat lain yang ditempatkan di dalam bangunan itu, runtuh.Seramai 23 mayat telah ditarik keluar daripada runtuhan itu semalam tetapi tidak dapat segera dikenal pasti.Para pegawai telah meminta keluarga orang-orang yang hilang itu supaya bersabar, sambil berkata mereka akan lebih menderita jika proses mengenal pasti mayat itu dijalan dalam keadaan tergesa-gesa sehingga mendatangkan kesimpulan salah.Menurut Superintenden Polis, Encik Dave Cliff, kematian ekoran gempa itu kini 98 orang dan lagi 226 orang disenarai sebagai hilang.Perdana Menteri John Key berkata kebanyakan daripada yang hilang itu 'amat ditakuti' telah mati.Antara yang diketahui terkorban ialah dua bayi lelaki berusia sembilan dan lima bulan, kata Encik Cliff, tanpa memberikan butir-butir lanjut.Usaha menyelamat yang sejauh ini bertumpu kepada bangunan CTV dan beberapa pejabat utama di pusat bandar itu telah berubah menjadi usaha mencari mayat.Usaha menyelamat kini di lakukan di tempat-tempat lebih jauh.Sejak kelmarin, tiada mangsa hidup yang ditemui.Beribu-ribu bangunan di Christchurch dan sekitarnya kini rosak, termasuk beberapa bangunan lama di Lyttelton, sebuah pekan pelabuhan di tenggara bandar itu, yang lebih dekat dengan pusat gempa.Di Christchurch, beratus-ratus pakar dari Amerika Syarikat, Britain, Jepun, Singapura dan Taiwan tiba untuk membantu polis dan tentera setempat serta membolehkan usaha-usaha menyelamat ditumpukan kepada bangunan lebih kecil yang belum diperiksa.Perdana Menteri Key telah mengisytiharkan keadaan darurat di seluruh negara, dan penganalisis berkata kerugian insurans boleh mencapai AS$12 bilion (kira-kira $15 bilion).Bekalan air di Christchurch dan kawasan sekitarnya menjadi kucarkacir.Sesetengah kawasan dikatakan mendapat bekalan air yang dikhuatiri mungkin tercemar.Bekalan elektrik pula telah dipulihkan bagi 75 peratus bandar itu, tetapi pemulihan di tempat lain, termasuk di kawasan yang paling teruk terjejas, mungkin memakan masa berbulan-bulan, kata Ketua Eksekutif Pembekal Orion, Encik Roger Sutton. -- AP.

Pemimpin dunia kutuk tindakan Gaddafi


SELAMAT PULANG: Seorang lelaki Turkey (dua dari kanan) disambut anggota keluarganya selepas pesawat yang dinaikinya mendarat di lapangan terbang Ataturk. Beliau merentasi Libya ke Mesir dengan berjalan kaki sebelum ke Iskandariah untuk berlepas ke Istanbul, Turkey, kelmarin. -- Foto AP

