Showing posts with label Singapura. Show all posts
Showing posts with label Singapura. Show all posts

Wednesday, October 24, 2012

Singapura buka terminal kapal mewah




GAMBAR oleh firma Communications DNA Pte Ltd menunjukkan kapal persiaran Diamond Princess dan Voyager of the Seas berlabuh di terminal Pusat Pelayaran Teluk Marina di Singapura kelmarin.


SINGAPURA - Pemerintah di sini membuka sebuah terminal kapal persiaran baharu yang setanding dengan pusat persinggahan kapal-kapal mewah bertaraf dunia sebagai usaha menjadikan republik itu sebagai hab pelancongan serantau.
Dikenali dengan nama Pusat Pelayaran Kapal Teluk Marina, ia dibuka secara rasmi kelmarin.
Pembinaan terminal tersebut membolehkan pulau ini memenuhi peningkatan bilangan pelancong di Asia yang bercuti di atas kapal-kapal persiaran mewah.
Pusat pelayaran itu beroperasi hasil kerjasama di antara pihak Perkhidmatan Terminal Lapangan Terbang Singapura dan syarikat Eropah, Creuers del Port de Barcelona.
Terminal berkenaan boleh menempatkan kapal penumpang seberat 220,000 tan dengan panjang melebihi 360 meter.
Bangunan tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan yang dibina dengan kos sekitar Sg$500 juta (RM1.25 bilion).
Ketua Eksekutif terminal berkenaan, Melvin Vu berkata, Singapura bakal menjadi pangkalan utama pelayaran kapal-kapal mewah berikutan terminal moden yang dimilikinya.
"Pembukaan rasmi terminal menjadi mercu tanda kepada satu perubahan signifikan dalam perkembangan landskap pelayaran di Singapura dan rantau ASEAN," katanya.
Singapura mencatatkan kehadiran 13.2 juta pelancong asing tahun lalu dengan hasil industri pelancongan mencecah Sg$22.3 bilion (RM55.6 bilion). - AFP

Monday, August 29, 2011

Tony Tan Presiden baru Singapura




BEKAS Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tony Tan berucap pada satu sidang media selepas kemenangannya dalam pilihan raya presiden kelmarin.


SINGAPURA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan dipilih sebagai Presiden Singapura yang ketujuh selepas beliau menang tipis dalam pilihan raya presiden kali ini.
Tan dikaitkan dengan parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) kerana beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara yang pernah dipegangnya seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Ketua Jabatan Pilihan Raya, Yam Ah Mee semasa mengumumkan keputusan pilihan raya itu lewat kelmarin memberitahu, Tan, 71, menerima 35 peratus daripada kira-kira 2.1 juta undi keseluruhan. Ini sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Tan Cheng Bock yang merupakan bekas ahli Parlimen dengan kelebihan cuma 7,269 undi.
Menurut pegawai pilihan raya berkenaan, seorang lagi calon, Tan Jee Say memperoleh 25 peratus undi. Calon keempat dan terakhir, Tan Kin Lian pula sekadar memperoleh lima peratus undi.
Pengumuman keputusan pilihan raya itu terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam kelmarin apabila pegawai-pegawai pilihan raya diminta mengira semula kertas undi berikutan persaingan yang begitu sengit antara Tan dan Cheng Bock.
Pilihan raya tersebut dilihat oleh ramai penganalisis politik sebagai isyarat bahawa pengaruh PAP semakin pudar dalam kalangan rakyat.
Tan hanya memperoleh 35 peratus undi dalam pilihan raya berkenaan, jauh merosot berbanding 60 peratus undi yang diperoleh PAP pada pilihan raya umum Mei lalu.
Pilihan raya umum tersebut turut mempamerkan prestasi terburuk PAP sejak 52 tahun memerintah Singapura.
Seorang pakar ekonomi yang berpangkalan di Singapura, Song Seng Wun berkata, keputusan pilihan raya kali ini yang diadakan untuk memilih ketua negara Singapura itu terus menunjukkan dominasi kuasa yang dimiliki PAP selama ini semakin terhakis.
“PAP tidak sekuat seperti empat dekad lalu,” kata Seng Wun.
“Hanya seorang daripada tiga pengundi memilih Tan yang dikait rapat dengan PAP. Dua daripada tiga pengundi memilih calon lain. Ini adalah isyarat yang jelas,” tambahnya.
Seorang pembaca pula menulis dalam sebuah forum Internet bahawa Tan “sepatutnya malu kerana cuma mendapat 35 peratus undi”.
Malah, beberapa penganalisis politik turut menyatakan bahawa Tan akan tewas sekiranya pilihan raya presiden kali ini menampilkan pertandingan satu lawan satu.
Selepas kemenangannya, Tan segera merayu kepada pengundi yang tidak memilihnya.
“Presiden Singapura adalah Presiden kepada semua rakyat Singapura, bukan hanya untuk mereka yang memilih saya atau untuk mereka yang tidak memilih saya,” kata pemimpin veteran itu selepas kemenangannya diumumkan.
“Saya akan bekerja sedaya upaya demi kebaikan rakyat Singapura tanpa mengambil kira fahaman politik mereka,” tambahnya
Beliau dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang ketujuh pada 1 September depan.
Presiden Singapura yang dipilih setiap enam tahun memiliki kuasa veto untuk menolak pelantikan penting dalam pentadbiran negara di samping menjaga simpanan luar Singapura yang kini berjumlah sekitar AS$250 bilion (RM746.2 bilion).
– Agensi

