Kepala Batas: “Saya kehilangan kata-kata kerana teruja apabila diarak menaiki kubota (jentera pembajak sawah) ke rumah pengantin perempuan,” kata Mohd Fahmi Fazim, 22, yang diarak bersama isterinya Norshafariza Abd Rani, 22, ke rumah pengantin perempuan di Kota Aur, dekat sini, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/15
Mohd Fahmi, juruteknik dari Kuala Perlis, Perlis diarak dengan kubota sejauh 200 meter ke rumah isterinya yang dikenali sejak enam tahun lalu.
Idea menaiki kubota adalah daripada ibu bapa pengantin perempuan, Zainab Umar, 51, dan Abd Rani Bakar, 58, kerana mahu meraikan majlis kenduri dengan cara unik dan menjadi kenangan yang tidak dilupakan.
Mohd Fahmi berkata, mulanya dia hanya menyangka diiringi dengan kubota, tetapi terkejut apabila dia dan pasangannya ditarik dengan kubota dan menjadi tumpuan tetamu yang tidak melepaskan peluang merakam gambar.
Norshafariza pula yang mengenali suaminya sejak belajar di Kolej Komuniti Kepala Batas mengaku seronok apabila diarak menaiki kubota kerana jarang dilakukan pengantin lain.
“Saya dapat tahu bapa merancang mengadakan majlis unik.
Pengalaman menaiki kubota tentu menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Sebaik turun dari kubota, pengantin menjamu selera atas pondok yang dibuat khas untuk pasangan mempelai itu.
Dua tahun lalu, abang Norshafariza, Mohd Azrin, 30-an, diarak dengan kereta lembu yang disewa dengan harga RM300.
Sementara itu, Abd Rani berkata, idea menggunakan kubota bagi membawa pengantin disokong isteri dan rakannya yang mahu mencipta kelainan berbanding majlis perkahwinan lain.
“Kebetulan pemandu kubota, Mohd Hafni Ismail, 30-an, anak rakan saya dan dia setuju membawa pengantin.
“Kebetulan pemandu kubota, Mohd Hafni Ismail, 30-an, anak rakan saya dan dia setuju membawa pengantin.
“Tidak sangka ramai seronok melihat gelagat pasangan pengantin atas kubota kerana ia jarang dilihat di tempat lain,” katanya.
MOHD FAHMI dan pasangannya, Norshafariza diarak menaiki kubota di Kota Aur, Kepala Batas, semalam.