Obama anggap serangan ke atas pembantah sebagai dahsyat dan tidak boleh diterima


BENGHAZI (Libya): Para pemimpin dunia semalam mengutuk tindakan keras pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, terhadap para pembantah yang telah memecah-belahkan negara itu, tetapi tidak melakukan sesuatu untuk menghentikan pertumpahan darah tersebut.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, buat kali pertama memberikan ulasannya di khalayak awam sambil mengutuk serangan-serangan 'dahsyat' dan 'tidak boleh diterima' itu ke atas para pembantah yang mengorbankan ratusan jiwa dalam masa 10 hari dan mengakibatkan kenaikan harga minyak ke paras yang boleh mengancam pemulihan semula ekonomi sejagat.Bagaimanapun, kutukan dan respons sejagat terhadap Libya kelihatannya kurang menunjukkan perpaduan dan desakan, walaupun Washington dan Brussels telah mula berbincang tentang kemungkinan mengenakan sekatan terhadap pemimpin Libya yang memerintah negara itu sejak 41 tahun lalu dan sering mengingkari pihak Barat.'Adalah penting bagi negara-negara dan rakyat di seluruh dunia berbicara dengan satu suara,' kata Encik Obama.'Penderitaan dan pertumpahan darah itu dahsyat sekali,' ujarnya.Eksport minyak yang digunakan Encik Gaddafi untuk membantu menamatkan pengasingannya sejak sedekad lalu telah memberikan beliau wadah untuk menentang nasib yang dialami jiran terdekatnya, presiden Tunisia dan Mesir, yang digulingkan oleh rakyat masing-masing beberapa minggu lalu.Sehingga 1,000 orang mungkin terbunuh di Libya, menurut Menteri Luar Italy, Encik Franco Frattini.Beberapa laporan yang belum dapat disahkan berkata pihak tentera Libya dan askar-askar upahan Afrika telah menembak ke arah para pembantah di negara yang menghasilkan hampir 2 peratus bekalan minyak dunia itu.Seperti di beberapa bahagian dunia Arab, para pembantah Libya yang mengadakan bantahan antipemerintah kelihatan terdorong oleh kekecewaan mereka terhadap penindasan politik dan masalah ekonomi di negara itu dan sebahagian besarnya berfahaman sekular.Sementara itu, kumpulan Al-Qaeda cabang Afrika Utara semalam memberi isyarat menyokong para pembantah di Libya sambil menggesa mereka agar 'meneruskan perjuangan dan revolusi dan menggiatkannya bagi menggulingkan penjenayah zalim itu', menurut Kumpulan Risikan Site.Tindakan kumpulan Al-Qaeda itu telah menimbulkan kebimbangan sesetengah pihak tentang kemungkinan fahaman pelampau menyerap di kalangan pembantah.Sementara itu, para pembantah antipemerintah Libya telah menguasai bandar Zuara, kira-kira 120 kilometer ke barat Tripoli, kata beberapa pekerja Mesir yang bekerja di situ dan yang sedang dalam perjalanan ke Tunisia, kepada agensi berita Reuters, semalam.Tentera yang taat kepada Encik Gaddafi kehilangan kuasa di wilayah Cyrenaica di sebelah timur negara itu minggu lalu. -- Reuters.

Abu Bakar Bashir nafi bantu tubuh kumpulan militan di Aceh




JAKARTA: Pendakwah bebas Abu Bakar Bashir semalam menafikan dia membantu menubuhkan kumpulan pengganas baru di wilayah Aceh, yang didakwa sedang merancang siri pembunuhan pemimpin negara dan serangan ke atas hotel serta kedutaan Barat.
Abu Bakar malah mendakwa dia merupakan mangsa konspirasi Amerika Syarikat dan semua tuduhan ke atasnya direka.Pihak pendakwaraya berkata kumpulan pengganas baru yang dikesan di Aceh setahun lalu antara lain merancang membunuh Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.'Penangkapan saya ialah atas arahan dari negara asing kerana Amerika dan Australia tidak mahu melihat saya bebas. Polis mahu memastikan yang saya dipenjarakan.'Mereka mahu membunuh saya jika boleh,' kata Abu Bakar di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan.Namun, Abu Bakar memberitahu mahkamah bahawa penganut Islam mempunyai tanggungjawab menyerang golongan kafir.'Saya yakin berdasarkan undang-undang syariah, latihan fizikal dan latihan senjata di kawasan pergunungan di Aceh merupakan satu ibadah oleh penganut Islam, seperti yang diperintahkan Tuhan bagi menghalang musuh Islam agar mereka tidak berani menyerang masyarakat Islam.'Latihan ini sama penting dengan solat, puasa... tetapi tugas suci ini dihina oleh musuh Tuhan, Detasmen 88 (unit antipengganasan Indonesia), yang menuduh golongan itu pengganas,' kata Abu Bakar yang membaca dokumen pembelaannya setebal 90 muka surat.Abu Bakar boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan atas tuduhan mengetuai dan menaja kumpulan pengganas serta membekalkannya dengan senjata.Semalam, dia juga menyifatkan pemerintah Indonesia sebagai 'racun' kerana gagal mengharamkan kumpulan Ahmadiyah yang disifatkannya sebagai 'sesat'.'Jika pemerintah gagal membubarkan mereka, kita perlu membubarkan pemerintah,' katanya.Abu Bakar juga menyifatkan pemimpin Indonesia serta pasukan keselamatan negara itu sebagai 'kafir'.'Mereka sepatutnya melaksanakan undang-undang syariah,' katanya.Abu Bakar sebelum ini didakwa pengasas kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI).Dia pernah menjalani hukuman penjara hampir 26 bulan atas tuduhan terlibat dalam pengeboman Bali pada 2002 tetapi tuduhan itu digugurkan dan dia dibebaskan pada 2006.Pihak pendakwa raya juga sebelum ini gagal mengaitkan Abu Bakar dengan pengeboman gereja pada 2000 dan Hotel Marriott di Jakarta pada 2003. -- AFP, AP, Reuters.

