Monday, April 11, 2011

Juruterbang helikopter terhempas meninggal dunia



Allahyarham Kapten Sahimi Razali


SIBU 11 April – Seorang juruterbang yang cedera parah apabila helikopter jenis Bell 206 milik Sabah Air yang dipandunya terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sibu di sini pada pukul 1.50 tengah hari meninggal dunia pada pukul 8.36 malam tadi.
Insiden itu berlaku sebaik sahaja mangsa menurunkan tiga penumpang termasuk pembantu khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Juruterbang, Kapten Sahimi Razali, 38, mengalami kecederaan parah di bahagian rusuk terus digegaskan ke Hospital Sibu oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
Muhyiddin bersama isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman turut melawat Sahimi yang menjalani pembedahan di Hospital Sibu kira-kira pukul 4 petang.
Muhyiddin yang menghabiskan kira-kira 15 minit di luar dewan pembedahan turut menyaksikan proses pembedahan yang dijalankan. - Utusan

Wanita rayu bantuan cari anak hilang


PARIT – Seorang ibu hari ini merayu bantuan orang ramai untuk mengesan anak perempuan berumur 16 tahun yang hampir sebulan tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Pasir Sena, Lambor Kanan, di sini.

Mariam Isa, 54, berkata, anaknya, Suraidah Mokhtar, tidak kembali selepas menghadiri kenduri seorang rakan di Taiping semasa cuti persekolahan bulan lepas.
"Pada mulanya saya tidak mengizinkan dia pergi tetapi dia tetap berkeras mahu pergi dan mula merajuk, lalu saya terpaksa benarkan juga.
“Ketika pergi, dia ada membawa baju dalam beg galas kerana katanya akan bermalam di sana,” katanya di sini hari ini.
Mariam telah melaporkan kehilangan anaknya itu kepada polis.
Beliau berharap orang ramai yang mengetahui di mana Suraidah berada supaya menghubungi kakaknya, Rosnani (013-4269100), abang iparnya, Anuar (012-5500376) atau mana-mana balai polis. – Bernama