Sunday, August 28, 2011

2.3j pengundi Singapura pilih Presiden




Calon Presiden Singapura, Tan Cheng Bock bersama isterinya, Cecelia tiba di stesen pengundian di Pusat Bahasa Kementerian Pelajaran di Ghim Moh, semalam. - REUTERS


SINGAPURA 27 Ogos - Kira-kira 2.3 juta rakyat Singapura keluar mengundi hari ini pada Pilihan Raya Presiden pertama Singapura dalam tempoh 18 tahun bagi menggantikan S. R. Nathan yang menamatkan penggal perkhidmatannya pada 31 Ogos ini.
Sebanyak 781 pusat pengundian dibuka seawal pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 8 malam waktu tempatan. Keputusan pilihan raya dijangka diketahui beberapa jam kemudian.
Pilihan raya Presiden kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Tony Tan Keng Yam; bekas Ahli Parlimen, Dr Tan Cheng Bok; bekas ketua Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Tan Kin Lian; dan bekas pegawai kanan kerajaan Tan Jee Say.
Pertembungan empat 'Tan' itu juga mencatat sejarah di republik ini kerana ia melibatkan calon Presiden teramai dalam sejarah Pilihan Raya Presiden Singapura.
Jee Say dan isterinya membuang undi di Sekolah St. Stephens kira-kira pukul 9 pagi, sementara Cheng Bock bersama isterinya pula mengundi di Pusat Bahasa Kementerian Pelajaran di Ghim Moh sekitar 9.30 pagi ini.
Kin Lian bersama isteri tiba di Sekolah Menengah Pei Hwa pada pukul 10.20 pagi untuk mengundi, manakala Dr. Tony Tan serta isteri menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Perempuan Nanyang pada pukul 10.45 pagi.
Ini merupakan Pilihan Raya Presiden pertama sejak tahun 1993, ketika Ong Teng Cheong memenangi jawatan tersebut. - Agensi

Thursday, August 18, 2011

4 Tan rebut jawatan Presiden Singapura

SINGAPURA: Pilihan raya presiden paling hangat di negara ini sejak jawatan itu dipertandingkan 18 tahun lalu bermula semalam dengan pemenangnya akan bergelar Presiden Tan, tidak kira siapa di antara empat calon yang bertanding, menang.
Ini kerana kesemuanya berkongsi nama keluarga yang sama.