Korea Utara dikatakan hadapi kebuluran




WASHINGTON: Korea Utara dikatakan menghadapi masalah kekurangan makanan yang serius dengan para penduduknya terpaksa makan rumput.
Ini didedahkan oleh lima agensi bantuan kemanusiaan Amerika Syarikat yang berkunjung ke negara komunis itu baru-baru ini.'Pasukan kami mendapati berlaku masalah kekurangan zat makanan, kekurangan makanan dan penduduk terpaksa makan rumput liar dan herba.'Trend ini lebih ketara di kalangan keluarga yang bergantung kepada sistem pengedaran makanan awam Korea Utara dan lebih menjejas teruk kanak-kanak, warga tua, mereka yang mengalami penyakit kronik, wanita mengandung dan mereka yang menyusukan bayi,' kata lima agensi itu dalam satu kenyataan bersama.Lima agensi itu ialah Christian Friends of Korea, Global Resource Services, Mercy Corps, Samaritan's Purse dan World Vision.Tujuh wakil kumpulan itu melawat Korea Utara pada awal bulan ini atas permintaan pemerintah.Kumpulan itu berkata pihak berkuasa Korea Utara berkata antara 50 dengan 80 peratus tanaman penting seperti gandum dan barli telah musnah ekoran cuaca yang terlalu sejuk.'Selain daripada itu, kenaikan harga makanan sejagat telah menyukarkan usaha mengimport bekalan makanan yang mencukupi,' kata agensi itu lagi.Hubungan Korea Utara dengan Amerika Syarikat serta sekutunya mencapai tahap krisis tahun lalu apabila negara komunis itu menyerang penduduk awam di Korea Selatan.Pada Mac 2009, Korea Utara telah menyingkirkan lima agensi bantuan Amerika berkenaan kerana ingin berdikari.Namun, akhbar Korea Selatan, JoongAng Ilbo, bulan ini melaporkan timbalan duta Korea Utara ke PBB, Encik Han Sang-Ryol, telah meminta Amerika menyambung semula bantuan kemanusiaan itu.Pegawai Amerika bagaimanapun belum membuat keputusan berkaitan permohonan itu. -- AFP

Badan hak sivil dan Islam AS ambil tindakan guaman atas FBI




WASHINGTON: Sebuah kumpulan hak sivil yang berpengaruh dan sebuah pertubuhan Islam Amerika Syarikat telah mengambil tindakan guaman ke atas Biro Siasatan Federal (FBI).
Mereka mendakwa biro itu telah mengintip masjid-masjid di California melalui seorang ejen.Tindakan guaman itu difailkan Selasa lalu di sebuah mahkamah California oleh Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (Aclu) dan Majlis Perhubungan Amerika-Islam (Cair).Mereka mendakwa FBI telah menghantar seorang ejen yang menggunakan pengenalan palsu untuk bergaul dengan para penganut Islam di beberapa masjid di California.'Kes ini melibatkan seorang ejen provokasi yang dibayar FBI, yang menyusupi beberapa masjid aliran biasa di selatan California dengan menggunakan identiti palsu, mengikut arahan FBI agar dia mengumpulkan maklumat mengenai penganut Islam,' kata tindakan guaman itu.Ejen FBI itu telah mengumpulkan beratus-ratus nombor telefon, alamat e- mel dan rakaman perbualan, selain membuat rakaman filem di dalam masjid-masjid setempat.Aduan-aduan tersebut mendakwa bahawa 'penyiasatan menyeluruh ini tidak menghasilkan satu pun sabitan yang berkaitan dengan pencegahan keganasan. Ini tidak mengejutkan kerana FBI tidak mengumpulkan maklumat berdasarkan kegiatan jenayah yang disyaki. Sebaliknya ia mengumpulkan maklumat-maklumat itu hanya kerana sasarannya penganut Islam'.Operasi itu berakhir apabila identiti pengintip tersebut mula diketahui.'Masyarakat Islam di California telah melaporkan pemberi maklumat itu kepada polis kerana pidatonya yang berbaur keganasan dan akhirnya mendapatkan perintah sekatan ke atasnya,' tambah aduan itu.FBI enggan memberikan sebarang ulasan sementara menunggu tuntutan yang dibuat kedua-dua pertubuhan tersebut.Bagaimanapun, secara umumnya 'FBI tidak menyiasat rumah-rumah ibadat atau kumpulan agama lain, tetapi individu yang didakwa menjadi ancaman kepada keselamatan negara atau terlibat dalam jenayah,' kata seorang jurucakap FBI.Namun, para pegawai tinggi Amerika memberi amaran bahawa negara itu sedang menghadapi ancaman yang semakin meningkat daripada pelampau dalaman yang mendapat ilham daripada Al-Qaeda dan kian susah dikesan. -- AFP.