Tan ialah nama keluarga paling banyak digunakan di republik itu di mana 75 peratus daripada 3.3 juta populasinya terdiri daripada etnik Cina. Pilihan raya selama 10 hari itu dilihat sebagai pungutan suara terhadap Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang berkuasa sejak kemerdekaan pada 1965.

Keempat-empat calon yang merebut jawatan yang lebih kepada menjalankan tugas istiadat itu akan berdepan dengan pengundi yang memandang berat terhadap peningkatan mendadak jumlah warga asing yang mendapat pekerjaan di negara itu.

Pengundian akan berakhir pada 27 Ogos depan, empat bulan selepas PAP kembali berkuasa dengan hanya 60 peratus undi. Meskipun PAP tidak mempunyai sebarang calon pilihan untuk jawatan berkenaan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyuarakan sokongan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan. Bloger, Alex Au, yang laman blognya, Yawning Bread menjadi antara blog sosio-politik paling popular di negara itu meramalkan kemenangan Tony Tan tetapi dengan undian kurang daripada 50 peratus.
Menurut laporan media, jawatan presiden Singapura menawarkan gaji kira-kira S$3.329 juta (RM8.24 juta) setahun.
Kerajaan berdepan dengan masalah sekiranya seorang daripada tiga Tan yang lain menang kerana mereka mungkin menggunakan kuasa veto secara agresif, termasuk dalam melantik pegawai kanan kerajaan. - AP
hmetro

Wednesday, December 15, 2010

Penilaian Singapura terhadap Malaysia aneh, tidak bantu hubungan


KUALA LUMPUR 14 Dis. - Penilaian Singapura terhadap Malaysia mengenai 'ketidakcekapan' kepimpinan negara seperti didedahkan WikiLeaks kelmarin adalah aneh kerana kedua-dua negara melalui proses pembangunan negara bangsa yang berbeza.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kenyataan itu juga didapati langsung tidak membantu dalam hubungan dua hala Kuala Lumpur dan Singapura yang selama ini berada dalam keadaan baik.
Katanya, pendedahan WikiLeaks tersebut juga sebenarnya memalukan kepimpinan Singapura kerana ia bukan merupakan pandangan rasmi negara republik kecil itu.
"Di Malaysia kita mempunyai tiga etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India, kalau tidak silap ada 214 sub etnik semuanya, ini semua kompleks. Perdana Menteri kata rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.
"Jadi saya katakan kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura apa yang dipanggil 'incompetent' daripada pandangan Singapura, sebenarnya kita turun ke bawah dan cuba penuhi semua kehendak rakyat," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.
Beliau sebelum itu menyampaikan nota bantahan berhubung perkembangan tersebut kepada Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke sini, T. Jasudasen yang dipanggil ke pejabatnya di bangunan Parlimen.
Kelmarin, beberapa akhbar tempatan Australia melaporkan pendedahan WikiLeaks berhubung komen tiga pegawai kanan kerajaan Singapura mengenai 'ketidakcekapan' pemimpin Malaysia dalam mentadbir negara.
Pendedahan WikiLeaks yang memetik perbualan ejen perisikan Singapura dan Australia itu turut menyebut tentang penglibatan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam aktiviti liwat.
Anifah menambah, pengalaman Singapura serta kepimpinan negara itu dalam mentadbir republik yang secara keseluruhannya dikategorikan sebagai kawasan bandar adalah sangat berbeza dengan Malaysia yang mempunyai penduduk di kawasan pedalaman.
Sementara itu, katanya, tugas beliau sebagai jurucakap Kuala Lumpur di luar termasuklah melindungi kepentingan kesemua warganegara Malaysia termasuk Anwar.
Namun kata beliau, mana-mana individu Malaysia yang dituduh atau didakwa pihak luar mempunyai hak untuk menentukan sendiri bentuk tindakan yang akan diambil terhadap sebarang dakwaan ke atas mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, katanya, nota bantahan yang diserahkan kepada Jasudasen itu menjelaskan tentang ketidakpuasan hati Kuala Lumpur ke atas komen-komen yang tidak membantu hubungan dua hala kedua-dua pihak.